Tafsir Surah Baqarah Ayat 27 – 29 (Siapakah yang fasiq?)

Ayat 27: Sebelum ini telah disebut yang orang yang disesatkan oleh Al-Qur’an itu adalah orang-orang  yang fasik. Siapakah orang yang fasik itu? Sekarang disebut kriteria mereka.

الَّذينَ يَنقُضونَ عَهدَ اللهِ مِن بَعدِ ميثٰقِهِ وَيَقطَعونَ ما أَمَرَ اللهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيُفسِدونَ فِي الأَرضِ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Sahih International

Who break the covenant of Allah after contracting it and sever that which Allah has ordered to be joined and cause corruption on earth. It is those who are the losers.

Malay

(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.

الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللهِ

Orang-orang yang merombak perjanjian dengan Allah

Ayat ini ditujukan kepada Yahudi dan Musyrikin Mekah. Mereka merobohkan perjanjian untuk menegakkan agama tauhid. Atau, mereka sudah janji nak ikut keseluruhan agama, tapi kemudian mereka terima sebahagian dan tolak sebahagian.

مِنْ بَعْدِ مِيثٰقِهِ

selepas mereka mengambil perjanjian itu;

Perjanjian antara Allah dengan mereka adalah mereka telah mengucap ‘la ilaha illa Allah’, Muhammadur Rasulullah. Itulah perjanjian kita dengan Allah. Mengaku untuk puja dan sembah Allah sahaja, dan Nabi Muhammad itu kita mengaku sebagai rasul kita.

Kalau syahadah orang Yahudi, mereka akan kata bahawa Nabi mereka adalah rasul mereka: contohnya, yang pada zaman Nabi Musa akan kata: Musa Rasulullah. Dan seterusnya.

Tapi malangnya, ada yang cipta sendiri syariat ugama  yang tidak pernah diajar oleh Allah atau Nabi. Itulah amalan yang dinamakan bidaah. Itu dipanggil mereka-reka syariat agama sendiri kerana Nabi tidak pernah ajar. Kalau bukan yang dari Nabi ajar, maknanya itu kita buat ugama sendiri.

Itulah kenapa berat sekali kalau kita buat amalan bidaah. Bukanlah kesalahan itu kesalahan yang ringan seperti yang disangka oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia ini. Setiap kali melakukan amalan yang bukan dari syariat Islam yang diajar oleh Nabi, setiap kali itu Allah akan memberikan hijab kepada mereka. Akhir sekali, sampai kepada satu tahap dimana terkunci mati terus hati mereka.

Selain dari syahadah yang kita telah lakukan, ada satu lagi perjanjian yang kita telah buat dengan Allah sebelum kita lahir ke dunia ini lagi. Semasa kita di alam roh lagi, Allah telah mengambil perjanjian dengan kita. Iaitu apabila Allah berkata: “ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ?” – bukankah Aku Tuhan kamu semua? (rujuk A’raf:172). Maknanya semasa kita di alam roh lagi kita telah mengaku bahawa Allah itu adalah Tuhan kita sebelum kita lahir ke dunia lagi. Inilah perjanjian semua orang, tidak kira sama ada dia seorang Muslim atau tidak.

وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللهُ بِهِ

dan mereka memutuskan suruhan Allah;

Allah suruh buat lain, mereka buat lain. Yang Allah tak suruh, mereka buat pula. Contohnya, mereka buat amalan bidaah. Amalan itu tidak pernah Nabi ajar. Siap reka beri pahala lagi – kalau zikir begini, dapat sekian banyak pahala dan sebagainya – padahal tidak ada dalil.

Yang boleh beritahu apakah ada pahala atas sesuatu amalan itu hanyalah Allah dan Nabi sahaja. Jadi, kalau mereka sendiri yang cakap pahala sekian-sekian banyak, maka mereka telah ambil tugas Nabi – itu adalah dosa yang amat besar. Macam-macam zikir yang direka oleh manusia.

Contohnya mereka kata kalau zikir selawat fi kulli lamhatin, pahalanya sebesar langit dan bumi. Berapa banyakkah umat Islam di Malaysia ini yang mengamalkan zikir yang sesat ini? – amat banyak sekali. Kadang-kadang yang mengamalkan amalan zikir itu, tak tahu pun amalan itu datang daripada mana, siapakah yang mula-mula membuat amalan itu. Yang pastinya, amalan itu bukan datang dari Nabi. Kalau bukan datang dari Nabi, maka ianya tertolak. Langsung tidak ada pahala.

Ayat ini juga bermaksud mereka memutuskan silaturrahim, iaitu apa yang Allah taala suruh kita sambungkan. Maksud ‘silaturrahim’ pula adalah perhubungan antara keluarga, kerana mereka yang berkongsi ‘rahim’ dengan kita. Bukanlah dengan semua orang.

أَنْ يُوصَلَ

untuk disambung;

Iaitu untuk menyambungkan silaturrahim dan persahabatan Islam.

Memang ada beberapa pendapat tentang apakah yang disuruh sambungkan itu. Pertamanya, ada yang kata perhubungan silaturrahim ini adalah antara ummah. Maka, orang yang memutuskan hubungan silaturrahim itu tidak kisah apakah yang berlaku kepada saudara seislam kita di negara lain.

Keduanya, hubungan antara keluarga kita sendiri. Kita boleh lihat bahawa orang-orang fasik itu ada masalah dalam keluarga mereka. Mereka berkelahi sesama mereka, sesama adik-beradik, ibubapa dan sebagainya. Dengan orang lain boleh pula berbaik, tapi kalau dengan ahli keluarga sendiri, bermasam muka.

Ketiganya, memutuskan antara Al-Qur’an dan Nabi. Mereka terima Al-Qur’an, tapi mereka tidak terima Nabi Muhammad. Dari zaman Nabi lagi, sudah ada orang yang bersikap begini. Apabila sesuatu hukum diturunkan, mereka akan tanya: “Ini dari Allah atau dari Nabi?”.

Padahal, apa sahaja yang Nabi sebut (tentang agama) adalah dari Allah. Maka, pada zaman sekarang, sudah timbul banyak kumpulan yang tidak menerima hadis Nabi lagi. Kononnya mereka hanya menerima Al-Qur’an sahaja. Itu adalah kumpulan-kumpulan yang sesat.

وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ

Dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi

Mereka melakukan kerosakan dengan melakukan amalan-amalan yang di luar syariat. Iaitu amalan yang bukan agama tapi mereka kata ianya adalah agama. Juga boleh bermaksud mereka yang melakukan amalan-amalan yang telah mansukh dalam agama.

Sebagai contoh, syariat agama lain sebelum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad, telah dimansukhkan dengan turunnya Al-Qur’an. Mereka juga melakukan maksiat dalam perkara agama.

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang seperti itu

Yang mempunyai sifat-sifat yang disebut di atas.

هُمُ الْخٰسِرُونَ

adalah mereka yang paling rugi sekali;

Mereka rugi di dunia sampai ke akhirat.

Kalau kita lihat, yang berbuat kerosakan di dunia itu akan menyusahkan orang lain. Tapi Allah kata dalam ayat ini, mereka yang berbuat kerosakan itulah yang rugi sendiri. Ini adalah kerana, balasan yang mereka akan dapat di akhirat nanti adalah lagi teruk dari kerosakan yang mereka lakukan semasa di dunia.


 

Ayat 28: Ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Mekah dan tidak termasuk orang Yahudi.

كَيفَ تَكفُرونَ بِاللهِ وَكُنتُم أَموٰتًا فَأَحيٰكُم ۖ ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

How can you disbelieve in Allah when you were lifeless and He brought you to life; then He will cause you to die, then He will bring you [back] to life, and then to Him you will be returned.

Malay

Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللهِ

Bagaimana kamu boleh kufur dengan Allah?;

Allah tanya macam mana lagi manusia itu boleh kufur? Kenapakah manusia boleh kufur? Padahal Allahlah yang menjadikan mereka.

وَكُنْتُمْ أَمْوٰتًا

sedangkan kamu dulu tidak ada pun;

Maksudnya dahulu mereka itu mati, tidak pernah wujud. Tidak dikenali langsung oleh manusia. Mereka tidak ada apa-apa langsung.

فَأَحْيٰكُمْ

Kemudian Allah menghidupkan kamu

Allah lahirkan mereka dalam dunia ini. Allah beri segala keperluan dalam kehidupan. Ramai dari mereka yang kufur itu telah diberi dengan kesenangan keduniaan.

ثُمَّ يُمِيتُكُمْ

kemudian Allah mematikan kamu

Setelah menjalani kehidupan di dunia, apabila sampai ajal, akan matilah kita semua.

ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

kemudian menghidupkan kamu semula

Kita akan dihidupkan semula dan akan dikumpul di Mahsyar. Golongan yang kufur itu tidak sedar atau buat-buat lupa tentang perkara ini. Mereka tidak kisah tentang kehidupan mereka setelah mati. Mereka hanya nampak kehidupan dalam dunia sahaja.

ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kamu akan kembali akan jumpa Dia

Kita akan dihadapkan kepada Allah untuk menghadapi perbicaraan di Mahsyar.

Maknanya kita dua kali mati dan dua kali hidup. Ayat ini memberi ringkasan hidup manusia. Dari tidak ada kepada ada – kemudian mati – kemudian akan dihidupkan kembali.

Ini adalah dalil aqli tentang Qudrat Allah. Ia dinamakan Dalil aqli anfusi. Iaitu Allah suruh lihat pada diri kita sendiri.

Musyrikin Mekah bukan tolak Allah, tapi mereka tolak konsep tauhid kepada Allah. Kerana mereka kenal yang Allah itu Tuhan. Tapi dalam masa yang sama, mereka banyak buat perkara yang syirik. Maka kita kena belajar apakah fahaman syirik mereka kerana banyak dari fahaman mereka itu sebenarnya diamalkan pun oleh orang Muslim tanpa mereka sedari (kerana jahil). Ini akan disebut dengan panjang lebar dalam ayat-ayat tentang syirik nanti.


 

Ayat 29: Ini adalah ayat dalil kenapakah kita kena puja dan sembah Allah sahaja. Ini adalah dalil aqli afaqi. Allah suruh kita lihat kepada alam. Allah bukan sahaja menjadikan diri kita sahaja seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, tapi Allah juga menjadikan segala alam ini. Iaitu apa sahaja di permukaan bumi.

هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم مّا فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ فَسَوّٰهُنَّ سَبعَ سَمٰوٰتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sahih International

It is He who created for you all of that which is on the earth. Then He directed Himself to the heaven, [His being above all creation], and made them seven heavens, and He is Knowing of all things.

Malay

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Dialah Dzat yang menciptakan untuk kamu semua yang ada di bumi;

Allah jadikan alam dunia ini bagi kegunaan kita. Antaranya Allah telah jadikan bumi ini rata untuk kita boleh diami di dalamnya, rumput untuk makanan binatang ternak. Walaupun kita tak makan rumput itu, tapi kita pula makan binatang. Allah juga telah cipta udara untuk kita, pokok dan sebagainya. Terlalu banyak yang telah diciptakan untuk kita.

Semuanya diciptakan untuk kita. Bukan untuk orang Islam sahaja, tapi semua manusia.

Syurga juga telah dijadikan untuk manusia. Tapi ianya orang yang beriman sahaja. Maka untuk sampai ke syurga, dunia ini perlu dijadikan sebagai landasan untuk pulang ke syurga. Jadikan dunia yang Allah jadikan untuk kita ini tempat untuk mengumpul pahala, bukannya mengumpul dosa.

ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ

kemudian Dia fokus kepada langit pula;

Ini adalah ayat mutasyaabihaat. Kita tidak tahu apakah maknanya. Seperti juga kita tidak tahu makna alif, lam, mim di awal surah Baqarah ini, begitu juga kita tidak tahu makna ayat ini.

فَسَوّٰهُنَّ سَبْعَ سَمٰوٰتٍ

Dan Allah ciptakan langit itu pula dalam tujuh lapis;

Ianya bukan bermaksud ‘berkeping-keping’, tapi ‘berkubah’. Dalam bentuk sfera. Langit pertama meliputi dunia, langit kedua meliputi langit pertama, akhirnya langit ketujuh meliputi langit keenam. Akhirnya, Arash meliputi semua sekali.

Dan Allah bersemayam (istiwa’) atas Arash – macam mana Allah bersemayam, kita tak tahu. Dan kita tidak perlu tahu pun. Yang pasti, tidaklah kita kata Allah berjisim dan berjirim. Perkara ini tidak pernah kita cakap. Cuma puak yang menentang sunnah, menuduh kita (yang hendak kepada ajaran Sunnah ini) mengatakan Allah berjisim dan berjirim pula.

Amat buruk sekali tuduhan mereka itu. Mereka salahkah kita atas perkara yang kita tidak pernah cakap pun.

وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Dan Dia terhadap segala sesuatu itu, Maha Mengetahui;

Allah nak beritahu bahawa hanya Dialah yang Maha Tahu. Kita tak perlu ambil tahu perkara yang kita tak perlu ambil tahu. Kita tidak akan capai tahap untuk tahu. Sedangkan apa yang ada di dunia ini pun kita tidak dapat tahu semuanya, apatah lagi untuk mengetahui tentang apa yang ada di langit dan di Arash.

Kita hanya perlu tahu bahawa Allahlah yang Maha Mengetahui. Allah nak ajar kepada kita yang baca Al-Qur’an ini, yang Allah ada Qudrat yang sempurna dan juga ilmu yang sempurna.

Bukannya nak berbincang panjang lebar tentang keberadaan Allah. Itu adalah perbincangan yang buang masa. Kita tidak perlu nak tahu bagaimana Allah bersemayam di Arash. Tak perlu fikirkan dan tidak perlu tanya.

Habis Ruku’ 3 dari 40 surah ini

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Oktober 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 27 – 29 (Siapakah yang fasiq?)”

  1. Assalam.
    Tuan, saya ingin bertanya..
    Adakah kita hanya boleh menyebut atau mengucap ‘LA ILAHA ILLAH ALLAH’, MUHAMMADUR RASULLAH ‘ sahaja TETAPI tidak boleh digunakan untuk berzikir.. betul ker tuan? Mohon maaf tuan jika saya terkhilaf tentang perkara tersebut.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s