Tafsir Surah Yusuf Ayat 31 – 33 (Nabi Yusuf ditayangkan)

Ayat 31:

فَلَمّا سَمِعَت بِمَكرِهِنَّ أَرسَلَت إِلَيهِنَّ وَأَعتَدَت لَهُنَّ مُتَّكَأً وَآتَت كُلَّ واحِدَةٍ مِنهُنَّ سِكّينًا وَقالَتِ اخرُج عَلَيهِنَّ ۖ فَلَمّا رَأَينَهُ أَكبَرنَهُ وَقَطَّعنَ أَيدِيَهُنَّ وَقُلنَ حاشَ ِللهِ ما هٰذا بَشَرًا إِن هٰذا إِلّا مَلَكٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when she heard of their scheming, she sent for them and prepared for them a banquet and gave each one of them a knife and said [to Joseph], “Come out before them.” And when they saw him, they greatly admired him and cut their hands¹ and said, “Perfect is Allāh!² This is not a man; this is none but a noble angel.”

  • So distracted were they at the sight of him.
  • In His ability to create such beauty.

(MALAY)

Maka tatkala wanita itu mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebuah pisau (untuk memotong jamuan), kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka”. Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada (keelokan rupa)nya, dan mereka melukai (jari) tangannya dan berkata: “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia”.

 

فَلَمّا سَمِعَت بِمَكرِهِنَّ أَرسَلَت إِلَيهِنَّ

Maka tatkala wanita itu mendengar rancangan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu

Akhirnya sampai juga kata-kata wanita-wanita itu kepada isteri al-Aziz itu. Dia tahulah yang mereka mencerca tindakannya dan merancang untuk menjatuhkannya. Maka dia membuat satu perancangan.

Kalimah مكر adalah sesuatu rancangan yang dilakukan secara senyap untuk menyakiti seseorang. Kalimah yang digunakan bukan كيد. Ini adalah kerana kalau كيد yang digunakan, tidak ada elemen rahsia di dalamnya dan tidak semestinya untuk rancangan menjatuhkan seseorang. Jadi kalimah مكر yang digunakan dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang niat wanita-wanita itu adalah untuk menjatuhkan wanita itu.

Dalam masa yang sama, mereka hairan juga kerana isteri al-Aziz itu boleh sanggup jatuh hati kepada kulinya sendiri. Jadi celaan mereka itu untuk mengambil kesempatan untuk tengok juga Yusuf عليه السلام itu. Mereka ingin lihat apa sangatlah Yusuf عليه السلام itu sampai boleh seorang puan jatuh hati kepadanya. Ini kerana mereka juga tentu telah mendengar desas desus tentang ketampanan Nabi Yusuf عليه السلام itu.

Rancangan wanita-wanita itu berjaya kerana isteri al-Aziz itu menghantar orang untuk menjemput mereka datang ke jamuan di rumahnya.

 

وَأَعتَدَت لَهُنَّ مُتَّكَأً

dan disediakannya bagi mereka tempat duduk,

Wanita itu sediakan tempat yang sesuai supaya mereka boleh nampak dengan jelas apa yang dia hendak lakukan. Dia sediakan tempat yang selesa dan mungkin tempat yang tinggi seperti pentas, supaya wanita-wanita yang duduk di bahagian bawah dapat lihat Yusuf عليه السلام lalu dengan jelas. Dia sengaja hendak tayang Nabi Yusuf عليه السلام kepada mereka.

 

وَآتَت كُلَّ واحِدَةٍ مِنهُنَّ سِكّينًا

dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebilah pisau

Dia pastikan setiap seorang dari mereka ada pisau yang tajam. Pisau itu untuk memotong makanan dan buah-buahan. Hebat rancangan dia.

 

وَقالَتِ اخرُج عَلَيهِنَّ

kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka”.

Kemudian dia panggil Yusuf عليه السلام keluar. Tidak pasti bagaimana keadaan itu tetapi cara yang dibuat adalah supaya mereka nampak Yusuf عليه السلام lalu di hadapan mereka dengan jelas.

 

فَلَمّا رَأَينَهُ أَكبَرنَهُ

Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepadanya,

Apabila mereka nampak sahaja Yusuf عليه السلام, mereka أَكبَرنَهُ (menyatakan kehebatan Yusuf عليه السلام). Mereka nyatakan dengan perkataan atau perbuatan mereka. Mereka amat terpesona melihat ketampanan Yusuf عليه السلام dan kerana akhlak baginda yang baik yang amat memikat hati.

Maknanya, bukan setakat tampan sahaja kerana kadang-kadang kalau tampan pun, tetapi perangai tidak semestinya baik malah menjelekkan. Maka kita tahulah perawakan Nabi Yusuf عليه السلام secara keseluruhannya amat memikat hati mereka sampaikan mereka terpesona sungguh.

 

وَقَطَّعنَ أَيدِيَهُنَّ

dan mereka melukai (jari) tangan mereka

Mereka terpegun, mata tidak berkelip dan mereka leka melihat baginda sampai mereka tidak sedar mereka terpotong tangan mereka sendiri. Waktu itu tangan mereka sedang memotong makanan, dan bila tengok Nabi Yusuf عليه السلام lalu, mereka terus juga potong makanan supaya tidak nampak terpegun sangat. Tetapi mereka tidak tumpukan perhatian semasa memotong, jadi sampai mereka terluka tangan/jari mereka sendiri.

Apabila seorang terluka tangannya, isteri al-Aziz suruh Yusuf عليه السلام yang balut dan yang lain pun hendak juga dibalut oleh Yusuf عليه السلام, maka mereka yang tidak luka tangan pun telah melukakan tangan mereka supaya Nabi Yusuf عليه السلام pun membalut tangan mereka juga. Sebab itu digunakan kalimah وَقَطَّعنَ, yang bermaksud ‘terus memotong’. Maknanya ada yang sengaja memotong jari mereka sendiri kerana hendak mendapatkan perhatian daripada Nabi Yusuf عليه السلام.

 

وَقُلنَ حاشَ ِللهِ

dan berkata: “Maha sempurna Allah,

Kalimah حاشَ ِللهِ digunakan untuk menunjukkan ketakjuban mereka. Mereka membesarkan Allah ‎ﷻ juga dalam masa yang sama. Mereka memuji ciptaan Allah ‎ﷻlah kiranya.

 

ما هٰذا بَشَرًا إِن هٰذا إِلّا مَلَكٌ كَريمٌ

ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia”.

Mereka kata hebat sangat Nabi Yusuf عليه السلام sampaikan bukan tahap manusia lagi, malah sudah mencapai tahap malaikat. Mereka kata, ini bukan manusia kerana tampan dan akhlak yang amat baik. Juga mereka tahu yang baginda bersifat mulia kerana tidak  melakukan dosa dengan isteri al-Aziz, sedangkan jika baginda inginkan sesiapa sahaja, tentu boleh boleh dapat.


 

Ayat 32:

قالَت فَذٰلِكُنَّ الَّذي لُمتُنَّني فيهِ ۖ وَلَقَد راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ فَاستَعصَمَ ۖ وَلَئِن لَم يَفعَل ما آمُرُهُ لَيُسجَنَنَّ وَلَيَكونًا مِنَ الصّاغِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

She said, “That is the one about whom you blamed me. And I certainly sought to seduce him, but he firmly refused; and if he will not do what I order him, he will surely be imprisoned and will be of those debased.”

(MALAY)

Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina”.

 

قالَت فَذٰلِكُنَّ الَّذي لُمتُنَّني فيهِ

Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, 

Isteri al-Aziz pulangkan balik paku buah keras – itulah dia orang yang kamu kutuk aku dahulu dan kamu hairan bagaimana aku boleh jatuh cinta kepada kuli aku, bukan? Sekarang kamu tengok sekali sahaja pun telah kerat jari dan puji dia melambung tinggi sampai kata dia malaikat! Bayangkan aku pula sudah pelihara dia dari kecil lagi dan setiap hari ada bersama dengannya.

 

وَلَقَد راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ فَاستَعصَمَ

dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. 

Dia mengaku yang dia memang jatuh hati kepada Yusuf عليه السلام dan memang dia sudah cuba menggoda Nabi Yusuf عليه السلام untuk melakukan penzinaan dengannya. Sekarang kita boleh lihat yang dia tidak malu pun untuk mengaku begitu.

Kalimah فَاستَعصَمَ bermaksud Nabi Yusuf عليه السلام terus berpegang kuat dengan prinsip dan agama. Apabila ada wazan اس, ia bermaksud cubaan – Nabi Yusuf عليه السلام cuba untuk berpegang kuat. Kerana itulah baginda telah menolak godaan dari puannya itu.

 

وَلَئِن لَم يَفعَل ما آمُرُهُ

Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, 

Tetapi isteri itu kata dia tidak akan berhenti menggoda Yusuf عليه السلام. Walaupun dahulu Nabi Yusuf عليه السلام sudah tolak, tetapi dia bertekad akan berusaha lagi. Dia masih tidak berputus asa walaupun telah jelas dia bersalah dahulu dan suaminya pun sudah tahu apa yang berlaku.

 

لَيُسجَنَنَّ وَلَيَكونًا مِنَ الصّاغِرينَ

nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina”.

Kali ini kalau Yusuf عليه السلام tidak berbuat apa yang dia suruh, dia akan masukkan Yusuf عليه السلام ke dalam penjara. Nabi Yusuf عليه السلام akan menjadi orang yang hina sebab kena duduk dalam penjara.

Begitulah jenis perempuan yang sanggup berbuat apa sahaja kalau mereka sudah hendakkan sesuatu dan tidak fikirkan kesannya lagi. Memang ada wanita yang macam itu. Sebab itulah Allah ‎ﷻ ceritakan dalam Qur’an tentang wanita jenis macam ini. Kita kena berhati-hati dengan wanita yang sebegini kerana mereka sudah tidak ikut akal yang waras lagi.

Oleh itu kita boleh lihat bagaimana wanita ini bukanlah wanita yang baik. Kita tidak dapat menerima dengan mudah kisah yang mengatakan dia adalah Zulaikha yang akhirnya jadi orang baik dan kemudian Nabi Yusuf عليه السلام pula yang terpikat dengannya dan kemudian berkahwin dengannya.

Ini adalah kerana tidak ada kisah yang sahih tentang perkara itu. Jadi kita hanya ada kisah dalam Qur’an yang mengatakan dia itu adalah wanita yang teruk. Kalau hendak mengatakan yang dia berubah menjadi baik dan akhirnya berkahwin dengan Nabi Yusuf عليه السلام, maka kenalah ada riwayat yang sahih. Ini kerana kalau Nabi Yusuf عليه السلام diperlakukan seperti yang disebut dalam ayat ini, tentulah tidak mudah Nabi Yusuf عليه السلام memaafkannya.


 

Ayat 33:

قالَ رَبِّ السِّجنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمّا يَدعونَني إِلَيهِ ۖ وَإِلّا تَصرِف عَنّي كَيدَهُنَّ أَصبُ إِلَيهِنَّ وَأَكُن مِنَ الجاهِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, prison is more to my liking than that to which they invite me. And if You do not avert from me their plan, I might incline toward them and [thus] be of the ignorant.”

(MALAY)

Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.

 

قالَ رَبِّ السِّجنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمّا يَدعونَني إِلَيهِ

Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku.

Nabi Yusuf عليه السلام dengar ancaman daripada wanita itu untuk memasukkannya ke dalam penjara atau diseksa (kalau tidak mengikut kehendaknya). Sebenarnya, wanita itu hendakkan Yusuf عليه السلام memasuki penjara bukan untuk hukum baginda, tetapi mahukan baginda mengalah sahaja dan mengikut cakapnya.

Sebab itu tidak ada penghakiman pun bila hendak memasukkan baginda ke dalam penjara (untuk dimasukkan dengan cara yang benar, kenalah ada perbicaraan). Oleh itu, dia masukkan dengan cara yang salah iaitu dengan membisikkan sahaja kepada suaminya. Suaminya itu pula kalah dengan isteri sendiri.

Apabila Nabi Yusuf عليه السلام dengar apa yang wanita itu hendak buat, baginda pun berdoa kepada Allah ‎ﷻ seperti dalam ayat ini. Inilah yang kita selalu lihat Nabi Yusuf عليه السلام dan Nabi-nabi lain buat – selalu berdoa kepada Allah ‎ﷻ, mengadu kepada Allah ‎ﷻ dan inilah yang kita harus contohi. Kita kena ikut cara mereka dengan berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ kerana kita hamba yang lemah. Apa-apa hal pun mengadu kepada Allah ‎ﷻ, kemudian usaha untuk buat apa yang kita mampu.

Kalau kita lihat doa baginda, kita boleh lihat yang kalimah yang digunakan adalah مِمّا يَدعونَني yang bermaksud ‘mereka’ yang berkehendak (bukan wanita itu seorang sahaja). Tetapi bukankah isteri al-Aziz itu sahaja yang pujuk baginda? Memang sekarang doa baginda terhadap mereka kerana sekarang mereka beramai-ramai memujuk baginda untuk mengikut kata wanita itu.

Waktu itu terus Nabi Yusuf عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Baginda tidak cakap ‘tentang’ Allah ‎ﷻ, tetapi bercakap ‘dengan’ Allah ‎ﷻ. Baginda berdoa itu di hadapan wanita-wanita itu, supaya mereka pun dengar juga keputusan baginda. Nabi Yusuf عليه السلام mengadu kepada Allah ‎ﷻ yang baginda lebih rela duduk dalam penjara daripada kalah dengan ugutan wanita itu.

 

وَإِلّا تَصرِف عَنّي كَيدَهُنَّ أَصبُ إِلَيهِنَّ

Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) 

Baginda terus mengadu: kalau Allah ‎ﷻ tidak bantu untuk menghilangkan rancangan mereka, baginda akan أَصبُ (cenderung). Kalimah أَصبُ juga digunakan untuk menyebut sifat kebudakan – buat sesuatu seperti budak yang tidak berfikir panjang.

Jadi Nabi Yusuf عليه السلام berlindung daripada menjadi begitu dan baginda mengaku yang Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat menjaga hatinya. Begitulah juga dengan kita, kadang-kadang kita hendak lawan, akan kalah juga kerana kita tidak kuat melawan kehendak nafsu kita. Mintalah tolong kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ yang jaga hati-hati kita.

 

وَأَكُن مِنَ الجاهِلينَ

dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.

Baginda mengaku yang kalau baginda mengikut saranan wanita-wanita itu, tentu baginda menjadi orang yang jahil. Kenapa pula jahil ada dalam perkara ini? Kita kena faham maksud jahil itu sendiri.

Kalimah ‘jahil’ adalah seseorang yang tidak dapat mengawal emosi dan ikut kehendak hati sahaja (dan tidak mengikut akal) maknanya, melakukan maksiat walaupun sudah tahu ia adalah termasuk dalam golongan yang jahil.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s