Ayat 7: Sekarang kita akan membintang tentang ‘najwa’. Sebelum ini telah dibincangkan tentang hal rumahtangga, iaitu perkara privasi yang berlaku di antara suami isteri. Najwa ini juga bab privasi juga, tetapi dalam bentuk yang lain.
Ayat-ayat selepas ini banyak berkenaan golongan munafik dan apa yang mereka lakukan.
أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ ما يَكونُ مِن نَّجوىٰ ثَلٰثَةٍ إِلّا هُوَ رابِعُهُم وَلا خَمسَةٍ إِلّا هُوَ سادِسُهُم وَلا أَدنىٰ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكثَرَ إِلّا هُوَ مَعَهُم أَينَ ما كانوا ۖ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا يَومَ القِيٰمَةِ ۚ إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you not considered that Allāh knows what is in the heavens and what is on the earth? There is in no private conversation three but that He is the fourth of them,1 nor are there five but that He is the sixth of them – and no less than that and no more except that He is with them [in knowledge] wherever they are. Then He will inform them of what they did, on the Day of Resurrection. Indeed Allāh is, of all things, Knowing.
- Through His knowledge of them and their secrets.
(MELAYU)
Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah keempatnya. Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah keenamnya. Dan tiada (pula) pembicaraan antara jumlah yang kurang dari itu atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.
أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ
Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi?
‘Najwa’ adalah lawan kepada syura (mesyuarat, perbincangan dalam kumpulan). Di dalam syura, semua pihak yang terlibat akan berbincang dan memberi pendapat masing-masing ataupun memberi komen mereka supaya akhirnya akan mencapai keputusan yang baik dari mesyuarat itu.
Nabi ﷺ pun biasa mengadakan syura untuk mendengar pendapat para sahabat dan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah Syura. Sedangkan di dalam najwa, perbincangan yang diadakan adalah dalam bentuk rahsia. Allah ﷻ nak beritahu yang tidak ada rahsia pada Allah. Maka kenalah berhati-hati dalam bercakap. Jangan sangka Allah ﷻ tidak tahu.
ما يَكونُ مِن نَّجوىٰ ثَلٰثَةٍ إِلّا هُوَ رابِعُهُم
Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah keempatnya.
Najwa terjadi apabila beberapa orang daripada kumpulan yang di dalam mesyuarat buat mesyuarat yang lain pula sesama mereka (mesyuarat di dalam mesyuarat). Masa di dalam mesyuarat mereka tidak sebut ketidakpuasan hati mereka tetapi apabila mereka buat perjumpaan yang lain, macam-macam akan keluar. Waktu itu mereka akan senang sahaja nak bercakap sesama mereka kerana mereka sekarang berada dalam kumpulan yang sekepala dengan mereka.
Najwa ini perjumpaan rahsia beberapa orang, paling sikit seorang dengan seorang yang lain. Kerana itu kalau ada permintaan untuk mengajukan pertanyaan bersendirian dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka ini dipanggil ‘munajat’. Begitu juga kalau ‘doa munajat’ itu antara kita dan Allah ﷻ sahaja.
Dan mereka ini boleh mengubah sesuatu perkara itu kerana mereka mampu untuk sabotaj rancangan yang telah dilakukan. Katakanlah keputusan untuk melakukan sesuatu telah dicapai dalam mesyuarat utama, tapi mereka yang sekepala ini buat keputusan lain pula – sebagai contoh mereka tidak akan jalankan rancangan yang telah dipersetujui. Mereka akan bagi alasan macam-macam untuk menyelamatkan diri mereka.
Dan perkara ini pun pernah berlaku pada zaman Nabi. Iaitu perbincangan dalaman dalam kalangan orang-orang munafik. Dan golongan munafik itu boleh menggunakan najwa ini untuk merosakkan rancangan umat Islam. Mereka selalu mengadakan perjumpaan rahsia untuk buat rancangan menjatuhkan Islam. Kerana itulah mereka ini bahaya kalau ada dalam umat Islam.
Sebagai contoh, mungkin ada sahabat yang baru masuk Islam dan tidak tahu apa-apa dan mereka diracuni fikiran mereka oleh golongan munafik. Golongan munafik akan pergi senyap-senyap kepada golongan baru itu dan cakap begitu dan begini. Golongan munafik itu akan menghasut.
وَلا خَمسَةٍ إِلّا هُوَ سادِسُهُم
Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah keenamnya.
Perbincangan najwa ini selalunya kecil sahaja. Kerana kalau ramai, mungkin rahsia akan pecah ke telinga orang lain. Tapi Allah ﷻ nak beritahu kalau mereka itu buat perbincangan rahsia sebanyak lima orang, Allah ﷻ tahu apa sahaja yang mereka perkatakan.
Bukanlah Allah ﷻ ada dalam mesyuarat rahsia itu tapi Allah ﷻ tahu dari segi ilmu Dia.
Kenapa disebut 3 orang melakukan najwa, kemudian disebut 5 orang pula? Ulama tafsir mengatakan ini untuk meneruskan keindahan bahasa yang digunakan. Supaya kalau kita baca, ada nombor 3, 4, 5 dan 6 yang berturutan.
وَلا أَدنىٰ مِن ذٰلِكَ
Dan tiada (pula) pembicaraan antara jumlah yang kurang dari itu
Kalau mereka kurang sikit dari lima orang pun, Allah ﷻ tetap tahu. Allah ﷻ tidak perlu ada orang yang bocorkan rahsia percakapan mereka kerana Allah ﷻ memang sudah tahu.
Jumlah yang kurang dari tiga adalah dua. Ini adakah kerana 2 orang adalah bilangan paling sedikit untuk percakapan rahsia.
وَلا أَكثَرَ إِلّا هُوَ مَعَهُم أَينَ ما كانوا
atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada.
Sikit atau banyak, Allah ﷻ tetap tahu apa yang mereka perkatakan dan apa yang mereka rancangkan. Jadi Allah ﷻ hendak memberitahu yang najwa ini adalah perkara yang bahaya dan disebut sekali lagi di dalam Nisa:114.
ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا يَومَ القِيٰمَةِ ۚ
Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan.
Allah ﷻ telah memberitahu bahawa Dia tahu perkara yang di langit dan juga di bumi maka apa-apa saja pertemuan yang manusia lakukan sesama mereka itu semuanya diketahui oleh Allah ﷻ.
Dan nanti di akhirat Allah ﷻ akan beritahu balik apa yang mereka perkatakan dulu. Ini dinamakan muhasabah kamilah (hisab yang sempurna). Semua manusia dan jin akan dipertanggungjawabkan dengan perkataan dan rancangan mereka. Semua sekali akan dikeluarkan kembali dan dinilai, tidak ada yang akan ketinggalan.
إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.
Jadi mereka sangka mereka buat perjumpaan rahsia itu, pada waktu yang rahsia, di tempat yang rahsia, tidak ada orang yang tahu. Akan tetapi Allah ﷻ memberitahu tidak kisah pada bila-bila masa dan di mana sahaja, Allah ﷻ tahu apa yang mereka bincangkan. Tidak ada yang tersembunyi dari Allah ﷻ walau sedikit pun.
Dan selain dari itu para malaikat yang telah ditugaskan oleh-Nya mencatat semua yang mereka rahsiakan, walaupun Allah ﷻ mengetahuinya dan mendengarnya. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ وَأَنَّ اللهَ عَلامُ الْغُيُوبِ}
Tidakkah mereka tahu bahwasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah amat mengetahui segala yang ghaib? (At-Taubah: 78)
Ayat 8: Ini adalah teguran kedua kepada puak munafik. Dalam ayat 7 teguran diberikan kepada mereka yang tidak tahu yang najwa itu salah. Tapi sekarang diberitahu kepada mereka yang sudah tahu bahawa najwa itu salah. Maka teguran dalam ayat 8 ini lebih keras.
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نُهوا عَنِ النَّجوىٰ ثُمَّ يَعودونَ لِما نُهوا عَنهُ وَيَتَنٰجَونَ بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ وَإِذا جاءوكَ حَيَّوكَ بِما لَم يُحَيِّكَ بِهِ اللهُ وَيَقولونَ في أَنفُسِهِم لَولا يُعَذِّبُنَا اللهُ بِما نَقولُ ۚ حَسبُهُم جَهَنَّمُ يَصلَونَها ۖ فَبِئسَ المَصيرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Have you not considered those who were forbidden from private conversation [i.e., ridicule and conspiracy] and then return to that which they were forbidden and converse among themselves about sin and aggression and disobedience to the Messenger? And when they come to you, they greet you with that [word] by which Allāh does not greet you¹ and say among themselves, “Why does Allāh not punish us for what we say?” Sufficient for them is Hell, which they will [enter to] burn, and wretched is the destination.
- This is in reference to the Jews who would greet the Muslims with the words “Death be upon you,” rather than “Peace.”
(MELAYU)
Apakah tidak kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan durhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نُهوا عَنِ النَّجوىٰ
Apakah tidak kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia,
“Tidakkah kau perhatikan..” atau.. “tidakkah kau tahu?” Apabila sahabat sudah tahu larangan najwa, maka mereka boleh kenal siapakah yang munafik kerana golongan munafik ini yang melakukan najwa.
Yang dimaksudkan adalah ayat tentang larangan najwa yang telah disebut di dalam Surah Nisa tetapi mereka masih lagi melakukannya. Surah Nisa itu adalah Surah Madaniyah yang awal. Maka umat Islam sebenarnya telah diingatkan supaya tidak mengadakan perbincangan rahsia kerana ia amat bahaya bagi kesatuan umat Islam.
Ataupun memang Nabi ﷺ ada beri penerangan dan larangan kepada umat Islam dari melakukan najwa, tapi mereka tetap juga melakukannya.
Atau larangan itu telah diberikan kepada puak Yahudi kerana telah nampak mereka berbisik-bisik di kalangan mereka apabila nampak golongan mukmin sampai golongan terasa takut dengan mereka.
ثُمَّ يَعودونَ لِما نُهوا عَنهُ
kemudian mereka kembali (mengerjakan) perbuatan yang mereka dilarang untuk melakukannya
Orang munafik itu hendak menyakiti para sahabat yang mukmin. Mereka sengaja buat perjumpaan rahsia sesama mereka. Atau yang dimaksudkan adalah golongan Yahudi.
Ini pun kita kena jaga sebenarnya supaya kita tidak melakukannya. Sebenarnya jikalau dalam perjumpaan bertiga dan ada dua orang hendak bercakap perkara yang rahsia, maka dia kena minta kebenaran daripada orang yang ketiga itu kerana jika tidak, akan menjadi dosa. Kerana kalau dia tidak beritahu, maka orang ketiga itu akan ada rasa sangsi dan sangka mereka bercakap tentang dia atau sedang merancang untuk melakukan keburukan.
Jadi orang munafik itu sengaja duduk di dalam kumpulan mereka sambil bercakap perlahan-lahan dan menunjuk-nunjuk kepada orang-orang mukmin yang lain. Mereka sengaja nak bagi orang mukmin sakit hati.
وَيَتَنٰجَونَ بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ
dan mereka mengadakan pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan durhaka kepada Rasul.
Golongan munafik itu buat najwa itu kerana hendak melakukan الإِثمِ. Dan الإِثمِ ini perbuatan yang berkenaan masalah spritual (dalaman). Ianya adalah tentang perhubungan antara mereka dan Allah ﷻ. Orang munafik itu ada masalah iman dengan Allah ﷻ kerana iman mereka lemah atau tidak ada langsung. Ada perjumpaan rahsia yang merosakkan iman kerana dia merosakkan agama dan kerana itu akan melemahkan iman mereka.
Kalimah العُدوٰنِ pula adalah berkenaan masalah sosial, iaitu perhubungan sesama manusia. Dengan melakukan najwa itu, mereka telah mengadakan permusuhan dengan para sahabat yang lain. Mereka mungkin telah melakukan adu domba yang merosakkan hubungan sesama sahabat.
Atau ia merujuk kepada golongan Yahudi yang berbisik-bisik sesama mereka apabila lalu di hadapan mereka orang-orang mukmin. Sampaikan menyebabkan golongan mukmin itu takut apabila berada di perkampungan orang Yahudi.
Jadi, kalimah العُدوٰنِ adalah dari ع د و iaitu sesuatu yang menyebabkan permusuhan sesama manusia. Ini adalah kerana ada perjumpaan-perjumpaan rahsia yang dilakukan kerana hendak melawan orang lain dan ini akan menyebabkan permusuhan dan kacau-bilau di dalam sesuatu persatuan itu.
Maka lihatlah bagaimana Allah ﷻ mengajar kita bermasyarakat dan mengadakan mesyuarat di mana jangan ada kumpulan-kumpulan kecil yang menjadi serpihan daripada kumpulan yang besar. Dan ingatlah supaya jangan bincangkan perkara yang sudah dibincangkan di dalam mesyuarat besar.
Allah ﷻ menegur para sahabat yang mengadakan mesyuarat berasingan dan kerana itu mereka telah melakukan maksiat berkenaan Rasulullah ﷺ kerana Rasul sedang memegang jawatan sebagai pemerintah kepada umat Islam pada waktu itu. Mereka tidak suka kepada kepimpinan yang ada maka mereka mengajukan perjumpaan rahsia. Mereka tidak sedar yang mereka tidak puas hati itu adalah Rasul ﷺ mereka sendiri.
Kalau pada zaman sekarang, mereka ini adalah yang melakukan perjumpaan rahsia untuk menderhakai pemimpin.
وَإِذا جاءوكَ حَيَّوكَ بِما لَم يُحَيِّكَ بِهِ اللهُ
Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu.
Mereka tidak suka kepada Rasulullah ﷺ tapi bila mereka datang kepada baginda, mereka datang dengan muka yang manis. Mereka memberi salam kepada Nabi ﷺ dengan salam yang kosong dan tidak ikhlas ataupun mereka memberi salam dengan nada menghina kepada Nabi ﷺ.
Yang dimaksudkan adalah kalimah “As-sam alaika ya abul-Qasim. ” (semoga kematian ke atas kamu Wahai Abu Qasim) yang diucapkan oleh golongan munafik kepada baginda ﷺ. Bukan ini cara salam yang diajar oleh Allah ﷻ dan Rasul. Cara ini diajar oleh Yahudi dan diikuti oleh puak Munafik juga.
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa’id Al-Asyaj, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, dari Al-A’masy, dari Masruq, dari Aisyah yang mengatakan bahawa pernah orang-orang Yahudi masuk menemui Rasulullah Saw., lalu mereka mengucapkan, “Ass’amu ‘alaika (semoga kebinasaan menimpa dirimu), hai Abul Qasim.” Maka Aisyah menjawab, “Wa ‘alaikumus s’am (semoga kamulah yang tertimpa kebinasaan).” Maka Rasulullah Saw. bersabda, “Hai Aisyah, sesungguhnya Allah tidak menyukai kata-kata yang keji dan perbuatan yang keji.” Aisyah r.a. berkata, “Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka katakan? Mereka mengatakan, ‘Ass’amu ‘alaika'” Rasulullah Saw. balik bertanya, “Tidakkah engkau mendengar apa yang kukatakan kepada mereka? Aku katakan kepada mereka, ‘Wa’alaikum’ (semoga kamulah yang demikian itu).” Maka Allah menurunkan firman-Nya: Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. (Al-Mujadilah: 8)
Menurut riwayat yang lain, Aisyah berkata kepada mereka, “Semoga kalianlah yang tertimpa kebinasaan, celaan, dan laknat,” dan bahawa Rasulullah Saw. bersabda:
“إِنَّهُ يُسْتَجَابُ لَنَا فِيهِمْ، وَلَا يُسْتَجَابُ لَهُمْ فِينَا”
Sesungguhnya diperkenankanlah bagi kita terhadap mereka, dan tidak diperkenankanlah bagi mereka terhadap kita.
Itu adalah perbuatan yang amat buruk sekali kerana Allah ﷻ sendiri memberi ucapan yang baik kepada Rasulullah ﷺ, maka jikalau manusia tidak memberi ucapan yang baik kepada Rasulullah ﷺ, maka itu sudah perbuatan yang buruk.
Apabila Allah ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an, ini bermaksud ada sahaja orang yang jenis begini. Di hadapan orang mereka bermanis muka, tapi di belakang, mereka buat bermacam-macam rancangan. Sampai kiamat akan ada orang yang sebegini.
وَيَقولونَ في أَنفُسِهِم لَولا يُعَذِّبُنَا اللهُ بِما نَقولُ
Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?”
Ini adalah ayat Syikayah (rungutan) di mana Allah ﷻ mengulang kata-kata mereka yang tidak beriman itu. Allah ﷻ menyebut apa yang mereka fikirkan di dalam hati mereka ketika mereka mempunyai iman yang lemah.
Mereka tertanya-tanya kenapa mereka masih selamat lagi sedangkan mereka telah ingkar kepada arahan Nabi ﷺ. Mereka fikir jikalau mereka buat perkara yang buruk pun, tidak ada apa-apa terjadi kepada mereka; maka mereka sudah tidak hormat kepada baginda ﷺ dan sudah tidak percaya kepada Allah ﷻ seolah-olah Allah ﷻ atau Nabi Muhammad ﷺ tidak cukup kuat untuk menghukum mereka. Mereka kata: “tak jadi apa-apa pun….!”
Mereka juga jadikan ini sebagai hujah mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu bukan Nabi. Kerana mereka menghina baginda ﷺ siang dan malam tapi tidak ada yang terkena kepada mereka. Kata mereka, patutnya kalau baginda ﷺ itu benar seorang Nabi, tentu mereka sudah dikenakan dengan azab.
Padahal, mereka tidak terus dikenakan dengan azab itu adalah kerana Allah ﷻ menangguhkan azab kepada mereka. Allah ﷻ beri peluang kepada mereka untuk bertaubat dan membaiki diri mereka. Kalau mereka terus dikenakan dengan azab, tentu lagi teruk mereka.
حَسبُهُم جَهَنَّمُ يَصلَونَها
Cukuplah bagi mereka Jahannam yang akan mereka masuki.
Allah ﷻ beritahu yang Allah tidak perlukan mereka di dunia kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Neraka adalah tempat yang amat sesuai bagi mereka. Mereka pasti akan masuk ke dalamnya kerana perbuatan mereka itu. Cukuplah mereka nanti dengan dikenakan azab neraka sahaja.
فَبِئسَ المَصيرُ
Dan seburuk-buruk tempat kembali.
Nanti bila mereka masuk, mereka akan tahu yang neraka itu adalah tempat yang paling buruk dan mereka tidak akan sanggup untuk menerima azab dalam neraka itu. Tapi itulah tempat yang layak bagi mereka sebagai balasan kepada kesalahan mereka semasa di dunia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 29 April 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi