Maidah Ayat 110: Dalam ramai-ramai Nabi yang ditanya, paling banyak ditanya adalah Nabi Isa عليه السلام. Ini adalah kerana umat baginda yang banyak sesat menggunakan nama baginda. Amat ramai yang seru baginda dan menjadikan baginda sebagai tuhan.
Di dalam ayat ini, Allah ﷻ menceritakan tentang kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepada baginda.
إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ اذكُر نِعمَتي عَلَيكَ وَعَلىٰ وٰلِدَتِكَ إِذ أَيَّدتُّكَ بِروحِ القُدُسِ تُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا ۖ وَإِذ عَلَّمتُكَ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَالتَّورىٰةَ وَالإِنجيلَ ۖ وَإِذ تَخلُقُ مِنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ بِإِذني فَتَنفُخُ فيها فَتَكونُ طَيرًا بِإِذني ۖ وَتُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ بِإِذني ۖ وَإِذ تُخرِجُ المَوتىٰ بِإِذني ۖ وَإِذ كَفَفتُ بَني إِسرٰءيلَ عَنكَ إِذ جِئتَهُم بِالبَيِّنٰتِ فَقالَ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[The Day] when Allāh will say, “O Jesus, Son of Mary, remember My favor upon you and upon your mother when I supported you with the Pure Spirit [i.e., the angel Gabriel] and you spoke to the people in the cradle and in maturity; and [remember] when I taught you writing and wisdom and the Torah and the Gospel; and when you designed from clay [what was] like the form of a bird with My permission, then you breathed into it, and it became a bird with My permission; and you healed the blind [from birth] and the leper with My permission; and when you brought forth the dead with My permission; and when I restrained the Children of Israel from [killing] you when you came to them with clear proofs and those who disbelieved among them said, “This is not but obvious magic.”
(MALAY)
(Ingatlah), ketika Allah mengatakan: “Hai Isa putra Maryam, ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu di waktu Aku menguatkan kamu dengan ruhul qudus. Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) di waktu Aku mengajar kamu menulis, hikmah, Taurat dan Injil, dan (ingatlah pula) di waktu kamu membentuk dari tanah (suatu bentuk) yang berupa burung dengan izin-Ku, kemudian kamu meniup kepadanya, lalu bentuk itu menjadi burung (yang sebenarnya) dengan seizin-Ku. Dan (ingatlah) di waktu kamu menyembuhkan orang yang buta sejak dalam kandungan ibu dan orang yang berpenyakit sopak dengan seizin-Ku, dan (ingatlah) di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur (menjadi hidup) dengan seizin-Ku, dan (ingatlah) di waktu Aku menghalangi Bani Israil (dari keinginan mereka membunuh kamu) di kala kamu mengemukakan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, lalu orang-orang kafir diantara mereka berkata: “Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata”.
إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ
(Ingatlah), ketika Allah mengatakan: “Hai Isa putra Maryam,
Oleh itu, semua yang dijadikan sebagai sembahan akan ditanya tetapi disebut kisah Nabi Isa عليه السلام sebagai contoh.
اذكُر نِعمَتي عَلَيكَ وَعَلىٰ وٰلِدَتِكَ
ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu
Allah ﷻ tolak kefahaman salah tentang Nabi Isa عليه السلام yang banyak terjadi, dari dahulu sampai sekarang, apabila manusia terlalu mengangkat kedudukan baginda sehingga ke tahap yang tidak sepatutnya.
Bukan Nabi Isa عليه السلام sahaja yang diangkat terlalu tinggi melebihi kedudukan sebagai manusia, tetapi ibunya Maryam رضي الله عنها juga telah diangkat terlalu tinggi. Sampaikan ada yang menjadikan Maryam رضي الله عنها sebagai salah satu daripada triniti (Tiga Tuhan dalam Satu, iaitu fahaman sesat Kristian).
Ini adalah titah Allah ﷻ kepada Nabi Isa عليه السلام di akhirat kelak. Namun sekarang kita yang membacanya. Oleh itu, Allah ﷻ menyeru manusia agar mengingati nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada Nabi Isa عليه السلام dan kepada ibu baginda. Antara nikmat itu adalah: Allah ﷻ telah menjadikan Nabi Isa عليه السلام tanpa bapa. Allah ﷻ menjadikan baginda sebagai tanda kekuasaan-Nya di alam ini, dan tanda bahawa Dia boleh menjadikan apa sahaja. Dan kemudian Allah ﷻ telah menaikkan baginda menjadi Rasul.
Maryam رضي الله عنها juga telah mendapat nikmat seorang anak yang amat hebat, iaitu seorang Rasul. Anaknya itu dijadikan sebagai tanda kesuciannya, menolak cemuhan kaumnya yang mengatakan beliau telah melakukan zina.
Semasa anaknya masih kecil beberapa waktu sahaja (mungkin beberapa jam atau beberapa hari sahaja), baginda telah bercakap mempertahankan kesucian ibunya itu daripada kesalahan zina.
Maknanya, semua yang mereka dapat itu, Allah ﷻ yang berikan. Semua itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ, bukan mereka sendiri. Oleh itu, mereka berdua bukan Tuhan, juga bukanlah sebahagian daripada Tuhan kerana jika mereka itu Tuhan, tentu mereka mempunyai kuasa sendiri. Sedangkan apa sahaja yang mereka ada, adalah pemberian daripada Allah ﷻ.
إِذ أَيَّدتُّكَ بِروحِ القُدُسِ
di waktu Aku menguatkan kamu dengan ruhul qudus.
‘Ruhul Qudus’ yang dimaksudkan adalah malaikat Jibril عليه السلام. Maksud Ruhul Qudus adalah ‘Roh yang Suci’. Di dalam agama Kristian, mereka menggelarkan ‘The Holy Spirit’ atau ‘The Holy Ghost’.
Allah ﷻ mengingatkan baginda ketika Dia telah bantu dan menguatkan baginda dengan malaikat Jibril عليه السلام yang sentiasa bersama dengan baginda. Setiap kali baginda berdakwah, malaikat Jibril عليه السلام ada di sisi baginda. Nabi lain tidak ada mendapat pertolongan sebegini.
تُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا
Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa;
Dan Allah ﷻ mengingatkan bagaimana Nabi Isa عليه السلام boleh bercakap-cakap dengan manusia walaupun baginda waktu itu masih dalam buaian lagi. Ini juga seperti yang disebut dalam Surah Taha. Bicara baginda pula bukanlah bicara kosong tetapi dakwah mengajak kaumnya kembali kepada dakwah tauhid dan agama yang lurus.
Dan bukan sahaja semasa baginda kecil dapat bercakap, tetapi selepas baginda dewasa juga. Namun apa hebatnya boleh berkata-kata waktu dewasa? Yang menariknya tentang ayat ini, lafaz كَهلً dari segi bahasa bermaksud sesorang yang berumur 40 ke atas. Tetapi dari riwayat, semua tahu bahawa baginda telah dinaikkan ke langit semasa baginda berumur awal 30-an.
Jadi, ini adalah antara dalil bahawa baginda akan diturunkan kembali ke bumi sekali lagi dan waktu itulah baginda akan terus berkata-kata dengan manusia, iaitu ketika baginda turun dari langit dan dapat bercakap dengan orang lain.
Baginda akan berkahwin dan mendapat anak dan akan mati dan akan dikebumikan. Sekali baca, memang tidak nampak tentang perkara ini kerana itulah ada juga yang tidak percaya bahawa Nabi Isa عليه السلام akan dibangkitkan semula, kerana mereka kata tiada dalil. Jadi, salah satu dalilnya terdapat dalam ayat ini. Namun dalilnya tidaklah jelas melainkan ada kefahaman daripada bahasa yang digunakan.
وَإِذ عَلَّمتُكَ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ
dan (ingatlah) di waktu Aku mengajar kamu tentang al-Kitab dan hikmah,
Dan sekarang Allah ﷻ mengingatkan baginda tentang nikmat ilmu yang diberikan kepada baginda. Allah ﷻ telah mengajar ‘al-Kitab’ yang bermaksud Al-Qur’an dan ‘al-Hikmah’ yang bermaksud hadith Nabi Muhammad ﷺ.
Ini adalah ketika baginda diturunkan pada kali kedua. Baginda kena mengamalkan syariat Nabi Muhammad ﷺ pada kali kedua baginda dibangkitkan jadi baginda kena mendapatkan ilmu Al-Qur’an dan Hadith Nabi.
وَالتَّورىٰةَ وَالإِنجيلَ
dan Taurat dan Injil,
Dan tentunya baginda telah diajar dengan kitab Taurat dan Injil semasa hayat pertama baginda di dunia lagi. Baginda lebih mahir tentang Taurat daripada para pendita di zamannya, sampaikan baginda telah membongkar penipuan yang dilakukan oleh mereka. Maka kerana itulah mereka benci sangat dengan baginda dan membuat rancangan untuk membunuh baginda.
وَإِذ تَخلُقُ مِنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ بِإِذني
dan (ingatlah pula) di waktu kamu membentuk daripada tanah (suatu bentuk) yang berupa burung dengan izin-Ku,
Sekarang masuk tentang mukjizat yang telah diberikan kepada baginda pula. Baginda telah membuat bentuk burung daripada tanah liat, dengan izin Allah ﷻ. Buat bentuk burung itu pun sudah memerlukan izin Allah ﷻ. Belum dijadikan hidup lagi pun.
فَتَنفُخُ فيها فَتَكونُ طَيرًا بِإِذني
kemudian kamu meniup kepadanya, lalu bentuk itu menjadi burung (yang sebenarnya) dengan seizin-Ku.
Dan kemudian baginda meniup pada bentuk burung itu dan ia telah menjadi burung sebenar yang hidup. Asalnya daripada bentuk burung sahaja, tetapi sudah menjadi burung sebenar. Namun Allah ﷻ mengingatkan yang itu adalah dengan izin Allah ﷻ, bukannya dengan kudrat baginda sendiri.
Orang Kristian menggunakan ayat ini dan mereka kata: lihatlah Al-Qur’an pun memperakui ketuhanan Jesus!
Tidakkah mereka sedar bahawa semua itu dengan izin Allah ﷻ semata-mata? Memang mereka telah sesat sampaikan mata mereka tidak nampak kebenaran di depan mata. Mereka baca pun tidak sampai habis tetapi mereka tebuk dan mengambil apa yang mereka hendak sahaja. Malangnya, umat Islam pun ada juga menebuk ayat-ayat tertentu untuk membenarkan kesalahan akidah mereka. Ini kerana tidak belajar dan mengambil keseluruhan fahaman ayat-ayat Al-Qur’an.
وَتُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ بِإِذني
Dan (ingatlah) di waktu kamu menyembuhkan orang yang buta sejak dalam kandungan ibu dan orang yang berpenyakit sopak dengan seizin-Ku,
Mukjizat yang seterusnya diberitahu dalam ayat ini adalah Nabi Isa عليه السلام telah menyembuhkan orang buta asli semenjak lahir menjadi celik. Jika menyembuhkan orang yang celik kemudian buta, itu pun sudah hebat, apatah lagi jikz orang itu buta semenjak lahir lagi, tentu lebih hebat.
Dan baginda juga telah menyembuhkan orang berpenyakit sopak atau ada juga yang memanggilnya kusta. Ini adalah penyakit yang tidak dapat diubati zaman sekarang pun, tetapi Nabi Isaعليه السلام dapat mengubatinya.
Allah ﷻ mengingatkan lagi yang semua itu bukan daripada kudrat baginda tetapi dengan izin Allah ﷻ. Jika bukan Allah ﷻ yang mengizinkan, maka, ia tidak akan terjadi kerana yang menyembuhkan hanya Allah ﷻ sahaja.
وَإِذ تُخرِجُ المَوتىٰ بِإِذني
dan (ingatlah) di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur dengan seizin-Ku,
Maksud ‘mengeluarkan’ itu adalah mengeluarkan dari kubur, iaitu menjadikan orang itu hidup kembali. Maknanya, Nabi Isa عليه السلام pernah menghidupkan orang yang telah mati, tetapi itu pun dengan izin Allah ﷻ.
Kita kena ingat yang semuanya itu dengan izin Allah ﷻ. Nabi Isa عليه السلام sendiri tidak ada kuasa, semua itu adalah kuasa daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang izinkan.
وَإِذ كَفَفتُ بَني إِسرٰءيلَ عَنكَ إِذ جِئتَهُم بِالبَيِّنٰتِ
dan (ingatlah) di waktu Aku menghalangi Bani Israel daripada engkau di kala kamu mengemukakan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata,
Allah ﷻ mengingatkan ketika Dia menghalangi Bani Israel daripada membunuh Nabi Isa عليه السلام, iaitu dengan mengangkat baginda dari dunia dan puak Rom telah membunuh orang lain yang disangka sebagai Nabi Isa عليه السلام.
Nabi Isa عليه السلام telah dirancang untuk dibunuh oleh puak Yahudi kerana baginda telah membuka kesalahan yang mereka telah lakukan selama hari ini. Oleh kerana marahkan Nabi Isa عليه السلام, mereka telah menghasut kerajaan Rom sebagai pemerintah pada waktu itu untuk membunuh Nabi Isa عليه السلام. Mereka menuduh Nabi Isa عليه السلام telah mengaku sebagai Raja Bani Israel dan itu telah menyebabkan kerajaan Rom bertindak.
Oleh itu, rancangan untuk membunuh baginda itu adalah kerana baginda memberitahu mereka kebenaran dengan bawa dalil bukti. Bukannya baginda datang dengan tangan kosong dan cakap kosong pun, tetapi baginda datang dengan bukti yang nyata.
Bukti-bukti yang nyata itu adalah mukjizat-mukjizat yang telah ditunjukkan oleh baginda. Mereka telah meminta dalil yang menunjukkan yang baginda adalah seorang Rasul. Jadi, baginda telah menunjukkan semua mukjizat-mukjizat itu dan mereka telah melihatnya dengan mata mereka sendiri. Tetapi apa kata mereka?
فَقالَ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ
lalu orang-orang kafir di antara mereka berkata: “Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata”
Orang kafir itu kata: tidaklah mukjizat-mukjizat ini melainkan sihir belaka. Mereka tidak dapat terima itu semua sebagai mukjizat. Mereka tidak tahu hendak berkata apa lagi, mereka hanya cakap ia adalah sihir. Itulah cara mereka tolak. Tolak tetap kena tolak, tetapi apakah alasannya? Mereka pilih dengan menuduh baginda sebagai ahli sihir kerana dapat buat itu dan ini. Padahal semua itu adalah mukjizat, bukannya sihir.
Dan begitulah cara Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad ﷺ. Kerana itulah banyak disebut dalam Al-Qur’an tentang tuduhan musuh terhadap Nabi Muhammad ﷺ sebagai ahli sihir. Jadi dalam masa yang sama, Allah ﷻ hendak memberitahu Rasulullah ﷺ bahawa bukan baginda sahaja yang dituduh sebagai ahli sihir, tetapi Nabi Isa عليه السلام pun juga telah dituduh dengan tuduhan yang sama.
Maidah Ayat 111: Ini satu lagi kelebihan kepada baginda.
وَإِذ أَوحَيتُ إِلَى الحَوارِيّينَ أَن ءآمِنوا بي وَبِرَسولي قالوا ءآمَنّا وَاشهَد بِأَنَّنا مُسلِمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [remember] when I inspired to the disciples, “Believe in Me and in My messenger [i.e., Jesus].” They said, “We have believed, so bear witness that indeed we are Muslims [in submission to Allāh].”
(MALAY)
Dan (ingatlah), ketika Aku ilhamkan kepada pengikut Isa yang setia: “Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku”. Mereka menjawab: Kami telah beriman dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh (kepada seruanmu)”.
وَإِذ أَوحَيتُ إِلَى الحَوارِيّينَ
Dan (ingatlah), ketika Aku ‘ilhamkan’ kepada Hawariyyun (pengikut Isa yang setia):
Ini adalah salah satu daripada anugerah Allah ﷻ kepada Nabi عليه السلام Isa juga – baginda diberikan dengan pembantu dalam dakwahnya dan mereka dikenali sebagai Hawariyyun.
Dalam ayat ini digunakan lafaz ‘wahyu’ tetapi kita kena faham yang tentunya ia bukanlah wahyu seperti yang kita faham, kerana wahyu untuk Nabi sahaja. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘ilham’. Sama juga Allah ﷻ gunakan lafaz ‘wahyu’ untuk Maryam (Al-Qashash:7), untuk lebah (An-Nahl: 68-69) dalam ayat yang lain. Semua itu adalah ilham.
Sama ada mereka terus mendapat ilham itu ke dalam hati mereka, atau mungkin bermaksud Allah ﷻ mengwahyukan kepada Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام sampaikan kepada mereka dan mereka terima apa yang disampaikan oleh Nabi Isa itu. Allahu a’lam.
Hawariyyun adalah pengikut setia Nabi Isa عليه السلام. Dalam bahasa Inggeris, digunakan lafaz ‘disciples’.
أَن ءآمِنوا بي وَبِرَسولي
“Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku”.
Apakah yang telah diilhamkan kepada mereka? Iaitu mereka diilhamkan untuk hendaklah yakin sungguh kepada Allah ﷻ dan Rasul Allah.
قالوا ءآمَنّا
Mereka menjawab: Kami telah beriman
Mereka menyambut ilham itu dan telah berkata seperti yang telah diilhamkan kepada mereka. Maknanya, keimanan mereka datang daripada Allah ﷻ. Mereka beriman dengan akidah tauhid dan mereka taat kepada Nabi Isa عليه السلام.
وَاشهَد بِأَنَّنا مُسلِمونَ
dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh
Mereka kata kepada Nabi Isa عليه السلام bahawa mereka semua telah beriman. Mereka meminta Nabi Isa عليه السلام menjadi saksi yang mereka tunduk kepada segala hukum – itulah maksud ‘Islam’ iaitu tunduk patuh 100% kepada Allah ﷻ dan menerima agama Islam sepenuhnya.
Adakah anda dapat lihat bagaimana mereka telah mengaku yang mereka sebagai Muslim? Apa lagi kata orang Kristian setelah melihat ayat ini? Golongan yang mereka pandang tinggi, yang telah membantu Nabi Isa عليه السلام sendiri telah mengaku sebagai Muslim? Sepatutnya mereka pun ikutlah untuk jadi Muslim sekali, janganlah lawan.
Hanya ada agama Islam sahaja. Kita tidak perlu iktiraf agama lain. Ya, mereka ada kebebasan untuk mengamalkan agama mereka. Akan tetapi tidaklah kebebasan itu sehinggakan kita mengatakan agama mereka pun benar juga. Jangan kita terlibat dalam golongan yang liberal yang mengiktiraf agama lain.
Dan jangan kita tertipu dengan golongan yang hendak menggabungkan dua agama ini. Memang ada pergerakan ini menggabungkan agama ini. Contohnya gabungkan Islam dan Kristian jadi ‘Chrislam’.
Maidah Ayat 112: Ini kisah turunnya Maidah (makanan dari langit). Daripada nama inilah diambil nama surah ini.
إِذ قالَ الحَوارِيّونَ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ هَل يَستَطيعُ رَبُّكَ أَن يُنَزِّلَ عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ ۖ قالَ اتَّقُوا اللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[And remember] when the disciples said, “O Jesus, Son of Mary, can your Lord¹ send down to us a table [spread with food] from the heaven?” [Jesus] said, “Fear Allāh, if you should be believers.”
- i.e., will Allāh consent to. (His ability is undoubted.)
(MALAY)
(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: “Hai Isa putera Maryam, bolehkah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?”. Isa menjawab: “Bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman”.
إِذ قالَ الحَوارِيّونَ يٰعيسَى ابنَ مَريَمَ
(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: “Hai Isa putera Maryam,
Ini adalah satu permintaan golongan Hawariyyuun kepada Nabi Isa عليه السلام. Sekarang kita akan belajar tentang maksud ‘maidah’. Sebahagian para imam ada yang menyebutkan bahawa kisah hidangan ini tidak disebutkan di dalam kitab Injil, dan orang-orang Nasrani tidak mengetahuinya kecuali melalui kaum Muslim.
هَل يَستَطيعُ رَبُّكَ أَن يُنَزِّلَ عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ
bolehkah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?”.
Seolah-olah mereka berkata: “Bolehkah sekarang ni, Tuhan turunkan kepada kami hidangan yang lengkap dari langit? Kalau di akhirat, kami tahu yang ahli syurga memang akan dapat makanan yang lazat, tapi kalau sekarang, bagaimana? Boleh tak Allah turunkan untuk kami?”
Ini adalah satu permintaan yang pelik. Beberapa ayat sebelum ini, Allah ﷻ telah menegur tentang permintaan tidak berfaedah daripada umat kepada Rasul mereka. Sekarang ada permintaan seperti ini pula.
Tentu sahaja Allah ﷻ mampu menurunkan hidangan itu. Ini tidak dapat disangkal lagi. Kita pun tahu yang Maryam رضي الله عنها pernah diberi makan dengan makanan terus daripada Allah ﷻ seperti yang disebut dalam surah Ali Imran. Maka ada yang mentafsirkan ayat ini: “Sanggupkah engkau (Nabi Isa) minta kepada Allah?”.
قالَ اتَّقُوا اللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Isa menjawab: “Bertaqwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman”.
Nabi Isa عليه السلام memberi jawapan balas kepada permintaan mereka begini: “Takutlah kepada Tuhan, kenapa nak minta begitu? Kamu pun tahu yang benda itu akan dapat di akhirat kelak, kenapa minta sekarang? Hendaklah kamu takut kepada Allah, nak minta pun kena fikir-fikirlah. Kalau kamu minta taqwa, moleklah. Tapi permintaan kamu ini tidak patut. Kalau kamu beriman dengan Allah, benda sebegini tidak patut kamu minta”.
Jika Allah ﷻ turunkan perkara seperti ini, ia adalah satu mukjizat. Dan amat bahaya kalau minta mukjizat daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ memberikannya, tetapi mereka menolak kebenaran juga selepas itu, dan ia akan menyebabkan azab diberikan terus kepada mereka.
Nabi Isa عليه السلام mengingatkan begitu kerana ramai yang sudah meminta mukjizat sebelum itu tetapi setelah diberi mukjizat mereka tetap tolak juga untuk beriman, maka azab yang amat berat telah diberikan kepada mereka. Nabi Isa عليه السلام adalah Nabi terakhir daripada Bani Israel dan telah banyak kisah-kisah tentang permintaan daripada umat-umat yang terdahulu yang telah menolak kebenaran walaupun mereka telah ditunjukkan dengan pelbagai mukjizat. Mereka pun tahu kisah itu semua, jadi kenapa minta lagi?
Maidah Ayat 113: Ini adalah jawapan mereka kenapa mereka mahukan hidangan dari langit itu. Ada tiga alasan yang diberikan.
قالوا نُريدُ أَن نَّأكُلَ مِنها وَتَطمَئِنَّ قُلوبُنا وَنَعلَمَ أَن قَد صَدَقتَنا وَنَكونَ عَلَيها مِنَ الشّٰهِدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They said, “We wish to eat from it and let our hearts be reassured and know that you have been truthful to us and be among its witnesses.”
(MALAY)
Mereka berkata: “Kami ingin memakan hidangan itu dan supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami, dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan”.
قالوا نُريدُ أَن نَّأكُلَ مِنها
Mereka berkata: “Kami ingin memakan hidangan itu
Seolah-olah mereka berkata: “Kerana kami mahu makan hidangan dari langit sebelum ke syurga. Memanglah di syurga nanti kami akan dapat makanan itu, tapi kami nak rasa semasa kami di dunia ini lagi.”
Sebahagian ulama’ mengatakan, sesungguhnya mereka meminta hidangan ini kerana mereka sangat memerlukannya dan kerana kemiskinan mereka. Lalu mereka meminta kepada nabi mereka agar menurunkan hidangan dari langit setiap harinya untuk makanan mereka hingga mereka kuat menjalankan ibadahnya.
وَتَطمَئِنَّ قُلوبُنا
dan supaya tenteram hati kami
Yang kedua, mereka kata supaya hati mereka menjadi tenang. Maka tenang dan teguh iman mereka kerana setelah mendengar segala dakwah dan ajaran daripada Nabi Isa عليه السلام, mereka dapat melihat pula mukjizat di hadapan mata mereka, supaya bertambah keyakinan.
Ini sama seperti permintaan Nabi Ibrahim عليه السلام kepada Allah ﷻ untuk melihat bagaimana Allah ﷻ menghidupkan yang telah mati, seperti yang disebut dalam Baqarah:260.
Jadi nampaknya tujuan mereka itu baik iaitu untuk mengukuhkan iman. Zaman sekarang, tidak adalah kelebihan sebegini. Iman kita hendaklah dikukuhkan dengan ilmu. Dan mungkin kadang-kadang Allah ﷻ menunjukkan kekuasaan-Nya kepada kita dengan perkara-perkara yang ajaib, tetapi tidak semua orang akan dapat. Maka kita jangan tunggu perkara sebegitu. Iman kita hendaklah dinaikkan dan diteguhkan dengan ilmu berlandaskan wahyu.
وَنَعلَمَ أَن قَد صَدَقتَنا
dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami,
Dan mereka meminta hidangan itu supaya mereka menjadi benar-benar yakin yang Nabi Isa عليه السلام itu benar dalam dakwaan baginda sebagai rasul dan benar yang baginda sampaikan adalah wahyu.
وَنَكونَ عَلَيها مِنَ الشّٰهِدينَ
dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan”
Dan supaya mereka semua yang telah jadi pengikut Nabi Isa عليه السلام itu dapat menjadi saksi bagi orang lain, bahawa inilah Nabi Isa عليه السلام yang dapat menurunkan hidangan dari langit dengan doanya. Mereka yang akan menjadi saksi kepada orang lain. Mereka akan sampaikan kepada umat yang lain.
Maidah Ayat 114: Setelah mendengar alasan-alasan mereka, maka Nabi Isa عليه السلام telah berdoa juga kepada Allah ﷻ.
قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنا أَنزِل عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ تَكونُ لَنا عيدًا لِّأَوَّلِنا وَءآخِرِنا وَءآيَةً مِّنكَ ۖ وَارزُقنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰزِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Said Jesus, the son of Mary, “O Allāh, our Lord, send down to us a table [spread with food] from the heaven to be for us a festival for the first of us and the last of us and a sign from You. And provide for us, and You are the best of providers.”
(MALAY)
Isa putera Maryam berdoa: “Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami suatu hidangan dari langit supaya menjadi hari raya bagi kami iaitu orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami, dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau; beri rezekilah kepada kami, dan Engkaulah pemberi rezeki Yang Paling Utama”.
قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنا أَنزِل عَلَينا مائِدَةً مِّنَ السَّماءِ
Isa putera Maryam berdoa: “Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami suatu hidangan dari langit
Dalam ayat ini, antara lain, Allah ﷻ hendak tsabitkan yang Nabi Isa عليه السلام itu bukan tuhan kerana jika baginda itu tuhan, kenapa baginda perlu berdoa kepada Allah ﷻ pula, kenapa tidak dibawa sendiri sahaja hidangan itu?
‘Maidah’ itu bermaksud hidangan yang lengkap dari langit.
تَكونُ لَنا عيدًا لِّأَوَّلِنا وَءآخِرِنا
akan menjadi hari raya bagi kami iaitu orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami,
Supaya hidangan itu menjadi nikmat untuk mereka bergembira bagi orang pada zaman mereka dan nikmat untuk diketahui oleh orang-orang selepas mereka. Maka kerana ia peristiwa penting, maka boleh diperingati sebagai salah satu dari hari raya mereka (eid).
Inilah kisah yang selalu kita dengar dan lihat gambarnya dalam filem – The Last Supper.
وَءآيَةً مِّنكَ
dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau;
Dan sebagai satu bukti daripada Allah ﷻ, iaitu Allah ﷻlah sahaja yang boleh memberikan hidangan seperti ini dan yang memintanya tentulah seorang Nabi yang benar. Ia juga bertujuan agar manusia percaya kepada Allah ﷻ dan kepada baginda.
وَارزُقنا وَأَنتَ خَيرُ الرّٰزِقينَ
dan beri rezekilah kepada kami, dan Engkaulah pemberi rezeki Yang Paling Utama”.
Dan akhir sekali doa Nabi Isa عليه السلام itu adalah memohon rezeki daripada Allah ﷻ. Kemudian baginda memuji Allah ﷻ kerana jika bukan Allah ﷻ yang berikan, tentu tidak ada rezeki langsung. Allah ﷻlah yang sebaik-baik pemberi rezeki. Tidak ada lagi selain Allah ﷻ yang boleh memberi rezeki. Maka ini adalah salah satu daripada adab dalam berdoa. Hendaklah memuji Allah ﷻ dalam doa kita.
Soalan: bolehkah amalkan doa ini? Ada juga yang bertanya sebegini.
Memang secara umum doa-doa di dalam Al-Qur’an adalah yang terbaik. Akan tetapi kena tengok juga konteks ayat itu. Setelah kita belajar maksud surah ini, tahulah kita kisah penurunan surah ini. Maka ini adalah permintaan khusus daripada Nabi Isa عليه السلام di atas permintaan umat baginda. Dan yang diminta adalah makanan yang turun terus dari langit. Terus siap boleh dimakan. Maka ia adalah mukjizat dan kita manusia biasa memang tidak akan dapat mukjizat seperti ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 11 September 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Maariful Qur’an