Ayat 114: Apakah fokus kita? Apakah pegangan kita sentiasa?
فَتَعالَى اللَّهُ المَلِكُ الحَقُّ ۗ وَلا تَعجَل بِالقُرآنِ مِن قَبلِ أَن يُقضىٰ إِلَيكَ وَحيُهُ ۖ وَقُل رَبِّ زِدني عِلمًا
So high [above all] is Allah , the Sovereign, the Truth. And, [O Muhammad], do not hasten with [recitation of] the Qur’an before its revelation is completed to you, and say, “My Lord, increase me in knowledge.”
Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Qur’an sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.
فَتَعَالَى اللَّهُ
Maka Maha Tinggi Allah,
Inilah fokus kita semua – Allah taala. Semua perbuatan kita, ingatan kita dan amalan kita adalah untuk Allah. Kita kena mengajak manusia kepada Allah, iaitu dengan mengajar ilmu tauhid kepada mereka. Kalau kita mengajak kepada yang lain, itu bukan dakwah yang sempurna. Kena dimulakan dengan ajak kepada Allah, ajak mentauhidkan Allah.
المَلِكُ الحَقُّ
yang Menguasai seluruh alam Yang Benar;
Dialah Allah yang sebenar-benar Raja. Iaitu kekuasaan yang tiada hujungnya. Ramai yang sangka mereka raja di dunia dan berkuasa, tapi Allah lah yang sebenar-benarnya berkuasa penuh dan Raja segala raja.
وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Qur’an;
Dalam surah lain, ada disebutkan bagaimana Nabi akan kumat-kamit untuk ikut bacaan Jibrail. Waktu itu Jibrail sedang membacakan wahyu Qur’an kepada baginda pertama kali. Tapi dalam masa yang sama, Nabi akan ikut membaca bersama. Kerana Nabi takut kalau baginda akan terlupa. Kerana dia tahu bahawa apa yang baginda kena bawa itu adalah perkara yang berat dan dia tidak mahu tersalah atau terlupa. Sila juga baca di sini.
Nabi Musa tergesa-gesa dalam pergi ke Bukit Thursina meninggalkan kaum baginda dan begitu juga Nabi Muhammad tergesa-gesa untuk membaca Qur’an sebelum Jibrail habis membacakan untuk baginda. Nabi Musa tergesa-gesa, Nabi Muhammad pun tergesa-gesa juga.
مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ
sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu,
Allah tegur Nabi supaya jangan kelam-kabut nak baca sekali ayat-ayat Qur’an itu bersama Jibrail. Baginda kena tunggu sampai selesai. Allah beritahu Nabi jangan takut kerana Allah akan memastikan Nabi akan ingat apakah yang perlu baginda ingat dan baca. Ini ada disebut dalam Qiyamah: 16-19.
Kalau bagi kita sekarang, kenalah bersabar dalam belajar tafsir Qur’an. Jangan tergesa-gesa sebelum diterangkan oleh guru yang mengajar. Kena belajar perlahan-lahan sampai faham. Kadang-kadang kita hendak cepat sangat faham sampai kita tidak belajar dengan betul. Sebelum sempat guru ajarkan semua sekali tafsir sesuatu ayat itu, kita sudah buat pemahaman kita sendiri. Itu adalah bahaya. Mungkin dilakukan kerana hendak mendakwa: sudah habis belajar tafsir.
Perisai Nabi adalah Qur’an. Semasa dalam kesusahan, Nabi akan mengharapkan Qur’an diturunkan lagi kerana Nabi terlalu rindu kepada Qur’an. Tapi Allah nak kata kepada baginda untuk percayakan Allah. Jangan tergesa-gesa kerana Allah akan hantar ayat-ayat Qur’an kepada baginda apabila perlu.
وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.
Mintalah Allah tambah ilmu Ilmu yang dimaksudkan adalah Ilmu kefahaman Qur’an, ilmu tauhid dan ilmu hadis Nabi. Terutama sekali minta ditambahkan ilmu Qur’an. Ilmu Qur’an ini memang tidak akan habis kalau digali-gali. Ada sahaja penemuan baru yang kita akan dapat kalau kita tadabbur ayat-ayat Qur’an.
Ini adalah satu doa yang amat baik sekali dibaca kerana Allah ajar cara doa ini dalam Qur’an sendiri. Tapi kena ada pemahaman yang lebih dalam lagi. Kita hendaklah berdoa supaya Allah jadikan kita baik dengan ilmu pengetahuan yang kita dapat itu. Kita bukan hanya berharap supaya ditambahkan ilmu sahaja.
Kena sedar yang tujuan asal untuk kita mendapatkan ilmu adalah supaya kita menjadi lebih baik dengannya. Bukan kita nak berbangga dengan ilmu yang banyak. Ada doa yang Nabi ajar dalam hal ini.
اَللَّهُمَّ انْفَعْنِي بِـمَا عَلَّمْتَنِي وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي، وَزِدْنِي عِلْمًا
“Ya Allah, berikanlah manfaat kepadaku atas apa yang telah Engkau ajarkan kepadaku, dan ajarkanlah kepadaku apa yang bermanfaat bagiku, serta tambahkanlah ilmu kepadaku.” (Shahiih at-Tirmidzi III/185 no. 2845, Shahiih Ibni Majah 1/47 no. 203 dari Sahabat Abu Hurairah)
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amal yang diterima.” (Shahiih Ibni Majah 1/152 no. 753)
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ عِلْمًا لاَ يَنْفَعُ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, dan aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat.”
Ayat ini juga mengajar kita supaya sentiasa doa kepada Allah untuk mendapatkan ilmu. Sama ada kita dapat ilmu atau tidak, bergantung kepada Allah. Begitu juga sama ada kita boleh faham atau tidak. Kerana ada orang yang belajar sama-sama, tapi mereka tidak mendapat kefahaman. Itu semua adalah dalam kuasa dan kehendak Allah. Kalau Allah tak beri kita faham, kita tidak akan dapat faham walau bagaimana kita belajar pun. Maka ikutlah sunnah Nabi yang sentiasa membaca doa ini.
Maka berakhir lah kisah Nabi Musa yang panjang dalam surah ini.
Ayat 115: Dari ayat ini sehingga ke ayat 129 adalah Perenggan Makro Keenam. Sebelum ini telah disebut kisah Nabi Musa. Sekarang ini kita masuk ke dalam kisah Nabi Adam pula. Nabi Adam pun termasuk dalam kategori umat terdahulu juga.
Sebagai manusia kita ada cabaran, sama ada dalaman dan luaran. Antara cabaran dalaman yang telah disebut adalah jangan kelam kabut. Begitu juga sifat sabar yang perlu ada. Cabaran luaran pula adalah syaitan. Perenggan ini menceritakan permulaan perseteruan antara Iblis dan manusia.
Dalam ayat ini dan selepasnya, Allah hendak memberitahu kepada kita bahawa dugaan dari syaitan itu terjadi dari masa Nabi Adam lagi. Kita hendaklah tahu bahawa Iblis itu adalah dugaan untuk kita. Maka Allah memberikan nasihat tentang syaitan. Allah menceritakan bagaimana syaitan telah menipu Nabi Adam. Diberitahu kepada kita supaya kita mengambil peringatan dan jangan kita pun tertipu macam itu juga.
وَلَقَد عَهِدنا إِلىٰ آدَمَ مِن قَبلُ فَنَسِيَ وَلَم نَجِد لَهُ عَزمًا
And We had already taken a promise from Adam before, but he forgot; and We found not in him determination.
Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.
وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَىٰ آدَمَ
Dan demi sesungguhnya, Kami telah menjanjikan kepada Adam;
Apakah janji itu? Adam telah berjanji untuk taat tidak menghampiri pokok larangan. Nabi Adam boleh buat apa-apa sahaja dalam syurga, malah tidak ada pun ibadat yang perlu dilakukan, cuma tidak boleh menghampiri ‘Pohon Larangan’ sahaja.
مِن قَبْلُ
pada masa yang lalu,
Allah menceritakan kejadian ini kepada Nabi Muhammad. Allah nak kata, sebelum Nabi Muhammad, telah ada perjanjian untuk taat kepada Allah.
فَنَسِيَ
tetapi dia lupa;
Maknanya, Nabi Adam itu makan juga pokok itu kerana lupa janjinya. Nabi Adam lupa pesan Allah dan janjinya kepada Allah untuk taat. Manusia memang jenis pelupa dari dulu lagi. Ini adalah satu sifat manusia yang normal. Manusia dinamakan insan kerana Nabi Adam pernah diberi perjanjian, tapi dia lupa (nasiya).
Sebab itulah kita diingatkan untuk sentiasa mengingati Allah. Kerana apabila kita lupa kepada Allah, maka syaitan akan ada peluang untuk memasukkan hasutannya.
Ini bukanlah satu dosa besar. Sebab kalau kita buat sesuatu kesalahan kerana kita terlupa pun, ianya tidak dikira berdosa. Sebagai contoh, kita termakan semasa kita sedang berpuasa sebab lupa kita puasa, itu tidak salah. Puasa pun tidak batal.
Tapi standard yang diberikan kepada Nabi Adam berbeza. Standard yang dikenakan kepada baginda adalah lebih tinggi lagi. Tapi masih Nabi Adam tidak berdosa. Kita kena jaga adab dalam menilai para Nabi, jangan kita kata mereka berdosa pula.
Sebab itu Allah suruh kita zikr sentiasa. Kalau tidak zikr, syaitan boleh ambil peluang. Kena sentiasa ingat Allah. Dalam setiap waktu, kita kena rasa bahawa Allah memerhatikan pergerakan kita. Kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah kerana kalau begitu, kita akan takut untuk melakukan dosa.
وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا
dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.
Ada beberapa makna yang kita boleh ambil di sini:
– Nabi Adam tidak kuat azam untuk melawan godaan Iblis. Atau,
– Nabi Adam tidak berazam untuk lawan Allah. Bukan dia hendak buat dosa tapi baginda lupa sahaja. Allah tahu apa yang dalam hati manusia. Jadi, Allah beritahu kepada kita bahawa Nabi Adam bukanlah ingin hendak melawan Allah.
– Nabi Adam tidak berazam untuk mengingat yang Iblis itu adalah musuhnya. Allah telah kenalkan Iblis dan beritahu dengan jelas kepada baginda bahawa itu adalah musuh baginda. Tapi Nabi Adam terlupa kerana tidak ada keazaman untuk ingat.
Begitulah manusia, kalau tidak ada azam untuk mengingat sesuatu, dia akan lupa. Kalau perkara yang dia tidak pentingkan, tidak lama kemudian dia akan lupa. Maka syaitan akan ambil kesempatan dari kelemahan manusia ini. Berbagai cara yang Iblis dan syaitan akan gunakan dan ini boleh dipelajari dari pembelajaran tentang Talbis Iblis.
Demi menjaga status Nabi Adam, makna yang kedua adalah lebih baik lagi daripada makna pertama. Dan makna ketiga itu kita kena ambil perhatian. Kenalah kita ingat yang Iblis ini adalah musuh kita yang utama. Maka kena berhati-hati dan kena pelajari bagaimanakah cara Iblis dan syaitan menipu kita. Itu kena belajar bab Talbis Iblis (Belitan Iblis) secara khusus kerana memang banyak sangat cara mereka.
Ayat 116: Apa yang terjadi sebenarnya? Dalam ayat tadi, hanya diberikan preview sahaja. Sekarang dibawakan kisah itu dari mula lagi.
وَإِذ قُلنا لِلمَلائِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ
And [mention] when We said to the angels, “Prostrate to Adam,” and they prostrated, except Iblees; he refused.
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud.
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada para malaikat:
Ini adalah selepas Allah menjadikan Nabi Adam. Selepas baginda dijadikan, Allah telah berfirman dan memberi arahan kepada para malaikat sebagai menghormati Nabi Adam. Oleh kerana Iblis juga ada bersama dengan para malaikat masa itu, maka arahan itu juga terkena kepadanya juga.
اسْجُدُوا لِآدَمَ
“Sujudlah kamu kepada Adam”,
Arahan sujud ini adalah sebagai tanda penghormatan kepada Adam sahaja. Maka kerana itu ada mufassir yang mengatakan bukan sujud macam sujud dalam solat itu, tapi hanya sebagai tunduk hormat sahaja. Allahu a’lam.
Malaikat semua sujud kepada Nabi Adam kerana itu adalah arahan Allah. Sebagai tanda penghormatan kepada Nabi Adam. Kalau Allah telah beri arahan, kena ikut. Kena taat. Memang pada dasarnya tidak boleh sembah makhluk lain. Kalau sekarang, tak boleh.
Tapi arahan untuk sujud kepada Nabi Adam itu keluar dari Allah, jadi kena ikut. Ini mengajar kita untuk taat kepada Allah, walaupun dalam perkara yang kita tak faham. Ada yang fikir lebih-lebih tentang sujud kepada Adam ini. Tapi ianya mudah sahaja – apabila Allah suruh sujud, kita sujud.
فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ
lalu mereka sujud, melainkan Iblis,
Dalam ayat ini dan ayat-ayat lain, arahan untuk sujud itu diberikan kepada para malaikat. Jadi, nampak macam Iblis itu dari kalangan malaikat juga, tapi tidak. Jangan kita salah faham. Iblis bukanlah dari kalangan malaikat. Ayat Kahf:50 telah beritahu dengan jelas yang dia adalah dari kalangan jin.
Cuma, kerana dia adalah makhluk yang banyak melakukan ibadah dan sampai kepada tahap yang tinggi, maka Allah campurkan Iblis dalam kalangan para malaikat. Tapi dia masih lagi ada nafsu seperti makhluk lain yang ada nafsu juga.
أَبَىٰ
ia enggan.
Bila Allah memperkatakan tentang ‘kesalahan’ Nabi Adam, Allah kata baginda ‘lupa’ tapi apabila Allah menceritakan berkenaan Iblis, perkataan lain: أَبَىٰ (enggan) digunakan. Ini menunjukkan memang dia benar-benar enggan untuk taat, bukan kerana dia terlupa. Memang dia ada berniat untuk tidak taat kepada arahan Allah.
Dia enggan kerana dia dijadikan dari api jadi dia sangka dia lebih baik dari Adam. Ini ada disebut dalam al-A’raf:12. Dia bersifat Ujub – dia rasa dia lebih tinggi dan lebih baik dari Nabi Adam. Dia juga bersifat Cemburu.
Ini mengajar kita bahawa Islam adalah berkenaan ketaatan. Amat bahaya apabila kita ada sifat-sifat mazmumah itu. Kena dibersihkan kerana ianya adalah sifat Iblis. Dia cemburu kerana kedudukan Nabi Adam sebagai seorang ‘hamba Allah’.
Selalunya kita akan cemburu kalau seseorang itu akan mendapat pangkat yang tinggi. Tapi kali ini, kedudukan itu adalah kedudukan ‘hamba’. Ini adalah satu kedudukan dalam agama. Bukannya kedudukan kemewahan, kekayaan dan sebagainya. Oleh itu, kita kena sedar bahawa kadang-kadang, kedudukan sebagai orang dalam agama pun orang boleh cemburu.
Kerana itu kadang-kadang apabila orang lain rapat dengan guru pun kita akan rasa cemburu. Padahal rapat dengan guru, bukan boleh dapat wang lebih, pangkat lebih dan sebagainya. Tapi mereka yang rapat dengan guru rasa bangga sebab guru percaya dia, dia banyak tolong guru, dia dapat ilmu lebih dari orang lain dan macam-macam lagi. Ini pun pelik juga bila terjadi kepada orang agama.
Tapi begitulah sifat mazmumah yang tidak elok. Dan sifat ini tidak kenal orang. Orang yang belajar tafsir, belajar agama pun boleh kena juga. Kerana tidak berhati-hati dengan talbis iblis. Maka kita kena berhati-hati dan lapangkan dada kita kalau ada orang yang lebih dari kita. Kalau ada yang nak rapat dengan guru, biarlah.
Ayat 117:
فَقُلنا يا آدَمُ إِنَّ هٰذا عَدُوٌّ لَكَ وَلِزَوجِكَ فَلا يُخرِجَنَّكُما مِنَ الجَنَّةِ فَتَشقىٰ
So We said, “O Adam, indeed this is an enemy to you and to your wife. Then let him not remove you from Paradise so you would suffer.
Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.
فَقُلْنَا يَا آدَمُ
Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam!
Setelah Iblis telah buat keputusan untuk tidak taat kepada Allah dan kemudian telah berazam untuk menyesatkan Nabi Adam dan anak cucunya, maka Allah sekarang memberi pesan kepada baginda. Maka pesanan ini juga sampai kepada kita sekarang yang kita kena perhatikan sangat.
إِنَّ هَٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ
sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu;
Lihatlah bahasa yang digunakan oleh Allah. Allah gunakan perkataan هَٰذَا (ini), menunjukkan tidak sukanya Allah kepada iblis sampaikan Allah tak sebut pun namanya. Macam kita kalau marah kepada seseorang, kita pun akan buat macam tu juga. Kita kata: “ini orang kan…….ishhh”. Itu tanda marah sangat.
Kalimah عَدُوٌّ bermaksud ‘musuh yang melampau’, yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai maksudnya untuk menjatuhkan kita.
وَلِزَوْجِكَ
dan bagi isterimu;
Allah sudah bagi tahu siap-siap yang Iblis itu musuh Nabi Adam dan Hawa dan juga bermaksud keturunan mereka berdua sekali (kita). Allah sudah beritahu awal-awal maka mereka sepatutnya kenalah berhati-hati.
فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ
oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga;
Allah sudah beritahu kepada mereka berdua yang Iblis hendak mengeluarkan mereka dari syurga. Bukan sahaja Allah beritahu mereka bahawa Iblis itu adalah musuh mereka berdua, tapi Dia juga telah beritahu mereka apakah yang akan cuba dilakukan oleh Iblis itu kepada mereka – mengeluarkan mereka dari syurga.
Iblis bertujuan menyesatkan Nabi Adam sampai Adam keluar dari syurga. Sebab dia tak suka Adam tinggal dalam syurga tapi dia tinggal di luar. Dia juga tak mahu kita sebagai anak cucu Nabi Adam masuk syurga. Dia akan buat segala-galanya supaya anak cucu Adam tak masuk dalam syurga. Dia tahu dia sendiri akan masuk neraka apabila Kiamat nanti, jadi dia nak anak cucu Adam pun bersama dengannya.
فَتَشْقَىٰ
kerana dengan yang demikian engkau akan menderita.
Sebelumnya Allah telah berkata kepada mereka berdua iaitu Nabi Adam dan Hawa, tapi kali ini Allah bercakap merujuk kepada Nabi Adam sahaja. Ini kita boleh lihat dari segi bahasa yang digunakan. Kenapa begitu? Kerana Adam bertanggungjawab kepada keluarganya.
Orang lelaki adalah ketua keluarga. Bukan sahaja dalam bentuk keduniaan tapi dalam hal agama juga. Dia kena bertanggungjawab memastikan ahli keluarganya selamat dari neraka. Maka dia kena ada ilmu agama supaya dia boleh mengajar dan memimpin keluarganya.
Masalahnya, kita hanya melihat bab ketua dalam hal dunia sahaja – keputusan di tangan lelaki dalam hal-hal dunia, tapi kita selalu terlupa kita bertanggungjawab dalam hal agama juga. Lelaki kena ajar isteri dan anak-anaknya tentang agama. Supaya memastikan mereka juga masuk syurga dan terselamat dari neraka.
Apakah maksud فَتَشْقَىٰ? ‘Kesusahan’. Iaitu kesusahan hidup di dunia. Selepas keluar dari syurga, Nabi kena berusaha mencari makanan, cari tempat tinggal dan sebagainya. Tidak macam semasa di syurga di mana semuanya telah disediakan. Tapi di dunia, semuanya kena usaha untuk dapatkan sumber kehidupan.
Dan apabila mereka dapat sumber kehidupan itu, seperti makanan, pakaian dan rumah, ianya tidak sama seperti yang didapati semasa di syurga. Langsung tidak sama kalau dibandingkan dengan apa yang mereka dapati semasa di syurga.
Perkataan تَشْقَىٰ ini telah ada dalam ayat ke-2 surah ini. Dalam ayat itu, Allah mengatakan bahawa Qur’an ini bukanlah diturunkan kepada Nabi Muhammad untuk menyusahkan baginda. Tapi dalam ayat ini, dikatakan kepada Nabi Adam bahawa kalau baginda terpedaya dengan Syaitan, baginda akan menjadi susah. Iaitu susah dalam kehidupan dunia.
Ayat 118: Allah menyenaraikan antara kenikmatan di syurga yang diberikan kepada Nabi Adam dan Hawa. Kita juga akan dapat semua ini apabila kita masuk syurga nanti.
إِنَّ لَكَ أَلّا تَجوعَ فيها وَلا تَعرىٰ
Indeed, it is [promised] for you not to be hungry therein or be unclothed.
“Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.
إِنَّ لَكَ
“Sesungguhnya telah dikurniakan bagimu,
Kalau dapat masuk syurga, inilah antara perkara yang akan dinikmati oleh ahli syurga itu:
أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا
bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu
Tidak akan rasa lapar semasa di syurga. Sebab lapar itu adalah sifat manusia yang tidak elok. Kita tak suka kalau lapar, bukan? Dan dalam syurga tidak ada kesusahan, jadi lapar tidak sesuai ada dalam syurga. Habis macam mana nak makan? Makanan memang banyak sangat dan kita makan sebagai nikmat sahaja. Maknanya kita tidak perlukan makan itu tapi kita makan untuk menikmati sedapnya makanan itu.
Maknanya makan bukan sebab lapar. Kita pula akan makan banyak sekali – diberikan selera untuk makan banyak (dikatakan selera seribu orang!). Sebab kita juga tidak kenyang-kenyang sampai bila-bila dan kerana itu boleh makan dengan banyak. Itu pun nikmat juga. Sebab kalau kenyang, sudah tidak boleh makan lagi. Allah memberikan nikmat makan kepada kita dengan banyak sekali.
Tapi apabila di dunia, kena cari makan sendiri. Makanan pun tidak sedap macam di syurga.
Bandingkan dengan mereka yang masuk dalam neraka. Mereka akan rasa lapar dari mula masuk sampai bila-bila, selagi mereka dalam neraka.
وَلَا تَعْرَىٰ
dan tidak akan bertelanjang.
Tidak perlu risau tentang pakaian semasa di syurga. Semuanya telah disediakan. Pakaian yang diberikan pula adalah yang indah-indah. Dalam riwayat, sekali pakai, kita akan memakai 70 lapis pakaian sutera, yang halus dan yang tebal. Begitulah hebatnya pakaian di syurga.
Tapi di dunia, kena buat pakaian sendiri. Pakaian pula tidak bagus. Pakaian itu pula boleh lusuh, boleh koyak dan sebagainya. Kena ganti selalu dan macam-macam lagi kekurangan pakaian di dunia ini walau berapa mahal pun.
Ayat 119: Tambahan lagi kisah tentang nikmat di syurga.
وَأَنَّكَ لا تَظمَأُ فيها وَلا تَضحىٰ
And indeed, you will not be thirsty therein or be hot from the sun.”
“Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari”.
وَأَنَّكَ لَا تَظْمَأُ فِيهَا
“Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu,
Dahaga adalah satu keadaan manusia yang tidak selesa. Maka tidak ada rasa dahaga di sana. Tapi terdapat minuman berbagai jenis yang sedap-sedap. Ada sungai dari madu, dari susu, dari arak dan air putih. Bukan itu sahaja, apa sahaja air yang kita hendak, boleh didapati.
Kita boleh minum sebanyak mana kita hendak walaupun kita tidak dahaga. Kita minum kerana hendak menikmati rasa air itu, bukan sebab dahaga.
Bandingkan dengan neraka. Penghuni neraka akan rasa dahaga dari mula masuk neraka sampai bila-bila. Dan mereka tidak akan dapat minum melainkan air yang jelek sekali. Itu disebut dalam ayat yang lain.
وَلَا تَضْحَىٰ
dan tidak akan merasa panas”;
Satu kerisauan atau ketidakselesaan manusia adalah keterikan dari kepanasan. Tidak akan ada masalah itu di syurga. Cuaca amat nyaman sekali. Sudahlah cuacanya nyaman, ada teduhan lagi yang diberikan dalam syurga. Ada satu pokok yang jarak teduhannya dari batang pokok adalah sejauh seratus tahun perjalanan dengan kuda yang laju. Dan siling istana di syurga adalah setinggi 30,000 kaki.
Ada empat keperluan minima manusia semasa untuk hidup – makanan, minuman, pakaian dan teduhan. Keempat-empatnya disebut dalam ayat ini.
Ulama juga mengatakan dalam ayat ini juga ada isyarat bahawa suamilah yang bertanggungjawab menyediakan keperluan ini kepada isteri dan ahli keluarganya. Sama juga hujahnya di dalam perkataan فَتَشْقَىٰ (kesusahan) itu. Ianya hanya disebut untuk Nabi Adam sahaja.
Kenapakah susunan keperluan empat perkara ini dalam susunan: makanan – pakaian – minuman – teduhan. Kenapa tidak makanan – minuman – pakaian – teduhan? Kalau susun begini macam nampak lebih sesuai kalau ikut logik kita, bukan?
Ulama membincangkan perkara ini. Di dalam syurga, tidak ada kesejukan dan kepanasan terlampau. Cuacanya amat selesa sekali. Kalau terlalu sejuk, perut kita akan cepat lapar – maka kita akan memerlukan makanan. Begitu juga kalau sejuk, kita memerlukan pakaian untuk menahan dari kesejukan. Itulah sebabnya selepas disebut tentang kelaparan, disebutkan berkenaan pakaian. Maknanya, ada pertalian antara kelaparan dan pakaian
Dan di syurga, tidak ada kepanasan. Kalau panas, tentu kita dahaga. Sebab itu disebut tentang ‘dahaga’ dan kalau panas terik, kulit kita akan terbakar. Sebab itu disebutkan tentang tidak akan kulit kita jadi kepanasan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 13 Mei 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain