Tafsir Surah al-A’raf Ayat 20 – 23 (Doa pengampunan daripada Nabi Adam)

A’raf Ayat 20: Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’ telah diingatkan untuk tidak mendekati pokok larangan itu, maka syaitan telah mengambil peluang untuk menghasut mereka. Dalam banyak perkara yang boleh dinikmati oleh mereka berdua, benda yang satu yang tidak boleh itulah yang syaitan akan gunakan sebagai penyebab untuk menjatuhkan Nabi Adam عليه السلام. Iblis sememangnya pandai mengambil peluang.

Di dalam ayat ini, kita akan melihat helah yang digunakan oleh iblis sampaikan Nabi Adam عليه السلام akhirnya tertipu.

فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطٰنُ لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوءٰتِهِما وَقالَ ما نَهٰكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ أَو تَكونا مِنَ الخٰلِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But Satan whispered to them to make apparent to them that which was concealed from them of their private parts. He said, “Your Lord did not forbid you this tree except that you become angels or become of the immortal.”

(MALAY)

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)”.

 

فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطٰنُ

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya

Syaitan telah membisikkan was-was kepada mereka berdua. Inilah salah satu cara syaitan menggoda manusia. Syaitan tahu apakah yang telah dilarang kepada mereka dan syaitan mengambil peluang itu untuk menjerumuskan mereka supaya tidak taat kepada larangan Allah ‎ﷻ.

Nota: ini bukanlah was-was yang dialami oleh sesetengah Muslim kita. Was-was Melayu berbeza iaitu was-was dalam beribadah seperti asyik terlupa salat berapa rakaat, was-was wudhu’ dan ketika mandi junub. Was-was sebegini ada kaitan dengan masalah otak dan ditipu oleh syaitan yang mengganggu fikiran mereka. Was-was jenis ini pun ada elemen bisikan syaitan. Syaitan akan bisikkan seperti: “Eh kau dah basuh ke tangan kanan masa wudhu’ tadi? Eh, betul ke kau tengah rakaat 2, bukan 3 ke?”

Syaitan menggunakan kaedah bisikan. Ini kerana kalau hendak menipu, mengumpat, memang semua akan berbisik, bukan? Tak mahu orang lain tahu.

Tujuan syaitan adalah supaya mereka berdua derhaka kepada Tuhan sahaja. Kalimah ‘was-was’ dari segi bahasa maksudnya datang dari belakang supaya tidak nampak siapa yang membisikkan, kemudian bisik, kemudian hilang, datang kembali bisik dan hilang kembali. Dan terus melakukan perkara yang sama berulang-ulang.

Bisikan dari arah belakang dan kemudian hilang itu adalah supaya orang yang dibisikkan itu apabila dia toleh ke belakang, dia tidak nampak siapa yang bisikkan. Maka, orang itu tidak menyangka yang bisikan itu dari luar, tetapi adalah daripada dirinya sendiri. Maka, dia telah tertipu. Oleh itu, proses  meniupkan was-was itu berjaya bukanlah dengan hanya satu bisikan sahaja, tetapi berkali-kali. Kalau sekali, tidaklah ia menjadi. Yang memerangkap manusia adalah apabila perkara ini berterusan dan syaitan sememangnya tidak mempunyai kerja lain, maka diteruskan berkali-kali bisikan was-was ini kepada manusia. Kita telah jelaskan dengan panjang lebar di tempat yang lain.

Syaitan tidak kelihatan kepada mereka berdua; oleh itu tidaklah sama kisah ini seperti yang terdapat dalam tradisi Kristian yang menggambarkan syaitan datang menyerupai bentuk ular yang menghasut mereka. Itu adalah dongeng mereka sahaja (kisah Israeliyyat yang tidak boleh digunapakai). Oleh hal yang demikian, janganlah bayangkan begitu. Malangnya mungkin ramai yang sudah terbayang gambaran sebegitu kerana sudah selalu dihidangkan dengan kisah dongeng itu.

 

لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوءٰتِهِما

untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup daripada mereka iaitu auratnya

Akhirnya Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’ telah termakan bisikan iblis dan hasil daripada kesalahan mereka itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat mereka yang biasanya tertutup. Secara automatik pakaian mereka telah dilucutkan oleh Allah ‎ﷻ. Maka tahulah mereka yang  mereka telah membuat kesalahan besar dan dimurkai oleh Allah‎ ﷻ.

Perlu diingatkan bahawa tujuan asal syaitan bukanlah untuk menelanjangkan mereka berdua. Tujuan syaitan adalah untuk mereka derhaka kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Cuma kemudian mereka ditelanjangkan hasil daripada perbuatan mereka. Oleh itu, huruf lam dalam lafaz لِيُبدِيَ bukan bermaksud ’tujuan’. Atau, ia memang bermaksud tujuan iblis kerana dia tahu yang itu menghinakan mereka berdua.

Perbuatan menelanjangkan manusia ini diteruskan iblis dan syaitan. Begitulah kita lihat bagaimana manusia yang jauh daripada agama, akan menayangkan tubuh badan mereka untuk dilihat oleh manusia lain. Ini kerana itulah yang syaitan bisikkan kepada manusia untuk bertelanjang. Iblis telah berjaya menelanjangkan Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’, maka anak cucunya pun hendak ditelanjangkan juga.

Oleh sebab itu, manusia yang sentiasa menampakkan aurat mereka sentiasa berada di dalam dosa. Pergi merata-rata luar dari rumah dan sepanjang masa mereka berada dalam keadaan berdosa. Perbuatan ini berbeza dengan perbuatan dosa lain seperti mengumpat. Dosa mengumpat tidaklah sepanjang masa dilakukan, bukan? Akan tetapi, dosa mendedah aurat adalah berpanjangan. Kerana orang dedah aurat ini bukan sekejap-sekejap sahaja, bukan?

 

وَقالَ ما نَهٰكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ

dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat 

Di atas tadi adalah huraian bagi maksud ‘was-was’. Sekarang diberitahu apakah kata-kata iblis kepada mereka berdua untuk menipu mereka. Iblis telah menipu mereka dengan mengatakan, kononnya Allah ‎ﷻ menghalang mereka berdua daripada memakan daripada pokok itu kerana Dia tidak mahu mereka berdua menjadi malaikat. Iblis kononnya hendak beritahu jika dimakan daripada pokok itu, maka, mereka berdua akan menjadi malaikat.

Alasan ini sebenarnya tidak masuk akal. Kenapakah pula Nabi Adam عليه السلام dan Hawaa’ hendak menjadi malaikat? Sedangkan malaikat sebelum ini telah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk memuliakan Nabi Adam عليه السلام, maknanya kedudukan Nabi Adam عليه السلام adalah lebih tinggi daripada mereka!

Ini menunjukkan yang was-was syaitan tidak semestinya logik. Perkara mengarut pun mereka akan bisikkan. Namun oleh kerana selalu dia datang dan pergi membisikkan benda yang sama, menyebabkan manusia boleh termakan. Kerana itulah kita sebenarnya tidak hairan dengan kepelikan fahaman masyarakat kita. Ayah Pin yang gila itu pun ramai yang percaya, bukan? Begitu juga dengan banyak ustaz-ustaz karut di Malaysia dan serata dunia ini. Ada sahaja yang percaya kepada mereka, padahal kita sendiri boleh lihat ada ajaran mereka itu karut sangat.

Kenapa ditawarkan status malaikat kepada mereka berdua? Kerana sifat malaikat adalah hamba yang taat. Maka, iblis menawarkan mereka untuk menjadi baik, menjadi malaikat yang sentiasa beribadah dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini mengajar kita yang kadangkala syaitan menyesatkan manusia dengan mengajak ke arah kebaikan. Ia nampak sahaja baik, tetapi sebenarnya ‎ﷻ. Begitulah golongan sufi tarekat itu menjadi sesat kerana kononnya hendak menjadi baik. Namun, mereka sebenarnya telah ditipu oleh syaitan.

Begitulah syaitan pandai menipu manusia berdasarkan kepada keinginan dan minat seseorang. Kepada orang yang hendak menjadi orang ibadah, mereka ditipu dengan amalan-amalan bid’ah; kepada orang yang berjuang, mereka ditipu dengan ilmu-ilmu persilatan yang ada elemen syirik di dalamnya. Dan banyak lagi contoh lain.

Inilah salah satu daripada Talbis Iblis. Iblis mencantikkan perkara yang sebenarnya buruk. Manusia mudah tertipu sebagaimana Nabi Adam عليه السلام juga tertipu. Maka ini menjadi pengajaran kepada kita. Kalau Nabi Adam عليه السلام yang pandai itu pun boleh tertipu, apatah lagi kita. Ini mengajar kita untuk sentiasa berwaspada.

 

أَو تَكونا مِنَ الخٰلِدينَ

atau menjadi orang-orang yang kekal

Hasutan kedua iblis: Allah ‎ﷻ tidak mahu kamu kekal dalam syurga. Mereka masih manusia tetapi kekal dalam syurga. Syaitan menghasut mereka berdua dengan berkata, bukankah Allah ‎ﷻ telah berkata yang Allah ‎ﷻ menjadikan Adam عليه السلام sebagai khalifah di bumi? Oleh sebab itu, dia menghasut dengan berkata kalau tidak mahu pergi ke bumi, maka kena makan daripada pokok itulah. Dia juga kata, dia (iblis) kena keluar dari syurga itu sebab dia tidak makan pokok itulah.

Inilah cara syaitan buat was-was. Sebelum ini, Allah ‎ﷻ kata ‘jangan dekati’ sahaja, tetapi syaitan yang berbohong dengan mengisikan tempat kosong – ‘kenapa’? Padahal Allah ‎ﷻ tidak perlu beri sebab, yang penting kena taat sahaja. Disebabkan kepandaian syaitan menipu inilah, ramai manusia terpedaya dengan syaitan.

Syaitan memang pandai menipu, kononnya dia beritahu hikmah larangan Tuhan. Sepatutnya apabila Allah ‎ﷻ larang maka ikut sahaja, tidak perlulah difikirkan sangat sebab Allah ‎ﷻ larang. Inilah bahayanya apabila tidak yakin dengan arahan Allah ‎ﷻ dan mula menggunakan akal untuk menterjemahkan larangan Allah ‎ﷻ, akibatnya manusia akan rebah dalam kesesatan. Syaitan akan memastikan manusia menggunakan akal dan tidak yakin dengan wahyu. Namun akal kita ini tidak mampu untuk mencapai tahap kebijaksanaan Allah ‎ﷻ. Kita tidak akan tahu apakah tujuan Allah ‎ﷻ.

Syaitan menipu mengatakan yang kalau makan pokok/buah itu, maka mereka kekal dalam syurga. Kerana itu dia kata ia adalah ‘Pokok Khuldi’ seperti yang syaitan sebut sendiri dalam Taha:120

فَوَسوَسَ إِلَيهِ الشَّيطانُ قالَ يا آدَمُ هَل أَدُلُّكَ عَلىٰ شَجَرَةِ الخُلدِ وَمُلكٍ لا يَبلىٰ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

Maka di sini kita tahu yang ini adalah penipuan sahaja. Malangnya masyarakat kita apabila sebut pokok ini, semua akan sebut pokok khuldi, sedangkan ia nama yang diberi oleh iblis. Oleh yang demikian, tidak patut kalau kita menggunakan nama itu. Allah ‎ﷻ tidak menamakan pokok itu, maka kita biarkan sahaja begitu kerana nama pokok itu tidaklah penting.


 

A’raf Ayat 21: Ini adalah tambahan kata-kata iblis untuk menguatkan bisikan was-was. Tujuannya adalah untuk menguatkan lagi tipu helahnya itu.

وَقاسَمَهُما إِنّي لَكُما لَمِنَ النّاصِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he swore [by Allāh] to them, “Indeed, I am to you from among the sincere advisors.”

(MALAY)

Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”,

 

Syaitan telah bersumpah kepada mereka berdua dengan menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Dia bersumpah kerana dia mahu meyakinkan yang dia benar dalam kata-katanya itu. Bersungguh-sungguh dia menggunakan nama Allah ‎ﷻ untuk menipu. Dia kata dengarlah nasihat dia sebab dia dulu pun sudah lama duduk dalam syurga jadi dia ada pengalaman.

Oleh sebab itu, kita jangan mudah terpedaya dengan mereka yang menggunakan sumpah di dalam hujah mereka. Tujuan dia adalah dia hendak menunjukkan yang dia sangat prihatin dan hendak memberikan nasihat sahaja kepada mereka. Dia hendak menunjukkan yang dia ikhlas dalam menasihati mereka dan kononnya nasihat itu demi kebaikan mereka.

Oleh kerana dia telah menggunakan sumpah dengan nama Allah ‎ﷻ, maka ini telah menambahkan kepercayaan kepada Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ kerana mereka tidak sangka akan ada orang yang sanggup menipu dengan nama Allah ‎ﷻ.

Mungkin kita tertanya, bagaimanalah Adam عليه السلام dan Hawwa’ boleh berjaya ditipu oleh iblis? Kita kena faham yang mereka berdua tidak pernah ditipu lagi oleh sesiapa. Seperti orang kita yang tidak pernah ditipu, maka senang sahaja ditipu kerana tidak pernah ada pengalaman. Tambahan pula, iblis menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Maka, Nabi Adam عليه السلام fikir tidak mungkin iblis berani bersumpah menggunakan nama Allah ‎ﷻ semata-mata untuk menipu?

Maka kita jangan ikut cara iblis yang bersumpah apabila menipu. Tidak molek kalau asyik bersumpah sahaja. Itu adalah sunnah iblis. Sepatutnya sesama Muslim kita percaya sahaja kata-kata seorang Muslim yang lain tanpa perlu dia bersumpah. Bersumpah itu digunakan dalam perkara yang besar-besar sahaja.


 

A’raf Ayat 22:

فَدَلّٰهُما بِغُرورٍ ۚ فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ ۖ وَنادٰهُما رَبُّهُما أَلَم أَنهَكُما عَن تِلكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُل لَّكُما إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُما عَدُوٌّ مُبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he made them fall, through deception. And when they tasted of the tree, their private parts became apparent to them, and they began to fasten together over themselves from the leaves of Paradise. And their Lord called to them, “Did I not forbid you from that tree and tell you that Satan is to you a clear enemy?”

(MALAY)

maka syaitan menjatuhkan keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”

 

فَدَلّٰهُما بِغُرورٍ

Maka syaitan menjatuhkan keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. 

Maka syaitan telah menyebabkan kedua-duanya tergelincir sehingga diturunkan ke dunia dengan menggunakan tipu daya. Dia telah berjaya menipu dan mengheret mereka untuk melakukan apa yang dia kehendaki dengan cara yang licik dan perlahan-lahan.

Ia tidaklah berlaku dengan segera tetapi mengambil masa yang lama. Penyabar sekali syaitan dalam memujuk Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’. Inilah cara syaitan yang kita belajar dalam ayat ini. Iblis dan kuncu-kuncu syaitan yang lain memang pandai dalam menggunakan taktik-taktik untuk menjatuhkan manusia. Mereka tidak akan berhenti selagi manusia itu hidup. Kalau mereka kena lari meninggalkan manusia sekejap, mereka akan datang lagi.

Sebagai contoh, jika azan dilaungkan, mereka akan lari seketika tetapi mereka akan kembali lagi. Mereka akan menggunakan apa sahaja peluang yang ada untuk menipu kita. Mereka memang kenal sangat dengan perangai kita, kelemahan kita, apa yang kita suka dan sebagainya. Semoga Allah ‎ﷻ melindungi kita daripada was-was syaitan itu.

 

فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما

Tatkala keduanya telah merasai pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, 

Apabila mereka berdua telah merasai pokok itu, serta merta terbuka aurat mereka berdua. Dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an menceritakan tentang kejadian ini, selalunya digunakan lafaz ‘pokok’ sahaja. Namun itu adalah dari segi bahasa sahaja. Dalam bahasa Arab, apabila dikatakan ‘merasai’ pokok itu, maknanya ada buah yang dimakan. Ini merupakan salah satu pendapat. Pendapat yang lain mengatakan jika disebut pokok, maka pokoklah yang dimakan. Kalau zaman sekarang pun ada batang pokok yang dimakan juga, bukan?

Selepas mereka memakan atau merasai pokok (atau buah) itu, maka teruslah terbuka aurat mereka yang selama ini tertutup dengan pakaian mereka. Ada tafsir yang mengatakan yang sebelum itu, aurat mereka tertutup dengan nur (cahaya).

Akan tetapi apa kaitan terbuka aurat mereka dengan makan pokok itu? Kita pun banyak juga buat dosa tetapi tidaklah terbuka pakaian kita, bukan? Ini adalah kerana perbuatan mereka itu adalah aib (aurat) dan Allah ‎ﷻ bukakan aurat mereka.

 

وَطَفِقا يَخصِفانِ عَلَيهِما مِن وَرَقِ الجَنَّةِ

dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga.

Mereka berdua dengan segera (bergegas) menutup aurat mereka dengan daun-daun daripada pokok yang ada dalam syurga. Maknanya pakaian yang Allah ‎ﷻ berikan, telah Allah ‎ﷻ menariknya balik. Sekarang mereka mesti bersusah payah mencari daun untuk dijadikan alas bagi badan mereka kerana itu sahaja yang ada pada waktu itu. Mereka lekatkan pada tubuh badan mereka masing-masing.

Inilah permulaan manusia mengalami perasaan malu yang amat sangat. Allah ‎ﷻ tidak mengajar pun mereka perasaan malu itu, tetapi mereka tahu sendiri. Ini bermaksud yang perasaan malu itu sudah ada dalam diri manusia, Allah ‎ﷻ telah meletakkan dari awal ke dalam diri manusia. Kita bukannya binatang yang tidak tahu erti malu kalau tidak berpakaian. Maka kalau ada yang suka berbogel, itu bukanlah sifat asal manusia, tetapi itu adalah sifat binatang dan adalah tidak normal untuk manusia.

Oleh kerana Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ berasa aib dengan dosa mereka itu, maka mereka bersegera menutupinya. Dan begitulah kita haruslah menutup aib dan dosa kita. Jangan pula cerita kepada orang lain. Malangnya ramai yang melakukan perkara ini seolah-olah bangga pula dengan dosa mereka. Mereka itu tidak diampunkan oleh Allah ‎ﷻ. Rasulullah ﷺ telah bersabda:

كُلُّ أُمَّتِى مُعَافَاةٌ إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنَ الإِجْهَارِ أَنْ يَعْمَلَ الْعَبْدُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ثُمَّ يُصْبِحُ قَدْ سَتَرَهُ رَبُّهُ فَيَقُولُ يَا فُلاَنُ قَدْ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ فَيَبِيتُ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

“Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka-mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam.

“Sementara Allah ‎ﷻ telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: “Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Dia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya dia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah ‎ﷻ.” 

(Sahih Bukhari: 5608).

 

وَنادٰهُما رَبُّهُما أَلَم أَنهَكُما عَن تِلكُمَا الشَّجَرَةِ

Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua daripada pohon itu?

Sekarang, Allah ‎ﷻ mengingatkan kembali peringatan yang Dia telah sampaikan kepada mereka berdua, yang bukannya mereka tidak tahu. Allah ‎ﷻ bertanya: Bukankah Aku telah larang? Bukankah larangan sudah tsabit? Bukankah larangan itu jelas?

Ini seumpama anak kita yang kita sudah kata jangan main lantai basah sebab licin. Kalau dia jatuh, apa kita akan kata: “Bukankah ayah dah cakap jangan main kat sini?”

 

وَأَقُل لَّكُما إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُما عَدُوٌّ مُبينٌ

dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”

Dan Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka, bukankah Dia telah beritahu mereka berdua yang syaitan adalah musuh mereka yang jelas nyata? Kalau sudah jelas yang syaitan itu adalah musuh yang nyata, tidak ada apa yang dia beri sebagai nasihat yang untuk kebaikan manusia. Segala apa yang datang daripada mereka adalah tipu daya sahaja.

Dan apabila diletakkan kalimah لكم di awal ayat, ini bermakna syaitan tetap akan menjadi musuh kita. Jika kita bermusuh dengan manusia, entah di lain waktu akan menjadi kawan baik pula, bukan? Lihatlah parti politik yang sekejap lawan sekejap kawan. Akan tetapi berbeza dengan syaitan, dia akan jadi musuh sampai bila-bila.

Oleh itu, kalau ada idea yang bercanggah dengan wahyu, lain daripada apa yang Allah ‎ﷻ perintah dan tetapkan, ingatlah yang itu adalah daripada syaitan. Syaitan hendak merosakkan manusia sahaja. Jika sudah belajar wahyu dan ada perkara yang bercanggah dengannya, kita sudah tahu yang ia adalah daripada syaitan.

Akan tetapi jikalau tidak belajar wahyu, bagaimana hendak tahu? Itulah sebabnya kita tekankan kepada pembaca sekalian untuk belajar dan memahami wahyu ini dengan sebaik mungkin. Kenalah ada usaha untuk belajar.


 

A’raf Ayat 23: Nabi Adam عليه السلام beralah dan terus meminta ampun kerana baginda sedar yang baginda telah berbuat salah. Inilah yang Allah ‎ﷻ hendak daripada hamba-Nya. Allah ‎ﷻ hendak kita mengaku dan memohon ampun sahaja, jangan melawan. Jika tahu yang kita sudah membuat salah, cepat-cepat minta maaf.

Namun ramai yang apabila diberitahu mereka membuat salah, mereka bukan mahu terima, tetapi mereka melawan lagi, dengan memberi hujah-hujah yang bathil untuk membenarkan juga kesalahan yang mereka telah lakukan. Ramai yang akan beri alasan, padahal Allah ‎ﷻ bukan hendak dengar alasan, tetapi Allah ‎ﷻ hendak dengar taubat daripada kita.

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Our Lord, we have wronged ourselves, and if You do not forgive us and have mercy upon us, we will surely be among the losers.”

(MALAY)

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

 

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا

Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri,

Doa meminta ampun ini diajar sendiri oleh Allah ‎ﷻ kepada mereka berdua kerana jika Allah ‎ﷻ tidak ajar mereka, mereka pun tidak tahu bagaimana hendak meminta ampun. Oleh itu, doa ini adalah doa yang baik untuk diamalkan.

Mereka mengaku yang mereka telah menzalimi diri mereka kerana mereka tidak berhati-hati dan tidak mengikut nasihat Tuhan. Mereka mengaku kekurangan mereka. Inilah cara hendak meminta ampun yang terbaik iaitu mengakui kesalahan yang kita lakukan. Apakah kesalahan mereka? Tidak berwaspada dengan tipu daya syaitan. Kita kenalah sentiasa berwaspada, jangan terlalu cepat membuat keputusan. Kena fikir dahulu sebelum membuat sesuatu kerana takut kita buat silap.

Maka Nabi Adam عليه السلام telah melakukan kesilapan. Allah ‎ﷻ telah mengampunkan semua dosa para Nabi. Akan tetapi yang lebih penting ditekankan di sini adalah permintaan pengampunan. Ini yang lebih penting.

Nabi Adam عليه السلام buat satu kesilapan sahaja pun sudah begitu hebat baginda meminta ampun. Maka ini mengajar kita untuk lebih meminta ampun daripada Allah ‎ﷻ kerana kita lebih banyak dosa. Maka selalulah minta ampun kepada Allah ‎ﷻ dan boleh amalkan doa ini yang diminta oleh Abu Bakr رضي الله عنه:

عَلِّمْنِى دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِى صَلاَتِى قَالَ قُلِ :اللَّهُمَّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِى مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku panjatkan ketika salat!” Maka baginda pun berkata, “Bacalah:

(Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)”

(HR. Bukhari No. 834 dan Muslim No. 2705)

Apakah maksud zalim? Jika menzalimi orang lain, mudah untuk kita fahami. Akan tetapi kalau menzalimi diri sendiri, mungkin agak susah. Menzalimi diri sendiri adalah apabila tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, menyebabkan kita yang susah nanti. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan kesalahan dosa kita di akhirat kelak. Malangnya kita tidak nampak bagaimana kita menzalimi diri sendiri jika tidak salat, tidak puasa, dan sebagainya, bukan?

Maka Adam عليه السلام dan Hawwa’ telah mengakui kesilapan mereka. Ini amat berlainan sekali dengan iblis yang tidak mengaku dia bersalah. Malah dia berhujah pula dengan Allah ‎ﷻ kenapa dia melanggar arahan Allah ‎ﷻ – dia gunakan alasan yang menggunakan logik akal sahaja, iaitu dia lebih tinggi kedudukan daripada Nabi Adam عليه السلام. Maka tidaklah patut kalau menggunakan logik akal untuk berhujah dengan Allah ‎ﷻ. Kena sedarlah Allah ‎ﷻ siapa dan kita ini siapa. Berapa ramai yang menggunakan logik akal mereka sampaikan terkeluar daripada Islam.

Mereka sangka akal mereka sudah cukup pandai untuk memikirkan kejadian Allah ‎ﷻ, kerja-kerja Allah ‎ﷻ dan undang-undang Allah ‎ﷻ. Ketahuilah yang itu adalah cara syaitan. Ramai yang sangka semua hukum Allah ‎ﷻ itu boleh dijelaskan dengan logik akal, dan kalau mereka tidak dapat jelaskan dengan logik akal, mereka tidak mahu terima. Mereka sangka Islam perlu menjelaskan semua perkara kepada mereka.

Ini adalah berbeza dengan sunnah dalam agama. Nabi kita semuanya taat kepada Allah ‎ﷻ tanpa soal; lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah ikut segala arahan Allah ‎ﷻ, walaupun dari segi logik akalnya, tidak masuk akal. Sebagai contoh, kenapa pula baginda harus menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام? Kenapa kena tinggalkan anak dan isterinya di padang pasir Mekah yang tidak ada apa-apa pun pada waktu itu? Memang kalau difikirkan, perbuatan itu tidak masuk akal, tetapi baginda taat juga dan lakukan juga kerana itu pasti arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Namun begitu, ini bukanlah larangan untuk menggunakan akal. Jangan salah anggap pula dengan pemahaman ini. Agama Islam kita ini adalah mesra akal dan memang agama menyuruh kita menggunakan akal kita. Kita memang digalakkan menggunakan akal untuk melihat apakah hikmah sesuatu perkara itu diwajibkan kepada kita, atau diharamkan kepada kita. Akan tetapi itu adalah untuk mencari hikmah dan melihat apakah kebaikan yang ada dalam hukum itu, supaya kita menjadi semakin mantap dalam melaksanakannya.

Oleh hal yang demikian, janganlah digunakan akal untuk mempersoalkan arahan Allah ‎ﷻ pula. Disebabkan silap menggunakan akallah yang mengakibatkan ada manusia yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Itu sudah melawan hukum yang telah ditetapkan, itu adalah derhaka.

Ada kadangkalanya kita tidak dapat menemui hikmah sesuatu arahan hukum itu. Jika kita jumpa pun, tidak semestinya ia adalah benar, kerana itu adalah kesimpulan daripada akal kita sahaja, dan akal kita tidak akan dapat mencapai tahap sempurna untuk mengetahui segala sesuatu dengan benar. Maka, kalau kita tidak dapat menemui hikmah sesuatu arahan Allah ‎ﷻ, kita tetap kena ikut juga.

Kita kena faham bahawa agama kita bukanlah memerlukan kita untuk faham sebab atau hikmah sesuatu perkara dalam agama itu, barulah diikuti. Tidak semestinya kita akan faham semua arahan Allah ‎ﷻ, tetapi yang pasti kita tetap kena taat. Sebelum masuk Islam, memang kita digalakkan untuk mempersoalkan segala perkara tentang agama Islam, tetapi apabila kita telah membuat keputusan untuk masuk Islam dan kita telah faham siapa diri kita dan siapa Allah ‎ﷻ, maka kita tidak ada hak untuk mempersoalkan hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

Dalam Al-Qur’an banyak diajar kita memulakan doa dengan kalimah ‘Rabbana’. Maka, ini adalah antara sunnah dimakbulkan doa kerana kita mengaku yang Allah ‎ﷻ itu adalah Rabb kita. Maksud Rabb adalah ‘pencipta, pemelihara dan penjaga’ kita. Maknanya kita mengaku kekuasaan Allah ‎ﷻ iaitu kita memulakan doa dengan mengagungkan Allah ‎ﷻ.

 

وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.

Dalam ayat ini, Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ memohon keampunan daripada Allah ‎ﷻ dan juga memohon rahmat. Kenapakah dua perkara ini yang diperlukan? Kenapakah tidak meminta ampun sahaja? Kerana dua-ada perkara ini amat penting. Jika kita sudah membuat salah, kenalah kita meminta ampun dan maaf di atas kesalahan kita. Jikalau permohonan kita sudah dimakbulkan, maka kita sudah selamat.

Namun tidak semestinya selamat itu sesuatu yang bagus sangat. Memang sudah selamat tetapi itu sebenarnya tidaklah hebat sangat. Sebagai contoh, kita selamat daripada memasuki penjara, tetapi itu tidak semestinya kita mendapat kelebihan-kelebihan lain, tidak semestinya dapat hidup baik dan mewah, contohnya. Maka kerana itu kita kena juga meinta rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Walau bagaimanapun kenalah dimulakan dengan permintaan keampunan kerana itu yang lebih penting.

Ini juga mengajar kita yang kita tidak dihalang daripada meminta rahmat daripada Allah ‎ﷻ walaupun baru sahaja membuat dosa. Lihatlah bagaimana Nabi Adam عليه السلام terus meminta rahmat daripada Allah ‎ﷻ selepas meminta ampun. Ini kerana baginda kenal akan Allah ‎ﷻ, dan tidak hilang harapannya terhadap Allah ‎ﷻ. Jika bukan berharap rahmat daripada Allah ‎ﷻ, dengan siapa lagi kita boleh berharap?

Di dalam potongan ayat ini juga, Adam عليه السلام dan Hawwa’ mengakui dan mengiktiraf yang Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh mengampunkan dosa mereka. Dan hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memberi rahmat. Tidak ada selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah kata-kata pujian kepada Allah ‎ﷻ kerana dalam doa perlu disertakan dengan pujian kepada Allah ‎ﷻ.

Bilakah doa Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ ini diucapkan? Jika kita lihat kepada kronologi, maka kita dapat lihat yang ia terus disebut apabila mereka tahu yang mereka telah melakukan kesilapan. Maknanya mereka terus meminta ampun. Begitulah permintaan keampunan hendaklah terus dilakukan.

Oleh sebab itu, ini adalah salah satu doa yang amat bagus untuk kita amalkan, terutama kalau kita ada buat kesalahan. Ini adalah antara doa yang diambil daripada Al-Qur’an, maka tentu ia lebih baik daripada doa yang lain. Kalau tidak ada di dalam Al-Qur’an, maka boleh cari dalam hadith pula. Kalau tidak ada, baru boleh disusun doa mengikut keperluan kita. Asalkan jika maknanya baik, maka tidak ada masalah dengan doa itu kerana fiqh doa adalah luas. Cuma pastikan ia di dalam ruang lingkup doa yang dibenarkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Ogos 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-A’raf Ayat 20 – 23 (Doa pengampunan daripada Nabi Adam)”

  1. Assalamualaikum, mohon pencerahan definisi “perubatan Islam” dalam tafsir ayat 27 surah al- A’raf di atas.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s