Tafsir Surah Anfal Ayat 70 – 72 (Persaudaraan sesama Muslim)

Anfal Ayat 70:

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّمَن في أَيديكُم مِّنَ الأَسرىٰ إِن يَعلَمِ اللَّهُ في قُلوبِكُم خَيرًا يُؤتِكُم خَيرًا مِّمّا أُخِذَ مِنكُم وَيَغفِر لَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, say to whoever is in your hands of the captives, “If Allāh knows [any] good in your hearts, He will give you [something] better than what was taken from you, and He will forgive you; and Allāh is Forgiving and Merciful.”

(MALAY)

Hai Nabi, katakanlah kepada tawanan-tawanan yang ada di tanganmu: “Jika Allah mengetahui ada kebaikan dalam hatimu, nescaya Dia akan memberikan kepadamu yang lebih baik dari apa yang telah diambil daripadamu dan Dia akan mengampuni kamu”. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّمَن في أَيديكُم مِّنَ الأَسرىٰ

Hai Nabi, kepada tawanan-tawanan yang ada di tanganmu:

Nabi Muhammad ﷺ disuruh menyampaikan dakwah kepada orang kafir yang telah ditawan itu. Allah suruh Nabi ﷺ yang sampaikan kepada mereka sedangkan ada sahaja ayat-ayat di dalam Al-Qur’an yang Allah berkata terus kepada orang kafir. Allah tidak mahu bercakap dengan mereka di sini kerana mereka golongan kafir Harbi dan mereka baru sahaja kalah dalam perang menentang umat Islam, maka tidak layak Allah bercakap dengan mereka secara terus.

Antara tawanan yang ada dalam ramai-ramai itu adalah bapa saudara Rasulullah ﷺ iaitu Saidina Abbas رضي الله عنه. Beliau pada waktu itu adalah seorang musyrik, belum lagi masuk Islam.

Kita kena ingat yang kebanyakan daripada mereka itu dalam kalangan Musyrikin Mekah yang telah menentang dakwah Rasulullah ﷺ. Malah mereka telah menyeksa orang Muslim sampaikan orang Muslim terpaksa meninggalkan Mekah dan berhijrah pertamanya ke Habashah dan kemudiannya ke Madinah.

Kalau ikutkan hati golongan Muslim, tentulah pembunuhan lebih layak bagi mereka yang telah melakukan onar itu. Akan tetapi sekarang mereka diberikan peluang untuk hidup walaupun telah dikalahkan. Mereka diberi peluang untuk menebus diri mereka. Mereka diberikan peluang untuk mengubah hidup mereka di dunia dan juga di akhirat. Mereka ada peluang untuk masuk Islam.

 

إِن يَعلَمِ اللَّهُ في قُلوبِكُم خَيرًا يُؤتِكُم خَيرًا مِّمّا أُخِذَ مِنكُم

“Jika Allah mengetahui ada kebaikan dalam hatimu, nescaya Dia akan memberikan kepadamu yang lebih baik daripada apa yang telah diambil daripadamu

Allah beritahu Nabi ﷺ yang orang tawanan itu boleh lagi masuk Islam. Belum terlambat lagi buat mereka. Allah suruh beritahu begini kerana ada antara mereka yang ada sekelumit iman dalam hati mereka. Iaitu ada inabah (cenderung) kepada kebenaran. Kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak boleh baca hati manusia. Kita hanya dapat melihat luaran sahaja, tetapi Allah tahu apa yang ada dalam hati manusia. Maka, janganlah kita hukum seseorang itu tidak akan beriman langsung – kerana kita tidak tahu sama ada Allah akan bukakan hati mereka untuk menerima Islam.

Di dalam ayat ini, kalimat yang digunakan adalah إِن يَعلَمِ اللَّهُ (sekiranya Allah tahu). Namun jangan salah faham pula. Bukannya Allah tidak tahu, kerana Allah Maha Tahu apa yang di dalam isi hati manusia. Maksud ayat ini, kalau mereka ada inabah kepada iman, yang pastinya Allah tahu ada atau tidak, Allah akan beri balasan kepada mereka. Yang tidak tahu adalah Rasulullah ﷺ, bukannya Allah .

Allah suruh Nabi ﷺ beritahu kepada orang tawanan yang dalam jagaan umat Islam, jika Allah mengetahui dalam hati mereka ada sifat inabah (cenderung kepada Islam), nescaya akan diberi kepada mereka kebaikan yang lebih baik daripada bayaran yang mereka harus berikan sebagai tebusan untuk diri mereka.

Yang penting adalah apa yang di dalam hati dan kerana itu Allah tekankan di sini kalimah في قُلوبِكُم (di dalam hati-hati kamu). Ini mengajar kita yang bukannya imej luaran yang penting, tetapi di dalam hati. Jika memakai jubah, ada janggut dan bercakap Arab, itu belum tentu hatinya baik lagi. Ini seperti yang disebut di dalam Sebuah hadith yang sahih:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah ﷻ tidak melihat kepada rupa dan harta kalian, tetapi Allah ﷻ melihat kepada hati dan amal kalian.” (Hadith Riwayat Muslim (4651))

Daripada hadith ini kita dapat tahu apa yang penting di sisi Allah . Akan tetapi malangnya kebanyakan daripada kita dari muda sampai ke tua menjaga rupa dan harta sahaja. Amat malang sekali kalau itu sahaja yang kita pentingkan.

Maka mereka diberitahu supaya janganlah hiraukan wang tebusan itu, kerana Allah akan beri yang lebih baik lagi daripada itu. Nanti pulanglah ke Mekah dan buatlah hijrah ke Madinah. Teruskan niat hati yang sudah ada condong kepada Islam itu.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang bapa Saudara Nabi, Saidina Abbas رضي الله عنه. Semasa datang ke Badr, beliau membawa 700 syiling emas bersama untuk dibelanjakan bagi tentera Musyrikin itu. Namun belum sempat dihabiskan belanja, beliau telah ditangkap. Apabila sampai masa untuk membayar tebusan, Saidina Abbas رضي الله عنه kata tebusan itu ambillah daripada wangnya itu. Akan tetapi Rasulullah ﷺ kata semua wang yang didapati di medan perang menjadi harta ghanimah. Maka kena dibawakan wang yang lain.

Saidina Abbas رضي الله عنه mengadu, kalau begitu beliau terpaksa mengemis daripada penduduk Mekah untuk membayar tebusan itu. Rasulullah ﷺ kembali menjawab menyebut tentang harta yang dititipkan kepada isterinya iaitu Umm Fadl. Terkejut Saidina Abbas رضي الله عنه apabila Rasulullah ﷺ menyebut tentang harta itu kerana beliau telah titipkan kepada isterinya di dalam kegelapan malam dan tidak ada orang lain yang tahu tentang hal itu.

Rasulullah ﷺ memberitahu yang Allah telah mewahyukan kepada baginda. Maka Saidina Abbas رضي الله عنه telah yakin yang anak saudaranya itu benar-benar seorang Rasul. Sebelum itu pun beliau memang sudah terkesan dengan baginda, akan tetapi masih ada lagi sedikit keraguan. Sekarang apabila Rasulullah ﷺ memberitahu rahsia yang tidak mungkin diketahui orang biasa, maka beliau telah yakin sepenuhnya.

Maka pada waktu itu beliau telah masuk Islam. Akan tetapi beliau tidak menzahirkannya kerana ramai orang yang berhutang dengannya di Mekah. Sekiranya beliau menzahirkannya, tentu hutangnya tidak dapat dikutip lagi. Maka Rasulullah ﷺ pun tidak menyebut tentang hal itu. Disebabkan itu, orang Mekah tidak sangka yang beliau telah masuk Islam.

Rasulullah ﷺ telah memberitahu beliau tentang ayat yang kita sedang baca ini dan beliau mensahkannya. Beliau kata wang yang diambil daripada dirinya adalah sekian-sekian akan tetapi balasan yang diberi kepadanya oleh Allah adalah berlipat kali ganda. Perniagaannya sangat maju selepas itu dan keluarga beliau diberi kelebihan menjaga air zam-zam.

Ada juga pendapat yang mengatakan Saidina Abbas رضي الله عنه setelah masuk Islam telah meminta semula wang tebusannya kerana bagi dirinya yang telah masuk Islam, maka tidaklah perlu membayar tebusan lagi. Kerana itulah diturunkan ayat ini untuk memberitahu, jangan kisah sangat tentang apa yang dikeluarkan kerana apa yang beliau akan dapat itu lebih banyak lagi daripada apa yang beliau keluarkan.

Oleh hal yang demikian, ayat ini mengajar mereka dan manusia yang lain tentang kedudukan harta berbanding iman. Janganlah sayang sangat harta dunia ini, ia tidak bernilai kalau dibandingkan dengan iman. Begitulah Al-Qur’an ini tujuannya memberi pengajaran kepada manusia seperti disebut dalam [Yunus: 57-58]

يا أَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَوعِظَةٌ مِن رَبِّكُم وَشِفاءٌ لِما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

قُل بِفَضلِ اللَّهِ وَبِرَحمَتِهِ فَبِذٰلِكَ فَليَفرَحوا هُوَ خَيرٌ مِمّا يَجمَعونَ

Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita, kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan”.

 

وَيَغفِر لَكُم

dan Dia akan mengampuni kamu”.

Sekiranya mereka melakukan perkara yang disuruh dan taat kepada agama, ubah sikap mereka, Allah akan mengampunkan segala dosa-dosa mereka. Ini adalah satu berita yang amat besar.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah boleh mengampunkan dosa mereka kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Kalau Allah maafkan mereka, maka kita pun kenalah maafkan mereka. Janganlah kita cepat sangat memandang serong kepada orang lain.

Daripada ayat ini kita dapat tahu yang ada tawanan perang umat Islam yang akhirnya memilih Islam walaupun mereka telah ditawan. Ini adalah kerana apabila mereka ditawan, mereka melihat sendiri dengan mata kepala mereka keadaan umat Islam, keindahan agamanya dan layanan yang baik daripada mereka yang diajar akhlaknya daripada Rasulullah ﷺ. Contoh kisah yang sebegitu adalah tentang Tsumamah bin Utsal, Raja Yamamah yang telah masuk Islam.

Dakwah yang paling utama adalah dengan menunjukkan akhlak yang baik. Ini kerana manusia menilai kita dengan melihat kepada akhlak kita. Dengan akhlak yang baik akan melunakkan hati manusia terhadap agama Islam. Malangnya kalau diperhatikan akhlak umat Islam sekarang, amatlah buruk. Tidak hairan kalau orang lain tidak hingin untuk mengenali agama Islam jika hanya melihat kepada akhlak golongan Muslim.


 

Anfal Ayat 71:

وَإِن يُريدوا خِيانَتَكَ فَقَد خانُوا اللَّهَ مِن قَبلُ فَأَمكَنَ مِنهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they intend to betray you – then they have already betrayed Allāh before, and He empowered [you] over them. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Akan tetapi jika mereka (tawanan-tawanan itu) bermaksud hendak berkhianat kepadamu, maka sesungguhnya mereka telah berkhianat kepada Allah sebelum ini, lalu Allah menjadikan(mu) berkuasa terhadap mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَإِن يُريدوا خِيانَتَكَ

Akan tetapi jika mereka bermaksud hendak berkhianat kepadamu, 

Ini adalah jika puak kafir itu ingin mengkhianati umat Islam – dengan membuat perjanjian dan kemudian melanggar perjanjian itu dan belot secara senyap atau secara terang.

Atau dalam kes tawanan perang, ada yang mengaku masuk Islam kerana hendak bebas, namun dalam hati mereka tidak mahu kepada Islam. Maka entah mereka nanti apabila pulang ke Mekah akan kembali menyerang umat Islam pula. Maknanya mungkin mereka itu khianat kepada Islam pula.

 

فَقَد خانُوا اللَّهَ مِن قَبلُ

maka sesungguhnya mereka telah berkhianat kepada Allah sebelum ini,

Allah kata mereka dari dulu lagi sudah membuat perkara khianat itu. Maka tidak menghairankan jika mereka hendak khianat kepada Rasulullah ﷺ. Mereka semenjak dahulu lagi telah mengkhianati Allah pun, iaitu mereka itu hamba Allah tetapi tidak mengikut hukum Allah . Itu pun sebenarnya sudah berkhianat.

Allah hendak beritahu, bukan janji dengan umat Islam sahaja mereka pernah khianat, dengan Allah pun mereka sanggup khianat, apatah lagi dengan manusia. Maka jangan hairanlah kalau mereka buat begitu.

 

فَأَمكَنَ مِنهُم

lalu Allah menjadikan(mu) berkuasa terhadap mereka.

Oleh kerana perangai mereka sebelum itu lagi, Allah telah membalas dengan memberi kuasa dan kekuatan kepada umat Islam untuk mengalahkan mereka dan menangkap mereka. Oleh itu, jikalau mereka khianat perjanjian, tentu Allah beri izin untuk menangkap mereka.

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka dan segala perbuatan mereka menentang Islam. Hukum dan takdir yang Allah kenakan kepada mereka adalah atas dasar kebijaksanaan Allah yang tidak ada penghujungnya.


 

Anfal Ayat 72: Sekarang masuk bab hijrah pula. Dalam berperang dengan musuh Islam, ada kemungkinan umat Islam tidak dapat mengalahkan musuh.  Musuh pula tidak mahu mengadakan perdamaian. Maka di dalam keadaan ini, pilihan yang ada bagi umat Islam yang tinggal di kawasan musuh adalah berhijrah ke tempat yang mereka boleh mengamalkan Islam.

Atau dalam keadaan lain, apabila jihad dijalankan, tentu ada orang mukmin yang akan berhijrah kerana musuh semakin menjauh dan menjadikan kawasan umat Islam semakin luas. Umat Islam sudah ada banyak tempat untuk tinggal kerana umat Islam semakin banyak menawan kawasan-kawasan sekitar. Maka sekarang mereka ada tempat untuk berhijrah iaitu ke kawasan umat Islam.

Maka ini termasuk dalam tuntutan jihad juga. Daripada kesan jihad dijalankan, banyak kebaikan yang umat Islam boleh dapat. Sekarang Allah memberitahu kelebihan berjihad dalam ayat ini sebagai motivasi. Ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad dan targhib kepada hijrah.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللَّهِ وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا أُولٰئِكَ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يُهاجِروا ما لَكُم مِّن وَلٰيَتِهِم مِّن شَيءٍ حَتّىٰ يُهاجِروا ۚ وَإِنِ استَنصَروكُم فِي الدّينِ فَعَلَيكُمُ النَّصرُ إِلّا عَلىٰ قَومٍ بَينَكُم وَبَينَهُم مّيثٰقٌ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have believed and emigrated and fought with their wealth and lives in the cause of Allāh and those who gave shelter and aided – they are allies of one another. But those who believed and did not emigrate – for you there is no support of them until they emigrate. And if they seek help of you for the religion, then you must help, except against a people between yourselves and whom is a treaty. And Allāh is Seeing of what you do.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikit pun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah

Ini adalah tentang mereka yang beriman dan sanggup berhijrah dan sanggup berjihad dengan harta dan diri mereka. Ini adalah mereka yang benar-benar beriman dengan sepenuhnya. Bukannya orang yang munafik seperti disebut dalam [Baqarah: 8]

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ وَما هُم بِمُؤمِنينَ

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

Juga bukan orang yang baru sahaja masuk Islam dan tidak masuk lagi iman di dalam hati mereka seperti disebut dalam [Hujurat: 14]

قالَتِ الأَعرابُ ءآمَنّا ۖ قُل لَّم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمٰنُ في قُلوبِكُم

Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;

Oleh itu, orang yang beriman adalah golongan yang dimaksudkan di dalam ayat yang kita sedang pelajari ini. Mereka ini adalah kumpulan yang pertama yang Allah sedang sebut. Mereka inilah kumpulan yang terbaik. Mereka digelar Muhajirun. Mereka telah beriman, kemudian telah sanggup berhijrah dari Mekah ke Madinah dan telah berjihad sebelum Perang Badr lagi.

Hijrah itu ada dua jenis: hissi dan maknawi.

Hissi – secara fizikal. Perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Maknawi – secara makna sahaja. Iaitu bertukar daripada sifat lama yang tidak mengamalkan Islam dan sekarang sudah mengamalkan Islam. Sebagai contoh, sekarang ramai artis yang kata mereka telah ‘hijrah’. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah ﷻ larang. (Riwayat Bukhari)

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذُّنُوبَ

Dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa.” (Riwayat Ahmad)

Hijrah Maknawi itu wajib sedangkan Hijrah Hissi itu bergantung kepada keadaan. Umat Islam diwajibkan berhijrah ke Madinah sebelum Pembukaan Mekah. Ini adalah untuk situasi ketika waktu itu. Untuk zaman sekarang, ia menjadi wajib jikalau duduk di negara kafir yang menghalang kita daripada mengamalkan agama dengan sempurna.

Golongan para sahabat itu telah berhijrah secara hissi dan juga maknawi sekali. Bukan sahaja mereka telah berhijrah tetapi mereka juga telah menjalankan jihad. Puak Muhajirun itu sebelum Badr lagi telah menjalankan jihad. Merekalah yang menjadi kumpulan-kumpulan kecil yang mengintip pergerakan pihak musuh. Itu sudah dikira sebagai jihad. Oleh kerana itu mereka dipuji oleh Allah dalam ayat ini. Puak Ansar hanya terlibat dalam jihad ketika Perang Badr.

Di dalam ayat ini Allah menyebut mereka itu telah berjihad بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم (dengan harta-harta mereka dan diri-diri mereka). Allah mula sebut harta sebelum diri/jiwa. Jika ikut logik, diri lebih utama daripada harta, bukan? Akan tetapi Allah dahulukan menyebut harta kerana itulah yang senang untuk diserahkan sebelum diri. Ia juga yang mula-mula dimestikan ada. Untuk zaman itu, hendak berjihad mestilah mengeluarkan harta untuk dibelanjakan bagi perjalanan dan kenderaan. Tanpa harta tidak mungkin jihad mampu terlaksana.

 

وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا

dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan

Ini pula adalah golongan kedua – yang dinamakan Ansar (pembantu). Mereka telah beriman dan sanggup menyediakan tempat bagi orang-orang berhijrah yang datang ke Madinah.

Untuk zaman sekarang, mereka ini adalah orang Islam yang tinggal di tempat yang jauh dan sanggup menyediakan tempat kepada orang Islam yang datang kepada mereka. Mereka sanggup buat begitu supaya senang orang Islam lain untuk datang dan menetap.

Golongan Ansar dipuji kerana bukan sahaja memberikan tempat tinggal tetapi mereka juga tolong menolong dalam keperluan tentera Islam.

 

أُولٰئِكَ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ

mereka itu satu sama lain lindung-melindungi.

Allah memuji mereka dengan mengatakan yang mereka adalah teman rapat (wali) sesama sendiri dari segi agama. Mereka amat rapat, mempunyai tali ukhuwah antara mereka dan mereka membantu satu sama lain. Ini adalah kerana Rasulullah ﷺ telah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Malah, pada waktu itu mereka boleh mewarisi harta daripada sesama sendiri walaupun mereka tidak ada pertalian darah. Sekiranya ada Muhajirin yang meninggal, saudaranya daripada Ansar boleh mempusakai harta Muhajirin itu. Begitu juga sebaliknya. Ini kerana ahli tafsir salaf seperti Ibn Abbas, Hasan, Qatadah dan Mujahid menafsirkan wali di dalam ayat ini sebagai warithah (penerima pusaka).

Di sini Allah memuji kedua-dua golongan ini kerana mereka melakukan apa yang mereka telah lakukan itu semata-mata kerana Allah , bukan kerana mahukan balasan keduniaan. Ini adalah golongan terhebat yang menjadi contoh bagi kita. Di dalam ayat lain Allah memuji mereka ini seperti di dalam [Hashr: 9]

وَالَّذينَ تَبَوَّءُوا الدّارَ وَالإيمٰنَ مِن قَبلِهِم يُحِبّونَ مَن هاجَرَ إِلَيهِم وَلا يَجِدونَ في صُدورِهِم حاجَةً مِّمّا أوتوا وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ ۚ وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

Kalimah بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ bukan sahaja bermaksud lindung melindungi tetapi saling bantu membantu. Ini kerana untuk menjalankan kerja agama seperti dakwah ini susah jika dibuat bersendirian. Ini seperti disebut dalam [Tawbah: 71]

وَالمُؤمِنونَ وَالمُؤمِناتُ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ يَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَيَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah daripada yang mungkar,

Begitulah, untuk melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, lebih efektif jikalau ada bantuan daripada sesama orang mukmin. Kerja ini bukan dilakukan oleh golongan lelaki sahaja, tetapi wanita pun kena turut membantu seperti disebut di dalam ayat Tawbah di atas.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يُهاجِروا

Dan orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, 

Ini adalah golongan ketiga. Ada orang yang telah beriman masuk Islam di Mekah, tetapi tidak berhijrah ke Madinah. Atau, kalau sekarang mereka ini jenis orang yang sudah masuk Islam tetapi tidak mahu berpindah ke negara yang mengamalkan Islam. Mereka itu tetap tinggal di tempat mereka lahir.

Ada tiga jenis golongan ini:

1. Tidak mahu berhijrah kerana tidak mahu meninggalkan tempat tinggal, keluarga dan harta benda.

2. Tidak mampu berhijrah. Sama ada kerana mereka tidak ada modal untuk bermusafir, atau ditahan oleh keluarga atau tuan mereka.

3. Disuruh pulang kerana Perjanjian Hudaibiyah yang mengatakan kalau ada yang berhijrah ke Madinah dari Mekah, kena dikembalikan. Ini seperti yang terjadi kepada Saidina Abu Jandal dan Abu Basyir.

 

ما لَكُم مِّن وَلٰيَتِهِم مِّن شَيءٍ

tidak ada kewajipan sedikit pun atasmu melindungi mereka,

Oleh kerana mereka tidak berhijrah, maka tidak ada tugas untuk kerajaan Islam menjaga mereka walau sedikit pun. Ini kerana mereka sepatutnya berhijrah tetapi mereka tidak mahu berhijrah. Mungkin kerana kekayaan mereka di tempat tinggal mereka dan mereka tidak sanggup meninggalkannya. Kesannya, mereka susah mengamalkan agama Islam.

Seperti yang telah disebut, seorang Muhajir (orang yang telah berhijrah) boleh mempusakai harta saudaranya daripada golongan Ansar dan seorang Ansar boleh mempusakai harta daripada saudaranya yang Muhajir. Akan tetapi di dalam ayat ini memberitahu yang sekiranya ada saudaranya Muslim tetapi tidak berhijrah, maka tidak boleh mewarisi harta masing-masing. Ini sudah menjadi seperti tidak boleh mewarisi sesama Muslim dan Kafir walaupun mereka ada pertalian darah. Namun ini pun sebelum Pembukaan Mekah. Setelah Pembukaan Mekah, tiada lagi hijrah, maka hukum perwarisan sesama Muslim kembali kepada sediakala.

Ini adalah kerana ketika itu hijrah ke Madinah adalah wajib. Sesiapa yang tidak berhijrah, keislaman mereka dikhuatiri, maka mereka tidak boleh mempusakai harta saudaranya yang Muslim. Akan tetapi ini adalah setakat perwarisan harta sahaja, nanti disebut kalau mereka minta pertolongan, kerajaan Muslim wajib bantu. Maka tidaklah mereka dikira kafir terus.

Mereka ini bukanlah tidak mampu, tetapi kerana mereka tidak mahu. Kalau mereka memang tidak mampu, memang mereka dimaafkan seperti yang disebut dalam ayat-ayat yang lain. Golongan yang tidak mahu berhijrah tetapi mampu ini akan menerima balasan azab seperti disebut di dalam [Nisa :97]

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Ini mengajar kita yang mereka itu berdosa kerana tidak berhijrah sedangkan hijrah itu wajib bagi mereka. Oleh kerana kesan tidak berhijrah, maka agama mereka tidak sempurna.

Bagaimanakah pula dengan kita? Adakah kita tidak terkena? Tidakkah ada yang mengabaikan agama mereka kerana kerja mereka? Sebagai contoh ada yang bekerja dengan syarikat yang tidak membenarkan pekerjanya pergi Salat Jumaat atau untuk mengerjakan salat fardhu pun. Mereka itu ada yang tidak berhenti kerja dan mencari kerja lain hanya kerana gaji di tempat itu lebat. Mereka juga sebenarnya berdosa.

 

حَتّىٰ يُهاجِروا

sehinggalah mereka berhijrah. 

Sekiranya mereka sanggup berhijrah, barulah kerajaan Islam ada tanggungjawab untuk menjaga mereka dan memberi perlindungan kepada mereka. Maknanya, kalau mereka tidak hijrah, maka tidak ada pertalian antara mereka.

Perlu diingatkan yang ini adalah untuk mereka yang mampu untuk berhijrah, tetapi tidak mahu. Mungkin mereka tidak mahu kehilangan harta mereka, keluarga mereka di Mekah atau tempat tinggal asal mereka. Mereka tetap duduk di negara yang kufur sampai susah mereka hendak mengamalkan Islam. Mereka dikutuk kerana mereka lebih sayangkan keduniaan mereka daripada agama.

Akan tetapi ada juga yang mahu berhijrah namun tidak mampu. Ayat ini bukan tentang mereka.

 

إِنِ استَنصَروكُم فِي الدّينِ فَعَلَيكُمُ النَّصرُ

(Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan

Akan tetapi, kalau mereka meminta tolong kepada kerajaan Islam, wajib bagi kerajaan Islam untuk membantu mereka dengan menghalau orang kafir dari negara itu atau mengeluarkan orang Islam yang ditindas itu dari negara itu. Memang ini adalah tanggungjawab kerajaan Islam yang sekarang tidak mampu untuk melakukannya di atas sebab kelemahan kita.

 

إِلّا عَلىٰ قَومٍ بَينَكُم وَبَينَهُم مّيثٰقٌ

kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka.

Kena bantu orang Islam yang ditindas di negara kafir dengan menyelamatkan mereka, kecuali dengan negara kafir yang negara Islam ada perjanjian damai mereka. Untuk negara kafir yang ada perjanjian damai dengan kita, kita tidak boleh serang mereka. Ini adalah kerana Islam amat mementingkan perjanjian.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah beritahu yang Dia melihat apa yang kita lakukan. Sama ada kebaikan atau khianat yang dilakukan. Maka kenalah taat dengan undang-undang ini. Beginilah hebatnya agama Islam. Undang-undang kenegaraan antara negara pun disentuh dalam Al-Qur’an. Selalunya dalam waktu peperangan, undang-undang sudah tidak diambil kira kerana waktu itu memang keadaan tegang.

Namun Allah mengingatkan yang Dia Maha Melihat apa sahaja yang kita lakukan. Jika kita membuat kesilapan dan tidak mengikut hukum yang Allah tetapkan, maka kita akan ada masalah nanti. Tentera agama lain, mungkin takut dengan ketua mereka sahaja, tetapi tentera Islam kena takut dengan Allah .

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 November 2022

Ringkasan Surah Anfal


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Anfal Ayat 70 – 72 (Persaudaraan sesama Muslim)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s