An’am Ayat 43: Tetapi bagaimana kalau mereka tidak merendahkan diri?
فَلَولا إِذ جاءَهُم بَأسُنا تَضَرَّعوا وَلٰكِن قَسَت قُلوبُهُم وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ ما كانوا يَعمَلونَ
Then why, when Our punishment came to them, did they not humble themselves? But their hearts became hardened, and Satan made attractive to them that which they were doing.
Tapi kenapa mereka tidak berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا
Tetapi kenapa ketika mereka ditimpa musibah daripada Kami, tidak mereka
Perkataan لَوْلَا ini banyak digunakan dalam Al-Qur’an. Terdapat empat jenis kegunaannya:
1. Bermaksud ‘kalau tidak’. Sebagai contoh, “kalau tidak kerana rahmat Allah, maka …..”
2. Bermaksud permintaan. Sebagai contoh, ada manusia yang di hujung nyawanya meminta supaya dia diberikan masa lagi untuk hidup. Lebih kurang maksudnya begini: “Kenapa tidak diberikan…”
3. Digunakan sebagai teguran. Seperti yang digunakan dalam ayat ini. Sebagai contoh digunakan dalam bentuk begitu: “Kenapakah mereka tidak …. begitu begini”.
4. Digunakan dalam bentuk pertanyaan. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah bertanya “kenapakah tidak diturunkan malaikat?”.
تَضَرَّعُوا
mereka merendah diri?
Tujuan bala itu diberikan adalah untuk kita merendahkan diri kita, tetapi kenapa kita masih lagi tidak merendahkan diri? Begitulah manusia silap memilih tindakan. Allah ﷻ telah menurunkan bala, namun ramai yang tidak memperbaiki keadaan diri sendiri, iaitu kembali kepada ajaran Allah ﷻ. Beginilah terjadi kepada masyarakat kita: apabila bala datang, ramai yang buat salat hajat berjama’ah, membaca doa beramai-ramai tolak bala dan sebagainya. Amalan ini adalah salah kerana buat perkara yang bid’ah.
Sepatutnya kita kena tunduk dengan mengamalkan tauhid dan tinggalkan perkara bid’ah dan mengamalkan ajaran Sunnah. Begitulah kebanyakan manusia yang tidak mengakui keesaan Allah ﷻ. Sebaliknya ramai meminta pertolongan kepada selain daripada Allah ﷻ. Kerana itulah Allah ﷻ menegur manusia dalam ayat ini.
وَلَٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ
Akan tetapi yang sebenarnya hati mereka keras,
Mereka jadi begitu kerana hati mereka telah menjadi keras. Mereka tidak mahu menerima kebenaran. Itulah orang yang keras hati, tidak mahu merendah diri di hadapan Allah ﷻ. Maka kebenaran tidak dapat masuk ke dalam hati mereka.
Yang boleh merendahkan diri adalah mereka yang lembut hatinya. Yang boleh memikirkan bahawa mungkin mereka ada buat salah (kerana itulah Allah ﷻ menurunkan bala dan musibah). Mereka yang baik adalah mereka yang tahu kedudukan mereka sebagai hamba. Apabila sedar kita ini hamba, maka senang untuk taat kepada Allah ﷻ.
Perkataan قَسَتْ bermaksud ‘hati mereka telah menjadi keras’. Maksudnya, hati mereka asalnya tidak keras tetapi apabila mereka berterusan menolak hidayah, maka hati mereka lama kelamaan menjadi keras. Ini adalah bahaya sekali. Ini mengajar kita untuk menjaga hati kita. Hendaklah kita melembutkan hati kita dengan kaedah-kaedah yang telah diajar oleh ulama’.
Pertamanya, kita kena baca Al-Qur’an dengan banyak kerana Al-Qur’an adalah Kalam Allah. Kalau kita rapat dengan Al-Qur’an, maka kita akan rapat dengan Allah ﷻ. Semasa baca itu, bukanlah baca sahaja (mengeja) seperti kebanyakan masyarakat kita buat sekarang.
Tetapi, hendaklah kita faham dan memikirkan apakah yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Jadi, untuk dapat kefahaman itu, kena belajar tafsir Al-Qur’an. Inilah sebabnya kita banyak menganjurkan supaya anda semua belajar tafsir Al-Qur’an ini. Kalau baca kosong sahaja, tidaklah dapat membantu kita untuk melembutkan hati kita.
Keduanya, meningkatkan ingatan kepada Allah ﷻ. Itulah zikir. Zikir itu hendaklah memikirkan tentang Allah ﷻ, bukan hanya mulut sahaja sebut perkataan, tetapi tak faham apakah yang dibacakan.
Ketiganya, bergaul dengan orang-orang soleh. Apabila kita bersama orang yang soleh, kita akan buat perkara yang soleh juga kerana orang yang rapat dengan kita, akan memberi kesan kepada kita. Itulah sebabnya penting kita berjaga-jaga dengan siapa kawan kita.
Keempat, berbuat baik kepada mereka yang rendah daripada kita. ‘Rendah’ dari segi umur, kedudukan, kekayaan, orang yang sakit dan sebagainya. Lawati mereka dan berbuat baik dengan mereka. Ini dapat melembutkan hati.
وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطٰنُ
dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka
Ini adalah sebab kedua kenapa manusia tidak merendahkan diri mereka. Perbuatan syirik itu syaitan bagi nampak elok sahaja kepada manusia. Sebab itulah masih ada lagi yang menyembah selain Allah ﷻ dan mereka tidak rasa bersalah pun.
Ini adalah salah satu daripada senjata talbis Iblis. Syaitan akan menampakkan amalan salah sebagai cantik sahaja pada pandangan orang yang jahil. Senjata ini dinamakan tazyeen.
Sebagai contoh, ada lagi kubur habib Noh yang masih dilawati dan dijadikan sembahan oleh puak syirik di negara kita. Masih lagi masyarakat kita buat maulid sambil berarak di jalanan. Nampak elok sahaja perbuatan itu pada mata mereka. Mereka sangka mereka buat sesuatu yang baik dalam agama. Mereka sangka mereka dapat banyak pahala dan mendekatkan diri dengan Allah ﷻ.
Syaitan jugalah yang memperelokkan perbuatan salat hajat ramai-ramai sampai buat di stadium sekarang. Begitu juga syaitan telah tipu mereka sampai mereka buat selawat dengan lafaz-lafaz yang mengandungi syirik beramai-ramai di stadium sekarang. Mereka kata itu majlis untuk ‘mencintai Allah dan Rasul’ tetapi mereka tidak sedar bahawa itu adalah majlis yang syirik.
Kita sudah menjadi bahan mainan syaitan sebenarnya. Syaitan boleh ubah pandangan kita. Dia boleh bagi kita nampak yang amalan kita adalah baik padahal ia adalah amat buruk. Oleh kerana kita nampak ia baik, maka kita tidak tinggalkan amalan salah itu. Syaitan juga boleh menampakkan kepada kita, amalan yang baik sebenarnya, tetapi dia menampakkannya sebagai buruk.
Yang penting adalah mendapatkan ilmu wahyu supaya kita sedar permainan syaitan ini. Kena bandingkan apa sahaja amalan dan fahaman dengan Al-Qur’an dan sunnah. Kalau kita rasa kita terkena bisikan syaitan ini, maka hendaklah kita berdoa memohon perlindungan Allah ﷻ.
مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
apa yang mereka telah lakukan.
Ada satu lagi cara syaitan menipu kita. Tentu kita sebagai manusia, ada juga perbuatan baik kita yang kita sudah buat, bukan? Takkan tiada langsung amalan baik kita. Antara yang syaitan buat adalah meninggikan dan mengembangkan perbuatan baik kita itu sampai kita rasa sudah hebat dengan apa yang kita telah lakukan. Kita rasa kita sebenarnya orang baik.
Padahal, untuk satu perkara baik yang kita buat, tetapi dalam masa yang sama terdapat sepuluh perkara syirik kita sudah amalkan. Namun syaitan bisikkan kepada kita untuk membesar-besarkan satu amalan baik kita itu sampai kita sudah tidak nampak entah berapa banyak salah kita.
Contohnya, kita ada sedekah sedikit sebanyak kepada rumah anak-anak yatim. Kita pun rasa kita sudah selamat. Sedangkan ada banyak lagi amalan salah yang kita tidak buat, banyak lagi kewajipan lain yang kita tidak lakukan. Tetapi syaitan bisikkan dan bagi kita kembang dengan amalan sedekah itu sampai kita rasa kita sudah selamat dan tidak hiraukan perkara-perkara lain.
An’am Ayat 44: Apa Allah ﷻ buat selepas itu?
فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ فَتَحنا عَلَيهِم أَبوٰبَ كُلِّ شَيءٍ حَتّىٰ إِذا فَرِحوا بِما أوتوا أَخَذنٰهُم بَغتَةً فَإِذا هُم مُّبلِسونَ
So when they forgot that by which they had been reminded, We opened to them the doors of every [good] thing until, when they rejoiced in that which they were given, We seized them suddenly, and they were [then] in despair.
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ
Kemudian apabila mereka berterusan melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya,
Iaitu walaupun ancaman yang diberikan kepada manusia, namun mereka masih buat tidak tahu sahaja. Antara peringatan itu adalah dengan diberikan bala dan musibah. Sepatutnya musibah itu mengingatkan manusia kepada Allah ﷻ dan merendahkan ego mereka, tetapi mereka tidak mahu berubah seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini.
Begitulah yang terjadi kepada kebanyakan manusia. Mereka tidak sedar yang Allah ﷻ telah beri amaran kepada mereka. Mereka anggap ia tidak penting. Mereka tidak memikirkan langsung tentang apa yang telah diperingatkan itu.
فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوٰبَ كُلِّ شَيْءٍ
Maka Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan,
Apabila diberikan bala, dan manusia buat tidak tahu sahaja, maka Allah ﷻ berikan langkah seterusnya – Allah ﷻ berikan kemewahan demi kemewahan. Allah ﷻ bukakan pula kesenangan dunia untuk mereka. Ini mungkin agak menghairankan, bukan? Nanti kita jelaskan sebentar lagi.
Berterusan mereka diberikan kebaikan di dunia. Lihatlah negara kita sekarang, senang sahaja negara kita. Ekonomi tengah bagus. Tiada peperangan atau kesusahan seperti negara lain. Allah ﷻ berikan banyak peluang untuk kehidupan yang baik.
Tujuannya adalah untuk melalaikan mereka. Allah ﷻ membuka pintu dunia dan menutup pintu akhirat sebagai perangkap untuk mereka.
Atau, ia bertujuan untuk memberi mereka peluang untuk bersyukur dengan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan. Jika dengan bala mereka tidak beringat, mungkin mereka beringat dengan nikmat pula.
حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا
sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka,
Iaitu hidup dalam kegembiraan sambil menikmati kemewahan hidup. Perkataan فَرِحُوا bermaksud mereka gembira, juga bermakna mereka berlagak dengan kebaikan dan kemewahan yang mereka dapat itu kerana senang dan mudah sahaja kehidupan mereka.
Tidaklah salah untuk menggunakan kenikmatan di atas dunia ini. Tidak salah, apatah lagi ia adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Memang Allah ﷻ ada berikan kesenangan kepada manusia di dunia ini sebagai contoh kesenangan yang lebih hebat di akhirat kelak. Kita kena lihat yang ia adalah sesuatu yang baik. Kita gunakan nikmat yang Allah ﷻ berikan di dunia, sambil kita mengingati yang kalau kita taat kepada-Nya, maka kita akan mendapat nikmat yang lebih hebat dan berpanjangan di akhirat kelak. Jika tidak ada langsung kesenangan di dunia, bagaimana kita hendak bayangkan kesenangan di akhirat, bukan?
Namun begitu, jika manusia lalai leka dengan kesenangan itu, maka mereka telah tertipu. Mereka telah terkena ‘istidraj’. Istidraj adalah kesenangan yang melalaikan manusia sampai mereka lupa hendak ingat kepada Allah ﷻ. Mereka sangka kesenangan itu baik bagi mereka, tetapi sebenarnya ia adalah buruk bagi mereka. Mereka sahaja tidak sedar yang mereka telah diperangkap.
Jadi jangan kita terpesona dan memandang tinggi orang hidup dengan senang lenang di dunia ini. Jangan kita anggap semua mereka itu sedang mendapat nikmat. Entah mereka sekarang sedang dibuai dengan istidraj Allah ﷻ. Mereka sedang menuju ke neraka sebenarnya.
أَخَذْنٰهُم بَغْتَةً
Kami timpakan mereka secara mengejut
Mereka akan ditimpakan dengan bala bencana yang membinasakan, secara tiba-tiba. Tiba-tiba Allah ﷻ berikan azab yang mengejutkan kerana waktu itu memang tengah bersenang lenang. Kejadian itu tiba-tiba sangat sampai tidak sempat untuk mengucap pun.
Bayangkan, waktu itu manusia itu tengah bersuka-ria, tengah bergembira dan tiba-tiba mereka diberikan bala yang besar. Kalau mari bala yang besar ini, maka akan rosak hancurlah mereka itu.
Sudah banyak dalam sejarah dunia kejadian begini berlaku dan ada yang disebut dalam Al-Qur’an seperti yang berlaku terhadap kaum Nabi Nuh, Aad dan Tsamud.
فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
maka mereka pun berputus asa.
Terus hancur berkecai negara jika Allah ﷻ turunkan bala sebegini. Pada waktu itu, sudah tidak nampak harapan untuk keluar daripada bala itu lagi. Mereka berputus asa kerana mereka tidak sangka langsung yang mereka akan dikenakan bala seteruk itu.
Sebagai contoh, ada orang yang sihat wal afiat, aktif bersukan dan bersenam, namun secara tiba-tiba sahaja dia telah diserang penyakit angin ahmar lalu hilang segala keupayaannya untuk bergerak. Tentu dia akan berputus asa dan terus dilanda kemurungan. Ini kerana dia tidak menyangka dia akan dikenakan dengan musibah itu. Selama ini dia sihat-sihat sahaja, tidak nampak akan terkena penyakit apa-apa.
Sepatutnya apabila ditimpa musibah sebegitu dia hendaklah kembali kepada Allah ﷻ, bukanlah terus berputus asa. Ini kerana sifat putus asa adalah sifat yang tidak baik. Ia merupakan sifat yang sudah hilang pengharapan kepada Allah ﷻ. Putus asa adalah sifat orang kafir. Jangan sesekali putus pengharapan kepada Allah ﷻ. Kena ingat Allah ﷻ sentiasa bersama (dalam senang dan dalam susah).
Allah ﷻ kenakan azab itu kerana manusia ingkar kepada-Nya. Kerana itulah kita amat menitikberatkan supaya ajaran tauhid ini disampaikan kepada semua orang. Tauhid amat penting sekali untuk keselamatan kita dunia dan akhirat. Takut-takut kalau azab Allah ﷻ ini turun ketika zaman kita.
Daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa Allah ﷻ memberikan bala secara berperingkat. Allah ﷻ tidak terus memberikan bala yang besar. Allah ﷻ akan berikan bala yang kecil terlebih dahulu supaya kita ada peluang untuk bertaubat dan membetulkan perbuatan kita. Secara permulaan, Allah ﷻ berikan bala kecil, kemudian kalau buat tidak endah, Allah ﷻ akan beri kesenangan pula. Kalau tidak endah juga, maka barulah Allah ﷻ beri bala besar sampai terduduk. Ini juga disebut dalam Sajdah:21.
وَلَنُذيقَنَّهُم مِّنَ العَذابِ الأَدنىٰ دونَ العَذابِ الأَكبَرِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.
Ayat ini mengingatkan kita bahawa kemewahan dan nikmat adalah satu ujian juga. Kalau kita dalam keadaan senang lenang, ingatlah bahawa itu adalah satu ujian juga kepada kita. Susah itu ujian, senang itu juga adalah ujian. Jangan kita suka sangat sampai kita lupakan Allah ﷻ.
Ingatlah bahawa ujian Allah ﷻ itu dalam bentuk kesusahan dan juga dalam bentuk kesenangan. Bagi orang yang beriman, dia akan ingat Allah ﷻ dalam susah dan senang. Jika ditimpa kesusahan, orang beriman tidak putus harap dengan Allah ﷻ. Selalunya orang mudah ingat kepada Allah ﷻ ketika berada dalam keadaan susah. Namun apabila dalam kesenangan agak susah untuk ingat kepada Allah ﷻ, bukan?
Ayat ini mengingatkan kita, kalau kita dalam keadaan senang lenang, ingatlah ada kemungkinan itu adalah dugaan sebelum Allah ﷻ menarik kesenangan itu dan mengenakan bala yang besar. Ingatlah dua sifat yang orang mukmin kena ada: takut dan harap. Inilah dua sifat yang kena ada sentiasa.
Namun begitu, janganlah kita sangka semua orang yang sedang dapat kebaikan bermaksud mereka telah melakukan kesalahan. Tidak semua orang begitu. Cuma, kita kena berhati-hati. Kita tidak tahu kita dalam keadaan yang mana.
Ayat ini juga mengingatkan kita jangan suka sangat dan berlagak apabila kita mendapat nikmat dan kemewahan. Sepatutnya, kita gunakan peluang itu untuk bersyukur kepada Allah ﷻ dan membantu orang lain sebanyak mungkin. Gunakan kelebihan dan nikmat yang diberikan untuk membuat lebih banyak kebaikan dan mengumpul pahala.
Selain itu juga, ayat ini mengingatkan kita bahawa bala Allah ﷻ boleh datang secara tiba-tiba. Entah-entah keluar sahaja dari rumah sekejap lagi boleh mati. Maka, hendaklah kita sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja.
An’am Ayat 45:
فَقُطِعَ دابِرُ القَومِ الَّذينَ ظَلَموا ۚ وَالحَمدُ ِلله رَبِّ العٰلَمينَ
So the people that committed wrong were eliminated. And praise to Allah , Lord of the worlds.
Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.
فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ
Lalu dibinasakan sehingga terputus keturunannya.
Perkataan قُطِعَ bermaksud ‘dipotong’. Perkataan دَابِرُ bermaksud ‘lengan’. Asalnya ia bermaksud ‘hujung’ sesuatu. Dalam ayat ini bermaksud mereka telah dimusnahkan.
Seumpama kita mencabut lalang. Jika kita hendak mematikan lalang itu, kita kena tarik sampai ke akarnya. Ini bermakna keturunan mereka yang diazab itu semuanya telah dimusnahkan sehingga tidak tinggal walau seorang pun. Anak cucu keturunan tidak ada langsung.
Siapakah mereka itu?
الَّذِينَ ظَلَمُوا
kaum yang zalim itu
Mereka dikenakan dengan kemusnahan itu kerana mereka telah melakukan kezaliman. Dan kezaliman yang paling besar adalah syirik. Contohnya kaum Nabi Nuh, Aad dan Tsamud semuanya tidak ditinggalkan langsung keturunan mereka kerana mereka semuanya telah dihancurkan. Ini adalah jenis kehancuran yang paling besar di dunia.
وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعٰلَمِينَ
“Segala puji bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.
Setelah Allah ﷻ menyebut yang Dia telah memusnahkan segala keturunan, Allah ﷻ terus memuji Diri-Nya. Ini adalah kerana Allah ﷻ musnahkan mereka itu bukannya kerana Allah ﷻ zalim dan suka-suka buat sahaja, tetapi Allah ﷻ melakukan begitu kerana kezaliman yang mereka telah lakukan. Allah ﷻ Maha Adil, kerana itulah Allah ﷻ memuji Diri-Nya.
Allah ﷻ juga dipuji kerana Allah ﷻ telah menghancurkan mereka yang zalim. Maknanya, kita kena puji Allah ﷻ bukan hanya kalau kita dapat sesuatu yang baik, tetapi kita juga kena puji Allah ﷻ kalau Allah ﷻ telah memusnahkan sesuatu yang buruk daripada kita. Sebagai contoh, kalau kita berjaya menyelesaikan hutang kita, kita juga mengucapkan alhamdulillah.
Segala puji juga bagi Allah ﷻ yang menangguhkan azab-Nya kepada kita supaya kita sempat lagi untuk berdakwah kepada manusia. Kerana rahmat Allah ﷻlah yang tidak memusnahkan masyarakat kita yang banyak membuat syirik sekarang. Kalau Allah ﷻ sudah musnahkan kita semuanya, bagaimana? Tentu kita tidak ada peluang untuk bertaubat lagi.
Walaupun Allah ﷻ musnahkan seluruh kaum, kehebatan Allah ﷻ langsung tidak berkurang. Allah ﷻ tidak memerlukan umat manusia pun. Allah ﷻ tidak ada masalah kalau Allah ﷻ musnahkan seluruh makhluk pun. Tidak langsung berkurangan kedudukan Allah ﷻ.
An’am Ayat 46: Ini adalah ayat jenis Dalil Aqli I’tirafi. Allah ﷻ mengiktiraf akidah orang Mekah. Ia mengandungi dalil yang orang Mekah pun terima juga bahawa Allah ﷻ itu maha berkuasa.
قُل أَرَءيتُم إِن أَخَذَ اللهُ سَمعَكُم وَأَبصٰرَكُم وَخَتَمَ عَلىٰ قُلوبِكُم مَّن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِهِ ۗ انظُر كَيفَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ ثُمَّ هُم يَصدِفونَ
Say, “Have you considered: if Allah should take away your hearing and your sight and set a seal upon your hearts, which deity other than Allah could bring them [back] to you?” Look how we diversify the verses; then they [still] turn away.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan Dia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?” Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling – ingkar.
قُلْ أَرَءيْتُمْ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu,
Tidakkah kamu melihat? Tidakkah kamu mahu memikirkan? Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ tanya mereka supaya mereka berfikir. Minta mereka gunakan sedikit akal yang masih berfungsi.
إِنْ أَخَذَ اللهُ سَمْعَكُمْ وَأَبْصٰرَكُمْ
jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu,
Bagaimana jik Allah ﷻ hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka. Allah ﷻ boleh sahaja hilangkan pancaindera kita. Contohnya kalau kita dapat kemalangan, boleh hilang penglihatan kita. Mata ada, namun tidak boleh melihat. Atau telinga ada, namun tidak mampu mendengar.
وَخَتَمَ عَلَىٰ قُلُوبِكُم
dan Dia pula memeteraikan atas hati kamu?
Iaitu bermaksud dikunci mati hati manusia sampai tidak langsung kenal Allah ﷻ. Langsung tidak boleh masuk kebenaran ke dalam hati sampai bila-bila. Tentu ini amat bahaya kerana itu tandanya Allah ﷻ sudah membuat keputusan untuk memasukkan orang itu ke dalam neraka. Hanya tunggu mati sahaja.
Tiga perkara ini dalam iktikad Musyrikin Mekah, memang Allah ﷻ berkuasa untuk melakukannya. Mereka pun tahu yang Allah ﷻ berkuasa. Ini kerana mereka kenal Allah ﷻ itu sebagai Tuhan.
مَّنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ اللهِ يَأْتِيكُم بِهِ
Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?”
Allah ﷻ suruh fikirkan: ‘Tuhan’ mana lagi yang boleh bawa kembali pendengaran, penglihatan atau hati kamu? Tentu tidak ada yang boleh kembalikan. Bagaimana dengan tuhan-tuhan sembahan manusia yang membuat syirik itu? Bolehkah mereka mengembalikan pancaindera dan keupayaan hati manusia itu? Tentu tidak boleh. Orang Mekah pun tahu dan menerima perkara ini.
Tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menyembuhkannya kembali. Nabi Isa عليه السلام yang boleh menyembuhkan orang yang buta itu pun bukanlah dia boleh menyembuhkan dengan kuasanya, melainkan dengan kuasa Allah ﷻ sahaja. Ini menunjukkan betapa kita sepenuhnya bergantung kepada Allah ﷻ untuk segala-galanya.
Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah ﷻ berkuasa mengawal segala-galanya tentang kita. Allah ﷻ boleh sahaja menghilangkan pancaindera kita. Jika kita tidak beriman dan tidak taat kepada suruhan Allah ﷻ, Allah ﷻ boleh sahaja melakukan semua itu. Ini adalah ayat yang diturunkan sebagai amaran. Oleh kerana Dia yang berikan kepada kita pancaindera itu, Dia boleh sahaja menariknya semula. Kalau Allah ﷻ sudah menariknya, maka tidak ada apa lagi yang mampu kita buat.
Ayat ini juga mengingatkan kita supaya bersyukur dengan apa yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Bayangkan kalau Allah ﷻ tidak beri salah satu pancaindera itu kepada kita? Alangkah susahnya hidup kita, bukan? Kalau kita bersyukur dan sedar yang Allah ﷻ telah berbudi dengan kita, sepatutnya kita kenalah taat kepada Allah ﷻ.
Bayangkan kalau kita duduk di sesuatu negara itu, kenalah kita ikut undang-undang negara itu bukan? Maka, apabila kita telah menerima rahmat daripada Allah ﷻ, duduk pula di alam yang Allah ﷻ ciptakan, tentunya kita kena taat kepada ketetapan dan hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan.
Ini juga mengingatkan kita kalau kita kehilangan mana-mana pancaindera itu, Allah ﷻ sahaja yang boleh mengembalikannya. Memang kalau kita sakit atau cedera, kita akan pergi jumpa doktor. Namun dalam masa yang sama, kita kena berdoa sungguh-sungguh kepada Allah ﷻ kerana kita tahu yang doktor itu tidak boleh berbuat apa-apa tanpa keizinan daripada Allah ﷻ.
انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ
Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan dalil
Berkali-kali Allah ﷻ telah memberikan dalil akan kekuasaan-Nya itu. Mereka tahu bahawa Allah ﷻ itu Tuhan, Maha Berkuasa, tetapi mereka tetap juga menyembah selain-Nya. Lihatlah betapa teruknya mereka itu.
Perkataan نُصَرِّفُ daripada kata dasar ص ر ف yang bermaksud ‘ambil sesuatu dan mempersembahkannya dalam bentuk yang lain’. Ayat-ayat Al-Qur’an memberi peringatan kepada manusia dalam berbagai-bagai cara.
Selalu ayat Qur’an memperkatakan perkara yang sama tetapi dalam cara yang berlainan. Diulang-ulang peringatan yang sama untuk meneguhkan hati kita. Supaya iman kita makin mantap. Supaya iman bertambah dan ilmu kita juga bertambah kerana diulang perkara yang sama.
Ayat ini menegaskan kepada kita bahawa mengulang-ngulang ayat-ayat Al-Qur’an untuk topik yang sama tetapi dalam berbagai cara. Lalu apa lagi alasan manusia untuk kata mereka tidak faham atau tidak jumpa peringatan daripada Allah ﷻ? Sudah terlalu banyak peringatan yang diberi dan dalam berbagai cara.
‘Ayat’ yang dimaksudkan boleh jadi dalam dua bentuk. Sama ada ayat ‘syar’i’, iaitu ayat-ayat daripada Al-Qur’an dan hadith; dan ayat ‘kawni’, iaitu tanda-tanda dalam alam ini. Tanda-tanda alam ini berulang-ulang akan dibawakan. Sebagai contoh, hari ini bulan dan matahari keluar dan hilang, begitu juga esoknya. Kita sebenarnya boleh juga mengambil banyak pengajaran daripada tanda-tanda dalam alam ini.
Allah ﷻ beri pelbagai cara dan tanda kerana manusia belajar berlainan cara. Ada yang begini dan ada yang begitu. Ada orang yang faham kalau dipersembahkan ayat dalam bentuk amaran dan ada yang lebih terkesan dengan ayat yang berbentuk motivasi. Maka, Allah ﷻ telah berikan semua cara-cara itu.
ثُمَّ هُمْ يَصْدِفُونَ
Kemudian, mereka tetap juga berpaling.
Mereka tetap juga berpaling daripada kebenaran. Mereka masih lagi seru selain Allah ﷻ.
Begitulah juga dengan orang kita yang jauh daripada wahyu. Mereka buat tidak tahu sahaja dengan peringatan daripada Al-Qur’an yang diberikan kepada mereka. Walaupun telah diterangkan, masih lagi mengamalkan syirik. Seperti guru yang masih menjadi tukang baca doa kepada manusia dan mengambil upah daripada mereka dalam ibadat doa yang dilakukan.
Masih lagi mahu menjadi imam salat hajat. Masih lagi mahu membuat tahlil, baca talqin dan sebagainya. Masih lagi mereka mengajar manusia untuk melakukan tawasul yang syirik di sisi Allah ﷻ.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 November 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Maariful Qur’an