Tafsir Surah Ahzab Ayat 5 – 6 (Nama anak kepada nama bapa)

Ayat 5: Apabila ambil anak angkat maka pakai nama bapanya yang sebenar. Allah ‎ﷻ ajar bagaimana caranya.

ادعوهُم لِآبائِهِم هُوَ أَقسَطُ عِندَ اللهِ ۚ فَإِن لَّم تَعلَموا ءآباءَهُم فَإِخوٰنُكُم فِي الدّينِ وَمَوٰليكُم ۚ وَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ فيما أَخطَأتُم بِهِ وَلٰكِن مّا تَعَمَّدَت قُلوبُكُم ۚ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Call them¹ by [the names of] their fathers; it is more just in the sight of Allāh. But if you do not know their fathers – then they are [still] your brothers in religion and those entrusted to you. And there is no blame upon you for that in which you have erred but [only for] what your hearts intended. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.

  • Those children under your care.

(MELAYU)

Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

ادعوهُم لِآبائِهِم

Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka;

Kena nasabkan anak itu kepada ayah kandungnya sendiri. Ini amat penting dalam Islam kerana nasab itu menentukan banyak perkara seperti wali, harta dan sebagainya. Ia juga menjadi identiti bagi seseorang. Ini kerana seorang anak itu dikenali dengan nama bapanya.

Dulu Zaid dikenali sebagai Zaid bin Muhammad kerana Nabi Muhammad ﷺ telah mengambil Zaid sebagai anak angkat dan adat waktu itu memang boleh pakai nama ayah angkat. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Arab waktu itu.

Tetapi kemudian telah ditukar kepada Zaid bin Harithah kerana bapanya sudah diketahui. Jadi ayat ini memansukhkan perundangan Islam sebelumnya yang membenarkan menamakan anak angkat kepada nasab bapa angkat.

قَالَ الْبُخَارِيُّ، رَحِمَهُ اللَّهُ: حَدَّثَنَا مُعَلى بْنُ أَسَدٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ الْمُخْتَارِ، حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ عُقْبَةَ قَالَ: حَدَّثَنِي سَالِمٌ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ؛ أَنَّ زيدًا بْنَ حَارِثَةَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَا كُنَّا نَدْعُوهُ إِلَّا زَيْدَ بْنَ مُحَمَّدٍ، حَتَّى نَزَلَ الْقُرْآنُ: {ادْعُوهُمْ لآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ}

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ma’la ibnu Asad, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnul Mukhtar, dari Musa ibnu Uqbah yang mengatakan bahawa telah menceritakan kepadaku Salim, dari Abdullah ibnu Umar yang mengatakan bahawa sesungguhnya kami terbiasa memanggil Zaid ibnu Harisah maula Rasulullah ﷺ dengan sebutan Zaid anak Muhammad, sehingga turunlah firman Allah ‎ﷻ yang mengatakan: Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah. (Al-Ahzab:5)

Maka kepada kita yang ada mengambil anak angkat maka jangan namakan anak angkat itu kepada nama kita. Walaupun kalau ambil mereka dari bayi lagi. Ini lebih mudah dan juga akan menyelamatkan kita dari neraka kerana tidak bau syurga mereka yang menamakan anak angkat kepada bapa angkat. Ini berdasarkan satu hadis yang sahih.

مَنِ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُهُ، كَفَرَ

Tiada seorang lelaki pun yang menisbatkan dirinya kepada bukan ayahnya sendiri, sedangkan dia mengetahuinya, melainkan dia kafir.

Dalam hadis yang lain:

Sabda Nabi saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas :

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ , أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: ” Sesiapa yang memanggil seseorang dengan selain nama ayahnya atau selain dari maulanya maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya:”

Sunan Ibnu Majah (2609)

 

هُوَ أَقسَطُ عِندَ اللهِ

itulah yang lebih adil pada sisi Allah,

Itulah cara lebih rapat kepada kehendak Allah ‎ﷻ. Itulah cara ikut syariat dan Allah ‎ﷻ suka begitu. Pakai sahaja namanya dan binkan kepada nama ayahnya. Jangan pandai-pandai ditukar kepada nama bapa yang lain. Kalau emak dan ayah dia ada lagi, tentu mereka kecil hati kalau nama anak yang mereka berikan ditukar kepada nama lain pula.

Sama juga tidak perlu menukar nama apabila masuk Islam. Sahabat pun tidak menukar nama mereka apabila masuk Islam. Ini bukanlah perkara yang pelik. Apakah nama Umar sebelum beliau masuk Islam? Nama beliau tetap Umar juga, bukan?

Malah tidak ada istilah ‘nama Islam’ sebenarnya. Jadi tidak perlu tukar pun kalau orang bukan Islam masuk Islam. Ini penting kerana ada orang Cina yang tidak suka masuk Islam kerana tak suka bertukar nama. Maka pakai sahaja nama asal. Lainlah kalau nama dia tidak sesuai dan ada elemen kesyirikan seperti Abdul Uzza atau Vishu. Maka kalau anak angkat pun janganlah diubah namanya.

 

فَإِن لَّم تَعلَموا ءآباءَهُم

dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, 

Ini pula kalau kita tidak mengetahui nama ayah anak itu. Sebagai contoh, mungkin waktu itu zaman berperang dan ibu bapa seseorang anak itu telah mati dan dia masih kecil lagi dan tidak tahu siapa ibubapa biologinya.

Ataupun apabila penzinaan berlaku dan tidak tahu siapakah ayah sebenar anak itu kerana mungkin dia adalah bayi dibuang.

 

فَإِخوٰنُكُم فِي الدّينِ وَمَوٰليكُم

maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu.

Maka mereka masih saudara Islam bagi kita. Kita masih tetap harus menjaga mereka kerana mereka memerlukan perlindungan dari kita jika kita mampu. Waktu itu berilah nama yang sesuai asalkan bukan nasabkan kepada nama bapa angkat. Dan bolehlah letak namanya bin Abdullah contohnya, kerana inilah yang selalu dipakai.

Cuma jangan pakai nama bapa angkat kerana takut nanti orang sangka yang anak angkat itu adalah anak kandung bapa angkat itu.

 

وَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ فيما أَخطَأتُم بِهِ

Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya,

Tidak salah kalau dahulu ada yang menasabkan nama anak angkat kepada nama sendiri sebab tidak tahu lagi. Wahyu yang melarang pun belum turun lagi. Allah ‎ﷻ maafkan kalau belum ada hukum yang diberikan lagi. Kerana bukan sengaja buat salah, bukan sengaja hendak lawan agama.

Allah ‎ﷻ juga maafkan kalau tidak sengaja. Seperti satu hadis berkenaan perkara ini:

“إِنَّ اللهَ رَفَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ، وَمَا يُكرَهُون عَلَيْهِ”

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ telah memaafkan dari umatku perbuatan keliru, lupa, dan melakukan perbuatan yang dipaksakan kepada mereka.

Atau, tidak salah kalau panggil orang muda sebagai ‘anak’ kerana sayang kepadanya; atau kepada orang tua sebagai ‘bapa’ atau ‘ibu’ kerana hormat kepada mereka. Tetapi tidaklah boleh dianggap mereka itu menjadi anak atau ibubapa yang sebenar pula. Itu adalah panggilan sahaja.

 

وَلٰكِن مّا تَعَمَّدَت قُلوبُكُم

tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. 

Yang Allah ‎ﷻ akan balas adalah mana-mana kesalahan yang memang manusia berniat hendak buat walaupun sudah tahu apakah hukum dan larangan.

Atau, Allah ‎ﷻ tidak akan memberi dosa kepada seseorang yang tidak berniat untuk melakukan dosa kerana dia terlupa. Kecuali kepada mereka yang sengaja berbuat dosa.

 

وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Walaupun manusia membuat kesalahan, sama ada sengaja ataupun tidak, Allah ‎ﷻ masih mampu untuk memaafkan mereka. Iaitu kepada mereka yang sanggup untuk bertaubat dan meminta keampunan dari Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk memberikan keampunan kerana Allah ‎ﷻ Maha Penyayang. Allah ‎ﷻ sayang kepada hambaNya dan kalau hamba itu sanggup untuk kembali mengadap kepada Allah ‎ﷻ dan mengaku kesalahan yang telah dilakukan dan bertekad untuk tidak melakukannya lagi, maka Allah ‎ﷻ sanggup berikan keampunan.


 

Ayat 6: Dari ayat ini dan seterusnya akan menyentuh tentang ‘famili kaunseling’. Memang banyak ada masalah dalam keluarga. Entah berapa banyak pasangan suami isteri yang sudah tidak baik kerana masalah komunikasi antara mereka. Kadangkala memang sudah tidak ada cinta di antara mereka lagi.

Ramai juga kita kenal orang sebegitu, bukan? Dan kita pun susah untuk memberi nasihat sebab kita selalunya hanya dapat mendengar dari satu pihak sahaja dan kita tidak mengetahui situasi yang sebenar. Maka kalau kita tidak tahu, kita kena hati-hati. Jangan kita memandai berikan nasihat kalau kita pun tidak pasti.

النَّبِيُّ أَولىٰ بِالمُؤمِنينَ مِن أَنفُسِهِم ۖ وَأَزوٰجُهُ أُمَّهٰتُهُم ۗ وَأُولُو الأَرحامِ بَعضُهُم أَولىٰ بِبَعضٍ في كِتٰبِ اللهِ مِنَ المُؤمِنينَ وَالمُهٰجِرينَ إِلّا أَن تَفعَلوا إِلىٰ أَولِيائِكُم مَّعروفًا ۚ كانَ ذٰلِكَ فِي الكِتٰبِ مَسطورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Prophet is more worthy of the believers than themselves,¹ and his wives are [in the position of] their mothers. And those of [blood] relationship are more entitled [to inheritance] in the decree of Allāh than the [other] believers and the emigrants, except that you may do to your close associates a kindness [through bequest]. That was in the Book² inscribed.

  • He (ṣ) is more worthy of their obedience and loyalty and is more concerned for them than they are for one another.
  • The Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth).

(MELAYU)

Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin, kecuali kalau kamu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah).

 

النَّبِيُّ أَولىٰ بِالمُؤمِنينَ مِن أَنفُسِهِم

Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri 

Ketahuilah Nabi ﷺ lebih penting dari diri orang lain. Kerana itu para sahabat memang sanggup mempertahankan baginda dan sanggup berkorban apa sahaja untuk baginda walaupun mereka mungkin mati. Ini kerana tugas Nabi ﷺ lebih penting dari diri mereka sendiri. Nabi ﷺ bukan seperti manusia yang lain. Maka di dalam urusan apa-apa pun kehendak Nabi  ﷺ mesti didahulukan.

Waktu ayat ini diturunkan, golongan munafik bercakap buruk tentang Nabi ﷺ. Ini tidak mengejutkan sebab memang mereka tidak beriman dan mereka sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan nama baik baginda kerana kalau kedudukan baginda jatuh, maka pada mereka agama Islam pun akan jatuh juga.

Memang sudah nampak yang mereka memang tidak beriman kerana kalau betul mereka mukmin, tentu mereka akan pertahankan kedudukan dan nama baik Nabi ﷺ bukannya mengutuk. Maka mereka ditegur terus di dalam ayat ini.

Kita sekarang tidak ada lagi Nabi ﷺ di kalangan kita. Tetapi kita masih tetap mesti melebihkan Nabi Muhammad ﷺ dalam kehidupan kita. Kita mesti mengamalkan sunnah sebagaimana yang baginda telah lakukan. Maka kita kena tahu apakah sunnah Nabi ﷺ itu. Dan kita kena terima dan amalkan ajaran Nabi ﷺ. Ia lebih penting lagi dari ilmu-ilmu yang lain. Dalam ayat lain, Allah ‎ﷻ telah berfirman:

{فَلا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا}

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (An-Nisa: 65)

Malah Nabi Muhammad ﷺ itu lebih penting dari ahli keluarga kita sendiri. Kerana keluarga kita masih boleh lagi hendak menipu kita, membuat kesalahan kepada kita, pecah amanah dan sebagainya. Tetapi tidak begitu dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Maka kerana itu kita mesti melebihkan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ lebih lagi dari ahli keluarga kita sendiri. Kalau lebih dari ahli keluarga kita, maka tentulah lebih lagi dari orang lain, bukan? Di dalam hadis sahih disebutkan:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ”

Demi Tuhan Yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, tidaklah seseorang dari kalian beriman sebelum diriku ini lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri, harta bendanya, anak-anaknya, dan semua orang.

 

وَأَزوٰجُهُ أُمَّهٰتُهُم

dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.

Dan para isteri Nabi ﷺ itu lebih lagi kedudukan mereka kalau dibandingkan dengan wanita-wanita yang lain. Isteri baginda adalah ibu semua orang mukmin seluruh dunia. Itulah pangkat keibuan yang telah diberikan kepada mereka. Dan ini adalah khas untuk para isteri Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Ini adalah kerana kalau hati mereka disakiti, maka sebenarnya hati Nabi Muhammad ﷺ juga yang disakiti kerana baginda sayangkan mereka.

Dan oleh kerana mereka itu status ‘ibu’ kita, maka selepas itu haram isteri baginda dinikahi apabila Nabi ﷺ sudah wafat. Ini akan disentuh dalam ayat lain dalam surah ini nanti.

Tetapi apabila dikatakan ‘ibu’ orang mukmin, tidaklah jadi ibu sebenar pula. Maksudnya kita kenalah menghormati mereka dan tidak boleh mengahwini dengan mereka. Tetapi tidaklah mereka itu seperti mahram yang lain, sampai tidak perlu menutup aurat pula dengan mereka. Dan anak-anak mereka bukanlah menjadi adik beradik kita pula, sampai tidak boleh berkahwin dengan mereka. Maka kena bezakan antara ibu sebenar dan ummahatul mukminin.

Jadi apabila Zainab رضي الله عنها dikahwinkan oleh Allah ‎ﷻ dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka kita sebagai umat Islam kena menerima ketentuan ini kerana Nabi ﷺ dan juga para isteri baginda bukanlah orang biasa. Jangan bandingkan apa yang dilalui oleh mereka dengan kita.

Oleh kerana kita telah menyentuh tentang para isteri Nabi ﷺ, maka ada eloknya kita sentuh tentang kesesatan Syiah yang berkenaan ayat ini. Kalau kita baca ayat ini dengan jelas mengatakan yang para isteri Nabi ﷺ itu semuanya adalah ‘ibu’ kepada para mukmin. Tapi Syiah memang tidak sukakan Aisyah رضي الله عنها dan Habsah رضي الله عنها sampaikan Syiah kata mereka berdua itu adalah pelacur. Maka mana mungkin kita boleh mengatakan ibu kita pelacur? Sedangkan kita orang mukmin disuruh untuk menghormati mereka?

Maka Syiah terpaksa reka hadis (tidak ada masalah untuk mereka kerana mereka memang jenis tidak kisah pun menipu dalam agama) untuk mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ ada memberikan mandat untuk menceraikan mana-mana isteri baginda setelah baginda wafat nanti. Maknanya kuasa cerai itu kononnya diberikan kepada Saidina Ali رضي الله عنه!

Ini memang karut sekali kerana nanti kita akan lihat dalam surah ini juga, Nabi Muhammad ﷺ sendiri sudah tidak boleh menceraikan para isteri baginda. Maka mana mungkin baginda tidak boleh menceraikan mereka, tetapi Saidina Ali رضي الله عنه pula boleh menceraikan mereka? Memang Syiah ini golongan yang sesat lagi menyesatkan dan kerana itu kita tidak boleh terima mereka.

 

وَأُولُو الأَرحامِ بَعضُهُم أَولىٰ بِبَعضٍ في كِتٰبِ اللهِ مِنَ المُؤمِنينَ وَالمُهٰجِرينَ

Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin,

Kalau kedudukan Nabi ﷺ dan para isteri baginda tidak sama dengan manusia biasa, maka tali persaudaraan itu lebih kuat dari talian lain. Ini adalah kerana tali keluarga itu adalah berdasarkan darah daging. Kerana itu antara lain, mereka boleh mendapat harta pusaka dari ahli keluarga mereka sedangkan saudara sesama mukmin tidak boleh.

Maka ini juga mengajar kita yang pertalian kekeluargaan itu lebih kuat kalau dibandingkan dengan saudara seislam yang lain. Maka kalau sedekah, kena dahulukan beri bantuan kepada ahli keluarga dahulu; kalau zakat fitrah pun kena berikan kepada ahli keluarga terdekat dan jauh kalau mereka memerlukan sebelum lihat kepada orang lain.

Jadi memang tidak sama dan tidak kisahlah kalau antara golongan Ansar dengan Muhajirin pun. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ telah menghubungkan talian persaudaraan antara Ansar dan Muhajirin semasa Hijrah berlaku. Tetapi tidaklah talian itu sama dengan tali persaudaraan darah daging.

Ayat ini memansukh hukum yang sebelumnya berlaku dalam hal waris-mewaris, yang dapat dilakukan dengan halaf (sumpah pertahanan bersama) dan saudara angkat yang diadakan di antara sesama mereka. Sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas رضي الله عنهما dan lain-lainnya:

Disebutkan bahawa dahulu kaum Muhajirin dapat mewarisi kaum Ansar —mereka itu bukan kaum kerabat dan saudara-saudara orang yang bersangkutan— kerana adanya persaudaraan angkat yang diadakan oleh Nabi ﷺ di antara kedua golongan tersebut.

 

إِلّا أَن تَفعَلوا إِلىٰ أَولِيائِكُم مَّعروفًا

kecuali kalau kamu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama) dengan cara yang patut.

Jadi tidak boleh persaudaraan bukan darah daging membolehkan menerima harta pusaka. Yang boleh adalah kalau hendak bagi sedikit harta dengan cara yang baik.

Maksudnya dengan cara wasiat. Persaudaraan sesama Islam itu tidak boleh mendapat harta pusaka tetapi mereka masih boleh menerima wasiat. Namun begitu, ada syaratnya: tidak boleh wasiatkan lebih dari 1/3 dari jumlah harta.

 

كانَ ذٰلِكَ فِي الكِتٰبِ مَسطورًا

Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah).

Jadi kenalah mengikut undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Undang-undang Faraid sudah ada dan banyak dijelaskan di dalam Surah Nisa’.

Dan tentang siapa kita halal berkahwin pun sudah tertulis juga ada dalam Surah Nisa’. Maknanya yang tidak boleh dikahwini adalah bekas isteri Rasulullah ﷺ sahaja. Kalau bekas isteri sesiapa pun yang lain masih boleh dikahwini lagi.

Ini kenalah disebut kerana mungkin ada kawan segan untuk berkahwin dengan bekas isteri kawan yang lain. Ini kerana pertalian mereka sebelum itu amat kuat sampaikan mereka rasa berkahwin dengan ipar sendiri.

Ini juga menunjukkan bahawa perkahwinan selepas perceraian adalah mudah sahaja. Selepas sesuatu perkahwinan itu tidak menjadi dan suami isteri itu sudah bercerai, maka suami dan isteri itu boleh sahaja berkahwin dengan orang lain.

Jangan disusahkan bekas isteri (janda) dari berkahwin dengan orang lain sampai ada yang digantung tidak bertali bertahun-tahun lamanya. Dan jangan juga kita letak stigma buruk kepada mana-mana janda sampaikan orang takut untuk berkahwin dengan mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 5 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s