Tafsir Surah Ahzab Ayat 7 – 10 (Perang Khandak)

Ayat 7: Ayat ini kembali khitab kepada Nabi.

وَإِذ أَخَذنا مِنَ النَّبِيّينَ ميثٰقَهُم وَمِنكَ وَمِن نّوحٍ وَإِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۖ وَأَخَذنا مِنهُم مّيثٰقًا غَليظًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when We took from the prophets their covenant and from you and from Noah and Abraham and Moses and Jesus, the son of Mary; and We took from them a solemn covenant

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari nabi-nabi dan dari kamu (sendiri) dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putra Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh.

 

وَإِذ أَخَذنا مِنَ النَّبِيّينَ ميثٰقَهُم وَمِنكَ

Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari Nabi-nabi dan dari engkau (sendiri) 

Sebelum ini di dalam Surah Nisa telah diberitahu bahawa perjanjian perkahwinan adalah perjanjian kontrak yang kuat.

Dan ada ayat yang lain berkenaan dengan perjanjian yang kuat juga iaitu perjanjian para Nabi untuk membantu Nabi yang lain untuk menyampaikan dakwah. Semua para Nabi tertakluk dan telah bersetuju dengan perjanjian itu termasuklah Nabi Muhammad sendiri.

Antara perjanjian itu adalah mereka sendiri kena dahulu ikut ajaran wahyu dari Allah. Ini seperti yang telah disebut dalam Shura:13

شَرَعَ لَكُم مِنَ الدّينِ ما وَصّىٰ بِهِ نوحًا وَالَّذي أَوحَينا إِلَيكَ وَما وَصَّينا بِهِ إِبراهيمَ وَموسىٰ وَعيسىٰ ۖ أَن أَقيمُوا الدّينَ وَلا تَتَفَرَّقوا فيهِ

Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.

Allah ingatkan Nabi Muhammad SAW kerana baginda rasa berat untuk menjalankan perintah Allah untuk mengahwini Zainab kerana baginda takut perbuatan baginda itu akan disalahfahami oleh masyarakat Islam. Allah ingatkan balik kepada baginda yang baginda telah berjanji untuk taat.

 

وَمِن نّوحٍ وَإِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ

dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putra Maryam,

Selepas disebut para Nabi secara umum, sekarang disebut Nabi Ulul Azmi. Dalam ayat ini Allah menyebutkan nabi pertengahan, nabi permulaan, dan nabi penutup secara tertib. Mereka adalah Nabi-nabi yang hebat dan cekal dalam perjuangan menegakkan agama Islam. Ini adalah sebagai penekanan pentingnya perjanjian ini.

Dalam ayat ini yang disebutkan pertama adalah nabi penutup, mengingat kemuliaan yang dimilikinya. Kemudian barulah mereka disebutkan secara tertib berdasarkan urutan keberadaan mereka di bumi ini. Semoga salawat Allah terlimpahkan kepada mereka semuanya.

Dalam Surah A’raf telah disentuh bagaimana semua manusia yang lahir telah ada perjanjian dengan Allah. Ini semua manusia telah lakukan di alam roh lagi. Tapi dengan para Nabi dan Rasul ada perjanjian tambahan.

 

وَأَخَذنا مِنهُم مّيثٰقًا غَليظًا

dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh.

Kalimah ميثاق adalah apabila perjanjian yang dilakukan antara pihak dan kedua-dua pihak sedar tentang kepentingan dan kesan berat kepada perjanjian itu.

Apakah perjanjian itu? Ia bermaksud perjanjian untuk menyampaikan risalah Tuhan. Maka para Nabi kena sampaikan semua wahyu Allah dan tidak boleh simpan atau sorok mana-mana wahyu dari Allah.

Dan satu lagi perjanjian adalah untuk saling membantu dan saling menolong, serta siap untuk berkorban, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنَ الشَّاهِدِينَ}

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari para nabi, “Sungguh, apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, niscaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.” Allah berfirman, “Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian­Ku terhadap yang demikian itu?” Mereka menjawab, “Kami mengakui.” Allah berfirman, “Kalau begitu, saksikanlah (hai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.” (Ali-Imran: 81)

Dan perjanjian ini terjadi sebelum kita semua dilahirkan lagi. Sebagaimana perjanjian kita semua dilakukan semasa kita dalam bentuk roh lagi, maka perjanjian ini juga semasa para Nabi itu dalam roh juga.


 

Ayat 8:

لِّيَسئَلَ الصّٰدِقينَ عَن صِدقِهِم ۚ وَأَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That He may question the truthful about their truth.¹ And He has prepared for the disbelievers a painful punishment.

  • i.e., that He may ask the prophets what they conveyed to their people and what response they received. “The truthful” may also refer to those who believed in the message conveyed by the prophets and imparted it to others.

(MELAYU)

agar Dia menanyakan kepada orang-orang yang benar tentang kebenaran mereka dan Dia menyediakan bagi orang-orang kafir seksa yang pedih.

 

لِّيَسئَلَ الصّٰدِقينَ عَن صِدقِهِم

agar Dia menanyakan kepada orang-orang yang benar tentang kebenaran mereka

Perjanjian ini penting kerana mereka akan ditanya samada mereka telah melakukannya. Allah akan tanya samada mereka sampaikan wahyu atau tidak.

Maka jangan sangka para Nabi sahaja yang akan ditanya. Sebenarnya kita pun akan ditanya. Terutama kita yang sudah belajar ini akan ditanya samada kita sampaikan atau tidak kepada orang lain.

 

وَأَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا أَليمًا

dan Dia menyediakan bagi orang-orang kafir seksa yang pedih.

Tidak dapat dinafikan, ada orang yang sudah belajar tafsir Qur’an tetapi mereka tidak sampaikan ajaran tafsir wahyu ini. Mereka simpan sendiri sahaja. Jadi mereka itu dikira telah menyembunyikan wahyu. Mereka akan dikenakan dengan azab juga.

Ada pula orang yang sampaikan ajaran tafsir tetapi mereka telah putar belit ajaran itu maka mereka ini juga akan kena azab.

Maka ini adalah satu pemberitahuan yang amat menakutkan. Kerana jika tidak sampaikan sahaja ajaran wahyu ini sudah dikira sebagai engkar dan kena azab. Dan bukan itu sahaja, kalau ajar tapi ajar dengan ajaran salah, maka ini juga akan menyebabkan kena azab juga.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut perjanjian dengan para Nabi untuk menyampaikan ajaran wahyu. Hendaklah kita sedar yang semua para Nabi telah menyampaikan ajaran wahyu dan kerana itu tentulah mereka tidak kufur dan engkar. Mereka telah selamat akan tetapi yang engkar itu adalah umat manusia yang tidak dengar ajaran wahyu itu lagi dan tidak sampaikan lagi ajaran wahyu ini.


 

Ayat 9: Sekarang kita masuk tentang kisah satu peperangan yang terjadi pada tahun kelima Hijrah. Sebelum itu telah terjadi dua peperangan yang besar juga iaitu Perang Badar dan Perang Uhud. Tepatnya perang ini terjadi pada bulan Syawwal tahun lima Hijriah, menurut pendapat yang sahih lagi terkenal.

Semasa Madinah dibangunkan, telah dimeterai perjanjian antara puak Islam dan juga puak Yahudi di mana kedua-dua pihak telah sama-sama bersetuju untuk mempertahankan Madinah jikalau diserang dari luar.

Tetapi ada satu puak Yahudi iaitu Bani Nadir telah didapati bersekongkol dengan pihak musuh iaitu puak Mekah untuk menjatuhkan Madinah dari dalam. Maka kerana kesalahan mereka itu, mereka telah dihalau keluar dari Madinah dan keputusan ini telah termaktub di dalam perjanjian.

Ketua-ketua puak itu amat marah kepada negara Islam Madinah dan dia telah membuat rancangan untuk menggembleng tenaga dengan puak-puak yang lain untuk menyerang Madinah.

Jadi mereka telah berjumpa dengan Quraisy Mekah dan bersekongkol dengan mereka untuk menggembleng pasukan-pasukan daripada puak-puak Arab yang lain yang tidak suka kepada Islam. Abu Amar kena guna pengaruh Quraisy Mekah untuk dapat mengajak tentera-tentera daripada puak-puak yang lain.

Akhirnya mereka telah berjaya mengumpulkan ramai tentera dan bilangan yang datang untuk menyerang Madinah waktu itu adalah sebanyak 12,000. Tentera ini diketuai antaranya oleh Abu Sufyan. Ini lebih banyak daripada bilangan tentera semasa Badr dan juga Uhud. Waktu itu ada lebih kurang 3,000 sahaja bilangan umat Islam di dalam Madinah. Bayangkan mereka akan menerima serangan dari 12,000 musuh! Ini adalah sesuatu yang amat menakutkan sekali.

Dari segi geografi, Madinah terletak di antara dua kawasan bukit di utara dan selatan. Jadi ini adalah sebagai pelindung kepada Madinah jadi tidak ada tentera yang boleh menyerang dari utara dan selatan kerana kawasan berbukit itu memang payah untuk dilalui. Tapi masih ada bukaan serangan dari timur dan barat.

Tapi masih ada lagi masalah pertahanan. Sudahlah ada tentera sebanyak 12,000 yang datang menyerang dari luar. Dan kemudian umat Islam telah mendapat maklumat bahawa ada puak Yahudi iaitu Bani Quraizah yang juga hendak menyerang Madinah daripada bahagian yang lain. Jadi keadaan menjadi semakin menakutkan dan membahayakan.

Bani Quraizah adalah segolongan orang-orang Yahudi, mereka memiliki benteng sendiri yang terletak di sebelah timur kota Madinah. Mereka terikat perjanjian perdamaian dengan Nabi Saw. dan berada di dalam jaminan keamanan Nabi Saw. Jumlah mereka kurang lebih lapan ratus orang.

Telah datang menemui mereka Huyay ibnu Akhtab An-Nadri yang terus-menerus memujuk mereka agar melanggar perjanjian mereka dengan Nabi Saw., dan pada akhirnya mereka setuju untuk merosak perjanjian tersebut, lalu mereka bergabung dengan tentera bersekutu untuk memerangi umat Islam.

Oleh kerana keadaan ini sudah tegang dan meruncing, maka Nabi Muhammad membuka ruang untuk mendengar cadangan daripada umat Islam. Golongan munafik memang sudah takut kerana mereka memang tidak setuju dengan Nabi Muhammad dari dulu lagi dan tidak percaya kepada agama Islam. Maka mereka gunakan keadaan ini untuk buat kacau dan buat kecoh. Ini akan disentuh nanti.

Salman al Farasi memberi cadangan yang akhirnya digunakan. Beliau datang dari Parsi dan dia memberitahu yang di Parsi, apabila tentera besar berlawan dengan tentera yang kecil, maka tentera yang kecil itu akan menggali lubang yang besar supaya tentera besar tidak dapat menyerang dengan jumlah yang ramai.

Ini kerana tentera besar itu hanya boleh masuk sedikit demi sedikit dan senang untuk dipatahkan. Maka kerana inilah perang Ahzab ini adalah nama lain iaitu Perang Khandak kerana parit di dalam bahasa Arab adalah khunduk.

Maka saranan Salman ini telah diterima dan keputusan telah dibuat untuk menggali di sekeliling Madinah. Waktu itu memang payah kerana ketika itu adalah musim sejuk dan makanan pun tidak ada. Akan tetapi mereka terpaksa juga menggali parit yang besar. Kita tidak tahu berapa panjang parit itu tetapi kita boleh agak yang ianya tentu panjang.

Dan parit itu kenalah besar kerana kalau tidak lebar, senang sahaja kuda nak lompat dan serang. Jadi tugas mereka amat berat waktu itu. Sudahlah musim sejuk, makanan pula tidak banyak.

Jadi di dalam keadaan yang susah itulah mereka jalankan juga arahan Rasulullah. Waktu itulah juga mereka bersyair untuk menghilangkan penat mereka. Maka memang ada syair untuk menghilangkan penat. Bukannya untuk puji Nabi Muhammad macam Ya Hanana itu. Maksudnya tidak ada syair atau qasidah untuk majlis agama.

Dan Nabi Muhammad sendiri bersama-sama dengan para sahabat menggali parit itu. Bukanlah baginda beri arahan sahaja macam ketua kita sekarang. Dan waktu itu ada satu batu besar yang para sahabat tidak dapat pecahkan. Maka bagindalah yang pecahkan sendiri. Ada kisah terkenal tentang perkara ini juga.

Seperti telah diberitahu, waktu itu makanan tidak ada dan ada sahabat yang mengadu mereka tidak makan berapa hari dan Nabi Muhammad menunjukkan perutnya yang diikat dengan batu.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اذكُروا نِعمَةَ اللهِ عَلَيكُم إِذ جاءَتكُم جُنودٌ فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا وَجُنودًا لَّم تَرَوها ۚ وَكانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, remember the favor of Allāh upon you when armies came to [attack] you and We sent upon them a wind and armies [of angels] you did not see. And ever is Allāh, of what you do, Seeing.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اذكُروا نِعمَةَ اللهِ عَلَيكُم

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu

Ingatlah nikmat Allah bantu umat mukmin waktu itu. Allah menceritakan dalam kisah perang ini bagaimana Allah membantu orang mukmin tanpa ikhtiar mereka. Kerana perkara ini tidak sama dengan perang-perang yang lain. Umat Islam pada waktu itu hanya dapat gali parit sahaja dan kemudian mereka tunggu dan tidak boleh buat apa-apa. Memang waktu itu berserah kepada Allah Ta’ala sahaja.

 

إِذ جاءَتكُم جُنودٌ

ketika datang kepadamu tentera-tentera,

Seperti kita telah sebut, bilangan tentera itu amat ramai. Ianya adalah gabungan banyak pihak. Dan kerana itu tentera itu dinamakan ‘ahzab’ iaitu gabungan banyak pihak. Iaitu kalau sekarang dipanggil tentera bersekutu.

Parit itu telah berjaya di mana tentera berkuda dan tentera berjalan kaki pun tidak dapat masuk ke dalam Madinah.

Maka mereka rasa yang mereka kena mengepung Madinah sampai makanan habis. Mereka sangka yang orang Islam Madinah akan kehabisan makanan dan lama-lama akan menyerah kalah.

 

فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا

lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan

Akan tetapi Allah menghantar angin kuat untuk mengalahkan tentera penentang Muslim. Tapi tidaklah angin ini terus datang. Ianya datang selepas sebulan tentera Ahzab itu mengepung Madinah. Allah Swt. mengirimkan kepada pasukan bersekutu itu dengan angin yang kencang, kuat, lagi dingin, sehingga tiada suatu khemah pun dan tiada sesuatu pun dari peralatan mereka yang tersisa. Mereka tidak dapat menyalakan api dan tiada tempat lagi bagi mereka, sehingga pada akhirnya mereka pulang dalam keadaan kecewa dan merugi.

Memang tidak ada peperangan yang berlaku pun kecuali kecil-kecilan sahaja. Mengikut sejarah hanya ada seorang sahaja yang dapat melompati parit itu dan masuk ke kawasan Madinah. Beliau adalah Amr ibnu Abdu Wadd Al-Amiri dan dia adalah seorang pendekar penunggang kuda yang terkenal sejak zaman Jahiliah.

Dia bersama sejumlah pasukan berkuda meloncati parit itu hingga sampai di bagian posisi pasukan kaum muslim. Dan Saidina Ali telah berlawan dengan Amr dan telah membunuhnya. Peristiwa ini merupakan pertanda akan datangnya pertolongan dari Allah dan kemenangan. Ini telah menjatuhkan moral tentera dari Mekah kerana beliau adalah seorang yang hebat dan tidak ada orang yang berani melawannya sebelum itu.

Maka tentera yang menyerang Madinah itu pun menunggu di luar. Dan Allah menghantar angin yang kuat seperti angin puting beliung yang menyebabkan susah kepada mereka. Sampai terangkat habis khemah-khemah mereka.

Dan ini telah menyebabkan mereka lemah semangat kerana mereka itu bukannya semua dari puak Quraisy tetapi mereka diajak datang dan mereka sangka tugas mereka mudah sahaja untuk mengalahkan tentera Madinah. Tetapi sekarang apa sudah terjadi? Sampai mereka sendiri rasa bahawa kedatangan mereka itu tidak berbaloi.

 

وَجُنودًا لَّم تَرَوها

dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. 

Selain daripada tentera dalam bentuk angin itu, Allah juga telah menghantar tentera malaikat yang tidak dapat dilihat oleh pihak musuh. Cuma tidak jelas yang para malaikat ada diturunkan kali ini.

Atau mungkin mereka tidak serang pun. Tapi mereka adalah para malaikat yang turun menggoncangkan hati musuh dan melemparkan ke dalam hati mereka rasa takut dan ngeri, sehingga tiap-tiap pemimpin kabilah dari pasukan bersekutu berkata, “Hai Bani Fulan, berkumpullah dekatku,” lalu mereka berkumpul dan dia mengatakan, “Tolong, tolong,” kerana Allah Swt. telah melemparkan rasa takut ke dalam hati mereka.

Maka mungkin ‘tentera’ yang dimaksudkan adalah elemen pertolongan Allah dalam menyelamatkan umat Islam. Allah tidak perlu nak hantar tentera malaikat setiap kali. Dalam kes Perang Khandak ini, Allah hantar angin sahaja.

 

وَكانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرًا

Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Allah Maha Melihat apa yang berlaku. Dan Allah tidak biarkan sahaja tentera Muslim dalam kepayahan. Allah bantu mereka sampaikan mereka diselamatkan.


 

Ayat 10: Di dalam ayat ini Allah hendak menceritakan keadaan di dalam hati mereka pada waktu itu. Allah bukan sahaja melihat perkara luaran, tapi dalam hati pun Allah tahu. Allah ceritakan balik.

إِذ جاءوكُم مِّن فَوقِكُم وَمِن أَسفَلَ مِنكُم وَإِذ زاغَتِ الأَبصٰرُ وَبَلَغَتِ القُلوبُ الحَناجِرَ وَتَظُنّونَ بِاللهِ الظُّنونا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when they came at you from above you and from below you, and when eyes shifted [in fear], and hearts reached the throats, and you assumed about Allāh [various] assumptions.

(MELAYU)

(Yaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan(mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan.

 

إِذ جاءوكُم مِّن فَوقِكُم وَمِن أَسفَلَ مِنكُم

(Yaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu,

Allah menceritakan apa yang dihadapi oleh tentera Muslim waktu itu. Waktu itu tentera kafir datang daripada kawasan atas dan juga kawasan bawah. Ini adalah kerana Kaum musyrik tiba dan mereka turun bermarkas di sebelah timur kota Madinah dekat bukit Uhud. Sebahagian dari mereka bermarkas di dataran tinggi Madinah,

 

وَإِذ زاغَتِ الأَبصٰرُ

dan ketika tidak tetap lagi penglihatan

Dan kerana itu mata mereka melihat dalam ketakutan. Mata mereka sudah tidak tetap pada satu arah. Kerana mereka amat takut sekejap tengok ke sana dan sekejap tengok ke sini.

Allah menceritakan apa yang ada di dalam hati dan mata mereka. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menceritakan perkara ini melainkan Allah Ta’ala sahaja.

 

وَبَلَغَتِ القُلوبُ الحَناجِرَ

dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan

Dan kemudian Allah cerita lebih lagi iaitu apa yang di dalam hati mereka kerana hati mereka waktu itu amat-amat takut sampaikan hati jantung mereka sudah sampai tekak.

Tidak ada sesiapa pun yang boleh menceritakan perkara ini melainkan Allah sahaja. Kesan apabila jantung sudah sampai ke tekak maksudnya orang itu takut sampai tidak dapat berkata-kata. Macam ada ketulan pada tekak, kan?

 

وَتَظُنّونَ بِاللهِ الظُّنونا

dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan.

Allah menceritakan perasaan dan fikiran orang Islam di Madinah yang mula longgar iman mereka.

Sebelum itu mereka sangka yang mereka akan menang dengan besar dan mereka dapat menyebarkan agama Islam sampai terus ke Parsi. Tetapi sekarang mereka rasa yang Allah sudah tidak membantu mereka.

Ibnu Jarir mengatakan bahawa sebahagian orang yang bersama Rasulullah Saw. ada yang menduga bahawa kekalahan akan dialami oleh kaum mukmin dan Allah akan melakukan hal tersebut.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 November 2017


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s