Tafsir Surah Tawbah Ayat 18 – 20 (Perangi penjaga Kaabah)

Tawbah Ayat 18: Dalam ayat sebelum ini, telah disebut yang puak Musyrikin Mekah itu tidak layak untuk memakmurkan MasjidilHaram. Oleh itu, siapakah yang layak?

إِنَّما يَعمُرُ مَسٰجِدَ اللَّهِ مَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَأَقامَ الصَّلوٰةَ وَءآتَى الزَّكوٰةَ وَلَم يَخشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسىٰ أُولٰئِكَ أَن يَكونوا مِنَ المُهتَدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The mosques of Allāh are only to be maintained by those who believe in Allāh and the Last Day and establish prayer and give zakāh and do not fear except Allāh, for it is expected that those will be of the [rightly] guided.

(MALAY)

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan salat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

إِنَّما يَعمُرُ مَسٰجِدَ اللَّهِ مَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, 

Masjid adalah tempat salat seperti yang kita tahu. Ia diambil daripada kalimah سجد iaitu sujud. Kenapakah Allah mengambil daripada kalimah sujud? Kenapa tidak dinamakan marka’ (tempat ruku’), ataupun musolla (tempat salat) terus?

Ia dinamakan begitu kerana sujud adalah ibadah paling mulia dan paling penting dalam salat hinggakan pernah Rasulullah ﷺ bersabda:

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ

Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud.

(Riwayat Muslim (482))

Mereka yang layak untuk mengimarahkan masjid Allah , terutama sekali MasjidilHaram adalah mereka yang beriman dengan Allah sahaja, iaitu beriman dengan akidah tauhid. Jika tiada akidah tauhid, iman itu tidak sah, tidak sempurna.

Oleh itu, walaupun Musyrikin Mekah itu kenal Allah sebagai Tuhan, namun jikalau mereka juga percaya kepada ilah-ilah yang lain, mereka itu tidak mempunyai iman yang sempurna. Begitu juga, sekiranya masyarakat Islam kita beriman dengan Allah , tetapi dalam masa yang sama, masih lagi bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat, masih lagi meminta tolong kepada bomoh dan seumpamanya, maka mereka itu tidak beriman sempurna.

Selain daripada itu, mereka itu hendaklah beriman dengan hari akhirat. Musyrikin Mekah memang tidak layak memakmurkan masjid Allah kerana mereka tidak percaya kepada hari kebangkitan semula. Perkara itu tidak ada dalam fahaman agama mereka, kerana mereka tidak ada kitab dan mereka sudah lama tidak ada Nabi yang memberi peringatan kepada mereka.

Sememangnya banyak kali Allah mengingatkan tentang اليَومِ الآخِرِ di dalam Al-Qur’an kerana ia amat penting. Ia dipanggil ‘hari akhir’ kerana itulah penghabisan hari, tidak ada hari-hari lain lagi, tidak ada alam lain lagi. Ia datang selepas hari-hari kita di dunia ini dan selepas datangnya hari akhirat, tidak boleh kembali lagi ke dunia dan tidak boleh berharap lagi kepada hari-hari yang lain. Maka kita kena rebut sungguh-sungguh hari-hari kita di dunia ini supaya kita selamat di akhirat. Barulah dikatakan beriman dengan hari akhirat.

Perlu diingatkan yang iman itu melibatkan tiga perkara: dengan hati, lisan dan perbuatan. Ketiga-tiga perkara itu mesti ada. Orang munafik mungkin mengerjakan ibadah, tetapi mereka tidak percaya dengan Islam, maka mereka tidak dikira beriman; orang musyrikin pula mungkin percaya dan kenal Allah , tetapi mereka tidak membuat apa yang Allah suruh. Maka begitu juga masyarakat kita yang kononnya beriman, tetapi tidak menunjukkan iman mereka dengan melakukan perkara yang sepatutnya seperti diperintahkan oleh Allah , maka mereka tidak dikira benar-benar beriman sebenarnya.

Disebut dua iman ini mewakili segala iman-iman yang lain. Allah tidak sebut beriman dengan kitab-kitab dan juga dengan Rasulullah, bukan? Namun begitu, tidaklah dua iman ini sahaja yang perlu dimiliki oleh umat Islam. Yang lain-lain pun kena ada juga, tetapi cukuplah disebut dua yang utama ini. Daripada dua perkara ini ia bercambah kepada iman-iman yang lain dan mempunyai kaitan yang amat rapat. Contohnya untuk percaya kepada Allah dan hari akhirat, bukankah kita perlu percaya kepada Rasul dan juga kitab-kitab? Tentu sekali, bukan?

Musyrikin Mekah ada masalah dengan dua iman ini. Ya, mereka kenal dan percaya kepada Allah , tetapi mereka tidak percaya kepada hari akhirat. Maka iman mereka tidak ada nilai. Jika percaya separuh-separuh sahaja pun akan membatalkan iman-iman yang lain.

Secara umum pula, dalam ayat ini, Allah mempersaksikan keimanan orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid, seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ؛ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: {إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ}

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Apabila kalian melihat seorang lelaki biasa pergi ke masjid, maka saksikanlah oleh kalian bahawa dia beriman. Allah telah berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian.” (At-Taubah: 18)

(Musnad Ahmad)

Jangan pula sangka masjid itu tempat untuk salat sahaja, tetapi banyak lagi perkara lain yang boleh dan mesti dilakukan untuk memakmurkan masjid. Ia boleh dijadikan tempat sebar ilmu, tempat perhimpunan masyarakat. Ketika zaman Nabi , banyak kegunaannya. Baginda telah menjadikan masjid sebagai tempat tinggal orang miskin, tempat bermesyuarat bersama para sahabat dan lain-lain lagi. Pendek kata, masjid di zaman Nabi memang makmur.

Walaupun masjid baginda bersaiz kecil sahaja, bahan binaannya pula adalah daripada pelepah tamar sahaja, manakala lantainya daripada tanah sahaja. Namun ia hidup. Sedangkan masjid kita boleh memuatkan sehingga tiga ribu orang, tetapi 3 orang sahaja salat berjemaah subuh. Memang menyedihkan. Antaranya kerana orang yang menjaga masjid itu pun tidak tahu hendak menggunakannya. Orang sampai tidak suka pergi ke masjid kerana rasa jauh dari masjid kerana ia tidak ‘mesra orang’.

Miniatur Masjid Nabawi

Begitu pentingnya masjid Allah di dalam Islam sampaikan Allah mengatakan orang yang menghalang manusia daripada masjid adalah orang yang ‘paling zalim’ seperti disebut dalam Baqarah: 114

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?

Adakah kita menghalang orang daripada pergi ke masjid? Mungkin kita tidak lakukan seperti Musyrikin Mekah yang menghalang para sahabat daripada salat di Ka’bah. Akan tetapi bagaimana dengan orang yang menghalang keluarganya? Contohnya isteri tidak suka suaminya salat berjama’ah di masjid (mungkin kerana rindu atau takut tinggal seorang di rumah) atau tidak membenarkan anaknya ke masjid (takut anaknya diculik, mungkin).

Atau, bagaimana kalau bapa itu sendiri tidak pergi ke masjid? Apabila dia tidak pergi ke masjid, maka anak-anak lelakinya pun tidak kenal masjid dan tidak ada pertalian dengan masjid. Maka ini pun boleh dikira menghalang juga, bukan? Mungkin tidak secara aktif menghalang, tetapi ada kesannya kepada anak-anak.

Maka apa yang perlu dilakukan di masjid? Allah sebut dalam Nur: 36

في بُيوتٍ أَذِنَ اللهُ أَن تُرفَعَ وَيُذكَرَ فيهَا اسمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فيها بِالغُدُوِّ وَالآصالِ

Bertasbihlah kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang

Oleh itu, beginilah cara masjid diimarahkan, iaitu dengan cara seperti yang dikehendaki oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah . Jangan direka amalan-amalan baru pula seperti bergendang dan berqasidah pula di sana. Yang penting kita kena buat seperti Rasulullah lakukan, dan mendekatkan hati kita kepada masjid. Jangan kita dilalaikan oleh dunia. Allah memuji orang yang tidak dilalaikan seperti disebut dalam ayat Nur yang seterusnya:

رِجالٌ لّا تُلهيهِم تِجٰرَةٌ وَلا بَيعٌ عَن ذِكرِ اللهِ وَإِقامِ الصَّلَوٰةِ وَإيتاءِ الزَّكَوٰةِ ۙ يَخافونَ يَومًا تَتَقَلَّبُ فيهِ القُلوبُ وَالأَبصٰرُ

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (daripada) mendirikan sembahyang, dan (daripada) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

Kita pun tahu yang lelaki salatnya hendaklah berjama’ah di masjid bersama dengan orang lain.

وَأَقامَ الصَّلوٰةَ وَءآتَى الزَّكوٰةَ

serta tetap mendirikan salat, dan menunaikan zakat

Mereka bukan sahaja menyatakan iman mereka kepada Allah dan akhirat, tetapi mereka juga hendaklah menunjukkan iman mereka itu dengan amal ibadat yang diwajibkan oleh Allah iaitu disebut dalam ayat ini, beramal dengan salat dan zakat. Salat adalah ibadah badaniah (badan fizikal) manakala zakat adalah ibadah maaliah (harta).

Disebut dua ibadat utama ini kerana ia mewakili ibadat-ibadat yang lain. Salat mewakili ibadat perhubungan dengan Allah ; dan zakat adalah ibadat melibatkan hubungan sesama manusia. Oleh itu, kena ada iman yang sempurna dan amalan baik dengan Allah dan dengan manusia.

Ayat ini juga menyenaraikan tujuan masjid itu sendiri. Pertama adalah untuk menguatkan iman dengan mengingati Allah dan kemudian ia untuk mengingatkan kepada akhirat. Kemudian di masjidlah tempat untuk mendirikan salat di mana lelaki wajib untuk mendirikan salat berjama’ah di masjid.

Apabila kita meluangkan masa di masjid, kita akan dapat mengenali siapakah yang tidak bernasib baik dan fakir miskin, supaya kita dapat menjalankan kewajipan zakat kita. Kalau duduk dengan orang yang kita kenal sahaja, maka kita pun tidak kenal sesiapa yang memerlukan pertolongan.

Oleh itu, masjid itu menjadi tempat perkumpulan masyarakat. Janganlah jadikan ia sebagai tempat yang tidak meningkatkan iman kita. Kadang-kadang kita lihat masjid besar dan cantik, memerlukan duit banyak untuk membinanya, namun tidak ada ‘roh’. Ia dibina dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk sahaja.

Begitulah kita boleh lihat banyaknya masjid, tetapi jika kita berada di dalamnya, kita tidak berasa tenang. Ia tidak mesra dengan manusia yang hati baik, beriman dan beretika. Inilah tanda masjid itu tidak ada roh.

Ayat ini juga memberi isyarat yang tanda orang-orang yang mukmin adalah mereka akan pergi mengimarahkan masjid, sama ada mendirikan salat, menjaganya, mengambil ilmu di situ, berzikir di sana dan lain-lain amalan yang baik.

Daripada Abu Sa‘ied رضي الله عنه, daripada Nabi yang bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسَاجِدَ، فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: }إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ

Apabila kamu mendapati seorang lelaki yang biasa ke masjid, maka bersaksilah yang dia seorang yang beriman. Allah berfirman: “Hanya yang mengimarahkan masjid Allah adalah mereka yang beriman kepada Allah.” (Riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah. Tersenarai di dalam Sahih Ibn Khuzaimah dan al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihain oleh al-Hakim)

Di dalam hadith daripada Abu al-Darda’ رضي الله عنه, Nabi bersabda:

الْمَسْجِد بَيتُ كُلّ تَقِيّ

“Masjid adalah rumah setiap orang yang bertaqwa.”

(Sahih; al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi bersabda:

مَن غَدَا إلى المَسْجِدِ ورَاحَ، أعَدَّ اللَّهُ له نُزُلَهُ مِنَ الجَنَّةِ كُلَّما غَدَا أوْ رَاحَ

“Siapa yang keluar menuju ke masjid dan pulang, Allah akan menyediakan untuknya nuzul dari syurga, setiap kali dia keluar dan pulang dari masjid.” 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Buraidah رضي الله عنه, Rasulullah bersabda:

بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Berilah khabar gembira kepada mereka yang banyak berulang-alik dalam kegelapan ke masjid-masjid dengan kurniaan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.”

(Riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Namun begiut, yang memakmurkan masjid-masjid Allah adalah tugas orang lelaki. Bagaimana dengan para wanita? Tidakkah mereka terlibat? Mereka pun kena prihatin juga kerana mereka ada suami dan anak-anak lelaki. Mereka hendaklah membenarkan suami-suami mereka dan anak-anak mereka untuk meluangkan masa di masjid. Ada para wanita yang tidak suka kalau para suami mereka tidak berada di rumah. Ini menyusahkan para lelaki untuk pergi ke masjid kerana isteri-isteri mereka tidak suka pula.

وَلَم يَخشَ إِلَّا اللَّهَ

dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, 

Jika tadi tentang ibadah badan dan sekarang tentang hati mereka pula. Mereka yang beriman sebenar itu tidak takut melainkan kepada Allah sahaja. Sebagai contoh, mereka tidak takut untuk menyatakan kebenaran kerana mereka hanya takut dengan Allah sahaja. Mereka tidak takut untuk memberitahu manakah amalan yang salah dan bid’ah dalam masyarakat.

Mereka tidak takut ditohmah atau dipulaukan oleh masyarakat, kerana mereka lebih takut kepada Allah . Masyarakat memang akan mengeji dan mengata macam-macam terhadap mereka tetapi orang yang mukmin tidak ambil pusing kata-kata orang yang jahil. Mereka tidak mencari redha manusia, tetapi mencari redha Allah . Maka begitulah yang kita perlu lakukan.

Malangnya, ramai manusia yang mengikut sahaja amalan masyarakat mereka yang salah kerana takut dipulaukan. Mereka takut dicaci oleh masyarakat. Oleh itu, mereka bukan sahaja tidak menegur kesalahan manusia, tidak memulaukan majlis bid’ah, tetapi mereka pergi juga ke majlis sebegitu. Sebagai contoh, jika ada yang mengadakan Majlis Tahlil, mereka pun ikut serta, kerana mereka takut jika mereka tidak ikut, manusia akan kata macam-macam tentang mereka, antaranya ramai yang akan kata mereka tidak campur dengan masyarakat lain.

Ini adalah perbuatan yang salah. Kita bukan tidak campur dengan masyarakat, tetapi kalau mereka melakukan perkara yang salah, takkan kita kena mengikut juga mereka, bukan?

Takut yang normal tidaklah salah. Contohnya takutkan harimau dan takutkan ular, ini adalah normal. Nabi Musa عليه السلام apabila melihat jelmaan sihir berbentuk ular daripada golongan ahli sihir pun timbul takut dalam diri baginda. Ia tidak menjadi masalah kerana itu biasa sahaja bagi manusia. Nabi Ibrahim عليه السلام pun takut juga apabila para malaikat tidak memakan makanan hidangan yang baginda sediakan. Yang tidak boleh adalah takut kepada selain Allah , sampai tidak menjalankan agama seperti yang sepatutnya.

فَعَسىٰ أُولٰئِكَ أَن يَكونوا مِنَ المُهتَدينَ

maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Sekiranya mereka melakukan semua perkara yang di atas ini, mudah-mudahan mereka betul-betul diberi hidayah oleh Allah yang membawa kepada tauhid. Begitulah maksud kalimah عَسىٰ iaitu mudah-mudahan. Akan tetapi di sini ia bermaksud ‘pasti’.

Atau kita boleh juga ambil maksud asal عَسىٰ iaitu ‘mudah-mudahan’. Ini kerana orang yang ada sifat-sifat yang disebut di atas tidaklah pasti masuk syurga, maka janganlah yakin sangat. Ia mudah-mudahan sahaja, maknanya bolehlah berharap. Oleh itu, untuk orang yang tidak ada sifat-sifat itu, tidaklah perlu berharap.


Tawbah Ayat 19:

۞ أَجَعَلتُم سِقايَةَ الحاجِّ وَعِمارَةَ المَسجِدِ الحَرامِ كَمَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَجٰهَدَ في سَبيلِ اللَّهِ ۚ لا يَستَوونَ عِندَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you made the providing of water for the pilgrim and the maintenance of al-Masjid al-Ḥarām equal to [the deeds of] one who believes in Allāh and the Last Day and strives in the cause of Allāh? They are not equal in the sight of Allāh. And Allāh does not guide the wrongdoing people.

(MALAY)

Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

أَجَعَلتُم سِقايَةَ الحاجِّ

Apakah kamu menjadikan (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan Haji

Lafaz سِقايَةَ bermaksud ‘memberi minum’ iaitu memberi minum air kepada orang yang datang mengerjakan Haji dan Umrah dari berbagai-bagai tempat. Ini memang tugas yang mulia. Ia dilakukan oleh orang-orang tertentu, iaitu dipegang tugas ini oleh keluarga Abbas.

Oleh itu, pernah Abbas (bapa saudara Nabi ﷺ) diajak untuk masuk Islam. Beliau kata beliau telah banyak membuat amal kebaikan, antaranya memberi makan mereka yang di Kaabah dan sebagainya. Beliau menyangka beliau sudah membuat amalan baik dan beliau merasakan tentu beliau akan selamat.

Maka Allah menurunkan ayat ini untuk membetulkan sangkaan beliau dan Musyrikin Mekah yang lain. Amalannya itu, walaupun memang baik, tetapi tidak dikira langsung pahalanya sekiranya beliau berakidah syirik.

وَعِمارَةَ المَسجِدِ الحَرامِ

dan mengurus Masjidilharam

Satu lagi kebaikan yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah adalah mengimarahkan MasjidilHaram. Lafaz عِمارَةَ bermaksud menjaga, mengurus, jika rosak diperbaiki. Memang Musyrikin Mekah ada membuat perkara itu. Namun seperti yang telah disebut, perbuatan baik itu tidak ada nilai di sisi Allah jika mereka beriman dengan akidah syirik dan kufur.

كَمَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَجٰهَدَ في سَبيلِ اللَّه

kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah?

Adakah kamu samakan perbuatan memberi minuman dan menjaga Baitullah itu sama dengan orang yang duduk di Madinah dan benar-benar beriman dengan Allah dan hari akhirat? Selain itu mereka juga sanggup berjuang di jalan Allah ﷻ. Kalau begitu, kamu sahaja yang sangka begitu.

Al-Aufi sehubungan dengan tafsir ayat ini telah meriwayatkan di dalam kitab Tafsir-nya melalui Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan, “Sesungguhnya orang-orang musyrik mengatakan bahawa memakmurkan Baitullah dan mengurus air minum untuk orang-orang haji adalah lebih baik daripada orang-orang yang beriman dan berjihad. Mereka membanggakan tanah sucinya dan bersikap angkuh kerananya dengan perasaan bahawa mereka adalah pemilik dan yang memakmurkannya. Maka Allah menyebutkan perihal ketakburan mereka dan berpalingnya mereka daripada keimanan.”

Ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما sehubungan dengan tafsir ayat ini, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Al-Abbas ibnu Abdul Muttalib ketika beliau ditawan dalam Perang Badar. Al-Abbas mengatakan, “Jikalau kalian mendahului kami kerana Islam, hijrah, dan jihad, maka sesungguhnya kami adalah orang-orang yang memakmurkan Masjidil Haram, memberi minum orang-orang haji, dan membebaskan kemiskinan.” Maka Allah berfirman: Apakah (orang-orang) yang memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji kalian jadikan…. sampai dengan firman-Nya: dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (At-Taubah: 19) Maksudnya, hal tersebut dilakukannya ketika dia masih dalam keadaan musyrik, kerana Allah tidak mahu menerima amal yang dilakukan dalam kemusyrikan.

Di dalam ayat ini, kita boleh melihat kelebihan jihad di jalan Allah . Ia adalah lebih hebat daripada menguruskan minuman orang yang pergi Haji di Baitullah dan juga mengimarahkan MasjidilHaram. Disebut di dalam sebuah hadith:

 عَنْ عَبْدِ اللّه بن مَسْعُودٍ رضي اللّه عنه قال: ” سَأَلْتُ رَسُولَ اللّه صَلَّى اللّه عَلَيْهِ وَسلَّمَ: أَي الْعَمَلِ أَحَبُّ إلى اللّه؟ قال: ” الصَّلاةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” بِرُّ الْوالِدَيْنِ “. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” الجِهَادُ في سَبِيلِ اللّه ” – رواه البخاري

Daripada Abdullah Ibn Mas’ud رضي الله عنه berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai?’ Baginda menjawab, “Salat pada waktunya”. ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab, “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’. Baginda menjawab, “Jihad di jalan Allah .” (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Kenapakah ia dinamakan ‘jalan Allah ‘? Pertama kerana ia adalah jalan yang dibuat oleh Allah . Allah yang menyediakan jalan itu untuk kita ikuti. Kedua, jika diikut jalan itu, ia akan membawa kita kepada Allah .

Apakah ‘jalan Allah ‘ itu? Ini hendaklah merujuk segala ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi yang sahih yang mengajar kita apa yang kita perlu lakukan. Ada suruhan Allah dan ada larangan Allah di dalam sumber-sumber itu dan kita kenalah ikut dengan tepat. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah-syarah Hadith. Ringkasnya, kena belajar. Duduk berseorangan main TikTok tidak dapatlah ilmu itu.

لا يَستَوونَ عِندَ اللَّهِ

Mereka tidak sama di sisi Allah;

Allah menjawab yang mereka itu tidak sama. Musyrikin Mekah itu duduk di Mekah dan dekat dengan Kaabah dan malah berbakti di Kaabah, namun dalam masa yang sama ada akidah syirik, mereka itu tidak sama dengan mereka yang duduk di Madinah tetapi berakidah tauhid. Ia tidak sama sekali di mata Allah .

Oleh itu kita kena faham ada beza kebaikan pada sisi kita dan pada sisi Allah . Jangan kita lihat dengan mata fizikal sahaja, tetapi lihatlah dengan mata iman. Memang ramai orang yang nampak telah melakukan banyak kebaikan di dunia ini.

Sebagai contoh, kalau kita lihat masyarakat Barat, memang banyak kebaikan yang mereka telah lakukan, kita tidak nafikan. Namun jikalau mereka tidak beriman, menentang Islam, bercakap tidak baik tentang Islam dan sebagainya, adakah mereka itu boleh dikira baik juga? Tentu tidak. Yang Allah mahukan adalah baik dari segi perbuatan dan baik dari segi iman.

Begitu juga sekarang kita lihat ada orang yang mengimarahkan masjid. Akan tetapi yang mereka imarahkan adalah dengan cara yang salah di mana ada yang membuat amalan syirik dan bid’ah di situ.

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Senang sahaja untuk memahami bahawa iman itu yang paling utama bagi manusia. Selepas ada iman, amal yang terbaik adalah jihad di atas jalan Allah . Akan tetapi orang yang zalim tidak diberikan pemahaman ini oleh Allah . Ini adalah kerana mereka telah melakukan perkara yang amat-amat buruk.

Zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah syirik. Orang yang ada fahaman syirik dan melakukan amalan syirik adalah zalim yang paling besar seperti disebut dalam Luqman: 13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ

sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Allah beritahu yang Dia tidak akan beri hidayah kepada musyrikin. Oleh itu, jika ada mengamalkan syirik, ia akan menutup pintu hidayah daripada sampai kepada manusia. Kerana itulah kita kena ajar manusia untuk membersihkan diri mereka daripada akidah syirik dahulu sebelum diajar benda-benda yang lain.

Ini kerana jika tidak dibersihkan syirik dahulu, mereka tidak akan mendapat ilmu dan hidayah daripada Allah . Dari sini kita dapat tahu yang hidayah tidak akan masuk dalam hati manusia yang ada fahaman syirik di dalamnya. Punca manusia tidak mendapat hidayah adalah kerana melakukan kesyirikan. Maka kerana itu bab tauhid dan syirik ini kena dibereskan terlebih dahulu, difahami betul-betul.

Malangnya, pengajaran tentang tauhid dan syirik tidak banyak di negara ini, menyebabkan manusia ramai yang tidak faham dan mengerjakan syirik tanpa mereka sedari. Ini kerana ia hanya dapat difahami melalui memahami ayat-ayat Al-Qur’an berkenaan tauhid dan syirik. Akan tetapi seperti yang kita ketahui, tidak ramai yang rajin belajar tafsir Al-Qur’an.

Maka ini mengajar kita juga supaya jangan membuat zalim untuk mendapat hidayah. Bukan dengan Allah sahaja tetapi dengan sesiapa sahaja. Lawan kepada ‘zalim’ adalah ‘adil’. Maka kita mestilah memandang dan benar-benar menjaga keadilan itu. Berlaku adillah dalam segala hal.


Tawbah Ayat 20: Sebelum ini disebut tentang mereka yang menjaga Kaabah, memberi makan dan minum kepada mereka yang datang untuk melakukan Haji dan Umrah. Mereka sangka mereka sudah bagus sangat. Allah membandingkan mereka dengan mereka yang beriman.

Maka ini adalah ayat tabshir (berita gembira). Ia adalah tentang kelebihan orang yang berjihad di jalan Allah . Inilah kejayaan yang sebenar dan inilah amal kebaikan yang diterima oleh Allah .

الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم أَعظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The ones who have believed, emigrated and striven in the cause of Allāh with their wealth and their lives are greater in rank in the sight of Allāh. And it is those who are the attainers [of success].

(MALAY)

orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.

الَّذينَ ءآمَنوا

orang-orang yang beriman

Mereka yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Orang-orang kafir Mekah itu percaya bahawa Allah itu Tuhan, tetapi dalam masa yang sama, mereka menyembah selain Allah , berdoa kepada selain Allah , bertawasul kepada Nabi, wali, malaikat dan jin dalam doa mereka. Maka mereka itu tidak beriman sempurna.

وَهاجَروا

dan berhijrah

Mereka yang sanggup berhijrah untuk menjaga agama dan untuk menyebarkan agama. Hijrah yang asal adalah dari Mekah ke Madinah sebelum Pembukaan Mekah dan itu tidak ada lagi. Namun peluang untuk berhijrah masih ada lagi.

Ini kerana sekiranya Hijrah itu hanya dari Mekah ke Madinah sahaja, maka peluang hijrah itu hanya ada pada orang yang duduk di Mekah sahaja. Namun, apabila ia diperluaskan, mereka yang berasal dari Madinah tetapi bersama-sama dengan Nabi berperang, pergi ke Mekah untuk membebaskan Mekah, mereka juga dikira sebagai telah melakukan hijrah juga.

Kita juga masih boleh melakukan hijrah iaitu daripada keburukan kepada kebaikan. Ini disebut dalam hadith:

لاَ هِجْرَةَ بَعْدَ الفَتْحِ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ

Tiada lagi hijrah selepas Fath Makkah, tetapi (masih ada) jihad dan niat.

(Riwayat Bukhari no. 1834, 2783, 2825, 3077 & 3189 dan Muslim no. 1353 & 1864)

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang.

(Riwayat Bukhari (6003))

وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم

serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, 

Mereka juga sanggup berjihad menyebarkan agama Allah . Mereka melakukannya dengan pengorbanan: pertamanya dengan harta benda mereka. Ini kerana jihad itu memang memerlukan belanja yang besar, untuk menyediakan perjalanan, senjata dan sebagainya. Perbelanjaan itu pula bukannya dengan duit orang lain tetapi dengan duit sendiri dan ini amat berat. Sudah susah-susah dikumpul, kemudian kena diberi pula.

Mereka bukan sahaja mengorbankan harta mereka, tetapi mereka mengorbankan diri mereka juga – dari segi masa, sakit dan mungkin boleh hilang nyawa. Mereka keluar sendiri berperang untuk menegakkan agama Allah .

أَعظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ

adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah;

Mereka yang bersifat seperti itu, mendapat sebesar-besar darjat di sisi Allah . Mereka tidak layak untuk dibandingkan dengan puak musyrikin yang duduk di Mekah itu. Ini memang antara dua darjat yang tidak sama. Musyrikin Mekah itu amat hina kedudukan mereka. Yang sebenarnya berada di kedudukan yang tinggi adalah seperti yang disebut orang-orang beriman di atas.

وَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. 

Mereka yang bersifat seperti itulah yang mendapat kejayaan yang sebenar. Mereka akan selamat daripada mara bahaya di akhirat nanti. Mereka yang duduk di Mekah itu, walaupun mereka berkhidmat menjaga Kaabah dan sebagainya, tetapi disebabkan mereka itu musyrik, mereka tidak akan selamat dan akan kekal dalam neraka selama-lamanya.

Maka di sini ada penilaian semula tentang maksud kejayaan. Allah beritahu apakah kejayaan yang sebenar. Kejayaan yang sebenar adalah berjaya di akhirat kelak. Allah membetulkan fahaman salah manusia tentang apakah yang dimaksudkan dengan kejayaan sebenar. Kejayaan yang sebenar adalah apabila ia disertai dengan iman.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Februari 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s