Tafsir Surah al-A’raf Ayat 1 – 7 (Pengakuan mereka yang syirik)

Pengenalan dan Ringkasan surah:

Dakwa (poin terpenting) surah ini berlainan daripada surah-surah yang sebelum ini. Dalam surah-surah sebelum ini, bermula Surah Baqarah sehingga Surah al-An’am, Allah ‎ﷻ telah memperkatakan dan memperjelaskan tentang empat jenis golongan (Yahudi, Nasara, Musyrikin dan Munafikin); iaitu golongan yang mempunyai akidah yang rosak. Surah ini membawa maksud yang lain kerana golongan yang sesat telah dijelaskan. Oleh itu, kesimpulan surah ini adalah:

Ada perkaitan dengan Surah al-An’am kerana ia berkesinambungan daripada Surah al-An’am. Dalam Surah al-An’am, telah diperjelaskan tentang golongan musyrik. Maksud a’raf adalah satu tempat di tengah-tengah. Oleh itu maksud al-A’raf di dalam surah ini adalah satu tempat yang bukan di dalam syurga dan bukan juga di dalam neraka. Ia berada di tengah-tengah antara keduanya.

Walaupun seseorang itu tidak masuk neraka lagi, tetapi dia masih belum dikira selamat (kerana tidak masuk dalam neraka). Namun begitu, dia masih belum dikira sebagai beruntung lagi kerana masih tidak dapat masuk ke dalam syurga. Di dalam surah ini, Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita, apabila seorang yang dapat menjaga dirinya daripada melakukan syirik seperti yang telah diperjelaskan dalam Surah al-An’am, maka dia bukan sahaja selamat daripada al-A’raf, tetapi dia juga selamat daripada neraka dan dapat masuk syurga. Inilah yang kita dambakan dalam kehidupan kita ini, bukan?

Oleh itu, apabila telah disebut tentang golongan sesat dalam surah-surah sebelum ini, maka sekarang bermula penyampaian tentang mereka yang berpegang dengan tauhid. Kita mestilah belajar tauhid, mengamalkannya dan kemudian hendaklah usahakan dakwah kepada golongan lain.

Melihat kepada keseluruhan surah ini, ia banyak menyebut tentang akhirat dan tentang Risalah Kenabian. Permulaan awal surah ini adalah mengenai akhirat dan selepasnya disebut tentang para Nabi dan Rasul di mana ada disebut tentang mereka dan umat mereka dan balasan yang diberikan kepada mereka.

Surah ini adalah Surah Makkiah dan diturunkan pada tahun 11 – 13 Kenabian Rasulullah ﷺ. Ia diturunkan selepas Surah An’am ketika Musyrikin Mekah sudah mula merancang untuk membunuh baginda. Ini adalah ketika saat-saat akhir baginda di Mekah (sebelum Hijrah) dan puak Musyrikin Mekah sudah kehabisan idea dengan cara untuk menolak dakwah baginda. Maka mereka telah membuat keputusan untuk membunuh sahaja baginda.

Ada tiga Dakwa penting dalam surah ini: 

Dakwa yang pertama ada terdapat dalam ayat ke-2. Ayat ini mengajar kita, hendaklah berani menyampaikan wahyu ilahi walau apa sahaja dugaan yang akan ditempuhi. Sebagai seorang mukmin sejati, hendaklah disampaikan wahyu kerana itulah neraca kejayaan manusia. Oleh itu, kita kena belajar, hayati dan kemudian sebarkan wahyu. Jangan simpan untuk diri sendiri sahaja.

Dakwa yang kedua, terdapat dalam ayat ke 3. Ikutlah apa yang diwahyukan oleh Allah ‎ﷻ, dan jangan ikut hawa nafsu manusia. Mestilah ditinggalkan semua sekali, termasuk segala fahaman, amalan dan cara yang direka daripada hasil bisikan syaitan. Hendaklah ditinggalkan semua itu dan menggunakan ajaran daripada agama Islam. Topik ini berterusan sehingga ke ayat 53.

Dakwa ke 3, ada di dalam ayat 54 – 58: Allah ‎ﷻ sahaja yang memiliki sifat sempurna dari segi sifat dan dzat. Oleh itu, Dia sahaja berhak diseru dan dilakukan ibadat dan ditaati.

Kemudian ada 6 kisah dalam surah ini yang menjelaskan dakwa-dakwa itu. Terdapat tiga kisah semua sekali:

      1. Kisah Nabi Nuh عليه السلام adalah untuk dakwa ketiga dalam ayat 59 – 64.
      2. Kisah kedua dalam ayat 65 – 72 iaitu kisah Nabi Huh عليه السلام.
      3. Kisah ketiga dalam ayat 73 – 79 iaitu kisah Nabi Saleh عليه السلام.

Ketiga-tiga kisah Nabi di atas adalah untuk memberi penjelasan tentang dakwa ketiga.

4. Kisah ke 4 adalah tentang Nabi Luth عليه السلام dalam ayat 80 – 84 sebagai penjelasan kepada Dakwa kedua

5. Kisah ke 5 dalam ayat 85 – 93 iaitu kisah Nabi Syuaib عليه السلام tentang Dakwa kedua dan ketiga.

6. Kisah ke 6 dalam ayat 103 – 162 iaitu kisah Nabi Musa عليه السلام untuk menjelaskan Dakwa pertama. Cuma kisah Nabi Musa عليه السلام ini didapati di dalam lapan bahagian:

          1. Ayat 103 – 126
          2. Ayat 127 – 129
          3. Ayat 130 – 137
          4. Ayat 138 – 141
          5. Ayat 142 – 149
          6. Ayat 150 – 154
          7. Ayat 155 – 159 (dalam ayat 158 ada ayat jumlah mu’taridhah iaitu kisah Nabi Muhammad ﷺ)
          8. Ayat 160 – 162

Selepas kisah Nabi Musa عليه السلام itu, ayat 163 – 168 adalah takhwif khas.

Ayat 169 pula tentang pewaris kitab Taurat yang tidak jujur dalam kalangan anak-anak ulama’ mereka. Dan diceritakan tentang diayah bathil daripada mereka. Allah ‎ﷻ tolak diayah itu dengan 4 cara:

      1. 169 cara pertama
      2. 171 cara kedua
      3. 172 cara ketiga
      4. 175-177 cara keempat

Ayat 178-198 menjelaskan ketiga-tiga Dakwa surah ini:

    • Dalam 178, cerita tentang Dakwa pertama.
    • Ayat 179 Dakwa kedua.
    • Ayat 180-181 Dakwa ketiga.
    • 182-188 Dakwa pertama kembali. Ia adalah mengenai keberanian Nabi Musa عليه السلام dan dugaan yang diterimanya dengan berbagai cara. Diceritakan kepada kita untuk digunakan sebagai panduan. Ini adalah penting kerana keadaan yang dialami oleh Nabi Musa عليه السلام itu dialami oleh umat Nabi zaman.
    • 189 – 193 Dakwa kedua.
    • 194 – 198 Dakwa ketiga.

203: Ayat syikayah dan targhib kepada Qur’an.

205: Peringatan tentang tauhid. Zikir yang bermakna tauhid.

206: Zikir tauhid itu adalah zikir para malaikat. Ada ayat sujud sajdah yang pertama dalam Al-Qur’an. Sujud Sajdah adalah hukumnya sunat dalam Mazhab Syafi’iy. Ada dalam mazhab lain yang mengatakannya adalah wajib.

Oleh itu, surah al-A’raf ini banyak menceritakan tentang kisah-kisah umat terdahulu. Dan bagaimana interaksi para Nabi mereka dengan umat mereka. Kisahnya bermula dengan sejarah manusia, iaitu manusia pertama Nabi Adam عليه السلام sendiri dan kisah baginda dengan iblis. Dan di akhirnya nanti, tentang Kiamat. Dan di antara dua kisah awal dan akhir itu, mengandungi banyak peringatan.


 

A’raf Ayat 1: Kita masuk ke Perenggan Makro Pertama iaitu tentang Tauhid. Allah ‎ﷻ memberitahu yang menolak ajaran tauhid akan menyebabkan kebinasaan.

المص

Ini adalah jenis Ayat Muqat’taah. Allah ‎ﷻ lebih mengetahui maknanya. Telah dijelaskan dalam surah-surah yang lain mengenainya. Lawan kepada huruf muqat’ta’ah adalah muttasilah (huruf yang bersambung). Huruf muttasilah memberi makna, akan tetapi huruf-huruf muqat’ta’ah tidak diketahui maknanya.

Akal kita tidak mampu untuk mencapai maknanya. Ada perkara yang akal kita mampu untuk memikirkan, akan tetapi ada perkara yang memang kita tidak ada kemampuan. Oleh sebab itu dalam hal agama, mestilah ada dalil daripada Allah ‎ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Kita yang tidak tahu, kenalah rujuk kepada Allah ‎ﷻ yang Maha Tahu.

Ayat ini adalah sebagai penarik perhatian untuk membaca Al-Qur’an. Dan ia juga sebagai tanda mukjizat Al-Qur’an. Tanda yang ia adalah daripada Allah ‎ﷻ. Kerana itulah kita tidak akan mampu untuk menghasilkan walaupun satu ayat yang dapat menyamai kehebatan ayat Al-Qur’an.


 

A’raf Ayat 2: Ini adalah Dakwa pertama di mana Allah ‎ﷻ mengajar kita hendaklah berani menyampaikan wahyu.

كِتٰبٌ أُنزِلَ إِلَيكَ فَلا يَكُن في صَدرِكَ حَرَجٌ مِّنهُ لِتُنذِرَ بِهِ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[This is] a Book revealed to you, [O Muḥammad] – so let there not be in your breast distress therefrom – that you may warn thereby and as a reminder to the believers.

(MALAY)

Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, maka janganlah ada kesempitan di dalam dadamu kerananya, supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu, dan menjadi pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

 

كِتٰبٌ أُنزِلَ إِلَيكَ

Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, 

Selalunya, selepas diletakkan ayat muqatta’ah (huruf-huruf yang terputus-putus), Allah ‎ﷻ terus menyebut tentang kitab Al-Qur’an  yang mulia ini. Bukanlah semua, tetapi majoriti daripadanya.

Allah ‎ﷻ sebut di dalam ayat ini yang Al-Qur’an itu diturunkan kerana ia datang daripada Allah ‎ﷻ, maka ia diturunkan. Ini menguatkan hujah yang mengatakan yang Allah ‎ﷻ di atas iaitu di langit.

Dan ia diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh kerana Al-Qur’an ini adalah kitab yang mulia, maka ia diturunkan kepada Rasul yang mulia iaitu Nabi Muhammad ﷺ.

 

فَلا يَكُن في صَدرِكَ حَرَجٌ مِّنهُ

maka janganlah ada kesempitan di dalam dadamu kerananya, 

Walaupun khitab (penyampaian) asal ayat ini adalah kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi kita sebagai penyambung tugas Nabi ﷺ hendaklah menerima ayat ini juga. Maka, tidak sepatutnya ada dalam hati kita, perasaan susah dan sukar dengan ajaran di dalam Al-Qur’an ini. Walaupun matan menyebut ‘dada’ akan tetapi yang dimaksudkan adalah ‘hati’ kerana hati di dalam dada.

Maknanya, jangan rasa susah untuk menyampaikan dakwah tentang Al-Qur’an ini kepada orang lain. Jangan takut sampaikan wahyu ini kepada manusia. Kita mesti beritahu dan sampaikan dan mesti berani semasa menyampaikannya. Kita kena mula sahaja, terus lakukan kerana Allah ‎ﷻ akan memberi kekuatan kepada mereka yang mempelajari dan menyebarkan.

Kenapakah terdapatnya nasihat ini kepada Nabi ﷺ? Kerana Nabi ﷺ memang berasa berat untuk menyampaikan disebabkan apa yang disampaikan itu berlawanan dengan amalan masyarakat. Maka, Allah ‎ﷻ memberikan semangat kepada baginda supaya jangan risau. Jangan rasa berat tetapi terus sampaikan kepada manusia. Apabila Allah ‎ﷻ suruh sampaikan, maka Allah ‎ﷻ berjanji akan menjaga dan mempertahankan baginda daripada diganggu dan disakiti.

Keadaan yang sema juga berlaku di negara kita, di mana  ada yang tidak menyukai pengajaran tafsir Al-Qur’an kerana ia menegur amalan dan fahaman masyarakat yang sudah jauh daripada wahyu. Maka, kepada mereka yang belajar, sudah tentu ada berasa berat untuk menyampaikan kepada masyarakat kerana takut dituduh dengan pelbagai label (antaranya dituduh sebagai ‘Wahabi’). Namun di sini,  Allah ‎ﷻ sedang memberi semangat kepada kita supaya jangan takut tetapi hendaklah berani. Sampaikan sahaja. Selebihnya serah sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Mestilah ada sifat tawakal dalam diri kita. Kenalah ingat yang kita berada di pihak yang benar, maka jangan takut hendak berdakwah. Memang tentangan yang ada sangat kuat, namun kita hendaklah lebih kuat. Antara penentang adalah pembesar dalam masyarakat, tetapi jangan kita terkesan. Kita bergantung kepada perlindungan daripada Allah ‎ﷻ.

Satu lagi tafsir kesempitan adalah di dalam hati Rasulullah ﷺ setelah baginda sampaikan. Baginda seorang yang berhati mulia dan risaukan umat baginda. Baginda berasa begitu bimbang sekali jika umat baginda menolak dan kesan yang akan dikenakan kepada mereka. Untuk perasaan ini, Allah ‎ﷻ beritahu yang tugas baginda adalah menyampaikan sahaja. Setelah baginda sampaikan, maka sama ada mereka terima atau tidak, bukanlah lagi urusan baginda.

Satu lagi tafsir adalah kita jangan sempit untuk menerima apa sahaja yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Kita hendaklah melapangkan dada kita. Memang kadangkala keras sekali tusukan daripada Al-Qur’an yang menegur perbuatan kita selama ini, akan tetapi hendaklah diterima dan mesti ikut. Jangan pula lawan apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Disebabkan tidak dapat menerima perkara inilah yang mengakibatkan ramai yang tidak suka dengan pengajian tafsir Al-Qur’an. Ini kerana kebanyakan  manusia tidak suka ditegur amalan mereka.

 

لِتُنذِرَ بِهِ

supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu,

Ia diturunkan untuk Nabi ﷺ dan kita memberikan peringatan kepada manusia dengan menggunakan mesej yang ada dalam Al-Qur’an ini. Hendaklah disampaikan kepada sesiapa sahaja. Tidak kira sama ada mereka itu Muslim atau pun tidak, pelajar atau tidak, condong kepada agama ataupun tidak.

Ini juga mengajar kita yang dakwah hendaklah mengandungi rujukan kepada Al-Qur’an. Ia adalah sumber utama yang digunakan di dalam dakwah. Hendaklah disebut ayat-ayat Al-Qur’an, ajakan kepada Al-Qur’an dan ajaklah mereka untuk faham apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an.

Jika dakwah itu tidak mempunyai langsung elemen Al-Qur’an, maka itu bukan dakwahlah sebenarnya. Sebagai contoh, dakwah dengan lagu nasyid. Ini bukan dakwah, ini hendak berseronok sahaja.

Syarat untuk berdakwah dengan Al-Qur’an, hendaklah difahami dahulu Al-Qur’an itu. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an sehingga habis. Sekiranya dibaca Al-Qur’an tetapi tidak faham apa yang dibaca, maka manfaat tidaklah banyak mana kerana Al-Qur’an itu adalah sebagai peringatan, bukan? Kalau tidak faham, bagaimana ia mampu menjadi peringatan bagi kita? Oleh sebab itu, kenalah usaha untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini.

 

وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ

dan menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.

Apabila Al-Qur’an dipelajari, difahami dan selalu dibaca, ia akan memberi peringatan kepada para mukmin, iaitu mereka yang ingin beriman. Mungkin yang mula belajar belum sampai ke tahap mukmin lagi, tetapi untuk sampai ke tahap mukmin, kenalah mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an ini. Maknanya juga, kalau tidak faham Al-Qur’an, tidaklah beriman. Nampak, bukan?

Ini juga mengajar kita supaya kena ingatkan manusia dengan Al-Qur’an kerana manusia mudah lupa. Maka, mesti selalu diulang-ulang. Sebab itu kita tidak boleh hanya baca Al-Qur’an sekali seumur hidup, tetapi setiap hari hendaklah dibaca. Jika selepas khatam Al-Qur’an dan selepas itu tidak buka Al-Qur’an langsung, ini menunjukkan ada masalah dengan adat dalam masyarakat kita ini.

Kepada orang beriman, ayat-ayat Al-Qur’an menjadi peringatan kepada mereka. Mereka yang sebegini tidak perlu sangat diberikan ancaman-ancaman yang ada di dalam Al-Qur’an kerana mereka memang sudah beriman. Sebaliknya perbanyakkanlah diberikan ayat-ayat yang memberi semangat kepada mereka.


 

A’raf Ayat 3: Ini adalah permulaan kepada Dakwa Kedua surah ini: ikutlah apa yang diwahyukan oleh Allah ‎ﷻ dan jangan mengikut hawa nafsu.

اتَّبِعوا ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِن رَّبِّكُم وَلا تَتَّبِعوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ۗ قَليلًا مّا تَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Follow, [O mankind], what has been revealed to you from your Lord and do not follow other than Him any allies. Little do you remember.

(MALAY)

Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti aulia’ selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya).

 

اتَّبِعوا ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِن رَّبِّكُم

Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu

Sekarang khitab (penyampaian) berpindah kepada semua orang, sama ada Muslim atau tidak. Kamu semua mestilah ikut wahyu yang diturunkan itu. Mesti diikuti dengan sehabis baik. Allah ‎ﷻ tidak pula sebut suruh ‘baca’, tetapi Allah ‎ﷻ suruh ‘ikut’. Oleh hal yang demikian, Al-Qur’an itu bukanlah setakat dibaca sahaja sebagaimana kebanyakan daripada masyarakat kita lakukan. Baca itu sunat, mengikuti itu yang wajib.

Lafaz ittiba’ bermaksud ikut betul-betul, satu persatu kerana ia adalah daripada Tuhan, maka kenalah ikut. Itulah sebabnya kena belajar ilmu wahyu, baru senang hendak ikut apa yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Dan wahyu itu sama ada dengan Al-Qur’an, ataupun dengan Sunnah Nabi.

Allah ‎ﷻ suruh ikut apa yang diturunkan oleh Rabb, bukan disebut nama Allah ‎ﷻ. Ada penekanan tentang sifat Rabb di sini. Apakah maksud rabb? Ia bermaksud khaliq (pencipta), maalik (pemilik) dan mudabbir (pentadbir). Kenapakah Allah ‎ﷻ menekankan tentang Rabb di sini? Kerana Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang Dia yang menciptakan kamu, memiliki kamu dan menguruskan kamu. Maka, kenalah ikut apa yang Dia sampaikan.

 

وَلا تَتَّبِعوا مِن دونِهِ أَولِياءَ

dan janganlah kamu mengikuti aulia’ selain-Nya. 

Dan jangan diikut selain daripada-Nya. Lafaz aulia’ (jamak kepada wali) bermaksud segala syaitan dan jin dan apa-apa sahaja yang menyesatkan, sama ada daripada manusia atau jin. Mereka dipanggil aulia’/wali kerana mereka itu yang diikuti dan ditaati dan menjadi kawan karib; yang menjadi tempat pengharapan kita. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja sepatutnya kita berharap.

Jika diikut selain daripada ajaran wahyu, maka itu adalah mengikut hawa nafsu namanya. Dan jika diikut hawa nafsu, maka akan sesat bangat. Malangnya, inilah yang manusia ikut. Mereka tidak ikut wahyu, tetapi mereka ikut selain wahyu. Belajar pelbagai perkara daripada berbagai guru, namun tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi tidak dipelajari pula.  Akhirnya tertipu belaka dengan ajaran-ajaran karut.

 

قَليلًا مّا تَذَكَّرونَ

Amat sedikitlah kamu mengambil peringatan

Sedikit benar yang mendengar nasihat itu. Memang tidak ramai pun dalam kalangan manusia yang hendak mengambil pengajaran daripada wahyu Allah ‎ﷻ. Sebagaimana kebanyakan orang kita, ramai yang membacanya sahaja tetapi tidak faham pun apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

Atau, sedikit sahaja yang kamu ingat – ingat juga tetapi sedikit sahaja. Kamu tidak usaha pun untuk mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an. Sekali sekala sahaja kamu baca Al-Qur’an, itu pun bahagian tertentu sahaja. Kebanyakannya faham pun tidak. Setakat baca begitu sahaja tanpa faham apa yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ. Amatlah merugikan.

Ini amat menyedihkan kerana Al-Qur’an itu memberi peringatan kepada kita tentang perjanjian untuk mentauhidkan Allah ‎ﷻ dari sebelum kita dilahirkan lagi. Kita telah lupa perjanjian itu (kerana kita berada di alam roh), maka Allah ‎ﷻ turunkan Al-Qur’an untuk mengingatkan kita tentang perkara itu. Namun jikalau Al-Qur’an itu tidak dipelajari, bagaimana kita hendak mengambil pengajaran?


 

A’raf Ayat 4: Ayat takhwif duniawi.

وَكَم مِن قَريَةٍ أَهلَكنٰها فَجاءَها بَأسُنا بَيٰتًا أَو هُم قائِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many cities have We destroyed, and Our punishment came to them at night or while they were sleeping at noon.

(MALAY)

Betapa banyaknya negeri yang telah Kami binasakan, maka datanglah siksaan Kami (menimpa penduduk)nya di waktu mereka berada di malam hari, atau di waktu mereka beristirahat di tengah hari.

 

وَكَم مِن قَريَةٍ أَهلَكنٰها

Betapa banyaknya negeri yang telah Kami binasakan, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dengan entah berapa banyak daerah yang telah dibinasakan. Ada yang disebut di dalam Al-Qur’an akan tetapi lebih banyak yang tidak disebut. Semua ini menjadi pengajaran kepada kita yang mahu memikirkan. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang di dunia lagi Allah ‎ﷻ boleh berikan azab, tidak perlu tunggu akhirat.

 

فَجاءَها بَأسُنا بَيٰتًا أَو هُم قائِلونَ

maka datanglah seksaan Kami (menimpa penduduk)nya di waktu mereka berada di malam hari, atau di waktu mereka beristirahat di tengah hari.

Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana azab itu datang menimpa mereka semasa mereka sedang berehat di malam hari (kerana itu mabit adalah ibadah bermalam di Mina) atau mereka tidur siang hari (dipanggil tidur qailulah). Mereka yang berada di negara yang bercuaca panas, kebiasaannya akan berehat dan tidur di waktu tengahari kerana tidak boleh membuat sebarang aktiviti di luar kerana keadaan terlalu panas.

Maklumat menarik: tidur qailulah amat bagus bagi kesihatan tubuh dan mental kita. Jika ada peluang, maka amalkanlah tidur qailulah.

Maksudnya azab itu datang ketika mereka tidak bersedia, tidak dapat bersedia untuk bertaubat atau meminta ampun. Ketika sedang leka dengan rehat itu, azab datang. Ketika senang, Allah ‎ﷻ turunkan azab. Inilah ancaman yang menakutkan. Kenapa pula Allah ‎ﷻ kenakan azab semasa mereka sedang leka? Tujuannya adalah untuk menambahkan azab itu, memberikan lebih kejutan lagi kepada mereka.

Balaghah: hazf wa zikru. Dalam ayat ini ada hazf perkataan yang berlawanan. Maksudnya, ayat ini tidak penuh kerana ada perkataan yang tidak diletakkan. Ini adalah kerana telah disebut tentang malam بَياتًا, kemudian disebut tentang istirehat siang قائِلونَ pula. Ini seperti ada yang tidak kena. Ini adalah kerana perkataan itu boleh diketahui dengan melihat kepada lawannya, maka Allah ‎ﷻ ringkaskan dan tidak disebut.

    1. Lawan kepada malam بَياتًا, iaitu siang, tidak disebut.
    2. Lawan kepada istirehat siang قائِلونَ, iaitu tidur malam, tidak disebut.

Oleh itu, ayat yang lengkap adalah:

فَجَاءَهَا بَأْسُنَا بَيَاتًا (وهم نائمون) أَوْ (نهاراً) (و)هُمْ قَائِلُونَ

Betapa banyaknya negeri yang telah Kami binasakan, maka datanglah seksaan Kami di waktu malam hari (ketika mereka sedang tidur), atau (di waktu siang) ketika mereka beristirahat di tengah hari.


 

A’raf Ayat 5: Ini adalah kata-kata mereka apabila mereka ditimpa azab

فَما كانَ دَعوىٰهُم إِذ جاءَهُم بَأسُنا إِلّا أَن قالوا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And their declaration when Our punishment came to them was only that they said, “Indeed, we were wrongdoers!”

(MALAY)

Maka tidak adalah keluhan mereka di waktu datang kepada mereka seksaan Kami, kecuali mengatakan: “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

 

Tidak ada seruan mereka ketika sampai azab Allah ‎ﷻ kepada mereka, melainkan mereka kata: memang kami zalim pun. Yang dimaksudkan adalah mereka memang musyrikin. Itulah yang dimaksudkan dengan zalim sebab bencana alam itu terjadi selalunya berpunca daripada akidah yang rosak dan zalim yang terbesar adalah zalim syirik.

Maknanya, mereka memang akan mengaku yang mereka telah melakukan syirik semasa hidup di dunia. Ini juga ada disebut di dalam ayat lain dalam Anbiya’:12-14

فَلَمّا أَحَسّوا بَأسَنا إِذا هُم مِنها يَركُضونَ

Maka tatkala mereka merasakan azab Kami, tiba-tiba mereka melarikan diri dari negerinya.

لا تَركُضوا وَارجِعوا إِلىٰ ما أُترِفتُم فيهِ وَمَسٰكِنِكُم لَعَلَّكُم تُسئَلونَ

Janganlah kamu lari tergesa-gesa; kembalilah kamu kepada nikmat yang telah kamu rasakan dan kepada tempat-tempat kediamanmu (yang baik), supaya kamu ditanya.

قالوا يا وَيلَنا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ

Mereka berkata: “Aduhai, celaka kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

 

Ibnu Kathir رحمه الله memasukkan hadith di bawah di dalam kitab tafsirnya,

 

قَالَ سُلَيْمَانُ حَدَّثَنِي رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَنْ يَهْلَكَ النَّاسُ حَتَّى يَعْذِرُوا أَوْ يُعْذِرُوا مِنْ أَنْفُسِهِمْ

Sulaiman menyebutkan, “Telah menceritakan kepadaku seorang laki-laki sahabat Nabi ﷺ, bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Sekali-kali manusia tidak akan binasa hingga mereka banyak melakukan kesalahan, atau baginda mengatakan, “hingga mereka mencari dalih daripada kesalahan mereka.”

(Sunan Abu Dawud (4347))

Disahihkan oleh Albani رحمه الله.

Maknanya mereka yang bersalah itu akan mengaku juga kesalahan mereka apabila dikenakan dengan azab itu. Cuma mereka mencari-cari alasan untuk menyelamatkan diri mereka. Sudahlah salah, cari alasan pula. Ini bukanlah cara orang beriman. Orang beriman mengaku salah awal-awal lagi dan meminta ampun. Bukannya setelah dikenakan azab baru hendak mengaku kerana mengaku pada waktu itu tidak bermanfaat lagi. Sekiranya mereka mahu beri alasan pun tidak berguna kerana mana mungkin berjaya berhujah dengan Allah ﷻ?


 

A’raf Ayat 6: Ini adalah ayat jenis takhwif ukhrawi.

فَلَنَسأَلَنَّ الَّذينَ أُرسِلَ إِلَيهِم وَلَنَسأَلَنَّ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We will surely question those to whom [a message] was sent, and We will surely question the messengers.

(MALAY)

Maka sesungguhnya Kami akan menanyai umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyai (pula) rasul-rasul (Kami),

 

فَلَنَسأَلَنَّ الَّذينَ أُرسِلَ إِلَيهِم

Maka sesungguhnya Kami akan menanyakan umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka

Ini adalah soalan  yang menakutkan kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang akan tanya. Jika disoal oleh polis pun kita sudah kecut perut, apatah lagi kalau Allah ‎ﷻ yang tanya kita, bukan? Namun begitu, ia tetap pasti akan berlaku. Maka, Allah ‎ﷻ pasti akan tanyakan umat yang telah diutuskan Rasul kepada mereka. Mereka akan ditanya: adakah sampai wahyu kepada mereka ataupun tidak. Inilah soalan yang akan ditanya kepada umat yang derhaka dan mereka akan ditanya dengan keras.

Mereka bukan sahaja ditanya adakah telah sampai seruan wahyu, tetapi ditanya juga cara penerimaan mereka terhadap wahyu tersebut. Adakah mereka terima dan ikut? Jika kita yang sudah terima Al-Qur’an ini pun tidak ikut, maka kita pun akan ada masalah nanti di akhirat.

Ada antara mereka yang akan cuba menipu dengan mengatakan bahawa mesej wahyu tidak sampai kepada mereka. Namun itu semua adalah cubaan kosong sahaja kerana ia tidak akan diterima. Umat Islam akan menjadi saksi yang para Rasul mereka sudah menyampaikan ajaran wahyu. Kenapakah pula umat Islam yang menjadi saksi? Dan bagaimana pula kita menjadi saksi sedangkan kita tidak ada di zaman mereka? Kita umat Islam boleh menjadi saksi kerana kita tahu dalam Al-Qur’an sudah disebut yang para Rasul mereka sudah sampaikan ajaran kepada mereka.

 

وَلَنَسأَلَنَّ المُرسَلينَ

dan sesungguhnya Kami akan menanyakan (pula) rasul-rasul

Bukan sahaja umat yang mendapat rasul itu yang akan ditanya, tetapi pertanyaan itu turut ditujukan kepada rasul-rasul yang telah diutus. Walau bagaimanapun, mereka itu akan ditanya dengan lembut. Berbeza pula jika ditanya kepada umat yang degil di mana mereka akan ditanya dengan keras.

Kepada para Rasul itu, akan ditanya sama ada mereka telah menyampaikan wahyu ataupun tidak kepada umat mereka. Allah ‎ﷻ akan tanya kerana ia adalah amat penting sekali. Jika telah sampai wahyu kepada mereka dan mereka masih berdegil, maka tidak ada maaf bagi mereka. Namun begitu, jika wahyu tidak sampai kepada mereka, maka masih ada harapan lagi.

Namun sudah tentulah mereka telah sampaikan dan apabila kaum mereka menolak dan cuba menidakkan mesej wahyu yang telah disampaikan, maka kita umat Nabi Muhammad ﷺ yang akan bangkit menjadi saksi bagi para Rasul itu.

Para Rasul itu juga akan ditanya tentang penerimaan kaum mereka. Mereka jawab yang mereka tidak tahu. Ini bersamaan dengan firman Allah ‎ﷻ:

{يَوْمَ يَجْمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ فَيَقُولُ مَاذَا أُجِبْتُمْ قَالُوا لَا عِلْمَ لَنَا إِنَّكَ أَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ}

(Ingatlah), hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul, lalu Allah bertanya (kepada mereka), “Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?” Para rasul menjawab, “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu); sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui perkara yang ghaib.” [Al-Maidah: 109 ]

Soalan ini menunjukkan betapa pentingnya para Rasul itu menyampaikan wahyu kepada umat mereka. Itu adalah tugas yang perlu mereka jalankan, bukannya suka-suka sahaja untuk sampaikan atau tidak, bukan sebagai hobi, bukan sebagai pengisi masa lapang. Mereka mesti menyampaikan kerana mereka akan ditanya. Mereka pun ada masalah kalau mereka tidak sampaikan dan sudah pasti mereka telah sampaikan.


 

A’raf Ayat 7:

فَلَنَقُصَّنَّ عَلَيهِم بِعِلمٍ ۖ وَما كُنّا غائِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We will surely relate [their deeds] to them with knowledge, and We were not [at all] absent.

(MALAY)

maka sesungguhnya akan Kami khabarkan kepada mereka (apa-apa yang telah mereka perbuat), sedang (Kami) mengetahui (keadaan mereka), dan Kami sekali-kali tidak jauh (dari mereka).

 

فَلَنَقُصَّنَّ عَلَيهِم بِعِلمٍ

maka sesungguhnya akan Kami khabarkan kepada mereka, sedang (Kami) mengetahui, 

Sebelum ini disebut pertanyaan daripada Allah ‎ﷻ, sekarang disebut Allah ‎ﷻ pula yang akan beritahu. Maknanya, bukanlah Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang berlaku. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ berfirman yang Dia akan menceritakan amal-amal mereka semasa di dunia dengan penuh dalil dan bukti kerana Allah ‎ﷻ ada ilmu tentang apakah yang mereka telah lakukan dengan terperinci sekali. Dan akan diceritakan satu persatu dengan terperinci sekali. Allah ‎ﷻ tidak akan menipu, tidak akan menambah atau mengurangkan.

 

وَما كُنّا غائِبينَ

dan Kami sekali-kali tidak jauh

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia tidak pernah menghilangkan diri daripada menghitung amalan mereka semasa di dunia walaupun mereka tidak nampak. Memang Allah ‎ﷻ itu ghaib, kita tidak nampak, tetapi maksud ‘ghaib’ dalam ayat ini, ‘tidak hadir’. Umpamanya di sekolah, jika seorang murid tidak hadir ke kelas, guru kelas akan berkata dia ‘ghaib’. Bukanlah budak itu ghaib tidak nampak, tetapi dia tidak hadir. Maknanya tidak ada satu pun perbuatan kita yang tercicir yang Allah ‎ﷻ tidak nilaikan.

Dan Allah ‎ﷻ beritahu semula itu bukanlah saja-saja tetapi untuk menghukum dan membalas balasan mereka. Maka, ini mengajar kita untuk sentiasa berhati-hati di atas segala perbuatan kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Ogos 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah al-A’raf Ayat 1 – 7 (Pengakuan mereka yang syirik)”

  1. salam tuan,
    sy agak keliru maksud ‘tidak hadis’ dlm kenyataan dibawah. Pohon pencerahan maksud hadis tersebut.

    ‘Memang Allah ghaib, kita tidak nampak, tapi maksud ‘ghaib’ dalam ayat ini, ‘tidak hadis’.

    Like

Leave a comment