Ayat 260: Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang Tauhid. Bagi mereka yang sudah ada akidah tauhid, Allah ﷻ akan ajar mereka untuk menguatkan akidah dengan berbagai-bagai cara supaya mereka semakin beriman dan semakin kukuh iman.
وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي ۖ قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ فَصُرهُنَّ إِلَيكَ ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا ۚ وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And [mention] when Abraham said, “My Lord, show me how You give life to the dead.” [ Allah ] said, “Have you not believed?” He said, “Yes, but [I ask] only that my heart may be satisfied.” [ Allah ] said, “Take four birds and commit them to yourself. Then [after slaughtering them] put on each hill a portion of them; then call them – they will come [flying] to you in haste. And know that Allah is Exalted in Might and Wise.”
MALAY
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?”
Permintaan Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah kerana baginda hendak melihat bagaimana cara Allah ﷻ menghidupkan makhluk yang telah mati. Baginda hanya hendak tahu cara sahaja, kerana Nabi Ibrahim عليه السلام tentunya sudah yakin.
قالَ أَوَلَم تُؤمِن
Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya?
Allah ﷻ tanya itu sebagai pengukuhan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام yakin, cuma hendak tahu sahaja. Dengan pertanyaan Allah ﷻ ini, dan jawapan yang diberikan oleh baginda, tahulah kita yang baginda hendak tahu sahaja dan supaya mengukuhkan iman baginda.
قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي
Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi supaya tenteram hatiku
Tujuan Nabi Ibrahim عليه السلام tanya itu adalah supaya tenang dan teguh hati baginda dengan melihat cara dihidupkan makhluk yang telah mati.
Oleh itu, dari sini kita dapat tahu yang ‘yakin’ dan ‘teguh hati’ adalah dua perkara berbeza. Kita boleh dapat keteguhan itu dengan bermacam-macam cara. Kadang-kadang kita dapat sesuatu maklumat dalam mimpi. Kadang-kadang dengan kejadian yang terjadi kepada orang lain.
Atau kadang-kadang selepas kita mendengar ceramah atau buku yang menyentuh hati kita. Ada yang mendapatnya setelah belajar tafsir Al-Qur’an kerana dengan faham lebih mendalam, dapat meneguhkan iman seseorang juga.
Macam-macam cara Allah ﷻ boleh berikan keteguhan hati kepada manusia. Akan tetapi kepada para Nabi, mereka ditunjukkan dengan perkara-perkara ajaib seperti yang kita akan baca sebentar lagi. Ini kerana kedudukan mereka lain daripads kita dan mereka memerlukan keteguhan hati yang lebih lagi kerana mereka berhadapan dengan tentangan yang amat besar daripada kaum mereka.
قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ
Allah berfirman: “Ambillah empat ekor burung,
Ini boleh jadi apa-apa jenis burung sahaja. Jenis burung itu tidak penting. Tidak perlu dicari apakah jenis-jenis burung itu. Walaupun memang ada disebut dalam kitab-kitab tafsir, tetapi kita tidak ulangkan di sini kerana ia maklumat yang tidak penting.
فَصُرهُنَّ إِلَيكَ
kemudian jinakkanlah kepada kamu
Ada dua terjemah kepada potongan ayat ini:
-
- Pelihara burung-burung itu sampai mereka jinak. Maka Nabi Ibrahim عليه السلام kena beri makan sampai jinak. Ini kerana apabila kita beri binatang seperti burung makan, burung-burung itu akan jinak dengan kita. Kemudian selepas itu kalau dipanggil mereka akan datang. Maka Allah ﷻ suruh Nabi Ibrahim عليه السلام jinakkan burung-burung itu kepada baginda.
- Ia boleh bermaksud cincang. Iaitu Allah ﷻ suruh Nabi Ibrahim عليه السلام cincang burung-burung itu, gaulkan sekali.
ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا
Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya.
Setelah digaul sekali, pecahkan kepada empat bahagian dan letak setiap satu di empat-empat bukit itu.
ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا
Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”.
Burung-burung itu akan dihidupkan semula oleh Allah ﷻ dan akan datang kepada Nabi Ibrahim عليه السلام setelah dipanggil oleh baginda. Nabi Ibrahim عليه السلام sudah menjinakkan burung-burung itu kepada baginda, maka apabila dipanggil, mereka akan datang.
وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Maka sekarang Nabi Ibrahim عليه السلام boleh nampak sendiri dengan mata baginda bagaimana Allah ﷻ memang mampu untuk menghidupkan makhluk yang telah mati. Walaupun telah dihancurkan, namun mudah sahaja bagi Allah ﷻ hendak menghidupkan kembali makhluk itu kembali seperti asal.
Habis Ruku’ 35 dari 40 surah ini
Ayat 261: Kembali membicarakan mengenai infak. Ini adalah perkara yang paling baik kita boleh lakukan dengan harta kita. Nanti kita akan belajar perkara paling buruk dengan harta kita, iaitu riba.
Di antara infak dan riba itu ada perkara yang diharuskan, iaitu perniagaan dan pinjaman sesama manusia. Jadi Allah ﷻ cerita tentang yang bagus, yang dilarang dan yang harus dilakukan dengan wang dan harta kita.
Apakah kaitan ayat ini dengan ayat-ayat sebelum ini? Sebelum ini adalah ayat-ayat tentang mereka yang percaya kepada Allah ﷻ dan Hari Akhirat dengan sebenar-benarnya. Sekarang Allah ﷻ beri isyarat bahawa mereka yang percaya sungguh, akan melabur untuk akhirat. Itulah sekarang disebutkan tentang infak, pelaburan jangka panjang yang paling menguntungkan.
Ayat yang kita akan belajar sebentar lagi ini mengenai kelebihan infak. Dalam ayat-ayat seterusnya nanti akan diberikan syarat diterima infak itu. Ada lapan syarat semua sekali.
Allah ﷻ hendak hamba-Nya mengumpulkan sebanyak mungkin amal kebaikan untuk dihantar ke akhirat sebagai simpanan kita. Ini kerana kita hidup di dunia sekali sahaja dan waktu inilah sahaja peluang untuk berbuat kebaikan. Tidak ada peluang kedua. Kalau tanpa Al-Qur’an yang beritahu kepada kita kelebihan ini, kita tidak akan dapat tahu.
مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
The example of those who spend their wealth in the way of Allah is like a seed [of grain] which grows seven spikes; in each spike is a hundred grains. And Allah multiplies [His reward] for whom He wills. And Allah is all-Encompassing and Knowing.
MALAY
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ
Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,
Perkara yang paling baik dalam infak adalah keluarkan harta kita untuk mengembangkan dakwah tentang tauhid kepada manusia. Kalau kita keluarkan duit untuk kebaikan pun memang sudah dapat pahala. Lebih-lebih lagi yang melibatkan semua urusan yang melibatkan agama Islam.
Hatta beri makan kepada binatang, pun akan dapat pahala tetapi yang paling baik adalah dalam infak atas ‘jalan Allah ﷻ’, iaitu untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Termasuk dalam perkara itu adalah infak kepada jihad perang.
كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ
ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;
Allah ﷻ memberi perumpamaan infak kita itu seperti pohon supaya kita dapat bayangkan. Bayangkan sekarang satu pohon yang membuahkan hasil seumpama satu biji yang menumbuhkan tujuh tangkai.
Allah ﷻ menggunakan contoh tanaman sebab apabila kita bercucuk tanam, kita tidak melihat hasilnya dengan segera, bukan? Begitu juga dengan infak itu. Kita hanya boleh lihat di akhirat kelak. Ada juga yang kita dapat di dunia, tetapi selalunya kita tidak perasan balasan yang Allah ﷻ telah berikan.
في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ
tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.
Pada setiap satu tangkai daripada pohon itu pula mengeluarkan seratus biji. Maka 1 x 7 x 100 = 700. Bayangkan kalau satu jadi 700! Maknanya kalau kita beri seringgit, Allah ﷻ gandakan infak kita itu dengan pahala seumpama kita beri 700 ringgit!
Perniagaan Allah ﷻ sahaja yang boleh untung sebegini dan untung pula yang berkekalan. Tidak macam untung di dunia sebab di dunia tidak berkekalan.
وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ
Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya,
Allah ﷻ boleh melipatgandakan lagi pahala infak kita itu, mengikut keikhlasan dan susah payah (musyaqqah) dalam infak kita itu. Ini kerana ada orang yang ikhlasnya tidak sama. Ada orang susah hendak beri infak tetapi dia keluarkan juga wang untuk jalan Allah ﷻ. Tidak sama infak seorang kerani yang tidak berduit sangat dengan infak seorang jutawan.
Allah ﷻ boleh gandakan infak kita itu sampai menjadi sejuta pahala atau tidak ada had. Itulah kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka yang infak mengikut kadar masing-masing. Kalau dalam dunia, tidak akan dapat gandaan seperti ini. Kalau kita kerja makan gaji, buat kerja dalam susah pun akan sama sahaja, majikan tidak tambah gaji pun.
وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.
Maha luas maksudnya Allah ﷻ boleh bagi gandaan banyak mana pun kerana tidak ada had pada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh beri apa sahaja yang Dia hendak.
Allah ﷻ Maha Tahu keikhlasan hamba-Nya dalam infak itu. Orang yang menerima tidak tahu ikhlas atau tidak pemberi itu. Orang yang beri itu pun mungkin tidak tahu dia ikhlas atau tidak tetapi Allah ﷻ maha tahu apa yang ada dalam hati orang.
Ayat 262: Dalam kita menjalankan suruhan infak ini, kena juga ikut syarat yang Allah ﷻ tetapkan. Ada 8 syarat yang Allah ﷻ tetapkan. Daripada 8 syarat itu, 4 kena ada, dan 4 kena tiada:
Pertama, tidak boleh ada syirik. Kalau kita infak banyak mana pun, tetapi ada syirik dalam diri kita, sia-sia sahaja kerana pahala tidak diberikan langsung.
Kedua, dalam kita infak itu, jangan riak.
الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ ثُمَّ لا يُتبِعونَ ما أَنفَقوا مَنًّا وَلا أَذًى ۙ لَّهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Those who spend their wealth in the way of Allah and then do not follow up what they have spent with reminders [of it] or [other] injury will have their reward with their Lord, and there will be no fear concerning them, nor will they grieve.
MALAY
Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ
Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,
Sekarang Allah ﷻ hendak memberitahu apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi supaya infak kita kepada jalan Allah ﷻ itu berkekalan. Ini supaya infak kita itu tidak jadi sia-sia.
ثُمَّ لا يُتبِعونَ ما أَنفَقوا مَنًّا
kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit
Syarat yang ketiga dalam infak ini adalah jangan ungkit pemberian kita itu untuk hina dan rendahkan orang. Sebab boleh kalau hendak sebut untuk beri galakan kepada orang lain tetapi jangan kita ungkit sebab hendak hina atau jatuhkan martabat orang lain.
Kita jangan ungkit supaya pahala infak itu berkekalan. مَنًّا adalah perbuatan ungkit pemberian untuk hina dan rendahkan orang lain. Sebagai contoh, kita ada tolong seseorang yang dalam kesusahan, sampai dia boleh bangkit balik. Tetapi katakanlah sampai suatu masa, kita berbalah dengan dia.
Bila sudah berbalah, macam-macam boleh keluar. Sampai keluar lafaz daripada mulut kita: “Kamu ni, kalau aku tak tolong dulu entah jadi apa pun aku tak tau.” Bila kita sebut macam itu, terus musnah pahala infak itu. Maksudnya, batal pahala itu. Masa kita beri infak itu, kita dapat pahala tetapi apabila kita ungkit sahaja untuk menghina dia, terus batal pahala infak itu.
وَلا أَذًى
dan tidak pula menyakiti
Syarat keempat yang tidak boleh ada semasa dan selepas kita infak adalah: tidak boleh menyakiti hati orang yang diberi infak itu. Jangan kita sebut sesuatu perkataan untuk menyakiti hati dia. Atau, kita buat sesuatu yang boleh sakitkan hati dia.
Contohnya, selepas kita beri, kita arah dia, paksa dia buat benda yang dia tidak suka. Mungkin dia buat juga sebab kita sudah beri duit kepada dia, tetapi dalam hati dia tidak suka dan redha, dan dia lakukan apa yang kita suruh itu dalam hati yang sakit.
لَّهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم
bagi mereka pahala di sisi Tuhan mereka,
Kalau mereka memenuhi semua syarat-syarat itu, barulah akan dapat pahala dan kekal pahala itu sampai ke akhirat.
وَلا خَوفٌ عَلَيهِم
dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,
Mereka tidak akan takut untuk menghadapi akhirat kerana mereka ada bekal. Allah ﷻ akan beri kesenangan kepada mereka di akhirat kelak.
وَلا هُم يَحزَنونَ
dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka tuju itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.
Kita telah sebut 4 syarat yang tidak boleh ada dalam infak. Empat syarat yang kena ada pula:
1. Barang pemberian itu mesti halal. Jangan hina hukum Allah ﷻ dengan infak pakai benda yang haram. Benda haram tidak boleh digunakan untuk kebaikan. Contohnya, jangan kita beri duit hasil riba.
2. Kedua, barang itu mesti baik. Sebagai contoh, jangan beri nasi basi tetapi berilah nasi yang boleh dimakan. Maksudnya, beri benda yang boleh digunakan lagi dan barang yang sesuai digunakan oleh yang hendak menerimanya. Contohnya, jangan beri baju perempuan kepada lelaki.
Barang yang diberi itu tidak semestinya benda yang baru, tetapi pastikan ia boleh dipakai. Senang sahaja untuk kita kenal pasti sama ada ia boleh dipakai atau tidak: kalau barang itu diberikan kepada kita, kita pun senang hati untuk terima.
3. Ketiga: kita infak itu kerana mencari redha ilahi.
4. Keempat: kena ada perasaan gembira semasa memberi infak. Ada orang yang beri infak, tetapi dia rasa macam rugi sebab terpaksa beri. Atau dia mungkin terkilan pula selepas dia beri infak itu.
Maknanya dia tidak yakin dengan janji Allah ﷻ yang Allah ﷻ akan balas infak itu dengan berganda-ganda di akhirat kelak dan di dunia, sebab itu dia tidak suka dan menyesal. Perasaan suka ini akan datang kalau kita percaya dengan balasan yang kita akan dapat dengan infak itu.
Maka kita kena usaha supaya kita dapat jadi suka semasa memberi itu. Kena didik hati kita. Perasaan ini tidaklah datang sendiri tetapi harus dididik. Kena selalu baca ayat-ayat kelebihan infak supaya hati kita terdidik untuk suka infak.
Ayat 263:
۞ قَولٌ مَّعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى ۗ وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
Kind speech and forgiveness are better than charity followed by injury. And Allah is Free of need and Forbearing.
MALAY
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
قَولٌ مَّعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى
Perkataan yang baik dan kemaafan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.
Berkata baik lebih baik daripada beri infak tetapi diiringi dengan kata-kata nista. Ada orang yang tidak ada duit hendk beri. Mungkin dia tiada langsung barang untuk diberikan. Maka sekurang-kurangnya beri ucapan baik yang boleh beri pahala.
Atau dia katakan sebegini: ‘Minta maaf sebab saya tak boleh beri sekarang, nanti kalau ada, saya beri yer…. Saya doakan supaya masalah awak selesai segera…. ” Katakan dengan perkataan sebegitu dan yang sebagainya. Orang yang terdesak itu pun sejuk sedikit mendengarnya walaupun tidak dapat apa yang dia perlukan daripada kita. Maknanya, kita kena minta maaf kepada orang yang kita tidak dapat beri itu.
وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ
Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
Allah ﷻ Maha Kaya maksudnya Allah ﷻ tidak memerlukan pemberian infak daripada kita. Bukan boleh menambahkan kekayaan Allah ﷻ pun kalau kita infak. Tetapi Allah ﷻ mahu kita beri infak itu sebab ia adalah kebaikan untuk kita. Allah ﷻ hendak beri pahala yang banyak kepada kita, tetapi kenalah kita berikan infak itu dahulu supaya Allah ﷻ boleh balas.
Kalimah حَليمٌ maksudnya Allah ﷻ tidak tergesa-gesa hendak menghukum kita. Entah berapa banyak kesalahan yang kita lakukan, tetapi tidaklah Allah ﷻ terus azab kita sekarang.
Ayat 264: Sekarang disebut syarat kena beriman dan jangan riak.
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا ۖ لّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّمّا كَسَبوا ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ
SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, do not invalidate your charities with reminders or injury as does one who spends his wealth [only] to be seen by the people and does not believe in Allah and the Last Day. His example is like that of a [large] smooth stone upon which is dust and is hit by a downpour that leaves it bare. They are unable [to keep] anything of what they have earned. And Allah does not guide the disbelieving people.
MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Wahai orang-orang yang beriman!
Kena dengar baik-baik kalau kita anggap diri kita orang yang beriman. Kena dengar sekarang syarat lain untuk infak diterima.
لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ
Jangan batalkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit dan (kelakuan yang) menyakiti,
Jangan batalkan pahala sedekah kamu dengan mengungkit dan perbuatan yang boleh menyakitkan hati seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.
كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ
seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak)
Sekarang Allah ﷻ tunjukkan perbandingan iaitu kalau kita ungkit dan sakiti hati orang yang diberi infak itu, ia adalah sama dengan riak menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Kalau riak, pahala tifak sampai; kalau ungkit dan menyakiti pun tidaak sampai juga.
وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ
dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Kalau orang yang beri infak itu pun ada amalan dan fahaman syirik pun, pahala infak dan sedekah dia tidak sampai. Itulah sebabnya kalau orang kafir banyak sedekah, ia tidak memberi pahala kepada mereka di akhirat kelak.
Memang kita pun tahu yang ramai orang kafir yang baik-baik dan mereka banyak derma ke arah kebaikan. Allah ﷻ akan balas perbuatan baik mereka itu di dunia lagi, tetapi mereka tidak ada bahagian di akhirat. Nanti di akhirat kalau mereka tanya manakah pahala infak dan sedekah mereka, Allah ﷻ akan beritahu yang Dia telah balas semuanya di dunia lagi.
Sebab itulah kalau kita lihat orang kafir yang banyak derma, mereka akan dapat banyak lagi rezeki. Semakin banyak mereka derma dan tolong orang, semakin banyak rezeki mereka. Ini kerana Allah ﷻ balas terus derma mereka semasa di dunia lagi.
فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ
Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,
Allah ﷻ berikan perumpamaan batu besar yang licin. Atas batu itu pula ada pasir. Apabila batu itu licin, mudah pasir itu hendak hilang. Begitulah pahala orang yang infak tetapi tidak cukup syarat. Pahala mereka akan hilang begitu sahaja.
فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا
kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin
Sudahlah batu itu licin dan senang pasir itu untuk hilang, hujan lebat pula menimpa batu itu. Maka akan kosonglah batu itu.
Allah ﷻ berikan perumpamaan dengan mudah supaya manusia boleh faham. Tidak ada langsung pahala untuk orang yang tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ seperti yang telah disebut sebelum ini. Orang lain nampak banyak dia infak, tetapi sebenarnya sudah hilang segala pahala.
لّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّمّا كَسَبوا
mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan.
Mereka tidak mampu ambil balasan kerana semuanya telah batal.
وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ
Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
Allah ﷻ beri isyarat bahawa perbuatan mereka ini adalah kufur. Infak tetapi tidak mengikut syarat yang Allah ﷻ berikan. Mereka sebenarnya menidakkan Allah ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka.
Kita kena sedar yang ‘kufur’ adalah satu sifat sebenarnya. Walaupun seseorang itu mengaku Muslim, tetapi kalau buat sesuatu tidak mengikut syarat, menidakkan kehendak Allah ﷻ, maka itu adalah perbuatan kufur. Tidaklah dia terus kafir, tetapi dia telah melakukan perbuatan kufur.
Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya
Kemaskini: 14 Januari 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Alhamdullillah syukur saya dapat temui celiktafsir.net saya baca setiap hari apabila selesai atau sebelom lihat dtv progrem My Quran Time MQT tv hijrah setelah baca lebih saya senang menghadham tafsir surah2 berkaitan
Alhamdullillah
Saya bersyukur sangat2 kpd Allah
Dan Allah sahaja yg dapat membalas dan Member pahala keatas apa yg Tuan berikan kpd kami terima kaseh
LikeLike
Alhamdulillah, tafsir yg baik dgn diikuti dgn contoh kehidupan semasa. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita dan Allah SWT memberi Kerahmatan kpd tuan penerbit/penulis atas usaha dan perkongsian ini. Insha-Allah. Amin.
LikeLike
Assalamualaikum ustaz.
Merujuk ayat 264. Fenomena sekarang, ramai orang buat prog magnet rezeki. Atau prog yang menganjurkan bayar zakat dan sedekah agar menjemput banyak rezeki.
Bagaimana ya?
Zakat dan sedekah sepatutnya niat pengabdian. Bukan niat nak naikkan sales kan? Sebab kalau Allah bagi reward di dunia lagi, macam sama pula dengan golongan kafir yang Allah balas di dunia.
Atau tak salah pun bayar zakat dan sedekah sebab niat Allah kayakan lagi?
Risiko bila dah bayar zakat dan dah bagi sedekah, tapi tak kaya-kaya. Mulalah blame sesiapa yang boleh blame.
LikeLike
Tidaklah patut bagi saya sampai buat program sebegitu. Menjalankan ibadah kerana Allah bukan kerana nak dapatkan sesuatu. Sudah lari niat kalau begitu. Memang Allah sebut kebaikan dan balasan baik, tapi itu sebagai bonus sahaja. Niat kena betul dari mula.
LikeLike