Tafsir Surah al-A’raf Ayat 23 – 27 (Doa pengampunan dari Nabi Adam)

Ayat 23: Nabi Adam mengalah dan terus meminta ampun kerana dia sedar dia telah buat salah. Inilah yang Allah hendak dari hambaNya. Allah hendak kita mengaku dan mohon ampun sahaja, jangan melawan. Kalau tahu yang kita sudah buat salah, cepat-cepat minta maaf.

Tapi ramai yang apabila diberitahu mereka buat salah, mereka bukan nak terima, tapi mereka melawan lagi, dengan memberi hujah-hujah yang bathil untuk membenarkan juga kesalahan yang mereka telah lakukan. Ramai yang akan beri alasan, padahal Allah bukan hendak dengar alasan, tapi Allah hendak dengar taubat dari kita.

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Our Lord, we have wronged ourselves, and if You do not forgive us and have mercy upon us, we will surely be among the losers.”

(MALAY)

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri,

Doa minta ampun ini diajar sendiri oleh Allah kepada mereka berdua. Kerana kalau Allah tidak ajar mereka, mereka pun tidak tahu bagaimana hendak minta ampun. Jadi, doa ini adalah doa yang baik untuk diamalkan.

Mereka mengaku yang mereka telah menzalimi diri mereka. Kerana mereka tidak berhati-hati dan tidak ikut nasihat Tuhan. Mereka mengaku kekurangan mereka.

Ini amat berlainan sekali dengan Iblis yang tidak mengaku dia bersalah. Malah dia berhujah pula dengan Allah kenapa dia langgar arahan Allah – dia gunakan alasan yang menggunakan logik akal sahaja, iaitu dia lebih tinggi kedudukan dari Nabi Adam. Maka tidaklah patut kalau menggunakan logik akal untuk berhujah dengan Allah. Kena sedarlah Allah siapa dan kita siapa. Berapa ramai yang menggunakan logik akal mereka sampaikan terkeluar dari Islam.

Mereka sangka akal mereka sudah cukup pandai untuk memikirkan kejadian Allah, kerja-kerja Allah dan undang-undang Allah. Ketahuilah yang itu adalah cara syaitan. Ramai yang sangka semua hukum Allah itu boleh dijelaskan dengan logik akal, dan kalau mereka tidak dapat jelaskan dengan logik akal, mereka tidak mahu terima. Mereka sangka Islam perlu menjelaskan semua perkara kepada mereka.

Ini lain dengan sunnah dalam agama. Nabi kita semuanya taat kepada Allah tanpa soal; lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim telah ikut segala arahan Allah, walaupun dari logik akalnya, tidak masuk akal. Sebagai contoh, kenapa pula baginda kena sembelih anaknya Nabi Ismail? Memang kalau difikirkan, perbuatan itu tidak masuk akal, tapi baginda taat juga dan lakukan juga kerana itu pasti arahan dari Allah.

Tetapi ini bukanlah larangan untuk menggunakan akal. Jangan salah anggap pula dengan pemahaman ini. Kita memang digalakkan menggunakan akal untuk melihat apakah hikmah sesuatu perkara itu diwajibkan kepada kita, atau diharamkan kepada kita. Tapi itu adalah untuk mencari hikmah dan melihat apakah kebaikan yang ada dalam hukum itu, supaya kita menjadi semakin mantap dalam melaksanakannya.

Maka bukanlah menggunakan akal untuk mempersoalkan arahan Allah. Kalau silap guna akallah yang menyebabkan ada manusia yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Itu sudah melawan hukum yang telah ditetapkan, itu derhaka.

Dan kadang-kadang kita tidak dapat jumpa pun hikmah sesuatu arahan hukum itu. Dan kalau kita jumpa pun, tidak semestinya ianya benar, kerana itu adalah hasil dari akal kita sahaja, dan akal kita tidak akan dapat capai tahap sempurna untuk mengetahui segala sesuatu dengan benar. Maka kalau kita tidak dapat jumpa hikmah sesuatu arahan Allah, kita tetap kena ikut juga.

Kita kena faham bahawa agama kita bukan memerlukan kita faham sesuatu perkara dalam agama itu, baru kena buat. Tidak semestinya kita akan faham semua arahan Allah, tapi yang pasti kita tetap kena taat. Sebelum masuk Islam, memang kita digalakkan untuk mempersoalkan segala perkara tentang agama Islam, tapi apabila kita telah buat keputusan untuk masuk Islam dan kita telah faham siapa diri kita dan siapa Allah, maka kita tidak ada hak untuk mempersoalkan hukum yang Allah telah berikan.

وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

Dalam ayat ini, Nabi Adam dan Hawa memohon keampunan dari Allah dan juga memohon rahmat. Kenapa dua perkara ini yang diperlukan? Kerana ianya ada dua perkara yang amat penting. Kalau kita sudah buat salah, kenalah kita minta ampun dan maaf atas kesalahan kita. Dan kalau permohonan kita sudah dimakbulkan, maka kita sudah selamat.

Tapi tidak semestinya selamat itu sesuatu yang bagus sangat. Memang sudah selamat tapi itu sebenarnya tidaklah hebat sangat. Sebagai contoh, kita selamat dari masuk dalam penjara, tapi itu tidak semestinya kita dapat kelebihan-kelebihan lain, tidak semestinya dapat hidup baik dan mewah, contohnya. Maka kerana itu kita kena juga minta rahmat dari Allah. Tapi kenalah dimulakan dengan permintaan keampunan kerana itu yang lebih penting.

Ini juga mengajar kita yang kita tidak dihalang dari meminta rahmat dari Allah walaupun baru sahaja buat dosa. Lihatlah bagaimana Nabi Adam terus meminta rahmat dari Allah selepas meminta ampun. Kerana baginda kenal Allah, dan tidak hilang harapannya kepada Allah. Kalau bukan berharap rahmat dari Allah, dengan siapa lagi kita boleh berharap?


Ayat 24:

قالَ اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتاعٌ إِلىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Descend, being to one another enemies. And for you on the earth is a place of settlement and enjoyment [i.e., provision] for a time.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.

قالَ اهبِطوا

Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian

Allah berfirman: turunlah kamu semua. Dikatakan ‘semua’, kerana yang turun ke dunia itu termasuk juga zuriat mereka berdua. Dan maksudnya ‘semuanya’, kerana termasuk Iblis diturunkan juga dari syurga ke dunia.

بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ

sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. 

Setengah mereka akan jadi musuh setengah yang lain. Inilah perangai manusia apabila duduk di dunia. Kalau semuanya duduk syurga tidak ada masalah kerana tiada permusuhan di syurga.

Tetapi bila manusia duduk di dunia, macam-macam masalah ada. Lelaki jadi musuh kepada wanita, wanita jadi musuh kepada lelaki, manusia jadi musuh kepada syaitan dan sebaliknya. Dan permusuhan sesama manusia pun sudah banyak. Itu semua kita akan tempuhi selama mana kita hidup di dunia ini.

وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتاعٌ إِلىٰ حينٍ

Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.

Bagi kita semua di dunia ini, telah ada satu tempoh yang ditetapkan untuk kita tinggal di dunia ini. Ingatlah yang tempat tinggal di dunia ini untuk sementara waktu sahaja. Sampai masa kita akan dimatikan dan sampai masa, dunia akan kiamat dan semua akan mengadap Allah nanti.


Ayat 25:

قالَ فيها تَحيَونَ وَفيها تَموتونَ وَمِنها تُخرَجونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Therein you will live, and therein you will die, and from it you will be brought forth.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.

قالَ فيها تَحيَونَ

Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup

Allah kata: kamu akan hidup di dunia. Di sinilah tempat kita cari kehidupan kita, dari kita lahir, sampai kita menghembuskan nafas terakhir. Di sinilah juga tempat yang kita gunakan untuk mengumpul pahala untuk dibawa ke akhirat kelak. Maknanya, jangan ingat makan sahaja tapi hendaklah beringat untuk mengumpul amal dan pahala.

وَفيها تَموتونَ

dan di bumi itu kamu mati,

Dan selepas menjalani kehidupan sekian lama, kita akan mati dan mati itu pun semasa di dunia. Kita kena sentiasa ingat tentang kematian. Ini penting kerana dengan ingat kematian lah yang menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa.

وَمِنها تُخرَجونَ

dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.

Dan dari dunia inilah nanti kita semua akan dihidupkan kembali. Kita akan dikuburkan dan kita akan dibangkitkan dari kubur yang dalam tanah itu juga nanti.

Habis Ruku’ 2 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 26: Allah beri nasihat kepada anak Adam dengan empat nasihat. Setiap satu ayat itu dimulai dengan lafaz ‘Wahai anak Adam’.

Ini adalah ayat sokongan kepada Dakwa kedua: ikut wahyu yang Allah sampaikan dan jaga hukum Allah.

Ini adalah nasihat pertama:

يا بَني آدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُواري سَوآتِكُم وَريشًا ۖ وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ ۚ ذٰلِكَ مِن آياتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, We have bestowed upon you clothing to conceal your private parts and as adornment. But the clothing of righteousness – that is best. That is from the signs of Allāh that perhaps they will remember.

(MALAY)

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

يا بَني آدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian

Selepas dengar kisah datuk kamu dan apa yang telah terjadi kepada mereka berdua, maka dengarlah nasihat dalam ayat ini. Sebelum ini Allah telah menceritakan bagaimana Nabi Adam dan Hawa telah diberi hukuman semasa di syurga di atas kesalahan mereka, dimana mereka telah dinampakkan dengan aurat mereka, apabila pakaian mereka dicabut.

Dan sekarang dalam ayat ini pula, Allah beritahu yang Dia telah menurunkan pakaian untuk kita. Ini menunjukkan yang kita tidak salah (tidak mewarisi dosa Nabi Adam dan Hawa). Kerana kalau kita salah, kita pun mewarisi hukuman yang dikenakan kepada mereka berdua (terus ditelanjangkan). Tapi nampaknya tidaklah begitu.

Jadi ini menolak fahaman sesat ‘dosa warisan’ (Original Sin) yang dipegang oleh puak Kristian. Mereka kata kita manusia adalah makhluk yang disumpah, lahir-lahir terus ada dosa. Itu adalah fahaman yang karut sekali kerana bersangka buruk dengan Allah dan alasan itu tidak ada dalilnya.

يُواري سَوآتِكُم

untuk menutup auratmu

Tujuan pakaian pakaian itu diturunkan untuk kita adalah untuk menutup aurat. Jadi, kalau pakai pakaian, tapi tidak menutup aurat, itu tidaklah seperti yang dikehendaki oleh Allah. Itu maknanya tidak pakai pakaian sebenarnya.

وَريشًا

dan untuk perhiasan. 

Jadi, pakaian itu diberikan kepada kita untuk menutup aurat dan juga sebagai perhiasan. Tutup aurat itu wajib dan memakai perhiasan itu hukumnya harus. Dibolehkan asalkan tidak melakukan perkara yang haram.

Ini adalah kerana lafaz ريشًا bermaksud ‘keindahan pada pakaian’. Jadi, kita bukan sahaja disuruh untuk menutup aurat kita tapi kita juga digalakkan untuk memakai pakaian yang cantik. Nabi pun dalam sirah dan hadis, disebut selalu memakai pakaian yang cantik-cantik. Ada pakaian yang diberi kepada baginda sebagai hadiah oleh para sahabat.

Oleh itu, berpakaianlah dengan kemas dan cantik. Allah mahu supaya kita cantik dengan pakaian kita. Kerana itu Dia telah menurunkan kepada kita pakaian yang cantik-cantik. Cuma bagi wanita, janganlah pakai pakaian yang menarik perhatian lelaki.

وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ

Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.

Tapi dalam menyebut tentang pakaian yang zahir, Allah menyebut bahawa pakaian taqwa lebih baik lagi. Itu adalah pakaian rohani iaitu ketaatan kepada Allah. Oleh kerana taqwa itu dalam hati, jadi kita perlu mencantikkan hati kita sepertimana kita juga disuruh mencantikkan pakaian kita.

Juga ia bermaksud pakaian yang dipakai itu hendaklah pakaian yang menunjukkan taqwa. Bukannya pakaian yang ketat dan menunjukkan bentuk badan. Ramai antara kita yang pakai pakaian yang sudah tutup aurat kononnya, tapi kalau pakaian itu ketat, ia tidak sesuai dan tidak menepati syarak lagi. Jangan juga pakai pakaian yang menunjukkan kesombongan kerana Allah tidak suka orang yang sombong.

ذٰلِكَ مِن آياتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Allah mahu kita ingat kepadaNya. Oleh itu, hendaklah kita memakai pakaian dan dalam masa yang sama, dengan pakaian itu kita boleh ingat kepada Allah.

Ini menunjukkan segala apa yang kita lakukan adalah dalam rangka untuk mengingatkan kepada Allah. Dalam pakai baju pun boleh ingat kepada Allah. Semasa pakai baju, ingatlah yang baju itu diberi oleh Allah. Dan kita pakai baju itu kerana mengikut arahan Allah untuk menutup aurat kita. Dan kita seboleh mungkin pakai pakaian yang menunjukkan ketaqwaan kita.

Ini penting untuk diingati dan kerana itu ada doa yang Nabi ajar semasa pakai baju. Kita diingatkan sentiasa yang baju itu diberi oleh Allah, Allah telah beri nikmat kepada kita supaya dapat pakai baju yang cantik.

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ، حَدَّثَنَا أصْبَغُ، عَنْ أَبِي الْعَلَاءِ الشَّامِيِّ قَالَ: لَبِسَ أَبُو أُمَامَةَ ثَوْبًا جَدِيدًا، فَلَمَّا بَلَغَ تَرْقُوَتَه قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي، وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي. ثُمَّ قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنِ اسْتَجَدَّ ثَوْبًا فَلَبِسَهُ فَقَالَ حِينَ يَبْلُغُ تَرْقُوَتَهُ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي، وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي ثُمَّ عَمَدَ إِلَى الثَّوْبِ الَّذِي خَلُقَ أَوْ: أَلْقَى فَتَصَدَّقَ بِهِ، كَانَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ، وَفِي جِوَارِ اللَّهِ، وَفِي كَنَفِ اللَّهِ حَيًّا وَمَيِّتًا، [حَيًّا وَمَيِّتًا، حَيًّا وَمَيِّتًا] “

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Harun, telah menceritakan kepada kami Asbag, dari Abul Ala Asy-Syami yang menceritakan bahawa Abu Umamah memakai pakaian baru, ketika pakaiannya sampai pada tenggorokannya, dia mengucapkan doa berikut: Segala puji bagi Allah yang telah memberi saya pakaian untuk menutupi aurat saya dan untuk memperindah penampilan dalam hidup saya. Kemudian Abu Umamah mengatakan, dia pernah mendengar Umar ibnul Khattab bercerita bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Barang siapa memakai pakaian baru dan di saat memakainya hingga sampai pada tenggorokannya dia mengucapkan doa berikut, “Segala puji bagi Allah yang telah memberi saya pakaian untuk menutupi aurat saya dan untuk memperindah penampilan dalam hidup saya,” kemudian dia menuju ke pakaian bekasnya dan menyedekahkannya, maka dia berada di dalam jaminan Allah dan berada di sisi Allah serta berada di dalam pemeliharaan Allah selama hidup dan mati(nya).

Doa Ketika Memakai Pakaian 

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ كَسَانِىْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِحَوْلٍ مِنِّىْ وَلاَقُوَّةٍ

Segala puji bagi Allah yang memberi aku pakaian ini dan memberi rizqi dengan tiada upaya dan kekuatan dariku


Ayat 27: Ini nasihat kedua.

يا بَني آدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطانُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِنَ الجَنَّةِ يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوآتِهِما ۗ إِنَّهُ يَراكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم ۗ إِنّا جَعَلنَا الشَّياطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, let not Satan tempt you as he removed your parents from Paradise, stripping them of their clothing¹ to show them their private parts. Indeed, he sees you, he and his tribe, from where you do not see them. Indeed, We have made the devils allies to those who do not believe.

  • The garments of Paradise.

(MALAY)

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

يا بَني آدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطانُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِنَ الجَنَّةِ

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga,

Jangan lagi kamu ditipu oleh syaitan seperti datuk nenek kamu telah dikeluarkan dari syurga. Jangan biarkan mereka datang kepada kamu pun. Kamu patut benci kepada syaitan kerana segala keburukan yang ada pada mereka, termasuklah kerana mereka telah menyebabkan Datuk dan Nenek kita yang telah susah kerana dikeluarkan dari syurga kerana tipu daya mereka.

Macam juga kalau ada orang yang kacau ahli keluarga kita, kita pun marah kepada mereka, bukan? Maka kenalah kita benci kepada syaitan. Tapi adakah kita rasa begitu? Adakah kita rasa yang Nabi Adam dan Hawa itu sebagai orang yang tidak ada kena mengena dengan kita, sampaikan kita tidak rasa sakit hati pun apabila mereka diperlakukan sedemikian oleh Iblis?

Jangan begitu, hendaklah kita sayang kepada mereka berdua seperti juga kita sayang kepada ibubapa kita sendiri. Musuh kepada mereka, juga musuh kepada kita. Maka sebagai musuh kita, kita hendaklah tahu bagaimana cara mereka menipu manusia, iaitu dengan belajar ilmu Talbis Iblis (Belitan Iblis) supaya kita tahu dengan jelas bagaimana untuk mempertahankan diri kita dari tipuan syaitan dan iblis.

يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوآتِهِما

ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.

Lihatlah apa yang telah syaitan lakukan, dia telah menyebabkan tercabut pakaian Nabi Adam dan Hawa yang akibatnya ternampak aurat mereka. Tidakkah kita rasa marah dengan perbuatan syaitan itu? Oleh itu, jangan ikut syaitan. Jangan termakan dengan pujukan dan bisikan mereka, dan kenalah kita belajar bagaimanakah cara-cara mereka menipu.

Dalam sejarah bangsa Arab, sebelum kedatangan Islam, golongan Jahiliyyah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Ini pun adalah dari tipu daya syaitan juga. Mereka beri hujah, kena berbogel sebab semasa mereka dijadikan oleh Allah taala, dalam keadaan bogel juga. Ini adalah kerana mereka telah berjaya menelanjangkan tok nenek kita, maka sentiasa sahaja mereka berusaha untuk menelanjangkan anak cucunya.

إِنَّهُ يَراكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم

Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. 

Ayat ini memberitahu kita yang syaitan boleh tengok kita, dia dan anak keturunan dia – dari kalangan jin. Dan bukan itu sahaja, Allah beritahu juga yang kita sendiri tidak boleh nampak mereka.

Perkara ini penting untuk diketahui kerana ada ramai yang ada masalah dengan perkara ini. Ramai yang kata mereka boleh nampak jin, nampak hantu, boleh rasa jin ada berapa ekor dalam bilik, boleh nampak bayangan jin, boleh scan jin dan sebagainya. Ini tidak patut berlaku kerana yang sepatutnya kita tidak boleh langsung nampak mereka.

Dan kalau kisah yang manusia boleh nampak, itu ada dua kemungkinan: mungkin kerana seseorang itu ada karomah atau kerana memang orang itu memang rapat dengan syaitan. Kerana rapat dengan jin sampai boleh nampak dan rasa kehadiran jin.

Adat kebiasaannya, manusia memang tidak boleh nampak syaitan. Rupa asal syaitan tidak boleh tengok, tapi yang biasa nampak itu hanya jelmaan dia sahaja. Ini boleh terjadi kalau mereka menjelma macam rupa manusia (atau hantu). Seperti juga macam malaikat, kalau mereka menjelma jadi manusia pun boleh tengok. Tapi itu jarang berlaku. Kalau dapat karomah pun, tidaklah sentiasa boleh nampak jin syaitan itu.

Jadi, kalau ada orang yang kata mereka boleh nampak atau scan jin, itu ada masalah. Berkemungkinan besar, mereka boleh rasa kehadiran jin itu kerana mereka sendiri ada amalan salah yang mereka selalu beramal, yang telah mendekatkan jin dengan mereka. Ini termasuklah mereka yang banyak mengamalkan ‘perubatan Islam’ yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Islam.

Amalan mereka banyak yang syirik dan bidaah, sampaikan jin suka duduk dengan mereka. Kerana amalan mereka sebenarnya memanggil jin sahaja. Jadi kalau berubat dengan mereka, kerana nanti bukannya buang jin, tapi tambah jin lagi.

Ayat ini juga memberitahu kita, jin syaitan itu sentiasa sahaja memerhatikan kita, kerana tugas mereka memang untuk menyesatkan kita dengan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik. Ini adalah kelebihan sementara yang Allah berikan kepada mereka, dalam rangka mereka hendak menyesatkan kita.

 

إِنّا جَعَلنَا الشَّياطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

Allah telah beritahu yang Dia jadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman. Itulah sebabnya, kalau ada fahaman dan amalan syirik, syaitan akan jadi teman rapat dia. Selalu duduk dekat dengan dia, selalu menampakkan diri kepada mereka yang mengamalkan amalan syirik itu.

Syaitan akan sentiasa hendak membogelkan manusia. Sebab itu kalau kita lihat orang yang tidak beriman, bagaimana pakaian mereka? Mereka berpakaian yang tidak sesuai – pakai baju, tapi sebenarnya berbogel. Maka, kita jangan jadi macam mereka. Selalu kita risaukan tentang pakaian perempuan, tapi bagaimana dengan lelaki? Lelaki pun kena jaga juga bab pakaian. Pakailah pakaian yang tutup seluruh tubuh kita, pakai baju yang labuh sikit. Jangan pakaian yang ketat yang boleh menarik perhatian wanita.

Untuk wanita pula, janganlah sangka tutup aurat itu dengan pakai pakaian yang setakat menutup sahaja. Tapi hendaklah dijaga perawakan juga. Kadangkala, ada yang sudah tutup aurat dari segi pakaian, tapi cara cakap mereka, cara jalan mereka, cara mereka bergaul, tidak sesuai dengan cara Islam. Ini kerana mereka tidak jaga pergaulan mereka dengan lelaki. Kita nampak senang sahaja mereka bercakap-cakap dan berinteraksi dengan orang bukan mahram mereka. Ini tidak patut.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Februari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s