Ayat 120:
فَوَسوَسَ إِلَيهِ الشَّيطانُ قالَ يا آدَمُ هَل أَدُلُّكَ عَلىٰ شَجَرَةِ الخُلدِ وَمُلكٍ لا يَبلىٰ
Then Satan whispered to him; he said, “O Adam, shall I direct you to the tree of eternity and possession that will not deteriorate?”
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya;
Iaitu hasutan kepada Nabi Adam, bukan kepada Hawa.
Ada elemen pengulangan dalam perkataan وَسْوَسَ itu – was dan diulang sekali lagi was. Jadi, perkataan itu bermaksud, Iblis bukan sekali sahaja dia menghasut Nabi Adam, tapi banyak kali. Kerana Adam tahu itu Iblis dan tidak terus dengar cakap Iblis. Maka Iblis terus menerus cuba berbagai cara hendak menipu Nabi Adam.
Begitu juga, Iblis dan syaitan tidak akan berhenti menghasut kita semua. Mereka sentiasa datang dan datang lagi. Katakanlah kita laungkan azan, dia akan lari sekejap. Tapi apabila azan berhenti, syaitan akan datang kembali. Kalau kita tolak dia, dia mungkin tidak berjaya kali itu, tapi dia akan datang lagi. Memang kerja dia menghasut kita dan tidak ada kerja lain.
Zaman sekarang pun syaitan masih lagi membisikkan hasutan kepada manusia. Mereka yang mengamalkan zikir yang salah, yang selalunya mengandungi ayat-ayat tawasul di dalamnya, akan mendengar bisikan syaitan yang menyuruh mereka berbuat salah. Syaitan akan suruh mereka buat wirid ini, wirid itu, jumpa guru itu dan guru ini.
Merekalah yang mengajar amalan-amalan yang salah itu. Ada yang sampai datang kepada mereka dalam mimpi dalam rupa manusia alim. Syaitan akan datang memakai baju putih dan janggut panjang putih. Mereka akan kata kepada orang yang mengamalkan wirid yang salah itu bahawa mereka adalah ‘wali Allah’ dan datang untuk mengajar mereka.
Padahal, syaitan boleh merupa sesiapa sahaja kecuali Nabi Muhammad. Jangan kita tertipu dengan keadaan macam itu. Kalau mereka yang tidak ada ilmu yang mantap, mereka akan senang tertipu. Yang selalu tertipu adalah abid – ahli ibadat. Mereka hanya tekun melakukan ibadat, tapi tidak tekun dalam mencari dan mendapatkan ilmu pengetahuan agama yang benar. Maka mereka itu jenis senang ditipu oleh syaitan.
Ini adalah kerana mereka tidak teliti dalam mencari ilmu. Asalkan orang yang mereka jumpa sebagai guru itu merupai mereka yang alim, mereka terus terima tanpa usul periksa. Padahal, kadang-kadang ajaran yang dibawa oleh guru yang sesat itu bukanlah datang dari Qur’an dan Sunnah. Tapi mereka memang tidak tahu Qur’an dan sunnah, maka mereka tidak dapat tolak.
قَالَ يَا آدَمُ
dengan berkata: “Wahai Adam,
Kita akan belajar bagaimana cara Iblis menipu Nabi Adam. Maka kita boleh belajar salah satu cara dia. Ada banyak lagi cara dan itu dikupas dalam kitab Talbis Iblis.
هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ الْخُلْدِ
mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya;
Seperti yang kita telah tahu, Nabi Adam dan Hawa dilarang dari makan dari ‘pokok larangan’. Apabila Iblis tahu larangan itu telah diberikan kepada Nabi Adam, dia nampak ini adalah satu peluang untuk dia jatuhkan Nabi Adam.
Maka Iblis hasut Nabi Adam dengan kata kalau makan dari pokok itu, segala kebaikan yang Nabi Adam sedang dapati di syurga itu tidak akan berhenti. Dia katakan kepada Nabi Adam, dia (Iblis) kena halau dari syurga itu sebab tak makan pokok itulah. Jadi, dia syorkan kepada Nabi Adam untuk makan pokok itu kalau tak mahu jadi macam dia. Konon-kononnya dia nak tolong Nabi Adam dengan nasihat.
Lihatlah bahawa nama ‘Pokok Khuldi’ itu diberi oleh Iblis, bukanlah nama pokok itu yang sebenarnya. Kita tidak tahu apakah nama pokok itu sebab tidak pernah diberitahu kepada kita. Tidak perlu tahu kerana ia tidak penting. Oleh kerana nama itu dari Iblis maka tidak molek kalau kita panggil pokok itu sebagai Pokok Khuldi. Kerana kalau kita panggil pokok itu sebagai ‘Pokok Khuldi’, bermakna kita bersetuju dengan penipuan Iblis itu.
Satu persoalan yang mungkin timbul: Bagaimana Iblis tahu bahawa Nabi Adam dilarang dari makan pokok itu? Iblis tahu kerana Iblis dengar percakapan malaikat yang keluar masuk syurga. Malaikat memang ada yang masuk dalam syurga – mungkin untuk buat tugas mereka. Malaikat yang di luar akan tanya sesama mereka apakah perintah yang diberikan kepada Nabi Adam?
Jadi ada malaikat yang kata Nabi Adam dilarang menghampiri pokok itu. Apabila malaikat itu keluar dan berbicara dengan malaikat yang lain yang tidak masuk syurga, maka Iblis ada terdengar percakapan mereka.
Zaman sekarang, bukan sahaja Iblis sesatkan manusia dengan suruh buat benda yang dilarang, tapi ada juga yang mengharamkan benda yang halal. Itu pun hasil dari ajaran Iblis juga. Contohnya, kita mengharamkan makanan yang Allah sudah halal – iaitu apabila kita mengamalkan ‘pantang’ selepas bersalin; atau ada ilmu yang kata kalau nak dapat kelebihan itu dan ini, kena berpuasa dari makan makanan berdarah. Ada bermacam jenis penipuan dalam hal ini.
Itu adalah perbuatan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Padahal, yang boleh haramkan atau halalkan adalah Allah sahaja, bukannya manusia. Maka, apabila kita mengharamkan apa yang dihalalkan, kita telah mengambil kerja Allah. Tidakkah itu berdosa besar?
وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
Iblis kempen kepada Nabi Adam dengan mengatakan Allah tidak membenarkan Adam makan pokok itu kerana kalau makan, Nabi Adam akan jadi malaikat dan akan kekal di syurga. Kalau tak makan, dia akan diturunkan ke dunia.
Sebab itu, Iblis kata Allah sudah ajar Nabi Adam nama benda-benda di dunia sebab memang nak letak Nabi Adam di dunia. Jadi, elok Nabi Adam makan, kata Iblis. Kalau tak, Adam akan diturunkan ke dunia.
Ayat ini menunjukkan sifat manusia yang mahukan kebaikan yang berterusan selama-lamanya. Ini memang sudah ada dalam diri manusia dah. Tidak ada kesalahan dalam hal ini. Kita cuma nak kena bendung supaya berada dalam lingkungan Islam.
Iblis tahu sifat Nabi Adam (dan juga manusia) yang mahukan kekal dalam kenikmatan. Sedangkan tidak ada kepastian akan dapat kekal dalam apa-apa pun. Jadi Iblis telah menipu Nabi Adam dengan mengambil peluang di atas kelemahan manusia.
Tidak boleh kalau kita hendakkan kebaikan walaupun dalam agama tapi untuk mencapainya kita kena melanggar arahan Allah. Tapi syaitan pandai menipu. Oleh itu, kenalah kita berhati-hati dalam perjalanan hidup kita.
Ayat 121:
فَأَكَلا مِنها فَبَدَت لَهُما سَوآتُهُما وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ ۚ وَعَصىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوىٰ
And Adam and his wife ate of it, and their private parts became apparent to them, and they began to fasten over themselves from the leaves of Paradise. And Adam disobeyed his Lord and erred.
Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).
فَأَكَلَا مِنْهَا
Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu;
Dari ayat ini, tahulah kita yang bukanlah Iblis kempen kepada Hawa dulu untuk makan pokok itu seperti yang banyak diceritakan dalam kisah-kisah yang tidak benar. Iaitu ada yang kata Hawa lah yang makan dahulu pokok itu dan kerana Hawa sudah makan, maka Nabi Adam pun makan.
Ini kisah bahaya sampaikan ada yang kata oleh kerana perempuanlah manusia kena tinggalkan syurga dan duduk di dunia. Itu adalah menjatuhkan maruah Siti Hawa dan kaum wanita keseluruhannya.
Dalam ayat ini, Allah mengatakan mereka berdua makan. Maka, ini bermakna mereka berdua dipersalahkan. Dalam memberi nasihat tentang Iblis dan berjaga-jaga darinya, Allah hanya bercakap dengan Nabi Adam sahaja. Kerana tanggungjawab Nabi Adam sebagai ketua rumah untuk bertanggungjawab menyampaikan ajaran agama kepada keluarganya.
Tapi, apabila ajaran telah diberikan, dan masih juga buat salah, maka tidak ada pelepasan dari tanggungjawab itu. Oleh itu, kerana Nabi Adam telah memberi ajaran dan juga peringatan kepada Hawa, maka apabila Hawa pun makan juga pokok itu, Hawa juga dipersalahkan. Mereka dua-dua salah dalam hal ini. Kerana mereka dua-dua sudah tahu tentang larangan itu.
فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا
lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing;
Apabila mereka berdua makan sahaja pokok itu, pakaian mereka terus tertanggal. Pakaianlah perkara pertama dari segala nikmat-nikmat yang ditanggalkan. Mereka sudah tahu bahawa mereka telah buat salah apabila pakaian mereka tertanggal.
Kalimah سَوْآ adalah sesuatu yang kita tak mahu orang lain tengok, termasuk aurat kita. Ia juga bermakna perkara yang huduh. Oleh itu, kita boleh lihat bagaimana Allah menyatakan aurat dengan sesuatu yang huduh.
Lihatlah penggunaan bahasa Qur’an. Allah tidak kata mereka ‘bogel’ atau bahasa-bahasa sebegitu. Penggunaan ayat-ayat dalam Qur’an adalah amat lembut dan berhemah sekali. Maka ayat Qur’an ini boleh dibaca di mana-mana sahaja, oleh sesiapa sahaja sama ada telah tua bangka atau seorang kanak-kanak. Kerana bahasanya tidak lucah dan kita tidak mahu hendak baca.
Kata-kata yang lucah itu sebenarnya tidak baik. Oleh kerana itu Qur’an akan menggunakan kata-kata yang baik untuk menceritakan maksud yang hendak disampaikan. Tapi kalau kita lihat kitab-kitab yang lain seperti Bible, ada tempat kita sendiri pun malu nak baca kerana teruk sangat. Ini adalah kerana itu adalah penambahan yang tidak ada dalam Injil yang asal.
وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ
dan mereka cepat-cepat menutup kemaluan mereka berdua dengan daun-daun dari Syurga;
Kalimah طَفِقَا digunakan untuk kata mereka ‘cepat-cepat buat’. Tanpa lengah lagi. Apabila telah dilucutkan dari pakaian mereka, mereka cepat-cepat tutup aurat mereka. Yang mereka boleh gunakan waktu itu hanyalah daun-daun dari pokok-pokok dalam syurga.
Maka kita dapat tahu dari ayat ini yang fitrah manusia memang akan menutup aurat. Sama ada lelaki mahupun perempuan. Kalau terdedah, kita akan cepat-cepat tutup. Lihatlah bagaimana Nabi Adam dan Hawa terus cepat-cepat menutup kemaluan mereka walaupun sebenarnya hanya ada mereka berdua sahaja dalam syurga.
Ini adalah kerana mereka terus rasa malu. Padahal mungkin bukan ada syariat tutup aurat pun waktu itu. Tapi mereka terus lakukannya kerana ianya adalah fitrah manusia untuk menutup aurat. Tapi malangnya kita sekarang dalam dunia yang sudah mula tidak kisah dengan aurat dengan sempurna. Itu maknanya manusia yang sebegitu sudah terputus dengan fitrah.
وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ
dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya;
Derhakanya itu adalah kerana lupa. Kerana niat dia adalah kerana dia hendak kekal dalam syurga dan terus dekat dengan Allah. Maka memang sebenarnya dia hendakkan kebaikan. Begitulah juga dengan masyarakat kita yang buat Majlis Tahlil, mereka sebenarnya hendak berbuat kebaikan.
Begitu juga mereka yang buat Majlis Maulid Nabi – mereka sebenarnya hendak memuliakan Nabi. Bukanlah mereka hendak berbuat jahat. Begitu juga dengan mereka yang beri sedekah kepada orang yang solat jenazah, itu pun nak buat baik juga. Tapi semua itu telah tersilap. Kalau hanya niat sahaja baik, tapi perbuatan itu tidak baik, ianya tidak akan diterima.
Dalam ayat ini, Allah sendiri yang sebut Nabi Adam telah derhaka. Sebab Allah yang cakap, maka bolehlah kita juga kata begitu. Tapi hati-hati kerana Nabi Adam adalah seorang Nabi. Tidak boleh kita nak memandai kata baginda sudah berdosa.
Allah pun sudah kata baginda terlupa. Dan lupa kalau dikirakan, bukanlah dosa. Tapi kerana tingkatan para Nabi lain dengan manusia biasa, maka itulah sebabnya dikatakan baginda telah derhaka. Begitu juga dengan Nabi-nabi yang lain. Mereka ada juga buat kesalahan. Tapi kesalahan yang mereka lakukan itu amat kecil sekali kalau dibandingkan dengan manusia biasa. Tapi mereka dikatakan telah melakukan kesalahan kerana tingkatan mereka lain dengan manusia lain.
Ada satu riwayat percakapan antara Nabi Musa dan Nabi Adam. Dalam riwayat itu, Nabi Musa telah menuduh Nabi Adam menyebabkan keturunan manusia terpaksa tinggal di dunia. Kita kena ingat bahawa para Nabi adalah adik beradik. Kalau kita dengan bercakap dengan adik beradik kita sendiri pun kita gunakan bahasa yang lain kalau kita dengan orang lain.
Nabi Adam menjawab bahawa Allah sudah takdirkan bahawa memang baginda akan buat macam tu. Ianya telah ditakdirkan oleh Allah bahawa Nabi Adam akan makan dari pohon larangan itu lima puluh ribu tahun sebelum ianya terjadi. Maka baginda tidak dapat dipersalahkan.
Kisah bagaimana Nabi Adam telah memakan pokok dari pohon larangan itu adalah untuk mengajar kita. Begitu juga dengan jawapan yang diberikan oleh Nabi Adam kepada Musa. Kalau kita lihat bahasa yang digunakan oleh Nabi Adam, nampak macam baginda menyalahkan taqdir pula.
Tapi alasan itu bukan untuk digunakan sebagai nak salahkan qadr kalau kita sudah buat salah. Tapi nak mengajar kita bahawa kita tidak boleh menegur mereka yang sudah buat salah. Kerana kita tidak tahu kenapakah mereka telah melakukan kesalahan itu. Kalau ada yang begitu (menyalahkan kita), maka baru boleh gunakan qadr sebagai alasan.
Lihatlah dalam ayat seterusnya, Adam tak gunakan alasan qadr.
فَغَوَىٰ
lalu dia telah tersalah jalan;
Kejadian Nabi Adam itu terjadi kerana kerana baginda tersilap dan terlupa. Begitulah juga dengan orang-orang yang buat amalan bidaah seperti Tahlil, Maulid, sedekah pahala kepada simati dan sebagainya. Semuanya itu tersalah jalan. Mereka sebenarnya inginkan kebaikan, tapi mereka tersalah. Maka kita tidak pertikaikan niat mereka kerana niat mereka memang baik.
Lihatlah bagaimana Islam tidak menghina langsung Hawa, ibu kita. Kalau dibandingkan dengan agama Kristian, mereka menyalahkan Siti Hawa dalam perkara memakan pohon larangan itu. Sampaikan mereka memberi nama Eve kepada Hawa untuk merujuk kepada ‘evil’ – kejahatan. Bermakna, mereka mengatakan bahawa Hawa adalah seorang yang jahat. Begitulah hinanya mereka meletakkan kedudukan Siti Hawa dalam agama mereka.
Saya nukilkan bahawa memang ada perbezaan pandangan dalam kalangan ulama tentang takwilan kesilapan Adam dalam isu ini:
1. Sebahagian ulama menyebutkan bahawa Adam bertujuan baik apabila mahu menjadi malaikat dan kekal di mana dia berada pada waktu itu. Tetapi dia tersalah sehingga menyanggahi arahan Tuhannya. (Al-Qasimi, Mahasin al-Ta’wil, jil. 1, 293-294)
2. Sebahagian ulama yang lain beranggapan bahawa Adam memahami bahawa larangan Allah itu berbentuk makruh bukannya haram. (al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, jil. 1, hal. 306)
3. Sebahagian ulama mengatakan Adam terlupa larangan itu setelah digoda oleh Iblis. Ini pandangan yang dipilih oleh al-Qurtubi kerana ada ayat al-Qur’an menyebutkan baginda terlupa. Adam dihukum walaupun lupa kerana nabi-nabi sepatutnya lebih peka dan cermat. (al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, jil. 1, hal. 306)
4. Sebahagian ulama menganggap Adam tidak berdosa kerana terlupa tetapi lupa itu dinamakan maksiat dalam al-Qur’an kerana ia sesuatu yang perkara besar bagi seorang Nabi. (al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir, jil. 1, hal. 142)
5. Walau bagaimanapun, terdapat juga ulama yang menganggap Adam tersalah dan berdosa dalam kisah ini. Tetapi mereka menganggap dosa ini adalah dosa kecil dan ia dilakukan oleh Adam sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. (al-Amidi, Abkar al-Afkar, jil. 4, hal. 150) Al-Syaukani menukilkan daripada Ibn Furak:
كانت المعصية من آدم قبل النبوة
Maksudnya: Maksiat daripada Adam itu adalah sebelum kenabian. (al-Syaukani, Fath al-Qadir, jil. 3, hal. 558)
Ayat 122:
ثُمَّ اجتَباهُ رَبُّهُ فَتابَ عَلَيهِ وَهَدىٰ
Then his Lord chose him and turned to him in forgiveness and guided [him].
Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.
ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ
Kemudian Tuhannya memilihnya,
Apabila perkataan ثُمَّ digunakan, ianya bermakna Allah memilih Nabi Adam setelah sekian lama. Bukanlah Allah terus memilihnya.
Perkataan اجْتَبَ ijtiba digunakan apabila kita memilih seseorang kerana kita melihat kita melihat sesuatu yang baik dalam diri seseorang itu. Kita tahu dia boleh melakukan tugas yang akan diberikan kepadanya.
Allah memilih Nabi Adam selepas Nabi Adam mendapat kalimah pengampunan dari Allah. Allah telah memilihnya untuk menerima kalimah itu. Allah telah mengajar Nabi Adam bagaimana memohon pengampunan dariNya dan dengan itu, Dia juga telah mengajar kita bagaimana cara memohon ampun.
Kisah ini terdapat dalam Surah Baqarah:37 dan A’raf:23. Dalam doa itu, Nabi Adam mengaku tentang kesalahan yang telah dilakukan dan Allah telah menerima taubat baginda. Memang Allah suka kalau kita mengaku kita berdosa dan telah berbuat salah.
Dalam permulaan doa itu, ada perkataan ‘Rabbana’ – Wahai Tuhan kami. Apabila sesuatu doa itu dimulai dengan kata ‘rabbana’, bermaksud kita mengaku segala nikmat Allah yang telah diberikan kepada kita selama ini. Terlalu banyak nikmat yang telah diberikan kepada kita, sampaikan tidak terkira kalau kita nak kira.
Apabila Allah kata Dia telah ‘memilihnya’, itu bermaksud Nabi Adam telah diterima sebagai Nabi. Bermakna, sebelum itu Nabi Adam bukan lagi seorang Nabi.
فَتَابَ عَلَيْهِ
lalu Allah menerima taubatnya;
Allah telah menerima taubat dari Nabi Adam selepas baginda diajar doa untuk mohon ampun seperti yang ada dalam ayat A’raf:23. Itu setelah beberapa tahun doa keampunannya tidak diterima. Apabila Nabi Adam dan Hawa turun ke dunia, memang mereka telah bertaubat tanpa henti, tapi doa pengampunan mereka tidak diterima lagi kerana tidak seperti cara yang Allah hendak.
Kenapa Allah hendak begitu? Kerana Dia lah Allah. Kenalah ikut apa yang Allah hendak. Maka, doa mereka tidak diterima sehinggalah Allah sendiri mengajar baginda cara doa taubat. Maka, oleh itu, kalau kita hendak bertaubat, hendaklah dengan cara yang betul.
Selalunya orang yang kena bala itu adalah kerana mereka telah buat dosa, maka hendaklah dia menggunakan doa Nabi Adam itu untuk memohon ampun kepada Allah dengan cara itu. Iaitu mengaku dosa yang telah dilakukan. Kena menyesal dengan perbuatan dosa yang telah dilakukan.
وَهَدَىٰ
serta diberi petunjuk.
Maksud ‘petunjuk’ di sini adalah, Allah mengajar Nabi Adam cara menjalani kehidupan bersyariat. Allah tidak membiarkan makhlukNya hidup tanpa panduan hidup. Dari Nabi Adam sampailah kepada Nabi Muhammad, telah diberikan syariat untuk diikuti oleh manusia.
Ayat 123: Ini yang terjadi sebelum ayat sebelum ini. Allah sebut dahulu bagaimana Dia telah memberi pengampunan. Sekarang Allah patah balik kepada kejadian penurunan Nabi Adam dan Hawa ke dunia. Qur’an tidak semestinya menceritakan dalam bentuk susunan kejadian sesuatu peristiwa itu.
قالَ اهبِطا مِنها جَميعًا ۖ بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِنّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدايَ فَلا يَضِلُّ وَلا يَشقىٰ
[ Allah ] said, “Descend from Paradise – all, [your descendants] being enemies to one another. And if there should come to you guidance from Me – then whoever follows My guidance will neither go astray [in the world] nor suffer [in the Hereafter].
Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.
قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا
Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama,
Allah mengarahkan dua orang untuk keluar dari syurga. Tapi siapakah yang dimaksudkan? Ada dua kemungkinan kepada siapakah kata-kata ini ditujukan:
- Kepada Nabi Adam dan Hawa, atau
- Kepada Nabi Adam dan Iblis.
Dalam surah-surah lain, seperti Baqarah:38, ada disebutkan “turunlah kamu semua”. Tapi kenapa dikatakan kamu semua? Disebut ‘semua’ itu kerana termasuk semua keturunan Nabi Adam.
بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ
setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain;
Keturunan manusia akan bermusuh antara satu sama lain. Sebagai contoh, yang tidak mengikut tauhid akan memusuhi mereka yang mengikut tauhid. Bukan itu sahaja, manusia akan bermusuh dalam usaha nak makan, minuman, pakaian dan tempat berteduh – empat perkara yang disebut sebelum ini – malah lebih lagi. Manusia bermusuh dari permulaan masa sehinggalah sekarang dan sehingga ke akhirat.
Kalau dimaksudkan dalam dua orang itu adalah Nabi Adam dan iblis, memang kita sudah bermusuhan dan akan terus bermusuhan dengan mereka sampai bila-bila. Iblis memusuhi anak-anak keturunan Adam dan kita memusuhi syaitan kerana cuba menyesatkan kita.
فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى
kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu;
Apabila terjadi perbalahan, ada kata ini betul, ada kata itu yang betul. Lalu manakah penentunya? Tentunya penentuan itu menggunakan petunjuk yang diberikan Allah melalui RasulNya. Inilah jalan penyelesaian untuk semua masalah. Petunjuk itu dalam Qur’an dan Sunnah Nabi. Maka kena belajar tafsir Qur’an dan syarah hadis.
Yang membawa hidayah itu adalah para Nabi dan Rasul. Dan apabila tiada lagi Nabi diturunkan seperti zaman sekarang, petunjuk itu dibawa oleh para pendakwah. Yang sampaikan mungkin manusia, tapi ianya dari Allah.
Dari ayat yang digunakan, penekanan petunjuk itu adalah dari Allah, bukan dari yang lain. Allah sebut dariNya kerana pentingnya memastikan hidayah itu dari Allah. Inilah masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam sekarang. Mereka tidak meneliti dari manakah datangnya petunjuk itu.
Mereka menerima sahaja apakah yang disampaikan kepada mereka tanpa memastikan sama ada ianya dari Qur’an atau dari hadis yang sahih. Kadang-kadang hujah yang diberikan adalah hujah akal sahaja, tapi kerana ianya sedap diterima akal, maka ramai yang menerimanya. Padahal, agama itu bersumberkan dalil yang sah, bukan hujah akal. Kalau dibenarkan hujah akal sahaja diterima, maka akan rosaklah agama.
Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa untuk melawan syaitan adalah dengan menggunakan Qur’an dan Sunnah.
فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ
maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu;
Apabila perkataan اتَّبَعَ digunakan, ia bermakna kita kena ikut dengan rapat. Kerana itu kita diajar, kena ittiba’ sunnah, bukan taklid. Apabila sesuatu pendapat itu disampaikan kepada kita, kita kena tahu dari sumber mana ia datang. Janganlah kalau dari ‘ustaz’ sahaja, kita terus terima tanpa usul periksa. Kerana rajin tanya: “Ustaz, boleh tahu ini dalil dari mana?”
فَلَا يَضِلُّ
nescaya dia tidak akan sesat;
Oleh itu kalau tidak mahu sesat, kenalah mengikut petunjuk Qur’an dan Sunnah. Ini sahaja jalan yang selamat.
وَلَا يَشْقَىٰ
dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara.
Kita kena berusaha supaya kita selamat dunia dan akhirat. Terutama sekali di akhirat, supaya kita tidak dikenakan dengan azab neraka. Maka untuk selamat di akhirat, memang tidak boleh lari dari ikut Qur’an dan sunnah. Kalau jalan lain memang tidak akan selamat.
Ayat 124:
وَمَن أَعرَضَ عَن ذِكري فَإِنَّ لَهُ مَعيشَةً ضَنكًا وَنَحشُرُهُ يَومَ القِيامَةِ أَعمىٰ
And whoever turns away from My remembrance – indeed, he will have a depressed life, and We will gather him on the Day of Resurrection blind.”
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatanKu,
Petunjuk akan datang tapi kita buat bagaimana? Adakah kita mengikutinya? Itulah persoalan yang kita kena tanya kepada diri kita dan orang-orang lain. Petunjuk itu dalam bentuk Qur’an dan Sunnah. Bukan Qur’an sahaja tapi kena ditambah dengan pemahaman sunnah juga. Yang sedihnya, banyak tak terima petunjuk dari Qur’an dan Sunnah.
Mereka masih lagi mengambil ajaran yang datang bukan dari dua sumber itu. Mereka pakai kitab-kitab karangan manusia dan juga ajaran-ajaran dari guru dan ustaz mereka yang bukan diambil dari sumber yang sahih. Itulah yang dimaksudkan sebagai berpaling dari peringatan Allah.
فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا
maka sesungguhnya layak baginya kehidupan yang sempit,
Kalimah مَعِيشَةً digunakan dan tidak perkataan ‘hayat’ kerana hayat adalah kehidupan secara umum – sama ada manusia, binatang atau tumbuhan. Kalimah مَعِيشَةً hanya digunakan untuk makhluk yang hidup – manusia dan jin. Iaitu makhluk yang memerlukan makan minum dan sebagainya, dan mempunyai tanggungjawab syariat macam yang disebut dalam ayat 118.
Kalimah ضَنكًا bermaksud ‘sempit’. Ada yang menafsirkannya sebagai azab kubur. Iaitu keadaan dalam kubur itu akan jadi sempit. Ada juga yang menafsirkannya sebagai azab di neraka.
Atau boleh juga bermaksud kehidupan dunia yang sempit. Mereka itu sentiasa sahaja dalam kerisauan. Ada sahaja yang tak kena dengan kehidupan mereka, walaupun mereka kaya, contohnya. Kita kena ubah cara kita melihat kehidupan di dunia. Selalunya kita melihat kesenangan itu dalam bentuk kelebihan harta benda sahaja.
Kita sangka apabila seseorang itu kaya, berkuasa, kita sangka mereka senang. Dan kita tengok pula, selalunya orang-orang alim, yang mengajar agama, yang berdakwah, mereka pula hidup dalam kesusahan. Kita tidak tahu bahawa yang kaya sebenarnya tidak tenang dan yang kita lihat susah itu pula yang tenang sebenarnya. Mereka tenang kerana mereka sentiasa ingat kepada Allah. Mereka berharap kepada Allah dan rasa tenang dengan apa yang Allah telah berikan kepada mereka.
Kekayaan di dunia ini tidak bernilai apa-apa kalau kita meninggalkan peringatan Allah. Ianya hanya untuk dunia sahaja. Kita mati sahaja, harta itu sudah jadi milik orang lain. Perkataan-perkataan yang melibatkan harta dalam bahasa Arab menunjukkan harta itu tidak kekal.
Sebagai contoh, perkataan emas dalam bahasa Arab adalah ذهب zahb – iaitu ada mengena dengan makna ‘pergi’. Bermakna, emas yang kita sayang itu akan pergi jua akhirnya dari kita. Senang dapat dan senang ia pergi dari kita.
وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat
Kena ingat sentiasa yang kita akan dihimpun di Mahsyar kelak dan kita kena jawab atas segala perbuatan kita di dunia. Maka kena berhati-hati dengan apa yang kita amalkan.
أَعْمَىٰ
dalam keadaan buta;
Kenapa dia jadi buta di akhirat? Akan disebutkan dalam ayat seterusnya. Oleh kerana dia buta Qur’an dan wahyu semasa di dunia, maka dia akan buta di akhirat kelak. Semasa perbicaraan di Mahsyar nanti, akan dicelikkan sekejap untuk tengok azab yang akan diberikan kepada mereka.
Ikrimah mengatakan: dibutakan matanya dari segala sesuatu kecuali neraka jahannam.
Ayat 125:
قالَ رَبِّ لِمَ حَشَرتَني أَعمىٰ وَقَد كُنتُ بَصيرًا
He will say, “My Lord, why have you raised me blind while I was [once] seeing?”
Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”
قَالَ رَبِّ
Dia berkata: “Wahai Tuhanku,
Ini adalah kata orang yang hairan kenapa dia dilahirkan dalam keadaan buta di akhirat.
لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ
mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta,
Berani dia bertanya soalan ini. Sedangkan Allah berhak nak buat apa-apa sahaja. Allah nukilkan kata-kata mereka sebagai pengajaran bagi kita.
وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا
padahal aku dahulu (semasa di dunia) boleh melihat?”;
Nampaknya dia tidak puas hati. Dia kata semasa di dunia, dia boleh melihat, tapi kenapa kali ini dia tidak boleh melihat?
Allahu a’lam. Situasi ini akan disambung dalam ayat seterusnya:
Kemaskini: 4 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Dr. Rozaimie Ramli