Maidah Ayat 106: Ayat ini termasuk dua lagi selepasnya adalah tiga ayat yang dikatakan paling susah untuk ditafsir dalam Al-Qur’an. Oleh itu, kena tahu asbabun nuzul (sebab turun) ayat ini kerana susah kalau dibaca begitu sahaja. Ia amat susah untuk ditafsir dari segi bahasa dan hukum dan tafsir. Dalam ayat ini ada hukum yang masih berjalan hukumnya dan ada yang dikatakan ia sudah mansukh. I’rab (ilmu nahu Bahasa Arab) pula sukar untuk difahami bagi ayat ini. Jadi kita kena usaha lebih untuk memahaminya.
Ada pengajaran akidah dalam ayat ini dan ini yang paling penting; iaitu Allah ﷻ hendak memberitahu, dalam sumpah pun hendaklah bersumpah dengan nama Allah ﷻ, tidak boleh bersumpah dengan nama ilah yang lain. Dan perkara ini tidak kira sama ada orang itu Islam atau kafir.
Asbabun Nuzul ayat ini: Pada zaman Nabi ﷺ, ada tiga orang yang berkongsi dalam berniaga, dua daripadanya adalah Nasara (Tamim dan Adiyy) dan seorang Muslim (namanya Budayl) dan mereka telah mengembara dalam rombongan perniagaan. Ditakdirkan bahawa orang Islam itu telah jatuh sakit dalam perjalanan itu dan sebelum beliau mati, beliau sempat menyenaraikan semua barang-barang hak miliknya dalam perdagangan itu dan beliau simpan di dalam salah satu daripada barangnya. Dan apabila beliau rasa yang beliau sudah hampir mati, beliau telah berwasiat kepada dua rakan kongsinya itu, untuk membawa pulang barang-barangnya dan diberikan kepada keluarganya. Orang yang dipanggil sebagai saksi ini dipanggil ‘wasiyy‘. Boleh seorang atau lebih.
Dua orang Nasara itu akhirnya masuk Islam tetapi sebelum itu, mereka telah mengambil barang kepunyaan si mati yang mahal, iaitu sebiji jag perak bertatah emas (atau mangkuk). Dan barang-barang lain mereka telah beri kepada keluarga si mati. Apabila keluarga itu mendapat segala barang-barang itu, mereka terjumpa senarai barang yang tuan barang telah tulis, tetapi tidak diketahui oleh dua orang Nasara itu. Daripada senarai itu, mereka boleh memeriksa segala barang itu dan apabila diperiksa, mereka sedar yang ada barang yang hilang, iaitu jag itu.
Mereka telah bertanya kepada Nasara dua orang itu, tetapi mereka berdua tidak mengaku tentang wujudnya barang itu. Mereka kata mereka tidak tahu tentang jag itu. Dan mereka tidak tahu menahu tentang senarai barang itu. Maknanya, Allah ﷻ telah memberikan ilham kepada si mati untuk menulis senarai sebelum beliau mati.
Oleh kerana tidak puas hati dengan alasan yang diberikan, keluarga si mati telah melaporkan perkara itu kepada Nabi ﷺ. Oleh kerana saksi yang dua orang itu membela diri mereka dengan berkata tidak tahu, maka Nabi ﷺ suruh dipanggil mereka berdua dan bersumpah. Mereka telah diarahkan untuk bersumpah mengatakan mereka memang tidak tahu menahu tentang barang yang telah hilang itu.
Inilah hukum yang kita boleh gunakan: oleh kerana mereka kata mereka tidak ambil, mereka yang kena bersumpah. Yang dituduh kena bersumpah sedangkan yang mendakwa kena membawakan dalil. Namun begitu, walaupun mereka ada senarai barang itu, mereka tetap kena bawa saksi. Dan apabila tidak ada saksi, maka kes itu telah selesai begitu sahaja (dua orang Nasara itu telah menang). Jag itu tidak dijumpai dan keluarga itu tidak ada cara lain lagi.
Allah ﷻ menurunkan ayat Al-Qur’an ini untuk menegur, tidak boleh bersumpah melainkan atas nama Allah ﷻ. Untuk mendapatkan kepastian daripada dua lelaki itu dan kerana dua orang itu beragama Nasara, mereka telah disuruh bersumpah atas nama yang mereka sendiri takut untuk mungkiri; iaitu dengan apa sahaja nama yang dia takut, terpulang kepada mereka, ikut agama mereka.
Tetapi Allah ﷻ telah menegur dalam ayat ini dan memberitahu kena bersumpah atas nama Allah ﷻ juga. Walaupun kalau seseorang itu Nasara, dia kena bersumpah: “Demi Allah yang menurunkan kitab Injil; jika Yahudi, dia kena bersumpah, demi Allah yang telah menurunkan kitab Taurat; jika Majusi, demi Allah yang telah menciptakan api; dan jika dia seorang musyrikin Mekah, demi Allah yang memilih Nabi Ibrahim.
Maknanya, kena bersumpah atas nama Allah ﷻ juga, tidak boleh sebut selain daripada Allah ﷻ. Ini adalah kerana tidak ada yang boleh menghukum melainkan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh buat apa sahaja. Ilah-ilah lain yang mereka anggap sebagai ada kelebihan itu, tidak ada langsung. Mereka bukannya ilah, maka tidak boleh guna ilah mereka.
Maka di dalam ayat ini, Allah ﷻ mengajar manusia cara-cara untuk berurusan di dalam hal keduniaan supaya hidup kita terpelihara dan berlangsung dengan baik.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا شَهٰدَةُ بَينِكُم إِذا حَضَرَ أَحَدَكُمُ المَوتُ حينَ الوَصِيَّةِ اثنانِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم أَو ءآخَرانِ مِن غَيرِكُم إِن أَنتُم ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَأَصٰبَتكُم مُّصيبَةُ المَوتِ ۚ تَحبِسونَهُما مِن بَعدِ الصَّلوةِ فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ إِنِ ارتَبتُم لا نَشتَري بِهِ ثَمَنًا وَلَو كانَ ذا قُربىٰ ۙ وَلا نَكتُمُ شَهٰدَةَ اللَّهِ إِنّا إِذًا لَّمِنَ الآثِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, testimony [should be taken] among you when death approaches one of you at the time of bequest – [that of] two just men from among you or two others from outside if you are traveling through the land and the disaster of death should strike you. Detain them after the prayer and let them both swear by Allāh if you doubt [their testimony, saying], “We will not exchange it [i.e., our oath] for a price [i.e., worldly gain], even if he should be a near relative, and we will not withhold the testimony of [i.e., ordained by] Allāh. Indeed, we would then be of the sinful.”
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian. Kamu tahan kedua saksi itu sesudah sembahyang (untuk bersumpah), lalu mereka keduanya bersumpah dengan nama Allah, jika kamu ragu-ragu: “(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun dia karib kerabat, dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah; sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa”.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا شَهٰدَةُ بَينِكُم إِذا حَضَرَ أَحَدَكُمُ المَوتُ حينَ الوَصِيَّةِ اثنانِ ذَوا عَدلٍ مِّنكُم
Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu,
Apabila berwasiat, kena ada dua orang saksi yang adil. Dan lafaz مِنكُم (dalam kalangan kamu) memberi isyarat bahawa mereka itu mestilah dalam kalangan Muslim. Ada juga yang berpendapat dalam kalangan ahli keluarga yang berwasiat.
أَو ءآخَرانِ مِن غَيرِكُم
atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu,
Lafaz غَيرِكُم (selain daripada kamu) dalam potongan ayat ini memberi isyarat bahawa boleh dijadikan sebagai saksi, orang yang bukan beragama Islam. Maka, Nasara boleh menjadi saksi seperti yang telah berlaku dalam asbabun nuzul ayat ini.
إِن أَنتُم ضَرَبتُم فِي الأَرضِ فَأَصٰبَتكُم مُّصيبَةُ المَوتِ
jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian.
Ini adalah dua syarat yang diletakkan jikalau hendak menggunakan orang kafir sebagai saksi: mesti semasa dalam perjalanan tidak menjumpai orang Muslim yang lain; dan waktu itu memerlukan wasiat, dan hanya perkara wasiat sahaja boleh digunakan mereka sebagai saksi.
تحبِسونَهُما مِن بَعدِ الصَّلوةِ
Kamu tahan kedua saksi itu sesudah sembahyang
Kalimah حبِسونَهُما daripada kalimah ح ب س yang bermaksud ‘tahan’, ‘tangkap’, ‘kurung’. Maksudnya dalam ayat ini, tahanlah mereka yang hendak dijadikan sebagai saksi itu selepas salat. Tahan dengan baik-baik kerana hendak meminta pertolongan daripada mereka. Disarankan waktu salat kerana masa dan tempat yang mulia, akan menjadi pemberat bagi orang yang bersumpah, agar mereka lebih takut untuk menipu.
Seeloknya selepas salat Asar. Ada juga yang mengatakan, maksudnya tahan mereka selepas salat berjama’ah, supaya boleh disaksikan oleh orang ramai yang datang salat sekali.
Kalau mereka itu bukan Muslim, maka tahan mereka selepas mereka melakukan cara sembahyang mereka.
فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ إِنِ ارتَبتُم
lalu mereka keduanya bersumpah dengan nama Allah, jika kamu ragu-ragu
Mereka hendaklah bersumpah dengan nama Allah ﷻ. Hanya sumpah dengan nama Allah ﷻ sahaja yang diterima. Ada pendapat yang mengatakan sumpah itu jika ada keraguan dengan persaksian mereka. Jika tiada keraguan, maka, tidak perlu bersumpah.
لا نَشتَري بِهِ ثَمَنًا وَلَو كانَ ذا قُربىٰ
“(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit, walaupun dia karib kerabat,
Ini adalah lafaz sumpah mereka: mereka kena kata yang mereka tidak akan memungkiri sumpah itu walau apa pun sebabnya. Walaupun untuk kepentingan kaum kerabat mereka.
وَلا نَكتُمُ شَهٰدَةَ اللَّهِ
dan tidak (pula) kami menyembunyikan persaksian Allah;
Sambungan sumpah mereka, menegaskan sekali lagi yang mereka tidak akan memungkiri sumpah itu. Jika dipanggil persaksian mereka, mereka akan datang dan akan berkata yang benar kerana mereka telah bersumpah atas nama Allah ﷻ. Dan berdosa besar jika menipu dalam sumpah dan persaksian.
إِنّا إِذًا لَّمِنَ الآثِمينَ
sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang-orang yang berdosa”.
Ini adalah penutup kepada lafaz sumpah mereka.
Begitulah lafaz sumpah yang perlu dilakukan oleh mereka yang menjadi saksi. Sambungan kisah ini ada di dalam ayat yang seterusnya.
Maidah Ayat 107: Ini adalah sambungan daripada kisah seorang sahabat yang meninggal dan telah berwasiat dengan menggunakan dua saksi Nasara, seperti yang telah diceritakan dalam ayat sebelum ini.
Sambungan kisah asbabun nuzul: Tidak lama selepas itu, barang yang dikatakan tidak ada itu telah dijumpai di Mekah. Orang yang memegang barang itu berkata, dia telah membelinya daripada dua orang Nasara itu. Padahal sebelum itu, dua orang Nasara itu sudah bersumpah yang barang itu tidak ada. Daripada pengakuan itu telah terbukti yang dua orang Nasara yang menjadi saksi itu yang telah menipu di dalam sumpah mereka. Perkara itu telah dirujuk kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana ada bukti baru yang timbul.
Apabila dibawa bukti ini kepada Nabi ﷺ, dua orang Nasara itu telah ditanya kembali. Mereka berkata mereka telah membeli jag itu daripada si mati. Awal dahulu mereka tidak sebut kerana mereka tidak ada saksi pembelian itu dan mereka takut mereka tidak dipercayai. Apabila mereka kata begitu, keluarga si mati telah meminta bukti pembelian itu. Dan memang tiada bukti terjadinya jual beli tersebut. Maka Nabi ﷺ suruh keluarga itu bersumpah yang barang itu adalah barang mereka kerana ada tulisan kertas yang menyatakan demikian.
Dari segi hukum, sekarang keluarga si mati pula yang bersumpah. Dan apabila keluarga sudah bersumpah, barang itu hendaklah diberikan kepada orang yang bersumpah.
Oleh itu, apabila berlaku dakwaan dan pembelaan, di mana pendakwa berkata itu barang kepunyaannya dan sepatutnya dia kena memberikan bukti. Namun jika boleh bersumpah, kes itu boleh selesai dengan diberikan barang itu atas sumpah mereka.
Keluarga itu kata itu hak mereka kerana ada dalam senarai barang wasiat si mati. Dalam masa yang sama, Nasara kata mereka telah beli daripada si mati. Maka itu adalah dakwaan dua Nasara itu. Apabila mereka kata mereka membelinya, mereka yang kena membawakan bukti dan mereka kata tidak ada.
Apabila tidak ada, pendakwaan (keluarga) yang kena bersumpah untuk mengatakan yang barang itu adalah barang mereka yang ditinggalkan oleh si mati. Apabila telah bersumpah, barang menjadi milik mereka. Kembalilah barang itu kepada keluarga setelah bersumpah.
فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا فَئآخَرانِ يَقومانِ مَقامَهُما مِنَ الَّذينَ استَحَقَّ عَلَيهِمُ الأَولَيٰنِ فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ لَشَهٰدَتُنا أَحَقُّ مِن شَهٰدَتِهِما وَمَا اعتَدَينا إِنّا إِذًا لَّمِنَ الظّٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But if it is found that those two were guilty of sin [i.e., perjury], let two others stand in their place [who are] foremost [in claim] from those who have a lawful right. And let them swear by Allāh, “Our testimony is truer than their testimony, and we have not transgressed. Indeed, we would then be of the wrongdoers.”
(MALAY)
Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa, maka dua orang yang lain di antara ahli waris yang berhak yang lebih dekat kepada orang yang meninggal (memajukan tuntutan) untuk menggantikannya, lalu keduanya bersumpah dengan nama Allah: “Sesungguhnya persaksian kami lebih layak diterima daripada persaksian kedua saksi itu, dan kami tidak melanggar batas, sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang yang menganiaya diri sendiri”.
فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا
Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,
Dalam kes asbabun nuzul itu, telah diketahui oleh waris si mati bahawa dua orang saksi yang bersumpah sebelum itu telah melakukan dosa kerana barang yang mereka kata mereka tidak tahu itu, sememangnya ada, dan dijumpai di Mekah dan orang yang memegangnya mengatakan dia telah membeli daripada kedua mereka.
Asalnya mereka kata tidak tahu menahu, tetapi rupanya mereka telah menjualnya. Oleh itu mereka berhak mendapat dosa.
Oleh itu, ini adalah hukum berkenaan saksi yang menipu.
فَئآخَرانِ يَقومانِ مَقامَهُما مِنَ الَّذينَ استَحَقَّ عَلَيهِمُ الأَولَيٰنِ
maka dua orang yang lain di antara ahli waris yang berhak yang lebih dekat kepada orang yang meninggal (memajukan tuntutan) untuk menggantikannya,
Apabila saksi yang asal telah menipu dalam sumpah mereka, maka hendaklah mendapatkan saksi yang lain. Dalam kes ini, kena ambil sumpah daripada keluarga yang lebih berhak daripada dua saksi yang asal. Maka, dinaikkan saksi pula daripada keluarga waris yang telah dizalimi kerana mereka yang paling dekat dengan si mati.
Hukum yang boleh diambil: dalil kena ada pada orang yang mendakwa dan sumpah ada pada orang yang membela. Yang mendakwa kena membawakan dalil dan yang membela kalau tidak ada bukti, mesti menggunakan sumpah; inilah kaedah yang boleh digunakan sehingga ke hari ini. Kita kena tahu tentang perkara ini. Kena faham kaedah ini.
Nota: Ini sama seperti kes di mana ada orang yang mengatakan ada amalan daripada syariat. Mereka mendakwa amalan itu wujud. Oleh kerana mereka yang kata ada, maka mereka kena membawakan dalil. Kemudian ada pula yang kata tidak tsabit amalan itu. Maka yang kata tidak tsabit itu tidak perlu membawakan dalil – mereka yang kata amalan itu adalah yang seharusnya membawakan dalil.
Oleh itu, jangan pula minta dalil jika tidak ada – itu tidak kena dan satu kebodohan dalam bab ilmu. Ramai orang sekarang, yang bila kita menegur yang amalan bid’ah tidak ada dalam Islam, mereka pula minta dalil daripada kita. Itu sudah terbalik. Sepatutnya mereka yang mengatakan amalan itu ada yang kena membawakan dalil kepada kita – dalil pula mestilah sama ada daripada Al-Qur’an atau hadith sahih sahaja.
Oleh itu, kita kena faham yang memenangi hujah adalah kepada yang kata sesuatu amalan itu tidak ada. Malangnya ramai yang tidak faham tentang prosedur ini, sampaikan mereka membawa dalil yang bathil – antaranya mereka akan bawa dalil ‘takkan’ pula [takkan tidak ada Majlis Tahlil itu… dah lama orang kita amalkan]. Ketahuilah bahawa dalil ‘takkan’ itu bukan dalil. Susah hendak dilayan orang yang jahil sebegini.
Kembali kepada kes asbabun nuzul ini: dua saksi Nasara itu telah mendakwa mereka membeli jag itu daripada si mati. Itu dianggap sebagai dakwaan. Apabila mereka dakwa yang mereka telah beli, maka mereka yang mesti membawakan bukti sebab tuan asal sudah mati untuk memberi kepastian. Apabila tidak ada saksi, keluarga waris pula yang akan menjadi pembela. Maka dua orang lain pula yang menjadi pengganti sebagai sumpah balas, iaitu puak waris.
فَيُقسِمانِ بِاللَّهِ
lalu keduanya bersumpah dengan nama Allah:
Maka mereka pun kena bersumpah dengan nama Allah ﷻ juga. Tidak boleh bersumpah dengan nama selain Allah ﷻ.
لَشَهٰدَتُنا أَحَقُّ مِن شَهٰدَتِهِما
“Sesungguhnya persaksian kami lebih layak diterima daripada persaksian kedua saksi itu,
Lafaz sumpah mereka sebegini: “Demi Allah, sumpah kami lebih berhak diterima daripada sumpahan mereka berdua sebelum ini.” Ini kerana sebelum itu, sudah ada dua saksi yang bersumpah. Maka, kena tolak sumpah mereka dahulu. Kena kata yang sumpah orang yang awal tidak boleh diterima, mereka telah membuat khianat.
وَمَا اعتَدَينا
dan kami tidak melanggar batas,
Sambung: “Dan kami tidak melampaui batas dan menzalimi dalam sumpah ini.” Maknanya, benar-benar sumpah dan tidak ada pembohongan dalam sumpah ini.
Juga maksudnya, mereka tidak melampau dalam mengatakan saksi yang awal telah khianat. Kerana itu bukan perkara yang boleh diambil mudah (mengatakan orang lain telah membuat khianat. Kena pastikan yang mereka memang telah buat khianat, jangan tuduh melulu)
إِنّا إِذًا لَّمِنَ الظّٰلِمينَ
sesungguhnya kami kalau demikian tentulah termasuk orang yang menganiaya diri sendiri”.
Mereka mengaku, kalau mereka melampau dalam sumpah mereka itu, menipu dalam sumpah, maka mereka akan termasuk dalam golongan yang zalim.
Dalam asbabun nuzul ayat ini, apabila mereka telah bersumpah sebegitu, maka barang yang hilang daripada senarai si mati itu diserahkan kepada mereka.
Maidah Ayat 108:
ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن يَأتوا بِالشَّهٰدَةِ عَلىٰ وَجهِها أَو يَخافوا أَن تُرَدَّ أَيمٰنٌ بَعدَ أَيمٰنِهِم ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاسمَعوا ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is more likely that they will give testimony according to its [true] objective, or [at least] they would fear that [other] oaths might be taken after their oaths. And fear Allāh and listen [i.e., obey Him]; and Allāh does not guide the defiantly disobedient people.
(MALAY)
Itu lebih dekat untuk (menjadikan para saksi) mengemukakan persaksiannya menurut apa yang sebenarnya, dan (lebih dekat untuk menjadikan mereka) merasa takut akan dikembalikan sumpahnya (kepada ahli waris) sesudah mereka bersumpah. Dan bertakwalah kepada Allah dan dengarkanlah (perintah-Nya). Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن يَأتوا بِالشَّهٰدَةِ عَلىٰ وَجهِها
Itu lebih dekat untuk (menjadikan para saksi) mengemukakan persaksiannya menurut apa yang sebenarnya,
Ini adalah cara bersumpah yang lebih mudah untuk umat Islam dan lebih hampir dengan cara terbaik kepada mereka yang memberi penyaksian. Maka gunakanlah cara sumpah sebegini. Apabila digunakan sumpah sebegini, ia akan mengeluarkan kisah yang sebenar.
أَو يَخافوا أَن تُرَدَّ أَيمٰنٌ بَعدَ أَيمٰنِهِم
dan (lebih dekat untuk menjadikan mereka) merasa takut akan dikembalikan sumpahnya (kepada ahli waris) sesudah mereka bersumpah.
Atau sumpah yang sebegini akan menyebabkan mereka bimbang kalau-kalau ditolak sumpah mereka selepas dibuat oleh sumpahan yang benar. Dengan cara ini maka semua kena beringat, jangan senang-senang hendak bersumpah palsu. Ini kerana mereka kena tahu, jika ada kesilapan, mahkamah akan memanggil mereka semula. Tidaklah semestinya mereka sumpah sahaja, terus diterima. Masih ada lagi cara untuk sumpah mereka ditolak.
وَاتَّقُوا اللَّهَ
Dan bertaqwalah kepada Allah
Yang penting, hendaklah bertaqwa dan hendaklah takut kepada Allah ﷻ. Jika tidak takut kepada Allah ﷻ, hukum apa pun tidak jadi. Mereka yang tidak takut kepada Allah ﷻ, akan langgar sahaja mana-mana hukum Allah ﷻ. Tetapi mereka kena ingat yang mereka yang dikenakan dengan azab nanti.
وَاسمَعوا
dan dengarkanlah
Maksudnya, dengar dan taatlah hukum yang ada dalam wahyu. Jangan memandai membuat hukum sendiri. Allah ﷻ telah memberikan syariat untuk kita menggunakan undang-undang dari-Nya, yang sudah tentunya bagus. Janganlah digunakan undang-undang manusia jika Allah ﷻ telah menetapkan hukum.
Malangnya, orang kita sendiri pun tidak mengkaji hukum yang Allah ﷻ telah turunkan. Ramai yang lebih selesa menggunakan hukum dan undang-undang buatan manusia pula. Ini tidak patut. Selalunya yang terjadi, mereka tidak tahu pun sebenarnya dalam Islam sudah ada undang-undang tersebut. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar.
وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
Allah ﷻ tidak akan memberi pimpinan kepada kaum yang fasik; iaitu mereka yang keluar daripada ketaatan. Mereka tidak ada niat untuk taat pun kepada hukum-hukum Allah ﷻ.
Oleh itu, secara ringkasnya, maksud besar ayat ini adalah kena bersumpah dengan nama Allah ﷻ. Tidak boleh bersumpah guna nama selain Allah ﷻ. Walaupun orang yang diminta sumpah itu adalah orang bukan Islam sekali pun. Kena sesuaikan sumpah mereka supaya sebut nama Allah ﷻ juga. Ini penting kerana ini adalah isu akidah. Ia berkait rapat dengan pegangan akidah kita.
Dalam ayat ini sudah ada teguran daripada Allah ﷻ kerana asalnya Nabi ﷺ suruh mereka bersumpah dengan nama apa sahaja yang mereka takut – iaitu dengan nama Nabi Isa (Jesus) dan sebagainya. Tetapi Allah ﷻ menegur dengan beritahu bersumpah mesti atas nama Allah ﷻ kerana Dia sahaja yang maha tahu segala perkara. Oleh itu, kena ingat: hanya nama Allah ﷻ sahaja yang berhak digunakan dalam sumpah.
Sekian Ruku’ 14 dari 16 ruku’ dalam surah ini.
Maidah Ayat 109: Ini berkenaan dengan hal Nabi Isa عليه السلام. Surah ini sudah hampir sampai ke penghujung. Allah ﷻ sebut tentang Nabi Isa عليه السلام dan agama Kristian kerana ia adalah agama yang terbesar dalam dunia sekarang ini. Dan ia adalah agama yang paling popular.
Sebelum kepada bab itu, sekarang diceritakan soalan yang Allah ﷻ tanya kepada semua Rasul. Allah ﷻ sentuh keadaan di akhirat kelak. Ini adalah cara Al-Qur’an di mana setelah diberitahu bab-bab hukum, akan diberikan peringatan tentang akhirat kerana orang yang ingat tentang akhirat sahaja yang boleh taat dan ikut kepada hukum yang telah diberikan.
۞ يَومَ يَجمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ فَيَقولُ ماذا أُجِبتُم ۖ قالوا لا عِلمَ لَنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Be warned of] the Day when Allāh will assemble the messengers and say, “What was the response you received?” They will say, “We have no knowledge. Indeed, it is You who is Knower of the unseen” –
(MALAY)
(Ingatlah), hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul lalu Allah bertanya (kepada mereka): “Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?”. Para rasul menjawab: “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu); sesungguhnya Engkau-lah yang mengetahui perkara yang ghaib”.
يَومَ يَجمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ فَيَقولُ ماذا أُجِبتُم
(Ingatlah), hari di waktu Allah mengumpulkan para rasul lalu Allah bertanya (kepada mereka): “Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?”.
Allah ﷻ sekarang menceritakan kepada kita, kejadian di Mahsyar nanti. Waktu itu akan dikumpulkan semua rasul yang telah dipilih. Hari Mahsyar itu nanti semua makhluk akan dikumpulkan. Akan tetapi dalam ayat ini Allah ﷻ menceritakan tentang Rasul yang dikumpulkan. Ini menakutkan kerana dalam perhimpunan itu, mereka yang ditanya dahulu.
Waktu itu akan ditanya mereka: apa yang disambut oleh kaum kamu? Apa sambutan mereka terhadap dakwah kamu? Kamu telah sampaikan kepada umat kamu, tetapi apa jawapan mereka? Mereka buat apa?
Dalam ini adalah soalan penting yang hendak ditanya: mereka terima atau tidak? Maka semua manusia tidak akan terlepas kerana mereka akan ditanya sama ada mereka taat atau tidak kepada ajaran Rasul mereka. Jadi walaupun yang ditanya adalah para Rasul, tetapi sebenarnya soalan itu tentang umat mereka. Jadi ia adalah tentang ‘kita’ sebenarnya.
Ini adalah tempelak kepada manusia yang berharap sangat kepada syafaat daripada Rasul mereka. Syarat untuk mendapat syafaat mestilah mengikut apa yang diajar oleh Rasul mereka. Soalannya, adakah mereka ikut?
قالوا لا عِلمَ لَنا
Para rasul menjawab: “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu);
Para Rasul itu akan jawab lebih kurang maksudnya begini: [tidak ada ilmu kepada kami. Kami tidak tahu umat kami terima atau tidak selepas kami tiada.] Ini benar kerana selepas para Rasul wafat, mereka tidak ada hubungan lagi dengan dunia. Akidah yang kata Nabi masih ada dalam kalangan kita adalah tidak benar.
Selain itu, ada juga tafsiran kedua, dan ini adalah penjelasan daripada Imam Razi. Ini kerana telah timbul persoalan: Mana mungkin para Rasul itu tidak tahu siapa yang beriman di antara mereka dahulu semasa mereka hidup? Imam Razi menjelaskan ilmu pengetahuan ada dua: ilm dan zann (agak sahaja). Mungkin ada yang duduk dalam kalangan para Rasul itu dan mengaku beriman, tetapi belum pasti lagi kerana mereka mungkin munafik.
Maka para rasul itu mengatakan lebih kurang begini: tidak ada ilmu pada kami kecuali apa yang kami tahu jawapan mereka semasa hidup kami bersama mereka. Kami hanya boleh tahu perbuatan zahir mereka sahaja. Kami tidak tahu apa yang mereka kata di dalam hati mereka.
Kerana yang dikehendaki adalah umat itu kena terima dengan mulut dan juga dengan hati. Namun soal hati mereka, para Rasul itu tidak tahu apa isinya. Yang tidak terima memang sudah jelas kerana mereka ada yang buat tidak tahu sahaja dan ada yang menentang.
Maka kerana itu para Rasul itu jawab: mereka tidak tahu kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu ghaib yang dalam hati mereka. Mereka sekadar menyampaikan sahaja. Sama ada kaum mereka benar terima atau tidak, mereka tidak tahu. Itulah jawapan mereka kepada Allah ﷻ. Ini menjadi dalil bahawa Rasul tidak ada ilmu ghaib sehinggakan dapat mengetahui apa yang dalam hati manusia. Jika Nabi pun tidak tahu, apatah lagi manusia biasa.
إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ
sesungguhnya Engkau-lah yang mengetahui perkara yang ghaib”.
Mereka mengaku yang mereka memang tidak tahu kerana mereka manusia sahaja. Maknanya, mereka tidak tahu perkara ghaib. Yang tahu segala-galanya adalah Allah ﷻ sahaja.
Maka, ini juga menolak fahaman golongan yang berkata Nabi Muhammad ﷺ itu tahu perkara ghaib. Itu adalah jauh daripada kebenaran kerana dalam ayat ini sendiri menjelaskan yang para Nabi itu semua mengaku yang mereka tidak ada ilmu ghaib.
Semua Nabi dan rasul akan jawab begitu. Dan ada lagi soal jawab selepas ini. Kerana selepas itu nanti puak yang menolak kebenaran akan berkata bahawa para Nabi tidak sampaikan pun dakwah dan ilmu kepada mereka. Ini disebut dalam ayat-ayat yang lain. Ini bermakna mereka sudahlah telah berbohong di dunia dan sekarang, mereka hendak berbohong pula di akhirat.
Apabila umat kata begitu, Allah ﷻ akan tanya para Nabi apakah dalil yang mereka telah sampaikan dakwah tauhid kepada umat, para rasul itu akan kata umat Nabi Muhammad ﷺ yang jadi saksi ke atas mereka.
Eh, bagaimana pula umat Nabi Muhammad ﷺ menjadi saksi pula sedangkan kita tidak hidup dalam kalangan mereka? Kita sebagai umat Nabi Muhammad ﷺ boleh menjadi saksi kerana semua perkara itu disebut dalam Al-Qur’an; iaitu mereka yang belajar Al-Qur’an sahaja yang dapat memberikan persaksian itu kerana dalam Al-Qur’an telah disebut yang para Nabi umat dahulu telah menyampaikan segala wahyu kepada umat mereka.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 6 September 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Maariful Qur’an