A’raf Ayat 13:
قالَ فَاهبِط مِنها فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Allāh] said, “Descend from it [i.e., Paradise], for it is not for you to be arrogant therein. So get out; indeed, you are of the debased.”
(MALAY)
Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.
قالَ فَاهبِط مِنها
Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu;
Allah ﷻ telah menghalau Iblis dari syurga itu. Ini memberi indikasi yang iblis juga waktu itu duduk di dalam syurga. Akan tetapi khilaf syurga apakah itu. Adakah memang syurga yang manusia mukmin akan masuk nanti atau syurga yang lain? Ini tidak dapat dikenalpasti. Yang pasti dia telah dikeluarkan. Atau, ia mungkin juga dari langit, bukan dari syurga.
Yang penting kita kena tahu adalah kerana apa iblis dihalau?
فَما يَكونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فيها
kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya,
Maksudnya, disebabkan oleh sikap sombongnya itulah, dia telah diturunkan dari kedudukannya yang tinggi di langit.
Allah ﷻ beritahu iblis yang dia tidak layak di dalam syurga. Ini juga memberi pengajaran kepada kita. Tidak ada sesiapa yang layak untuk menjadi sombong. Kalau kita pandai bagaimana sekalipun, dimuliakan oleh orang seramai mana pun, hendaklah kita ingat perkara ini: kita tidak layak sombong. Orang yang sombong tidak dapat masuk ke dalam syurga. Tidak kiralah sombong kerana apa: mungkin kerana kita lebih hebat, lebih pandai, lebih cantik, daripada keturunan yang baik-baik. Asalkan ada sifat sombong sahaja, maka tidak boleh masuk syurga.
فَاخرُج إِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرينَ
maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.
Ini penekanan suruh keluar. Sesungguhnya iblis daripada golongan yang sangat-sangat rendah dan hina. Dia berkehendakkan kedudukan yang tinggi, dia rasa sombong dan bangga, maka Allah ﷻ menjatuhkan dia. Begitulah, kalau berasa diri mulia sangat, Allah ﷻ akan tukar seseorang itu menjadi sehina-hinanya. Maka, jangan rasa sombong takbur. Kena jaga hati kita. Kena ingat yang apa-apa sahaja kelebihan yang kita ada, ia bukanlah kerana diri kita, tetapi Allah ﷻ juga yang beri. Hendak sombong kenapa pula?
A’raf Ayat 14:
قالَ أَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Satan] said, “Reprieve me until the Day they are resurrected.”
(MALAY)
Iblis berkata: “Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan”.
Iblis meminta tempoh supaya dia tidak dimatikan sehingga ke hari kebangkitan semula. Dia minta supaya jangan matikan dia lagi dan jangan terus mengazab dirinya. Ini adalah supaya dia ada kuasa bebas untuk menyesatkan manusia.
Lihatlah dalam dia sombong, tetap dia kena minta kepada Allah ﷻ juga. Maka kita tahu dari sini yang iblis ini kenal Allah ﷻ dan sedar Allah ﷻ sahaja yang boleh beri apa-apa.
Perhatikan permintaan iblis ini. Dia bukannya meminta dilanjutkan usia sehingga Hari Kiamat, tetapi sehingga Hari Kebangkitan semula! Maknanya bila semua makhluk sudah mati nanti, dia nak dia seorang sahaja hidup. Namun begitu, permintaan ini tidaklah dimakbulkan kerana apabila Kiamat nanti, dia pun mati sekali. Tidak ada guna pun umur dia dipanjangkan kerana tidak ada apa-apa kebaikan pun.
Ini mengajar kita umur yang panjang, bukanlah ada kelebihan dari segi agama. Sebab itu Allah ﷻ boleh sahaja beri kepada iblis umur yang panjang. Kalau umur kita panjang tetapi banyak dosa, lagi bahaya kerana mengumpul dosa menjadi semakin banyak dan menyebabkan kita diazab lebih teruk di dalam neraka. Maka jangan berdoa minta umur panjang, tetapi doalah supaya dimatikan dalam keadaan beriman.
A’raf Ayat 15:
قالَ إِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Allāh] said, “Indeed, you are of those reprieved.”
(MALAY)
Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh”.
Allah ﷻ beritahu yang Iblis adalah daripada golongan yang diberi penangguhan. Namun bukanlah seperti yang dia minta, kerana dia minta hingga ke hari kebangkitan. Allah ﷻ beri setakat hari dia mati sahaja. Apabila Iblis mati sahaja, dia akan dikenakan azab.
Kalau dilihat jawapan Allah ﷻ yang ringkas ini nampak seperti penangguhan itu diberi seperti yang iblis minta. Namun jika kita rujuk Hijr: 38 ada disebut
إِلىٰ يَومِ الوَقتِ المَعلومِ
sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan,
‘Hari yang telah ditentukan’ atau ‘Hari yang telah diketahui’ merujuk kepada Hari Kiamat. Maka penangguhan yang diberi kepada iblis adalah sampai Kiamat sahaja. Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan itu pun tidak pasti. Pendapat itu mengatakan masa yang diberi itu adalah dalam rahsia Allah ﷻ, tidak diketahui bila. Mungkin lebih awal dari Hari Kiamat. Disebut di dalam Tafsir Tabari yang masa itu sehingga tiupan sangkakala pertama sahaja. Mana mungkin iblis dibenarkan hidup sehingga Hari Kebangkitan kerana apabila semua makhluk dimatikan, hanya Allah ﷻ sahaja yang hidup. Allah ﷻ telah sebut di dalam Rahman: 26
كُلُّ مَن عَلَيها فانٍ
Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa
Benar, iblis diberi tangguh dan panjang umur. Selagi dia tidak mati, dia boleh cuba sesatkan manusia. Oleh itu, iblis telah diberi tempoh untuk usahakan apa sahaja yang dia inginkan selagi boleh. Semua itu adalah dalam perancangan Allah ﷻ. Allah ﷻ membenarkannya kerana ia merupakan sebahagian daripada perancangan Allah ﷻ.
Lafaz المُنظَرينَ dalam bentuk jamak, maka ia bermaksud dia telah diberikan bala tentera untuk membantu dia menjalankan kerja jahatnya itu.
Lihatlah yang Allah ﷻ terus makbulkan doa iblis. Ini bukanlah bermakna yang Allah ﷻ sayang kepada iblis. Oleh sebab itu, pemakbulan doa dengan segera bukan tanda sayangnya Allah ﷻ. Ada orang yang beriman Allah ﷻ tidak terus pula memakbulkan doanya. Kenapa pula? Kerana Allah ﷻ suka mendengar permintaan doa orang itu. Lihatlah contoh doa Nabi Zakariya yang sudah lama meminta anak tetapi tidak terus diberikan dengan anak.
Timbul pula persoalan: bagaimana pula doa iblis diperkenankan? Adakah doa orang kafir juga diterima? Bagaimana dengan ayat Ra’d:14?
وَما دُعاءُ الكافِرينَ إِلّا في ضَلالٍ
Dan doa orang-orang kafir itu, hanyalah sia-sia belaka.
Oleh itu, hendaklah dibezakan antara dua doa ini. Doa orang kafir itu tidak laku di akhirat sahaja. Akan tetapi boleh sahaja Allah ﷻ perkenankan doa orang kafir di dunia ini. Lihatlah doa yang paling kafir sekali iaitu iblis pun diterima dan diperkenankan. Oleh sebab itu, jangan sangka yang doa yang diperkenankan itu tanda Allah ﷻ sayang kerana doa orang kafir pun Allah ﷻ boleh makbulkan.
A’raf Ayat 16: Ini adalah sumpah iblis tentang apa yang akan dilakukannya. Ini menjawab kenapa iblis hendak dipanjangkan usianya.
قالَ فَبِما أَغوَيتَني لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Satan] said, “Because You have put me in error, I will surely sit in wait for them [i.e., mankind] on Your straight path.
(MALAY)
Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,
قالَ فَبِما أَغوَيتَني
Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah sesatkan aku,
Iblis salahkan Allah ﷻ kerana telah menyesatkan dia. Sudah taqdir Allah ﷻ akan memasukkan iblis ke dalam neraka, tetapi usaha dia juga yang menyebabkan dia sesat dan ingkar. Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Iblis menggunakan lafaz أَغوَيتَني (Kau menyesatkan aku) menunjukkan dia menyalahkan Allah ﷻ kerana dia sesat.
Orang yang baik akan salahkan diri sendiri sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Adam عليه السلام. Apabila Nabi Adam عليه السلام sedar yang baginda telah berbuat salah, baginda mengaku kesalahan baginda dan terus meminta ampun. Sebaliknya, iblis menyalahkan Allah ﷻ pula.
Begitulah ketaranya perbezaan antara Iblis dan Adam عليه السلام. Maka kita hendak ikut perangai Iblis atau perangai Nabi Adam عليه السلام? Janganlah kita asyik mahu menyalahkan orang lain pula kalau kita ada masalah dan kita sudah sedar yang kit memang ada berbuat salah. Terdapat ramai orang yang apabila ada dosa, mereka akan sibuk benar mencari salah orang lain, tetapi tidak nampak kesalahan itu pada dirinya.
Kalau kita menyalahkan orang lain, menyalahkan keadaan, menyalahkan cuaca atau apa sahaja, itu adalah ‘keturunan’ iblis sebenarnya.
Begitu kurang ajarnya iblis di hadapan Allah ﷻ. Berani dia berkata begini, di hadapan Allah ﷻ di langit yang hebat itu? Kita diajar yang kalau di Mahsyar nanti di hadapan Allah ﷻ, tidak ada sesiapa yang berani berkata-kata termasuklah para malaikat pun. Bagaimanakah pula iblis boleh sanggup berkata-kata begini? Ulama’ membincangkan iblis sanggup buat begini kerana tinggi sangat kufurnya itu sehingga terhijab kepadanya kehebatan Allah ﷻ dan kerana itulah dia sanggup berkata-kata seumpama ini.
لَأَقعُدَنَّ لَهُم صِرٰطَكَ المُستَقيمَ
aku benar-benar akan (menghalang-halangi) duduk mereka dari jalan Engkau yang lurus,
Ini adalah sumpah iblis kerana ada taukid (penekanan) di dalam ayat ini. Iblis kata, dengan sebab Allah ﷻ telah menyesatkan dia, maka dia akan berusaha dengan sedaya upaya untuk menghalang manusia dari jalan yang lurus. Dia meminta agar dipanjangkan umur itu supaya dia lagi banyak masa hendak menyesatkan manusia.
Kita boleh tengok salah faham iblis di sini. Tadi dia kata Allah yang sesatkan dia, jadi dia marah kepada Allahlah kiranya. Seolah-olah bukan salah dia yang jadi sesat, tapi Allah. Tapi sekarang dia kata dia akan buat usaha untuk sesatkan makhluk lain pula. Jadi bukanlah salah Allah, bukan? Nak sesat itu kena ada usaha dari makhluklah juga.
Lihatlah bagaimana dia kata dia akan قعُدَ (duduk) menunggu. Lafaz قعُدَ bermaksud duduk dalam jangka masa yang lama, tidak sama dengan lafaz duduk جلس. Maknanya, dia akan duduk memantau apa yang terjadi, dalam masa yang lama pun tidak mengapa pada dia. Sangat tekun dia melakukan kerja itu. Tidak pernah ambil cuti atau MC semenjak dari dulu lagi. Dan di manakah dia akan duduk tunggu itu?
Dia kata dia akan duduk tunggu di jalan yang lurus. Lihatlah dia pun tahu jalan Allah ﷻ adalah jalan yang lurus. Bukannya dia tidak tahu, namun disebabkan kedegilannya sahaja. Oleh sebab itu kalau sudah tahu tetapi masih berdegil, maka itu pun adalah keturunan iblis juga.
Dia duduk di situ supaya dia boleh halang orang dari lalu jalan itu dan pergi ke jalan yang lain. Dia akan menyusahkan orang untuk lalu di jalan yang lurus itu. Dia akan tunggu di situ, tidak pergi ke mana-mana. Maknanya apa?
Maknanya kalau ada orang yang hendak menuju jalan yang lurus, iblis dan pengikutnya dalam kalangan syaitan akan ganggu dan hasut dan halang. Kalau ada keinginan dan usaha sahaja, maka bersedialah untuk menemui halangan. Ini kerana jalan menuju kebaikan bukannya mudah, kerana syaitan adalah penghalang.
Dan bagaimana pula kalau membuat dosa dan kesalahan? Tidak ada syaitan yang akan ganggu. Sebab itulah kita boleh bandingkan di antara mereka yang ingin membaca Al-Qur’an, kelas agama dan dengan mereka yang ingin pergi ke kelab malam atau bersukaria. Syaitan tidak mengganggu pun kalau hendak bersukaria sebab dia memang suka pun manusia lalai. Kalau kita menonton filem pun boleh sahaja berjam-jam tetapi baca Al-Qur’an 5 minit pun sudah mengantuk dan penat, bukan?
Syaitan tidak ganggu kalau manusia buat dosa. Sebab itu orang yang mengamalkan zikir sesat dan bid’ah seperti golongan sufi tarekat itu boleh berzikir berjam-jam. Mereka rasa tenang, sedap sahaja hati dan fikiran semasa melakukannya. Mereka sangka ia bagus dan Allah ﷻ bantu. Namun sebenarnya, mereka boleh duduk lama dan bersemangat itu kerana iblis syaitan tidak ganggu. Tiada apapun mereka mahu ganggu kerana apa yang sedangkan dilakukan adalah perbuatan dosa. Boleh faham sekarang?
A’raf Ayat 17: Bagaimanakah caranya dia menghalang manusia itu? Kalau sebelum ini iblis sebut apa yang dia hendak buat, sekarang diberitahu pula caranya. Maka Allah ﷻ sudah membongkar rancangan iblis sebenarnya. Kita sahaja yang mungkin tidak perasan kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an.
ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم وَعَن أَيمٰنِهِم وَعَن شَمائِلِهِم ۖ وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شٰكِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then I will come to them from before them and from behind them and on their right and on their left, and You will not find most of them grateful [to You].”
(MALAY)
kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).
ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِن بَينِ أَيديهِم وَمِن خَلفِهِم
kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka,
Selepas syaitan kata dia akan duduk di jalan yang lurus, dia kata dia akan datang kepada mereka dengan menggugat mereka dengan urusan akhirat. Itulah maksud مِن بَينِ أَيديهِم. Dari segi literal, maksudnya ‘dari depan’, iaitu dia akan tipu berkenaan Hari Akhirat. Syaitan akan datang lalu membisikkan kepada manusia bahawa tidak ada hari berbangkit, tidak ada syurga, dan tidak ada neraka.
Satu lagi maksud, mereka akan serang secara berhadapan.
Lafaz مِن خَلفِهِم bermaksud mereka akan merosakkan manusia daripada urusan dunia pula. Syaitan datang lalu syaitan menghiasi dunia dengan hiasan yang indah dan menganjurkan manusia untuk memakainya dan leka dengannya. Dari segi literal, bermaksud ‘dari belakang’.
Maknanya, sekarang mereka akan serang secara lembut dari arah belakang, kita tidak perasan. Maknanya, sudahlah dari depan mereka serang, dari belakang pun mereka serang supaya kita tidak perasan.
وَعَن أَيمٰنِهِم وَعَن شَمائِلِهِم
dari kanan-kanan dan dari kiri-kiri mereka.
Syaitan akan datang dari arah kanan – maksudnya akan sesatkan manusia supaya tidak melakukan kebaikan. Bukannya mereka tidak berbuat apa-apa, mereka buat, tetapi mereka sangka mereka melakukan sesuatu yang baik, padahal tidak. Seperti membuat amalan bid’ah.
Atau mereka suruh buat satu perkara, tinggalkan perkara lain. Seperti ramai yang puasa, tetapi tidak pula salat. Kanan adalah arah kebaikan, tetapi syaitan akan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan itu.
Syaitan juga akan datang dari arah kiri, maksudnya mereka akan cuba menyesatkan manusia supaya manusia melakukan kejahatan. Mereka akan menampakkan perkara yang buruk sebagai indah dan menghasut kita untuk melakukannya.
Syaitan akan datang dari arah kanan dan kiri. Maka ini menolak golongan sesat yang kononnya dapat maklumat daripada malaikat. Mereka kata kalau yang datang itu dari arah kiri, ya memang syaitan; tetapi mereka mendakwa kalau datang dari arah kanan, itu adalah malaikat. Padahal dalam Al-Qur’an Allah ﷻ sudah sebut janji syaitan akan datang dari segala arah. Namun golongan sesat seperti golongan sufi tarekat dan silat itu memanglah tidak belajar tafsir Al-Qur’an, sebab itu senang tertipu.
Oleh sebab itu, kalau yang datang dari arah kanan itu akan berlakon mereka itu golongan Nabi, para malaikat, golongan wali yang telah lama mati. Kononnya mereka datang hendak mengajar agama kepada golongan sesat itu. Mereka akan bisikkan dengan amalan-amalan yang jauh daripada sunnah.
Maka, ini adalah empat cara Iblis menyesatkan manusia. Terdapat banyak pendapat tentang apakah maksud depan, belakang, kiri dan kanan namun tidak ada kesepakatan antara ulama’ tafsir, oleh itu cukuplah kita katakan bahawa syaitan akan menggunakan berbagai cara untuk menyesatkan manusia. Boleh baca penerangan lanjut tentang hal ini di penulisan lain. Kalau benda yang baik, syaitan akan cuba untuk menghalang kita daripada melakukannya; kalau benda yang buruk, syaitan akan cuba hasut kita untuk melakukannya.
Walau bagaimanapun ada satu arah yang tidak disebut – dari arah atas. Ini adalah kerana atas adalah tempat datangnya hidayah daripada Allah ﷻ, maka mereka tidak boleh mengganggu dari arah itu.
وَلا تَجِدُ أَكثَرَهُم شٰكِرينَ
Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.
Iblis yakin yang kebanyakan manusia tidak akan bersyukur, malah banyak yang kufur. Namun apakah maksud ‘syukur’ itu? Ia bukan sahaja mengucapkan Alhamdulillah (berterima kasih kepada Allah ﷻ) akan tetapi ia membawa maksud ‘taat’. Setelah menerima segala nikmat daripada Allah ﷻ, maka hendaklah kita taat kepada Allah ﷻ, bukan? Yang paling penting adalah taat dalam mentauhidkan Allah ﷻ. Ia sama dengan kita makan gaji di satu tempat, maka hendaklah kita mengikut arahan ketua syarikat, bukan?
Sememangnya terlalu ramai yang tidak taat kepada Allah ﷻ. Iblis sudah dapat mengagak yang memang ramai manusia yang tidak akan taat kepada suruhan Allah ﷻ. Dalam hadith juga ada disebut bagaimana hanya satu daripada seribu manusia sahaja yang akan masuk syurga.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : ” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : ” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا
Abu Sa’id al-Khudri رضي الله عنه meriwayatkan Nabi ﷺ bersabda: “Allah Ta’ala berfirman: Wahai Adam!’ Adam menjawab: Aku menjawab panggilan Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan Mu. Lalu Allah ﷻ berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka. Dia bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka? Allah ﷻ menjawab: UNTUK SETIAP SERIBU ORANG ADA SEMBILAN RATUS SEMBILAN PULUH SEMBILAN. Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih. Para Sahabat bertanya: Ya Allah, Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu? Nabi ﷺ menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya’juj dan Ma’juj.
(HR Bukhari No. 3121)
Ayat ini juga mengajar kita apa yang syaitan akan lakukan terhadap kita. Mereka akan hasut dan sesatkan manusia sehingga manusia tidak bersyukur kepada Allah ﷻ. Ini kerana kalau kita bersyukur kepada Allah ﷻ, kita akan taat kepada segala suruhan-Nya. Kalau sudah tidak bersyukur, tidak ada ketaatan lagi. Maka kerana itu kita lihat ramai yang mengeluh sepanjang masa, sedangkan sudah banyak nikmat yang Allah ﷻ telah berikan. Mereka tidak nampak segala nikmat itu, tetapi nampak masalah sahaja sepanjang masa.
A’raf Ayat 18:
قالَ اخرُج مِنها مَذءومًا مَدحورًا ۖ لَمَن تَبِعَكَ مِنهُم لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُم أَجمَعينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Allāh] said, “Depart from it [i.e., Paradise], reproached and expelled. Whoever follows you among them – I will surely fill Hell with you, all together.”
(MALAY)
Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir. Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”.
قالَ اخرُج مِنها مَذءومًا مَدحورًا
Allah berfirman: “Keluarlah kamu dari syurga itu sebagai orang terhina lagi terusir.
Allah ﷻ mengarahkan supaya syaitan keluar dari syurga, dengan keadaan terkutuk lagi terusir daripada rahmat. Dia dikeluarkan dengan keadaan hina sekali kerana memang dia seorang yang bersalah sangat.
Dalam ayat 13 bukankah telah dihalau Iblis itu? Jadi kenapa ada pengulangan di sini? Ulama’ ada mengatakan di dalam ayat 13 itu adalah cadangan sahaja dan di ayat 18 ini ia sudah menjadi arahan tegas.
Lafaz مَدحورًا juga bermaksud dia dikeluarkan secara hina, dengan dijaga untuk memastikan dia benar-benar keluar. Seperti kalau ada orang yang tidak mahu masuk dalam pejabat kita, kita panggil sekuriti dan sekuriti itu akan menemani orang itu sehingga ke pintu untuk memastikan dia benar-benar keluar.
Atau kalau zaman dulu, kalau ada orang yang dibuang daerah, mereka akan dibawa ke pintu kota dan dihalau keluar dan diingatkan supaya tidak datang lagi ke bandar itu.
لَمَن تَبِعَكَ مِنهُم لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكُم أَجمَعينَ
Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”.
Dan Allah ﷻ beritahu kepada Iblis, sesiapa sahaja yang mengikutinya dan kuncu-kuncunya, Allah ﷻ akan penuhkan neraka dengan mereka semua sekali – iblis, syaitan dan mereka yang mengikuti mereka akan duduk bersama-sama dalam Jahannam.
Ini adalah sumpah dan keputusan daripada Allah ﷻ. Maka hendaklah kita berhati-hati dengan rancangan iblis dan syaitan. Kena tahu perangkap mereka supaya kita boleh mengelak daripada mereka. Ini kena baca dan belajar melalui kitab Talbis Iblis yang menceritakan cara tipu helah iblis dan syaitan.
A’raf Ayat 19: Ini adalah penyempurnaan kisah tentang iblis dan bagaimana permulaan dia hendak menyesatkan manusia. Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu tentang nasihat kepada Nabi Adam عليه السلام supaya mendengar nasihat-Nya dan jangan dengar nasihat selain daripada-Nya.
وَيٰئادَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat from wherever you will but do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”
(MALAY)
(Dan Allah berfirman): “Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”.
وَيٰئادَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ
(Dan Allah berfirman): “Hai Adam, bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga
Setelah Allah ﷻ menjadikan Nabi Adam عليه السلام, dan kemudian menjadikan Hawaa’, mereka telah ditetapkan untuk tinggal di dalam syurga. Maka, ini adalah kebenaran untuk mereka duduk dalam syurga. Kisah ini juga sudah disebut di dalam Surah Baqarah. Sila rujuk ayat Baqarah: 35 juga.
Syurga apakah ini? Ini menjadi khilaf dalam kalangan agamawan. Ada yang kata inilah syurga yang sekarang ini menunggu kita memasukinya; ada yang kata ini syurga lain sebab kalau syurga sebenar, tidak ada larangan; ada yang kata ini adalah taman yang Allah ﷻ jadikan kerana kalimah jannah itu asalnya bermaksud taman.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ bercakap terus kepada Nabi Adam عليه السلام kerana baginda adalah ketua keluarga dan bertanggungjawab kepada keluarga baginda itu. Bagindalah yang sebenarnya membuat keputusan keluarga.
Jadi, ini berlawanan dengan pendapat sesat Kristian yang mengatakan Hawwa’ lah yang telah buat keputusan untuk memakan pokok larangan itu dan telah menghasut Nabi Adam عليه السلام. Ini adalah tidak benar.
فَكُلا مِن حَيثُ شِئتُما
serta makanlah olehmu berdua di mana saja yang kamu sukai,
Allah عليه السلام kata mereka boleh makan di mana sahaja yang mereka ingin. Boleh makan apa sahaja yang mereka hendak dari syurga itu, di mana sahaja. Itulah maksud حيث yang nisbah kepada tempat dan masa. Begitu banyaklah nikmat yang sudah ada di dalam syurga itu, mereka boleh nikmati semuanya. Tidak ada halangan bagi mereka. Makanlah puas-puas.
Lihatlah bagaimana kali ini Allah ﷻ berkata kepada kedua-dua Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’. Kerana kali ini bukan tentang tanggungjawab, tetapi tentang menikmati kehidupan. Allah ﷻ suruh mereka menikmati kehidupan dalam syurga itu.
وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ
dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini,
Namun ada satu syarat. Boleh buat apa sahaja, makan apa sahaja yang ada di syurga itu, cuma ada satu syarat sahaja: jangan hampiri pokok ini. Oleh itu, semua perkara dibenarkan kecuali satu ini sahaja tidak boleh.
Sepatutnya tidaklah ada masalah sebab ada banyak benda boleh dimakan, cuma satu sahaja tidak boleh makan, bukan? Dan kali ini Allah ﷻ berkata kepada kedua-dua mereka, kerana ini adalah perkara yang amat penting, jadi kena sampaikan kepada keduanya sekali. Adam ﷻ dan Hawaa’ kena tahu ada larangan tentang hal ini.
Pokok apa? Tidak ada penjelasan. Pendapat yang mengatakan pokok epal, gandum dan sebagainya adalah daripada kisah Israeliyyat sahaja, maka tidak boleh digunapakai. Apabila Allah ﷻ senyapkan, maka kita tidak perlu untuk membuat andaian. Dan yang disebut pun adalah ‘pokok’, bukannya ‘buah’ pun. Cuma ada juga pendapat yang mengatakan kalau disebut pokok, ia tentu membawa maksud buah. Akan tetapi, ada juga pendapat lain yang kata, ada juga pokok yang dimakan, tidak semestinya buah.
فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ
lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim”.
Namun kalau mereka hampiri juga, Allah ﷻ berikan amaran awal-awal yang mereka berdua akan menjadi golongan zalim, kerana melanggar larangan. Arahan sudah diberi, bukan? Nanti kita akan lihat apa yang terjadi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 2 November 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Maariful Qur’an
siapa penulis blog ni
LikeLike
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ar-Rabi’b.Sulaiman beliau mendengar As-Syafii berkata ketika disebut berkenaan ilmunya dan kitab-kitabnya dan ketika itu beliau sedang sakit:
وددت لو أن الخلق تعلموه،ولا ينسب إلي منه شيء
“Aku suka kalau semua makhluk mengetahuinya (ilmu dan tulisan yang aku sampaikan) namun tidak dinisbahkan kepadaku darinya walau suatu apa pun”
LikeLike
Assalamualaikum wr.wb,
Tuan tafsirsunnah yg dirahmati Allah.
saya suka dengan kata tuan ini : Iblis salahkan Allah kerana telah menyesatkan dia. Memang taqdir Allah akan memasukkan Iblis ke dalam neraka, tapi usaha dia juga yang menyebabkan dia sesat dan engkar. Lihatlah bagaimana dalam ayat ini, Iblis menggunakan lafaz أَغوَيتَني (Kau menyesatkan aku) menunjukkan dia menyalahkan Allah kerana dia sesat. Orang yang baik akan salahkan diri sendiri sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Adam. Apabila Nabi Adam sedar yang baginda telah buat salah, baginda terus mengaku kesalahan baginda dan terus meminta ampun. Tapi Iblis salahkan Allah pula. Begitulah ketaranya perbezaan antara Iblis dan Adam. Maka kita nak ikut perangai Iblis atau perangai Nabi Adam? Maka janganlah kita nak salahkan orang lain pula kalau kita ada masalah. Kerana ramai orang yang apabila ada masalah, dia akan sibuk benar cari salah orang lain, tapi tak nampak kesalahan itu pada dirinya.
dan ini,
jadi ini adalah empat cara Iblis menyesatkan manusia. Banyaklah pendapat tentang apakah maksud depan, belakang, kiri dan kanan. Tidak ada kesepakatan, jadi cukuplah kita katakan bahawa syaitan akan gunakan berbagai cara untuk menyesatkan manusia. Kalau benda yang baik, syaitan akan cuba untuk menghalang kita dari melakukannya; kalau benda yang buruk, syaitan akan cuba hasut kita untuk melakukannya.
Tapi ada satu arah yang tidak disebut – dari arah atas. Ini adalah kerana atas adalah tempat datangnya hidayah dari Allah, jadi mereka tidak boleh kacau dari arah itu.
iblis (syeitan) hanya menyesatkan manusia dalam empat cara urusan dunia, oleh sebab itu iblis hanya menggoda manusia dengan keindahan duniawi saja.
dan kenapa tidak arah atas dan bawah?
arah atas : manusia dan jin tidak mampu :surat Ar rahman ayat 33.
(33). يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ تَنْفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانْفُذُوا ۚلَا تَنْفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ
Hai jama`ah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan.
kekuatan hanya ada pada sisi Allah saja.
arah bawah : manusia yg tunduk/sujud (beriman) kepada Allah tidak dapat digoda oleh iblis (syeitan).
wassalamualaikum wr.wb,
ustad sayyid
LikeLike
Salam ustaz.
Ada seorang pernah tanya saya, bagaimana syaitan boleh menghasut nabi adam di dalam syurga sedangkan waktu itu dia (syaitan) telah dihalau dari syurga.
Saya tidak dapat menjawabnya.
Semoga ustaz dapat memberi penjelasan. Jazakallah.
LikeLike
Tidak jelas diberitahu dalam hadis. Jadi pendapat mengatakan, dia masih lagi di langit tapi tidak di dalam syurga. Apa pun dia masih dapat berkomunikasi dengan Nabi Adam. Bagaimana caranya, kita tidak tahu dengan pasti, tapi ia terjadi. Kita tidak diberatkan untuk tahu bagaimana caranya. Itu hanyalah kehendak otak kita yang tertanya-tanya sahaja. Kena redha bahawa ada perkara yang kita tidak akan dapat tahu kerana Allah tidak beritahu.
LikeLike
Assalamualaikum .
Mohon diperbaiki penulisannya lagi . Berterabur cara penulisan maka berteraburlah cara faham nya . Mohon ya ? .
terima kasih .
LikeLike
Maaf ini sahaja saya mampu. Mungkin boleh dicari maklumat di tempat lain yang lebih baik. Maaf ya, saya tak pandai sangat menulis. Saya tulis untuk nota sendiri sahaja ni. Untuk simpanan sendiri. Terima kasih kerana tumpang membaca.
LikeLike