Maidah Ayat 50: Apabila manusia tidak mahu menggunakan syariat yang sebenar, mereka tentunya akan menggunakan yang tidak patuh syariah. Itulah dipanggil jahiliah kerana ia bukanlah syariat sebenar.
أَفَحُكمَ الجٰهِلِيَّةِ يَبغونَ ۚ وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللهِ حُكمًا لِّقَومٍ يوقِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then is it the judgement of [the time of] ignorance they desire? But who is better than Allāh in judgement for a people who are certain [in faith].
(MALAY)
Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?
أَفَحُكمَ الجٰهِلِيَّةِ يَبغونَ
Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki,
Sudah ada hukum syariat daripada Allah ﷻ namun mengapakah hukum jahiliyyah juga yang mereka cari? ‘Jahil’ itu maksudnya mengikut perasaan sahaja, tidak menggunakan akal fikiran yang waras dan membuat apa sahaja yang timbul dalam hati. Juga termasuk membuat sesuatu dengan tergesa-gesa. Kerana bukankah semasa tergesa-gesa itu kita tidak menggunakan akal sangat bukan?
Malangnya, zaman sekarang memang manusia tidak menggunakan akal mereka yang waras sangat. Mereka kebanyakannya mengikut perasaan sahaja. Lihatlah bagaimana kita termakan dengan iklan-iklan di media sampaikan kita beli dan memakai perkara yang kita tidak perlukan tetapi kerana kita hendak memuaskan nafsu kita dan hendak menunjuk-nunjuk sahaja kepada orang lain. Inilah jahiliyyah zaman moden sekarang – “consumerism”.
Jadi sekarang kita tahu satu lagi makna bagi ‘jahiliyah’ iaitu berhukum tidak menggunakan syariat. Ini disokong lagi dengan sebuah hadith:
Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Hilal ibnu Fayyad, telah menceritakan kepada kami Abu Ubaidah An-Naji yang telah menceritakan bahawa ia pernah mendengar Al-Hasan berkata, “Barang siapa yang memutuskan perkara bukan dengan hukum Allah, maka hukum Jahiliyyah yang dipakainya.”
وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللهِ حُكمًا
dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah
Namun siapakah lagi yang lebih baik dalam memberi hukum daripada Allah ﷻ? Tentu tidak ada yang lebih baik daripada Allah ﷻ, bukan? Hukum daripada Allah ﷻlah yang lebih sesuai dan tepat untuk kita kerana Allah ﷻ yang menjadikan kita, jadi Dia tahu apa yang kita perlukan dan apa yang baik untuk diri kita. Seperti kita membeli kereta Proton, tentulah kena menggunakan manual yang dikeluarkan oleh syarikat Proton. Takkan hendak digunakan manual daripada Audi pula?
لِّقَومٍ يوقِنونَ
bagi orang-orang yang yakin
Syariat itu diberikan kepada semua manusia, tetapi yang menggunakannya adalah mereka yang yakin sahaja; iaitu mereka yang yakin bahawa syariat yang Allah ﷻ berikan kepada kita itu adalah untuk kebaikan kita juga. Yakin yang itulah yang terbaik bagi kita. Dan kalau kita tidak mengamalkan syariat itu, kita sendiri yang akan rugi. Tapi siapakah yang boleh mendapat keyakinan ini?
Yang boleh terima adalah mereka yang mempelajari wahyu dan memikirkan kebaikan-kebaikan yang ada dalam hukum itu. Ini memerlukan pembelajaran dan penjelasan daripada yang arif. Kerana kalau kita sendiri fikirkan, mungkin tidak akan sampai kepada maksud yang hendak disampaikan.
Sebagai contoh, kita lihat orang yang direjam kerana zina itu sangatlah keras hukumannya. Tetapi kita tidak nampak kebaikan padanya. Ia menjaga zuriat keturunan. Kalau penzinaan tidak dielakkan, maka yang terjadi adalah anak-anak terbiar tanpa bapa yang sah.
Mungkin kita lihat hukum potong tangan itu ganas. Akan tetapi ia menjaga harta benda kita daripada dicuri. Orang yang sudah dicuri barangnya tahu apakah perasaan mereka apabila barang mereka dicuri.
Sekian Ruku’ 7 dari 16 ruku’ dalam surah ini.
Maidah Ayat 51: Ayat ini hendak mengajar dan memberitahu kita mengenai perangai Yahudi dan Nasrani. Setelah disebut perangai mereka dan setelah kita tahu perangai mereka, maka kenalah fikir-fikirkan sendiri, sama ada kita hendak berbaik dengan mereka atau tidak?
۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا اليَهودَ وَالنَّصٰرىٰ أَولِياءَ ۘ بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَإِنَّهُ مِنهُم ۗ إِنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, do not take the Jews and the Christians as allies. They are [in fact] allies of one another. And whoever is an ally to them among you – then indeed, he is [one] of them. Indeed, Allāh guides not the wrongdoing people.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman rapat; sebahagian mereka adalah teman rapat bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذُوا اليَهودَ وَالنَّصٰرىٰ أَولِياءَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi teman rapat;
Allah ﷻ memberitahu kepada orang beriman, supaya jangan menjadikan dua golongan itu sebagai teman rapat – sebagai penasihat, pakar rujuk, pemimpin, tempat berlindung dan sebagainya. Dalam istilah dipanggil ‘muwalat’ iaitu perhubungan yang rapat. Jangan sekali-kali cuba buat buat begitu.
Ayat ini banyak diperbincangkan dalam kalangan para tafsir. Selalunya digunakan sebagai dalil untuk tidak berkawan dengan golongan Yahudi dan Nasrani. Dan orang kafir selalu mengatakan inilah ayat yang mengatakan orang Islam tidak akan berbaik dengan mereka.
Oleh kerana itu, ayat ini hendaklah dibaca dalam konteks penurunannya. Ayat ini diturunkan selepas umat Islam telah kuat dan tidak perlu lagi perlindungan daripada mereka. Mungkin dahulu, bangsa Arab rapat dengan mereka (semasa di Madinah) kerana mereka itu mempunyai kedudukan dalam masyarakat, kaya, ada perniagaan besar, pandai dalam agama dan sebagainya. Tetapi keadaan telah berubah, Islam pula yang duduk di atas. Jadi tidak perlu kepada mereka lagi.
Waktu itu, memang telah ada perjanjian damai dengan puak Yahudi dan Nasrani yang berada di Madinah. Akan tetapi lama kelamaan mereka tidak menepati perjanjian itu. Mereka telah bersekongkol dengan Musyrikin Mekah untuk menjatuhkan umat Islam. Dalam masa yang sama, mereka ada mata-mata yang telah menyusup masuk dalam kalangan umat Islam. Mereka mengumpul maklumat rahsia dan strategik untuk menjatuhkan Islam. Kerana itulah tidak boleh berhubungan baik dengan mereka kerana mereka tidak boleh dipercayai.
Bukanlah ayat ini tidak membenarkan berkawan langsung dengan mereka tetapi berkawan biasalah sahaja, bukanlah berkawan rapat dan jangan bergantung dengan mereka. Ini kerana mereka akan mengajak kepada kemungkaran kalau kita rapat sangat dengan mereka. Mereka juga sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kita. Kalau mereka dapat maklumat rahsia kita, mereka akan gunakan.
Bahawa Umar رضي الله عنه pernah memerintahkan Abu Musa Al Asyari رضي الله عنه untuk melaporkan kepadanya tentang semua yang diambil dan yang diberikannya (yakni pemasukan dan pengeluarannya) dalam suatu catatan lengkap. Dan tersebutlah bahawa yang menjadi setiausaha Abu Musa رضي الله عنه waktu itu adalah seorang Nasrani. Kemudian hal tersebut dilaporkan kepada Khalifah Umar رضي الله عنه. Maka Khalifah Umar رضي الله عنه merasa hairan akan hal tersebut, lalu beliau berkata, “Sesungguhnya orang ini benar-benar pandai, apakah kamu dapat membacakan untuk kami sebuah surat di dalam masjid yang datang dari negeri Syam?” Abu Musa Al-Asy’ari رضي الله عنه menjawab, “Dia tidak dapat melakukannya.” Khalifah Umar رضي الله عنه bertanya, “Apakah dia sedang mempunyai jinabah?” Abu Musa Al-Asy’ari رضي الله عنه berkata, “Tidak, tetapi dia adalah seorang Nasrani.” Maka Khalifah Umar رضي الله عنه membentakku dan memukul pahaku, lalu berkata, “Pecatlah dia.” Selanjutnya Khalifah Umar رضي الله عنه membacakan firman Allah ﷻ: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi wali (kalian). (Al-Maidah: 51), hingga akhir ayat
Kita bukanlah sampai hendak bermusuh dan mencari lawan dengan mereka kerana kita masih lagi mahu berdakwah kepada mereka dan kalau tidak boleh berkawan langsung, bagaimana hendak berdakwah kepada mereka?
بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ
sebahagian mereka adalah teman rapat bagi sebahagian yang lain.
Tidak perlu berkawan rapat dengan mereka kerana sesetengah mereka memang teman rapat sesetengah yang lain. Itu sesama mereka tidak apalah sebab sama-sama tidak mengikut wahyu. Namun kita jangan pula rapat sangat dengan mereka sampai terikut-ikut cara mereka kerana kalau kita rapat dengan mereka, kita boleh terpesona dengan cara hidup mereka dan menjauh pula daripada agama. Itu yang kita takutkan.
Mereka sebenarnya tidaklah rapat sangat sesama mereka, tetapi dikatakan mereka boleh rapat kerana mereka mempunyai musuh yang sama, iaitu Islam. Sebab itu mereka boleh menjadi rapat. Ini seperti pepatah: “Musuh kepada musuh aku adalah kawan kepadaku”.
وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَإِنَّهُ مِنهُم
Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka.
Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini, sesiapa di antara kita orang Islam yang berbaik dengan menjadikan mereka sebagai teman rapat, kita pula dikira sebagai Yahudi dan Nasara. Bahaya kalau rapat sangat dengan mereka kerana kita boleh terikut-ikut dengan cara mereka.
Dalam hal keduniaan, memang mereka sekarang nampak maju dan moden, nampak pandai dan sebagainya. Cara hidup mereka memang menarik kerana mereka tidak kisah tentang agama. Tetapi kita kena mengingatkan diri kita dan ahli keluarga kita supaya jangan mengikut budaya mereka kerana kita sudah ada budaya kita sendiri.
Malangnya, ramai dalam kalangan Muslim yang sudah terikut dengan cara hidup mereka. Cara hidup kita sebagai orang Islam tidak jelas, tetapi hendak diikut cara hidup mereka pula. Ini adalah kerana cara hidup mereka telah ditayangkan dengan banyak sekali dalam media massa sampaikan nampak seolah-olah amat menarik pula. Ini amat bahaya dan kalau kita tidak berhati-hati, memang kita akan menjadi sebahagian daripada mereka.
Sepatutnya kita kena kenalkan manusia dengan cara Islam, namun sebaliknya pula yang terjadi. Bagaimana hendak memperkenalkan cara hidup Islam sedangkan kita sendiri tidak tahu? Ini amat menyedihkan sekali.
Daripada Muhammad ibnu Sirin yang mengatakan bahawa Abdullah ibnu Atabah pernah berkata, “Hendaklah seseorang di antara kalian memelihara dirinya, jangan sampai menjadi seorang Yahudi atau seorang Nasrani, sedangkan dia tidak menyedarinya.” Menurut Muhammad ibnu Sirin, yang dimaksud olehnya menurut dugaan kami adalah firman Allah ﷻ yang mengatakan: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi wali (kalian). (Al-Maidah : 51), hingga akhir ayat.
Maknanya, ada kemungkinan seseorang itu orang Islam, namun hakikatnya dia adalah seorang Yahudi dan Nasrani.
إِنَّ اللهَ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
Dan kalau kita terikut dengan cara hidup dan fahaman akidah mereka, kita boleh terjerumus dalam kesyirikan (ini adalah kezaliman yang paling besar). Dan kalau kita sudah terjerumus dalam fahaman syirik, Allah ﷻ tidak akan memberikan hidayah dan pertolongan lagi kepada kita. Nauzubillahi min dzaalik.
Maidah Ayat 52: Ayat syikayah. Ini adalah rungutan Allah ﷻ kepada orang-orang munafik. Jadi asal ayat ini adalah tentang sahabat-sahabat Nabi ﷺ yang degil. Siapakah mereka itu? Ingatlah yang mereka itu duduk dalam majlis Nabi ﷺ.
Dan kerana mereka duduk dalam majlis Nabi ﷺ, kenal Nabi ﷺ, maka mereka kena sedar tentang siapa Nabi ﷺ itu. Dan jangan lagi keliru untuk mengikut orang luar pula. Tetapi kerana mereka ada masalah itu, maka ini adalah ayat teguran kepada mereka dan menjadi pengajaran bagi kita supaya jangan jadi seperti mereka.
فَتَرَى الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ يُسٰرِعونَ فيهِم يَقولونَ نَخشىٰ أَن تُصيبَنا دائِرَةٌ ۚ فَعَسَى اللهُ أَن يَأتِيَ بِالفَتحِ أَو أَمرٍ مِّن عِندِهِ فَيُصبِحوا عَلىٰ ما أَسَرّوا في أَنفُسِهِم نٰدِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So you see those in whose hearts is disease [i.e., hypocrisy] hastening into [association with] them, saying, “We are afraid a misfortune may strike us.” But perhaps Allāh will bring conquest or a decision from Him, and they will become, over what they have been concealing within themselves, regretful.
(MALAY)
Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: “Kami takut akan mendapat bencana”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka.
فَتَرَى الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ يُسٰرِعونَ فيهِم
Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani)
Ayat ini berkenaan mereka orang yang mengaku Islam tetapi dalam hati mereka ada penyakit nifak. Mereka ragu-ragu dan tidak yakin dengan Islam. Mereka duduk dalam majlis Nabi ﷺ tetapi hati mereka tidak betul, tidak kemas, tidak yakin dengan Islam.
Tanda mereka adalah mereka mudah sangat terima Yahudi Nasara sebagai teman rapat. Mereka duduk dengan Nabi ﷺ tetapi hati mereka terikat kepada Yahudi Nasara. Kalau zaman sekarang, mereka itu duduk dengan orang-orang Islam, tetapi teringat kepada kawan mereka yang kufur itu. Kalau para sahabat yang munafik, mereka masih lagi terhegeh-hegeh hendak rapat dengan Yahudi dan Nasara itu.
Kenapa mereka masih rapat lagi dengan golongan musuh?
يَقولونَ نَخشىٰ أَن تُصيبَنا دائِرَةٌ
Mereka berkata: “Kami takut akan mendapat bencana”.
Apabila ditanya kepada mereka, kenapa mereka rapat lagi dengan Yahudi Nasara itu, mereka akan beri alasan. Mereka kata mereka bimbang kalau-kalau mereka ditimpa kesusahan, nanti hendak minta tolong kepada siapa waktu itu? Mereka kata kena berkawan rapat dengan Yahudi Nasara itu sebab mereka itu kaya dan kalau zaman sekarang, mereka itulah yang memiliki Bank Dunia, kekayaan, kuasa, teknologi, kepakaran itu dan ini. Maka ada lagi orang Muslim hendak berkawan dengan Yahudi dan Kristian yang tidak suka kepada Islam.
Memanglah mereka itu kaya raya terlajak sebab mereka kaut keuntungan dengan cara zalim. Mereka itu tidak kira halal haram atau sama ada perbuatan mereka menindas manusia atau tidak. Dan tidak dinafikan memang duit banyak dengan mereka kerana mereka hanya mementingkan keduniaan dan harta sahaja. Itu adalah kenyataan dari zaman dahulu lagi.
Waktu zaman Nabi ﷺ, puak Islam dan kafir sedang berperang dan golongan munafik itu takut kalau-kalau puak Islam yang kalah, jadi mereka rasa ada kebaikan kalau mereka siap-siap berkawan dengan orang kafir. Maknanya mereka hanya berfikir hendak selamatkan diri mereka. Ini adalah salah kerana tidak 100% serah diri kepada Islam. Mahu ambil kesempatan sahaja. Sepatutnya mereka kena beri sokongan sepenuhnya kepada umat Islam.
Padahal, kenapalah yang hendak bergantung kepada golongan kuffar itu lagi. Mereka bukan hendak menolong kita pun. Mereka akan mengambil kesempatan sahaja di atas kesusahan kita nanti. Lihatlah sekarang, kita semakin berhutang dengan Bank Dunia lagi teruk. Mereka akan mengenakan riba yang tinggi dan mereka akan kawal apa kata dan tindakan kita. Kita yang akhirnya terkongkong.
فَعَسَى اللهُ أَن يَأتِيَ بِالفَتحِ
Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan
Allah ﷻ hendak beritahu: itu adalah sikap yang tidak betul, tidak sepatutnya berfikiran begitu. Kena yakinlah yang Allah ﷻ akan memberi kemenangan pada kita ke atas Yahudi Nasara. Harta yang mereka longgokkan itu, tunggu masa sahaja untuk diambil daripada mereka apabila sampai masanya.
Kalau pada zaman Nabi ﷺ, sebenarnya hanya menunggu masa mereka belot dalam perjanjian antara mereka dan Nabi ﷺ sahaja. Dalam sirah akan belajar bagaimana ada puak Yahudi yang memungkiri perjanjian antara Yahudi dan Islam dan kerana itu mereka telah dikalahkan dan harta benda mereka telah diambil semuanya.
أَو أَمرٍ مِّن عِندِهِ
atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya.
Atau Allah ﷻ akan bongkarkan betapa teruknya puak munafik ini bagaimana mereka itu sebenarnya tidak ada kasih sayang kepada agama. Mereka duduk dengan orang Islam tetapi jiwa mereka sebenarnya kufur. Mungkin Allah ﷻ bongkarkan rahsia mereka itu.
فَيُصبِحوا عَلىٰ ما أَسَرّوا في أَنفُسِهِم نٰدِمينَ
Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka.
Dan apabila Allah ﷻ sudah bongkarkan rahsia dalam hati mereka, maka mereka akan menjadi menyesal atas perkara yang mereka sembunyikan dahulu. Mereka akan berasa sangat menyesal.
Bagaimanakah cara Allah ﷻ akan bongkarkan apa yang ada dalam hati mereka?
Maidah Ayat 53: Allah ﷻ akan bongkarkan dengan adanya peperangan dengan mereka. Apabila berlaku peperangan, Allah ﷻ akan tunjukkan bagaimana orang munafik itu akan tolong orang kafir. Apabila itu terjadi, tentu orang Islam akan kehairanan kerana mereka duduk di sebelah orang kafir pula dalam peperangan.
Padahal sebelum itu mereka sudah bersumpah untuk menjadi orang Islam. Maka waktu itu akan terbongkarlah ketaatan mereka kepada siapa sebenarnya. Jadi kalau zaman sekarang, tengoklah kepada siapa orang kita akan berpihak.
وَيَقولُ الَّذينَ ءآمَنوا أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم ۙ إِنَّهُم لَمَعَكُم ۚ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فَأَصبَحوا خٰسِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who believe will say,¹ “Are these the ones who swore by Allāh their strongest oaths that indeed they were with you?” Their deeds have become worthless, and they have become losers.
- About the hypocrites after their exposure.
(MALAY)
Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan: “Inikah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?” Rosak binasalah segala amal mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang merugi.
وَيَقولُ الَّذينَ ءآمَنوا
Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan:
Akan ﷻ berkata orang beriman dengan kehairanan, apabila melihat tindakan puak-puak munafik itu.
أَهٰؤُلاءِ الَّذينَ أَقسَموا بِاللهِ جَهدَ أَيمٰنِهِم ۙ إِنَّهُم لَمَعَكُم
“Inikah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?”
Inikah orang-orang yang pernah bersumpah dengan nama Allah ﷻ, dan waktu itu mereka bersungguh-sungguh bersumpah, bahawasanya mereka akan bersama orang mukmin? Namun jelas sekali, semasa perang dan semasa ada konflik, orang munafik itu duduk bersama orang kafir.
حَبِطَت أَعمٰلُهُم
Rosak binasalah segala amal mereka,
Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, segala amalan baik yang mereka buat dahulu tidak sah belaka. Mungkin mereka ada membuat amal kebaikan, ada salat, ada tolong orang lain. Namun semuanya itu tidak ada nilai belaka. Semuanya akan dikosongkan, tidak ada pahala.
فَأَصبَحوا خٰسِرينَ
lalu mereka menjadi orang-orang yang merugi.
Maka mereka akan jadi golongan yang sangat-sangat rugi kerana mereka balik bertemu Allah ﷻ di akhirat dalam keadaan tangan kosong – tidak ada pahala langsung.
Maidah Ayat 54: Sebelum ini telah disebut tentang kita tidak boleh berkawan rapat dengan Yahudi Nasara. Ini adalah berbahaya jika berkawan rapat dengan Yahudi Nasara kerana boleh menyebabkan kita jatuh murtad dengan terikut-ikut cara fahaman mereka. Tambahan pula waktu ayat ini diturunkan, ada konflik di antara umat Islam dan mereka. Jadi bahaya kalau ada rahsia umat Islam terbongkar.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا مَن يَرتَدَّ مِنكُم عَن دينِهِ فَسَوفَ يَأتِي اللهُ بِقَومٍ يُحِبُّهُم وَيُحِبّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ وَلا يَخافونَ لَومَةَ لائِمٍ ۚ ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, whoever of you should revert from his religion – Allāh will bring forth [in place of them] a people He will love and who will love Him [who are] humble toward the believers, powerful against the disbelievers; they strive in the cause of Allāh and do not fear the blame of a critic. That is the favor of Allāh; He bestows it upon whom He wills. And Allāh is all-Encompassing and Knowing.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Walaupun khitab (ditujukan) ayat ini ditujukan kepada ‘orang beriman’ namun ia adalah kepada orang beriman yang tidak sempurna, iaitu golongan munafik. Ini kerana iman mereka lemah. Merekalah tujuan utama diturunkan ayat ini kerana mereka berkawan rapat dengan golongan Yahudi dan Nasara. Akan tetapi jangan lupa apa yang terjadi itu adalah pengajaran bagi kita zaman berzaman.
Mereka ditegur kerana kalau baik dengan Yahudi Nasara, boleh menyebabkan orang Islam jadi murtad. Kalau dikaji, orang Islam yang jadi murtad itu kerana berkawan rapat dengan merekalah.
Mereka berkawan sampaikan terikut-ikut dengan cara hidup dan fahaman sesat mereka. Ini adalah kerana kesalahan mereka sendiri juga, kerana Allah ﷻ sudah melarang daripada berkawan rapat dengan dua golongan itu, tetapi kalau tidak endah kepada nasihat agama dan mereka tidak ambil kisah, maka kesan buruknya berbalik kepada mereka juga akhirnya.
مَن يَرتَدَّ مِنكُم عَن دينِهِ
barangsiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya,
Allah ﷻ hendak memberitahu apakah kesannya kepada sesiapa yang murtad daripada agama sebenar. Ada jumlah muqaddar di sini: ia adalah tidak memudaratkan sesiapa kalau mereka murtad. Allah ﷻ tidak rugi, umat Islam tidak rugi, tetapi mereka yang rugi.
Meninggalkan Islam itu boleh menjadi dua cara: memang meninggalkan Islam terus (dengan pernyataan daripada mulut yang mengatakan sudah keluar Islam), atau hanya dengan meninggalkan iman. Maknanya, mereka tidaklah isytihar keluar Islam, masih lagi menggunakan nama Islam, masih lagi duduk bersama orang Islam, tetapi iman mereka sudah kurang atau tiada.
Maka ini perkara yang kita kena jaga sangat. Ini adalah kerana iman itu turun dan naik. Iman itu terkesan juga keadaan persekitaran dan orang yang kita berkawan rapat. Mereka mungkin tidak sampai keluar daripada Islam terus, tetapi mereka sudah jauh daripada Allah ﷻ dan agama. Ini pun bahaya juga.
فَسَوفَ يَأتِي اللهُ بِقَومٍ يُحِبُّهُم وَيُحِبّونَهُ
maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya,
Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa pun. Maka Allah ﷻ boleh menggantikan mereka dengan orang lain, iaitu dengan Allah ﷻ mematikan mereka dengan apa cara sekali pun. Dan selepas itu Allah ﷻ akan datangkan kaum lain yang Allah ﷻ kasih kepada mereka.
Maksudnya ini adalah tentang generasi baru. Maknanya, kalau generasi sekarang tidak mahu kepada agama, sudah tidak berguna, Allah ﷻ boleh sahaja gantikan dengan lapisan generasi yang lain. Senang sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukannya. Ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain, iaitu firman-firman-Nya berikut ini:
{وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ}
dan jika kalian berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kalian) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kalian (ini). (Muhammad: 38)
Dan sekarang kita akan lihat satu persatu golongan baru ini. Maka kalau kita tidak mahu ditukar, kita kena ada sifat-sifat ini. Perkara sifat mereka, Allah ﷻ kata Dia kasih kepada mereka. Kenapa Allah ﷻ kasih kepada mereka? Kerana mereka kasih kepada Allah ﷻ. Maknanya, Allah ﷻ balas kasih mereka itu. Ini seperti yang disebut dalam Ali Imran:31
قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu
Maka kasih daripada Allah ﷻ akan didapati kalau mengikuti agama-Nya dan untuk ikuti agama-Nya, kena ikut apa yang diajar dan disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Dan ini hanya boleh didapati dengan mengamalkan amalan sunnah dan meninggalkan amalan bid’ah. Maka kena belajar apakah yang Sunnah, dan tinggalkan yang bid’ah. Tinggalkan ajaran pelik-pelik yang entah datang dari mana.
Kasih adalah amat penting dalam agama kerana apabila kita sayang kepada seseorang, tentu kita mahu lakukan apa sahaja yang disukai oleh orang yang kita kasih itu. Kita pun akan selalu hendak bersama dengan dia, panggil dia selalu, hendak bagi dia gembira dan sebagainya.
Jadi kasih kepada Allah ﷻ amat penting supaya kita menjadi taat dan rapat dengan Dia. Dan kita boleh dapat kelebihan ini jika kita mengikut manhaj (metode agama) yang telah ditetapkan. Itulah manhaj Al-Qur’an dan Sunnah.
Bagaimana hendak mendapat kasih ini? Ingatlah yang kasih boleh dipupuk. Kita bukan kena tunggu sahaja kasih ini datang dengan sendiri tetapi kita kena cari. Cari bagaimana? Iaitu dengan mengenal sifat-sifat Allah ﷻ. Ini dapat dipelajari kalau kita belajar tentang Asmaul Husna kerana Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dengan memberitahu Nama-namazNya yang baik dan indah.
أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ
yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin,
Dan sifat mereka lagi, mereka itu golongan yang baik. Jika tadi tentang kasih dengan Allah ﷻ, sekarang kasih sesama Muslim pula. Mereka bersikap lemah lembut kepada orang mukmin. Inilah tanda mereka: apabila mereka berurusan dengan orang beriman, mereka akan merendahkan diri mereka.
Kerana mereka nampak bahawa ada persamaan yang ketara antara mereka dan orang beriman itu: sama-sama mengucap syahadah, -sama-sama mengamalkan Islam yang sebenar. Oleh kerana itu, kita akan lihat yang mereka itu sentiasa ringan tangan untuk membantu orang Islam yang lain.
Maka tidak perlulah berdebat atau mencari pasal dengan sesama Muslim. Cari titik persamaan iaitu mencari kebenaran. Apa yang benar, kita terima. Kalau berdebat, maka debat dengan baik. Tujuan hendaklah benar, iaitu hendak mencari kebenaran. Dan jika tidak sependapat, jangan maki memaki, caci mencaci. Kita kan sesama Muslim? Tinggalkan perdebatan yang tidak perlu. Lihatlah hadith di bawah:
عَنْ أَبِيْ أُمَامَةَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَا زَعِيْمٌ بِبَيْتٍ فِيْ رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِيْ وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِيْ أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ. رواه ابوداود.
Daripada Abu Umamah, dia berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bersifat gurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.” (Sunan Abu Daud)
أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ
yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir,
Dan mereka itu keras dan tegas kepada orang kafir (iaitu yang menentang Islam). Maksudnya, mereka tidak tunduk kepada orang kafir. Mereka tunjukkan kuasa mereka apabila berurusan dengan orang kafir.
Dahulu memang orang Yahudi dan Nasara ada kuasa, tetapi sekarang tidak lagi, maka para sahabat diingatkan jangan lagi berbaik dengan mereka. Itulah sikap kita terhadap musuh Islam.
Namun bukanlah maksud ayat ini menyuruh kita benci pula kepada jiran-jiran kita orang kafir itu. Cuma jangan tunduk kepada mereka dan jangan ikut cara hidup mereka. Kita berada dalam kedudukan yang lebih tinggi daripada mereka. Kita sembah Allah ﷻ tetapi mereka tidak sembah Allah ﷻ. Kita yang kena ajak mereka untuk sembah Allah ﷻ juga.
Ini memang sifat orang Mukmin kerana disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat yang lain, iaitu:
{مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ}
Muhammad itu adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.
Malangnya zaman sekarang, kita boleh lihat bahawa perkara yang terbalik yang terjadi. Orang Islam itu, kalau berurusan dengan orang kafir, amat lembut dan hormat namun jika dengan orang Islam, mereka seperti benci pula. Mereka nampak orang kafir pula yang lebih bagus daripada orang Islam. Pelbagai benda buruk ditujukan kepada orang Islam yang lain, tuduhan yang berbagai-bagai diberikan. Ini amat memalukan.
يُجٰهِدونَ في سَبيلِ اللهِ
yang berjihad di jalan Allah,
Ada lagi sifat mereka yang disebut dalam ayat ini. Mereka itu tidak duduk diam sahaja. Mereka akan berjuang di jalan Allah ﷻ. Mereka menyampaikan agama Allah ﷻ supaya manusia kenal Allah ﷻ walaupun sampai berperang dengan orang kafir yang menentang.
Ini memerlukan pengorbanan. Hendak belajar agama itu sendiri kena ada pengorbanan dan hendak kenalkan Allah ﷻ kepada orang lain juga memerlukan pengorbanan. Dan jihad itu tidak semestinya jihad dengan pedang. Kita sekarang tidak ada perang maka jihad bagi kita adalah jihad dengan lisan, iaitu jihad dakwah. Ini pun jihad juga sebenarnya.
Maka kena ada sifat dakwah dalam diri kita, iaitu hendak menyampaikan agama yang benar kepada manusia. Takkan kita tidak sedih mengenangkan orang lain yang menyembah dan menghambakan diri kepada selain Allah ﷻ? Jika kita ada ubat yang baik untuk manusia, takkan kita hendak simpan sendiri, bukan? Maka ‘ubat’ apakah yang lebih baik bagi dunia dan akhirat (bukan untuk dunia sahaja) kita kalau bukan agama Islam ini? Tidakkah kita mahu kongsikan dengan orang lain?
Lihatlah banyak sekali sifat mereka yang Allah ﷻ sebut. Maka kalau kita tidak berjuang dalam dakwah, Allah ﷻ akan menggantikan kita dengan generasi lain. Ini amat menakutkan kita, kerana kita kena tanyalah diri kita sendiri: apakah yang kita telah lakukan untuk menyampaikan agama dan Allah ﷻ kepada orang lain?
Hendak dapat semangat dakwah ini adalah satu lagi sifat yang penting kena ada.
وَلا يَخٰفونَ لَومَةَ لائِمٍ
dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.
Satu lagi, mereka tidak terkesan dengan celaan orang yang mencela. Asalkan mereka sedang melakukan aktiviti untuk agama Allah ﷻ, mereka tidak peduli apa yang orang lain akan kata. Ini kerana jika kita menjalankan tugas kita untuk menyampaikan dakwah, memang akan ada yang menentang: jangan katakan orang kafir, orang yang mengaku Islam sendiri pun akan lawan kita.
Malangnya, adakah kita berani? Ramai yang tidak sanggup untuk menghadapi celaan orang lain. Hendak berhenti daripada menyertai majlis bid’ah orang lain pun sudah susah; kalau ada yang ajak pergi majlis Tahlil, sudah susah hendak tolak, akhirnya pergi juga kerana takut nanti digelar ‘wahabi’.
Hendak beritahu tentang Al-Qur’an dan Sunnah pun takut, takut orang kata kita ini memandai pula. Ingatlah, orang akan tetap kata macam-macam. Kita kalau hendak mencari redha manusia, memang kita boleh buat senyap sahaja. Namun kalau hendak cari redha Allah ﷻ, kita terpaksa hadapi mereka. Jangan takutlah kepada orang yang jahil, orang jahil memang akan kata macam-macam.
Contohnya kalau ada yang sebut kalimah ‘wahabi’, tahulah yang mereka itu orang yang jahil sebenarnya. Kalau tidak percaya, tanya balik kepada mereka apakah maksud ‘wahabi’ itu? Tergagap-gagap mereka hendak jawab nanti. Kerana mereka ikut sahaja kata orang lain sebenarnya. Mereka bukan tahu pun. Kita hendaklah kasihankan kepada mereka sebenarnya, maka kena sampaikan ajaran yang benar kepada mereka. Senyum, kemudian cakap: “Mari saya jelaskan kekeliruan anda ya….”
Oleh itu, sifat yang kena ada dengan kita adalah kasihan kepada mereka, bukannya takut. Jangan kita nanti termasuk dalam golongan yang menyesal di akhirat kelak seperti yang disebut dalam hadith di bawah:
هِ الْعَبْدِيِّ الْمَدَنِيِّ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عليه وسلم قال: “إن اللَّهَ لَيَسْأَلُ الْعَبْدَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، حَتَّى إِنَّهُ لَيَسْأَلُهُ يَقُولُ لَهُ: أيْ عَبْدِي، رَأَيْتَ مُنْكَرًا فَلَمْ تُنْكِرْهُ؟ فَإِذَا لَقَّن اللَّهُ عَبْدًا حُجَّتَهُ، قَالَ: أيْ رَبِّ، وَثِقْتُ بِكَ وَخِفْتُ النَّاسَ”.
Imam Ahmad dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan melalui hadith Abdullah ibnu Abdur Rahman Abu Tuwalah, daripada Nahar ibnu Abdul lah Al-Abdi Al-Madani, daripada Abu Sa’id Al-Khudri daripada Nabi ﷺ yang telah bersabda: Sesungguhnya Allah ﷻ benar-benar akan bertanyakan hamba-Nya di hari kiamat, hingga Dia benar-benar bertanyakannya, dengan pertanyaan, “Hai hamba-Ku, bukankah engkau pernah melihat perkara yang mungkar, lalu mengapa engkau tidak mencegahnya?” Maka apabila Allah ﷻ telah mengajarkan kepada seseorang hamba hujah (alasan) yang dikatakannya, maka si hamba berkata, “Ya Tuhanku, saya percaya kepada-Mu, tetapi saya takut kepada manusia.”
ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ
Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya,
Jika mereka mempunyai sifat-sifat itu, itu adalah kurniaan daripada Allah ﷻ. Maknanya sifat-sifat yang telah disebut di atas, bukanlah semata-mata usaha kita sendiri sahaja, tetapi kena ada taufiq daripada Allah ﷻ untuk menggerakkan kita.
Namun begitu, untuk mendapatkannya, kena minta kepada Allah ﷻ supaya berikan kepada kita. Allah ﷻ beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah ﷻ beri kepada yang sesiapa yang kehendaki. Jika dia tidak hendak, Allah pun tidak beri.
وَاللهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.
Dan ingatlah yang Allah ﷻ ada banyak pemberian-Nya lagi. Kita kena harapkan semua itu daripada Allah ﷻ. Dan jangan lupa minta dan doa kepada-Nya. Jangan kita mengharap kepada makhluk kerana makhluk tidak ada apa-apa jika Allah ﷻ tidak beri kepada mereka. Semuanya daripada Allah ﷻ maka hendaklah kita letak pengharapan kita kepada Allah ﷻ.
Allah ﷻ tahu siapa yang mempunyai sifat-sifat yang telah disebut atas tadi. Allah ﷻ juga tahu siapa yang patut dapat sifat-sifat itu. Semoga kita pun termasuk dalam golongan itu. Semoga kita tidak ditukar dengan golongan lain. Sekarang ya orang Melayu contohnya adalah umat Islam. Tetapi kalau kita tidak jaga agama ini dengan sebenarnya (dengan mengamalkan sunnah), kita takut Allah ﷻ ganti dengan golongan lain pula.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 31 Oktober 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Maariful Qur’an