Ayat 4: Sambungan tentang kifarah kepada orang yang melakukan zihar. Sebelum ini telah disebut kena memerdekakan hamba. Bagaimana kalau tiada hamba?
فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ شَهرَينِ مُتَتابِعَينِ مِن قَبلِ أَن يَتَماسّا ۖ فَمَن لَّم يَستَطِع فَإِطعامُ سِتّينَ مِسكينًا ۚ ذٰلِكَ لِتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ وَتِلكَ حُدودُ اللهِ ۗ وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ أَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And he who does not find [a slave] – then a fast for two months consecutively before they touch one another; and he who is unable – then the feeding of sixty poor persons. That is for you to believe [completely] in Allāh and His Messenger; and those are the limits [set by] Allāh. And for the disbelievers is a painful punishment.
(MELAYU)
Barangsiapa yang tidak mendapatkan (budak), maka (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Maka siapa yang tidak kuasa, (wajiblah atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan itulah hukum-hukum Allah, dan bagi orang kafir ada seksaan yang sangat pedih.
فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ شَهرَينِ مُتَتابِعَينِ
Barangsiapa yang tidak mendapatkan (budak), maka (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut
Ini pula adalah jalan keluar bagi mereka yang tidak ada hamba. Mungkin juga mereka tidak ada kemampuan untuk membebaskan hamba kerana mereka tidak ada hamba. Atau jikalau pada zaman sekarang memang tidak ada hamba maka jalan keluar telah diberikan oleh Allah ﷻ.
Iaitu lelaki itu hendaklah berpuasa selama dua bulan ‘berturut-turut’. Maksudnya dia tidak boleh putus selama dua bulan itu dan jikalau putus satu hari pun maka dia kena ulang dari mula balik. Maka ini bukan puasa yang biasa.
مِن قَبلِ أَن يَتَماسّا
sebelum keduanya bercampur.
Jadi tidak boleh bersetubuh dengan isterinya itu sehinggalah cukup dua bulan puasa berturut-turut. Jangan kata sudah mula puasa maka malam hari nak bersetubuh dengan isteri pula. Kena habiskan dua bulan penuh dulu.
Bagaimana pula kalau zihar itu ada jangkamasa? Contohnya semasa dia sebut zihar itu, dia kata untuk sebulan sahaja? Ulama ada yang mengatakan apabila ada had masa, maka kalau suami tidak mendatangi isteri dalam masa itu, maka tidak ada kifarah. Dan selepas habis jangkamasa itu, zihar itu akan automatik tamat. Ini kerana pada zaman Nabi, seorang lelaki bernama Salamah bin Sakhr Bayadi telah menzihar isterinya selama bulan Ramadhan sahaja dan Nabi tidak menegur pun perbuatan Salamah itu.
Cuma Imam Malik berpendapat zihar itu tiada had sebenarnya apabila disebut oleh sang suami dan suami itu tetap kena kena melakukan kifarah.
Kalau seorang lelaki ada ramai isteri dan semua isteri itu diziharnya, maka dia kena melakukan kifarah bagi setiap satu isterinya. Maka ini amat berat sekali. Maka ini adalah penghalang bagi suami untuk melakukan zihar lagi. Janganlah diamalkan zihar ini dengan sengaja.
Bagaimana pula kalau berpuasa dua bulan berturut-turut pun tidak mampu?
فَمَن لَّم يَستَطِع فَإِطعامُ سِتّينَ مِسكينًا
Maka siapa yang tidak kuasa (wajiblah atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin.
Dan jikalau lelaki itu tidak mampu untuk berpuasa berturut-turut kerana mungkin dia sakit ataupun dia orang yang sudah tua, maka Allah ﷻ beri jalan keluar lagi. Iaitu dengan memberi makan sebanyak 60 orang miskin. Ini tidak ada had. Maknanya, boleh buat sekali harung atau sikit demi sikit. Jadi kalau dia beri makan 60 orang sehari, maka hari itu juga dia sudah melunaskan kifarahnya. Dan dia sudah boleh mendatangi isterinya.
Kena beri makan dari makanan yang kita sendiri biasa makan. Kena beri makan pula kepada orang miskin jadi jangan bawa makanan kepada kawan yang kaya pula. Dan orang miskin itu mestilah bukan di bawah tanggungan pelaku zihar itu.
Tidak boleh puasa 30 hari dan kemudian beri makan 30 orang pula. Tidak boleh menggabungkan dua-dua kifarah itu. Kena pilih salah satu.
Kalau ketiga-tiga perkara ini seorang lelaki itu tidak mampu melakukannya, maka dia kena tunggu sehingga dia mampu. Barulah dia boleh mendekati isterinya kembali. Tapi agama tidak melarang kalau orang lain membantu orang ini dalam kifarah jenis ketiga itu. Sebagaimana Nabi ﷺ dan sahabat membantu suami Khawlah.
ذٰلِكَ لِتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ
Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Sesiapa yang taat kepada hukum Allah ﷻ, maka kena lakukan kifarah ini setelah buat salah dalam hal zihar itu. Supaya apabila sudah dilunaskan kifarah ini, supaya dia selamat di akhirat. Dan ia akan menambah iman seseorang itu. Maka tidak patut kalau seseorang yang mengaku beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul, tapi tidak ikut undang-undang ini.
وَتِلكَ حُدودُ اللهِ
Dan itulah hukum-hukum Allah,
Ini ‘hudud’ Allah ﷻ. Ini adalah salah satu dari Hukum Hudud. Peringatan sudah diberikan supaya tidak buat hukum sendiri sebelum ini. Hudud adalah jamak bagi ‘had’ maka kena taat kepada had-had yang Allah ﷻ telah tetapkan. Jangan langgar hukum had Allah ﷻ ini.
Orang kita selalu faham ‘hudud’ ini tentang potong tangan sahaja. Tapi sebenarnya ada banyak lagi perkara yang termasuk dalam perkara hudud. Banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an tentang hudud Allah ﷻ. Maka kena belajar semua sekali dan jangan hadkan pemahaman kepada hukum jenayah sahaja.
وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ أَليمٌ
dan bagi orang kafir ada seksaan yang sangat pedih.
Ayat ini bukan tentang orang kafir. Kerana surah ini adalah Surah Madaniyyah dan ianya diberikan kepada orang-orang yang beriman, maka kenapa disebut tentang orang kafir pula?
Kerana ayat ini bukan tentang orang bukan Islam, tetapi tentang orang Islam yang ‘kufur’ kepada hukum Allah ﷻ. Iaitu mereka yang ingkar kepada ketaatan untuk mengikut hukum yang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ telah tetapkan. Jangan sangka orang Muslim tidak melakukan kufur terhadap Allah ﷻ.
Berkemungkinan ramai yang akan buat tidak tahu dengan hukum ini. Kerana mungkin apa yang mereka lakukan itu berlaku di dalam rumah sahaja dan orang lain tidak tahu. Maka mungkin dia tidak mahu bebaskan hamba atau berpuasa ataupun beri orang makan kerana semua itu perkara yang berat juga. Jadi Allah ﷻ ingatkan yang memang manusia lain tidak tahu apa yang telah berlaku, tetapi Allah ﷻ tahu dan mengancam akan memberi balasan azab yang pedih kepada mereka.
Maka dari sini kita boleh tahu bahawa ‘kafir’ itu bukan sahaja dari segi orang-orang bukan Islam sahaja, tetapi ia juga boleh kena kepada orang-orang Islam yang ingkar kepada hukum Allah ﷻ. Begitulah penggunaan kalimah kafara dalam Al-Qur’an. Tapi orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an tidak tahu perkara ini. Mereka sangka mereka sudah bernama Muslim sahaja maka mereka tidak kufur. Ini fahaman yang salah.
Habis sudah tentang hukum Zihar. Maka besar sekali hal Zihar ini sampaikan Allah ﷻ berikan 4 ayat Al-Qur’an berkenaannya. Allah ﷻ berikan ayat-ayat ini untuk mengajar manusia supaya jangan terlepas cakap. Sebelum bercakap, kena fikir dulu. Janganlah berlaku kejam kepada para isteri sendiri.
Ayat 5: Ayat zajrun. Ramai yang masih terikat lagi dengan adat resam dan apabila hukum ini diberikan kepada mereka, ada yang mempersenda-sendakannya. Ada yang kata karut sungguh hukum agama Islam dan ada yang berpendapat adat resam itu seolah-olah lebih kuat daripada syariat. Ini banyak dilakukan oleh orang munafik dan yang lemah iman.
Maka ayat 5 – 13 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu bahawa perbuatan golongan Munafik membahayakan keselamatan Kaum Muslimin. Memang ayat-ayat Madaniyyah banyak menyentuh tentang golongan munafik kerana golongan munafik itu ada dalam kalangan orang Islam di Madinah.
إِنَّ الَّذينَ يُحادّونَ اللهَ وَرَسولَهُ كُبِتوا كَما كُبِتَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ وَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ ۚ وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ مُّهينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who oppose Allāh and His Messenger are abased as those before them were abased. And We have certainly sent down verses of clear evidence. And for the disbelievers is a humiliating punishment
(MELAYU)
Sesungguhnya orang-orang yang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, pasti mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang yang sebelum mereka telah mendapat kehinaan. Sesungguhnya Kami telah menurunkan bukti-bukti nyata. Dan bagi orang-orang kafir ada seksa yang menghinakan.
إِنَّ الَّذينَ يُحادّونَ اللهَ وَرَسولَهُ
Sesungguhnya orang-orang yang yang menentang Allah dan Rasul-Nya,
Kalimah يُحادّونَ dari kata dasar ح د د yang darinya juga menjadi ‘hudud’ dalam ayat sebelum ini. Ia bermaksud menentang dengan tentangan yang kuat yang melebihi had. Dari kalimah ini juga menjadi hadid (besi) dan bukankah besi itu keras? Maka ia bermaksud menentang dengan keras. Ini menarik kerana surah sebelum ini adalah Surah Hadid.
Salah satu cara orang itu menentang Allah ﷻ dan Rasul-Nya adalah dengan menghina undang-undang Islam. Mereka tidak mahu turut dan mereka memperlekehkan hukum yang Allah ﷻ berikan. Bukan undang-undang tentang zihar ini sahaja, tapi termasuk dalam perkara yang lain. Ini termasuk pemimpin yang tolak hukum yang Allah ﷻ telah berikan dan pakai hukum dan undang-undang lain.
Apa yang akan terjadi kepada mereka?
كُبِتوا كَما كُبِتَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم
pasti mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang yang sebelum mereka telah mendapat kehinaan.
Kalimah كُبِتَ daripada kata dasar ك ب ت yang bermaksud menghina, menjatuhkan, menahan, membuka aib, merendahkan martabat. Mereka yang menentang hukum dan undang-undang Allah ﷻ akan dimalukan dan kemudian akan dimusnahkan. Di dunia lagi mereka boleh dikenakan hukuman pancung kerana menghina undang-undang Islam.
Bukan mereka sahaja yang pernah menentang hukum Allah ﷻ, tapi umat terdahulu pun pernah juga melakukan begitu, maka mereka telah dihinakan di dunia. Maka Allah ﷻ boleh kenakan nasib yang sama kepada mereka seperti dihinakan golongan ingkar yang lain.
Maka ayat ini memberi isyarat yang kalau undang-undang Islam tidak digunapakai, di dunia lagi sudah ada masalah. Negara tidak mendapat berkat, rakyat akan jadi kacau bilau, maksiat bermaharajalela, moral lemah dan banyak lagi perkara buruk akan terjadi. Tidakkah ini satu kehinaan?
وَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan bukti-bukti nyata.
Allah ﷻ sudah berikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai bukti nyata. Ianya menjadi tanda dan pegangan bagi mereka yang taat. Yang taat dengan ayat Allah ﷻ akan selamat. Yang menentangnya hanyalah mereka yang kafir, derhaka dan sombong sahaja.
وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ مُّهينٌ
Dan bagi orang-orang kafir ada seksa yang menghinakan.
Kepada mereka yang ingkar pula (termasuk orang Islam pun) akan mendapat balasan yang amat teruk iaitu neraka. Ini adalah balasan di akhirat pula. Bilakah balasan itu akan diberi?
Ayat 6:
يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا فَيُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ أَحصٰهُ اللهُ وَنَسوهُ ۚ وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
On the Day when Allāh will resurrect them all and inform them of what they did. Allāh had enumerated it, while they forgot it; and Allāh is, over all things, Witness.
(MELAYU)
Pada hari ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpulkan (mencatat) amal perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.
يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا
Pada hari ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya,
Balasan akan mula diberikan apabila makhluk dibangkitkan pada hari Kiamat nanti. Tidak ada yang akan selamat dan terus mati sahaja. Mereka tetap akan dibangkitkan dan akan dipertanggungjawabkan dan tidak ada yang terkecuali. Semua akan dikumpulkan di Mahsyar kelak.
Di dunia mungkin mereka selamat, tidak dikenakan dengan hukuman, tapi mereka takkan selamat di akhirat kelak.
فَيُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا
lalu diberitakan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.
Akan diberitahu semua sekali apa yang mereka kerjakan kerana wazan itu adalah dalam bentuk wazan mubalaghah (extreme). Tidak akan ada apa-apa yang tersembunyi. Tidak akan ada apa-apa perbuatan yang tidak dikira. Yang kecil besar semua akan ditayangkan dan akan ditanya.
أَحصٰهُ اللهُ وَنَسوهُ
Allah mengumpulkan (mencatat) amal perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya.
Memang kebanyakan manusia lupa apa yang mereka telah lakukan dan apa yang mereka telah cakap, tetapi ketahuilah dan ingatlah yang Allah ﷻ pasti ingat dan rekod apa sahaja yang kita telah lakukan.
Kerana itu kalimah yang digunakan adalah أَحصٰ yang bermaksud kira guna batu kerana apabila mengira guna batu, tidak ada kesalahan. Bukan kira guna congak sahaja. Maknanya nanti audit yang dikenakan adalah tepat.
Maka kalau kita kaitkan dengan ayat sebelum ini, orang yang tidak mengamalkan hukum Allah ﷻ di dunia ini mungkin rasa yang itu adalah perkara ringan sahaja. Tapi ianya berat di mata Allah ﷻ dan Allah tidak maafkan. Allah ﷻ buat kira semua sekali dan akan ingatkan balik dan Allah akan beri penghakiman nanti di akhirat.
وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ
Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.
Allah ﷻ boleh keluarkan dan bentangkan balik semua yang manusia telah lakukan kerana setiap apa yang kita lakukan dilihat (disaksikan) oleh Allah ﷻ. Nak sembunyi macam mana lagi?
Maka kalau kita dapat ingat dan semat perkara ini dalam hati kita, maka tentu kita akan risau nak buat kesalahan apa-apa sahaja. Bayangkan kalau polis atau ayah kita sedang melihat semua yang kita sedang lakukan… Tentu kita takut nak buat salah, bukan?
Sekian Ruku’ 1 dari 3 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 18 May 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Salam ustaz..macam mana hukumnya kalau suami tepuk punggung saya dan berkata “punggung awak macam punggung anak saudara saya”..adakah jadi zihar juga jika suami tiada niat untuk menzihar?
LikeLike
Pelik suami awak.
Perkara ini khilaf di kalangan ahli ilmu. Pada saya, ia tidak termasuk zihar kerana dia tidak ada niat.
LikeLike
masa tu situasi mcm tengah bergurau ustaz..sy baring meniarap..suami tepuk lepas tu cakap mcm gitu..anak saudara dia baby dalam umur 2 tahun lebih gitu masa tu
LikeLike
ya faham. dia tidak ada niat tu.
Lagi pun, yang bahaya kalau dengan emak.
LikeLike
oo maksud ustaz,kalau selain dari ibu takpela ye?
LikeLike
Selain dari ibu, tidak diberatkan. Tujuan hukum ini adalah sebagai penghormatan kepada ibu. Supaya jangan langsung ada perasaan tidak elok dengan ibu kita. Ibu kita itu jangan kita ada perasaan seksual pula terhadap dia. Maka isteri kita jangan disamakan langsung dengan ibu kita. Nanti kita pandang lain pula kat ibu kita. Masalah besar tu.
Secara umumnya, janganlah cakap pakai lepas sahaja. Itu yang kena jaga.
LikeLike