Tafsir Surah al-A’raf Ayat 8 – 12 (Timbangan amal)

A’raf Ayat 8: Apabila diceritakan tentang amal, kita diberitahu yang amal itu akan ditimbang. Ini adalah ayat tabshir (berita gembira).

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ ۚ فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the weighing [of deeds] that Day will be the truth. So those whose scales are heavy – it is they who will be the successful.

(MALAY)

Timbangan pada hari itu ialah kebenaran (keadilan), maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

 

وَالوَزنُ يَومَئِذٍ الحَقُّ

Timbangan pada hari itu adalah benar

Timbangan amal memang benar-benar akan berlaku. Satu lagi maksud, ia pasti adil/tepat. Amal yang baik akan ditimbang dan akan ditimbang juga amal yang buruk dibandingkan dengan amal yang baik itu. Cara bagaimana timbangan amal itu adalah khilaf di antara ulama’.

Ada yang kata yang ditimbang itu adalah buku amal. Sedangkan ada yang kata amalan itu sendiri yang akan ditimbang. Bagaimanakah caranya amal boleh ditimbang? Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Kita pun tahu, sesuatu elemen itu boleh disukat bagi memastikan ukurannya tinggi ataupun rendah, seperti suhu, tekanan, jisim, isipadu dan sebagainya. Di dunia ini, manusia menggunakan alatan bersesuaian untuk mengukur sesuatu elemen contohnya termometer digunakan untuk mengukur suhu, barometer digunakan untuk menyukat tekanan manakala skala atau neraca digunakan untuk mengukur berat.

Maka, sudah tentu Allah ‎ﷻ ada cara hebatnya yang tersendiri bagaimana untuk menyukat amalan itu walaupun amalan itu tidak nampak semasa di dunia ini sekarang. Kita jangan bandingkan cara sukatan Allah ‎ﷻ dengan cara kita. Di zaman moden sekarang pun sudah banyak perkara yang dahulu dirasakan agak mustahil untuk diukur tetapi sekarang sudah berubah, bukan? Dahulu kita tidak boleh mengukur suhu panas atau sejuk, ketinggian, kelajuan udara dan sebagainya. Maka tentulah teknologi Allah ‎ﷻ lebih hebat lagi.

Bukan sahaja amalan, tetapi kekuatan keimanan pun akan ditimbang juga. Ini kerana setiap individu adalah berbeza, ada yang banyak amalan tetapi kadar keimanannya adalah lemah manakala ada pula yang sedikit amalannya tetapi kekuatan iman mereka lagi kuat. Semua berbeza nilainya. Allah ‎ﷻ sahajalah yang tahu bagaimana untuk menilainya dan Dia akan menzahirkan keadilan-Nya.

Allah ‎ﷻ boleh mengubah amalan kebaikan di dunia menjadi sesuatu yang fizikal. Di dalam hadith Al-Barra mengenai kisah pertanyaan kubur disebutkan:

“فَيَأْتِي الْمُؤْمِنَ شابٌّ حَسَنُ اللَّوْنِ طَيِّبُ الرِّيحِ، فَيَقُولُ: مَنْ أَنْتَ؟ فَيَقُولُ: أَنَا عَمَلُكَ الصَّالِحُ”

Maka orang mukmin didatangi oleh seorang pemuda yang bagus warna kulitnya lagi harum baunya. Maka orang mukmin itu bertanya, “Siapakah kamu?” Dia menjawab, “Saya adalah amal solehmu.”

أحمد شاكر (ت ١٣٧٧)، عمدة التفسير ٢‏/٧ • [أشار في المقدمة إلى صحته] • أخرجه أحمد (١٨٥٣٤)، والطيالسي (٧٥٣) مطولا باختلاف يسير

Satu lagi kebenaran adalah Allah ‎ﷻ tidak akan menganiaya sesiapa pun. Allah ‎ﷻ tidak sesekali akan melakukan kezaliman. Tidak ada amal kebaikan yang tidak akan dibalas. Dan manusia hanya akan dihukum di atas perbuatan yang mereka lakukan dan yang mereka bertanggungjawab sahaja. Berbeza dengan mahkamah di dunia, entah ada orang yang dipersalahkan bukan kerana kesalahan mereka. Biasa sahaja berlaku ketidakadilan dan kesilapan di dunia ini. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan melakukan kesilapan.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

maka barangsiapa berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Sesiapa yang berat timbang amalannya, maka mereka itu berjaya dunia dan akhirat. Berat timbangan itu bermaksud terdapat banyak amal kebaikan soleh yang dia telah lakukan.

Daripada lafaz مَوازينُ kita dapat tahu yang timbangan itu bukan satu, tetapi ada banyak. Maka, ada timbangan berbeza untuk amal yang berbeza. Contohnya untuk sedekah ada satu timbangan, untuk salat ada timbangan lain, untuk puasa ada timbangan lain pula.

Keuntungan yang utama adalah di akhirat kelak di mana kita akan dibalas di atas segala amal kebaikan kita. Bukannya di dunia yang kadangkala kita tidak mendapat hak kita dan kita tidak mendapat keadilan. Oleh sebab itu, kejayaan yang sebenar dicari adalah kejayaan di akhirat kelak. Jangan kita rasa sedih sangat jikalau kita tidak mendapat hak kita di dunia kerana yakinlah yang kita akan mendapat hak kita dengan penuh di akhirat kelak.


 

A’raf Ayat 9: Ini pula merupakan  ayat takhwif.

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم بِما كانوا بِئآيٰتِنا يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those whose scales are light – they are the ones who will lose themselves for what injustice they were doing toward Our verses.

(MALAY)

Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami.

 

وَمَن خَفَّت مَوٰزينُهُ

Dan siapa yang ringan timbangan kebaikannya,

Sebelum ini disebut tentang mereka yang berat timbangan amal mereka, banyak amal yang boleh dikira tetapi ada juga mereka yang ringan timbangan amalannya. Ini kerana tidak banyak amal kebaikan yang mereka buat atau tidak ada benda untuk timbang pun.

Contohnya, apabila amal dibuat tetapi iman tidak ada, maka tidak ada yang boleh ditimbang. Atau amalnya banyak, tetapi amal bid’ah sahaja yang mereka banyak buang masa membuatnya, dan tidak boleh menjadi pahala pun. Maka, apa akan jadi kepada mereka?

 

فَأُولٰئِكَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم

maka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri,

Maka, mereka itulah golongan yang merugikan diri mereka sendiri. Ada peluang untuk selamat di akhirat, mereka tidak ambil. Peluang Allah ‎ﷻ telah banyak berikan di dunia tetapi mereka buat benda lain. Mereka tidak ambil peluang untuk bekalan di akhirat kelak.

 

بِما كانوا بِئآيٰتِنا يَظلِمونَ

disebabkan mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami.

Mereka itu rugi kerana mereka menzalimi ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan menzalimi ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu? Zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mereka sepatutnya menjadikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ sebagai panduan hidup, tetapi mereka tidak melakukannya.

Mereka yang sanggup melakukan amalan baik itu adalah kerana mereka mengikut wahyu yang memberitahu kita yang ia adalah baik untuk kita. Namun begitu, jika menzalimi ayat Allah ‎ﷻ dan tidak percaya kepada wahyu, maka amalan baik yang dilakukan tidak ada harga.

Begitu juga, mereka tidak dapat membezakan dia antara perbuatan amalan sunnah dan amalan bid’ah. Maka mereka mengikut sahaja apa amalan yang mereka belajar dengan ustaz atau ulama’, walaupun yang mengajar itu tidak membawakan dalil untuk amalan-amalan itu.


 

A’raf Ayat 10: Ayat targhib (ajakan) kepada melakukan ibadat. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan jasa-Nya yang telah memberikan kehidupan kepada kita.

وَلَقَد مَكَّنّٰكُم فِي الأَرضِ وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ ۗ قَليلًا مّا تَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly established you upon the earth and made for you therein ways of livelihood. Little are you grateful.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.

 

وَلَقَد مَكَّنّٰكُم فِي الأَرضِ

Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi 

Apabila ada kalimah ولقد ia bermaksud ada sumpah di sini. Maknanya ada kalimah ‘demi Allah’ yang telah dihazafkan (dihilangkan).

Allah ‎ﷻ telah memberi kedudukan kepada manusia di muka bumi dahulu. Allah ‎ﷻ telah menjadikan gunung ganang, lembah, lautan, tasik dan sebagainya sebagai tempat kita tinggal di bumi yang indah ini. Jika hendak dihitung segala nikmat itu, kita tidak akan mampu seperti yang telah disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الإنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ}

Dan jika kalian menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kalian menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). (Ibrahim: 34)

وَجَعَلنا لَكُم فيها مَعٰيِشَ

dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan.

Dan selepas Allah ‎ﷻ meletakkan kita di muka bumi, Dia telah menyediakan segala sumber kehidupan untuk kita. Ini termasuklah pakaian dan tempat tinggal.

Allah ‎ﷻ memberikan kehidupan yang senang kepada kita. Bandingkan kehidupan kita dengan haiwan – sama-sama hidup, tetapi hidup tidaklah sama. Lihatlah apa yang kita makan, apa yang kita pakai dan sebagainya. Allah ‎ﷻ bukan sahaja memberikan kehidupan kepada kita, tetapi kehidupan yang bagus.

Begitulah juga yang telah diberikan kepada Musyrikin Mekah. Mereka diingatkan yang mereka telah diberikan nikmat kehidupan yang bagus, berbanding dengan manusia lain. Lihatlah bagaimana kelebihan mereka telah disebut dalam Surah Quraish. Mereka ditempatkan di Mekah, satu tempat yang amat-amat hebat.

 

قَليلًا مّا تَشكُرونَ

Amat sedikitlah kamu bersyukur.

Apabila Allah ‎ﷻ telah berikan terlalu banyak nikmat itu, maka  hendaklah kita bersyukur. Dan bersyukur itu bukan cuma dengan ucapan ‘alhamdulillah’ sahaja, namun kenalah taat dan buat ibadat kepada Allah ‎ﷻ.

Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu cuma sedikit benar manusia yang bersyukur. Malangnya, yang Allah suruh ‎ﷻ buat, mereka tidak buat. Maka, janganlah kita tergolong dalam manusia seperti itu. Jangan kita gunakan sahaja nikmat Allah ‎ﷻ, tetapi segala suruhan-Nya kita abaikan.

Habis Ruku’ 1 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 11: Sekarang Allah ‎ﷻ sebut satu persatu nikmat-nikmat yang telah diberikan. Allah ‎ﷻ memulakan kisah dalam surah ini dengan kisah asal kejadian kita lagi, iaitu Nabi Adam عليه السلام. Kemudian akan disebut kisah Nabi-nabi yang lain sehingga akhirnya kita akan sampai kepada penghujung alam ini iaitu Hari Kiamat.

وَلَقَد خَلَقنٰكُم ثُمَّ صَوَّرنٰكُم ثُمَّ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِأدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly created you, [O mankind], and given you [human] form. Then We said to the angels, “Prostrate to Adam”; so they prostrated, except for Iblees. He was not of those who prostrated.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.

 

وَلَقَد خَلَقنٰكُم

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua

Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Dia telah menciptakan kita dengan pertama sekali dicipta adalah datuk kita Nabi Adam عليه السلام. Lafaz خَلَقناكُم dalam bentuk jamak walaupun Nabi Adam عليه السلام itu seorang sahaja, kerana mengingatkan yang Nabi Adam عليه السلام adalah datuk kita semua. Daripada benih bagindalah kita semua dijadikan.

 

ثُمَّ صَوَّرنٰكُم

lalu Kami bentuk tubuhmu, 

Selepas kita dijadikan dalam bentuk benih, kemudian Allah ‎ﷻ membentukkan rupa kita dalam perut ibu kita. Allah ‎ﷻlah yang menentukan bagaimana rupa kita; ada yang pendek ada yang tinggi, ada yang comel ada yang tidak, ada yang gelap dan ada yang cerah. Namun ketahuilah yang Allah ‎ﷻ telah menjadikan kita dalam sebaik-baik rupa semisal dengan ayat lain yang disebutkan melalui firman-Nya:

{وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ [فَسَجَدَ الْمَلائِكَةُ] }

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kalian kepadanya dengan bersujud.” (Al-Hijr: 28-29)

Daripada ayat Surah Hijr ini kita dapat tahu yang sebelum diciptakan Nabi Adam عليه السلام lagi, Allah ‎ﷻ sudah memberitahu malaikat yang mereka nanti akan dikehendaki untuk sujud kepadanya. Maka, ia bukanlah berita baru.

 

ثُمَّ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِأدَمَ

kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, 

Kemudian Allah ‎ﷻ telah menitahkan para malaikat untuk sujud penghormatan kepada Nabi Adam عليه السلام. Ini telah dibincangkan dalam Baqarah: 30 dan seterusnya. 

 

فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّٰجِدينَ

maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.

Semua malaikat telah sujud kecuali Iblis. Sujud ini bukanlah sujud ibadah tetapi sujud sebagai taat kepada perintah Allah ‎ﷻ. Apabila Allah ‎ﷻ telah melakukan perkara yang menakjubkan, maka makhluk-Nya mestilah sujud sebagai tanda kagum dengan kehebatan-Nya.

Ada pula yang takwil ini bukanlah sujud, tetapi rukuk sahaja. Ini pun tidak perlu dilakukan kerana ia memang sujud. Kalau hendak dikirakan, rukuk pun tidak boleh kepada makhluk lain dalam bentuk ibadah. Dan bukanlah malaikat itu sujud kepada Adam عليه السلام di waktu lain pula.

Dalam ayat ini disebut Allah ‎ﷻ telah memberikan arahan kepada para malaikat. Tetapi kemudian disebut Iblis. Perlu diingatkan yang Iblis bukanlah dalam kalangan malaikat kerana iblis dijadikan daripada api manakala malaikat pula daripada cahaya. Namun begitu, oleh kerana dia telah banyak beribadat, maka kedudukannya telah dinaikkan supaya berada bersama-sama dengan para malaikat.

Timbul pula soalan: kalau dia bukan malaikat dan arahan itu diberikan kepada malaikat, kenapa dia kena ikut pula? Soalan ini tidaklah berapa bijak. Kita buat analogi: ada orang Indonesia di negara kita dan tiba-tiba di jalan terdapat polis membawa Sultan lalu dan suruh ke tepi. Adakah orang Indonesia kena ikut arahan itu atau tidak? Bukankah dia bukan rakyat Malaysia dan tidak tertakluk dengan undang-undang negara kita? Tentulah dia kena ikut juga kerana dia sedang berada di Malaysia, bukan? Maka begitu jugalah iblis kena ikut arahan Allah ‎ﷻ kerana dia ada di situ.

Dan kita pun tahu yang para malaikat adalah makhluk yang taat. Maka mereka akan ikut sahaja arahan Allah ‎ﷻ. Oleh itu, suruhan untuk sujud kepada Nabi Adam عليه السلام itu adalah ujian bagi iblis sebenarnya. Allah ‎ﷻ sudah tahu yang dia itu tidak ikhlas dalam amalan dia, maka Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan sifat dirinya yang sebenar kepada para malaikat.

Lafaz ‘iblis’ berasal daripada lafaz ablasa yang bermaksud hilang segala harap. Memang dia telah hilang segala harapan untuk mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Penerangan tentang apa yang terjadi ada dijelaskan di dalam nota yang lain.

Timbul pula perbincangan lain. Ada pula orang jahil yang kata iblis tidak sujud itu kerana kononnya tinggi sangat nilai tauhid dia sampaikan tidak mahu sujud kepada selain Allah ‎ﷻ. Ini amat mengarut sekali. Sekarang siapa yang suruh sujud? Bukankah Allah ‎ﷻ yang memerintahkannya untuk sujud? Kalau Allah ‎ﷻ yang perintahkan, maka kenalah taat. Hendak dibincangkan isu tauhid apa lagi?


 

A’raf Ayat 12: Allah ‎ﷻ tanya iblis:

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ ۖ قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “What prevented you from prostrating when I commanded you?” [Satan] said, “I am better than him. You created me from fire and created him from clay [i.e., earth].”

(MALAY)

Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.

 

قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ

Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?”

Allah ‎ﷻ bawakan soalan ini dalam Al-Qur’an untuk memberitahu kita yang arahan Allah ‎ﷻ itu penting, wajib ditaati. Tidak ada pilihan untuk tidak melakukannya. Tetapi kenapa langgar arahan itu? Allah ‎ﷻ memberi peluang kepada iblis untuk menjawabnya, untuk kita belajar sesuatu daripada hal ini.

 

قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ

Iblis jawab: “aku lebih baik daripadanya: 

Iblis jawab soalan itu dengan menggunakan akalnya sahaja. Dia rasa akal dia lebih bagus daripada arahan Tuhan. Allah ‎ﷻ sudah beri arahan yang jelas, tetapi dia menggunakan akal untuk menilai pula arahan itu. Inilah bahayanya kalau guna akal dalam menilai perintah Allah‎ﷻ .

Oleh sebab itulah, perbezaan ahli sunnah dengan Muktazilah yang sesat itu adalah dari segi penggunaan akal. Kita sepatutnya kena dahulukan arahan Tuhan daripada hujah menggunakan akal. Malangny puak Muktazilah dan orang lain yang sefahaman dengan mereka, mengutamakan akal kerana mereka kata Allah ‎ﷻ sudah berikan akal untuk kita guna, maka tidak salah kalau kita gunakan akal untuk menilai arahan Allah ‎ﷻ. Mereka kata, kalau ada arahan Tuhan, kena selaraskan dengan akal. Dan kalau arahan Allah ‎ﷻ itu tidak kena dengan akal mereka, mereka akan takwil arahan Tuhan itu. Ini adalah fahaman yang amat-amat salah.

Oleh itu banyak pemahaman perkara dalam Al-Qur’an yang amat berbeza antara kita dan mereka. Sebagai contoh, dalam perkara melihat Allah ‎ﷻ, mereka kata tidak mungkin boleh lihat Allah  di akhirat kelak. Sedangkan iktikad ahli sunnah, ahli syurga boleh melihat Allah ‎ﷻdi syurga nanti. Namun mereka menggunakan akal mereka untuk mentafsir ayat Al-Qur’an.

Ini amat bahaya sekali. Kita sepatutnya memastikan yang akal kita kena terima apa yang Allah ‎ﷻ telah kata dalam Al-Qur’an. Oleh itu, kita katakan mereka sesat kerana mereka ikut prinsip iblis yang hanya menggunakan akal untuk menolak arahan Allah ‎ﷻ. Prinsip kita ikut Nabi Adam عليه السلام, mengutamakan arahan Allah ‎ﷻ. Cuma Nabi Adam عليه السلام terlupa arahan Allah ‎ﷻ. Dan kalau terlupa, tidaklah berat sangat.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, bahawa kesalahan makhluk itu bukan hanya dilihat pada perbuatannya sahaja, tetapi harus dilihat pada niat mereka. Niat yang salah akan mendatangkan sikap yang salah juga.

Apakah alasan dan hujah iblis?

 

خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ

Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah”.

Iblis menjawab yang dia rasa dia lebih baik daripada Nabi Adam عليه السلام. Dia menggunakan hujah akalnya sahaja: Allah ‎ﷻ menjadikan dia daripada api, manakala Allah ‎ﷻ telah menciptakan Nabi Adam عليه السلام daripada tanah. Dan tanah itu duduknya di bawah sedangkan api naik ke atas. Pada pendapatnya, bagaimana mungkin sesuatu yang naik ke atas, boleh sujud sesuatu yang berada di bawah?

Itulah cara iblis menggunakan akalnya. Itu adalah fahamannya sahaja, ikut pendapat akal dia sahaja, tidaklah boleh dikatakan benar. Iblis keliru dalam analogi dan pengakuannya yang mengatakan bahawa api lebih mulia daripada tanah.

Padahal sesungguhnya tabiat tanah liat itu ialah kuat, sabar, tenang, dan kukuh. Tanah merupakan tempat bagi tumbuhan, pengembangan, penambahan, dan pembaikan; sedangkan api mempunyai watak membakar, liar, dan cepat. Tidaklah hebat api berbanding tanah. Sebagai contoh, api tidak boleh membakar tanah, tetapi tanah boleh memadamkan api, bukan? Jika api dikenakan kepada tanah, tanah itu pula yang menjadi tembikar, dan bukankah ia menunjukkan tanah mampu menjadi lebih kuat?

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita yang akal tidak akan dapat mendahului arahan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ mengajar dalam ayat ini, mana-mana manusia yang menggunakan akal dahulu dan kemudian baru hendak mencari ayat Al-Qur’an untuk menyokong pendapatnya, maka itu adalah perangai Iblis. Takkan kita hendak menjadi seperti iblis pula, bukan?

Ayat ini menceritakan apakah masalah asal iblis. Masalah iblis adalah kibr (rasa besar dan mulia). Kita kena ingat, iblis bukannya menolak kewujudan Allah ‎ﷻ dan kekuasaan Allah ‎ﷻ. Dia sedar dan mengaku yang Allah ‎ﷻlah yang menciptakannya.

Namun, dia tidak taat kepada Allah ‎ﷻ apabila Allah ‎ﷻ memerintahkannya menerima kemuliaan manusia. Dia tidak dapat terima perkara itu sedangkan Allah ‎ﷻ suruh ‘sujud’ sebagai isyarat hormat sahaja, bukannya menjadikan Nabi Adam عليه السلام sebagai ilah – kalau dalam istilah zaman moden, seumpama ‘tabik hormat’ sahaja.

Begitulah juga, ada manusia yang tidak dapat menerima kedudukan para Rasul lebih tinggi daripada kedudukan mereka, mereka tidak dapat terima ada orang yang lagi tinggi daripada mereka. Ada juga yang kononnya sangka mereka boleh terus berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ, tidak memerlukan para Nabi.

Ada yang menjadi golongan anti-Hadith kononnya boleh terus mendapat hidayah daripada Al-Qur’an secara langsung. Sedangkan Allah ‎ﷻ sendiri suruh kita terima dan belajar dengan para Rasul. Memang kita memerlukan pengajaran daripada Rasul kerana Allah ‎ﷻ itu ghaib dan kita tidak boleh nak berkomunikasi terus dengan Allah ‎ﷻ.

Maka, kesalahan yang dialami oleh iblis ini juga masih ada sampai ke hari ini.  Ada yang rasa tidak perlu kepada agama dalam dunia ini dan boleh terus bercakap dengan Allah ‎ﷻ; dan berbagai lagi fahaman yang sesat dalam dunia kerana tidak belajar ilmu wahyu. Sifat sombong adalah sifat yang amat bahaya. Sombong untuk terima kebenaran dalam agama.

Begitulah masalah yang dialami oleh ramai daripada golongan yang ada ilmu agama pun. Mereka rasa semua orang kena belajar dengan mereka, tidak boleh belajar dengan orang lain. Mereka rasa mereka sahaja yang benar. Maka, kita kena berhati-hati dengan orang seperti ini.

Terdapat juga guru agama yang tidak suka kalau kita kata kita ada pergi belajar dengan orang lain. Larilah segera daripada guru yang seperti itu kerana kalau kita belajar dengan satu guru sahaja, ditakuti kita akan jadi taksub dengan guru pula; dan kita tidak dapat memastikan mana satu ajaran yang benar.

Ayat ini mengajar satu perkara yang amat penting tentang menjaga hati. Iblis dan syaitan akan mencari peluang untuk membisikkan perkara yang salah kepada kita. Dia akan bisikkan kepada kita supaya rasa besar (kibr). Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis (penipuan Iblis).

Maka, kita kena berhati-hati dengan hal ini. Jangan kita rasa kita lebih hebat daripada orang lain. Walaupun kita pandai agama, kuat ibadat, tidak buat dosa dan taat kepada Allah ‎ﷻ, tetap jangan rasa sombong. Kita kena sedar yang apa-apa sahaja kebaikan yang kita ada, itu adalah daripada Allah ‎ﷻ. Kalau bukan Allah ‎ﷻ yang mendorong kita menjadi baik, kita pun tidak mungkin akan menjadi baik.

Dan ubat untuk melawan kibr adalah jangan memandang diri lebih tinggi daripada orang lain, tetapi pandanglah diri kita lebih rendah daripada orang lain. Kalau kita lihat orang tua, maka cakap dalam hati kita: “Dia lebih tua daripada aku, tentu dia telah lama buat ibadah dan lebih banyak pahala daripada aku.” Dan kalau lihat orang muda pula, cakap dalam hati: “Dia masih muda lagi. Dia tentu lagi kurang dosa daripada aku yang telah lama hidup ini.”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s