A’raf Ayat 24:
قالَ اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Allāh] said, “Descend, being to one another enemies. And for you on the earth is a place of settlement and enjoyment [i.e., provision] for a time.”
(MALAY)
Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.
قالَ اهبِطوا
Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian
Allah ﷻ berfirman: turunlah kamu semua. Dikatakan ‘semua’, kerana yang turun ke dunia itu termasuk juga zuriat mereka berdua. Dan maksudnya ‘semuanya’, kerana termasuk iblis diturunkan juga dari langit ke dunia.
بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ
sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain.
Sesetengah daripada mereka akan menjadi musuh kepada sesetengah yang lain. Inilah perangai manusia apabila duduk di dunia. Kalau semuanya duduk syurga tidak ada masalah kerana tiada permusuhan di syurga.
Namun bila manusia duduk di dunia, pelbagai masalah ada. Lelaki menjadi musuh kepada wanita, wanita menjadi musuh kepada lelaki, manusia menjadi musuh kepada syaitan dan sebaliknya. Dan permusuhan sesama manusia pun sudah banyak.
Dan tentunya permusuhan daripada iblis syaitan yang tidak padam dengan anak-anak Adam. Itu semua kita akan tempuhi selama mana kita hidup di dunia ini.
وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ
Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.
Bagi kita semua, telah ada satu tempoh yang ditetapkan untuk kita tinggal di dunia ini. Di dunia ini kita boleh nikmati segala nikmat yang Allah ﷻ telah sediakan untuk kita.
Akan tetapi ingatlah yang tempat tinggal di dunia ini untuk sementara waktu sahaja. Itulah yang dinamakan sebagai متاع. Sampai masa kita akan dimatikan dan sampai masa, dunia akan kiamat dan semua akan mengadap Allah ﷻ nanti. Oleh sebab itu hendaklah kita ingat yang dunia ini tidak kekal, maka jangan kita lebihkan sangat dunia ini berbanding akhirat.
A’raf Ayat 25:
قالَ فيها تَحيَونَ وَفيها تَموتونَ وَمِنها تُخرَجونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “Therein you will live, and therein you will die, and from it you will be brought forth.”
(MALAY)
Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.
قالَ فيها تَحيَونَ
Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup
Allah ﷻ kata: kamu akan hidup di dunia. Di sinilah tempat kita mencari kehidupan kita, semenjak kita lahir, sehinggalah kita menghembuskan nafas terakhir. Di sinilah juga tempat yang kita gunakan untuk mengumpul pahala untuk dibawa ke akhirat kelak. Maknanya, jangan ingat makan untuk hidup sahaja tetapi hendaklah beringat untuk mengumpul amal dan pahala.
وَفيها تَموتونَ
dan di bumi itu kamu mati,
Dan selepas menjalani kehidupan sekian lama, kita akan mati dan mati itu pun semasa di dunia. Kita kena sentiasa ingat tentang kematian. Ini penting kerana dengan ingat kematian lah yang menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa.
وَمِنها تُخرَجونَ
dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.
Dan dari dunia inilah nanti kita semua akan dihidupkan kembali. Kita akan dikuburkan dan kita akan dibangkitkan dari kubur yang dalam tanah itu juga nanti. Maknanya Mahsyar nanti di bumi juga. Allah ﷻ akan cipta yang lain, akan tetapi ia di sini juga.
Di bumi inilah hidup, mati dan dihidupkan semula. Allah ﷻ sebut itulah sahaja guna tanah ini. Ia tidak ada apa-apa kerana ia akan hancur juga. Malangnya kita ini sibuk sangat dengan tanah. Berebut tanah, jual tanah, curi tanah, takluk tanah orang lain, berhabis harta untuk beli tanah dan sebagainya. Padahal ia bukan milik kita pun.
Habis Ruku’ 2 dari 24 ruku’ dalam surah ini.
A’raf Ayat 26: Allah ﷻ memberikan nasihat kepada anak Adam dengan empat nasihat. Setiap satu ayat itu dimulai dengan lafaz ‘Wahai anak Adam’. Sekarang kita akan belajar kisah Nabi dan iblis.
Ini adalah ayat sokongan kepada Dakwa kedua: ikut wahyu yang Allah ﷻ sampaikan dan jaga hukum Allah ﷻ. Ini adalah nasihat pertama:
يٰبَني ءآدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُوٰري سَوءٰتِكُم وَريشًا ۖ وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ ۚ ذٰلِكَ مِن ءآيٰتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O children of Adam, We have bestowed upon you clothing to conceal your private parts and as adornment. But the clothing of righteousness – that is best. That is from the signs of Allāh that perhaps they will remember.
(MALAY)
Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.
يٰبَني ءآدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا
Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian
Selepas mendengar kisah datuk kamu dan apa yang telah terjadi kepada mereka berdua, maka dengarlah nasihat dalam ayat ini. Sebelum ini Allah ﷻ telah menceritakan bagaimana Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ telah diberikan hukuman semasa di syurga di atas kesalahan mereka, di mana mereka telah dinampakkan dengan aurat mereka, apabila pakaian mereka dicabut.
Dan sekarang dalam ayat ini pula, Allah ﷻ beritahu yang Dia telah ‘menurunkan’ pakaian untuk kita. Ini menunjukkan yang kita tidak salah (tidak mewarisi dosa Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’). Kerana kalau kita salah, kita pun mewarisi hukuman yang dikenakan kepada mereka berdua (terus ditelanjangkan) tetapi nampaknya tidaklah begitu.
Kenapa Allah ﷻ kata Dia ‘turunkan’ pakaian kepada kita? Ini tidaklah bermaksud pakaian kita pakai ini adalah pakaian dari syurga atau dari langit. Akan tetapi ia bermaksud yang nikmat berpakaian ini diturunkan daripada Allah ﷻ. Pakaian kita dibuat daripada elemen dunia yang Allah ﷻ jadikan untuk kita. Kita cuma menggunakan segala khazanah Allah ﷻ ini untuk mencipta pakaian yang indah-indah dan sesuai dipakai. Allah ﷻ juga yang menurunkan air hujan dari langit yang menumbuhkan tanaman yang digunakan untuk membuat pakaian seperti kapas.
Oleh hal yang demikian, ini menolak fahaman sesat ‘dosa warisan’ (Original Sin) yang dipegang oleh puak Kristian. Mereka kata kita manusia adalah makhluk yang disumpah, lahir-lahir terus ada dosa. Itu adalah fahaman yang karut sekali kerana bersangka buruk dengan Allah ﷻ dan alasan itu tidak ada dalilnya.
Selepas ini akan disebut tiga jenis pakaian. Yang pertama adalah pakaian fizikal, iaitu yang menutup aurat kita.
يُوٰري سَوءٰتِكُم
untuk menutup auratmu
Tujuan pakaian-pakaian itu diturunkan untuk kita adalah untuk menutup aurat. Maka, jika kita memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat, maka itu tidaklah seperti yang dikehendaki oleh Allah ﷻ. Maknanya kita tidak memakai pakaian sebenarnya.
Perhatikan yang ayat ini ditujukan bukan sahaja kepada Muslim, akan tetapi kepada anak Adam (seluruh umat manusia). Ternyatalah bahawa penutupan aurat adalah fitrah manusia sebenarnya.
Kalimah سواة yang digunakan dalam ayat ini bermaksud aib. Tubuh badan manusia tidaklah buruk dan hina kerana manusia dijadikan dalam bentuk terindah, akan tetapi ia tidaklah ditunjukkan di khalayak ramai. Kalau ditunjukkan itulah yang menjadi aib.
Menutup aurat adalah amat penting dalam agama. Dan kerana itulah penutupan aurat adalah perkara kedua yang disyariatkan selepas iman. Salat, puasa dan ibadah-ibadah lain datang selepas itu.
وَريشًا
dan untuk perhiasan.
Ini adalah penerangan kedua tentang pakaian. Ia bukan sahaja untuk menutup aurat tetapi lebih daripada itu, iaitu untuk keindahan. Oleh sebab itu, pakaian itu diberikan kepada kita untuk menutup aurat dan juga sebagai perhiasan. Tutup aurat itu adalah wajib dan memakai perhiasan itu hukumnya harus. Dibolehkan asalkan tidak melakukan perkara yang haram.
Kalimah risy atau riyasy secara harfiah bererti bulu burung yang halus dan indah. Risy menunjuk pada pakaian yang dikenakan untuk memperindah atau mempercantik diri. Oleh itu lafaz ريشًا dalam ayat ini bermaksud ‘keindahan pada pakaian’. Oleh itu, kita bukan sahaja disuruh untuk menutupi aurat kita tetapi kita juga digalakkan untuk memakai pakaian yang cantik dan menunjukkan ketamadunan kita. Dalam sirah dan hadith juga ada disebut bahawa Nabi ﷺ selalu memakai pakaian yang cantik-cantik. Ada pakaian yang diberi kepada baginda sebagai hadiah oleh para sahabat dan pembesar negara lain.
Oleh itu, berpakaianlah dengan kemas dan cantik. Allah ﷻ mahu supaya kita nampak cantik dengan pakaian kita. Kerana itulah Dia telah menurunkan kepada kita pakaian yang cantik-cantik. Maka amat baik kalau kita menggunakan nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Cuma bagi wanita, janganlah pakai pakaian yang menarik perhatian lelaki.
وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ
Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik.
Selepas menyebut tentang pakaian yang zahir, sekarang Allah ﷻ sebut pakaian jenis ketiga pula, iaitu taqwa. Pakaian taqwa adalah lebih baik lagi. Itu adalah pakaian rohani iaitu ketaatan kepada Allah ﷻ. Oleh kerana taqwa itu letaknya di dalam hati, maka kita perlu mencantikkan hati kita sepertimana kita juga disuruh mencantikkan pakaian kita. Allah ﷻ mengibaratkan taqwa itu seperti pakaian yang dipakaikan pada diri kita.
Zaid bin Ali berpendapat, pakaian taqwa itu adalah agama Islam itu sendiri. Menurut Ibn Abbas رضي الله عنهما ia adalah iman dan amal soleh. Pendapat lain menyatakan bahawa pakaian taqwa adalah moral dan keluhuran budi pekerti. (Tafsir al-Manar).
Oleh itu, pakaian taqwa adalah ketaqwaan itu sendiri, iaitu sikap tunduk dan patuh kepada Allah ﷻ dengan melaksanakan semua perintah Allah ﷻ dan menjauhi semua larangan-Nya. Dalam pengertian lain, inti taqwa adalah sikap mental atau kesedaran ketuhanan yang sangat tinggi pada seseorang yang memandang Allah ﷻ selalu hadir menyertai semua perbuatannya. Apabila sedar Allah ﷻ sentiasa memerhatikan, maka ia akan menghalang manusia itu daripada melakukan maksiat.
Juga ia bermaksud pakaian yang dipakai itu hendaklah pakaian yang menunjukkan taqwa. Bukannya pakaian yang ketat dan menunjukkan bentuk badan. Ramai antara kita yang memakai pakaian yang sudah menutup aurat kononnya, tetapi jika pakaian itu ketat, ia tidak sesuai dan tidak menepati syarak lagi. Juga janganlah memakai pakaian cantik tetapi haram seperti sutera bagi lelaki.
Jangan juga pakai pakaian yang menunjukkan kesombongan kerana Allah ﷻ tidak suka orang yang sombong. Pakailah pakaian biasa-biasa sahaja seperti orang lain.
ذٰلِكَ مِن ءآيٰتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ
Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.
Allah ﷻ mahu kita ingat kepada-Nya. Oleh itu, hendaklah kita memakai pakaian dan dalam masa yang sama, dengan pakaian itu kita boleh ingat kepada Allah ﷻ. Iaitu bila kita pakai, kita teringat yang itu adalah nikmat pemberian daripada Allah ﷻ.
Ini menunjukkan segala apa yang kita lakukan adalah dalam rangka untuk mengingatkan diri kita kepada Allah ﷻ. Ketika memakai baju pun boleh ingat kepada Allah ﷻ. Semasa memakai baju, ingatlah yang baju itu diberi oleh Allah ﷻ. Dan kita pakai baju itu kerana mengikut arahan Allah ﷻuntuk menutup aurat kita. Dan kita seboleh mungkin memakai pakaian yang menunjukkan ketaqwaan kita.
Ini penting untuk diingati dan kerana itu ada doa yang Nabi ﷺ ajar semasa memakai baju. Kita diingatkan sentiasa yang baju itu diberi oleh Allah ﷻ, Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita supaya dapat memakai baju yang cantik.
Doa Ketika Memakai Pakaian
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ كَسَانِىْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِحَوْلٍ مِنِّىْ وَلاَقُوَّةٍ
Segala puji bagi Allah yang memberi aku pakaian ini dan memberi rezeki dengan tiada upaya dan kekuatan daripadaku
A’raf Ayat 27: Ini nasihat kedua yang dimulakan dengan seruan wahai anak-anak Adam. Ini adalah tentang hikmah pakaian.
يٰبَني ءآدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطٰنُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِّنَ الجَنَّةِ يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوءٰتِهِما ۗ إِنَّهُ يَرىٰكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم ۗ إِنّا جَعَلنَا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O children of Adam, let not Satan tempt you as he removed your parents from Paradise, stripping them of their clothing¹ to show them their private parts. Indeed, he sees you, he and his tribe, from where you do not see them. Indeed, We have made the devils allies to those who do not believe.
- The garments of Paradise.
(MALAY)
Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.
يٰبَني ءآدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطٰنُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِّنَ الجَنَّةِ
Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga,
Janganlah lagi kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana datuk nenek kamu telah dikeluarkan dari syurga. Jangan biarkan mereka datang kepada kamu pun. Kamu patut benci kepada syaitan kerana segala keburukan yang ada pada mereka, termasuklah kerana mereka telah menyebabkan Datuk dan Nenek kita yang telah susah kerana dikeluarkan dari syurga kerana tipu daya mereka.
Seperti juga jika ada orang yang mengganggu ahli keluarga kita, kita pun marah kepada mereka, bukan? Maka kenalah kita benci kepada syaitan. Namun adakah kita berasa begitu? Adakah kita rasa yang Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ itu sebagai orang yang tidak ada kena mengena dengan kita, sampaikan kita tidak rasa sakit hati pun apabila mereka diperlakukan sedemikian oleh Iblis?
Janganlah kita bersikap begitu. Hendaklah kita sayang kepada mereka berdua sebagaimana juga kita sayang kepada ibubapa kita sendiri. Musuh mereka adalah musuh kepada kita. Maka sebagai musuh, kita hendaklah tahu bagaimana cara mereka menipu manusia, iaitu dengan belajar ilmu Talbis Iblis (Belitan Iblis) supaya kita tahu dengan jelas bagaimana untuk mempertahankan diri kita daripada penipuan syaitan dan iblis.
يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوءٰتِهِما
ia menanggalkan daripada keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.
Lihatlah apa yang telah syaitan lakukan, dia telah menyebabkan tercabut pakaian Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ yang akibatnya ternampak aurat mereka. Tidakkah kita rasa marah dengan perbuatan syaitan itu? Oleh itu, jangan ikut syaitan. Jangan termakan dengan pujukan dan bisikan mereka, dan kenalah kita belajar bagaimanakah cara-cara mereka menipu.
Dalam sejarah bangsa Arab, sebelum kedatangan Islam, golongan Jahiliyyah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Perbuatan ini paling teruk kerana mengaitkan telanjang dengan ibadah pula. Ini pun adalah daripada tipu daya syaitan juga. Mereka memberi hujah, kena berbogel sebab semasa mereka dijadikan oleh Allah ﷻdalam keadaan bogel juga. Ini adalah kerana mereka telah berjaya menelanjangkan datuk nenek kita, maka sentiasa sahaja mereka berusaha untuk menelanjangkan anak cucunya. Ini antara bid’ah yang diajar oleh syaitan dulu.
إِنَّهُ يَرىٰكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم
Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.
Ayat ini memberitahu kita yang syaitan boleh melihat kita, dia dan anak keturunan dia – dalam kalangan jin. Dan bukan itu sahaja, Allah ﷻ beritahu juga yang kita sendiri tidak boleh nampak mereka. Oleh kerana itu ancaman daripada mereka amat tinggi kerana kita tidak nampak musuh kita yang hendak menipu kita. Kalau nampak dengan mata, maka senang untuk elak, bukan?
Perkara ini penting untuk diketahui kerana ada ramai yang ada kekeliruan dengan perkara ini. Ramai yang kata mereka boleh nampak jin, nampak hantu, boleh rasa jin ada berapa ekor dalam bilik, boleh nampak bayangan jin, boleh ‘scan jin’ dan sebagainya. Ini tidak patut berlaku kerana yang sepatutnya kita tidak boleh langsung nampak mereka.
Dan kalau ada kisah yang manusia boleh nampak, itu ada dua kemungkinan: mungkin kerana seseorang itu ada karomah atau kerana memang orang itu memang rapat dengan syaitan. Disebabkan rapat dengan jin sampai boleh nampak dan rasa kehadiran jin. Jika berkawan dengan jin dan beramal dengan amalan yang jin suka, maka jin akan menampakkan diri mereka kepada kawan mereka.
Adat kebiasaannya, manusia memang tidak boleh nampak syaitan. Rupa asal syaitan tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi yang biasa boleh nampak itu hanyalah jelmaan dia sahaja. Daripada hadith kita tahu hanya keldai dan anjing sahaja yang boleh melihat jin dalam rupanya yang asal.
Daripada Jabir Bin Abdullah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ نُبَاحَ الْكِلَابِ، وَنَهِيقَ الْحُمُرِ بِاللَّيْلِ، فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ فَإِنَّهُنَّ يَرَيْنَ مَا لَا تَرَوْنَ
Apabila kamu mendengar anjing menyalak dan tempikan suara keldai pada waktu malam maka hendaklah kamu memohon perlindungan dengan Allah kerana sesungguhnya anjing dan keldai itu nampak akan apa yang kamu tidak nampak.
(Riwayat Abu Dawud (5103), al-Nasai’iy di dalam al-Sunan al-Kubra (10778) dan Ahmad (14283). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (14283) menyatakan sanad hadith ini Hasan.)
Manusia biasa nampak jin pun hanya dalam bentuk jelmaan sahaja. Ini boleh terjadi jika mereka menjelma seperti rupa manusia (atau hantu). Ini seperti kisah Abu Hurairah رضي الله عنه yang menangkap jin yang menyerupai manusia. Seperti juga malaikat, kalau mereka menjelma menjadi manusia, maka kita boleh melihat mereka. Namun itu jarang sekali berlaku. Jika seseorang itu mendapat karomah sekalipun, tidaklah sentiasa boleh nampak jin syaitan itu. Tidak ada sesiapa yang mahu nampak jin sentiasa. Kalau rupa comel tidak mengapa, tetapi mereka hodoh yang amat.
Oleh kerana itu, jika seseorang itu mengatakan mereka boleh nampak atau “scan jin”, itu ada masalah. Sampaikan Imam Syafi’iy رحمه الله menolak persaksian orang yang mengaku boleh melihat jin. Maknanya persaksian mereka ini tidak laku di mahkamah dan tidak layak menjadi saksi.
Namun begitu timbul juga persoalan kenapakah mereka boleh nampak? Berkemungkinan besar, mereka boleh berasa kehadiran jin itu kerana mereka sendiri ada mengamalkan amalan yang salah, yang telah mendekatkan jin dengan mereka. Ini termasuklah mereka yang banyak mengamalkan ‘perubatan Islam’ yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Islam pun.
Amalan mereka banyak yang syirik dan bid’ah, sampaikan jin suka duduk dengan mereka. Ini kerana amalan mereka sebenarnya memanggil jin sahaja. Itulah bahayanya jika berubat dengan mereka, kerana nanti bukannya boleh menghalau jin, tetapi menambahkan jin pula. Oleh itu, kenalah diperiksa apakah amalan harian mereka.
Ayat ini juga memberitahu kita, jin syaitan itu sentiasa sahaja memerhatikan kita, kerana tugas mereka memang untuk menyesatkan kita dengan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik. Ini adalah kelebihan sementara yang Allah ﷻ berikan kepada mereka, dalam rangka mereka hendak menyesatkan kita.
إِنّا جَعَلنَا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ
Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.
Allah ﷻ telah beritahu yang Dia jadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman. Itulah sebabnya, kalau ada fahaman dan amalan syirik, syaitan akan menjadi teman rapat dia. Ini dinamakan ‘qarin’ atau quranaa’ untuk jamak. Selalu duduk dekat dengan dia, selalu menampakkan diri kepada mereka yang mengamalkan amalan syirik itu. Selalu mengajak melakukan perkara maksiat dan berdosa.
Syaitan akan sentiasa hendak membogelkan manusia. Sebab itu kalau kita lihat orang yang tidak beriman, bagaimanakah pakaian mereka? Mereka berpakaian yang tidak sesuai – pakai baju, tetapi sebenarnya berbogel kerana masih menampakkan bentuk tubuh. Maka, kita jangan jadi seperti mereka. Selalu kita risaukan tentang pakaian perempuan, tetapi bagaimana pula dengan lelaki? Lelaki pun kena jaga juga bab pakaian. Pakailah pakaian yang menutup seluruh tubuh kita, dan pakai baju yang labuh sikit. Jangan pakaian yang ketat yang boleh menarik perhatian wanita.
Untuk wanita pula, janganlah sangka tutup aurat itu dengan memakai pakaian yang setakat menutup sahaja. Hendaklah dijaga perawakan juga. Kadangkala, ada yang sudah tutup aurat dari segi pakaian, tetapi cara cakap mereka, cara jalan mereka, cara mereka bergaul, tidak sesuai dengan cara Islam. Ini kerana mereka tidak menjaga pergaulan mereka dengan lelaki. Kita nampak senang sahaja mereka bercakap-cakap dan berinteraksi dengan orang bukan mahram mereka. Ini tidak sepatutnya berlaku.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Ogos 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Maariful Qur’an