Pengenalan kepada Surah Mujaadilah
Surah ini mempunyai ciri unik daripada surah lain dalam Al-Qur’an. Dalam setiap ayat dalam surah ini, terdapat lafaz Jalallah (lafaz ALLAH). Ada dalam satu ayat hanya terdiri dari satu lafaz Jalallah, ada yang dua, atau tiga, dan bahkan ada yang lima lafaz, seperti pada ayat 22 dalam surah ini.
Dalam surah ini dan juga surah-surah yang lain banyak kali Allah ﷻ menyebut tentang hal-hal kekeluargaan dan juga iman kerana kedua-dua perkara itu berkait rapat. Kerana kita tidak boleh menjaga iman kita sahaja tanpa menjaga iman ahli keluarga kita.
Surah ini seperti juga hujung Surah Hadid adalah berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Dan surah ini adalah surah ke dua dari rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:
1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak
Dimulakan surah ini dengan kisah seorang isteri yang mengadu tentang suaminya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ini adalah isu hubungan keluarga yang disentuh. Pertelingkahan antara suami dan isteri adalah perkara yang biasa terjadi dan ianya perlu ditangani dengan baik.
Kadangkala apabila kita marah kepada pasangan kita, ada kemungkinan yang kita akan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik dan akan menyebabkan patah hati pasangan kita itu. Maka kenalah jaga perkara ini.
Ayat pertama surah ini adalah berkenaan seorang suami yang terlalu marah kepada isterinya sampaikan dia telah menzihar isterinya. Zihar adalah satu perbuatan apabila seorang suami tidak mahu kepada isterinya lagi dan dia kata isterinya seperti ‘belakang’ ibunya.
Apabila dia berkata begitu maka isterinya itu sudah haram untuk digauli olehnya. Kerana seorang lelaki tidak boleh mengadakan hubungan seks dengan ibunya sendiri. Memang hukum ini sudah ada dalam masyarakat Arab Jahiliah lagi.
Zihar ini bukan hanya terjadi kalau disamakan dengan isteri sahaja, tetapi kalau disamakan dengan wanita yang haram dikahwini seperti anak dan juga kakak.
Dan Zihar itu terjadi jikalau seorang suami menyamakan tubuh badan yang haram dipandang oleh lelaki itu. Jadi kalau samakan dengan kepala, kaki dan tangan, tidaklah termasuk Zihar. Tapi kita ingatkan yang mestilah perkataan Zihar itu terjadi kerana ada niat untuk menzihar isteri. Kalau tersilap cakap sahaja, itu tidaklah jatuh hukum zihar itu.
Jadi ini adalah kisah seorang wanita yang bernama Khaulah bint Tha`labah yang telah mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ apabila suaminya melakukan zihar kepadanya. Dia risau kerana dia ada anak-anak kecil dan dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Keberaniannya mengadukan halnya kepada baginda ﷺ telah menyebabkan kedudukannya tinggi di kalangan sahabat. Pernah sekali Khalifah Umar ditahan oleh Khaulah di tengah jalan dan beliau mendengar apa yang dikatakan oleh Khaulah itu. Orang lain hairan kenapa Umar berikan perhatian kepada seorang perempuan tua. Maka Umar memberitahu yang itu adalah Khaulah, yang kata-katanya didengar di Langit Ke-Tujuh.
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Musa ibnu Ismail alias Abu Salamah, telah menceritakan kepada kami Jarir ibnu Hazm yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abu Yazid menceritakan hadis berikut, bahawa pernah ada seorang wanita bersua dengan Umar, wanita itu dikenal dengan nama Khaulah binti Sa’labah, sedangkan Umar saat itu sedang berjalan dengan orang-orang banyak. Lalu wanita itu meminta agar Umar berhenti. Maka Umar berhenti dan mendekatinya, kemudian mendengar apa yang dikatakannya dengan mendekatkan kepalanya dan meletakkan kedua tangannya ke pundak wanita itu, hingga wanita itu selesai dari keperluannya, lalu pergi. Maka ada seorang lelaki berkata kepada Umar, “Wahai Amirul Mu’minin, teganya engkau menahan banyak lelaki dari Quraisy demi nenek ini.” Umar menjawab, “Celakalah kamu, tahukah kamu siapakah wanita ini?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Umar berkata, “Wanita inilah yang pengaduannya didengar oleh Allah dari atas langit yang ketujuh, wanita ini adalah Khaulah binti Sa’labah. Demi Allah, seandainya dia tidak pergi dariku sampai malam hari, aku tidak akan pergi meninggalkannya hingga dia selesai dari keperluannya; terkecuali bila datang waktu salat, maka aku kerjakan salatku lebih dahulu kemudian kembali lagi kepadanya, hingga dia menyelesaikan keperluannya dariku.”
Apabila dizihar, Khaulah tiada jalan keluar kerana adat resam pada waktu itu jikalau telah berlaku zihar maka ianya seperti talaq. Tapi tidaklah tepat seperti talaq kerana perceraian tidak terjadi. Ia seolah-olah ‘gantung tak bertali’. Seorang isteri yang dizihar dibiarkan begitu sahaja dengan tidak disentuh dan dalam masa yang sama tidak bebas untuk berkahwin dengan orang lain. Kalau benar-benar ditalaq, bolehlah dia menikah dengan lelaki lain, tapi kalau zihar, ia bukan talaq.
Walaupun aduan telah dibuat, tetapi Nabi Muhammad ﷺ hanya diam sahaja kerana baginda tidak tahu jawapan sebelum diberikan wahyu oleh Allah ﷻ. Baginda pun tiada jalan keluar bagi Khaulah. Memang selalunya baginda akan tunggu wahyu dari Allah ﷻ untuk memberi hukum atau jalan penyelesaian.
Bukanlah Nabi Muhammad ﷺ sentiasa sahaja diam jikalau ditanya pendapat baginda. Ianya bergantung kepada wahyu kepada baginda ﷺ. Kerana kadangkala wahyu sampai kepada baginda untuk tidak menjawab kerana wahyu akan diberikan kemudian.
Tetapi ada juga ketikanya yang Nabi Muhammad ﷺ terus memberi keputusan dan ayat-ayat Al-Qur’an datang kemudian untuk membenarkannya atau kadang kala menegur baginda kerana kesilapan dalam keputusan.
Sebagai contoh, dalam hal peperangan di mana ada orang Islam yang datang kepada baginda untuk meminta kebenaran untuk tidak pergi berperang maka baginda beri kebenaran kepada mereka. Tetapi kemudian datang ayat Al-Qur’an yang menegur baginda di atas perbuatan baginda itu. Ini kerana baginda sepatutnya tidak beri keizinan kepada mereka.
Semua ini terjadi dalam takdir Allah ﷻ kerana Allah ﷻ hendak mengajar manusia dengan berbagai-bagai cara. Kerana ayat Al-Qur’an memang telah ada di Lauh Mahfuz dan jawapan baginda ﷺ itu tidak tepat dan kemudian dibetulkan oleh Allah ﷻ itu memang tepat seperti yang dikehendaki oleh Allah. Allah ﷻ memang sudah rancang dari dulu lagi. Bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang akan disebut oleh Nabi ﷺ.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengajar hukum Allah ﷻ yang wajib dijaga bila berlaku Zihar.
قَد سَمِعَ اللهُ قَولَ الَّتي تُجٰدِلُكَ في زَوجِها وَتَشتَكي إِلَى اللهِ وَاللهُ يَسمَعُ تَحاوُرَكُما ۚ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Mujādilah: The Arguing (or Pleading) Woman.
Certainly has Allāh heard the speech of the one who argues [i.e., pleads] with you, [O Muḥammad], concerning her husband and directs her complaint to Allāh. And Allāh hears your dialogue; indeed, Allāh is Hearing and Seeing.
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang bersoal jawab denganmu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
قَد سَمِعَ اللهُ قَولَ الَّتي تُجٰدِلُكَ في زَوجِها
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang bersoal jawab denganmu tentang suaminya,
Apabila Khaulah mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ maka baginda hanya boleh memberitahu bahawa kena ikut adat resam Arab waktu itu kerana itulah yang telah dipakai selama ini. Khaulah tidak puas hati dan telah merayu lagi kepada baginda dan mengadu lagi kepada Nabi ﷺ maka jawapan itu sahaja yang ada pada Nabi ﷺ.
Menurut riwayat Ibnu Abu Hatim dari Al-A’masy, dari Tamim ibnu Salamah, dari Urwah, dari Aisyah, disebutkan bahawa dia pernah berkata, “Maha suci Tuhan Yang pendengaran-Nya meliputi segala sesuatu, sesungguhnya aku benar-benar mendengar suara pembicaraan Khaulah binti Sa’labah, tetapi sebahagiannya tidak dapat kudengar, iaitu ketika dia mengadukan perihal suaminya kepada Rasulullah Saw. Dia mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, suamiku telah makan hartaku dan menghisap masa mudaku, serta kubentangkan perutku untuknya, hingga manakala usiaku telah menua dan aku tidak dapat beranak lagi, tiba-tiba dia melakukan zihar terhadapku. Ya Allah, aku mengadu kepada Engkau masalah yang menimpaku ini’.” Siti Aisyah r.a. melanjutkan kisahnya, bahawa sebelum Khaulah bangkit pulang, Jibril turun dengan membawa ayat ini, iaitu: Sungguh, Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan gugatan kepadamu (Muhammad) tentang suaminya. (Al-Mujadilah: 1)
Saidatina Aisyah رضي الله عنها mengatakan bahawa suami Khaulah adalah Aus ibnus Samit.
Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa Dia mendengar aduan Khaulah kepada Nabi Muhammad ﷺ yang mendesak keputusan daripada baginda. Tetapi baginda senyap sahaja kerana baginda ﷺ menunggu wahyu tentang perkara itu.
وَتَشتَكي إِلَى اللهِ
dan dia mengadukan (halnya) kepada Allah.
Apabila Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat memberi keputusan maka Khaulah telah berpaling dan mengadu kepada Allah ﷻ untuk beri bantuan. Kalimah تَشتَكي dari kata dasar ش ك و yang antara lain bermaksud mengadu, mendengar rayuan, membuang penyebab rayuan (menyelesaikan masalah yang diadu).
وَاللهُ يَسمَعُ تَحاوُرَكُما
Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua.
Kalimah تَحاوُرَكُما dari kata dasar ح و ر bermaksud ‘dialog’. Ianya di dalam wazan تفاعل (wazan ada timbal balik) bermakna mereka berdua bertukar-tukar percakapan kerana Nabi melayan apa yang disampaikan oleh wanita itu.
Dari segi bahasa yang digunakan juga bermaksud yang pertukaran kata-kata mereka itu di dalam keadaan yang aman. Bukanlah ada perkelahian antara mereka berdua. Kerana Khaulah tentu hormat kepada Nabi ﷺ. Dan tentunya Nabi ﷺ melayan beliau dengan baik.
Allah ﷻ hendak memberitahu yang aduan wanita itu amat penting sampaikan Allah ﷻ masukkan aduan itu di dalam Al-Qur’an dan menjadi ajaran kepada manusia sehingga hari kiamat. Maka ini menunjukkan yang isu yang dibangkitkan oleh wanita itu adalah isu yang amat penting dan perlu diketahui oleh semua manusia. Ia adalah tentang kedudukan seorang wanita dan isteri yang dijaga kedudukan dan hak mereka oleh Allah ﷻ.
إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Allah ﷻ tetap mendengar segala percakapan manusia termasuk di dalam hati. Maka jangan sangka Allah ﷻ tidak mendengar rintihan hati kita. Cuma kadangkala bukan masa lagi untuk Allah ﷻ beri keputusan dan pertolongan. Maka teruskan berdoa kepada Allah ﷻ tanpa rasa putus asa.
Segala yang berlaku dalam pemerhatian Allah ﷻ. Allah ﷻ tidaklah bersama kita (secara fizikal) tetapi Allah ﷻ tahu dengan ilmu-Nya yang amat luas. Tidak ada perkara yang Allah ﷻ tidak tahu. Maka selalulah mengadukan hal kita dan masalah kita kepada Allah ﷻ dengan tawaduk dan berharap. Kena sedar yang apabila kita mengadu itu, Allah ﷻ sedang mendengar.
Ayat 2: Sekarang Allah ﷻ beri peraturan apabila seorang suami telah melafaz zihar terhadap isterinya. Kadang-kadang ada yang terlepas cakap dan kemudian menyesal. Lalu bagaimana cara keluar dari masalah itu?
الَّذينَ يُظٰهِرونَ مِنكُم مِّن نِسائِهِم مّا هُنَّ أُمَّهٰتِهِم ۖ إِن أُمَّهٰتُهُم إِلَّا اللّٰئي وَلَدنَهُم ۚ وَإِنَّهُم لَيَقولونَ مُنكَرًا مِّنَ القَولِ وَزورًا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَعَفُوٌّ غَفورٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Those who pronounce thihār¹ among you [to separate] from their wives – they are not [consequently] their mothers. Their mothers are none but those who gave birth to them. And indeed, they are saying an objectionable statement and a falsehood. But indeed, Allāh is Pardoning and Forgiving.
- The saying by a husband to his wife, “You are to me like the back of my mother,” meaning unlawful to approach. This was a type of divorce practiced by the Arabs before the prophethood of Muḥammad (ṣ).
(MELAYU)
Orang-orang yang menzhihar isterinya di antara kamu, (menganggap isterinya sebagai ibunya, padahal) tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan suatu perkataan mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.
الَّذينَ يُظٰهِرونَ مِنكُم مِّن نِسائِهِم
Orang-orang yang menzihar isterinya di antara kamu,
Sebenarnya Allah ﷻ menegur adat resam bangsa Arab waktu itu yang teruk. Mereka mengamalkan apa yang dipanggil sebagai ‘zihar’. Sepatutnya tidak ada amalan zihar ini kerana ia menyeksa wanita. Sudahlah isteri itu tidak disentuh selepas itu, mereka tidak dilepaskan terus (cerai) dan mereka kerana itu mereka tidak dapat berkahwin dengan orang lain.
Jadi Zihar ini adalah amalan adat orang Arab. Orang kita tidak ada amalan zihar ini. Jadi kalau ada lelaki kata kepada isteri dia: “jari awak ni sama betullah dengan jari emak saya….” tidaklah ia menjadi zihar. Kerana suami itu tidak ada niat nak menzihar isteri dia.
Kalimah يُظٰهِرونَ daripada katadasar ظ ه ر yang antara lain bermaksud ‘belakang’. Ini adalah kerana masyarakat Arab apabila hendak menzihar isterinya, dia akan kata: “belakang kamu macam belakang emak aku”.
Mereka buat begitu kerana sudah tidak mahu kepada isterinya lagi, tapi dalam masa yang sama, tidak lepaskan terus dengan talak supaya boleh menikah dengan orang lain. Maknanya, mereka betul-betul seksa jiwa dan raga wanita itu. Jadi Allah ﷻ hendak perbetulkan ketidakadilan ini.
مّا هُنَّ أُمَّهٰتِهِم
tiadalah isteri mereka itu ibu mereka.
Allah ﷻ ingatkan yang walaupun mereka telah sebut menyamakan belakang atau mana-mana bahagian isteri mereka dengan emak mereka, tidaklah isteri mereka menjadi emak mereka. Emak tetap emak dan isteri mereka tetap isteri mereka.
Maka kalau begini, selesailah masalah. Isteri-isteri itu tetap menjadi isteri kamu dan tidak menjadi ibu kamu pun. Status perkahwinan antara suami dan isteri itu tidak putus. Tidaklah sampai tidak boleh bersama lagi sampai bila-bila.
Maknanya, kalau kita panggil isteri kita itu dengan panggilan apa-apa sahaja, ia tetap tidak akan mengubah status mereka. Panggilan tidak akan mengubah apa-apa. Macam kita kata: “besi itu emas” – cakaplah berjuta kali pun, besi itu tidak akan berubah jadi emas.
Maka, kita kena ingat yang ini sama juga dengan ajnabi. Kalau seorang lelaki ada kawan perempuan, maka walaupun dia kata perempuan itu seperti ‘adiknya’ atau dia anggap sebagai ‘adik angkat’, mereka tetap ajnabi. Maka jangan sangka yang kata-kata kamu itu boleh mengubah hukum Allah ﷻ. Jangan kata: “tidak ada apa-apa ustaz.. saya anggap dia macam adik jer…”. Banyak punya cantik muka kau.
Ini juga sama dengan sepupu berlainan jantina. Jangan tak tahu pula yang sepupu itu boleh dikahwini. Maka kena layan mereka seperti ajnabi. Jangan naik basikal bersama pula. Jangan kata itu ‘adik’ kamu pula kerana dia adalah sepupu dan masih tetap ajnabi kamu. Jangan tak tahu kedudukan sepupu (memang boleh menikah).
Maka, dalam ayat ini Allah ﷻ menegur perbuatan para suami yang menzihar isterinya. Ada banyak lagi cara lain untuk mereka menyampaikan kemarahan (bukan marah, tapi nasihat) mereka kepada isteri dan cara zihar ini ada cara yang paling buruk. Tegur dan nasihatlah dengan cara yang baik.
Jangan terikut sangat dengan perasaan sampai terkeluar kata-kata bodoh dari mulut anda yang akan menyebabkan anda sendiri yang akan menyesal. Jangan jadi manusia yang bercakap tanpa berfikir, kemudian bila sudah reda kemarahan, menyesal tak sudah. Waktu itu mulalah sibuk cari ustaz dan tanya: “ustaz, dah jatuh ke talak tu ustaz saya cakap macam tu?”. Waktu itu anda gigitlah jari, bantal atau tombol pintu, talaq sudah pun jatuh.
إِن أُمَّهٰتُهُم إِلَّا اللّٰئي وَلَدنَهُم
Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka.
Takkanlah isteri kita boleh jadi ibu kita pula, sedangkan ibu kita adalah insan yang melahirkan kita, menyusukan kita, menjaga kita semasa kecil. Bila masa pula isteri kita pernah buat benda-benda itu semua kepada kita?
وَإِنَّهُم لَيَقولونَ مُنكَرًا مِّنَ القَولِ وَزورًا
Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan suatu perkataan mungkar dan dusta.
Allah ﷻ katakan perbuatan Zihar itu adalah perbuatan yang munkar. Kalimah munkar dari kata dasar ن ك ر yang bermaksud ‘sesuatu yang tidak diketahui’. Maknanya zihar ini adalah satu perbuatan yang tidak diketahui dilakukan oleh orang yang baik, sama ada mereka itu orang Islam ataupun tidak. Orang baik-baik tak buat perkara ini.
Untuk tahu kebaikan dan juga keburukan sesuatu perkara itu tidak perlu orang Islam sahaja yang tahu. Sebagai contoh, orang bukan Islam pun tahu pukul orang, mencuri, menipu itu adalah perbuatan buruk. Ada perbuatan yang ia teruk sangat sampai tak payah diajar pun orang tahu yang ianya salah. Orang tidak ada agama pun tahu yang ianya tidak baik.
Maknanya kalimah dan amalan zihar itu adalah perkataan yang tidak dikenali di dalam masyarakat yang baik. Macam mereka yang dibesarkan dalam keluarga yang baik maka apabila mereka dengar kata-kata yang lucah, mereka tidak kenal.
Dari segi bahasa, Zihar diambil dari kata dasar ظ ه ر yang bermaksud ‘belakang’. Seperti belakang unta atau kuda. Maka orang yang menzihar isterinya akan berkata: “Engkau seperti belakang ibuku”. Maknanya dia telah menyamakan isterinya itu dengan ibunya.
Orang Arab Jahiliah berpendapat ini lebih berat dari cerai. Kerana selepas cerai masih boleh rujuk lagi, tapi kalau sudah menyamakan dengan ibu sendiri dan mereka pun tahu hukum haram untuk menjimak ibu sendiri, maka pasangan itu tidak boleh berhubungan lagi sampai bila-bila.
Kalimah زور pula adalah tuduhan tipu untuk menyakitkan seseorang. Sebagai contoh, saksi palsu pun dipanggil زور juga.
وَإِنَّ اللهَ لَعَفُوٌّ غَفورٌ
Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.
Tetapi walaupun mereka telah melakukan kesalahan yang berat, Allah ﷻ masih sanggup untuk memberi keampunan kepada mereka. Maka mereka kena bertaubat, istighfar dan jangan lakukannya lagi.
Dan dalam kes Zihar, mereka kena bayar Kifarah (akan disebut nanti dalam ayat seterusnya). Ini adalah kerana pernyataan zihar adalah satu dosa dan mesti dikenakan dengan hukuman. Tapi kerana sifat Pengampun Allah, Allah ﷻ tidaklah mengenakan hukuman yang berat tapi ringan sahaja, walaupun sebenarnya hukuman yang patut dikenakan adalah lebih berat dari itu.
Maka kerana itu hukuman yang dikenakan adalah dalam bentuk ibadah dan melakukan kebaikan.
Dan Allah ﷻ maafkan kesalahan mereka itu, tidaklah mereka terus terpisah sampai bila-bila (seperti adat resam masyarakat Arab dulu). Mereka masih lagi boleh mengadakan hubungan semula selepas membayar kifarah itu.
Ayat 3: Sekarang Allah ﷻ beri cara penyelesaian kalau sudah terlanjur menzihar isteri.
وَالَّذينَ يُظٰهِرونَ مِن نِّسائِهِم ثُمَّ يَعودونَ لِما قالوا فَتَحريرُ رَقَبَةٍ مِّن قَبلِ أَن يَتَماسّا ۚ ذٰلِكُم توعَظونَ بِهِ ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who pronounce thihār from their wives and then [wish to] go back on what they said – then [there must be] the freeing of a slave before they touch one another. That is what you are admonished thereby; and Allāh is Acquainted with what you do.
(MELAYU)
Orang-orang yang menzihar isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
وَالَّذينَ يُظٰهِرونَ مِن نِّسائِهِم ثُمَّ يَعودونَ لِما قالوا
Orang-orang yang menzihar isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan,
Ini adalah hukum kepada lelaki yang telah menzihar isterinya tetapi mahu menarik balik kata-katanya itu. Masa cakap zihar itu dia marah tapi selepas itu menyesal. Ini macam gila talak jugalah.
Memang manusia kalau sedang marah, sudah tidak dapat berfikir dengan baik. Mereka sanggup lepaskan kata-kata yang kesat. Tapi selalunya tidak lama kemudian mereka akan menyesal dan mahu mencari jalan penyelesaian. Maka dalam kes zihar ini, ada jalan penyelesaian.
فَتَحريرُ رَقَبَةٍ مِّن قَبلِ أَن يَتَماسّا
maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur.
Kifarah yang dikenakan kepada lelaki yang menzihar itu adalah dia kena bebaskan hamba sebelum dia kembali bersetubuh dengan isterinya itu. Bebaskan hamba adalah satu cara untuk melepaskan diri dari perbuatan zihar.
Ia memang satu hukum yang mahal. Bayangkan hamba yang boleh menjadi pembantu setiap masa dan sehingga mati, tapi kena dibebaskan. Sudah hilang satu pekerja yang percuma.
Hukuman membebaskan hamba apabila buat kesalahan adalah salah satu cara Allah ﷻ menghapuskan amalan perhambaan. Kerana Allah ﷻ mahu manusia jadi merdeka. Islam bukanlah yang memulakan sistem perhambaan. Tapi kerana ianya memang sudah ada dalam masyarakat, maka ia diteruskan (dengan syarat-syarat yang ketat).
Tapi dalam masa yang sama, Islam menggunakan pendekatan yang halus untuk menghapuskan perhambaan. Sebagai contoh, banyak kesalahan dalam Islam dikenakan dengan kifarah bebaskan hamba. Dengan cara itu, lama kelamaan tidak ada hamba lagi.
Hamba yang dibebaskan itu boleh sama ada lelaki atau perempuan. Tetapi ulama’ khilaf sama ada hamba yang dimerdekakan mesti hamba Muslim atau tidak. Hanafiah dan Zahiriah berpendapat asalkan hamba, tidak kira Muslim atau tidak, diterima. Tapi bagi bagi Shafiiyah, Malikiah dan Ahmadiah, hamba itu mestilah hamba yang Muslim kerana qiyas kepada pemerdekaan dalam kifarah yang lain semuanya dimestikan hamba yang Muslim.
Ada hadis yang panjang menceritakan asbabun nuzul ayat ini:
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sa’d ibnu Ibrahim dan Ya’qub. Keduanya mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ishaq, telah menceritakan kepadaku Ma’mar ibnu Abdullah ibnu Hanzalah, dari Yusuf ibnu Abdullah ibnu Salam, dari Khuwailah binti Sa’labah yang mengatakan, “Demi Allah, berkenaan dengan diriku dan Aus ibnus Samitlah Allah menurunkan permulaan surat Al-Mujadilah.” Khuwailah melanjutkan kisahnya, “Saat itu aku menjadi isterinya (Aus ibnus Samit), sedangkan dia seorang yang sudah lanjut usia dan perangainya menjadi buruk. Dan pada suatu hari dia masuk menemuiku, lalu aku mengajukan protes terhadapnya tentang sesuatu, maka dia marah. Akhirnya dia mengatakan, ‘Engkau bagiku seperti punggung ibuku.’ Setelah itu Aus ibnus Samit keluar dan duduk di tempat perkumpulan kaumnya selama sesaat, kemudian dia kembali masuk menemuiku. Tiba-tiba berahinya memuncak, dia menginginkan diriku. Maka aku berkata, ‘Jangan, demi Tuhan yang jiwa Khuwailah ini berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, jangan kamu bergaul denganku dulu setelah engkau mengucapkan kata-kata itu kepadaku sebelum Allah dan Rasul-Nya memutuskan hukum tentang masalah kita ini sesuai dengan hukum-Nya.’ Cegahanku tiada ertinya baginya, dia memelukku dengan paksa. Maka aku membela diri agar lepas dari pelukannya, dan aku dapat mengalahkannya kerana tenaganya telah melemah mengingat usianya yang telah lanjut. Kusingkirkan dia dari tubuhku, kemudian aku keluar dari rumah menuju ke tempat salah seorang tetangga wanitaku. Lalu aku meminjam pakaian darinya dan langsung keluar menuju ke tempat Rasulullah Saw. Setelah sampai di hadapan baginda Saw., aku duduk dan menceritakan kepada baginda apa yang telah kualami dengan suamiku, dan aku mengadu kepada baginda tentang perangainya yang buruk.” Rasulullah Saw. hanya menjawab, “Hai Khuwailah, anak pamanmu (suamimu) itu telah lanjut usia, maka bertakwalah kepada Allah terhadapnya.” Khuwailah melanjutkan kisahnya, “Demi Allah, belum lagi aku beranjak, maka turunlah ayat Al-Qur’an mengenai diriku, dan Rasulullah Saw. kelihatan seperti orang yang tertutup (tak sedarkan diri) sebagaimana biasanya bila wahyu sedang turun kepadanya. Setelah wahyu selesai, keadaan baginda kembali seperti semula, lalu bersabda kepadaku, ‘Hai Khuwailah, sesungguhnya Allah telah menurunkan wahyu-Nya berkenaan dengan masalahmu dan suamimu.’ Lalu Rasulullah Saw. membacakan kepadaku firman berikut: Sungguh, Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan gugatan kepadamu (Muhammad) tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar percakapan antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Al-Mujadilah: 1) sampai dengan firman-Nya: dan bagi orang-orang kafir ada seksaan yang sangat pedih. (Al-Mujadilah: 4) Maka Rasulullah Saw. bersabda kepadaku, ‘Perintahkanlah kepada suamimu untuk memerdekakan seorang budak.’ Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, dia tidak memiliki harta untuk memerdekakan budak.’ Rasulullah Saw. bersabda, ‘Maka hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut.’ Aku berkata, ‘Demi Allah, sesungguhnya dia benar-benar seorang yang sudah lanjut usianya, dia tidak kuat mengerjakan puasa.’ Rasulullah Saw. bersabda: ‘Maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin sebanyak satu wasaq kurma.’ Aku berkata, ‘Demi Allah, ya Rasulullah, dia tidak memiliki makanan sebanyak itu.’ Maka Rasulullah Saw. bersabda, ‘Kami akan membantunya dengan satu faraq kurma.’ Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku pun akan membantunya dengan satu faraq kurma lainnya.’ Rasulullah Saw. bersabda, ‘Kamu benar dan berbuat baik. Sekarang pergilah, dan sedekahkanlah kurma ini sebagai kifarat suamimu, kemudian perintahkanlah kepada anak pamanmu itu (suamimu) agar berbuat baik’.” Khuwailah melanjutkan kisahnya, bahawa lalu dia mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Nabi Saw. itu.
ذٰلِكُم توعَظونَ بِهِ
Demikianlah yang diajarkan kepada kamu,
Itulah nasihat Allah ﷻ kepada umat manusia dan sekarang telah sampai kepada kita. Jangan mudah-mudah menzihar isteri selepas itu. Jangan lakukan sekali lagi. Bila ada hukuman maka manusia akan ingat dan berjaga-jaga. Begitulah cara Allah ﷻ mendidik manusia.
وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ
dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Allah ﷻ tahu jika kamu melakukan zihar terhadap isterimu. Walaupun orang lain tidak tahu, tapi Allah ﷻ tahu. Maka jangan buat senyap sahaja, kenalah bayar kifarah itu.
Juga bermaksud Allah ﷻ tahu jikalau kamu telah menyebut zihar terhadap isterimu tapi senyap-senyap menyambung perhubungan dengan isteri tanpa menjalani kifarah itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 18 Mei 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi