Tafsir Surah Baqarah Ayat 30 – 33 (Perlantikan manusia sebagai khalifah)

Ayat 30: Ayat 30 – 39 tentang Allah memberitahu peranan Khalifah di muka bumi. Manusia diberi peranan sebagai khalifah membangunkan dan memakmurkan dunia.

Dalam ayat ini, Allah hendak kita tahu sejarah kita, asal salasilah kita, kedudukan dan kelebihan yang ada pada kita sebagai manusia.

Keduanya, ayat ini adalah peringatan dari Allah yang Allah telah beri darjat yang tinggi kepada kita. Tetapi kalau kita tidak laksanakan tugas kita seperti yang Allah kehendaki, Allah boleh jatuhkan kedudukan kita itu. Kalau kita tidak beringat dan berjaga-jaga, kita boleh ditewaskan oleh orang yang lebih rendah darjatnya dari kita.

Ketiga, manusia dikira berjaya dan selamat jikalau mengikuti arahan Allah semasa di dunia. Dan arahan ada itu ada dua: arahan suruhan dan arahan larangan. Kalau tak ikut kedua-duanya, kita tidak selamat.

Dan keempat, Allah hendak mengingatkan kita yang syaitan akan datang dan hasut manusia. Pertamanya, dia akan hasut supaya manusia tidak faham arahan Allah itu. Kalau tak tahu, macam mana nak taat? Maka syaitan tak beri manusia belajar wahyu Allah. Kerana itu ramai tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis di negara kita. Ia seperti pengajaran yang asing sedangkan sepatutnya ia menjadi perkara pertama yang kita belajar dalam agama.

Kalau manusia itu pula sudah faham, syaitan tidak akan putus asa. Syaitan akan hasut supaya manusia tidak ikut arahan itu, sebaliknya dia akan suruh kita ikut nafsu dan akal kita yang lemah. Maka manusia ada yang tewas dengan hasutan ini. Maka Allah nak ingatkan kita supaya jangan terpedaya dengan syaitan.

Selagi manusia tidak belajar dan menerima wahyu, manusia akan sentiasa berbalah sesama sendiri. Kerana ini adalah sifat asal manusia. Kerana setiap manusia mempunyai nafsu, perasaan dan akal yang berlainan. Kerana itu kalau kita bergantung kepada diri kita sahaja, kita tidak akan bersatu. Hanya dengan keinginan untuk ikut wahyulah baru manusia akan bersatu.

Malangnya ada yang silap belajar tafsir, atau baca sendiri terjemahan Al-Qur’an tanpa belajar, maka dia akan silap faham tentang maksud ayat ini. Kerana banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang boleh menyebabkan perselisihan faham kalau tidak belajar dengan betul. Jadi kena belajar dan ambil maklumat yang sahih sahaja. Maka kena berhati-hati dalam belajar. Antaranya banyak dimasukkan kisah israiliyat dalam kitab-kitab tafsir. Sepatutnya tidak dimasukkan kerana tidak perlu dan ianya boleh mengelirukan.

Selain itu, kita kena tengok kemahiran manusia dalam sesuatu perkara. Ada yang mahir hadis, ada yang mahir fekah dan ada yang mahir dalam ilmu tafsir. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat, kita kena rujuk tafsir kepada mereka yang mahir dalam ilmu tafsir.

Jarang ada seseorang yang mahir dalam semua perkara agama. Amat menyedihkan kerana negara kita ini tidak mementingkan pengajaran tafsir menyebabkan masyarakat ramai yang jahil tentang ajaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

Baik, kembali kepada tafsir ayat ini. Allah hendak kita tahu yang kita adalah makhluk yang mulia dan terbaik. Dalilnya, malaikat disuruh sujud kepada kita. Kenapa malaikat kena sujud kepada manusia? Kerana manusia ada satu kelebihan. Apakah kelebihan itu?

Adakah kerana amal kita yang banyak? Kalau kerana amal kita, kita tidak akan dapat mencapai tahap amal ibadat para malaikat. Ada malaikat yang sujud tak bangkit bangkit sampai bila-bila. Oleh itu, tentunya kita mendapat kelebihan yang tinggi ini kerana sebab yang lain.

Sebenarnya, malaikat dan jin disuruh sujud kepada manusia kerana kelebihan ilmu. Itu sahaja lebihnya kita dari para malaikat. Inilah yang Allah beritahu dalam Al-Qur’an. Ada bahagian dalam diri kita yang berhak menerima ilmu yang tidak ada pada malaikat dan tidak ada pada malaikat dan jin. Ianya seumpama chip dalam komputer yang ada kemampuan untuk dimasukkan ilmu ke dalamnya.

وَإِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلٰئِكَةِ إِنّي جاعِلٌ فِي الأَرضِ خَليفَةً ۖ قالوا أَتَجعَلُ فيها مَن يُفسِدُ فيها وَيَسفِكُ الدِّماءَ وَنَحنُ نُسَبِّحُ بِحَمدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قالَ إِنّي أَعلَمُ ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when your Lord said to the angels, “Indeed, I will make upon the earth a successive authority.” They said, “Will You place upon it one who causes corruption therein and sheds blood, while we declare Your praise and sanctify You?” Allah said, “Indeed, I know that which you do not know.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

 

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلٰئِكَةِ

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat;

Dalam ayat ini, Allah menceritakan keadaan semasa Dia sedang berkata-kata dengan para malaikat. Allah beritahu kepada para malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di muka bumi. Ada orang yang salah faham dengan ayat ini. Mereka kata, apabila Allah nak jadikan Nabi Adam, Allah bermesyuarat dulu dengan malaikat. Kononnya Allah tanya pendapat mereka. Ini tidak benar. Sebenarnya, Allah tidak perlu tanya malaikat pun. Tidak perlu mesyuarat dengan malaikat. Salah kalau kita kata begitu. Jadi apa terjadi sebenarnya?

Dalam ayat ini Allah berfirman memberitahu malaikat yang Dia hendak menjadikan Khalifah di bumi. Bukanlah Allah tanya pendapat malaikat pula. Maka jangan kita salah faham. Kerana ada pula silap dengan kata Allah mesyuarat dengan malaikat.

Kononnya mereka nak kata yang mesyuarat itu amat penting sampaikan Allah bermesyuarat dulu dengan malaikat sebelum menjadikan Nabi Adam. Itu fahaman yang salah. Pendapat sebegitu akan mencacatkan sifat ketuhanan dan orang yang berkata begitu, sebenarnya dia ada masalah akidah. Memang dia tidak kenal Allah kalau dia berkata begitu.

Manusia memanglah kena bermesyuarat sebab manusia tidak sempurna. Manusia tidak tahu segala-galanya, maka kena tanya pendapat orang lain juga. Macam Nabi pun bermesyuarat dengan para sahabat dalam perkara yang bukan wahyu.

Sebab Nabi sebagai seorang manusia, masih tetap ada kelemahan tetapi Allah tidak ada kelemahan langsung. Maka jangan kata Allah mesyuarat dengan malaikat apabila Allah hendak menjadikan Nabi Adam.

Ayat sebelum ini telah disebutkan bahawa Allah telah menjadikan manusia dari tiada kepada ada. Maka, dalam ayat ini, Allah menceritakan bahawa makhluk pertama yang dicipta adalah Adam. Jadi ini adalah sejarah tentang asal mula manusia.

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Sesungguhnya Aku akan jadikan di mukabumi satu khalifah;

Allah sebenarnya beritahu kepada malaikat, bukannya nak tanya pendapat mereka boleh jadikan Adam atau tidak. Allah sudah ada keputusan nak buat manusia dari awal lagi. Dia hanya beritahu sahaja kepada malaikat. Waktu itu Allah belum buat lagi.

Maksud ‘khalifah’ di sini adalah: manusia yang silih berganti. Apabila mati, diganti oleh manusia lain. Bergilir-gilir hidup dan mati. Bukannya ‘khalifah’ itu maksudnya ganti Allah di dunia pula. Ini pun satu lagi salah faham dalam masyarakat.

Banyak orang yang faham bahawa maksud ‘khalifah’ itu adalah sebagai khalifah kepada Allah. Ini salah kerana Allah tidak memerlukan penggantiNya di dunia ini. Jadi maksud khalifah adalah pengganti kepada orang sebelumnya.

Yang sebenarnya manusia menggantikan golongan jin yang tinggal di bumi sebelum itu. Iaitu selepas mereka telah gagal menjalankan tugas mereka sebagai hamba Allah yang taat, maka mereka digantikan dengan manusia. Dan kemudian manusia yang datang kemudian mengganti manusia sebelumnya. Kita semua ini adalah khalifah sebenarnya.

Maka terma ‘khalifah’ bukanlah bermaksud pemimpin sahaja. Ia bermaksud pengganti. Dan apabila digunakan kepada pemimpin, maka ia bermaksud pemimpin yang baru mengganti pemimpin yang lama.

Agama Yahudi dan Kristian juga percaya bahawa makhluk manusia yang pertama dijadikan adalah Adam. Tapi ada perbezaan antara fahaman kita dan mereka. Kita percaya bahawa Nabi Adam memang dijadikan untuk tinggal di dunia. Memang asalnya dia tinggal di Syurga, tapi Allah telah takdirkan bahawa dia akan tinggal di dunia. Tapi, agama Kristian pula percaya bahawa Nabi Adam telah ‘dibuang’ dari syurga. Ini pendapat yang kurang tepat.

Jadi, Allah beritahu malaikat yang Dia akan menjadikan makhluk yang silih berganti yang menegakkan hukumNya di dunia dan ikut perintah Allah. Dan kemudian Allah beri peluang kepada para malaikat untuk beritahu apa pendapat mereka tentang makhluk yang akan dijadikan itu. Kerana kalau kritik selepas Allah jadikan, mereka akan binasa.

Tapi, kalau beritahu sebelum dijadikan, masih boleh lagi nak tanya soalan. Sekali lagi, ini bukannya Allah bermesyuarat dengan malaikat, tidak. Sebab Allah tetap akan buat juga makhluk itu.

قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا

Malaikat berkata: patutkah Kamu menjadikan makhluk yang akan merosakkan bumi

Malaikat tanya: patutkah Allah hendak menjadikan makhluk di bumi yang akan buat syirik kepadaNya? Kerana ‘berbuat kerosakan’ itu bermaksud berbuat syirik kepada Allah. Boleh juga membawa maksud membuat huru-hara di mukabumi.

Setelah diberi peluang, barulah malaikat beri pandangan mereka. Mereka kata kenapa nak jadikan makhluk lagi yang akan berbuat kerosakan di dunia – maknanya tidak menegakkan hukum Tuhan. Ini adalah bahagian hablu minallah (hubungan dengan Allah).

وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ

dan makhluk itu akan menumpahkan darah? 

Dan mereka itu nanti berbalah sesama sendiri sampai menumpahkan darah. Ini pula adalah bahagian hablu minannas (hubungan sesama manusia).

Soalan: macam mana malaikat boleh tahu yang manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah? Sedangkan Nabi Adam dan keturunan baginda tidak ada lagi? Tak sesuai kalau malaikat yang suci berbuat tohmahan pula terhadap Allah. Ulama’ mengatakan, mereka tahu itulah yang akan berlaku, kerana sebelum dunia dihuni oleh manusia, ianya telah dihuni oleh golongan jin.

Ini kita tahu dari hadis yang menceritakannya. Merekalah dulu yang duduk di dunia dan setelah berbuat kerosakan dan menumpahkan darah, mereka telah dihalau ke tengah laut dan ke tengah hutan. Kerana malaikat pernah tengok jin dan segala perbuatan mereka, para malaikat telah qiyas yang makhluk yang baru ini pun akan berperangai begitu juga. Itu adalah andaian mereka.

Jadi, malaikat agak, apabila dibuat makhluk yang diuji dengan nafsu, seperti manusia dan jin, maka akan ada pertumpahan darah dan berbuat syirik kepada Allah. Dan Allah telah beri peluang kepada mereka untuk beri pandangan. Tidak dikira derhaka lagi kalau begitu.

Soalan lagi: Kenapa Allah beri peluang kepada malaikat untuk bertanya? Kerana Allah nak beritahu kita yang Allah tak mahu perangai berbuat kerosakan dan menumpahkan darah seperti yang dilakukan oleh golongan jin itu. Allah nak beritahu kepada kita dengan cara begini – dimasukkan dalam Al-Qur’an tentang kejadian soal jawab ini.

Maka maklumat telah diberitahu kepada kita. Dengan soal jawab Allah dan malaikat, kita boleh satu perkara kejadian di langit suatu waktu dahulu. Kerana kalau Allah tidak beritahu, kita tidak akan dapat tahu langsung.

وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ

sedangkan kami senantiasa bertasbih dengan memujiMu

Maknanya, dua-dua bahagian (habluminallah dan habluminannas) mereka tidak akan langgar. Ini adalah kerana memang mereka tidak ada nafsu dan mereka dijadikan untuk taat sahaja kepada Allah. Jadi mereka kata, kalau mahu makhluk yang memuja dan taat kepada Allah sahaja tanpa engkar, mereka sudah ada untuk terus memujiNya.

وَنُقَدِّسُ لَكَ

dan menyucikan namaMu.

Malaikat membandingkan perbuatan mereka dan manusia. Malaikat akan bertasbih dan bertahmid, sedangkan manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah. Satu contoh dalam bentuk perbuatan (berbuat kerosakan dan menumpahkan darah), dan satu lagi adalah dalam bentuk sebutan (tasbih dan tahmid).

Perbuatan: buat kerosakan & menumpahkan darah (manusia)
Sebutan: tasbih & tahmid (malaikat)

Kalau difikirkan, nampak macam perbandingan itu tidak sempurna. Kalau nak bandingkan sesuatu, ianya mestilah dalam perbandingan yang sama – perbuatan dengan perbuatan dan sebutan dengan sebutan.

Manusia: buat kerosakan & menumpahkan darah
Malaikat: tidak buat kerosakan & tidak menumpahkan darah

Ini bermakna, bertasbih dan bertahmid itu bukan hanya sebutan di mulut, tetapi adalah jenis amalan perbuatan juga sebenarnya. Kalau tak faham, itulah sebabnya ada manusia yang mulutnya berzikir kepada Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka berbuat syirik dan menumpahkan darah. Mereka setakat cakap di mulut sahaja tapi tidak memberi kesan di hati dan perbuatan mereka.

قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Allah berfirman: Sesungguhnya Aku tahu apa yang engkau tidak tahu;

Apabila malaikat jawab begitu, Allah jawab balik dengan menggunakan bahasa tegas, yang Dia Maha Mengetahui apa yang malaikat tak tahu. Yang mereka cakap itu adalah hanya andaian para malaikat sahaja dan Allah Maha Tahu dan Allah akan tunjuk yang manusia ada keistimewaan yang malaikat tidak ada.

Maka jangan tanya lagi. Memang akan ada manusia yang akan berbuat kerosakan di dunia dan menumpahkan darah. Tapi Allah nak beritahu bahawa para malaikat tak tahu bahawa akan ada di kalangan manusia yang tidak sebegitu. Ada manusia yang akan beriman sempurna dan tidak melakukan syirik kepada Allah. Walaupun mereka dibekalkan dengan nafsu, tapi ada dari kalangan mereka yang jadi makhluk yang baik.


 

Ayat 31: Ayat ini setelah Nabi Adam dijadikan. Allah terus cerita kejadian selepas dijadikan dan tidak disebutkan kisah kejadian Adam itu. Kerana Al-Qur’an bukanlah buku sejarah yang ikut kronologi atau novel yang menceritakan semuanya. Ada disebut dalam hadis bagaimana Nabi Adam dijadikan jadi kena rujuk kepada hadis.

وَعَلَّمَ ءآدَمَ الأَسماءَ كُلَّها ثُمَّ عَرَضَهُم عَلَى المَلٰئِكَةِ فَقالَ أَنبِئوني بِأَسماءِ هٰؤُلاءِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

Sahih International

And He taught Adam the names – all of them. Then He showed them to the angels and said, “Inform Me of the names of these, if you are truthful.”

Malay

Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

 

وَعَلَّمَ ءآدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا

Dan Allah mengajar Nabi Adam nama-nama benda semua sekali;

Apabila sudah dijadikan benda-benda, Allah ajar nama benda-benda itu kepada Nabi Adam. Setiap benda akan ada namanya. Maka Allah ajar nama-nama benda itu. Segala benda, periuk, sendok, gelas, pokok, batu dan sebagainya. Allah beri keistimewaan kepada Nabi Adam, boleh kenal benda dan boleh ingat nama. Allah sendiri yang ajar kepada Adam.

Jadi diajarkan kepada Nabi Adam nama-nama benda itu dan kegunaannya kepada manusia. Seperti pokok yang segala macam, cara untuk menanamnya dan lain-lain lagi. Ini bermakna, ilmu tentang dunia pun dari Allah juga. Maka ingatlah yang kita semua bergantung ilmu dari Allah.

Ini penting diberitahu kerana ada yang kata memang ilmu syariat agama dari Allah tapi ilmu keduniaan datang dari manusia sendiri. Tapi dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa ilmu dunia pun dari Allah juga.

Ada juga yang mengatakan bahawa ilmu yang dimaksudkan adalah Adam diberikan dengan potensi untuk mengetahui. Bukanlah dia diberikan dengan pengetahuan tentang semua benda kerana bukan semua benda ada lagi. Tapi baginda sudah ada potensi untuk mengenalinya nanti.

ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلٰئِكَةِ

kemudian dibentangkan benda-benda itu kepada malaikat;

Allah tunjukkan barang-barang itu kepada para malaikat pula.

Ada juga pendapat yang mengatakan, asma’ (nama-nama) yang dimaksudkan adalah semua anak keturunannya. Dan kita semua dibawa ke hadapan baginda. Maknanya baginda kenal nama kita dan juga kualiti kita (kerana asma’ juga boleh bermaksud kualiti).

Ada hadis tentang perkara ini, iaitu apabila semua anak cucunya ditunjukkan kepada baginda, baginda perasan Nabi Daud a.s. kerana Nabi Daud nampak kualiti yang sama padanya dan Nabi Daud a.s. Iaitu keduanya diberikan dengan kekhalifahan di dunia. Maka Nabi Adam menghadiahkan 50 tahun dari umurnya kepada Nabi Daud a.s.

فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ

kemudian Dia berkata kepada malaikat: beritahu kepadaKu nama benda-benda ini

Setelah diajar, Allah bentangkan benda-benda itu kepada malaikat supaya malaikat boleh sebut nama benda-benda itu. Allah soal malaikat untuk sebut nama benda-benda itu.

إِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِينَ

sekiranya kamu benar. 

Sekiranya mereka benar seperti yang mereka dakwa yang makhluk yang diciptakan itu akan jadi seperti makhluk yang sudah pergi.


 

Ayat 32: Malaikat adalah sejenis makhluk yang tak makan, tak minum, tak tidur dan sebagainya. Maka, mereka tidak perlu kepada benda-benda itu. Maka Allah tidak mengajar tentang benda-benda itu kepada mereka.

قالوا سُبحٰنَكَ لا عِلمَ لَنا إِلّا ما عَلَّمتَنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَليمُ الحَكيمُ

Sahih International

They said, “Exalted are You; we have no knowledge except what You have taught us. Indeed, it is You who is the Knowing, the Wise.”

Malay

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

 

قَالُوا سُبْحٰنَكَ

Malaikat jawab: Maha Suci Engkau

Subhanallah – Maha Suci Engkau daripada jahil. Kami sahaja yang jahil, tapi Engkau tidak. Kami tidak tahu melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami. Engkau sahaja yang Maha Mengetahui.

لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا

Tidaklah ada pengetahuan pada kami melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami;

Malaikat tengok benda-benda itu tapi tak boleh nak sebut namanya.

Mungkin ada yang kata, mana adil kalau begitu – ajar nama benda-benda kepada Nabi Adam dan kemudian tanya beliau, kemudian tanya kepada malaikat tanpa diajar nama-nama benda itu. Ini bukan isu adil atau tidak. Allah beri ilmu kepada Nabi Adam dan kerana itu ada kelebihan kepada baginda. Allah boleh beri kelebihan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Itu hak Allah.

Ada juga yang kata Allah ajar juga nama benda-benda itu kepada malaikat, tapi mereka tidak boleh nak ingat. Kerana manusia seperti ada chip dalam otak untuk membolehkan kita mengingati dalam jangka yang lama. Ini pandangan kedua, dan dua-dua pendapat boleh pakai.

إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

Allah yang Maha Tahu segala-galanya, ilmu Allah tidak terbatas.

Al Hakim maksudnya Maha Bijaksana. Maha Bijaksana Engkau yang buat keputusan manakah pengetahuan yang diketahui oleh satu makhluk dan tidak yang lainnya.

Ayat ini hendak mengatakan, kalau tidak kerana kurnia Allah untuk memberikan ilmu kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Sama ada ilmu tentang agama, atau ilmu tentang kehidupan juga.


 

Ayat 33: Selepas bercakap dengan para malaikat, Allah kembali berfirman kepada Nabi Adam.

Kejadian Nabi Adam secara ringkas: Jibril disuruh mengambil bermacam jenis tanah dari seluruh pelusuk bumi dibawa ke langit untuk dijadikan Nabi Adam. Nabi Adam dicipta dengan kalimah: Kun Fayakun. Maknanya, Nabi Adam dicipta tanpa ada emak dan bapa.

قالَ يٰئآدَمُ أَنبِئهُم بِأَسمائِهِم ۖ فَلَمّا أَنبَأَهُم بِأَسمائِهِم قالَ أَلَم أَقُل لَّكُم إِنّي أَعلَمُ غَيبَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَأَعلَمُ ما تُبدونَ وَما كُنتُم تَكتُمونَ

Sahih International

He said, “O Adam, inform them of their names.” And when he had informed them of their names, He said, “Did I not tell you that I know the unseen [aspects] of the heavens and the earth? And I know what you reveal and what you have concealed.”

Malay

Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

 

قَالَ يٰئآدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ

Allah berkata kepada Nabi Adam: Ceritalah kepada mereka nama-nama benda itu;

Setelah para malaikat tidak tahu apakah nama benda-benda itu, Allah suruh Nabi Adam pula yang beritahu.

فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ

Tatkala Nabi Adam menceritakan kepada mereka nama benda-benda itu;

Huruf ‘fa’ dalam ayat ini menunjukkan Adam terus jawab. Tidak perlu fikir lama. Sebab baginda memang sudah tahu. Allah telah berikan kelebihan ilmu kepada Nabi Adam. 

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَّكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Allah berkata: Tidakkah aku telah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui apa yang ghaib yang berada di tujuh langit dan tujuh bumi

Yang tahu segala perkara ghaib hanya Allah sahaja. Maka, jangan kita kata ada makhluk lain yang tahu ilmu ghaib. Ramai yang ada masalah dengan hal ini. Ramai yang sangka ada makhluk yang tahu ilmu ghaib. Maka ini adalah fahaman syirik.

وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ

dan Aku Maha Mengetahui apa yang kamu nyatakan

Apa yang malaikat sebut, Allah tahu. Iaitu malaikat telah berkata yang manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah.

وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

dan apa yang kamu sembunyikan;

Allah juga tahu apa yang disembunyikan. Sama ada malaikat atau apa-apa sahaja makhluk yang mahu sembunyi dari Allah, Allah pasti tahu.

Persoalan di sini adalah, kenapa Allah kata ‘apa yang kamu sembunyikan’?. Takkan malaikat hendak sorok dari Allah pula. Jadi ulama’ mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah Iblis. Kerana Iblis waktu itu berada dalam kalangan malaikat.

Dialah yang menyembunyikan sesuatu. Malaikat yang lain pun tidak tahu apakah yang disimpan oleh Iblis waktu itu. Iblis sebenarnya dari kalangan jin dan sesama jin, Iblis kata Allah tidak akan buat makhluk yang lebih mulia dari mereka. Itulah yang disembunyikan oleh golongan jin. Tapi Allah tahu juga. Sama sahaja sama ada luahkan atau tidak, Allah tahu.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa manusia lebih mulia dari malaikat dan jin kerana ilmu. Kelebihan itu kerana ilmu, bukan kerana amal. Jadi kalau tiada ilmu, tiadalah kelebihan kepada kita. Maka kita kenalah prihatin kepada kelebihan kita ini. Maka, tahulah kita bahawa asal salasilah kita ini adalah hebat.

Dan ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu Makrifah. Iaitu ilmu tentang tauhid kepada Allah. Inilah ilmu yang terpenting sekali yang dengannya akan menyebabkan Allah akan masukkan hambaNya ke dalam syurga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Oktober 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s