Tafsir Surah al-A’raf Ayat 28 – 30 (Pakaian semasa salat)

A’raf Ayat 28: Ayat Syikayah (bebelan daripada Allah ‎ﷻ)

وَإِذا فَعَلوا فٰحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها ءآباءَنا وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها ۗ قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ ۖ أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they commit an immorality, they say, “We found our fathers doing it, and Allāh has ordered us to do it.” Say, “Indeed, Allāh does not order immorality. Do you say about Allāh that which you do not know?”

(MALAY)

Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya”. Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”. Adakah kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?

 

وَإِذا فَعَلوا فٰحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها ءآباءَنا

Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu,

Lafaz فٰحِشَةً bermaksud penderhakaan yang memalukan, yang terjadi kerana telah dibisik oleh syaitan. Malangnya ramai yang tidak sedar kesalahan yang mereka telah lakukan. Apabila mereka ditegur kerana melakukan perkara فٰحِشَةً, mereka akan berkata – “Kami dapati amalan ini tok nenek kami dulu dah lama buat dah. Kami ikut sahaja, takkan salah? Kalau salah, tentu mereka tidak buat!”

Seperti kita telah sebut, Musyrikin Mekah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Mereka kata amalan itu telah lama dilakukan oleh datuk nenek mereka. Mereka hanya ikut sahaja (tanpa soal) dan mereka menjadikan hujah datuk nenek itu sebagai alasan untuk membenarkan apa yang mereka lakukan.

Jika orang kita pun berhujah yang mereka mengikut amalan datuk nenek dan sudah lama dilakukan di negara ini, maka alasan mereka itu sama sahaja dengan alasan Musyrikin Mekah. Ia adalah sama kerana akidah mereka pun sama sahaja seperti Musyrikin Mekah itu. Mereka sahaja yang tidak perasan kerana tidak belajar ilmu wahyu dengan benar.

Itulah akidah ikut-ikutan sahaja, tidak mahu fikirkan adakah ia benar ada dalam agama ataupun tidak.  Mereka tidak terfikir untuk bertanya apakah dalil untuk perbuatan itu. Mereka hanya mengikut dan amal sahaja tanpa banyak soal.

Oleh kerana surah ini diturunkan di Mekah, maka dari segi asbabun nuzul, ada dua kemungkinan apakah yang dimaksudkan dengan lafaz فاحِشَةً itu daripada ayat ini:

1. Tawaf sambil telanjang.

2. Lafaz labbaikallah yang mereka tambah dengan kalimah syirik – “Tidak ada syirik kecuali yang tuhan setuju”. Mereka sanggup sebut begitu kerana syaitan telah bisikkan kepada mereka untuk menambah kalimah yang lain di mana mereka mahu berkata, ada perbuatan syirik yang Allah ‎ﷻ benarkan.

Orang-orang Arab di masa lalu (selain kabilah Quraisy), bila mereka melakukan tawaf, mereka melakukannya tanpa berpakaian (telanjang bulat). Mereka andaikan yang mereka tidak mahu melakukan tawaf dengan memakai pakaian yang biasa mereka pakai untuk bermaksiat kepada Allah ‎ﷻ. Sedangkan orang-orang Quraisy yang dikenali dengan sebutan Al-Hamas selalu melakukan tawaf mereka dengan memakai pakaian mereka.

Orang Arab lain bila diberi pinjaman pakaian oleh orang Hamas, maka mereka memakainya untuk bertawaf; dan orang yang mempunyai pakaian baru, maka dipakainya untuk bertawaf, lalu ia membuangnya tanpa ada seorang pun yang mahu mengambil­nya.

Sesiapa yang tidak mempunyai pakaian baru, tidak pula ada seorang Hamas yang mahu meminjamkan pakaian kepadanya, maka ia tawaf dengan telanjang bulat. Adakalanya terdapat seorang wanita melakukan tawaf dengan telanjang bulat, kemudian dia menjadikan sesuatu pada kemaluannya untuk menutupi apa yang dapat ditutupinya, lalu dia berkata: Hari ini kelihatan sebahagian atau seluruhnya; dan apa yang tampak daripadanya, maka saya tidak akan menghalalkannya.

Akan tetapi kebanyakan yang dilakukan oleh kaum wanita bila bertawaf di malam hari adalah telanjang. Hal ini merupakan suatu tradisi yang mereka buat-buat sendiri yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka. Mereka mempunyai keyakinan bahawa perbuatan nenek moyang mereka itu bersandarkan kepada perintah Allah ‎ﷻ dan syariat-Nya.

Begitulah manusia, akan menggunakan berbagai-bagai alasan dan hujah untuk membenarkan amalan mereka. Kalau mereka sudah mengamalkan amalan syirik dan bid’ah semenjak turun temurun, maka mereka masih akan mahu terus mengamalkan tradisi tersebut. Susah sangat untuk mengubah kepercayaan tradisi itu.

Kalau ditegur, mereka akan memberikan alasan sebagaimana dalam ayat ini. Mereka tidak mahu kalah, dan berterusan enggan untuk meninggalkan amalan itu. Maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari alasan, tidak kiralah dari mana alasan itu datang, sama ada masuk akal atau tidak. Asalkan menunjukkan amalan mereka itu tidak salah.

Maka, kita jangan terkeliru dengan jawapan sebegini. Allah ‎ﷻ telah berikan terus apakah jawapan yang diberikan oleh Musyrikin Mekah ini supaya kita tahu alasan itu kerana alasan itu akan diulang-ulang sampai kiamat. Sekarang memang ramai yang cakap begitu, tidak kiralah sama ada orang itu adalah orang awam atau pun ustaz.

Memang amat menghairankan sekali, apabila terdapat golongan yang dikatakan ‘ustaz’ pun turut sama memberikan alasan yang serupa. Mereka tidak sedar yang alasan mereka itu sama sahaja dengan alasan Musyrikin Mekah. Ini menunjukkan mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tahu baca sahaja tetapi tidak faham maksud. Malang sekali kalau masyarakat kita belajar dan mendapatkan ilmu daripada golongan sebegini.

Oleh sebab itu, janganlah kita terima alasan seperti ini. Ini adalah alasan puak jahiliyah. Alasan ini tidak ada nilai. Allah ‎ﷻ sebutkan alasan mereka kerana Allah ‎ﷻ tahu memang mereka akan kata begitu. Maka, kalau sesiapa memberikan alasan sebegini, maka beritahu mereka yang alasan mereka sama sahaja dengan alasan Musyrikin Mekah. Tinggalkanlah alasan itu, carilah alasan lain.

Kita kena tetap dengan pendirian dan manhaj kita, iaitu kena ikut Al-Qur’an dan Sunnah, bukannya mengikut amalan datuk nenek yang tidak sama dengan amalan sunnah. Segala amalan orang-orang terdahulu, kenalah diperiksa semula sama ada selari atau tidak dengan agama. Kalau ia sama dengan sunnah, maka boleh diamalkan. Kalau tidak selari maka kita wajib tinggalkan.

 

وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها

dan Allah menyuruh kami mengerjakannya”. 

Dan mereka tambah dengan berkata, Allah ‎ﷻlah yang menyuruh mereka buat, kerana datuk nenek mereka pun buat juga. Mereka sangka, ‘takkan’ salah amalan datuk nenek mereka itu pula. Inilah yang dinamakan dalil ‘takkan’. Mereka kata: ‘takkan’ datuk nenek mereka tidak tahu mana yang salah, mana yang benar. Ataupun ada yang kata: “Takkan ustaz mereka tidak tahu agama”. Entah berapa ramai yang sesat, kerana menggunakan dalil ‘takkan’ ini.

Memang datuk nenek mereka buat dan mereka ikut, tetapi lihatlah bagaimana mereka kata Allah ‎ﷻ pula yang suruh. Ini merupakan sebuah penipuan yang besar kerana menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Jika benar Allah ‎ﷻ yang suruh, maka manakah dalilnya?

Oleh itu, ringkasnya mereka buat perkara yang keji itu tetapi mereka kata Allah ‎ﷻ yang suruh kerana datuk nenek mereka sudah lama buat dan mereka yakin tidak mungkin datuk nenek buat perkara yang salah. Mereka sangka, kalau keturunan mereka dahulu ada buat, tentulah Allah ‎ﷻ yang suruh mereka buat.

 

قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ

Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”.

Allah ‎ﷻ suruh kita jawab kepada mereka: Allah ‎ﷻ tidak buat arahan untuk melakukan فاحِشَةً’. Kenapakah Allah ‎ﷻ perintahkan untuk melakukan perkara yang tidak patut sedangkan ada banyak lagi amalan halal lain yang ada? Jangan kamu memandai-mandai menuduh dan letakkan nama Allah ‎ﷻ pula sedangkan tidak ada dalil.

Begitulah caranya kita menentang dan menegur amalan bid’ah yang masyarakat kita sekarang amalkan. Mereka kata akan dapat pahala. Maknanya mereka mendakwa Allah ‎ﷻ akan beri pahala seolah-olah Allah ‎ﷻ suruh buat dan Allah ‎ﷻ sukakan perbuatan bid’ah itu. Inilah kekeliruan yang menebal dalam masyarakat kita yang jahil bab ini. Banyak lagi amalan sunnah yang lain, belum mampu dibuat kesemuanya, tetapi kenapakah mahu dibuat juga amalan yang tidak ada dalil itu?

 

أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Adakah kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?

Adakah kamu bercakap tanpa ilmu? Adakah patutkah kamu kata tentang Allah ‎ﷻ dalam perkara yang kamu tidak tahu perkara sebenarnya? Mereka yang memberikan alasan dan hujah yang tidak boleh dijadikan sebagai dalil itu adalah mereka yang tidak mempunyai ilmu sebenarnya. Memang kalau kita minta dalil pun mereka tidak boleh beri. Berbagai hujah akan diutarakan dan diselatankan, akan tetapi tidak ada pun dalilnya. Punyalah kita tunggu, namun tidak kunjung tiba.


 

A’raf Ayat 29:

قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ ۖ وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ ۚ كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “My Lord has ordered justice and that you direct yourselves [to the Qiblah] at every place [or time] of prostration, and invoke Him, sincere to Him in religion.” Just as He originated you, you will return [to life] –

(MALAY)

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. Dan (katakanlah): “Luruskanlah mukamu di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepada-Nya)”.

 

قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. 

Beritahu mereka: “Tuhan aku memerintahkan aku untuk melakukan perkara yang adil.” Apakah yang dimaksudkan dengan perkara yang adil itu? Itulah kalimah la ilaaha illallah. Iaitu kita adil dengan Allah ‎ﷻ dengan meletakkan kedudukan-Nya di tempat yang sepatutnya. Allah ‎ﷻ sebagai Rabb yang selayaknya dan Dia sahaja kita sembah. Inilah tauhid.

Juga boleh juga bermaksud asalnya iaitu berlaku adil dalam setiap perkara. Islam memang mementingkan keadilan dalam setiap perkara. Memberi hak kepada yang sepatutnya.

Maka jangan melampaui batas dalam kehidupan kita. Terutama sekali jangan melampau dalam hal agama. Jangan buat perkara yang Allah ‎ﷻ dan Nabi tidak ajar.

 

وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ

Dan (katakanlah): “Luruskanlah mukamu di setiap sembahyang

Dan sekarang Allah ‎ﷻ mengarahkan kita supaya kita lurus semasa mendirikan salat di setiap tempat sujud (masjid) dan waktu sujud. Ini kerana masdar (kata terbitan) ‘masjid’ boleh menjadi tempat sujud dan juga masa sujud. Kenapakah digunakan kalimah ‘wajah’ dalam ayat ini? Adakah muka sahaja harus diluruskan? Tidak. Disebut wajah kerana ia adalah isyarat kepada seluruh badan.

Ini merujuk kepada perbuatan fizikal. Hendaklah lurus mengadap kiblat semasa mengerjakan salat. Ia juga bermaksud taat kepada perintah Allah ‎ﷻ dalam mengerjakan salat. Juga secara umum, iaitu dalam setiap segi ibadah kita kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

dan serulah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. 

Jika tadi adalah mengenai ibadah fizikal badan, sekarang adalah tentang ibadah hati pula. Ibadah hati pun mesti dijaga. Hendaklah kita melakukan ibadah dan seru hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja tanpa dicampur aduk dengan seruan kepada yang lain. Ibadah mestilah dilakukan hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja dan tidak boleh kepada selain-Nya. Jika dibuat juga, maka itu sudah termasuk syirik.

Bukan hanya ibadah sahaja untuk Allah ‎ﷻ, seruan juga hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Seruan dalam berdoa. Maka ini mengajar kita hanya berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan minta kepada Nabi, wali, malaikat atau jin. Ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak tahu tentang hal ini sampai ada yang kata tidak salah meminta kepada wali yang sudah mati, tidak salah meminta kepada jin Islam. Ramai sudah tertipu dengan golongan penipu dalam agama.

Golongan sesat dan golongan ahli bid’ah ini telah keliru dalam bab ibadah dan doa mereka. Ibadah mereka ibadah rekaan (bid’ah) dan mereka selamba sahaja berdoa meminta pertolongan kepada selain Allah ‎ﷻ.

 

كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan, demikian pulalah kamu akan kembali (kepada-Nya)”.

Untuk menjaga ibadah dan hati itu kenalah ingat: Seperti mana kamu mula dijadikan, kamu akan kembali begitu juga di akhirat nanti. Nanti kamu akan bertemu Allah ‎ﷻ dan akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan fizikal dan hati kamu.

Sekarang Allah ‎ﷻ mengingatkan tentang akhirat dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ suruh kita bayangkan keadaan kita pada waktu itu. Kita tidak akan ada pakaian di akhirat kelak. Kita lahir tanpa pakaian dan kita akan mati pun tanpa pakaian juga.

Kalau anda masih ingat kisah Nabi Adam عليه السلام di awal surah ini telah disebut tentang pakaian dan sekarang disebut tentang pakaian lagi. Di awal dan hujung kehidupan tidak berpakaian, maka di tengah kehidupan kita, hendaklah kita berpakaian. Maka kena perhatikan betul-betul tentang pakaian kita. Jagalah pakaian kita selagi kita boleh menjaganya kerana nanti akan sampai satu masa yang kita tidak ada pakaian nanti.


 

A’raf Ayat 30:

فَريقًا هَدىٰ وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلٰلَةُ ۗ إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُّهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A group [of you] He guided, and a group deserved [to be in] error. Indeed, they [i.e., the latter] had taken the devils as allies instead of Allāh while they thought that they were guided.

(MALAY)

Sebahagian diberi-Nya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

 

فَريقًا هَدىٰ

Sebahagian diberi-Nya petunjuk

Sebahagian daripada manusia mendapat hidayah petunjuk daripada Allah ‎ﷻ. Mereka ini adalah orang yang beriman sempurna. Apakah iman sempurna itu? Iaitu iman  yang tidak ada syirik di dalamnya.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan:

فَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ فَسَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ فَسَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ”

Adapun orang yang telah ditakdirkan termasuk orang-orang yang berbahagia, maka dimudahkan baginya jalan mengerjakan amal orang-orang yang bahagia. Dan adapun orang yang telah ditakdir­kan termasuk orang-orang yang celaka, maka dimudahkan baginya mengerjakan amal perbuatan orang-orang yang celaka.

(Hadith Riwayat Bukhari (1392), Muslim (2647))

 

وَفَريقًا حَقَّ عَلَيهِمُ الضَّلٰلَةُ

dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. 

Terdapat juga puak yang telah tetap kesesatan di atas mereka. Jika kita dakwah kepada mereka dengan pelbagai cara sekalipun, mereka tetap tidak akan beriman. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah tetapkan yang mereka tidak akan beriman sampai bila-bila. Allah ‎ﷻ telah menutup pintu hati mereka daripada menerima iman. Ini dipanggil qatmul qalbi (penutupan hati).

Namun harus diingatkan, di sini bukanlah bermakna Allah ‎ﷻ zalim. Allah ‎ﷻ telah menutup pintu hati mereka kerana mereka sendiri tidak mahu beriman. Bukanlah dari awal lagi Allah ‎ﷻ telah menutup pintu hati mereka. Mereka ini ditutup pintu hatinya setelah berkali-kali menolak dakwah tauhid yang disampaikan kepada mereka.

 

إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيٰطينَ أَولِياءَ مِن دونِ اللَّهِ

Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan sebagai pelindung (mereka) selain Allah,

Kenapa mereka ditutup hati mereka daripada menerima iman sampai bila-bila? Ini adalah kerana mereka telah jadikan syaitan sebagai pelindung, pemimpin dan teman rapat mereka. Sepatutnya mereka menjadikan Allah ‎ﷻ sebagai wali, tetapi mereka telah tertipu dengan pujukan dan bisikan syaitan, maka mereka telah disesatkan.

 

وَيَحسَبونَ أَنَّهُم مُّهتَدونَ

dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

Malangnya, mereka sangka mereka terpimpin, mereka sangka mereka mendapat hidayah. Mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka sedang melakukan kesalahan dalam agama.

Ini seperti kebanyakan golongan kita yang mengamalkan amalan yang bid’ah dan mereka seolah-olah tidak ada masalah untuk mengamalkannya. Mereka tidak takut melakukan amalan bid’ah itu. Sebaliknya mereka suka dan bangga mengamalkannya dan mereka rasa mereka telah mendapat banyak pahala dan Allah ‎ﷻ suka dengan perbuatan dan amalan mereka.

Ini adalah golongan yang susah untuk didakwah kerana mereka rasa mereka sudah pandai sedangkan mereka ini jahil. Inilah yang dipanggil jahil murakkab iaitu orang jahil yang sangka mereka pandai. Mereka yakin sungguh yang mereka itu dalam kebenaran. Kalau mereka sedar mereka jahil, senanglah untuk kita dakwah dan ajar mereka, bukan? Tetapi kalau mereka rasa mereka benar, telah pandai, itu memang susah. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan bahawa ayat ini merupakan dalil yang paling jelas untuk menolak kekeliruan orang yang menduga bahawa Allah ‎ﷻ tidak mengazab seseorang kerana maksiat yang dikerjakannya atau kesesatan yang diyakininya, melainkan bila dia melakukannya sesudah adanya pengetahuan daripadanya yang membenarkan sikapnya itu, lalu dia mengerjakannya dengan penuh rasa keingkaran terhadap Tuhannya. Seandainya memang demikian, nescaya tidak ada bezanya antara golongan orang-orang yang sesat yang menduga bahawa dirinya mendapat petunjuk, dengan golongan orang-orang yang mendapat petunjuk yang sebenarnya. Allah ‎ﷻ telah menjelaskan dan membezakan keduanya dan hukum-hukum mengenai keduanya dalam ayat ini.

Dalam bahasa ringkas, maksud Ibnu Jarir رحمه الله ini adalah mereka yang sangka mereka benar itu tidak ada alasan lagi. Tidak boleh mereka kata mereka yakin amalan mereka benar kerana mereka telah ikhlas hendak buat. Bukankah ada yang berpendapat: Jika amalan kita ikhlas, Allah ‎ﷻ akan terima?

Itu adalah fahaman yang salah disebabkan oleh kejahilan. Maka ini mengajar kita yang jahil bukanlah alasan di akhirat kelak. Kita tidak boleh hendak beri alasan: “Maaf, saya tidak tahu…” kerana Allah ‎ﷻ telah menurunkan wahyu dan Rasul kepada kita untuk mengajar agama. Selain daripada itu, Allah ‎ﷻ telah memberikan kita pancaindera dan juga akal untuk menilai mana yang buruk dan mana yang baik. Kalau tidak digunakan apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan, maka siapakah yang patut dipersalahkan kalau tersilap langkah? Tentulah diri sendiri!

Oleh sebab itu, kenalah berusaha untuk mencari ilmu dan menilai ilmu itu. Jika kita telah berusaha mencari ilmu akan tetapi tersilap juga, maka barulah ada alasan. Namun kalau langsung tidak ada usaha, apakah lagi alasan yang kita ada? Lalu bagaimana dengan manusia yang tidak berusaha langsung mendalami ilmu agama? Adakah mereka rasa selesa duduk terus di dalam kejahilan? Alangkah malangnya!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Ogos 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment