Tafsir Surah Kahfi Ayat 50 – 53 (Iblis dari golongan jin)

Ayat 50: Sekarang kita masuk ke Ruku’ ke 7 dari 12 yang ada dalam surah ini. Ini tentang syubhah berkenaan malaikat dan jin. Ada manusia yang puja malaikat sebagai anak perempuan Allah. Mereka puja untuk menyampaikan doa kepada Allah (sebagai wasilah).

Apabila diceritakan tentang akhirat, Allah akan menceritakan kenapa manusia akhirnya masuk neraka. Bukanlah Allah terus masukkan manusia ke dalam neraka. Allah tak kejam kerana tidaklah Allah ‘mahu’ manusia masuk neraka. Bukanlah Allah tentukan dari awal lagi.

Tapi Allah masukkan mereka ke dalam neraka kerana kesalahan mereka. Antaranya adalah kerana mereka mendengar bisikan syaitan. Ini adalah cerita syaitan.

وَإِذ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ كانَ مِنَ الجِنِّ فَفَسَقَ عَن أَمرِ رَبِّهِ ۗ أَفَتَتَّخِذونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَولِياءَ مِن دوني وَهُم لَكُم عَدُوٌّ ۚ بِئسَ لِلظّٰلِمينَ بَدَلًا

 Sahih International

And [mention] when We said to the angels, “Prostrate to Adam,” and they prostrated, except for Iblees. He was of the jinn and departed from the command of his Lord. Then will you take him and his descendants as allies other than Me while they are enemies to you? Wretched it is for the wrongdoers as an exchange.

Malay

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.

 

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلىٰئِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ

Dan ingatlah ketika Kami perintahkan kepada semua malaikat, “sujudlah kamu kepada Adam”;

Kisah ini juga disebut dalam Baqarah:30. Sujud yang dimaksudkan adalah ‘sujud penghormatan’, pemuliaan dan pengagungan. Bukanlah macam kita sujud kepada Allah. Ini adalah arahan terus dari Allah maka tidak ada ruang untuk malaikat dan jin untuk menolak perintah itu.

 

فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ

maka mereka semua sujud melainkan iblis;

Maka apabila arahan dari Allah telah diberikan, maka semua malaikat telah sujud. Maka bagaimana ada manusia yang sanggup mengatakan para malaikat itu sebagai wasilah mereka kepada Allah sedangkan para malaikat itu adalah makhluk Allah yang setia? Mereka tidak akan buat perkara yang tidak patut dan tidak diarahkan oleh Allah. Dan bukanlah kerja mereka untuk menyampaikan doa manusia kepada Allah.

Maka di sini disebut yang semua malaikat itu sujud kepada Adam kecuali Iblis. Sekarang timbul persoalan yang selalu sahaja ditimbulkan oleh manusia: Adakah iblis dari kalangan malaikat pula? Kerana dari ayat-ayat Qur’an, nampak seolah-olah Iblis itu dari kalangan malaikat pula. Adakah benar fahaman orang Kristian yang kata Iblis itu adalah fallen angel?

Kita kena tahu bahawa Iblis itu bukan dari kalangan malaikat. Dan kerana itu dia boleh untuk tidak taat kepada Allah. Kerana kalau dia benar-benar malaikat, dia tidak ada pilihan untuk menolak. Kerana semua malaikat tidak ada pilihan untuk tidak taat. Tidak macam manusia yang Allah telah berikan pilihan untuk taat atau tidak.

 

كَانَ مِنَ الْجِنِّ

Iblis itu adalah dari jin;

Inilah jawapan kepada persoalan samada Iblis dari malaikat atau tidak. Dia adalah bapa kepada jin, sepertimana Nabi Adam itu adalah bapa kepada golongan manusia. Iblis dan keturunannya iaitu jin, dijadikan dari nyalaan api manakala malaikat dijadikan dari nur.

Maka ini adalah dalil yang kukuh bahawa Iblis itu bukanlah malaikat. Ramai juga orang Islam yang keliru tentang perkara ini sedangkan ayat ini dengan jelasnya menyebut siapakah Iblis itu. Mungkin mereka tidak tahu kerana tidak belajar ayat ini. Mungkin mereka selalu baca tapi mereka tidak faham apa yang mereka baca.

Maka memang Iblis itu dari bangsa jin tapi kerana dia telah banyak beribadat, maka dia telah dinaikkan ke langit untuk berada bersama dengan para malaikat. Tapi tidaklah pernah statusnya menjadi ‘malaikat’. Dan apabila Allah berikan arahan kepada ‘malaikat’, dia pun termasuk sekali kerana dia juga ada bersama waktu itu.

 

فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ

dia telah menderhakai perintah Tuhannya;

Iblis tidak sujud kerana dia telah buat keputusan untuk engkar dengan perintah Allah. Telah disebut dalam ayat-ayat yang lain kenapa dia engkar. Iaitu kerana dia sombong dan rasa dia lebih tinggi kedudukan dari Nabi Adam kerana dia dijadikan dari api dan Nabi Adam dijadikan dari tanah.

Sepatutnya dia dah dimasukkan ke dalam neraka terus kerana engkar tidak mahu sujud. Kerana engkar pada perintah Allah, dia sudah layak dimasukkan ke dalam neraka terus tapi Allah tidak lakukan. Allah telah memberi tempoh kepadanya untuk hidup sampai hari Kiamat. Ini juga adalah permintaannya seperti yang disebut dalam ayat dalam surah yang lain. Kena baca keseluruhan Qur’an baru dapat faham keseluruhan kisah ini.

Dalam ayat ini, Allah menyebut: kerana dia dari golongan jin, maka dia telah menderhakai perintah Allah. Sebab itu adalah huruf فَ dalam perkataan فَفَسَقَ. Kalau dia dari kalangan malaikat, tentulah dia tidak akan engkar kepada perintah Allah – kerana malaikat tidak akan melanggar perintah Allah.

Ini menolak pendapat Kristian yang kata Iblis adalah dari golongan malaikat – mereka panggil dia ‘fallen angel‘. Itu adalah fahaman yang amat salah dan mereka jadi begitu kerana mereka jauh dari wahyu. Allah tekankan dalam ayat ini, bahawa dia adalah dari golongan jin. Seperti telah disebut sebelum ini, surah ini adalah berkenaan puak Kristian. Jadi, ia akan menyebut tentang kesalahan dalam pemahaman mereka.

Begitu juga, mereka ada salah faham dalam agama mereka. Pada mereka, perbuatan tidak penting. Pada mereka, walaupun mereka buat kesalahan, mereka akan tetap selamat kerana mereka percaya kepada ketuhanan Jesus atau Jesus sebagai ‘Anak Tuhan’. Allah menidakkan pandangan mereka itu. Allah beri contoh perbuatan Iblis ini. Dia jadi kafir kerana menentang arahan Allah.

 

أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي

Apakah patut kamu mengambil Iblis dan keturunannya sebagai pelindung-pelindung kamu selain dari Aku?

Ramai manusia yang menjadikan Iblis dan jin sebagai wali pelindung mereka. Mereka jadi sesat kerana telah ditipu oleh Iblis dan konconya.

Allah juga menempelak manusia yang kata mereka akan ikut dakwah kalau yang diturunkan untuk beri ajaran wahyu itu adalah malaikat. Allah nak kata, kalau kamu tak dapat malaikat, kenapa kamu nak ikut iblis pula? Kenapa kamu tidak mahu mengikut Rasul dari kalangan manusia? Apakah tidak cukup Allah berikan rasul dari kalangan manusia?

 

وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ

sedangkan mereka adalah musuh ketat bagi kamu;

Maka kenanglah yang Iblis dan syaitan itu adalah musuh kita yang nyata. Iblis sendiri kata yang Nabi Adam adalah musuh ketat dia. Dan sekarang Allah memberitahu kita lagi bahawa Iblis itu memang musuh ketat kita. Jadi Allah dan syaitan berkata tentang perkara yang sama.

Tapi manusia buat Iblis itu sebagai kawan samada dalam sedar atau tidak. Iaitu apabila kita mendengar kata-kata mereka. Mereka akan sentiasa bisik mengajak kepada perkara yang jahat. Dan manusia yang jauh dari wahyu dan tidak tahu mana yang benar dan mana yang tidak, maka akan mudah untuk termakan dengan bisikan mereka.

Sedangkan ada yang sudah tahu mana benar dan mana salah pun boleh tergelincir juga kerana iman yang lemah, apatah lagi kalau orang yang jauh dari ajaran wahyu?

 

بِئْسَ لِلظّٰلِمِينَ بَدَلًا

Itu adalah seburuk-buruk pengganti bagi orang yang zalim;

Iaitu apabila manusia menjadikan syaitan sebagai pengganti kepada Allah. Sepatutnya taat kepada Allah tapi mereka ganti dengan taat kepada iblis dan syaitan pula. Tentulah teruk sangat pergantian itu.


 

Ayat 51:

۞ مّا أَشهَدتُّهُم خَلقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلا خَلقَ أَنفُسِهِم وَما كُنتُ مُتَّخِذَ المُضِلّينَ عَضُدًا

 Sahih International

I did not make them witness to the creation of the heavens and the earth or to the creation of themselves, and I would not have taken the misguiders as assistants.

Malay

Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.

 

مَّا أَشْهَدْتُّهُمْ خَلْقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Tidaklah Aku persaksikan pada mereka (syaitan-syaitan itu) kejadian penciptaan langit dan bumi;

Semasa Allah menjadikan alam ini dulu, tidaklah dipersaksikan kepada iblis dan syaitan itu. Tidaklah Allah panggil dan tunjuk kepada mereka semasa mula-mula dijadikan alam ini dahulu dan selepas itu pun tidak ditunjukkan kepada mereka. Lepas dah siap alam pun Allah tak panggil mereka untuk tengok. Tidak ada keperluan untuk tunjuk kepada mereka.

 

وَلَا خَلْقَ أَنْفُسِهِمْ

Dan tidaklah juga diperlihatkan penciptaan diri mereka sendiri kepada mereka

Jangan kata penciptaan alam, penciptaan diri mereka sendiri mereka tidak dapat lihat.

 

وَمَا كُنْتُ مُتَّخِذَ الْمُضِلِّينَ عَضُدًا

Dan tidaklah aku pernah jadikan syaitan-syaitan yang menyesatkan itu sebagai pembantu-pembantu Aku;

Allah tidak pernah menggunakan khidmat jin-jin itu untuk membantuNya. Mereka tidak ada kuasa apa-apa pun. Mereka itu adalah makhluk yang lemah sahaja. Perkataan عَضُدًا digunakan dalam bahasa Arab untuk merujuk kepada otot lengan. Digunakan untuk merujuk kepada ‘pembantu’.

Maknanya, kita tidak patut ambil syaitan sebagai pelindung kalau Allah sendiri pun tidak pernah beri kuasa kepada mereka. Bilakah kita ambil mereka sebagai pelindung pula? Iaitu apabila kita bertawasul. Setiap kali kita buat tawasul, sebenarnya kita puja syaitan. Kita sangka kita seru Nabi, Malaikat dan Wali sebagai perantara kita dalam doa, tapi sebenarnya kita menyeru dan memuja syaitan. Ramai sahaja yang tidak tahu kerana ramai yang jauh dari wahyu.


 

Ayat 52: Takhwif Ukhrawi.

وَيَومَ يَقولُ نادوا شُرَكائِيَ الَّذينَ زَعَمتُم فَدَعَوهُم فَلَم يَستَجيبوا لَهُم وَجَعَلنا بَينَهُم مَّوبِقًا

Sahih International

And [warn of] the Day when He will say, “Call ‘My partners’ whom you claimed,” and they will invoke them, but they will not respond to them. And We will put between them [a valley of] destruction.

Malay

Dan (ingatkanlah) semasa Allah berfirman: “Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan Kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.

 

وَيَوْمَ يَقُولُ

Dan pada hari dikatakan kepada mereka;

Kalimah ‘hari’ di sini bermaksud semasa di Mahsyar atau di dalam neraka. Allah seru kepada golongan musyrik itu. Apakah Allah berfirman kepada mereka?

 

نَادُوا شُرَكَائِيَ

Panggillah sekutu-sekutu Aku itu; 

Allah perli mereka untuk panggillah ilah-ilah yang mereka jadikan sekutu bagiNya. Ini seperti Buddha, Jesus, Siva dan macam-macam lagi. Ini termasuklah Syaikh Abdul Qadir Jalani, Hussein, Habib Nuh atau sesiapa sahaja yang diseru selain Allah dalam ibadat dan doa.

 

الَّذِينَ زَعَمْتُمْ

yang dulu kamu percaya kepada mereka;

Allah kata sekarang panggillah ilah-ilah mereka itu kerana dulu mereka yang musyrik itu yakin sangat yang ilah-ilah itu dapat membantu mereka dan beri berkat, beri syafaat dan beri pertolongan. Kalau mereka yakin sangat, maka panggillah sekarang.

 

فَدَعَوْهُمْ

Maka mereka pun menyeru;

Maka mereka pun serulah guru-guru mereka, wali-wali yang mereka seru, Nabi-nabi yang mereka dulu seru semasa di dunia dan lain-lain lagi seruan mereka. Ada bermacam-macam jenis wasilah yang digunakan dalam doa manusia yang sifatnya musyrik.

Maknanya bukanlah orang bukan Islam sahaja yang buat perkara ini tapi orang yang Muslim pun ada buat juga. Dan memang ramai pun. Ini adalah kerana mereka jauh dari ajaran wahyu dan kerana mereka diajar oleh guru-guru yang ada fahaman yang salah. Maka kita kena betulkan balik salahfaham itu dengan mengajak mereka belajar ilmu wahyu.

 

فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا لَهُمْ

Tidaklah menyahut seruan mereka

Seruan golongan musyrik itu tentunya tidak dijawap. Yang diseru itu cuba nak menjawap pun. Kerana yang diseru itu pun tidak pernah ajar supaya mereka diseru dalam bentuk apa-apa pun. Yang menyeru itu bukannya dapat ajaran itu dari ajaran yang benar tapi ajaran yang sesat. Sebagai contoh, golongan Syiah menyeru Hussein r.a. tapi Saidina Hussein tidak pernah pun suruh diseru. Maka ini adalah ajaran syaitan sahaja. Dan syaitan cuma akan berjaya menipu golongan yang jauh dari wahyu sahaja.

 

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ مَّوْبِقًا

dan Kami jadikan diantara mereka satu sekatan. 

Perkataan مَوْبِقًا bermaksud ‘jurang’. Bermakna di antara mereka yang diseru dan menyeru itu ada jurang neraka. Mereka akan nampak seruan dan sembahan mereka itu, tapi diantara mereka itu ada jurang api neraka. Allah tunjukkan juga ilah-ilah dan mereka yang diseru itu sebagai menyakitkan hati mereka yang menyeru. Memang nampak ada, tapi yang diseru itu tidak menyahut pun. Maka tentulah mereka lebih sakit hati lagi.


 

Ayat 53:

وَرَءا المُجرِمونَ النّارَ فَظَنّوا أَنَّهُم مُّواقِعوها وَلَم يَجِدوا عَنها مَصرِفًا

 Sahih International

And the criminals will see the Fire and will be certain that they are to fall therein. And they will not find from it a way elsewhere.

Malay

Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.

 

وَرَءا الْمُجْرِمُونَ النَّارَ

Dan orang-orang yang berdosa itu melihat neraka

Ini pula apabila mereka dibawa ke hadapan neraka dan ditunjukkan kepada mereka.

 

فَظَنُّوا أَنَّهُمْ مُّوَاقِعُوهَا

Maka mereka pun yakin yang mereka pasti akan jatuh masuk neraka itu

Apabila mereka dah nampak neraka itu, maka tahulah mereka yang mereka akan masuk ke dalamnya. Mereka akan jatuh dengan keras ke dalam neraka yang dalam itu. Mereka akan cuba untuk tidak dimasukkan, mereka akan pegang apa yang mereka boleh pegang, tapi mereka akan dimasukkan juga.

 

وَلَمْ يَجِدُوا عَنْهَا مَصْرِفًا

Dan tidaklah mereka mendapati jalan untuk mengelakkan diri darinya.

Mereka akan cuba nak lari, nak rayu, nak buat itu dan ini, tapi tidak akan dilayan dan tidak akan berjaya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s