Ayat 26: Kenapa ada lagi perselisihan faham itu? Kenapa ramai yang tidak mahu menerima dalil-dalil yang sahih itu? Apa lagi yang mereka mahu? Maka kepada mereka, Allah telah beri tanda sebagai peringatan.
Salah satu dari tanda (ayat) yang Allah berikan kepada manusia adalah bala dan azab yang telah diberikan kepada umat terdahulu yang menentang Rasul dan wahyu. Tidakkah azab yang telah dikenakan kepada umat-umat terdahulu itu dijadikan sebagai pengajaran?
Jadi ini adalah takhwif duniawi. Allah takutkan manusia dengan azab yang telah dikenakan kepada umat terdahulu.
أَوَلَم يَهدِ لَهُم كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّنَ القُرونِ يَمشونَ في مَسٰكِنِهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ ۖ أَفَلا يَسمَعونَ
Sahih International
Has it not become clear to them how many generations We destroyed before them, [as] they walk among their dwellings? Indeed in that are signs; then do they not hear?
Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?
أَوَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ
Dan tidakkah memberi petunjuk kepada mereka:
Tidak cukupkah petunjuk yang boleh diambil dari kesan kaum-kaum terdahulu?
Apakah yang menyebabkan manusia tidak mengikut hidayah? Yang menyebabkan manusia kadang-kadang terjerumus ke dalam kesesatan adalah rumah-rumah mereka, kediaman dan tempat tinggal mereka yang mewah. Mereka rasa senang duduk di rumah dengan tenang-tenang sahaja. Mereka berbangga dengan rumah mereka yang besar-besar dan indah-indah.
Begitulah juga dengan kaum-kaum yang telah dihancurkan itu. Mereka takut mereka kehilangan rumah-rumah mereka, maka mereka tidak mengikuti kebenaran. Mereka bersungguh-sungguh hendak mempertahankan perkara keduniaan yang sebenarnya tidak bernilai.
Begitu jugalah dengan mereka yang bermatian mempertahankan tanah mereka, tapi apabila mereka mati, tanah itu tidak bernilai pun. Mempertahankan harta, tanah air dan apa sahaja tidaklah salah, tapi kalau sampai ianya meninggalkan agama, tentulah itu adalah satu perbuatan yang salah dan merugikan sekali.
Apa yang terjadi kepada mereka yang telah dihancurkan oleh Allah, hendaklah menjadi pengajaran kepada kita. Kita kena lihat apakah kesalahan yang mereka lakukan sampai Allah menghancurkan mereka. Dari situ, kita boleh berhenti dari melakukan apa yang mereka lakukan.
Yang mereka lakukan dulu adalah mereka menyembah selain dari Allah. Mereka juga salah faham dalam perkara berkenaan doa, maka mereka telah menggunakan perantaraan/tawasul dalam doa mereka. Maka, akhirnya mereka telah melakukan syirik. Itulah masalah besar mereka. Maka, belajarlah dari mereka dan ambillah iktibar dari kesalahan mereka itu.
Asalnya ayat ini diturunkan kepada masyarakat Makkah yang melalui tempat-tempat kaum yang terdahulu yang telah dihancurkan. Allah suruh mereka memperhatikan bagaimana Allah boleh menghancurkan mereka yang buat kesalahan. Maka, ambillah iktibar dari kesalahan mereka yang dulu.
كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم
berapa banyak yang Kami telah binasakan dari kaum-kaum yang sebelum mereka
Kisah-kisah mereka ada disebut dalam Al-Qur’an dan dalam lipatan sejarah manusia. Kepada masyarakat Arab, memang mereka kenal kaum-kaum itu kerana mereka memang melalui kawasan penempatan mereka dalam musafir mereka. Dan mereka sudah pernah dengar kisah tentang umat-umat terdahulu. Mereka sepatutnya boleh tahu apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka yang dibinasakan itu.
مِّنَ الْقُرُونِ
dari kurun-kurun yang terdahulu
Iaitu generasi-generasi yang terdahulu. Amat ramai sekali yang telah dihancurkan oleh Allah. Tapi tidaklah semua diketahui. Tapi setakat mana yang kita kenal kisah mereka, hendaklah kita ambil pengajaran darinya.
يَمْشُونَ فِي مَسٰكِنِهِمْ
padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu?
Kenapa manusia tidak mahu ambil pengajaran sedangkan mereka lalu kawasan yang telah dihancurkan itu? Contohnya, mereka boleh lihat tanah tempat tinggal Firaun dulu. Orang Arab boleh lihat tinggalan-tinggalan kaum Aad dan Tsamud yang telah dihancurkan dulu. Ini kerana mereka melalui kawasan-kawasan itu dalam musafir mereka.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ
Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi tanda-tanda
Sepatutnya apa yang dialami oleh kaum-kaum terdahulu itu menjadi tanda peringatan kepada orang yang kemudian. Bukan satu, tapi banyak sekali. Takkan nak jadi macam mereka pula?
أَفَلَا يَسْمَعُونَ
oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar?
Allah tegur mereka, kenapakah mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan dalam wahyu ini? Kenapa tidak mahu dengar dahulu apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu?
Ini menunjukkan penting untuk kita mendengar dahulu apa yang hendak disampaikan oleh pendakwah. Jangan terus tolak, tapi dengarlah dahulu. Kesanggupan mendengar itu amat penting. Malangnya, ramai orang kita nak dengar pun tidak. Mereka terus tolak sahaja apabila dengar ajaran berlainan dengan apa yang mereka biasa dengar.
Ayat 27: Ayat 27 ini adalah Perenggan Makro 4b. Ia mengandungi Dalil Rububiyyah. Allah yang menggerakkan awan, menurunkan hujan, menumbuhkan tanaman, membiakkan haiwan ternakan. Maka kenapa tidak memikirkannya?
Jadi ayat ini juga adalah juga Dalil Aqli Afaqi. Selepas Allah suruh mereka melihat tinggalan-tinggalan kaum terdahulu, sekarang Allah suruh tengok alam pula.
أَوَلَم يَرَوا أَنّا نَسوقُ الماءَ إِلَى الأَرضِ الجُرُزِ فَنُخرِجُ بِهِ زَرعًا تَأكُلُ مِنهُ أَنعٰمُهُم وَأَنفُسُهُم ۖ أَفَلا يُبصِرونَ
Sahih International
Have they not seen that We drive the water [in clouds] to barren land and bring forth thereby crops from which their livestock eat and [they] themselves? Then do they not see?
Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?
أَوَلَمْ يَرَوْا
Dan tidakkah mereka itu melihat
Kita kena menggunakan penglihatan yang Allah telah berikan kepada kita sebagai punca untuk mendapatkan hidayah. Kalau dalam ayat tadi disebut tentang pendengaran. Maknanya, dengar dan lihat sekali. Apa sahaja yang kita lihat, hendaklah kita mengambil pelajaran. Tapi kena lihat dengan ‘mata hati’ juga, bukan dengan mata kepala sahaja.
Banyak pengajaran-pengajaran yang kita boleh dapat dari kita melihat alam semesta ini. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang Allah suruh kita menggunakan pancaindera kita.
أَنَّا نَسُوقُ الْمَاءَ
bahawasanya Kami mengarahkan awan yang membawa hujan
Kalimah سُوقُ itu satu perbuatan macam halau binatang. Iaitu memberi arahan kepada sesuatu. Allahlah yang telah mengarahkan hujan turun ke satu-satu kawasan. Allah gunakan angin untuk mengarahkan awan yang mengandungi hujan ke sesuatu kawasan dan kemudian Allah turunkan hujan.
Semuanya terjadi dengan kehendakNya dan dalam kuasaNya. Kerana kalau kita nak buat sendiri, tentu tidak boleh. Maka tahulah kita yang kuasa itu di tangan Allah. Maka doa sahaja kepada Allah, jangan minta melalui perantaraan atau minta kepada selain dari Allah.
إِلَى الْأَرْضِ الْجُرُزِ
ke bumi yang kering kontang,
Kalimah جُرُزِ bermaksud ‘yang terputus dari bekalan air dan kehidupan’. Tanah yang tidak ada tanaman langsung. Tanah itu sebenarnya subur, tapi tiada tumbuhan kerana tiada air.
Tanah yang mati juga menjadi isyarat kepada hati yang mati. Iaitu hati yang tidak ada iman. Juga hati yang jauh dari wahyu. Sebagaimana juga Musyrikin Mekah yang hati mereka yang jauh dari iman yang sebenar, maka Allah ibaratkan hati mereka itu mati sebenarnya. Jadi Allah bukan hendak menceritakan tentang hujan sahaja, tapi hendak memberi isyarat tentang hidayah kepada manusia.
Mereka nampak macam tidak ada harapan untuk jadi beriman seperti juga tanah yang tandus. Kerana teruk sangat perangai mereka. Tapi lihatlah bagaimana apabila Allah memberikan hidayah kepada mereka, mereka telah berubah menjadi satu bangsa yang beriman tinggi dan menegakkan Islam di dunia.
فَنُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا
lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu, tanaman-tanaman,
Ini isyarat kepada hidayah yang mereka terima dalam bentuk Al-Qur’an. Ianya adalah satu rahmah dari Allah. Apabila seorang insan itu dimasukkan dengan ilmu Al-Qur’an, faham apakah yang Al-Qur’an hendak sampaikan, hati mereka akan hidup.
Ini menunjukkan bahawa Allah boleh mengubah sesuatu keadaan itu walaupun nampak macam mustahil. Maka janganlah kita putus harap dengan Allah. Kalau kita dalam keadaan susah mana pun, ingatlah bahawa Allah ada, dan Allah akan beri pertolongan kepada kita apabila diperlukan.
Maka, kalau kita dalam susah, jangan lupa minta kepada Allah untuk mengubah keadaan kita. Dan jangan putus harap kalau kita lihat seseorang itu amat menentang agama. Jangan putus harap dengan Allah kerana mungkin Allah boleh beri hidayah lagi kepadanya. Kita tidak tahu kerana itu adalah dalam urusan Allah dan kita hanya sampaikan sahaja.
تَأْكُلُ مِنْهُ أَنْعٰمُهُمْ
yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka
Dari tanaman yang Allah tumbuhkan dengan air hujan itu, ia dapat dimakan oleh binatang ternakan. Dan kita pula makan binatang ternak itu.
وَأَنفُسُهُمْ
dan mereka sendiri
Dan kita pun boleh makan tanam-tanaman itu. Maka kita memang menerima manfaat dari air hujan yang Allah turunkan itu.
أَفَلَا يُبْصِرُونَ
Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati?
Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allahlah yang berkuasa menurunkan hujan, dan dengannya menumbuhkan segala tanam-tanaman. Kita tak perasan kepentingan rumput rampai itu kerana kita tak makan rumput. Kita selalu terlupa bahawa lembu makan rumput, dan kita pula makan lembu.
Tidakkah mereka mahu memerhatikan bahawa Allah boleh mengubah keadaan diri kita dari susah kepada senang? Maka jangan lupa berdoa dan terus berdoa kepada Allah dengan mengadu keadaan kita. Jangan putus harapan dengan Allah.
Lihatlah bagaimana keadaan Nabi dan para sahabat yang susah di Mekah, tapi keadaan mereka berubah kepada keadaan yang baik apabila berpindah ke Madinah. Maka jangan kita berputus asa dengan Allah. Teruskan berharap dan teruskan berdoa.
Ayat 28: Tapi mereka masih berdegil dan masih mempersoalkan dan mengejek dengan soalan-soalan yang kurang ajar. Ayat 28 – 30 (akhir) ini adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi pesanan bersabar kepada Muslim yang ditindas.
وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الفَتحُ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Sahih International
And they say, “When will be this conquest, if you should be truthful?”
Dan mereka bertanya: “Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?”
وَيَقُولُونَ
Dan mereka bertanya:
Ini adalah kata-kata orang musyrik kepada mereka yang beriman. Ini bukan jenis soalan yang ikhlas hendak tahu, tapi ianya adalah soalan dalam bentuk mengejek.
مَتَىٰ هَٰذَا الْفَتْحُ
“Bilakah datangnya hari kejayaan itu
Iaitu Hari Akhirat di mana kemenangan akan diberikan kepada orang mukmin. Mereka mengejek kata-kata Nabi. Kerana pada mereka, kata-kata Nabi itu mengarut sahaja.
Atau mereka merujuk kepada berita kemenangan orang Islam ke atas mereka. Mereka waktu itu sedang menyeksa orang Islam, waktu itu orang Islam nampak lemah sangat. Jadi apabila dikatakan kepada mereka bahawa Islam akan menang, mereka mengejek kerana tak nampak langsung ada harapan yang Islam akan membesar dan menang.
إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ
jika betul kamu orang-orang yang benar?”
Mereka kata: “kalau kamu betul orang yang benar, beritahulah kepada kami bilanya kamu akan menang?”
Ayat 29: Allah mengajar Nabi Muhammad dan juga kepada kita, bagaimana hendak menjawab soalan yang sebegini:
قُل يَومَ الفَتحِ لا يَنفَعُ الَّذينَ كَفَروا إيمٰنُهُم وَلا هُم يُنظَرونَ
Sahih International
Say, [O Muhammad], “On the Day of Conquest the belief of those who had disbelieved will not benefit them, nor will they be reprieved.”
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)”.
قُلْ يَوْمَ الْفَتْحِ
Katakanlah (wahai Muhammad): “pada hari kejayaan itu,
Apabila Allah suruh Nabi mengatakan, itu bermaksud Allah mengajar Nabi bagaimana menjawab. Ini kita kena ambil perhatian. Kerana kita juga kena jawab macam ini juga nanti. Bukanlah ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad sahaja, tapi kepada kita juga.
Tak perlu beritahu bilakah hari kejayaan itu kerana bila ia terjadi adalah dalam ilmu ghaib Allah dan Dia sahaja yang tahu. Yang kita boleh beritahu adalah apakah kesan dari hari itu.
لَا يَنفَعُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِيمٰنُهُمْ
tidak ada manfaatnya kepada orang-orang kafir itu, iman-iman mereka,
Apabila di Mahsyar, selepas mereka melihat kebenaran, orang-orang yang kafir itu akan terus beriman. Kerana mereka sudah nampak manakah yang haq. Seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, bagaimana apabila mereka telah melihat neraka yang dibawakan ke Mahsyar, baru mereka nak beriman. Tapi iman mereka waktu itu tidak bernilai lagi. Tidak diterima oleh Allah.
Juga bermaksud, apabila kemenangan Islam datang, ianya tidak memberi kebaikan langsung kepada mereka.
Ini mengajar kita supaya jangan lepaskan peluang kita yang ada dalam dunia ini untuk berbuat kebaikan dengan sebanyak mungkin. Ambillah pengajaran bagaimana waktu di akhirat kelak, orang-orang akan banyak menyesal. Orang yang kafir akan menyesal kerana mereka tidak beriman.
Dan orang yang beriman pun akan menyesal juga: Kerana mereka tidak melakukan sebanyak mungkin amal ibadat.
وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ
dan mereka pula tidak diberi tangguh”.
Tak boleh mereka nak minta tangguh bicara dengan Tuhan. Tidak boleh minta tangguh sebelum dimasukkan ke dalam neraka. Dalam neraka pula, tidak boleh nak minta diberi rehat barang sekejap dari kena seksa.
Juga bermaksud mereka langsung tidak dilihat. Mereka tidak akan diendahkan oleh Allah. Bermakna, Allah tidak memberi rahmat kepada mereka. Para malaikat yang memberi azab sahaja yang akan nampak mereka dan terus menyeksa mereka. Allah sudah tidak hiraukan mereka lagi.
Ayat 30: Akhir sekali, Allah mengajar kita bagaimanakah sikap kita terhadap mereka:
فَأَعرِض عَنهُم وَانتَظِر إِنَّهُم مُّنتَظِرونَ
Sahih International
So turn away from them and wait. Indeed, they are waiting.
Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan tunggulah (kesudahan mereka), sesungguhnya mereka pun menunggu (kesudahanmu).
فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ
Oleh itu, berpalinglah dari mereka,
Berpalinglah dari mereka yang tidak ikut tauhid itu. Biarkan mereka dengan kata-kata ejekan mereka itu. Jangan hiraukan apa yang mereka katakan terhadap kita.
Ayat ini bukan bermaksud jangan hiraukan mereka sampai tidak berdakwah kepada mereka – tapi jangan layan ejekan mereka. Kalau mereka kutuk kita, buat tak tahu sahaja. Kerja dakwah tetap perlu dijalankan, kerana kita tidak tahu mungkin mereka akhirnya akan beriman. Cuma jangan layan kata-kata mengarut mereka itu.
وَانتَظِرْ
dan tunggulah,
Tunggulah keputusan Allah. Keputusan Allah pasti datang. Sama ada mereka akan dibalas di dunia ini atau mereka akan dibalas di akhirat kelak.
إِنَّهُم مُّنتَظِرُونَ
sesungguhnya mereka pun menunggu.
Musyrikin Mekah menunggu apa? Mereka menunggu kehancuran Islam, juga menunggu kematian Nabi Muhammad. Mereka kata kedatangan Nabi Muhammad telah menyusahkan mereka. Mereka sudah jadi susah pula nak beramal amalan mereka yang sesat. Ini kerana sudah semakin ramai yang masuk Islam.
Mereka susah untuk berbuat sesuka hati mereka seperti sebelum kedatangan Nabi Muhammad dengan Islam. Maka mereka menunggu-nunggu bilakah Nabi nak mati. Kerana mereka nak bunuh baginda, tak boleh. Mereka tunggu Nabi Muhammad mati sendiri. Mereka sangka, kalau Nabi mati, maka Islam akan terkubur. Allah kata, biarlah mereka terus menunggu buah yang tidak jatuh.
Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Sajdah ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Ahzab.
Kemaskini: 28 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi