Ayat 25: Ini adalah ayat tabshir – berita gembira. Berita gembira kepada orang-orang beriman. Apabila kita sudah terima Allah yang Maha Esa, dan terima Nabi Muhammad sebagai Rasul, dan kita terima cara hidup yang diredhai oleh Allah, kita akan berjaya.
وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِّزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ ۖ وَأُتوا بِهِ مُتَشٰبِهًا ۖ وَلَهُم فيها أَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ ۖ وَهُم فيها خٰلِدونَ
And give good tidings to those who believe and do righteous deeds that they will have gardens [in Paradise] beneath which rivers flow. Whenever they are provided with a provision of fruit therefrom, they will say, “This is what we were provided with before.” And it is given to them in likeness. And they will have therein purified spouses, and they will abide therein eternally.
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
وَبَشِّرِ الَّذِينَ ءآمَنُوا
Dan berilah berita gembira kepada orang beriman sempurna,
Iaitu mereka yang tidak buat syirik kepada Allah. Itulah yang bermaksud beriman sempurna, kerana kalau beriman sahaja tidak cukup. Kerana ada yang beriman dengan Allah, tapi dalam masa yang sama, dia beriman kepada entiti selain Allah juga.
Mereka sangka ada entiti selain Allah yang ada kuasa Allah walaupun tidak selengkap kuasa Allah. Itu maksudnya iman mereka tidak sempurna.
Dalam ayat ini, Allah suruh Nabi Muhammad yang beritahu kepada orang yang beriman itu. Allah tak terus berikan sendiri berita gembira itu. Ini adalah kerana orang yang beriman, kena juga percaya kepada Nabi Muhammad. Tidak boleh hanya percaya kepada Allah sahaja.
Tambahan pula Al-Qur’an yang disampaikan ini disampaikan dari mulut Nabi kepada kita. Kalau kita tak percaya Nabi, macam mana boleh kita nak percaya Al-Qur’an dan Allah? Sedangkan kita tidak dapat melihat Allah. Maka, keimanan itu bukan hanya percaya kepada Allah, tapi memerlukan kita percaya kepada Nabi Muhammad juga. Jadi, dalam ayat ini juga adalah konsep Risalah yang disampaikan.
وَعَمِلُوا الصّٰالِحٰتِ
dan mereka beramal soleh
Iaitu dengan melakukan amalan sepertimana yang diajar oleh Nabi. Allah mengkhususkan dalam ayat ini, bukan setakat ‘beriman’ sahaja, tapi kenalah buat amalan yang baik – amal soleh. Dan amalan yang soleh dan baik itu adalah apa yang diajar dan dibuat oleh Nabi. Bukan yang kita reka sendiri.
Amalan yang diterima hanyalah amalan yang soleh. Bukan ‘amalan’ sahaja, tapi ‘amalan yang soleh’. Iaitu amalan yang menepati seperti yang diajar oleh Nabi. Oleh itu, kalau amalan itu adalah amalan bidaah seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Muslim kita sekarang, ianya tidak diterima.
Kalau Allah sebut ‘orang-orang yang beriman’ sahaja, ia mungkin masuk orang-orang yang beriman sedikit sahaja, atau orang munafik, sebab mereka pun mengaku beriman juga. Jadi, Allah masukkan sekali dengan satu lagi syarat – beramal soleh.
أَنَّ لَهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ
sesungguhnya bagi mereka itu kebun-kebun Syurga yang mengalir di bawahnya, anak-anak sungai;
Allah sebut ‘sungai-sungai’ mengalir di bawah syurga. Kenapa? Manusia memang sukakan air. Kalau sekarang pun, kalau rumah itu jenis yang oceanview, harganya akan mahal. Itu adalah kawasan perumahan yang paling mahal. Sebab naluri manusia memang suka kepada air.
Yang lagi mahal adalah rumah yang di bawahnya adalah air. Allah beri perumpamaan kepada manusia bahawa kalau mereka beriman sempurna, mereka akan diberikan dengan rumah yang amat hebat.
Naluri manusia memang hendakkan tempat tinggal yang baik. Selagi tidak ada rumah, selagi itu mereka rasa tidak lengkap. Ramai yang sanggup berhutang bertahun-tahun asalkan mereka ada rumah yang mereka boleh kata itu adalah rumah mereka sendiri.
Allah nak kata bahawa Dia boleh bagi rumah yang paling baik kepada mereka. Tidak ada rumah yang lagi baik dari tempat tinggal yang Allah akan berikan ini. Tambahan pula, pendengar ayat ini yang awalnya adalah para sahabat yang telah berkorban meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah.
Allah nak sejukkan hati mereka dengan mengatakan bahawa mereka akan diberikan rumah yang lagi baik dari yang mereka tinggalkan itu. Pengorbanan mereka tidak sia-sia.
كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِّزْقًا
Setiap kali mereka diberi daripada buah-buah syurga sebagai rezeki;
Di syurga nanti, bermacam-macam buah mereka boleh dapat. Bukan hanya buah yang mereka pernah lihat di dunia, tapi buahan yang mereka tidak pernah lihat pun mereka akan dapat juga nanti.
قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ
mereka berkata: ini adalah buah yang pernah diberi kepada kami
Mereka kata rezeki itu pernah diberi dahulu kepada mereka. Ada dua kemungkinan: sama ada diberi semasa di dunia dahulu atau telah diberikan di akhirat sebelum itu.
Oleh itu, mungkin penghuni syurga diberi sesuatu yang nampak macam sama dengan apa yang ada semasa di dunia. Mungkin nampak macam durian, tapi tentunya rasa yang lain. Ianya nampak sama, tapi rasanya lebih sedap lagi dari buah durian dunia.
Atau, kalau yang dimaksudkan adalah benda sama seperti yang pernah diterima sebelum itu di akhirat, maknanya mereka sudah pernah makan. Iaitu ianya yang mempunyai rupa yang sama, tapi rasa sudah berlainan. Kerana ianya bertambah sedap lagi.
Kata-kata mereka ini bukan nak menunjukkan bahawa apabila mereka nampak buah itu, mereka rasa tak suka sebab dapat buah yang sama. Tidak begitu. Mereka suka apabila nampak buah itu lagi. Sebab mereka sudah pernah makan, dan mereka tahu buah itu sedap sangat. Bukankah pernah kita makan sesuatu yang kita ingat makanan itu sedap, dan apabila kita jumpa lagi, kita nak makan lagi sebab kita masih ingat kesedapan makanan itu? Tentu ada. Beginilah perasaan mereka.
وَأُتُوا بِهِ مُتَشٰبِهًا
yang serupa diantara satu sama lain;
Buah itu nampak macam sama dengan buah yang mereka pernah rasa dulu. Dan mereka ingat lagi memang buah itu sedap. Tapi, buah-buah yang mereka makan berubah-ubah menuju kepada kesempurnaan. Ianya lagi sedap dari apa yang mereka pernah makan dulu. Nampak sahaja sama.
Kemudian nanti, mereka akan diberikan dengan buah yang nampak sama. Waktu itu pun mereka ingat sedap lagi, macam yang mereka pernah makan, tapi ianya akan jadi lagi sedap lagi. Masya Allah, semoga kita dapat menikmati kenikmatan itu nanti.
Begitu juga dengan orang yang duduk dalam syurga itu sendiri, mereka semakin lama semakin cantik. Semua perkara semakin sedap, semakin wangi dan sebagainya. Tidak akan jemu-jemu, sampai bila-bila.
وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ
Dan bagi mereka itu pasangan yang suci bersih;
Rumah tidak lengkap jikalau tidak ada pasangan. Berkenaan tempat tinggal dan makanan telah disebut dengan hebat tadi. Sekarang, Allah sebut yang Allah tambah kehidupan yang hebat itu dengan pasangan hidup.
Iaitu pasangan yang tidak ada perasaan hasad dengki, cemburu, riak dan sebagainya. Tuhan sudah buang belaka perasaan yang tidak elok itu. Pasangan itu suci dari segi perangai, percakapan mereka dan sebagainya. Tidak ada najis keluar dari mereka.
Dalam syurga, tidak akan ada yang buang najis. Makan banyak mana pun, tidak perlu pergi ke tandas untuk buang air. Ianya akan keluar sebagai peluh dan peluh itu berbau wangi.
Oleh itu, pasangan yang diberikan adalah yang suci bersih. Iaitu suci bersih dari segi fizikal dan dari segi akhlak. Tidak ada kekotoran apa-apa macam pasangan yang di dunia. Dan bukan itu sahaja, akhlaknya pun amat molek sekali. Kerana di dunia, ada orang yang cantik tapi perangai tak molek. Tapi di syurga nanti, penghuni syurga akan diberi pasangan yang molek fizikalnya dan molek akhlaknya.
وَهُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
Mereka duduk dalam syurga kekal buat selama-lamanya;
Kalau duduk sebentar pun tak hebat. Kerana nikmat yang tidak kekal bukanlah nikmat sebenarnya. Syurga tidak macam kehidupan di dunia kerana kita tinggal untuk beberapa waktu sahaja. Kerana kehidupan di syurga akan berkekalan sampai bila-bila. Penghuninya akan mengecapi kenikmatan selama-lamanya.
Kalau di dunia, kita tidak boleh kata kita akan dapat tinggal di sesuatu tempat itu sampai bila-bila. Sesiapa pun tidak boleh kata begitu. Kerana belum tentu lagi dia berterusan di situ. Berapa banyak manusia yang sangka mereka akan tinggal terus di sesuatu negara, tapi terpaksa meninggalkan negara yang mereka sayangi kerana peperangan dan sebagainya?
Allah beri jaminan bahawa tempat tinggal mereka di Syurga itu nanti adalah yang kekal abadi. Semoga kita semua menjadi ahli Syurga hendaknya. Mereka akan hidup bergembira dalam keredhaan Allah. Semoga Allah memilih kita untuk memasuki syurga dan tinggal selama-lamanya di sana. Ameen.
Ayat 26: Ayat ini adalah jawapan bagi kesamaran kedua. Kesamaran pertama, mereka tidak yakin yang Al-Qur’an itu dari Allah. Maka Allah cabar mereka untuk buat surah yang sama dengan Al-Qur’an. Maka, tentunya mereka tidak boleh buat.
Ini pula adalah kesamaran kedua. Manusia, apabila mereka tidak boleh lawan dengan menggunakan hujah, mereka mula akan menghina. Mereka beri gelaran untuk menghina dan memberi aib. Ini datang dari bisikan syaitan. Ini adalah sifat manusia yang mudah termakan dengan bisikan syaitan.
Selepas tidak dapat mendatangkan surah yang sama macam Al-Qur’an, puak kafir Mekah telah kritik Al-Qur’an. Kata mereka ada kekurangan dalam Al-Qur’an. Tapi hujah mereka itu amat lemah sekali.
Sama macam puak bidaah sekarang, apabila kita berhujah dengan mereka, kita katakan kepada mereka yang dalil itu kenalah yang sahih dan sarih. Janganlah pakai ambil sahaja dalil yang tidak kena. ‘Sahih’ itu adalah yang sungguh Nabi ada kata. ‘Sarih’ pula bermaksud ‘jelas’.
Selalunya, puak bidaah akan keluarkan hadis yang tidak sahih. Dan kadang-kadang puak bidaah akan keluarkan dalil yang memang sahih dari Nabi tapi tidak sesuai dikaitkan dengan perbincangan dan perdebatan. Sebagai contoh, kalau berbincang tentang puasa, kenalah hadis yang dibawa memang berkenaan dengan puasa.
Janganlah hadis tentang solat dipusing kepada hujah puasa pula. Oleh itu, kita kena ingat, hanya dalil yang sahih dan sarih sahaja yang boleh digunakan sebagai dalil.
Dan kalau perbincangan tentang akidah, kena pakai dalil yang qat’ie (Artinya: “suatu (nas) yang menunjukkan kepada makna tertentu yang difahami dari nas itu dan tidak mengandung kemungkinan ta’wil (interpretasi) serta tidak ada tempat peluang untuk memahami makna selain makna tersebut dari kata itu”).
Maka, kalau pakai hadis, kena pakai hadis yang statusnya sahih. Kena pastikan status hadis itu supaya dipastikan ianya benar. Boleh dipakai kalau dikuatkan dengan dalil-dalil yang lain. Ini memerlukan pembelajaran. Kena difahami sesuatu hadis itu dengan pemahaman ulama’ salaf.
Ini adalah kerana kita nak jaga kesucian agama. Terutama kalau hal akidah, kita kena amat berjaga-jaga. Agama Islam ini bukan agama sebarangan, ianya adalah agama yang hebat. Maka, untuk mendapat dalil yang sahih dan sarih itu, kenalah datang belajar.
Maka, orang yang degil akan menggunakan kata-kata yang buruk apabila mereka tidak ada hujah. Mereka nak burukkan juga perkara yang benar supaya ditolak oleh manusia yang lain. Mereka nak jatuhkan juga orang lain. Mereka akan burukkan individu yang beri hujah itu. Jadi ayat ini adalah kritikan mereka yang jahil untuk mencela Al-Qur’an.
Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini, sama ada Musyrikin Mekah atau Yahudi. Memang mereka tak boleh lawan hujah-hujah kuat yang diberikan oleh Allah. Maka Musyrikin Mekah yang kehabisan idea telah pergi ke Madinah (yang bernama Yathrib waktu itu) untuk berjumpa dengan pendita-pendita Yahudi sebab nak cari hujah untuk lawan Nabi Muhammad.
Tujuan mereka hanyalah nak kalahkan Nabi. Bukannya nak cari kebenaran. Apabila mereka jumpa ahli kitab, ahli kitab mengambil kesempatan atas mereka. Ahli Kitab nampak ini adalah peluang untuk menjatuhkan Islam dari dalam.
Kita kena sedar yang ada jenis ulama’ dalam dunia yang boleh beri fatwa ikut apa yang kita hendak. Sebagai contoh, katakanlah kita ada satu permasalahan agama. Mungin sudah ada seorang ustaz sudah beri hukum yang ianya adalah haram. Tapi dia yang tak puas hati. Maka ada yang cari ustaz-ustaz lain yang boleh beri hujah yang lain, sebagaimana yang dia hendak. Mereka boleh dapatkan dari sumber-sumber yang entah dari mana.
Begitulah cara pendeta Yahudi dulu. Kalau umat yang mahu keputusan sesuatu hukum, mereka akan cari manakah pendeta yang boleh beri hukum macam mana yang dia hendak. Maka pendeta itulah yang akan diberikan bayaran upah.
Dalam kes ini, apabila Musyrikin Mekah datang bertemu pendeta Yahudi itu, mereka nampak ruang untuk ambil peluang untuk menjatuhkan Islam. Sebab mereka tahu yang Musyrikin Mekah itu adalah jenis tidak ada kitab dan jahil ilmu agama. Mereka boleh cakap apa sahaja dan akan dipercayai oleh Musyrikin Mekah itu.
Maka, mereka kononnya buatlah kajian tentang ayat-ayat Al-Qur’an yang Nabi sampaikan itu. Mereka kata dalam ayat-ayat itu ada perumpamaan tentang lalat, lebah, labah-labah dan nyamuk. Mereka pun beritahu kepada Musyrikin Mekah yang datang itu, tidak layak kalau Kalam Allah menggunakan perumpamaan yang remeh temeh macam itu.
Maka Yahudi kata, Al-Qur’an itu bukanlah Kalam Allah. Maka Musyrikin Mekah itu bawa balik apa yang diberitahu oleh Yahudi itu dan jaja kisah itu di Mekah. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan kedudukan Nabi Muhammad. Inilah nasib orang jahil yang tiada neraca nak bandingkan mana benar dan mana salah.
Mereka pakai kata orang sahaja dan terima bulat-bulat walaupun hujah yang diberikan itu tidak kuat. Maka berpeluanglah Yahudi untuk cuba menjatuhkan Islam melalui penduduk Mekah. Ini adalah satu pendapat yang mengatakan Musyrikin Mekah telah pergi berjumpa dengan Yahudi di Yathrib.
Ataupun mungkin juga Musyrikin Mekah sendiri dengar ayat-ayat Al-Qur’an tentang perumpamaan itu dan mereka kritik terus sebab mereka memang nak tolak.
۞ إِنَّ اللهَ لا يَستَحيي أَن يَضرِبَ مَثَلًا مّا بَعوضَةً فَما فَوقَها ۚ فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا فَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّهِم ۖ وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللهُ بِهٰذا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا وَيَهدي بِهِ كَثيرًا ۚ وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفٰسِقينَ
Indeed, Allah is not timid to present an example – that of a mosquito or what is smaller than it. And those who have believed know that it is the truth from their Lord. But as for those who disbelieve, they say, “What did Allah intend by this as an example?” He misleads many thereby and guides many thereby. And He misleads not except the defiantly disobedient,
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya). Kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحْيِي
Bahawasanya Allah tidak malu
Allah tidak malu untuk menyatakan kebenaran, walau bagaimana cara pun untuk menyampaikannya.
أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا
untuk membuat contoh misalan
Maka Allah jawap dalam ayat ini. Allah tak malu nak pakai bandingan-bandingan itu supaya bandingan itu dapat memberi hidayah kepada manusia dan memberi kesan kepada pemahaman manusia.
مَّا بَعُوضَةً
seperti nyamuk
Allah tidak kisah menggunakan makhlukNya yang kecil sebagai perumpamaan. Allah juga ada menggunakan contoh binatang kecil yang lain seperti lalat. Di manakah Allah gunakan lalat sebagai perumpamaan? Untuk tunjuk betapa lemahnya sembahan mereka itu sampai tidak boleh nak halau lalat yang singgah padanya. Allah nak tunjuk begitu bodohnya mereka.
Allah tidak malu menggunakan contoh nyamuk ataupun makhluk yang lebih besar atau lebih kecil darinya. Kerana ada pengajaran dalam makhluk yang Allah jadikan, walaupun kecil pun. Sebagai contoh, dengan nyamuk yang kecil itu, satu daerah boleh kelam kabut kerana penyakit denggi dan sebagainya.
Dan ia juga ada kebaikan – ramai yang buat perniagaan dan pekerjaan dengan nyamuk ini – jual ubat nyamuk, kelambu, aerosol dan sebagainya. Lihatlah bagaimana besarnya kesan nyamuk itu walaupun dari segi fizikalnya, ia kecil sahaja. Kecil-kecil pun, bila dia ganggu bising di telinga kita malam-malam, tidak boleh tidur juga.
Labah-labah pula dijadikan sebagai perumpamaan lemahnya pergantungan mereka kepada sembahan mereka yang selain Allah. Ianya seperti sarang labah-labah, malah lebih teruk lagi.
فَمَا فَوْقَهَا
atau lebih kecil dari itu;
Allah tak malu, sebab semua itu Dia yang cipta. Manusia tidak boleh cipta sayap nyamuk pun. Memang ada lagi yang lebih kecil dari nyamuk. Lihatlah hadis Nabi tentang sebelah sayap lalat. Iaitu bahagian tubuhnya yang lebih kecil lagi daripada keseluruhan badan.
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam pernah bersabda, “Seandainya dunia ini sama nilainya dengan sayap nyamuk di sisi Allah, nescaya Dia tidak akan memberikan minuman dari dunia itu kepada orang kafir, meskipun hanya seteguk air” (HR. Tirmidzi. Syeikh Albani menshahihkan hadis ini).
فَأَمَّا الَّذِينَ ءآمَنُوا
Maka orang-orang yang beriman sempurna;
Iaitu mereka yang tidak melakukan syirik. Mereka ini yang hatinya prihatin dengan kehendak Allah. Mereka juga mahukan kebenaran.
فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَّبِّهِمْ
mereka tahu bahawasanya contoh-contoh ini adalah benar dari Tuhan mereka;
Kerana mereka beriman, mereka sanggup dan terus terima bahawa perumpamaan itu dari Allah. Walaupun mereka mungkin tidak faham lagi dengan perumpamaan itu. Kerana untuk memahami sesuatu misalan yang dibuat oleh Allah, memerlukan intelek dan pengajian juga. Sebab itu kena belajar tafsir kalau hendak faham misalan-misalan yang ada dalam Al-Qur’an.
Kita kena belajar untuk faham perumpamaan yang Allah berikan kerana ada sebab yang hendak disampaikan oleh Allah. Dan kadang-kadang perumpamaan itu tidak jelas kepada yang tidak belajar. Tapi walaupun seorang mukmin itu tidak faham apakah maksud perumpamaan Allah itu, tapi dia terima bahawa itu adalah dari Allah. Mereka terima seadanya. Inilah permulaan kepada kefahaman (kena terima dahulu).
وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ
Dan adapun orang-orang kafir, mereka berkata:
Orang kafir akan ada sahaja benda yang mereka tidak puas hati dan mereka akan cari perkara yang mereka rasa seperti tidak kena. Kejahilan ini lahir dari sifat mereka yang ragu-ragu dari mula lagi.
Apa yang mereka kata?
مَاذَا أَرَادَ اللهُ بِهَٰذَا مَثَلًا
apa yang Allah inginkan dengan contoh-contoh kecil seperti ini?
Orang yang baca Al-Qur’an ini ada berjenis-jenis. Ada yang baca untuk mencari kebenaran, maka mereka akan mendapat maklumat yang akan menguatkan iman mereka; dan ada yang membaca Al-Qur’an sebab nak tolak, maka mereka akan mencari kesalahan-kesalahan dalam Al-Qur’an (ianya pada pandangan mereka kerana mereka ada niat buruk). Maka mereka memang akan berjumpa dengan sesuatu yang mereka rasa sebagai hujah untuk tidak menerima Al-Qur’an itu.
Mereka bukannya mencari ‘kebenaran’, tapi mereka mencari ‘pembenaran’. Mereka mencari-cari perkara untuk membenarkan prejudis mereka yang sudah salah dari mula. Kerana itu kalau belajar Al-Qur’an untuk tolak, maka seseorang itu akan sesat. Tapi kalau baca sebab nak faham dan nak ikut (mencari kebenaran), Allah akan beri hidayah kepada orang itu.
يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا
Dengannya (Al-Qur’an itu) boleh menyesatkan kebanyakan manusia;
Sama ada dimaksudkan dengan perumpamaan itu, atau dengan Al-Qur’an sendiri, memang ia boleh menyebabkan orang sesat. Bagaimana pula Al-Qur’an boleh menyebabkan orang sesat? Kerana mereka dari asal tidak beriman dan dari asal mereka memang mencari ‘pembenaran’. Ada orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan benar, maka mereka tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah.
Mereka cuba nak faham sendiri dan selalunya fahaman itu salah. Ataupun mereka diajar oleh guru yang tidak juga belajar tafsir Al-Qur’an, jadi mereka akan tersesat. Itulah bahayanya kalau faham Al-Qur’an bukan dengan cara pemahaman para sahabat dan salafussoleh. Inilah bahaya kalau salah belajar.
Tapi bagaimana nak tahu yang kita belajar itu benar? Agak susah hendak tentukan. Maka kena doa kepada Allah supaya diberikan ilmu yang bermanfaat. Kena doa kepada Allah supaya tunjukkan kita ilmu yang benar. Boleh amalkan doa ini selalu:
اَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّـبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ.
Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai suatu perkara yang benar, dan anugerahilah kami kekuatan mengikuti kebenaran itu. Dan tunjukkanlah kepada kami kesalahan itu sebagai suatu perkara yang salah, dan anugerahilah kami kekuatan untuk menjauhi kesalahan itu.
وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا
Dan dengan Al-Qur’an juga boleh memberi hidayat kepada ramai manusia
Kalau hendak mencari kebenaran, orang yang baca Al-Qur’an akan berjumpa dengan kebenaran itu. Ini diberikan kepada mereka yang memang mahu mencari kebenaran. Maka mereka akan mendapatkannya kerana niat mereka yang baik itu. Maka kena jaga niat kita.
وَمَا يُضِلُّ بِهِ
Tetapi tidaklah Allah menyesatkan dengan Al-Qur’an itu
Tujuan Al-Qur’an bukanlah untuk menyesatkan manusia tapi ada yang menggunakan Al-Qur’an untuk menyesatkan orang lain dan ada yang baca Al-Qur’an dan faham sendiri sampai mereka dapat fahaman yang salah. Inilah bahayanya kalau tidak belajar dengan betul.
إِلَّا الْفٰسِقِينَ
melainkan orang yang buat fasik sahaja;
Contoh: kita dulu baca terjemahan Al-Qur’an juga, tapi tak faham, baru sekarang baru jelas apakah yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an setelah belajar tafsir. Mungkin dulu yang kita faham itu salah.
Tapi kalau kita jadikan Al-Qur’an itu sebagai ‘pembenaran’ bagi fahaman yang kita pegang dulu, maka kita akan jumpa juga dalam Al-Qur’an. Contohnya, kita hendak mencari dalil untuk mengatakan boleh zikir ramai-ramai, kita boleh jumpa – walaupun itu adalah pemahaman yang salah. Iaitu ada yang beri dalil ada ayat Al-Qur’an yang sebut disuruh kita zikir, duduk diri dan berbaring. Ini bukanlah dalil yang sarih. Tapi ada juga yang tertipu dengan dalil sebegini. Ini adalah jenis orang yang buat dulu, baru cari dalil – ini cara yang salah.
Tapi kalau kita nak cari kebenaran, Allah akan tunjukkan kebenaran kepada kita. Orang yang sesat itu kerana ayat Al-Qur’an yang mereka baca itu mereka nak turut kehendak dia.
Yang sedihnya, ada guru yang tak belajar tafsir, tapi mengajar tafsir pula. Hasilnya, tafsir yang mereka berikan itu tidak benar. Maka, maklumat yang didapati oleh anak murid mereka tidak benar. Maka akan berterusan kejahilan dalam masyarakat sebab yang mengajar tafsir pun tak belajar lagi.
Allah tidak akan menyesatkan dengan Al-Qur’an itu, melainkan orang yang fasik. Iaitu yang memang nak tolak Al-Qur’an. Fasik itu bermaksud keluar dari taat. Iaitu mereka yang tak mahu nak ikut wahyu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 18 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Maulana Hadi