Tafsir Surah al-An’am Ayat 49 – 52 (Nabi tidak ada ilmu ghaib)

Ayat 49: Ayat Takhwif. Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang beriman dan beramal soleh. Ini pula adalah mereka yang berlawanan dengan sifat yang baik itu.

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا يَمَسُّهُمُ العَذابُ بِما كانوا يَفسُقونَ

Sahih International

But those who deny Our verses – the punishment will touch them for their defiant disobedience.

Malay

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik.

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,

Berdusta itu bermaksud mereka menolak. Ada kalangan orang Islam kita, apabila dibacakan ayat-ayat Qur’an sebagai hujah dan dalil, mereka akan kata: “Betul dah ayat Qur’an yang kamu baca itu, tapi…..”. Apabila ada perkataan ‘tapi’, dan mereka beri dalil-dalil selain dari dalil Qur’an dan Hadis, maka itu bermaksud mereka sebenarnya menolak ayat Qur’an yang dibacakan.

يَمَسُّهُمُ الْعَذَابُ

mereka akan dikenakan azab seksa

Kalimah يَمَسُّهُمُ bermaksud mereka akan ‘disentuh’ dengan azab. Perkataan مَسُّ digunakan dalam ayat ini kerana ini adalah azab yang sedikit yang dikenakan semasa di dunia. Sebab itu digunakan perkataan ‘sentuh’ sahaja.

Macam kalau kita kena ‘sentuh’ dengan kereta yang sedang bergerak, tidaklah teruk sangat. Tapi kalau dah dilanggar berhadapan, tentu kita akan teruk cedera atau mati. Jadi, mereka dikenakan azab yang sedikit sahaja di dunia. Azab di akhirat adalah azab yang jenis lain dan lebih teruk lagi.

Di dunia lagi mereka boleh dikenakan dengan azab kerana penderhakaan mereka. Dalam ayat sebelum ini, Allah ada berfirman bahawa Dia boleh sahaja untuk memusnah seluruh kaum dan keturunannya sekali. Walaupun Allah musnah seluruh kaum, itupun masih dikira sikit lagi. Kerana azab di akhirat tidak dapat dibayangkan.

بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

dengan sebab mereka berlaku fasik.

Azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka telah melakukan fasik. ‘Fasik’ itu bermaksud mereka telah melampaui batas. Perkataan فسق bermaksud telah keluar dari sempadan. Telah tidak taat. Sentiasa tidak taat. Allah telah tetapkan hukum, mana yang boleh dibuat dan mana yang tidak, tapi mereka telah melepasi sempadan yang telah ditetapkan Allah itu.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa dengan sebab kefasikan yang kita lakukan, kita boleh mendapat azab. Oleh itu, dalam setiap perbuatan kita, hendaklah kita berhati-hati. Kenalah kita fikirkan samada ianya dibenarkan oleh Allah atau tidak.


Ayat 50: Soalan musyrikin Mekah yang lain adalah kerana tidak diberikan kekayaan kepada Rasulullah? Bukankah Allah Maha Kaya? Ini adalah salah satu sebab mereka tidak boleh terima baginda sebagai Rasul. Maka Allah jawap dalam ayat ini.

Ayat ini juga adalah dalil tidak boleh minta berkat dengan Nabi. Nabi tidak ada kuasa untuk memberi berkat kepada kita. Kalau Nabi sendiri tidak boleh beri berkat, apatah lagi manusia?

قُل لّا أَقولُ لَكُم عِندي خَزائِنُ اللهِ وَلا أَعلَمُ الغَيبَ وَلا أَقولُ لَكُم إِنّي مَلَكٌ ۖ إِن أَتَّبِعُ إِلّا ما يوحىٰ إِلَيَّ ۚ قُل هَل يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ ۚ أَفَلا تَتَفَكَّرونَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “I do not tell you that I have the depositories [containing the provision] of Allah or that I know the unseen, nor do I tell you that I am an angel. I only follow what is revealed to me.” Say, “Is the blind equivalent to the seeing? Then will you not give thought?”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”

قُل

Katakanlah (wahai Muhammad);

Dalam ayat ini, Allah mengarahkan Nabi Muhammad untuk memberi tahu kepada manusia. Tapi bukankah tugas Nabi itu adalah untuk memberitahu kepada manusia tentang semua hal agama? Jadi kenapa disuruh memberitahu lagi dalam ayat ini?

Ini menunjukkan apa yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah amat penting sekali. Sampaikan Nabi Muhammad dengan spesifik disuruh memberitahu kepada manusia. Oleh itu, hendaklah kita mengambil perhatian dengan apakah yang hendak disampaikan.

Ada tiga perkara yang perlu disampaikan oleh Nabi.

لَّا أَقُولُ لَكُمْ

“Aku tidak mengatakan kepada kamu

Nabi disuruh untuk menidakkan pemahaman manusia tentang dirinya. Supaya jelas siapakah Nabi Muhammad itu. Ini penting kerana banyak salah faham dalam masyarakat sekarang yang merasakan Nabi Muhammad itu bukan manusia biasa.

Mereka yang berkata demikian itu tidak boleh bawa dalil, tapi hanya sangkaan-sangkaan manusia sahaja. Mereka sebenarnya menolak dalil ayat Qur’an ini.

عِندِي خَزَائِنُ اللهِ

perbendaharaan Allah ada di sisiku,

Nabi kena mengaku sendiri. Nabi disuruh untuk mengatakan bahawa baginda tidak mempunyai perbendaharaan Allah untuk diberikan kandungan perbendahaan itu sikit pun kepada manusia. Perbendaharaan itu bolehlah diandaikan sebagai satu tempat yang diletakkan rezeki di dalamnya.

Nabi tidak ada perbendaharaan itu, Nabi juga tidak ada kunci kepada perbendaharaan itu. Baginda sama juga macam manusia biasa yang lain. Bukan tugas Nabi untuk memberi rezeki kepada manusia. Bahkan Nabi juga memerlukan rezeki daripada Allah.

Sebab itu, kita pun ada dengar kisah bagaimana dapur Nabi berbulan-bulan tidak berasap. Baginda pun ada masanya kena mengikat perut kerana kelaparan. Kalau baginda ada pintu rezeki, tentulah Nabi tidak ada masalah kelaparan dan sebagainya. Jadi janganlah hairan kalau seorang nabi itu tidak mempunyai harta. Maka, kalau ada yang minta rezeki kepada Nabi, itu adalah perbuatan yang salah sama sekali.

Jadi kalau kita perlukan sesuatu bukan kita minta kepada Nabi kerana Nabi juga mengharap kepada Allah. Kalau semasa Nabi hidup, boleh lagi untuk para sahabat meminta kepada Nabi. Dan memang Nabi adalah seorang yang pemurah dan baginda akan beri selagimana baginda boleh memberi.

Dan memang ada kisah bagaimana sahabat nampak baju yang dipakai Nabi cantik, maka dia telah meminta baju itu dari Nabi. Nabi terus sahaja beri baju itu kepada sahabat itu. Tetapi apabila Nabi telah mati, Nabi tidak langsung boleh memberi apa-apa lagi kerana baginda telah wafat. Bukanlah baginda boleh memberi rezeki kepada sesiapa pun. Maka syirik lah sesiapa yang meminta pertolongan kepada Nabi apabila baginda telah wafat.

وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ

dan aku tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib;

Nabi disuruh memberitahu kepada kita dengan jelas bahawa baginda tidak tahu hal-hal ghaib. Kalau nabi seorang manusia yang paling mulia pun tidak tahu tentang perkara ghaib,  lalu bagaimana dengan manusia biasa yang lebih rendah kedudukannya daripada Nabi?

Tentulah mereka tidak tahu. Maka jangan kita bertanya tentang perkara ghaib daripada manusia. Kalau mereka kata mereka tahu perkara ghaib, maka itu adalah perkara yang amat salah.

Sebagai contoh, ramai masyarakat kita kalau hilang barang, atau duit kena curi, mereka akan jumpa bomoh, jumpa ustaz (kerana sekarang bomoh pakai nama ustaz) untuk minta tolong tengokkan siapa yang curi duit itu atau di mana barangnya yang hilang itu.

Tentunya mereka tidak tahu kerana mereka tidak tahu hal ghaib. Tapi kadang-kadang mereka dapat tahu di mana benda itu kerana apa? Kerana mereka tanya kepada jin! Jin boleh tengok benda itu di mana kerana mata mereka boleh melihat lebih dari manusia. Maknanya, mereka-mereka yang kononnya boleh tahu lebih dari manusia biasa itu adalah kerana mereka dapat pertolongan dari makhluk lain, iaitu jin.

Malangnya, ada Ulama Su’ (Ulama Jahat) yang kata, dalam ayat ini Nabi disuruh untuk beritahu yang baginda tidak tahu atas dasar tawadhu’ (merendah diri) sedangkan baginda sebenarnya tahu. Ini adalah pemahaman yang salah. Seolah-olah Allah mengajar Nabi menipu pula.

Apakah yang dimaksudkan dengan ghaib?:
1, Berita masa depan; apa yang akan berlaku esok, lusa dan sebagainya. Kita memang tidak tahu langsung. Kita hanya boleh agak sahaja.

2. Cerita yang dah lepas. Jangan kata yang masa hadapan, yang telah lepas pun kita tidak tahu dengan pasti. Kalau kita tahu pun sesuatu yang berlaku dahulu, itu bukanlah tepat betul-betul berlaku.

3. Perkara ghaib alam roh, alam malaikat, syurga, neraka dan sebagainya;  Hanya Allah taala sahaja yang tahu dan boleh beritahu. Kalau perkara-perkara seperti syurga dan neraka itu, kita kena ada dalil baru kita boleh terima.

Kita hanya dapat tahu hal-hal ghaib itu daripada Nabi kerana maklumat itu disampaikan kepada Nabi dan Nabi sampaikan kepada kita. Dan Nabi dah tiada sekarang. Jadi, kita tidak ada maklumat tambahan berkenaan perkara ghaib melainkan apa yang telah diberitahu kepada kita.

Antara perkara ghaib adalah jin. Jin itu ghaib dari pandangan mata kita. Kita memang tidak boleh nampak dengan mata kasar kita dalam keadaan biasa. Maka kalau ada kata boleh nampak, itu ada masalah. Jin ni boleh nampak kalau dia tunjukkan dirinya kepada manusia.

Jadi kalau orang yang kata dia ada kebolehan scan jin, maknanya dia ada masalah tauhid. Dia boleh rasa kehadiran jin kerana dia telah lama berkawan dengan jin. Samada dia sedar atau tidak. Dia telah lama mengamalkan tawasul sampai jin telah berkawan dengannya. Itulah orang yang kita selalu dengar dikacau oleh hantu.

Atau orang yang dipanggil masyarakat untuk mengubati orang yang dirasuk jin, kena tegur dengan jin, buang jin dan sebagainya. Mereka sangka itu adalah kelebihan yang ada pada mereka, tapi sebenarnya tidak. Mereka tidak tahu yang mereka dapat kelebihan itu kerana amal-amal salah yang mereka telah lakukan.

Kita selalu dengar bagaimana ramai sekali yang diganggu jin, hantu dan sebagainya. Sampai meracau dan sebagainya. Ini adalah satu masalah yang dihadapi oleh ramai dari kalangan masyarakat kita. Ketahuilah, kalau sudah belajar tauhid dan Sunnah, jin dah tak boleh datang dan kacau kita dah. Mereka yang boleh diganggu adalah mereka yang ada masalah tauhid.

Maka kalau ada kata boleh sakitkan hantu dan jin dengan kacang hijau lah, garam lah dan sebagainya, itu adalah mengarut kerana jin kita tak boleh nampak. Jadi macam mana kita boleh tahu yang jin-jin itu boleh sakit? Begitu juga kalau ada kononnya yang boleh tarik jin keluar dari badan pesakit – bagaimana mereka tahu yang jin itu telah keluar?

Oleh itu, kita jangan kata yang ada manusia yang tahu perkara ghaib. Kalau kita percaya ada manusia yang tahu ilmu ghaib pun sudah dikira syirik.

Kita selalu dengar bagaimana Nabi ada juga tahu perkara ghaib, bukan? Tapi hendaklah kita ingat bahawa Nabi hanya tahu perkara ghaib dari apa yang telah diberitahu kepada baginda oleh Allah. Bukannya Nabi tahu sendiri. Selalunya pemberitahuan itu melalui Jibrail.

Sebab itu kadang-kadang kita jumpa hadis yang menceritakan bagaimana Nabi ada memberi tahu tentang perkara ghaib, apa yang akan terjadi di masa hadapan dan sebagainya. Itu bukan bermakna yang Nabi tahu perkara itu sendiri tapi Nabi telah diberitahu oleh Allah tentang sesuatu perkara itu dan Nabi hanya menyampaikan saja.

Ini kena faham kerana ramai manusia yang keliru tentang perkara ini. Mereka sangka dengan Nabi memberitahu tentang apa yang terjadi tentang masa hadapan dan sebagainya, mereka sangka Nabi tahu perkara ghaib. Dan kerana itu mereka kata Nabi itu bukan manusia biasa. Sampaikan ada ajaran tarekat yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad itu adalah jelmaan Allah.

وَلَا أَقُولُ لَكُمْ

aku juga tidak mengatakan kepada kamu

Ini adalah perkara ketiga yang Nabi disuruh tidakkan. Kerana ada salah faham di kalangan manusia tentang perkara ini.

إِنِّي مَلَكٌ

bahawasanya aku ini malaikat,

Nabi Muhammad disuruh memberitahu yang baginda tidak mempunyai sifat-sifat malaikat. Nabi adalah bersifat manusia. Kerana musyrikin Mekah mahu supaya kalau ada Rasul pun, patutnya malaikatlah yang datang beritahu kepada mereka. Maka Allah jawap kekeliruan mereka dengan ayat ini.

Tidak sama dengan malaikat kerana mereka mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Mereka boleh terbang, mereka boleh naik ke langit, mereka boleh nampak perkara-perkara yang lebih dari kita dan berbagai-bagai lagi beza dengan kita sebagai manusia.

Mereka mempunyai sifat-sifat istimewa diberikan oleh Allah. Dalam ayat ini, Nabi Muhammad disuruh memberitahu kepada manusia bahawa baginda adalah seorang manusia dan hanya mempunyai sifat-sifat manusia sahaja.

Sifat Nabi Muhammad adalah sama dengan sifat manusia yang lain. Nabi ada nafsu, malaikat tidak ada nafsu. Kalau manusia ada sifat pelupa, Nabi juga ada sifat lupa, kalau manusia ada sifat lapar, Nabi juga lapar dan macam-macam lagi sifat manusia yang ada pada Nabi.

Musyrikin Mekah mengejek Nabi Muhammad kerana nabi sama sahaja macam manusia lain. Pada mereka, apa bezanya dan apa hebatnya kalau baginda sama sahaja dengan manusia yang lain? Tapi begitulah yang Allah telah tetapkan.

Ada sebab kenapa Allah hendak jadikan rasul itu dari kalangan manusia. Kerana kalau Nabi dan Rasul itu bukan macam manusia biasa, maka tentulah ada alasan bagi manusia untuk tidak ikut mereka. Kerana mereka akan kata, tidak sama dugaan mereka dan Nabi dan para Rasul. Sebagai contoh, mereka akan kata mereka ada dugaan lapar, tapi Nabi tidak ada masalah itu.

Mereka akan kata bolehlah kalau Nabi tidak berzina kerana Nabi tidak ada nafsu. Dan banyak lagi sebab-sebab yang boleh dijadikan alasan oleh mereka. Tapi apabila Nabi sama sahaja dengan manusia lain, mereka boleh dijadikan contoh tauladan yang boleh diikuti.

Jadi, dalam ayat ini, Allah suruh Nabi kata kepada umat bahawa baginda memang sama macam manusia lain.

إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ

aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”.

Ini adalah perkara ketiga yang perlu disampaikan oleh Nabi. Nabi ikut wahyu maka pengikut Nabi kena ikut wahyu lah juga. Maka kenalah belajar tafsir Qur’an.

Beza Nabi dan kita adalah Nabi menerima wahyu terus dari Allah. Dan Nabi disuruh memberitahu dalam ayat ini bahawa baginda hanya mengikut apa sahaja yang diwahyukan kepada baginda. Tidak boleh untuk mereka-reka benda yang baru dalam agama, kerana agama Islam itu telah lengkap. Oleh itu jangan kita mengikut perkara-perkara bidaah yang diamalkan oleh manusia-manusia yang tidak berilmu.

Ini adalah dalil kepada kita untuk ikut Qur’an dan hadis sahaja. Kerana Nabi Muhammad pun disuruh cakap begitu. Kalau pendapat guru kita pun kita tak pakai kalau berlawanan dengan ayat Qur’an dan hadis Nabi. Kalau ada yang pakai pendapat guru dan tolak ayat Qur’an, itu adalah kufur. Tapi berapa banyak dari kalangan kita yang senang sahaja bertaqlid kepada pendapat guru mereka.

Mereka tidak belajar pun tafsir Qur’an dan Hadis Nabi, dan kerana itu mereka tidak tahu bahawa pendapat guru mereka itu bersalahan dengan Qur’an dan Hadis.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ

Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik?

Sebelum ini asyik disebut ‘adakah kamu lihat?’. Sekarang baru disebut bahawa mereka itu sebenarnya ‘buta’, tidak dapat melihat. Mata mereka nampak, tapi mereka tidak boleh melihat kebenaran walaupun di hadapan mata mereka.

Adakah sama orang yang tahu tentang ilmu Qur’an dan hadis kalau dibandingkan dengan mereka yang tak tahu? Tentulah tidak sama.

Tahu Qur’an itu bermaksud tahu tafsir Qur’an. Bukan setakat tahu membaca sahaja. Kena tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah dalam Qur’an itu. Jangan kita jadi macam orang Yahudi. Mereka itu terima Kitab Taurat.

Dan mereka mengaku yang Taurat itu dari Allah. Tapi dalam kehidupan beragama, mereka tidak pakai kitab Taurat. Sebaliknya mereka memakai kitab karangan manusia. Sama sahaja dengan masyarakat kita. Masyarakat kita terima yang Qur’an itu dari Allah.

Tapi mereka tak pakai pun kitab Qur’an kerana mereka tak belajar pun tafsir Qur’an. Yang mereka pakai adalah kitab karangan manusia. Kitab karangan manusia berkarung-karung mereka baca, tapi tafsir Qur’an belum belajar lagi pun.

أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Tidakkah kamu mahu berfikir?”

Tidakkah manusia mahu memikirkan betapa banyak kesalahan yang mereka telah lakukan tanpa mereka sedari?

Habis Ruku’ 5 dari 20 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 51: Takhwif Ukhrawi.

وَأَنذِر بِهِ الَّذينَ يَخافونَ أَن يُحشَروا إِلىٰ رَبِّهِم ۙ لَيسَ لَهُم مِّن دونِهِ وَلِيٌّ وَلا شَفيعٌ لَّعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

And warn by the Qur’an those who fear that they will be gathered before their Lord – for them besides Him will be no protector and no intercessor – that they might become righteous.

Malay

Dan berilah amaran dengan Al-Qur’an itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa.

وَأَنذِرْ بِهِ

Dan berilah amaran dengan Al-Qur’an itu

Ayat yang menunjukkan bahawa kita perlu memberi peringatan kepada manusia dengan menggunakan Qur’an. Inilah metod dakwah yang paling utama. Kerana ianya bukan kalam manusia tapi kalam Allah.

Malangnya ramai manusia yang mereka-reka perkara dalam agama untuk memberi peringatan kepada manusia. Sebagai contoh, apabila mereka mengajar manusia supaya tidak membazir makanan, mereka akan kata bahawa makanan itu kalau dibazirkan akan menangis.

Tujuannya baik tapi caranya salah. Kerana kalau mereka hendak melarang manusia dari melakukan pembaziran, telah ada hujahnya dalam Qur’an. Tapi, mereka mahu juga memakai peringatan dengan cara yang lain.

Sama juga dengan mereka yang menggunakan qasidah dan nasyid untuk memberi dakwah kepada manusia. Itu juga cara yang salah. Tidak pernah Nabi menggunakan nyanyian dalam dakwah baginda. Yang pakai nyanyian dalam dakwah mereka adalah Kristian.

Oleh kerana sudah ramai tidak datang gereja, maka ketua agama mereka rasa untuk menarik minat manusia, mereka kena berikan hiburan di gereja. Sekarang persoalannya, adakah kita hendak ikut cara Islam, atau kita hendak ikut cara agama lain?

الَّذِينَ يَخَافُونَ

kepada orang-orang yang merasa takut

Kepada siapakah yang perlu diingatkan? Kepada orang-orang yang takut kepada Allah. Itulah orang-orang yang telah beriman.

Tapi, kalau mereka telah beriman, kenapa perlu mereka diberi peringatan? Kerana peringatan itu akan memberi kebaikan kepada mereka. Kerana orang-orang yang takut lah yang akan mendapat peringatan ini.

Peringatan Qur’an diberikan kepada semua. Tapi yang mengambil peringatan adalah mereka yang takut kepada Allah sahaja. Yang tidak takut, mereka akan buat tak tahu sahaja apabila ayat-ayat ancaman diberikan kepada mereka. Kalau mereka tidak ada rasa takut untuk berdiri di hadapan Allah, mereka akan buat tak kisah sahaja kepada peringatan yang diberikan dalam Qur’an.

أَن يُحْشَرُوا إِلَىٰ رَبِّهِمْ

bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat),

Apakah yang mereka takutkan? Iaitu mereka akan bertemu dengan Allah dan mereka akan dihisab. Kerana mereka tahu bahawa keadaan itu adalah keadaan yang amat payah. Mereka tahu kerana mereka telah belajar tafsir Qur’an dan hadis-hadis yang menceritakan keadaan di Mahsyar kelak.

Dan mereka tidak pasti samada mereka akan selamat atau tidak. Mereka sentiasa rasa mereka ada kekurangan dari amalan mereka. Mereka yang sebegini lah yang akan ikut ajaran Qur’an.

Kepada mereka yang tidak belajar, mereka ingat perhimpunan di Mahsyar itu biasa-biasa sahaja. Tak takut langsung. Macam kita, kalau kita tidak tahu seseorang itu garang, tentulah kita tidak takut nak berjumpa dengan dia. Kerana kita tidak ada pengetahuan tentang orang itu, bukan?

Tapi kepada mereka yang sudah tahu kegarangannya, mereka akan takut, kerana mereka telah kenal dia. Begitu jugalah kita yang telah belajar tafsir Qur’an ini – kita telah tahu bahawa perhimpuan di Mahsyar itu adalah perkara yang menyeksakan sekali.

لَيْسَ لَهُم مِّن دُونِهِ وَلِيٌّ

tiadalah bagi mereka pelindung yang lain dari Allah,

Apa yang boleh diingatkan kepada manusia? Iaitu di akhirat nanti, tidak ada penolong selain Allah. Pada hari akhirat tidak ada sesiapa pun yang boleh menolong sesiapa pun. Jadi, ayat ini mengingatkan kita untuk berharap pertolongan kepada Allah. Untuk mendapatkan pertolongan dari Allah, maka hendaklah kita mengikut suruhanNya.

وَلَا شَفِيعٌ

dan tidak juga pemberi syafaat

Ingatlah bahawa pada hari akhirat nanti, tidak  ada sesiapa pun yang boleh memberikan syafa’at ataupun memberi pertolongan kepada sesiapa pun. Oleh itu janganlah mengharap kepada sesiapa melainkan kepada Allah sahaja.

Ramai yang salah faham tentang syafaat ini. Ramai yang minta syafaat kepada Nabi Muhammad, padahal tidak boleh minta syafaat dengan Nabi. Walaupun ada hadis yang mengatakan Nabi akan beri syafaat di akhirat kelak. Memang Nabi ‘pemberi Syafaat’ tapi jangan salah faham.

Begini untuk faham: Memang Nabi akan beri syafaat. Tapi bukan baginda yang ‘menentukan’ siapa yang boleh dapat syafaat. Nabi Muhammad ‘tukang sampaikan’ sahaja. Macam kalau pelajar universiti hanya akan dapat sijil graduan kalau dia sudah melepasi ujian-ujian yang ditetapkan di universiti itu.

Memang semasa Hari Graduasi, chancellor yang akan sampaikan skrol itu. Tapi bukanlah beliau yang menentukan siapakah yang akan dapat skrol itu. Yang menentukan seseorang pelajar itu layak dapat ijazah itu adalah bahagian lain yang bertanggungjawab menentukan berdasarkan dari keperluan yang telah dipenuhi oleh pelajar itu.

لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

supaya mereka bertaqwa.

Inilah tujuan manusia diingatkan dengan Qur’an – supaya manusia menjadi orang yang bertaqwa. Mereka yang mengambil peringatan akan mendapat Taqwa. Taqwa adalah meninggalkan dosa samada kecil atau besar. Mereka tidak merendahkan dosa-dosa kecil. Kerana mereka sedar bahawa dosa kecil yang banyak akan membawa kepada dosa besar akhirnya.

Dan mereka itu ibarat mereka yang berjalan di jalan yang penuh berduri. Apa yang akan dilakukan kalau jalan penuh berduri? Tentunya mereka akan berhati-hati supaya tidak kena duri itu. Oleh itu, kita kena hidup dalam dunia dengan penuh berhati-hati. Setiap perbuatan kita, kita kena fikirkan samada ianya dibenarkan oleh Allah atau tidak. Untuk tahu samada ianya dibolehkan atau tidak, kenalah seseorang itu berilmu.


Ayat 52: Zajrun (teguran dari Allah). Nabi pernah ditegur oleh pemuka Quraish yang rasa diri mereka bangsawan. Jadi mereka tidak mahu duduk sekali dengan para sahabat yang miskin. Mereka mahu Nabi asingkan mereka. Maka Allah tegur mereka. Jangan layan orang kafir dengan beri keistimewaan kepada mereka untuk belajar wahyu. Allah mahu manusia sama rata. Jangan ajar kasta dalam masyarakat.

وَلا تَطرُدِ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ ما عَلَيكَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَما مِن حِسابِكَ عَلَيهِم مِّن شَيءٍ فَتَطرُدَهُم فَتَكونَ مِنَ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And do not send away those who call upon their Lord morning and afternoon, seeking His countenance. Not upon you is anything of their account and not upon them is anything of your account. So were you to send them away, you would [then] be of the wrongdoers.

Malay

Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.

وَلَا تَطْرُدِ

Dan janganlah engkau usir

Nabi disuruh dalam ayat ini supaya jangan buat tak kisah kepada para sahabat-sahabat baginda. Jangan usir mereka dari sisi baginda. Perkataan تَطْرُدِ dari perkataan ط ر د yang bermaksud ‘membuang sesuatu yang kita rasa tak baik, hina dan tak elok.’

Mereka yang mula menerima Islam adalah mereka yang miskin dan lemah dalam masyarakat. Nabi berharap supaya ada kalangan mereka yang kaya dan berperangaruh dalam kalangan bangsa Arab yang akan masuk Islam dan akan menguatkan islam.

Tapi mereka-mereka itu sangat sombong sampaikan mereka tidak mahu duduk bersama dengan Nabi kalau ada mereka yang lemah itu. Mereka minta Nabi halau dulu sahabat-sahabat yang telah beriman itu. Tapi Allah melarang Nabi, jangan halau dan tinggalkan mereka. Tapi jadikan mereka sebagai sahabat.

الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم

orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka

Maksudnya mereka sentiasa berdoa. Mereka meminta kepada Allah dalam segala keperluan mereka. Dan juga mereka banyak melakukan ibadat kerana doa itu adalah ibadah.

Ayat ini mengajar kita tentang kepentingan berada bersama orang-orang yang soleh. Allah menyuruh kita berkawan dengan orang yang baik-baik. Banyak kebaikan kalau kita berkawan dengan orang-orang yang baik.

Ianya juga adalah larangan untuk menghalau mereka yang soleh dan benar-benar hendak belajar agama.

بِالْغَدَوٰةِ وَالْعَشِيِّ

pagi dan petang,

Mereka beribadat siang dan malam. Mereka sentiasa ingat kepada Allah. Hidup mereka sentiasa hubungkan diri dengan Allah. Maka jangan usir mereka.

Ini adalah satu konsep yang penting. Kita kena ingat bahawa dalam Mekah pada waktu itu, ada banyak jenis manusia. Ada yang elit, ada kelas hamba, ada pendatang dan sebagainya. Yang mula menerima Islam adalah yang susah dan lemah. Nabi mengharapkan ada muslim yang kuat dan berkuasa. Baginda ada juga berdakwah kepada yang kuat.

Itu adalah perbuatan yang baik juga, kerana kalau yang berkuasa masuk Islam, pengikut mereka pun akan masuk Islam juga. Tapi dalam masa yang sama, Allah mengingatkan Nabi supaya jangan lupa kepada mereka yang lemah dan yang beribadat siang dan malam.

Walaupun mendapatkan sokongan yang kuat adalah strategi yang bagus, tapi jangan lupa kepada yang lemah. Mereka itu beriman dan beribadat. Tidak kira mereka itu dari golongan mana pun. Mereka itu lebih penting. Mereka lebih tinggi kedudukan mereka. Kerana kedudukan di sisi Allah bukanlah berapa banyak harta dan berapa banyak pengikut kamu, tapi betapa tingginya taqwa kamu.

يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

mereka menghendaki WajahNya semata-mata.

Kenapa mereka berdoa dan beribadat siang dan malam? Mereka mencari wajah Allah. ‘Cari wajah Allah’ bermaksud ‘mencari redha Allah’. Mereka ikhlas dala ibadah mereka.

Juga bermaksud mereka hendak melihat wajah Allah di akhirat kelak. Kerana mereka yang beriman akan dapat melihat wajah Allah nanti di akhirat kelak.

Ada persamaan ayat ini dengan ayat Kahf:28.

مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka,

Kepada yang selain dari mereka yang beribadat itu, kamu tidak bertanggungjawab ke atas amalan dan pahala mereka. Mereka itulah orang musyrik. Kamu, wahai Muhammad tidak akan dipersalahkan kalau mereka tidak beriman.

Saad abi Waqas meriwayatkan hadis bahawa kejadian ini berlaku semasa beliau bersama Nabi dan lima orang sahabat yang lain. Musyrik Mekah datang dan berkata kepada Nabi, kalau Nabi hendak mereka bersama Nabi, maka hendaklah Nabi menghalau sahabat-sahabat yang sedang berada bersama Nabi itu. Kerana musyrikin Mekah memandang rendah sahabat-sahabat Nabi itu kerana mereka itu berkedudukan tinggi dan rasa tak layak duduk bersama orang-orang yang miskin dan hina itu.

Terdetik di hati Nabi yang mungkin baginda boleh menyuruh sahabat-sahabatnya itu untuk pergi supaya baginda boleh berdakwah kepada pemuka-pemuka Quraish itu. Bukan lama pun, sekejap sahaja. Mungkin itu memberi peluang untuk mereka mendengar baginda dan kalau mereka masuk Islam, maka ramailah nanti orang musyrik yang masuk Islam. Niat baginda adalah baik. Baginda hendak lebih ramai masuk Islam.

Nabi diingatkan bahawa apa yang baginda rasa itu adalah salah. Mereka itu rasa sombong sampai tidak mahu duduk bersama manusia yang mereka pandang hina. Maka, kalau mereka tidak mahu beriman, Nabi tidak akan dipersalahkan. Bukan salah Nabi mereka tidak mahu beriman. Jangan rasa bersalah kalau mereka tidak beriman. Setiap orang bertanggungjawab untuk dirinya sendiri.

Ayat ini mengajar kita, bahawa mereka yang meletakkan syarat untuk beriman, tidak akan beriman. Sebagai contoh, kalau ada yang kata kalau mereka sudah berjaya dapat satu projek, mereka akan mula masuk kelas tafsir, itu bukanlah iman yang sebenarnya. Mereka tidak akan datang walaupun mereka telah berjaya macam mana pun.

Mereka yang memandang rendah orang lain kerana kekurangan orang itu adalah orang yang tidak beriman. Orang beriman akan menyayangi sesiapa yang beriman juga tanpa mengira latar belakang mereka.

Yang penting adalah beriman. Oleh itu, apabila seorang wanita dipinang, atau seorang lelaki memilih pasangan hidup, hendaklah dia mencari seseorang yang beriman. Iman lah yang amat penting. Imanlah yang dipandang tinggi oleh Allah. Ianya adalah sifat yang paling disayangi. Maka jangan hanya melihat kedudukan dunia mereka.

وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَيْءٍ

dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu.

Setiap orang hanya bertanggungjawab kepada amalan mereka sahaja. Oleh itu, kita tidak boleh nak sedekah atau hadiah pahala kepada sesiapa pun. Maka, amalan yang dilakukan oleh ramai masyarakat Islam kita, iaitu Majlis Tahlilan itu adalah perbuatan yang sia-sia sahaja.

Kerana Majlis Tahlil itu bertujuan hendak memberi pahala kepada simati, tapi ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh sedekah atau transfer pahala kita kepada orang lain. Sudahlah perbuatan itu adalah satu perbuatan bidaah kerana tidak pernah dibuat Nabi. Tambahan pula. entah berapa banyak kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam majlis itu.

فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ الظّلِمِينَ

Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.

Tak boleh kita nak halang sesiapa yang hendak datang belajar. Kalau buat begitu, maka kita adalah zalim. Iaitu tidak adil dalam menyampaikan wahyu. Dosa zalim adalah amat besar sekali.

Musyrikin Mekah menghalang Nabi dari berdakwah kepada masyarakat Arab. Kalau kita belajar sirah Nabi, kita akan dapat tahu perkara ini. Mereka juga halang manusia dari rapat dan dengar kepada Nabi. Mereka tahu, kalau ada yang dengar bacaan Qur’an dari Nabi, hati mereka akan terkesan dan mereka akan masuk Islam.

Tidak ada sesiapa boleh beri rahmat melainkan Allah. Allah pemberi rahmat dan makhluk penerima rahmat. Salah satu rahmat itu adalah ‘berkat’. Masalahnya sekarang ni ramai yang ambil ‘berkat’ dari orang lain. Macam Kristian yang ambil berkat dari Nabi Isa.

Kalau ada yang kata manusia boleh beri berkat, hendaklah beri dalil. Sebagai contoh, majlis ilmu ada berkat, dan itu ada dalil. Tapi mana dalil dari sumber yang sahih mengatakan yang manusia boleh beri berkat kepada orang lain? Oleh itu, apabila manusia menggunakan berkat Nabi untuk menyempurnakan majlis bidaah mereka, itu adalah syirik.

Ini adalah ayat tentang kepimpinan. Itu adalah salah satu dari tanggungjawab Nabi Muhammad. Kita boleh mengambil pengajaran dari kejadian ini. Apabila pemimpin sedang memimpin, tentulah dia memandang dan mengharapkan kepada sokongan dari orang yang kuat. Allah ingatkan supaya jangan lupa kepada mereka yang lemah.

Macam sekarang, kalau kita nak buat masjid, kita cari mereka yang kaya raya. Tapi kita lupa kepada mereka yang miskin dan tidak ada pengaruh. Padahal mereka pun ada kelebihan juga. Mereka itulah nanti yang akan memakmurkan masjid itu, bukan mereka yang kaya raya itu.

Allah ingatkan Nabi untuk jangan memandang kepada kekayaan manusia.

Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Februari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s