Tafsir Surah Ahzab Ayat 1 – 4 (Hukum Anak Angkat)

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Madaniyyah. Walaupun dalam susunan mushaf Al-Qur’an, ia terletak pada bilangan ke 33 namun sebenarnya dari tertib turun, ia telah diturunkan setahun sebelum Surah Nur (surah ke 24).

Surah ini memang payah untuk diringkaskan kepada satu-satu topik kerana Allah ‎ﷻ khitab (berkata) kepada Nabi ﷺ, juga kepada Mukminaat dan juga kepada orang Mukmin secara umum. Jadi ada banyak pihak yang disentuh dan banyak topik yang disentuh di dalamnya.

Dari segi akidah, surah ini hendak menafikan syafaat qahriyah. Ini penting kerana syafaat jenis ini banyak dipegang oleh Arab Mekah dan orang Arab keseluruhan pada zaman Jahiliah dan juga oleh golongan Yahudi dan Nasara. Iaitu fahaman wali, Nabi dan juga malaikat boleh beri sokongan kepada penyembah dan penyeru mereka.

Dan orang Islam yang jauh dari wahyu juga ada salah faham dalam perkara ini. Maka memang kenalah mendalami surah ini supaya akidah salah ini boleh diperbetulkan. Maka orang Islam hendaklah mendalami surah ini supaya tidak melakukan perbuatan syirik yang diamalkan oleh golongan jahiliah dulu.

Dan yang keduanya surah ini hendak mematikan adat resam masyarakat Arab iaitu tidak boleh mengahwini bekas isteri anak angkat. Bagi orang Arab, apabila memelihara anak angkat, maka anak angkat itu menjadi seperti anak sebenar. Dan menantu itu menjadi menantu sebenar dan mereka juga tahu bahawa tidak boleh menikahi menantu. Maka salah faham ini hendak diperbetulkan oleh Allah ‎ﷻ. Iaitu anak angkat tidak menjadi anak kandung atau anak sebenar.

Jadi khitab surah ini diberikan kepada Nabi ﷺ, kepada orang mukmin dan mukminaat kerana hendak memberitahu bahawa untuk menukar sesuatu fahaman yang telah dipegang lama, ia memerlukan kerjasama pemimpin, golongan lelaki dan juga wanita. Jadi semua kenalah tunduk taat kepada arahan dan Sunnah Nabi ﷺ.

Ini menunjukkan betapa payahnya hendak menghilangkan adat resam yang tidak patut di dalam masyarakat. Begitu jugalah yang kita alami dalam masyarakat kita sekarang pun. Banyak sekali alasan manusia untuk terus berpegang dengan adat resam (dalam agama) walaupun sebenarnya senang sahaja kerana hanya perlu ditinggalkan sahaja.

Ini kerana pendokong-pendokong adat resam itu akan tetap hendak mempertahankan fahaman salah itu sepertimana juga orang kafir masih hendak mempertahankan agama mereka. Mereka kononnya kata: biar mati emak, jangan mati adat.

Kerana itu Allah ‎ﷻ melarang untuk melakukan amalan-amalan bidaah kerana jikalau sudah dimulakan maka akan susah untuk menghilangkannya nanti. Mungkin pada asalnya ia nampak kecil sahaja tetapi kalau tidak diperbetulkan dari awal, maka akan menyebabkan fahaman salah itu kekal dalam masyarakat. Begitulah masalah yang dihadapi oleh pengamal sunnah sekarang apabila menegur amalan bidaah masyarakat. Kita pula yang dimarah balik.

Surah ini juga menceritakan tentang Perang Ahzab. Perang ini adalah perang yang amat penting dalam Islam dan ada banyak pengajaran yang kita boleh diambil darinya.

Dan dalam surah ini nanti akan disentuh tentang perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Saidatina Zainab رضي الله عنها.

Surah ini ada banyak persamaan dengan Surah Nur. Surah Nur itu juga ada menyentuh tentang perang. Dalam Surah Nuh juga menyentuh tentang hukum hakam dan undang-undang di dalam rumah, dan di dalam Surah Ahzab ini akan disebut tentang hukum di luar rumah pula. Ia menyentuh tentang hubungan sosial sesama umat Islam. Juga menyentuh tentang pakaian wanita di luar rumah.

Dalam Surah Nur ada menyebut tentang kontroversi berkenaan ahli rumah Nabi ﷺ dan dalam surah ini juga ada kontroversi berkenaan ahli rumah Nabi ﷺ juga.

Latar belakang Surah: Nabi Muhammad ﷺ mempunyai seorang anak angkat bernama Zaid رضي الله عنه dan baginda amat rapat dengan Zaid رضي الله عنه itu sampaikan baginda menamakannya Zaid bin Muhammad kerana baginda menganggapnya sebagai anak sendiri.

Zaid رضي الله عنه itu sebenarnya berasal sebagai seorang hamba kepada baginda tetapi Nabi Muhammad ﷺ telah membebaskannya dan melayannya seperti anaknya sendiri. Begitulah baiknya Nabi Muhammad ﷺ terhadap manusia.

Apabila sudah berhijrah ke Madinah maka Nabi Muhammad ﷺ mengahwinkan Zaid رضي الله عنه dengan Zainab رضي الله عنها, seorang wanita dari keturunan bangsawan yang berkedudukan mulia. Keluarga Zainab  رضي الله عنها dan Zaid رضي الله عنه sendiri tidak suka dengan perkahwinan ini kerana walaupun Nabi ﷺ sayang kepada Zaid رضي الله عنه, tetapi beliau tetap dipandang berstatus seorang hamba. Tujuan Nabi Muhammad ﷺ mengahwinkan mereka adalah untuk menghilangkan perasaan beza antara kedudukan di dalam masyarakat.

Walaupun mereka tidak sukakan cadangan Nabi ﷺ itu tetapi oleh kerana cadangan itu datang daripada baginda maka perkahwinan itu dilangsungkan juga.

Walaupun Islam tidak menghalang lelaki dan wanita daripada kedudukan yang berbeza untuk berkahwin, tetapi perasaan ini tetap ada di dalam diri manusia dan kita kena lihat dan fikirkan juga. Jadi kita boleh katakan yang perkahwinan ini tidak sekufu. Iaitu perkahwinan yang ‘tidak setara’, atau tidak sama taraf.

Perceraian biasa sahaja berlaku pada masyarakat Arab termasuklah selepas kebangkitan Islam pun. Ia bukanlah sesuatu yang memalukan kerana kalau pasangan itu lihat mereka berdua tidak sesuai selepas berkahwin, maka mereka boleh sahaja bercerai. Ini biasa sahaja berlaku dan tidak perlu dimalukan. Cuma masyarakat kita sahaja yang meletakkan stigma negatif kepada perceraian dan mentaliti ini hendaklah diubah.

Selepas merasai yang perkahwinan tidak berjalan dengan baik, maka Zaid رضي الله عنه banyak kali datang kepada Nabi ﷺ menceritakan beliau tidak sesuai dengan Zainab رضي الله عنها tetapi baginda tetap menyuruh mereka mempertahankan juga perkahwinan itu.

Perkahwinan itu tidak menjadi, maka tentu ada ketidakpuasan hati kerana perkahwinan itu asalnya dicadangkan oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Maka untuk menyelesaikan kekusutan itu maka Nabi Muhammad ﷺ perlu mengahwini Zainab رضي الله عنها sendiri untuk menunjukkan bahawa tidak ada masalah dengan Zainab رضي الله عنها.

Tetapi perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Zainab رضي الله عنها ini telah mencetuskan kontroversi. Ini adalah kerana dalam adat  orang Arab waktu itu, seorang ayah tidak boleh mengahwini menantunya sendiri walaupun menantu anak angkat. Maka golongan munafik telah menggunakan isu ini untuk menjatuhkan nama baik Rasulullah ﷺ.

Akan tetapi kita kena ingat bahawa Zaid رضي الله عنه itu bukanlah anak Nabi Muhammad ﷺ yang sebenar tetapi anak angkat sahaja. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ menggelarkan Zaid رضي الله عنه itu anaknya tetapi ia tidak menjadikan Zaid رضي الله عنه itu anak sebenarnya. Adat ini yang perlu diperbetulkan.

Maka walaupun Nabi Muhammad ﷺ menganggap Zaid رضي الله عنه itu sebagai anaknya sendiri tetapi di dalam Islam ia tidak menjadikan Zaid رضي الله عنه itu benar-benar anaknya. Maka tidak salah bagi Nabi Muhammad ﷺ untuk mengahwini janda Zaid رضي الله عنه itu.

Hukum Zihar

Dalam adat Arab pada waktu itu, menjadikan seseorang sebagai ahli keluarga boleh dilakukan kerana teramat sayang ataupun teramat benci. Seperti Nabi Muhammad ﷺ mengatakan Zaid رضي الله عنه itu anaknya adalah kerana baginda teramat sayang kepada Zaid رضي الله عنه itu.

Akan tetapi di dalam situasi yang lain, apabila seorang suami teramat benci kepada isterinya maka dia mengatakan yang isterinya itu haram seperti haramnya jimak dengan ibu sendiri. Perbuatan ini dinamakan zihar. Dan isu ini juga disentuh di dalam surah ini.


 

Ayat 1: Dari ayat ini sampai ke ayat ke 3 adalah Perenggan Makro Pertama di mana ditekankan kepada kita supaya jangan patuh kepada kehendak orang kafir dan golongan munafikin.

Umat Islam diingatkan supaya menolak adat resam jahiliah yang dahulu mereka telah berjanji untuk tinggalkan. Cukup dengan mematuhi kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Terimalah Allah ‎ﷻ sahaja sebagai tempat berserah dan menggantung harapan.

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ yang dalam menyampaikan wahyu Allah ‎ﷻ ini mestilah taat dan takut kepada Allah ‎ﷻ, bukannya takut kepada manusia. Mestilah juga sampaikan kebenaran dari wahyu walaupun manusia mungkin tidak suka. Maka baginda mesti menyampaikan semua wahyu dan tidak boleh menyembunyikan sebarang wahyu yang baginda rasakan berat.

Begitu juga kita yang mengajar tafsir Al-Qur’an, kenalah sampaikan semuanya. Jangan kita rasa ralat untuk menyampaikan kerana kita sudah dapat agak manusia tidak suka. Kita kena kurangkan rasa takut terhadap manusia tetapi mesti lebihkan takut kepada Allah ‎ﷻ.

يىٰأَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللهَ وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ ۗ إِنَّ اللهَ كانَ عَليمًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Aḥzāb: The Companies or The Combined Forces, referring to the alliance of disbelieving Arab tribes against the Muslims in Madīnah for the battle called “al-Aḥzāb” or “al-Khandaq” (the Trench).

O Prophet, fear Allāh and do not obey the disbelievers and the hypocrites. Indeed, Allāh is ever Knowing and Wise.

(MELAYU)

Hai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

 

يىٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Wahai Nabi,

Dalam surah ini ada lima titah kepada Nabi Muhammad  ﷺ dan ini adalah titah yang pertama. Kalau titah diberikan kepada Nabi ﷺ, tidaklah ia hanya untuk baginda sahaja. Ia juga adalah arahan untuk kita, tetapi arahan itu ditinggikan lagi apabila ia diberikan mulanya kepada Rasulullah ﷺ. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun kena buat, mana mungkin umatnya (iaitu kita) tidak perlu ikut pula, bukan?

Nabi ﷺ dipanggil dengan pangkat baginda (Nabi atau Rasul) dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Sedangkan kalau kita perhatikan kepada Nabi-nabi lain, Allah ‎ﷻ panggil mereka dengan nama mereka. Allah ‎ﷻ memberikan penghormatan kepada Nabi Muhammad dengan memanggil baginda dengan pangkatnya. Hanya ada 4 kali (3:144, 33:40, 47:2 dan 48:29) sahaja nama baginda disebut dan itu pun kerana ada sebab yang hendak disampaikan.

 

اتَّقِ اللهَ

bertakwalah kepada Allah

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya taat dan takut kepada-Nya sahaja dan jangan takut dengan apa yang dikatakan oleh golongan kafir dan juga munafiqin.

Perintah ini lahiriahnya ditujukan kepada orang yang berkedudukan tinggi (Nabi), tetapi makna yang dimaksudkan ditujukan kepada orang yang lebih rendah kedudukannya (umatnya). Kerana sesungguhnya Allah ‎ﷻ itu apabila memerintahkan kepada hamba dan Rasul-Nya dengan perintah ini, maka terlebih lagi kepada orang yang di bawahnya.

Talq ibnu Habib رحمه الله pernah mengatakan bahawa taqwa ialah bila engkau selalu mengerjakan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ atas dasar cahaya dari Allah ‎ﷻ dan mengharapkan pahala-Nya, dan bila kamu meninggalkan penderhakaan terhadap Allah ‎ﷻ atas dasar cahaya dari Allah ‎ﷻ dan kerana takut terhadap azab-Nya.

Asbabun Nuzul ayat ini: ada pemuka Quraisy datang ke Madinah dan minta Nabi Muhammad ﷺ menerima berhala-berhala mereka sebagai wasilah. Nabi Muhammad ﷺ marah dan para sahabat juga sudah marah dan hendak membunuh pemuka Quraisy itu. Maka Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini sebagai peringatan untuk tidak melakukannya kerana telah ada perjanjian damai dengan Mekah pada waktu itu.

 

 

وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ

dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. 

Orang kafir itu merujuk kepada Musyrikin Mekah dan orang munafik itu merujuk kepada golongan yang tidak percaya kepada baginda di Madinah. Golongan Munafik itu mengaku beriman tetapi sebenarnya mereka tidak beriman.

Ini kerana mereka ada pemahaman adat resam yang mereka tidak mahu ubah. Mereka bantah ajaran wahyu yang bertentangan dengan adat resam mereka. Kalau kita lihat dalam masyarakat kita pun ada masalah ini.

Ayat ini juga memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan terpengaruh dengan orang kafir dan orang munafik. Jangan terpengaruh dengan kata-kata orang kafir di Mekah dan juga orang munafik di Madinah yang mengutuk Nabi Muhammad ﷺ kerana berkahwin dengan janda anak angkatnya sendiri kerana Zaid رضي الله عنه itu tidak menjadi anaknya yang sebenar.

Ayat ini diturunkan setelah Zaid رضي الله عنه menceraikan Zainab  رضي الله عنها. Maka waktu itu adalah waktu yang sesuai untuk mengahwini Zainab رضي الله عنها untuk memusnahkan adat resam yang melarang mengahwini bekas isteri anak angkat. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ takut untuk mengambil langkah ini. Ini kerana baginda takut apa yang akan dikatakan oleh puak kafir dan juga munafik.

Baginda bukannya takut nama baginda tercalar, tetapi baginda takut gerakan Islam yang tercalar. Takut nanti ada orang yang lemah iman akan terikut-ikut dengan tohmahan yang dikeluarkan oleh puak kafir dan munafik.

Kalau baginda terpengaruh atau terkesan dengan kata-kata mereka, maka baginda dikira telah mengikut hawa nafsu mereka. Maka kita pun janganlah risau sangat kalau memperkatakan perkara yang tidak sesuai dengan adat resam masyarakat.

Antaranya, jangan takut untuk menegur amalan bersanding masyarakat kita walaupun ia telah lama diamalkan. Perkara yang salah tetap harus ditegur. Janganlah hendak jaga sangat adat resam sampaikan amalan agama Hindu pun kita buat juga.

Jangan turut orang kafir dan munafik itu juga bermaksud jangan ikut saranan dari mereka yang tidak patut dilakukan. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah ada mencadangkan kepada Nabi ﷺ untuk menerima berhala-berhala sebagai wasilah. Kalau baginda terima, mereka sanggup memberikan separuh dari kekayaan Mekah kepada baginda.

Kalau kita dilarang dari mengikut saranan orang kafir, memang kita boleh faham kerana mereka akan cakap perkara yang berlawanan dengan agama. Tetapi kenapa disebut munafikin juga? Bukankah kalau mereka buat saranan seperti orang kafir, maka tentu pecah tembelang mereka?

Jawapannya, memang mereka tidak cakap dengan terus terang, tetapi kena berhati-hati dengan kata-kata mereka kerana mereka mungkin berselindung dan kata-kata mereka itu sebenarnya menyokong pendapat orang kafir tanpa kita sedari. Maka kita kena perhati mereka yang ada sifat-sifat nifak dan jangan terkesan dengan kata-kata mereka.

 

إِنَّ اللهَ كانَ عَليمًا حَكيمًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Maka kena taat sahaja kepada arahan Allah ‎ﷻ dan tidak mempersoalkan hukum Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tahu apa yang diperlukan oleh manusia. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ tahu hukum apa yang patut dikenakan kepada manusia dan apakah perkara yang perlu ditukar dalam adat resam kalau ia tidak sesuai untuk agama.

Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk tidak menikahi Zainab رضي الله عنها. Ini tentu menyelamatkan baginda dari kes ini. Tetapi Allah ‎ﷻ mahukan peristiwa itu berlaku dan kemudian menurunkan surah ini kerana hendak memberi pengajaran kepada manusia. Semua ini adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ yang Maha Bijaksana.


 

Ayat 2: Kalau tidak boleh ikut fahaman salah masyarakat, jadi baginda kena ikut yang mana? Ikutlah wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Ia juga adalah titahan kepada kita juga.

وَاتَّبِع ما يوحىٰ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And follow that which is revealed to you from your Lord. Indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

(MELAYU)

Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

وَاتَّبِع ما يوحىٰ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ

Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. 

Nabi Muhammad ﷺ dan kita hanya perlu mengikut wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan dan tidak perlu risau dengan kata-kata manusia. Firman Allah ‎ﷻ lebih tinggi dan lebih penting dari kata-kata manusia.

 

إِنَّ اللهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Dan Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apa yang diperkatakan dan dilakukan oleh manusia tentang perkara ini dan apa-apa sahaja. Maka kalau Nabi Muhammad ﷺ menegakkan kebenaran tetapi baginda ditohmah dan dikutuk, maka kesabaran baginda itu tidak sia-sia kerana kesabaran baginda itu akan dibalas. Ini kerana Allah tahu apa yang baginda lalui dan akan dibalas dengan pahala atas kesusahan baginda itu.

Maka begitulah juga jikalau kita dituduh dengan pelbagai tuduhan sedangkan kita hanya hendak menegakkan kebenaran. Kadangkala kita menegur ahli keluarga dan kawan-kawan kita yang melakukan amalan syirik dan juga bidaah, tetapi dimarahi dan dikutuk pula.

Maka kita kenalah bersabar dengan apa yang mereka kata itu. Namun begitu, tentunya kesabaran kita itu tidaklah percuma sahaja. Allah ‎ﷻ akan membalas dengan pahala yang amat banyak. Jadi sabar sahajalah jika dikutuk sebagai Wahabi dan sebagainya.


 

Ayat 3: Walau apa yang berlaku, kenalah ikut wahyu dan kemudian serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Apa-apa yang berlaku, itu semua dalam kehendak Allah ‎ﷻ, kita kena terima sahaja.

وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And rely upon Allāh; and sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

(MELAYU)

Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara.

 

وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ

dan bertawakkallah kepada Allah.

Dan hendaklah Nabi ﷺ bertawakal dengan menyerahkan diri dan urusan baginda kepada Allah ‎ﷻ. Jangan baginda risau yang kejadian itu akan menyebabkan Islam dan dakwah baginda terbantut. Allah beri nasihat ini kerana baginda risau sangat nanti manusia sudah tidak percaya kepada baginda.

Walaupun perkara ini adalah hal dalam keluarga baginda, tetapi ia telah menyesakkan hati baginda kerana pada waktu itu baginda sedang menghadapi kemungkinan diserang oleh Mekah.

Dan dalam masa yang sama baginda sedang menghadapi masalah dengan golongan Yahudi di Madinah kerana mereka itu hendak menjatuhkan Islam dari dalam. Pada waktu itu dua puak daripada golongan Yahudi telah pun dihalau. Dan telah ada ketidakpuasan yang kuat dari Yahudi.

Maka di dalam situasi yang agak tegang waktu itu, maka tentulah isu ini menjadi sesuatu yang besar. Dan memang jikalau ketua mengalami skandal seperti ini, ia akan menyebabkan rakyat menjadi lemah semangat dan tidak bersatu dan akan melemahkan umat Islam jikalau tidak ditangani dengan baik.

Kerana itu di dalam percaturan politik, selalunya pihak lawan akan menyerang peribadi pihak lawannya seperti skandal peribadi ataupun isu yang dihadapi oleh ahli politik itu di dalam keluarga dan cara ini amat berkesan walaupun isu-isu dalaman keluarga sepatutnya tidak ada apa-apa pun dengan pemerintahan.

Tetapi manusia memang terkesan dengan perkara-perkara sebegini. Banyak sekali ahli politik dijatuhkan dengan cara ini. Pihak musuh akan korek apa sahaja masalah dalaman ahli politik itu.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara.

Maka Allah ‎ﷻ memberitahu kepada baginda yang cukuplah Allah ‎ﷻ menguruskan hal baginda dan akan menyelesaikan kekacauan yang dialami oleh baginda. Serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Ini memang nasihat untuk kita juga. Kadangkala kita risau sangat dengan apa yang berlaku pada diri kita dan kita rasa kita sudah tidak boleh berbuat apa lagi. Memang kita tidak boleh buat apa-apa, tetapi Allah ‎ﷻ boleh melakukan apa sahaja. Allah ‎ﷻ akan susun supaya perkara menjadi baik semula.


 

Ayat 4: Dari ayat ini sampai ayat ke 6 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Terdapat perbincangan HUKUM ZIHAR DAN ANAK ANGKAT. Dua hukum ini telah sedia ada dalam amalan Arab jahiliyah. Isteri jika tidak dikehendaki lagi hendaklah dilepaskan secara baik bukan secara zihar, atau tergantung hubungan (gantung tanpa tali). Islam datang mengharamkan perbuatan itu.

Selain zihar kita akan tengok hukum anak angkat tidak boleh lagi dibinkan dengan nama bapa angkat. Dan kita akan tengok adakah boleh bernikah dengan janda anak angkat.

مّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلبَينِ في جَوفِهِ ۚ وَما جَعَلَ أَزوٰجَكُمُ اللّائي تُظٰهِرونَ مِنهُنَّ أُمَّهٰتِكُم ۚ وَما جَعَلَ أَدعِياءَكُم أَبناءَكُم ۚ ذٰلِكُم قَولُكُم بِأَفوٰهِكُم ۖ وَاللهُ يَقولُ الحَقَّ وَهُوَ يَهدِي السَّبيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has not made for a man two hearts in his interior. And He has not made your wives whom you declare unlawful¹ your mothers. And He has not made your claimed [i.e., adopted] sons your [true] sons. That is [merely] your saying by your mouths, but Allāh says the truth, and He guides to the [right] way.

  • By the expression “You are to me like the back of my mother.” Such an oath taken against approaching one’s wife was a pre-Islāmic practice declared by Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) to be a sin requiring expiation as described in 58:34.

(MELAYU)

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).

 

مّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلبَينِ في جَوفِهِ

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi lelaki, dua buah hati dalam rongganya;

Allah ‎ﷻ tidak menjadikan seorang ‘lelaki’ ada dua hati. Sebagai contoh, kalau hatinya tidak suka kepada isterinya sampai menyebabkan hendak bercerai, maka dia tidak ada satu hati yang lain yang kembali sayang kepada isterinya itu. Maka kalau dia tidak sayang maka tentulah dia tidak sayang.

Dari segi literal pun, ini adalah benar dari segi fizikal. Allah ‎ﷻ sebut ‘lelaki’ sahaja yang tidak akan ada dua jantung di dalam tubuhnya. Ini kerana kalimah جوف bermaksud rongga badan manusia daripada dada hingga ke perut.

Memang lelaki tidak akan ada dua jantung di dalam tubuhnya tetapi wanita berkemungkinan besar akan ada dua hati dalam rongga badannya kerana apabila mereka mengandung, maka mereka ada ‘dua jantung’ di dalam tubuh mereka. Satu jantungnya, dan satu lagi jantung anaknya.

Kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah جوف tetapi tidak mengunakan kalimah صدور (dada) kerana sampai bila-bila pun lelaki dan wanita tidak akan ada dua jantung di dalam dada. Kerana jantung kedua dalam tubuh wanita itu bukan dalam dada wanita itu tapi dalam rongga tubuhnya.

Tetapi maksud ayat ini adalah seorang lelaki tidak boleh ada cinta dan benci dalam satu masa kerana kalau dia cinta maka dia cinta, dan jika dia benci maka dia benci.

Dan kalau kita tafsirkan di segi akidah pula, ia bermaksud jika seseorang itu sudah percaya kepada Allah ‎ﷻ maka tidaklah boleh dia percaya kepada ilah selain Allah ‎ﷻ. Kalau percaya dan seru kepada ilah selain Allah ‎ﷻ, maka itu adalah syirik. Juga kalau seorang itu Muslim, dia tidak boleh menjadi kafir; kalau dia munafik, tentu dia tidak boleh jadi mukmin dalam masa yang sama.

Ataupun seseorang itu tidak boleh mengikut syariat Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama dia membuat syariatnya sendiri. Kena pilih satu sahaja.

Maka kalau kita beri label lain pun, ia tidak mengubah hakikatnya. Kalau orang kafir kita panggil sebagai seorang ‘Muslim’, dia tetap kafir, bukan?

 

وَما جَعَلَ أَزوٰجَكُمُ اللّائي تُظٰهِرونَ مِنهُنَّ أُمَّهٰتِكُم

dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu,

Zihar adalah salah satu dari amalan buruk Arab Jahiliyyah. Apabila mereka tidak suka kepada isteri mereka, maka mereka akan kata isterinya itu haram sebagaimana haram untuk mereka meniduri isteri mereka. Ini adalah kerana kalimah ظهر bermaksud ‘belakang badan’. Jadi apabila tengah marah dengan isteri, lelaki Jahiliyah akan berkata: “Engkau bagiku seperti punggung (belakang) ibuku,”.

Apabila dia berkata begitu, maka dia tidak boleh lagi bersama dengan isterinya. Inilah adat dalam masyarakat Arab waktu itu. Namun begitu dalam masa yang sama, dia tidak menceraikan isterinya pun. Maka isterinya tidak boleh untuk berkahwin lain.

Maka statusnya tergantung tanpa tali. Tidak bersama dengan suaminya dan tidak boleh untuk berkahwin lain. Kalau suaminya itu lepaskan terus (cerai), bolehlah dia berkahwin lain, bukan? Tetapi kalau ‘zihar’, perceraian tidak berlaku.

Maka ini adalah kezaliman kerana isteri akan dibiarkan tetapi tidak dilepaskan untuk dia menguruskan dirinya dengan berkahwin lain ataupun balik kampung dan sebagainya. Perbincangan panjang tentang zihar ada di dalam Surah Mujadalah. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain:

{مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلا اللائِي وَلَدْنَهُمْ}

padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. (Al-Mujadilah: 2), hingga akhir ayat.

Maka Allah ‎ﷻ menegur kezaliman itu dan Allah ‎ﷻ melarang dilakukan lagi adat resam itu. Allah ‎ﷻ memberitahu yang isteri mereka yang mereka zihar dengan kata isterinya seperti ibu mereka, tidak akan menjadi ibu mereka sampai bila-bila. Sepertimana seorang lelaki tidak mungkin ada dua hati dalam rongganya.

 

وَما جَعَلَ أَدعِياءَكُم أَبناءَكُم

dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu

Dan anak angkat yang mereka anggap sebagai anak sendiri itu tidak menjadikan anak-anak sebagai anak kandung mereka. Walaupun mereka kata itu anak mereka atau binkan dengan nama mereka. Itu hanya kata-kata manusia sahaja. Anak-anak itu tetap sebagai anak angkat sahaja.

Sama juga, kita tidak boleh buang anak kita. Mereka tetap menjadi anak kita. Tidak boleh buang anak atau ahli keluarga yang lain. Pertalian itu tetap ada sampai bila-bila. Jadi kalau ada yang tidak mengaku anak, itu hanyalah perasaan marah yang meluap sahaja sampai otak tidak dapat berfikir lagi sampai konon ingin membuang anaknya. Hakikatnya anak itu tetap anaknya.

 

ذٰلِكُم قَولُكُم بِأَفوٰهِكُم

Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja.

Itu adalah kata-kata mereka sahaja dan kata manusia tidak boleh menjadi hukum. Anak angkat itu tidak mungkin menjadi anak sebenar kepada bapa angkatnya kerana dia keluar dari tulang sulbi lelaki lain.

Anak itu juga tidak mungkin ada dua ayah pula sepertimana seorang tidak mungkin ada dua hati dalam rongganya.

 

وَاللهُ يَقولُ الحَقَّ

Dan Allah mengatakan yang haq

Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ firmankan, ia menjadi syariat. Kata-kata Allah ‎ﷻ tidak sama dengan kata-kata manusia.

Maka ayat ini boleh disampaikan kepada orang yang berbuat bidaah dalam agama. Kena ingat yang kata-kata manusia tidak menjadi syariat. Kalau mereka reka amalan dan mengatakan amalan ini bagus, Allah ‎ﷻ suka kalau melakukannya, tidaklah ia menjadi syariat dalam agama. Kalau ada yang kata sesuatu amalan itu ‘bidaah hasanah’, ia hanyalah kata-kata manusia sahaja. Tidaklah ia akan menghasilkan pahala. Kerana untuk jadi pahala, kena ada dalil dari Allah ‎ﷻ.

 

وَهُوَ يَهدِي السَّبيلَ

dan Dia menunjukkan jalan.

Dengan wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan itu akan memimpin manusia sampai kepada Dia. Maka kenalah belajar dan amalkan wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Kalau reka sendiri, amalan itu tidak akan sampai kepada Allah ‎ﷻ.

Allahu a’alam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 28 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s