Tafsir Surah Sajdah Ayat 21 – 25 (Azab kecil sebagai peringatan)

Ayat 21: Orang-orang yang engkar tidak mahu percaya dengan perjumpaan dengan Allah, akan dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

وَلَنُذيقَنَّهُم مِّنَ العَذابِ الأَدنىٰ دونَ العَذابِ الأَكبَرِ لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Sahih International

And we will surely let them taste the nearer punishment short of the greater punishment that perhaps they will repent.

Malay

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

 

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia

Kepada mereka yang buat syirik semasa di dunia, mereka akan dirasakan dengan azab dunia. Perkataan الْأَدْنَىٰ adalah dari kata dasar د ن و yang bermaksud ‘dekat, lebih rendah, kurang’. Dari kata yang sama, datangnya perkataan ‘dunia’. Ini kerana dunia itu adalah dekat dengan kita, lebih rendah kedudukannya dari alam langit, lebih rendah kalau dibandingkan dengan akhirat.

Azab dunia itu kurang kalau dibandingkan dengan azab di akhirat. Inilah musibah-musibah dan bala bencana yang dikenakan kepada manusia. Selalunya ini dikenakan kepada manusia kerana mereka telah melakukan dosa syirik. Azab-azab itu seperti kemarau, jatuh sakit, ditindas bangsa lain, kematian orang yang disayangi, kekalahan dalam peperangan dan lain-lain lagi.

Masalahnya, kerana jahil, apabila masyarakat kita dikenakan dengan sesuatu bala atau musibah dalam dunia, mereka akan buat solat Hajat berjemaah. Padahal itu adalah satu amalan bidaah, yang tidak pernah Nabi dan para sahabat buat. Ianya hanya ciptaan manusia berdasarkan dalil-dalil yang tidak sahih.

Padahal, bala itu dikenakan kerana mereka buat syirik. Bukan mereka nak bertaubat, tapi mereka tambah dengan perbuatan bidaah pula. Sudahlah buat salah, tambah dengan buat satu kesalahan besar lagi pula. Yang sepatutnya mereka meninggalkan perbuatan syirik yang mereka buat. Tapi kerana tak belajar tafsir Qur’an, tak faham tentang agama kerana tidak belajar Sunnah, mereka tak tahu manakah kesalahan syirik yang mereka buat. Mereka sangka, mereka sudah Islam, mereka tak buat syirik lagi. Tapi entah berapa banyak syirik yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita kerana mereka tak sedar.

Bagaimanakah cara untuk bertaubat dengan Allah setelah kita melakukan kesalahan? Kita ambillah contoh bagaimana Nabi Adam dan Nabi Yunus telah diajar dengan doa-doa tertentu setelah mereka melakukan kesalahan. Oleh kerana kesalahan yang telah dilakukan dua Nabi besar itu, mereka telah dikenakan dengan bala dari Allah. Dan kemudian Allah telah mengajar mereka berdua cara untuk meminta ampun. In sha Allah, kalau kita amalkan dengan cara itu, dosa kita akan diampunkan oleh Allah. Kerana cara itu diajar sendiri oleh Allah. Tentulah itu cara yang dikehendaki oleh Allah.

Doa Taubat Nabi Adam a.s. – Al-A’raf: 23

Doa Taubat Nabi Yunus a.s. – Al-Anbiya’:87

Bacalah dua ayat ini berkali-kali dengan rasa menyesal dan mengharapkan pengampunan dari Allah.

Tapi, masyarakat kita telah disesatkan oleh guru-guru yang jahil, yang mengajar cara yang syirik dan khurafat untuk menyelesaikan masalah mereka. Itulah yang mereka buat mandi bunga, mandi tolak bala, pakai cincin azimat, amalan-amalan sesat dan sebagainya. Masyarakat kita yang jahil, kerana dari kecil sampai ke tua tidak belajar agama dan tidak belajar Qur’an, senang sahaja tertipu dengan mereka.

Padahal, cara yang diajar oleh Allah dan Nabi senang sahaja. Tidak perlu mengeluarkan duit pun untuk diberikan kepada guru-guru sesat itu. Yang tok guru dan tukang ubat seperti bomoh dan sebagainya, mereka mengajar cara yang salah kerana mereka hendakkan upah dari manusia jahil itu.

Masalahnya sekarang, mereka tidak pakai nama ‘dukun’ dan ‘bomoh’ dah. Sekarang, mereka bertopeng dengan menggunakan nama ‘ustaz’. Maka, lagilah senang manusia tertipu. Masyarakat kita, kalau ada yang pakai nama ‘ustaz’, tentu percaya terus.

Maka Allah beri peringatan kepada manusia dengan musibah di dunia sebelum dikenakan dengan azab di akhirat. Kalau dah kena musibah dunia itu, maka sedar-sedarlah sikit. Musyrikin Mekah pun telah dikenakan dengan azab dunia itu. Abdullah ibnu Mas’ud telah mengatakan pula menurut suatu riwayat yang bersumber darinya, bahawa azab yang dekat ialah musibah yang menimpa mereka dalam Perang Badr, yaitu ada yang terbunuh dan ada yang ditawan. Hal yang sama telah dikatakan oleh Malik, dari Zaid ibnu Aslam.

 

دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ

sebelum azab yang lebih besar,

Kalimat الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ adalah bermaksud azab di akhirat nanti. Kalau di dunia, azab kecil sahaja.

Sebelum mereka dikenakan dengan azab di akhirat seperti yang tersebut dalam ayat sebelum ini, mereka akan dikenakan dengan azab dunia. Ada banyak contoh-contoh bagaimana azab itu dikenakan kepada manusia seperti yang diberikan kepada Firaun iaitu dia telah diberikan dengan sembilan bala. Semua bala-bala itu diberikan kerana Allah memberi peluang kepada Firaun dan kepada manusia yang engkar untuk mengubah cara hidup mereka.

 

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Inilah rahmat Allah. Allah tidak terus bagi azab akhirat. Allah beri manusia merasa azab yang rendah semasa di dunia supaya mereka memikirkan tentang Allah dan mengembalikan diri kepada Islam.

Dan kita memang banyak menerima kesusahan ini dalam dunia. Selalunya, bila kita dah terduduk, baru kita nak sedar. Baru kita terfikir apakah kesilapan yang kita telah lakukan selama hari ini. Barulah nak kembali kepada Allah dan meminta pertolongan kepadaNya dan bertaubat. Walaupun kita nampak macam susah bala yang dikenakan, tapi ianya adalah rahmat dari Allah sebenarnya. Kerana dengan diberinya azab yang rendah itu, kita akan tersedar dan akan kembali taubat.

Kalau kita hidup senang-senang sahaja, selalunya kita akan lupa diri dan lupa Allah. Maka terus kita buat salah dan tak rasa bersalah pun apabila buat dosa itu. Ada berapa ramai yang hidup senang lenang sahaja, maka mereka lupa kepada Allah. Maka, apabila kita dapat kesusahan, ingatlah bahawa itu adalah sebahagian dari rahmat Allah untuk mengingatkan kita kepada Dia.

Maka, Allah kenakan manusia dengan musibah di dunia seperti banjir, gempa bumi, kemarau, musim tengkujuh, kematian, kemalangan, kesusahan yang lain-lain yang beribu malah berjuta jenis. Ini semua untuk beri peringatan kepada manusia, ada kuasa yang menguruskan alam ini dan kita sebagai manusia tidak ada kuasa. Maka kita kena sedar yang kita adalah hamba yang lemah sahaja.

Kalau dikenakan dengan musibah di dunia ini, tidak ada kuasa yang dapat menghalang dan mengangkatnya, tidak Nabi, tidak wali, malaikat atau jin.

Maka, kalau ada kuasa yang di atas kita itu, apakah kehendakNya? Maka hendaklah kita mencariNya dan taat kepadaNya. Kerana kalau kita tidak taat kepada kehendakNya, Dia boleh kenakan kita dengan azab yang berkekalan. Azab dan musibah di dunia ini kecil sahaja kalau dibandingkan dengan azab akhirat itu. Kuasa yang dimaksudkan adalah Allah.


 

Ayat 22: Zajrun dan Takhwif Duniawi. Setelah diberikan peringatan, masih ada lagi yang tidak mahu menerima peringatan itu. Mereka tetap menolak kebenaran.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِئايٰتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعرَضَ عَنها ۚ إِنّا مِنَ المُجرِمينَ مُنتَقِمونَ

Sahih International

And who is more unjust than one who is reminded of the verses of his Lord; then he turns away from them? Indeed We, from the criminals, will take retribution.

Malay

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِئايٰتِ رَبِّهِ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya,

Allah kata tidak ada lagi yang lebih zalim dari mereka yang berperangai seperti ini. Ini bermakna, teruk sangat dah mereka yang seperti ini. Iaitu mereka yang apabila dibacakan dalil-dalil dari ayat-ayat Qur’an, mereka buat tak kisah sahaja. Mereka lihat macam ayat Qur’an itu adalah kata kawan-kawan mereka sahaja. Mereka lebih selesa kalau ikut pendapat dari guru-guru, ustaz dan orang lain daripada pakai firman Allah.

Allah memberi peringatan kepada manusia dengan berbagai-bagai cara. Ada yang diberikan dalam bentuk ayat-ayat Qur’an. Dibacakan berkali-kali kepada mereka. Sepatutnya manusia mengambil pengajaran dari ayat-ayat itu.

Selain dari ayat-ayat Qur’an (ayat qauliah), Allah juga memberi peringatan kepada kita dalam bentuk ‘ayat kauniah’ – iaitu dalam bentuk tanda-tanda dalam alam ini. Sebagai contoh, ribut taufan, kemalangan, kematian orang yang disayangi.

Semua kejadian ini sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah. Sepatutnya mereka yang terselamat dari bencana itu bersyukur kerana diselamatkan yang bermakna Allah sedang memberi peluang dan peringatan kepada mereka. Lihatlah bagaimana orang yang dekat dengan kita tidak terselamat tapi kita terselamat. Padahal, kita pun boleh sahaja kena kemalangan yang sama, contohnya.

 

ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا

kemudian dia berpaling daripadanya

Iaitu mereka yang berpaling dan tetap mengingkari ayat-ayat dan tanda-tanda yang Allah berikan itu. Iaitu setelah diberikan peringatan dengan menggunakan ayat-ayat Qur’an dan ayat-ayat dalam alam ini, mereka masih lagi tak mahu terima, masih lagi engkar, masih lagi nak dengar kata tok guru-guru sesat itu. Orang yang sebegini, Allah kata tidak ada lagi yang lebih zalim dari mereka.

Ulama mengatakan ada 6 jenis ‘tanda’ yang telah diberikan kepada kita:

  1. Tanda-tanda pada alam ini yang ada pada langit dan bumi.
  2. Tanda pada kita sendiri. Kita boleh lihat betapa hebatnya kejadian kita.
  3. Tanda yang ada dalam akal kita. Kita diberikan dengan kelebihan intelek yang dapat memikirkan mana yang baik dan mana yang benar. Ini adalah fitrah yang telah diisi dalam diri kita semasa kita lahir lagi.
  4. Tanda-tanda dalam sejarah kehidupan manusia yang sepatutnya kita jadikan sebagai panduan dan sempadan.
  5. Tanda pada musibah dan azab yang dikenakan kepada manusia semasa di alam dunia ini.
  6. Tanda atau ayat pada wahyu yang Allah berikan. Dan selain dari wahyu itu Allah juga turunkan para Nabi untuk menyampaikannya dan ajar kita bagaimana untuk beramal dengannya.

Semua tanda-tanda di atas memberitahu kepada kita yang kita ini adalah hamba dan ada kuasa yang menguasai segenap kehidupan kita. Kita kena menjawap kepada Tuhan itu bagaimana kita menjalani kehidupan kita di atas mukabumi ini.

 

إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنتَقِمُونَ

sesungguhnya Kami, dari orang-orang yang berbuat dosa itu akan memberi balasan.

Orang-orang yang tidak mengambil pengajaran itu, Allah gelar mereka الْمُجْرِمِينَ, yang bermaksud ‘penjenayah’. Kenapakah mereka digelar ‘penjenayah’? Kerana mereka tahu undang-undang, tapi mereka langgar juga. Memang seseorang yang melanggar undang-undang dunia juga dipanggil penjenayah.

Itu baru undang-undang dunia. Kalau undang-undang Allah, lagilah besar jenayah yang mereka telah lakukan. Kita sekarang tinggal dalam dunia yang Allah berikan, sepatutnya kita kena ikutlah undang-undang Allah. Jangan senang hati sahaja hidup udara Dia, makan makanan yang Dia beri , tapi undang-undang Dia kita tidak mahu pakai.


 

Ayat 23: Dalil Aqli dari kisah Nabi Musa a.s. Kita sebagai manusia, tentu selalu terlupa. Oleh itu, kena diingatkan berkali-kali. Dimanakah peringatan itu diberikan kepada kita? Dalam kitabNya. Maka sekarang Allah menceritakan bagaimana umat terdahulu seperti umat Nabi Musa pun ada diberikan peringatan kepada mereka dalam bentuk kitab juga.

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ فَلا تَكُن في مِريَةٍ مِّن لِّقائِهِ ۖ وَجَعَلنٰهُ هُدًى لِّبَني إِسرٰءيلَ

Sahih International

And We certainly gave Moses the Scripture, so do not be in doubt over his meeting. And we made the Torah guidance for the Children of Israel.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.

 

وَلَقَدْ ءآتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi Kitab kepada Nabi Musa

Kitab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Kitab Taurat.

Ayat ini diturunkan di Mekah dan waktu itu Nabi Muhammad dan para sahabat telah menerima banyak tentangan dari umat mereka. Maka, sedikit sebanyak tentu Nabi rasa tertekan dengan keadaan begitu.

Maka, kerana itu Allah memberikan peringatan dan pujukan kepada baginda, bahawa sebelum ini pun telah ada Nabi yang telah diberikan dengan kitab, iaitu Nabi Musa a.s. Dan Nabi Musa juga menerima tentangan dari kaumnya. Jadi, jangan sangka baginda sahaja yang menerima tekanan. Nabi yang lain pun menerima tekanan juga.

Ini dinamakan tasliah (pujukan). Kerana apabila kita tahu ada orang lain juga yang kena masalah yang sama dengan kita, sedikit sebanyak kesusahan yang kita alami itu rasa ringan sedikit.

 

فَلَا تَكُن فِي مِرْيَةٍ مِّن لِّقَائِهِ

maka janganlah engkau ragu-ragu untuk berjumpa dengannya;

Kalimah لِّقَائِهِ boleh bermaksud pertemuan dengan ‘Qur’an’. Sebagaimana Musa telah diberikan dengan Taurat, kamu juga Wahai Muhammad akan menerima kitab juga, iaitu Qur’an.

Juga bermaksud jangan ragu-ragu yang Nabi Musa telah menerima Kitab Taurat itu.

Kalimah لِّقَائِهِ juga boleh bermaksud jangan ragu-ragu tentang pertemuan dengan ‘Nabi Musa’. Allah nak beritahu kepada Nabi Muhammad yang baginda pasti akan bertemu dengan Nabi Musa nanti. Dan memang dalam satu hadis tentang isra’ mi’raj, Nabi Muhammad telah bertemu dengan Nabi Musa a.s. Nabi Musa lah yang menasihatkan Nabi Muhammad supaya minta dikurangkan jumlah solat daripada 50 waktu. Nabi telah berkali-kali turun dan naik antara Nabi Musa dan Allah sampaikan waktu solat sehari semalam telah dikurangkan kepada 5 waktu sahaja sekarang.

Rasulullah Saw. pernah bersabda:

أُريتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي مُوسَى بْنَ عِمْرَانَ، رَجُلًا آدَمَ طُوَالا جَعْدًا، كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءة. وَرَأَيْتُ عِيسَى رَجُلًا مَرْبُوعَ الْخَلْقِ، إِلَى الْحُمْرَةِ وَالْبَيَاضِ، مُبْسَطَ الرَّأْسِ، وَرَأَيْتُ مَالِكًا خَازِنَ النَّارِ وَالدَّجَّالَ، فِي آيَاتٍ أَرَاهُنَّ اللَّهُ إِيَّاهُ”

Diperlihatkan kepadaku di malam isra-ku Musa ibnu Imran, seorang lelaki yang berkulit hitam manis, bertubuh tinggi, berambut keriting, seakan-akan seperti seseorang dari kabilah Syanu’ah. Dan aku melihat Isa, seorang lelaki yang berperawakan sedang, berkulit putih kemerah-merahan, berambut ikal. Dan aku melihat Malaikat Malik penjaga neraka, juga Dajjal. Semuanya itu diperlihatkan Allah Swt. kepada Nabi Saw. di antara tanda-tanda lainnya.

Ayat ini juga hendak menolak salahfaham musyrikin Mekah (dan mereka yang seperti mereka) yang tidak percaya wahyu dan kitab diturunkan kepada Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi Muhammad reka sahaja Qur’an ini. Ini telah disebut di awal surah ini dan ayat ini adalah salah satu dari hujah untuk menolak tohmahan mereka itu. Penurunan wahyu dan kitab bukanlah perkara baru dalam sejarah manusia kerana telah pernah diturunkan kitab wahyu kepada para Nabi sepanjang zaman. Orang Mekah pun tahu perkara ini. Salah seorang Nabi yang terkenal adalah Nabi Musa a.s.

 

وَجَعَلْنٰهُ هُدًى لِّبَنِي إِسْرٰءيلَ

dan Kami jadikan Kitab Taurat itu sebagai penunjuk bagi kaum Bani Israil.

Taurat itu dijadikan sebagai petunjuk kepada Bani Israil. Begitu juga Qur’an ini, dijadikan sebagai petunjuk kepada segenap manusia kepada mereka yang mahu belajar.

Sebagaimana Taurat adalah sebagai petunjuk kepada Bani Israil, maka Qur’an ini adalah adalah sebagai petunjuk, iaitu sebagai rahmat kepada kita. Bukanlah Qur’an itu diturunkan untuk menyusahkan kita dengan hukum-hukumnya. Lihatlah sejarah Bani Israil itu. Mereka telah lama duduk dalam penghambaan Firaun dan setelah Nabi Musa diangkat mereka telah diselamatkan dari perhambaan sekian lama. Dan kemudian mereka telah diberikan dengan Taurat yang membimbing mereka ke arah kebenaran. Nah sekarang kamu juga diberikan dengan peluang yang sama.

Allah menyebut tentang Bani Israil kerana dalam surah seterusnya adalah tentang pertentangan orang Islam dengan mereka.


 

Ayat 24: Rahmat kepada mereka yang mahu menggunakan Kitab Taurat sebagai petunjuk dalam mereka memimpin.

وَجَعَلنا مِنهُم أَئِمَّةً يَهدونَ بِأَمرِنا لَمّا صَبَروا ۖ وَكانوا بِئايٰتِنا يوقِنونَ

Sahih International

And We made from among them leaders guiding by Our command when they were patient and [when] they were certain of Our signs.

Malay

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

 

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka pemimpin-pemimpin,

Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa. Dan selepas baginda, ada banyak pemimpin-pemimpin dari kalangan Bani Israil. Iaitu ketua-ketua agama mereka. Mereka disuruh untuk menggunakan Kitab Taurat itu sebagai rujukan.

 

يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا

yang membimbing kaum masing-masing dengan perintah Kami,

Mereka menggunakan hukum Allah dalam memimpin masyarakat mereka. Mereka mengajak manusia kepada Allah. Itulah yang sepatutnya dilakukan. Maka memang dari kalangan Bani Israil dulu ada juga yang baik-baik. Mereka ada yang jadi pemimpin yang baik.

Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin-pemimpin mesti memimpin rakyatnya dengan perintah Tuhan. Iaitu dengan cara yang Tuhan ajar. Bukan dengan menggunakan otak dan akal dia sendiri. Bukan memimpin dengan mengikut hawa nafsu.

Begitu juga, guru-guru yang mengajar, mestilah mengajar anak muridnya dengan menggunakan ayat-ayat Allah. Ayat-ayat Allah adalah rujukan yang utama. Yang selain dari itu, sebagai penguat dan sebagai penjelas sahaja kepada ayat Qur’an. Malangnya, yang mengajar agama sekarang tidak menggunakan ayat Qur’an langsung. Mereka terus menggunakan kitab-kitab tulisan manusia dan mereka menggunakan akal mereka sahaja. Oleh itu, perkara yang hendak disampaikan oleh Allah belum mereka sampaikan.

Kenapa mereka tidak mengajar ayat-ayat Allah? Kerana mereka sendiri belum belajar. Sepatutnya mereka tidak layak mengajar kerana mereka sendiri tidak kenal agama mereka. Apabila mereka sendiri tidak tahu, mereka telah menyampaikan kejahilan itu kepada anak murid mereka.

Ini menunjukkan yang kita kena belajar untuk tahu. Baru boleh jadi pemimpin. Kalau orang jahil, sepatutnya tidak jadi pemimpin. Apabila yang jahil jadi pemimpin, itulah yang menyebabkan rosak masyarakat.

Kita juga sebagai pemimpin agama, atau sebagai orang yang dipandang menjaga agama, perlu berhati-hati dalam perbuatan kita. Kerana orang luar tengok apa yang kita lakukan. Mereka akan ikut apa yang kita kata dan buat kerana mereka ingat tentulah ianya sesuatu yang dibenarkan dalam Islam kerana kita pun buat juga. Jangan kita jadi ‘dalil kepada orang jahil’. Takut mereka kata: “Tengok, ustaz pun buat macam itu, mestilah benar perbuatan itu!”

 

لَمَّا صَبَرُوا

selama mereka bersikap sabar

Perkataan لَمَّا bermaksud ‘selagimana’, iaitu selagimana mereka dalam keadaan sabar. Sebaik sahaja tiada sabar, seseorang itu tidak boleh memimpin lagi. Sifat sabar adalah pakaian yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin.

Sabar itu bermaksud sabar di dalam mengikut arahan dan panduan dari wahyu Taurat itu. Kejayaan yang Bani Israil dapat dahulu adalah kerana mereka sabar dalam berpegang dengan syariat dalam Taurat ini.

Kejayaan mereka bukanlah kerana mereka diberikan dengan Taurat sahaja, tapi kerana mereka beramal dengannya. Kerana kalau dapat Taurat tapi tidak mengamalkannya, maka mereka telah gagal dan telah dimundurkan oleh Allah. Maka kita pun kenalah juga beramal dengan Qur’an ini. Bukannya untuk dibaca dan digantung di rumah-rumah sahaja.

Kita tidak akan mampu memimpin melainkan dengan adanya sifat sabar. Kalau tak boleh sabar, lebih baik jangan jadi pemimpin. Kerana apabila kita beri arahan kepada umat, bukanlah mereka terus buat. Ada yang lengah, ada yang degil, bagi alasan dan macam-macam. Macam juga kita suruh anak-anak kita buat sesuatu. Ada sahaja akal mereka untuk tidak buat. Ada sahaja alasan mereka. Maka, dalam memimpin kena sabar kerana pengikut akan degil dan macam-macam lagi.

Lihatlah kisah bagaimana Nabi Musa terpaksa berhadapan dengan kedegilan umatnya. Begitu banyak kisah tentang mereka dalam ayat-ayat Qur’an. Apabila diberi arahan kepada mereka, ada sahaja alasan mereka dan ada sahaja yang menentang.

Ini menyatakan bahawa dalam menggunakan perintah Tuhan, kena bersabar. Lebih-lebih lagi kalau kita berurusan dengan orang yang jahil. Mereka akan menentang kerana mereka tak faham.

Kena juga bersabar dalam belajar. Kena tinggalkan perkara-perkara lain yang tidak berfaedah. Jangan hanyut dengan kesibukan dalam kehidupan seharian. Kena pandai susun jadual hidup kita. Jangan kita terbuang masa dengan hal-hal lain sahaja. Kerana kalau begitu, kita tidak luangkan masa dengan belajar. Kita kena masukkan masa untuk belajar. Kena luangkan masa untuk belajar Qur’an dan mengajar orang lain.

Berapa ramai orang yang kita tahu kepentingan belajar dan mereka memang ada keinginan untuk belajar, tapi ada sahaja masalah yang mereka kena selesaikan – hal kerja, hal anak, hal keluarga dan macam-macam lagi. Itu semua akan terjadi kalau kita tidak memandang pentingnya belajar ilmu agama ini kalau dibandingkan dengan perkara-perkara lain.

Apabila ianya tidak dianggap penting, apabila ada benda lain yang perlukan perhatian kita, kita akan tolak pembelajaran agama ke tepi dahulu. Ini adalah perangkap syaitan yang banyak sangat menjerat manusia. Perangkap itu dinamakan ‘taswif’. Iaitu melengah-lengahkan manusia. Dan ia adalah senjata yang ampuh dari syaitan. Ramai yang sudah terkena jeratannya.

 

وَكَانُوا بِئايٰتِنَا يُوقِنُونَ

serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat Kami.

Ini kerana kejayaan Bani Israil pada zaman dahulu adalah kerana mereka yakin dan berpegang dengan Taurat. Apabila mereka sudah tidak pegang lagi, maka itulah kemunduran mereka dan mereka diturunkan dari kedudukan mereka.

Ayat ini menyebut tentang ‘yakin’. Penting untuk pemimpin ada keyakinan. Kalau diri sendiri tak percaya dan yakin dengan Qur’an, tentu kita tak boleh nak suruh orang lain buat. Orang yang yakin akan senang nak suruh orang lain pun percaya juga.

Oleh itu, mulakan dengan kepercayaan diri sendiri. Kalau kita 50/50 sahaja, susah kita nak bagi orang lain percaya. Orang lain boleh nampak yang kita pun tak berapa yakin. Bayangkan kalau seorang doktor menyuruh pesakitnya untuk makan ubat sambil berkata: “Saya rasa… ubat ini sesuai untuk penyakit ini….” Tentulah kita nak makan ubat itu akan fikir dua tiga kali.


 

Ayat 25: Takhwif Ukhrawi. Dalam kita memberi pimpinan kepada masyarat dan juga dalam kita mengajar dan berdakwah kepada masyarakat, tentu ada yang tidak mahu menerima. Tentu ada yang berlainan pendapat.

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفصِلُ بَينَهُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

Indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

Malay

(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

 

إِنَّ رَبَّكَ

sesungguhnya Tuhanmu

Allah nak beritahu, serahkan sahaja kepadaNya.

 

هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ

Dia yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka

Iaitu Allah lah yang akan buat keputusan yang akhir. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa. Kita kena pandai menanganinya. Jangan kerana beza pendapat, sampai kita tidak meneruskan dakwah.

Kadang-kadang perbezaan pendapat itu tidak dapat diselesaikan dalam dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat memberikan keputusan. Allah lah sahaja yang maha mengetahui.

 

يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

pada hari kiamat,

Masalahnya, keputusan itu hanya akan diketahui di akhirat nanti. Kalau di sana baru tahu yang kita salah, alangkah ruginya, kerana kita tidak boleh buat apa-apa dah. Maka keputusan di hari akhirat itu adalah ‘keputusan amali’ tapi kita sudah tahu ‘keputusan teori’ berdasarkan wahyu. Maka kenalah belajar wahyu dan buat pilihan mana satukah keputusan yang benar, semasa di dunia lagi.

 

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

Allah hendak mengingatkan kepada kita apa yang terjadi kepada Bani Israil itu. Apabila mereka tidak lagi berpegang dengan Taurat, maka mereka telah berpecang belah antara mereka kerana perselisihan faham antara mereka. Perselisihan itu terjadi kerana mereka tidak lagi merujuk kepada Taurat tapi sudah pakai sumber lain pula.

Begitulah yang terjadi sekarang pada umat Islam. Kerana Qur’an tidak lagi menjadi sumber rujukan. Apabila Qur’an ini bukan lagi sumber rujukan, maka tentulah ada pendapat yang keluar dari ramai orang. Ada kata begitu dan ada kata begini. Padahal jawapannya ada dalam Qur’an; tapi sebab semua dah tak rujuk kepada Qur’an, maka pecah belahlah jadinya.

Dan nanti perbezaan fahaman dan akidah ini akan diputuskan oleh Allah. Oleh kerana tak mahu nak rujuk Qur’an semasa hidup, maka Allah akan putuskan di akhirat kelak. Dan maksudnya Allah akan beri keputusan samada akan dimasukkan ke dalam syurga atau ke dalam neraka.

Jadi keputusan akhirnya pada Allah sahaja. Maka jangan kita tekankan sangat pada perbezaan yang kecil-kecil. Kerana kadang-kadang perbezaan pendapat itu akan melemahkan keyakinan kita. Sebagai contoh, ada ustaz-ustaz yang Sunnah pun ada perbezaan pendapat. Kalau kita fikir sangat tentangnya, kita akan lemah semangat.

Banyak perkara yang manusia berselisih semasa di dunia. Yang kita kena tekankan adalah perbezaan pendapat berkenaan tauhid dan syirik. Yang ini kita kena beri perhatian dan jangan pandang sebelah mata sahaja. Sebagai contoh, satu pendapat mengatakan tidak boleh bertawasul dengan wali, malaikat dan Nabi. Satu puak lain pula kata, molek kalau buat macam itu. Maka, manakah yang benar?

Allah lah nanti akan menyatakan mana yang benar. Maka, di Hari Akhirat nanti, akan zahirlah kebenaran. Tapi, mana yang berbuat salah, tidak ada harapan lagi untuk bertaubat kerana telah sampai ke Hari Kiamat. Oleh itu, semasa kita di dunia, hendaklah kita menggunakan akal kita untuk menilai apakah dalil yang digunakan oleh puak-puak yang berselisih pendapat itu.

Penentu kebenaran adalah Qur’an dan Hadis yang sahih. Kadangkala, hujah Qur’an dan Hadis pun ada digunakan oleh mereka yang salah – mereka guna dalil Qur’an dan Hadis, tapi pemahaman mereka yang salah. Itu adalah kerana mereka tidak belajar dengan guru yang benar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Disember 2017


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Taimiyyaz Zubair

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s