Pengenalan
Surah ini adalah Surah Makkiah dan diturunkan di Mekah. Ia merupakan salah satu dari surah-surah hawaamim dan dimulai dengan huruf muqattaah haa mim. Terdapat pertalian di antara semua surah-surah hawaamim ini, dan surah Ad-Dukhan adalah salah satu surah yang dianjurkan untuk dihafal. Sebenarnya ada empat surah yang amat digalakkan untuk dihafal: Surah al-Mulk, ad-Dukhan, Yaasin dan as-Sajdah.
Surah ini menceritakan tentang kekeliruan di dalam berdoa. Terdapat salah faham di dalam masyarakat kita kerana selalu menggunakan ‘tawasul’ yang dilarang dalam urusan doa mereka. Surah ini juga salah satu dari surah ‘tujuh ha mim’ yang menjadi tafsir untuk ayat وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ daripada surah Fatihah.
Surah-surah hawaamin adalah tentang ‘doa’ dimana kita diajar untuk hanya meminta kepada Allah ﷻ, tanpa menggunakan perantaraan yang dilarang. ‘Perantaraan’ di dalam bahasa Arab dipanggil tawasul.
Sepanjang kita belajar sebelum ini, surah-surah Hamim Tujuh adalah berkenaan Tauhid di dalam berdoa. Ini telah diberitahu di dalam Surah Ghafir. Dakwa surah ini sama seperti surah-surah Ha Mim yang lain iaitu Tauhid di dalam berdoa dan isti’anah.
Surah ini mempunyai ‘Maksud’ surah yang tersendiri. Apabila diberitahu tentang tauhid di dalam berdoa, maka ada kesamaran-kesamaran yang timbul di dalam fikiran manusia. Maka Allah ﷻ turunkan 6 surah yang juga dimulai dengan lafaz haamin sebagai menjawab kesamaran dan kekeliruan itu. Surah ad-Dukhan ini mempunyai satu kesamaran yang hendak diperjelaskan kekeliruannya.
Surah Fussilat menjawab kekeliruan manusia yang pertama. Mereka katakan apabila menyeru selain dari Allah ﷻ, mereka mendapat apa yang mereka kehendaki. Allah ﷻ beritahu di dalam surah Fussilat, segala apa yang mereka dapat bukanlah tanda bahawa apa yang mereka lakukan itu benar.
Selepas itu, Surah Syura pula menjawab kekeliruan kedua. Ada yang dakwa kononnya ada dalil-dalil menyatakan bahawa seruan selain kepada Allah ﷻ itu boleh. Surah Syura ini memberitahu, dalil yang boleh diterima adalah dalil dari wahyu sahaja. Maka selain dari dalil itu, yang membenarkan melakukan perkara dilarang di dalam wahyu adalah tertolak.
Kemudian, Surah Zukhruf telah menjawab kekeliruan yang ketiga: Ada yang berhujah mereka tidak meminta kepada selain Allah ﷻ tetapi, hanya menyeru sahaja untuk mendapatkan sokongan dan syafaat dari wali, Nabi atau malaikat. Mereka berharap supaya doa itu dimakbulkan dan mendapat syafaat di akhirat kelak.
Mereka katakan tindakan tidak meminta terus kepada seruan-seruan itu kerana mereka tahu bahawa yang boleh memakbulkan doa hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ memberitahu bahawa inilah juga fahaman Musyrikin Mekah. Kalau masyarakat Islam kita ada fahaman sebegini, mereka juga sama dengan Musyrikin Mekah. Ini dinamakan Syirik fi Syafa’at.
Surah ad-Dukhan ini hendak menjawab kekeliruan yang keempat:
Banyak ayat di dalam Al-Qur’an yang menyebut sifat Allah ﷻ yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Kesamaran tentang berdoa timbul kerana ada manusia yang kata, selain Allah ﷻ, ada makhluk lain yang boleh mendengar doa manusia dan tahu isi hati manusia yang berdoa. Mereka berkata begitu kerana akidah syirik mereka.
Mereka katakan ada makhluk-makhluk yang boleh mendengar seruan manusia yang berdoa kepada mereka. Mereka beranggapan Allah ﷻ telah memberi berkat kerana kelebihan dan kemuliaan makhluk itu, sampai boleh mendengar seruan manusia walaupun mereka telah lama mati. Walaupun sudah mati dan tidak boleh buat apa, sekurang-kurangnya mereka yang diseru itu boleh membawa doa kepada Allah ﷻ dan memberi keberkatan kepada mereka.
Malah bukan hanya mendengar tetapi boleh mengurus pula sebahagian dari alam. Maknanya mereka yang syirik itu berkata, makhluk seperti Nabi, wali dan malaikat ada kedua-dua kuasa itu.
Mereka beriktikad sembahan itu boleh mendengar dan mengurus, sebab itulah mereka berdoa kepada ilah selain Allah ﷻ. Itu adalah akidah syirik dan mereka yang ada akidah seperti itu akan kekal di dalam neraka. Allah ﷻ hendak menekankan di dalam surah ini bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan tahu doa kita. Maka kita harus berdoa dan seru hanya kepada Allah ﷻ .
Allah ﷻ turunkan Surah ad-Dukhan ini untuk menolak fahaman yang salah. Maksud surah ini ada di dalam ayat ke 6 yang memberitahu bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar iaitu dapat mendengar jenis pendengaran yang luarbiasa. Pendengaran manusia tidak sama dengan pendengaran makhluk. Makhluk juga dapat mendengar, namun tidaklah mereka mempunyai pendengaran luarbiasa seperti Allah ﷻ.
Ini adalah Konsep Tauhid dalam Mendengar. Hanya Allah ﷻ sahaja yang mempunyai sifat itu. Kalau kita dengan anjing pun pendengaran sudah tidak sama. Anjing boleh mendengar bunyi-bunyi yang kita sendiri tidak dengar. Maka kalau pendengaran kita dengan anjing pun sudah berlainan, maka tentu senang nak faham, pendengaran Allah pun tidak sama dengan pendengaran kita.
Selain itu, Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia sahaja yang tahu isi hati hambanya walaupun tidak berbunyi. Ini tauhid dari segi ilmu pula. Hanya Allah ﷻ sahaja yang mempunyai sifat itu. Maka kerana Allah sahaja yang tahu isi hati dan kehendak kita, maka kita berdoa kepada Allah sahaja. Jangan sampaikan doa kita kepada selain Allah. Kerana mereka tidak ada pendengaran seperti Allah.
Maka kalau kita rasa atau sangka ada tok guru mana-mana yang boleh baca hati kita, tahu apa isi hati kita, maka itu adalah syirik. Kerana tahu isi hati makhluk itu adalah Allah sahaja.
Ayat 1: Surah ad-Dukhan ini boleh dibahagikan kepada 8 perenggan makro. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia adalah tentang Al-Qur’an dan galakan terhadap mempelajarinya.
حم
Haa, Miim.
Ini dinamakan Huruf Muqattaah. Kita tidak faham apakah maknanya yang sebenar. Allah ﷻ sahaja yang tahu dan ada perkara-perkara yang Allah ﷻ sengaja tidak memberitahu kepada makhluk-Nya, termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri.
Kita adalah makhluk yang lemah, banyak perkara yang kita tidak tahu. Memang banyak pendapat yang diberikan tentang maksud huruf-huruf muqattaah ini. Namun, kita katakan, ia hanya setakat pendapat sahaja kerana tidak ada dalil yang sahih yang memberitahu kita apakah maksud sebenarnya.
Selalunya, selepas Allah ﷻ menyebut huruf muqattaah, ayat seterusnya adalah tentang Al-Qur’an.
Ayat 2: Allah ﷻ menerangkan tentang Al-Qur’an dalam ayat ini
وَالكِتٰبِ المُبينِ
By the clear Book,
Demi Al-Qur’an, Kitab yang menerangkan kebenaran.
Allah ﷻ bersumpah dengan kitab-Nya di dalam ayat ini. Setiap sumpah ada perkara yang hendak ditekankan tetapi sumpah di dalam ayat ini adalah mahzuf – tidak disebutkan di dalam ayat. Jadi, jawapan kepada sumpah ini adalah: tidak ada satu tempat di dalam Al-Qur’an yang boleh diragui.
Apabila Allah ﷻ bersumpah dengan sesuatu, ia hendak menunjukkan kehebatan perkara itu. Banyak lagi perkara lain yang Allah ﷻ gunakan di dalam sumpah-Nya seperti masa, buah tin, buah zaitun dan macam-macam lagi. Oleh itu, sumpah Allah ﷻ ini menunjukkan kehebatan dan kepentingan Al-Qur’an.
Perkara yang dijadikan sumpah oleh Allah ﷻ adalah sesuatu yang amat penting yang kita kena berikan perhatian. Ia bukanlah sesuatu yang biasa-biasa sahaja. Jangan kita ambil mudah dengan Al-Qur’an dan ingat dengan hanya membaca sahaja ayat-ayatnya, sudah mencukupi.
Itu adalah satu salah faham yang banyak berlaku di dalam masyarakat. Mereka sangka dengan membaca Al-Qur’an hari-hari sudah cukup, padahal tidak. Kita kena belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita faham apakah yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu.
Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa kitab Al-Qur’an ini adalah jelas nyata. Ia amat nyata kerana ayat-ayat Al-Qur’an menerangkan perkara tauhid berkali-kali dan yang tidak nyata hanyalah kepada mereka yang tidak belajar.
Kalau mereka membaca terjemahan Al-Qur’an sekalipun, masih lagi tidak faham kerana ada perkara tersirat yang hendak disampaikan. Oleh itu, sesiapa yang belajar tafsir Al-Qur’an, akan tahu tentang apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ. Dia akan jelas dan faham tentang agama kerana panduan agama yang utama adalah Al-Qur’an. Semua orang terima ia adalah panduan yang utama.
Kenapa kebanyakan manusia masih tidak belajar tafsir Al-Qur’an? Kenapa ramai guru yang mengajar kepada masyarakat kita, sedangkan mereka sendiri tidak pernah belajar tafsir Al-Qur’an? Apabila mereka tidak tahu tafsir Al-Qur’an, bermakna mereka sendiri tidak faham tentang agama. Namun mereka masih mengajar dan telah menyalurkan kekeliruan kepada anak murid mereka.
Hasilnya, apabila kita memberikan penerangan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mereka, mereka tolak dan katakan kita pula yang salah. Padahal, kita belajar tafsir Al-Qur’an dan mereka pula sebaliknya. Kenapa yang jahil pula hendak mengajar mereka yang berilmu?
Apakah yang dijelaskan oleh Al-Qur’an? Itulah kebenaran yang hendak diberitahu kepada manusia. Kebenaran yang ada di dalam Al-Qur’an itu akan membezakan antara haq dan batil. Untuk kita tahu sama ada sesuatu perkara itu benar atau tidak, rujukan utamanya adalah Al-Qur’an, kedua – hadis yang sahih. Bukannya pendapat akal, kitab atau ustaz itu ini dan ‘saya rasa’….
Ayat 3: Allah ﷻ menerangkan maklumat baru tentang Al-Qur’an kepada kita dalam ayat ini. Allah ﷻ memberitahu kita ‘bilakah’ Al-Qur’an diturunkan. Ini supaya kita semakin kenal Al-Qur’an dan kita semakin sayang dengan Al-Qur’an.
إِنّا أَنزَلنٰهُ في لَيلَةٍ مُّبارَكَةٍ ۚ إِنّا كُنّا مُنذِرينَ
Indeed, We sent it down during a blessed night. Indeed, We were to warn [mankind].
Malay
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).
إِنَّا أَنزَلْنٰهُ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an itu
Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah أَنزَلْ. Perkataan ini bermaksud ‘diturunkan’ tetapi lebih terperinci, ia bermaksud ‘diturunkan sekaligus’. Oleh itu, ayat ini menceritakan bahawa Al-Qur’an pada malam itu diturunkan sekaligus.
Ada kalanya, Allah ﷻ menyebut Al-Qur’an diturunkan sekaligus dan kadangkala disebut Al-Qur’an diturunkan secara berperingkat-peringkat. Ia bergantung kepada konteks ayat itu. Dalam konteks ayat ini, Allah ﷻ hendak menyentuh keadaan dimana Al-Qur’an diturunkan sekaligus. Iaitu pada Malam Qadr.
Allah ﷻ menekankan di dalam ayat ini yang Dia yang menurunkan Al-Qur’an. Maka perlu ambil tahulah tentang apa yang hendak disampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Janganlah sesuatu yang Allah berikan kepada kita, kita ambil enteng sahaja.
فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ
pada satu malam yang berkat;
Musyrikin Mekah menolak Al-Qur’an kerana mereka tidak suka kepada Al-Qur’an. Maka Allah ﷻ memberitahu, penurunan Al-Qur’an itu penuh dengan kebaikan. Tambahan pula malam ia diturunkan juga sudah berkat, apalagi Al-Qur’an itu sendiri?
Salah satu pendapat mengatakan malam itu adalah pada 17 Ramadhan. Inilah malam yang dinamakan Lailatul Qadr. Dalam ayat lain, ada disebut bahawa Al-Qur’an memang diturunkan dalam Lailatul Qadr. Kita tidak pasti bilakah tarikh yang tepat namun kita yakin dan tahu ia diturunkan di dalam bulan Ramadhan seperti yang disebut di dalam Baqarah:185. Pada malam ke berapa juga tidak dapat dipastikan kerana ada banyak pendapat tentang perkara ini.
Ada pendapat yang mengatakan malam penurunan Al-Qur’an adalah pada 15 Syaaban (Nisfu Syaaban), namun pendapat ini dikritik kerana ia adalah pegangan Syiah. Maka kita menolak fahaman ini kerana berlawanan dengan nas Al-Qur’an.
Kita sudah tahu, Al-Qur’an itu diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad ﷺ hingga mengambil masa selama hampir 23 tahun. Jadi mengapa disebutkan di dalam ayat ini yang ia diturunkan pada satu malam? Kita kena fahami bahawa Al-Qur’an itu diturunkan di dalam dua fasa: pertama diturunkan sekaligus dan kemudian diturunkan secara berperingkat-peringkat.
Maksud ‘penurunan’ di dalam ayat ini adalah penurunan Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah – Langit Dunia. Maka dari Baitul Izzah inilah ayat Al-Qur’an diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi ﷺ. Jadi, ayat ini hendak menceritakan tentang penurunan Al-Qur’an peringkat pertama.
Ia diturunkan pada malam yang ‘penuh berkat’. Menunjukkan kepentingan Al-Qur’an kerana diturunkan pada malam yang khas. Sesuatu yang diturunkan pada malam yang khas tentunya hebat dan penting seperti kita juga akan memakai pakaian khas jika ada hari yang penting.
Mungkin kita pakai baju khas itu pada hari perbarisan, hari pernikahan dan sebagainya. Lihatlah bagaimana Al-Qur’an itu diturunkan pada malam yang amat mulia, iaitu malam Lailatul Qadr. Kalau malam penurunannya ternyata sudah berkat, apalagi Al-Qur’an itu sendiri?
Malam itu penuh dengan keberkatan dan kebaikan. Dalam Surah Qadr, ada disebut yang malam itu lebih baik dari seribu bulan dan penuh berkat kerana malam itulah diturunkan Al-Qur’an.
Ia juga adalah malam amar (perintah) Allah ﷻ kepada para malaikat untuk tahun itu diberikan (apa yang akan terjadi tahun itu, nasib setiap orang dan sebagainya). Ketentuan segala sesuatu telah ditentukan oleh Allah ﷻ dan diletakkan di Lauh Mahfuz. Malaikat juga tidak mengetahui apakah yang akan terjadi melainkan perkara yang akan terjadi pada tahun itu sahaja.
Perkataan ‘berkat‘ membawa maksud sesuatu yang mengeluarkan kebaikan lebih dari apa yang diharapkan. Contoh wang yang sedikit, tetapi terasa macam banyak. Cukup sahaja digunakan oleh seisi keluarga. Oleh sebab itulah Nabi ﷺ suruh kita mencari-cari malam itu kerana ia akan memberi kebaikan kepada kita sepanjang tahun nanti.
Kita juga menyentuh pendapat lain yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah malam ‘Nisfu Syaaban’. Banyak orang kita yang menyambut dan membuat amalan khas pada malam itu. Pendapat ini adalah pendapat yang lemah kerana ia berdasarkan kepada hadis yang dhaif.
Tambahan pula ia bertentangan dengan ayat-ayat lain yang mengatakan Al-Qur’an itu diturunkan di dalam bulan Ramadhan. Ibn Abbas juga mengatakan Al-Qur’an diturunkan di dalam bulan Ramadhan. Hadis-hadis yang berkenaan dengan Nisfu Syaaban adalah lemah dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah dan pegangan. Namun oleh kerana masyarakat kita jahil, mereka ikut sahaja apa yang telah diamalkan oleh orang sebelum kita.
Dari kajian ulama, didapati pendapat yang menyatakan kisah tentang kelebihan malam Nisfu Syaaban itu sebenarnya datang dari Syiah yang hendak mengelirukan umat Islam. Mereka hendak mengatakan bahawa Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu oleh mereka akan dibangkitkan pada malam itu juga.
Oleh kerana mereka sudah lama bertapak di negara ini, mereka telah menyelitkan amalan sesat mereka dalam masyarakat kita. Amat menyedihkan sekali, ketika kita benar-benar menentang Syiah di negara ini, dalam masa yang sama, kita turut mengamalkan amalan mereka. Itu semua kerana jahil dan beramal dengan hanya mengikut orang sahaja.
Satu lagi kekarutan masyarakat kita tentang Malam Lailatul Qadr adalah mereka berpegang dengan pendapat, mengatakan Nabi Khidr menjelma pada Malam Lailatul Qadr. Guru yang sesat pula telah mengajar masyarakat kita, kalau berjumpa Nabi Khidr, pegang janggut beliau dan minta dipanjangkan umur serta diberikan harta yang banyak. Itulah ajaran yang mengarut.
Sebenarnya itulah ajaran yang khurafat dan memperbodohkan manusia. Tambahan lagi, tiada dalil yang sah yang boleh dipegang untuk menyatakan bahawa Nabi Khidr masih hidup lagi. Sememangnya amat ramai dalam masyarakat kita yang sangka begitu.
Seterusnya, sudahlah diajar ajaran salah mengatakan Nabi Khidr hidup lagi, diajar pula yang dia akan turun pada Malam Lailatul Qadr. Kemudian disuruh minta kepadanya benda-benda yang pelik. Maka semakin teruk masyarakat kita dibuai oleh ilmu-ilmu yang salah dan tidak bermanfaat langsung.
إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ
sesungguhnya Kami memberi ancaman
Inilah tujuan diturunkan Al-Qur’an: untuk memberi amaran dan ancaman. Dalam Al-Qur’an itu ada ancaman yang kita kena beri perhatian. Kalau kita tidak ikut apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an, nanti kita akan mengalami masalah di akhirat.
Allah ﷻ sentiasa memberi peringatan dan ancaman kepada kita. Allah ﷻ lakukan sejak dari awal masa lagi dan ini bukanlah perkara yang baru. Ini adalah satu rahmah dari Allah ﷻ untuk mengingatkan kita. Kalau Allah ﷻ tidak memberitahu, tentu kita tidak tahu dan kalau tahu sekalipun, pasti tidak ingat.
Ayat 4: Allah ﷻ menerangkan lebih lanjut lagi kepada kita apakah malam yang penuh berkat itu. Apakah yang terjadi pada malam itu?
فيها يُفرَقُ كُلُّ أَمرٍ حَكيمٍ
On that night is made distinct every precise matter –
(Kami menurunkan Al-Qur’an pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).
فِيهَا يُفْرَقُ
pada malam itu, ditetapkan.
Perkataan يُفْرَقُ dari perkataan فرق yang bermaksud ‘memisahkan’. Apakah yang dipisahkan? فرق bermaksud ‘memisahkan antara dua perkara’. Ia ‘membezakan’ antara dua perkara iaitu dua perkara yang hampir sama supaya kita dapat membezakan antara keduanya. Supaya jelas apakah satu-satu perkara itu.
Apakah yang ditetapkan pada malam itu?
كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
setiap perintah yang penuh hikmah
Kalimah حَكِيمٍ bermaksud ‘penuh hikmah’, juga ‘yang tetap yang tidak boleh diubah’. Oleh itu أَمْرٍ حَكِيمٍ bermaksud ‘perintah yang tetap yang tidak boleh diubah’. Jadi ada dua maksud kalimah حَكِيمٍ ini:
1. Ia penuh hikmah.
2. Ia adalah hukum ketetapan dari Allah ﷻ yang tidak boleh diubah.
Ia tetap dan tidak boleh diubah lagi kerana ia adalah perintah dari Allah ﷻ. Kalau dari makhluk, boleh lagi diubah-ubah. Ia juga dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Oleh itu, apa sahaja keputusan yang Allah ﷻ telah tetapkan pada malam ini, ia adalah satu ketetapan yang penuh hikmah.
Kalimah أَمْرٍ itu adalah perintah Allah ﷻ untuk dijalankan pada tahun itu. Perintah itu diberikan kepada para malaikat untuk menjalankannya.
Ia telah ditetapkan pada tahun itu. Tahun depan akan diberikan penetapan yang baru. Seperti siapa yang akan dilahirkan, akan mati, jatuh sakit, apa yang dia akan dapat dan segala-galanya. Kalau dalam parlimen kita ada pembentangan belanjawan untuk tahun itu. Oleh itu di dalam belanjawan, akan diberitahu bagaimanakah kewangan negara akan dibelanjakan.
Maka, malam ini adalah malam yang amat hebat. Jadi, amatlah rugi sekali kalau kita tidak mengambil peluang untuk beribadat di dalamnya. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan. Kalau kita berdoa yang baik pada malam itu, ia akan memberi kebaikan untuk kita dalam tahun itu. Kita minta supaya kita mendapat kebaikan sepanjang tahun itu.
Bayangkan kalau tahun itu kita telah ditakdirkan mati. Alangkah ruginya kalau kita tidak memohon keampunan kepada Allah ﷻ pada malam itu. Walaupun kita tidak tahu manakah malam Lailatul Qadr, kita perlulah berdoa pada setiap malam di dalam bulan Ramadhan terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir.
Ayat 5: Allah ﷻ sambung lagi penceritaan tentang Malam Lailatul Qadr itu.
أَمرًا مِّن عِندِنا ۚ إِنّا كُنّا مُرسِلينَ
[Every] matter [proceeding] from Us. Indeed, We were to send [a messenger]
Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul.
أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا
Perintah dari sisi Kami;
Setiap perintah itu ditetapkan oleh tidak lain melainkan dari Allah ﷻ. Oleh itu, perintah tidak boleh berubah, ia akan tetap dijalankan; kita juga yakin bahawa, kerana ia diberikan oleh yang Maha Hikmah, maka ia adalah sesuatu yang baik.
إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ
sesungguhnya Kami lah yang mengutus.
Ada dua makna dari maksud ‘mengutus’ ini:
1. Maksud ayat ini adalah Allah ﷻ mengutus para malaikat untuk menjalankan segala perintah-Nya yang ditetapkan itu. Ia merujuk kepada Lailatul Qadr itu. Kerana arahan diberikan kepada mereka untuk menjalankan urusan apa yang terjadi pada tahun itu.
2. Begitu juga, ia bermaksud Allah ﷻ mengutus para Rasul untuk menyampaikan risalah dari Allah ﷻ. Seperti yang kita telah tahu, Allah ﷻ telah menurunkan Kalam-Nya sebagai panduan. Allah ﷻ bukan sahaja turunkan wahyu, tetapi Allah ﷻ utuskan juga para Rasul untuk mengajar bagaimana untuk mengamalkan wahyu. Apakah kepentingan para Rasul itu?
Seperti yang kita selalu sebut: Panduan hidup kita adalah Al-Qur’an. Kita sepatutnya menjadikan ia seperti ‘manual’ bagi hidup kita. Contohnya kita membeli iPhone yang baru tetapi kita tidak tahu gunakan kerana bukan kita yang mencipta iPhone itu. Oleh itu, kita akan gunakan manual yang diberikan bersama iPhone.
Walaupun sudah membaca manual, mungkin kita masih tidak tahu menggunakannya. Ini kerana kita tidak dapat memahami lenggok bahasa yang digunakan atau bahasa teknikal iPhone. Oleh itu, kita meminta tolong dari rakan yang faham dan sudah biasa menggunakan iPhone. Minta dia ajarkan kita satu persatu, maka hal ini akan menjadi lebih mudah berbanding jika kita melakukannya sendiri.
Itulah perumpamaan Nabi Muhammad ﷺ. Kita tidak tahu apakah yang dimaksudkan di dalam Al-Qur’an, kalau bukan Nabi ﷺ yang menjelaskan kepada kita. Nabi ﷺ mempraktikkan apa yang ada di dalam Al-Qur’an supaya kita tahu bagaimana hendak menjalankan kehidupan kita agar selari dengannya.
Kita boleh ikuti cara Nabi ﷺ kerana baginda juga seorang manusia dan lebih memahami Al-Qur’an dari kita. Maknanya, Allah ﷻ tunjukkan bagaimana hendak mengamalkan Al-Qur’an dengan diberikan contoh dari seorang manusia yang mengamalkannya.
Ini menunjukkan kepentingan kita belajar sunnah. Kalau tidak belajar sunnah, bagaimana kita hendak tahu cara mengamalkan Al-Qur’an? Itulah peliknya bagaimana ada manusia yang boleh percaya kepada Al-Qur’an, tetapi tidak percaya kepada hadis?
Golongan yang paling jelas pelik adalah Golongan Anti-Hadis yang diketuai oleh Kasim Ahmad. Kalau dia seorang sahaja yang gila, kita boleh faham kerana memang ramai orang gila di dalam dunia tetapi yang menghairankan, kenapa ada yang ikut dia?
Ayat 6: Inilah Dakwa/Maksud Surah ini. ‘Dakwa Surah’ adalah hujah utama atau kunci utama dalam sesuatu surah. Bukan keseluruhan ayat ke 6 ini, tetapi dalam bahagian kedua ayat ini.
رَحمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ
As mercy from your Lord. Indeed, He is the Hearing, the Knowing.
(Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya).
رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ
Rahmat dari Tuhanmu;
Hanya rahmat Allah ﷻ yang menurunkan para rasul untuk menyampaikan peringatan dan amaran kepada manusia. Kalau Allah ﷻ tidak berbuat begitu, tidak tahu apa akan terjadi kepada kita semua. Maka, Nabi Muhammad ﷺ itu adalah rahmat buat kita sebenarnya.
Dengan rahmat-Nya itu, manusia dapat mengenal Allah ﷻ, mengetahui tentang agama dan dapat menjalankan perintah Allah ﷻ. Bayangkan kalau Allah ﷻ tidak menurunkan para Rasul, bagaimana kita hendak kenal Allah ﷻ? Tentunya kita tidak akan dapat mengenal Allah ﷻ dengan usaha sendiri kerana akal kita tentu tidak mampu mencapai pengetahuan itu.
Oleh itu, ingatlah rahmat Allah ﷻ yang Maha Besar ini. Dia sayangkan makhluk-Nya, maka Dia telah memperkenalkan Diri-Nya dan agama Islam kepada manusia.
Keputusan Allah ﷻ tidak boleh diubah dan ini juga adalah rahmat Allah ﷻ. Bayangkan kalau ada yang boleh mengubah keputusan Allah ﷻ setelah ditetapkan oleh-Nya? Tentulah itu tidak adil.
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui
Inilah potongan ayat yang menjadi ‘Dakwa’ surah ini. Ayat ini mengajar kita bahawa hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu segala perkara dan apakah penyelesaian kepada masalah kita.
Hanya Allah ﷻ yang mendengar doa manusia kepada-Nya. Allah ﷻ memberitahu kepada kita di dalam ayat ini bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar.
Pendengaran manusia memang ada, tetapi terhad. Kalau orang yang kita hendak bercakap tiada di hadapan kita, maka dia tidak dapat mendengar. Jika bunyi terlalu bising dan orang yang bercakap itu pula berbisik perlahan, kita juga tidak dapat mendengar. Malah kalau dia sudah mati, dia tidak dapat mendengar lagi.
Jadi, ada banyak kekangan dalam pendengaran kita. Namun tidak dengan Allah ﷻ kerana Allah Maha Mendengar. Bukan sahaja Dia boleh mendengar tetapi boleh memenuhi permintaan hamba.
Kemungkinan ada yang berkata, kita sebagai manusia turut boleh mendengar juga, bukan? Kita perlu menyedari bahawa Allah ﷻ boleh mendengar cara biasa dan juga luar biasa.
Kalau salah faham tentang perkara ini, boleh menyebabkan syirik. Memang ramai dari kalangan orang kita yang melakukan syirik sebegini. Ia dinamakan Syirik fis sam’ie (syirik dalam hal mendengar). Ini kerana mereka tidak faham tauhid, telah pergi menyeru roh yang telah mati.
Keadaan sebegini memang banyak berlaku dalam masyararakat kita dan ia boleh berlaku kepada mereka yang tidak ada asas wahyu Allah ﷻ. Apabila ramai yang tidak mempelajari tafsir Al-Qur’an, maka syaitan yang mendapat untung sebab terlalu mudah sahaja hendak menipu orang yang jahil.
Ada pula yang berhujah, mungkin Allah ﷻ boleh memberi manusia-manusia (seperti Nabi dan wali) kebolehan mendengar dengan cara yang luar biasa. Mereka kata Allah ﷻ boleh dan mampu sahaja untuk lakukan begitu kerana Dia Maha Berkuasa. Oleh itu, di dalam Surah Jathiya, Allah ﷻ menekankan bahawa Allah ﷻ tidak memberi kelebihan mendengar luar biasa itu kepada manusia.
Masyarakat yang berdoa dan meminta pertolongan kepada roh-roh yang telah mati itu telah melakukan kesalahan syirik kepada Allah ﷻ. Mereka beriktikad bahawa ada makhluk lain mempunyai sifat mendengar seperti Allah ﷻ. Apabila kita menyamakan mana-mana dari sifat Allah ﷻ kepada makhluk, itu juga merupakan satu kesyirikan.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala keperluan kita. Oleh itu kita sepatutnya hanya meminta kepada Allah ﷻ, tetapi ada juga yang minta kepada selain Allah ﷻ. Nabi dan wali itu sekarang hidup di alam yang lain dan mereka tidak boleh mendengar seruan dan permintaan manusia yang hidup di alam dunia.
Terdapat ramai orang yang salah faham hal ini. Apabila ditegur, mereka akan katakan bukan meminta kepada makhluk itu, tetapi minta kepada Allah ﷻ, cuma ‘melalui’ perantaraan makhluk sahaja. Ini adalah ajaran yang salah, bertambah malang ia berleluasa dalam dunia sekarang, termasuklah masyarakat Islam kita. Itu dinamakan tawasul.
Tidak ada entiti lain yang dapat mendengar doa kita. Tidaklah Nabi Muhammad ﷺ itu dapat mendengar permintaan kita kerana baginda telah wafat. Malah tidak pernah Nabi ﷺ katakan baginda akan mendengar permintaan manusia selepas baginda wafat.
Ada dalil di dalam Al-Qur’an telah menyatakan dengan jelas bahawa orang mati tidak dapat mendengar (Fathir:22). Jadi kalau ada yang berkata orang yang mati seperti Nabi dan wali boleh mendengar, kena bawakan dalil yang qat’ie (menunjukkan sesuatu yang jelas). Tidak boleh dalil yang tidak qat’ie.
Begitu banyak dalil diberikan oleh manusia yang jahil wahyu sebagai dalil yang orang mati boleh mendengar (bunyi tapak kaki di kubur, Nabi ﷺ bercakap dengan musyrikin Mekah yang mati di Perang Badr dan lain-lain), tetapi itu semua bukanlah dalil yang qat’ie.
Terdapat banyak kekeliruan dalam masyarakat tentang orang mati yang dikatakan boleh mendengar. Maka elok kiranya kita menyebut beberapa perkara tentangnya:
1. Memang terdapat perselisihan tentang permasalahan sama ada orang yang sudah mati boleh mendengar. Cuma ulama yang mengatakan orang mati boleh mendengar, hanya berpendapat boleh mendengar salam sahaja tanpa memberikan huraian. Malah jauh sekali dari mengatakan yang orang yang mati itu boleh mendengar permintaan doa manusia.
Itu adalah fahaman yang sesat. Namun begitu ada perselisihan pendapat mengatakan orang yang mati tidak boleh mendengar lebih rajih, kuat dalilnya, menetapi dan menyelamatkan akidah.
2. Saidatina Aisyah رضي الله عنها sendiri pernah mengatakan yang orang yang mati tidak boleh mendengar. Ini adalah pendapat yang Qat’ie dan lebih bertepatan dengan ayat-ayat Al-Qur’an.
3. Nabi Muhammad ﷺ memang pernah bercakap dengan Musyrikin Mekah yang mati dalam Perang Badr. Nabi ﷺ telah ditegur oleh Saidina Umar رضي الله عنه dan baginda menjawab bahawa mereka memang boleh mendengar.
Teguran Saidina Umar رضي الله عنه itu menunjukkan kepercayaan mereka bahawa orang mati memang tidak boleh mendengar dan sebab itulah Saidina Umar رضي الله عنه hairan kenapa Nabi ﷺ bercakap dengan musyrikin yang mati itu.
Qatadah mengatakan yang peristiwa ini adalah mukjizat Nabi ﷺ sahaja. Oleh kerana itulah baginda tidak melakukan di tempat-tempat yang lain kerana mukjizat berlaku sekali sahaja.
4. Perkara akidah perlu berdasarkan Al-Qur’an, hadis sahih dan hadis hasan. Jikalau ada yang berlawanan dengan Al-Qur’an, hendaklah ditakwil supaya sesuai dengan Al-Qur’an. Hadis tidak patut berlawanan dengan Al-Qur’an. Kalau Al-Qur’an memberitahu manusia di dalam kubur tidak boleh mendengar, maka tidak mungkin ada hadis yang menidakkannya pula?
5. Amalan di kubur Nabi ﷺ tidak boleh melebihi amalan para sahabat iaitu sekadar memberi salam. Nabi ﷺ tidak mendengar permintaan kita sekarang dan juga wali seperti Sheikh Abdul Qadir. Maka, mereka yang menyeru Nabi Muhammad ﷺ dan lain-lain, dengan pelbagai permintaan mereka, adalah salah sama sekali.
Termasuk juga dalam hal ini, Nabi ﷺ tidak dapat mendengar permintaan umat Islam yang meminta syafaat dari baginda. Nabi ﷺ tidak pernah menyuruh kita meminta syafaat darinya. Salah faham tentang syafaat ini telah banyak menyesatkan umat Islam sampaikan mereka melakukan perkara syirik.
Lalu bagaimana dengan acara ‘Maulid Perdana’ yang dilakukan oleh masyarakat kita yang jahil itu? Sampaikan beribu orang berkumpul di stadium, di padang besar dan sebagainya? Mereka menyeru-nyeru sambil memuji (dan memuja) baginda ﷺ dengan harapan dan iktikad yang Nabi ﷺ boleh mendengar permintaan mereka.
Antaranya mereka berkata ‘isyfa’lana‘ yang bermaksud ‘berilah syafaat kepada kami’. Adakah Nabi ﷺ boleh mendengar permintaan mereka itu? Kalau benar Nabi ﷺ boleh mendengar, mereka perlu keluarkan bukti. Jangan hanya bercakap atau agak-agak sahaja.
Jangan hanya kata ‘saya rasa’, ‘pendapat saya’, pendapat ulama itu dan ini dan berbagai lagi hujah batil yang diberikan oleh manusia. Segala perkara ghaib memerlukan bukti. Ini penting kerana manusia tidak tahu perkara ghaib. Perkara ghaib memerlukan nas naqli (nas dari Al-Qur’an dan Hadis) yang sahih.
Satu lagi, kalau meminta kepada selain Allah ﷻ, kenalah yang diminta itu juga ada kuasa untuk menolong, kalau tidak ia buang masa sahaja minta kepada mereka. Maka kena bawa juga dalil qat’ie yang kata mereka ada kuasa untuk menolong.
Sudahlah kena bawa dalil qat’ie yang mengatakan mereka boleh mendengar, kena bawa juga dalil qat’ie yang mengatakan mereka boleh menolong. Begitulah tentang perkara akidah, kena ada dalil yang kuat, kalau dalil setakat wahm atau zanni sahaja, tidak dipakai.
Ayat 7: Kenapa kita kena ikut perintah Allah ﷻ? Tentulah kerana Allah ﷻ adalah Tuhan kita. Allah ﷻ berikan dalil itu dalam ayat ini.
رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما ۖ إِن كُنتُم مّوقِنينَ
Lord of the heavens and the earth and that between them, if you would be certain.
Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; kalau betul kamu orang-orang yang yakin (akan hakikat itu, maka terimalah sahaja apa yang diutuskan kepada kamu).
رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi
Ilah yang ada sifat Maha Mendengar dan Maha Mengetahui itu hanyalah Tuhan kita iaitu Allah ﷻ yang mencipta, mentadbir dan memelihara alam ini. Kita kena puja dan sembah Allah ﷻ sahaja kerana Dia lah yang telah mencipta alam ini.
Bukan sahaja Dia telah mencipta, tetapi Dia juga turut mentadbir dan memelihara alam ini. Dalam setiap ketika, Allah ﷻ menguruskan kita dan Dia tidak pernah memberikan kuasa mengurus itu kepada selain dari-Nya.
Ini penting untuk kita ketahui kerana makna رَبِّ bukan hanya bermakna ‘Tuhan’ sahaja, tetapi ia bermaksud ‘yang mencipta, memelihara dan menjaga’. Bukan hanya mencipta sahaja alam ini dan kemudian dilepaskan begitu sahaja alam ini. Segala urusan setiap saat, di mana-mana sahaja ditentukan oleh Allah.
Kita telah sebut sebelum ini bagaimana pada Malam Qadr itu Allah beritahu para malaikat apa yang akan terjadi pada tahun itu. Maka pendapat ini sesuai dengan apa yang diperkatakan.
وَمَا بَيْنَهُمَا
serta segala yang ada di antara keduanya;
Bukan sahaja langit dan bumi, tetapi apa sahaja yang ada di antara keduanya. Kita tidak tahu apakah yang ada di antara langit dan bumi kerana akal kita yang terhad. Maksudnya, Allah ﷻ adalah Tuhan kepada segenap alam.
إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ
Jika kamu orang-orang yang yakin
Dari segi literal, ia bermaksud orang yang yakin. Tapi ia juga bermaksud orang-orang yang mahu yakin. Iaitu yang mencari keyakinan tentang agama yang benar. Keyakinan apakah yang hendak dicari?
Keyakinan bahawa mengesakan Allah ﷻ adalah tuntutan utama agama. Seterusnya yakin Allah ﷻ adalah Tuhan sekalian alam, yang menurunkan Al-Qur’an dan memberi hidayah. Sekiranya kamu ingin meyakini apa yang diberitakan oleh Allah ﷻ, semua yang disampaikan ini ada di dalam Al-Qur’an dan sudah cukup sebagai dalil.
Ayat 8: Allah ﷻ sambung lagi penerangan tentang Diri-Nya. Amat penting sekali untuk faham agama ini, kena kenal Allah. Kalau Allah ﷻ tidak memberitahu kepada kita, tentu kita tidak tahu dan tidak akan kenal Dia.
لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ يُحيي وَيُميتُ ۖ رَبُّكُم وَرَبُّ ءآبائِكُمُ الأَوَّلينَ
There is no deity except Him; He gives life and causes death. [He is] your Lord and the Lord of your first forefathers.
Tiada ilah melainkan Dia; Dia lah Yang menghidupkan dan Yang mematikan; (Dia lah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.
لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ
Tiada ilah melainkan Dia;
Tiada ilah lain yang berhak untuk kita buat ibadat dan yang perlu kita hinakan diri kita di depannya melainkan hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Begitu juga tiada ilah yang menjadi tempat sandaran hati kita serta pengharapan kita melainkan kepada Allah ﷻ.
Oleh itu, jangan kita buat ibadat kepada ilah-ilah yang lain. Ilah adalah entiti yang kita buatkan ibadat kepada mereka. Sebagai contoh, kita hanya lakukan ibadat solat kepada Allah ﷻ sahaja termasuk ibadah lain iaitu doa, puja, zikir dan lain-lain lagi.
Jadi, jangan kita berdoa dan zikir kepada selain Allah ﷻ. Kerana doa juga adalah termasuk perkara dalam ibadah. Maka kena diberikan hanya kepada Allah sahaja. Namun masyarakat kita melanggar kedua-dua perkara ini kerana mereka telah berdoa dan berzikir kepada selain Allah ﷻ.
Mereka melakukan ibadat-ibadat lain lagi kepada entiti selain Allah ﷻ. Sebagai contoh, mereka akan memberi salam kepada Nabi, wali, malaikat pada malam hari sebagai amalan sesat mereka. Mereka juga sedekah Fatihah kepada Nabi ﷺ dan wali-wali itu padahal amalan itu tidak ada dalil langsung.
Kenapa mereka buat? Ini disebabkan mereka telah diajar oleh guru yang salah faham, kerana itu ramai dalam masyarakat sudah lakukan dan sebagainya. Ingatlah bahawa agama ini kena ada dalil dan bukan seperti agama lain. Mereka ada ketua agama yang boleh mencipta sesuatu amalan baru dalam agama mengikut kehendak dan kesesuaian semasa, kata mereka.
Tapi dalam agama kita, semuanya sudah diberitahu oleh Allah ﷻ dan Nabi ﷺ kepada kita. Adakah kita rasa agama kita tidak lengkap sampaikan kena ada penambahan baru?
يُحْيِي وَيُمِيتُ
Dia lah Yang menghidupkan dan Yang mematikan;
Sekarang Allah beri dalil kenapa Dia sahaja ilah. Kerana Dia sahaja yang boleh menghidupkan dan mematikan. Ini adalah kuasa yang tidak ada pada mana-mana makhluk lain. Oleh itu, kepada-Nya sahaja kita sembah. Adakah makhluk lain yang boleh menghidup dan mematikan kita? Tentu tidak ada.
Kalau ada yang kata Malaikat Maut boleh mematikan kita, itu juga adalah syirik kerana Malaikat Maut mematikan kita dengan izin Allah ﷻ, bukan dengan kuasanya sendiri. Semua umat Islam tahu perkara ini: Malaikat Maut hanya menjalankan tugas yang diarahkan oleh Allah sahaja.
رَبُّكُمْ
(Dia lah) Rabb kamu
Dialah sahaja Tuhan yang telah mencipta dan sedang memelihara kamu dan mentadbir alam ini. Itulah maksud Rabb. Maksud Rabb bukan ‘Tuhan’ sahaja. Allah ﷻ hendak memberitahu kita yang Dia lah yang mengurus dan menjaga kita. Memang selalunya diterjemah sebagai ‘Tuhan’ sahaja.
وَرَبُّ ءآبَائِكُمُ الْأَوَّلِينَ
dan Rabb datuk nenek kamu yang telah lalu.
Bukan sahaja Dia Tuhan kamu, tetapi Dia juga Tuhan kepada umat-umat terdahulu. Tok nenek kamu yang mengamalkan amalan dan ajaran yang salah itu juga Tuhan mereka adalah Allah ﷻ. Mereka telah melakukan kesalahan, maka janganlah jadi seperti mereka.
Dari ayat pertama sampai ayat ini, Allah ﷻ memperkatakan tentang Al-Qur’an dan Diri-Nya. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an di mana Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya berkali-kali supaya kita faham siapakah Dia. Maka, untuk kenal Allah ﷻ kita kena membaca Al-Qur’an dan fahami Al-Qur’an, dengan cara belajar tafsir Al-Qur’an. Siapakah yang lebih layak lagi dari Allah ﷻ untuk memperkenalkan Diri-Nya?
Oleh itu, tidak cukup kalau hanya belajar Sifat 20 untuk kenal Allah ﷻ Sepatutnya kena belajar tentang Allah ﷻ dari Al-Qur’an dahulu. Ada kemungkinan, Sifat 20 bukan memahamkan kita tentang Allah ﷻ, tetapi mengelirukan kerana ia ditulis dalam bentuk ilmu falsafah dan memang sifat falfasah ini berpusing-pusing ajarannya.
Ilmu falsafah adalah ilmu pemikiran yang berbelit-belit. Pusing sana dan sini sampai sudah tidak faham apa yang hendak disampaikan sebenarnya. Padahal cara Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an adalah dengan cara yang mudah. Kita sebagai manusia kena mengenali Allah ﷻ maka kerana itu Allah tidak susahkan kita untuk mengenaliNya. Takkanlah agama ini untuk orang yang terlalu pandai sahaja?
Jika hendak kenal Allah ﷻ perlu belajar menggunakan ajaran Sifat 20 yang berbelit-belit itu, adakah semua orang mampu? Maka tidak patut sekali belajar Sifat 20 itu. Malangnya, masyarakat kita sekarang ramai sangka itulah sahaja cara untuk kenal Allah. Maka mereka telah terbelit dengan pemahaman salah itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 28 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Ustad , kalo bukan nabi Muhammad yg memberi syafaat di hari akhir lalu syapa ? ? Allah mengasih wewenang kepada nabi untuk memeberikan syaafaat kepada umat nabi Muhammad , tpi knapa tadi saya membaca kalo nabi Muhammad tidak memberi Syafaat ?
LikeLike
Yang menentukan siapa yang dapat syafaat adalah Allah. Rasulullah tukang beri sahaja, macam posmen. Sila baca ayat-ayat yang lain, ada tempat yang saya jelaskan dengan panjang lebar.
LikeLike
Salam tuan,
Mohon pencerahan tentang bagaimana pernyataan ayat 6 dan 8 seperti dibawah berbeza dalam hal memberi salam :
5. Amalan di kubur Nabi ﷺ tidak boleh melebihi amalan para sahabat iaitu sekadar memberi salam.
VS
Mereka melakukan ibadat-ibadat lain lagi kepada entiti selain Allah ﷻ. Sebagai contoh, mereka akan memberi salam kepada Nabi, wali, malaikat pada malam hari sebagai amalan sesat mereka.
Jzkk
LikeLike
Bagi salam itu sebab di hadapan kubur Nabi. Macam kita bagi salam (mendoakan) ahli kubur apabila kita pergi kubur.
Yang karut itu apabila bukan depan kubur, tapi bagi salam.
As a side note, kita memang sudah hari-hari beri salam kepada baginda (dalam Tahiyat). Maka itu pun sudah memadai. Memang sudah ada dalil bagi kalimat beri salam kepada baginda dalam Tahiyat. Tapi tidaklah ada kalau di luar solat.
LikeLike