Ayat 35: Ayat ini khitab kepada orang mukmin. Iaitu mereka yang sanggup berjuang dan berjihad qital melawan musuh Allah ﷻ dan mengembangkan tauhid.
فَلا تَهِنوا وَتَدعوا إِلَى السَّلمِ وَأَنتُمُ الأَعلَونَ وَاللهُ مَعَكُم وَلَن يَتِرَكُم أَعمٰلَكُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So do not weaken and call for peace while you are superior; and Allāh is with you and will never deprive you of [the reward of] your deeds.
(MELAYU)
Janganlah kamu lemah dan minta damai padahal kamulah yang di atas dan Allah pun bersamamu dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu.
فَلا تَهِنوا
Maka janganlah kamu lemah
Diingatkan yang surah ini tentang perang qital. Allah ﷻ mengingatkan umat Islam supaya jangan jadi lemah semangat, sampai boleh dimakan-makan oleh orang kafir. Kerana musuh tidak dapat mengalahkan kita kalau kita mendapat bantuan Allah ﷻ. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah tahu tentang Al-Qur’an ini.
Maka janganlah kita lemah semangat dan segan untuk sampaikan ajaran Al-Qur’an kepada manusia. Kalau jihad qital sedang tidak ada sekarang, maka jangan lemah semangat dan takut untuk sampaikan ajaran Al-Qur’an.
Kalau terpaksa jalankan jihad perang, maka kena jalankan. Tetapi kalau dalam keadaan kita sekarang tidak ada jihad perang, maka kena jalankan jihad mulut. Kena sampaikan dakwah kepada manusia.
وَتَدعوا إِلَى السَّلمِ وَأَنتُمُ الأَعلَونَ
dan minta damai padahal kamulah yang di atas
Dan jangan berdamai dengan orang kafir sedangkan kita berada di pihak yang benar. Bukan tidak boleh berdamai tetapi kena ikut kebaikan bagi pihak Muslim. Kena nilai, adakah ada kebaikan kalau berdamai dengan musuh atau tidak.
Jadi, bukanlah tidak boleh ada perdamaian tetapi perdamaian itu mestilah menguntungkan di pihak kita. Maksudnya, kita yang atur perdamaian itu dan kena ada kelebihan kepada umat Islam dan agama Islam.
Sebagai contoh, kalau kita di pihak yang lemah, maka bolehlah kita berdamai dengan mereka kerana kita tidak boleh mengalahkan mereka. Tetapi kalau kita kuat dan boleh menguasai mereka kenapa kita hendak rendahkan martabat agama Islam? Sedangkan kita memang berada di kedudukan yang tertinggi dari segi agama dan kebenaran. Dan memang kita kena sampaikan ajaran Al-Qur’an ini dan ia lebih berkesan kalau kita pihak yang atas.
Satu contoh lagi, kita boleh berdamai kalau kita tidak mampu hendak berjihad dengan semua orang kerana tidak sempat hendak menjalankan jihad di semua tempat. Maka ada sesetengah tempat yang kita berdamai sahaja dengan penduduk tempat itu. Kena pilih-pilih mana kawasan musuh yang kita hendak berperang.
Ini seperti yang pernah dilakukan Rasulullah ﷺ ketika orang-orang kafir Quraisy melarangnya memasuki Mekah. Dan mereka mengajak Rasulullah ﷺ untuk berdamai dan menghentikan peperangan di antara mereka dengan Rasulullah ﷺ selama sepuluh tahun. Maka Rasulullah ﷺ menyetujuinya. Ini akan disentuh dalam Surah al-Fath selepas Surah Muhammad ini.
Juga ia bermaksud jangan tidak sampaikan Al-Qur’an kepada manusia, kerana Al-Qur’an yang ada pada kita ini sepatutnya didedahkan kepada mereka supaya mereka pun tahu juga. Jadi jangan lemah semangat untuk menyebarkan tauhid kepada mereka. Jangan tahan diri kita dari menyampaikan kepada manusia, mungkin kerana takut mereka berasa hati dengan ancaman-ancaman dalam Al-Qur’an ini. Memang sudah sebegitu yang dikehendaki oleh Allah ﷻ (beri ancaman), maka takkan kita hendak tahan pula ancaman Allah ﷻ itu?
وَاللهُ مَعَكُم
dan Allah bersamamu
Kenapa kita perlu takut sedangkan Allah ﷻ bersama kita? Kalau Allah ﷻ sudah beritahu yang Dia bersama dengan kita, apa lagi yang kita takut? Adakah kita tidak percaya dengan janji Allah ﷻ ini?
Kalau begitu, memang tidak patut kalau kita kalah dengan orang kafir. Kalau ada orang kuat beri sokongan kepada kita pun kita sudah rasa kuat, bukan? Tambahan pula kalau Allah ﷻ yang beri sokongan kepada kita?
وَلَن يَتِرَكُم أَعمٰلَكُم
dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu.
Allah ﷻ menjanjikan pahala yang besar untuk mereka yang berperang di jalanNya dan Allah ﷻ tidak akan menghapuskan pahala itu. Allah ﷻ tidak akan mengurangkan, malah Allah ﷻ akan tambah berganda-ganda.
Kalau dibandingkan dengan majikan di dunia, kadang-kadang tidak dapat beri gaji yang cukup sebab duit tiada. Tetapi bila Allah ﷻ yang berjanji, Dia akan beri dengan secukupnya, malah lebih. Jadi jangan takutlah tidak dapat apa yang dijanjikan.
Ayat 36: Sebenarnya, mereka yang mahu berdamai dengan pihak kafir itu kerana ada perasaan cintakan dunia dalam diri mereka. Jadi ayat ini adalah targhib untuk ambil peluang semasa hidup untuk buat perkara yang berharga dan bernilai.
Ayat 36 – 38 adalah Perenggan Makro Keenam dan terakhir. Ia adalah tentang infaq untuk berjihad. Allah ﷻ mengingatkan orang mukmin supaya jangan bakhil.
إِنَّمَا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ ۚ وَإِن تُؤمِنوا وَتَتَّقوا يُؤتِكُم أُجورَكُم وَلا يَسأَلكُم أَموٰلَكُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[This] worldly life is only amusement and diversion. And if you believe and fear Allāh, He will give you your rewards and not ask you for your properties.
(MELAYU)
Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.
إِنَّمَا ٱلحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ
Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau.
Allah ﷻ mengingatkan kepada kita bahawa dunia ini adalah sementara sahaja. Ia hanya tempat permainan dan hiburan. Jenis ‘main-main’ adalah untuk budak-budak dan jenis ‘lahwa’ pula untuk orang yang sudah dewasa. Ianya adalah perkara yang melekakan seseorang itu dari berfikir.
Oleh itu, semasa seseorang itu masih budak-budak, dia akan bermain dan apabila sudah dewasa sibuk dengan lahwa pula. Maknanya minda dia tidak berkembang dan hanya melakukan perkara yang tidak memberi faedah. Jadi mereka yang tidak menumpukan perhatian mereka kepada akhirat, mereka akan main-main dan lalai leka dengan keindahan dunia.
Begitulah dunia seseorang yang hidup tanpa mementingkan agama. Ini adalah kerana mereka terlalu mementingkan dunia dan tertarik sangat dengan dunia sampai melupakan persediaan kepada akhirat. Mereka telah tertipu dengan kehidupan dunia. Syaitan telah melalaikan mereka dan bagi dunia nampak cantik dan menarik. Padahal, dunia ini hanya permainan sahaja.
وَإِن تُؤمِنوا وَتَتَّقوا يُؤتِكُم أُجورَكُم
Dan jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu
Kalau beriman dan bertakwa, Allah ﷻ akan memberi balasan baik sebagai upah. Iaitu apabila sudah mati nanti (walaupun kadang-kadang Allah ﷻ balas semasa di dunia juga).
Kalau seseorang itu beriman dan belajar, maka dia akan pandai guna dunia. Allah ﷻ bukan suruh tolak dunia ini keseluruhannya, tetapi hendaklah pandai menggunakannya. Kerana apabila beriman, dia akan lebih mementingkan akhirat daripada dunia. Dia akan gunakan dunia sebagai peluang untuk buat pahala untuk digunakan di akhirat.
Beriman itu bermaksud beriman dengan segala perkara yang perlu diimani dalam agama ini; kemudian tingkatkan dengan menjadi orang bertaqwa – iaitu menjaga hukum setiap masa. Maknanya mereka taat kepada Allah ﷻ dalam setiap ketika. Setiap kali mereka hendak melakukan sesuatu, mereka akan fikirkan hukum perbuatan itu.
Kepada mereka ini, Allah ﷻ akan beri pahala yang banyak. Itulah dikira sebagai upah bagi segala amalan dan iman kita.
وَلا يَسأَلكُم أَموٰلَكُم
dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.
Ini adalah ayat yang jenis: jawaban syart. Iaitu kalau buat A, maka akan dapat B.
Maksud ayat ini, kalau seseorang itu sudah beriman dan bertaqwa, kemudian kalau telah dimasukkan ke dalam syurga, Allah ﷻ tidak akan meminta harta kita lagi. Tetapi itu adalah di akhirat nanti sedangkan di dunia ini Allah ﷻ masih mahu kita infak harta kita. Itu pun bukan semua harta kita pun.
Malangnya ada orang yang menggunakan ayat ini dengan mengatakan yang Allah ﷻ tidak meminta harta kita semasa di dunia lagi. Itu adalah tafsiran yang amat, amat salah. Kerana dari segi bahasa kalau ia bermaksud Allah ﷻ tidak meminta duit harta kita semasa di dunia, ia akan berbunyi lain sedangkan ayat ini adalah jawab syarat kepada potongan yang sebelumnya.
Begitulah bahaya kalau baca Al-Qur’an tetapi tidak belajar tafsir dan tidak tahu bahasa Arab, setakat baca terjemahan sahaja. Bahaya, amat bahaya.
Ini amat penting jangan disalah fahami kerana kita kena ingat yang Allah ﷻ memang minta kita keluarkan harta untuk agama, terutama sekali di dalam peperangan kerana peperangan memerlukan wang yang banyak. Bukan sahaja perang, tetapi dalam usaha dakwah pun memerlukan modal juga. Maka walaupun tidak ada perang qital sekarang, kita tetap kena infaq untuk usaha dakwah.
Namun Allah ﷻ tidak minta seluruh harta kita untuk diinfakkan. Kita kena keluarkan infak ketika perlu sahaja, iaitu di mana ada tuntutan waktu itu. Kalau bayar zakat pun, bukan kena beri semua, tetapi 1/40 dari harta sahaja pun.
Ayat 37:
إِن يَسأَلكُموها فَيُحفِكُم تَبخَلوا وَيُخرِج أَضغٰنَكُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If He should ask you for them and press you, you would withhold, and He would expose your hatred [i.e., unwillingness].
(MELAYU)
Jika Dia meminta harta kepadamu lalu mendesak kamu (supaya memberikan semuanya) nescaya kamu akan kikir dan Dia akan menampakkan kedengkianmu.
إِن يَسأَلكُموها فَيُحفِكُم تَبخَلوا
Jika Dia meminta harta kepadamu lalu mendesak kamu nescaya kamu akan kikir
Dan Allah ﷻ memberitahu sifat manusia yang kalaulah Allah ﷻ meminta kita mengeluarkan semua sekali harta yang kita ada untuk infak, maka tentu kita akan melawannya. Tentu kita akan jadi bakhil. Kalau ada sifat infak pun, tetapi kalau kena beri semua, tentu lama kelamaan akan rasa kikir juga.
Maka kena ingat yang Allah ﷻ tidak suruh kita beri seluruh harta kita pun. Allah ﷻ tidak memaksa untuk kita beri semua harta kita. Kena ingat yang kita juga ada keperluan dan kita ada tanggungjawab kepada anak isteri kita.
Maka bukanlah kena beri semua harta kita, kena berpada-pada dan pandai berdikit dalam perbelanjaan. Jangan habis guna semua untuk kehidupan kita, sampai habis tidak boleh infak. Janganlah jadikan Abu Bakr yang beri seluruh hartanya sebagai infak, sebagai model kita. Kena tahu bahawa beliau sahaja yang beri semua harta, sedangkan banyak sahabat lain tidak begitu.
وَيُخرِج أَضغٰنَكُم
dan Dia akan menampakkan kedengkianmu.
Dan kalau Allah ﷻ paksa kita berikan kesemua harta kita, tentu akan ada manusia yang akan mengeluarkan kebencian mereka kepada agama Islam. Mereka akan marah dan mereka akan kata yang agama ini menghabiskan harta mereka sahaja. Sedangkan mereka telah bersusah payah untuk mendapatkan harta itu dengan segala penat lelah.
Ayat 38: Zajrun kepada munafiqin.
هَـٰٓأَنتُم هَـٰٓؤُلَآءِ تُدعَونَ لِتُنفِقوا في سَبيلِ اللهِ فَمِنكُم مَّن يَبخَلُ ۖ وَمَن يَبخَل فَإِنَّما يَبخَلُ عَن نَّفسِهِ ۚ وَاللهُ الغَنِيُّ وَأَنتُمُ الفُقَراءُ ۚ وَإِن تَتَوَلَّوا يَستَبدِل قَومًا غَيرَكُم ثُمَّ لا يَكونوا أَمثٰلَكُم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Here you are – those invited to spend in the cause of Allāh – but among you are those who withhold [out of greed]. And whoever withholds only withholds [benefit] from himself; and Allāh is the Free of need, while you are the needy. And if you turn away [i.e., refuse], He will replace you with another people; then they will not be the likes of you.
(MELAYU)
Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.
هَـٰٓأَنتُم هَـٰٓؤُلَآءِ تُدعَونَ لِتُنفِقوا في سَبيلِ اللهِ
Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah.
Orang Islam sebenarnya diseru melalui Nabi ﷺ untuk infak harta pada jalan Allah ﷻ. Memang ini adalah kewajipan kita semua. Dan seperti yang telah disebut, bukan kena beri semua pun. Maka kenalah kita pandai-pandai untuk bahagikan harta yang kita ada.
فَمِنكُم مَّن يَبخَلُ
Maka di antara kamu ada yang kikir,
Tetapi Allah ﷻ beritahu yang ada diantara manusia yang memang bakhil (kedekut). Ini adalah mereka yang terikat hati mereka dengan dunia, dan jauh dari akhirat. Mereka ini jauh dari akhirat kerana mereka asalnya jauh dari pemahaman wahyu.
Ada muqaddar di dalam bahagian ini – apabila ada yang bakhil, ia bermaksud ada juga di antara manusia yang boleh infak. Bukanlah semua bakhil dan bukanlah semua infak harta mereka. Begitulah manusia banyak yang berbeza.
وَمَن يَبخَل فَإِنَّما يَبخَلُ عَن نَّفسِهِ
dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri.
Tetapi ingat, sesiapa yang kedekut sebenarnya kedekut bagi dirinya sendiri. Kerana segala infak itu akan menjadi hartanya di akhirat kelak. Maka kalau dia bakhil, dia sebenarnya menidakkan bekalan untuk dirinya di akhirat kelak. Dia sendiri yang akan rugi nanti.
Dan ingatlah yang bukanlah Allah ﷻ ambil percuma sahaja infak kita, tetapi Allah ﷻ akan balas di dunia dan di akhirat dengan berlipat ganda. Jadi kalau yang bakhil itu, mereka sebenarnya merugikan diri mereka sendiri. Mereka tidak ambil kelebihan yang banyak dari infak itu. Mereka nampak harta mereka tidak berkurang sebab mereka tidak infak, tetapi mereka tidak nampak yang harta mereka pun tidak bertambah. Padahal, kalau mereka infak, harta mereka akan bertambah.
وَاللهُ الغَنِيُّ وَأَنتُمُ الفُقَراءُ
Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya);
Allah ﷻ ingatkan yang Dia tidak memerlukan kita ataupun harta kita. Maka apabila Allah ﷻ meminta kita infak, bukanlah untuk diriNya tetapi kebaikan itu untuk diri kita. Segala kebaikan itu akan pulang kepada kita sebenarnya. Maka rugilah kalau tidak infak.
Memang Allah ﷻ tidak perlukan kita pun kerana Allah ﷻ Maha Kaya. Maksud al-Ghani itu adalah ‘tidak memerlukan’. Sebaliknya kitalah yang amat memerlukan Allah ﷻ. Kitalah yang berhajat kepada bantuan dari Allah ﷻ. Dan pahala dari infak yang kita keluarkan itu, kita berharap sangat kepada pahalanya. Kerana kita berharap kepada pahala itulah yang menyebabkan kita infak.
وَإِن تَتَوَلَّوا يَستَبدِل قَومًا غَيرَكُم
dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain;
Dan Allah ﷻ beri satu peringatan yang amat menakutkan: kalau kita berpaling dari menunaikan jihad dan mengeluarkan harta untuk membantu jihad, Allah ﷻ boleh ganti kita dengan umat yang lain.
Tetapi pergantian itu bukan serta merta, sebaliknya sedikit demi sedikit. Sampai kita tidak perasan pun yang kita sedang ditukar dengan umat lain. Ini adalah kerana kalimah يَستَبدِل yang digunakan menunjukkan ia tidak berlaku sekaligus. Jadi ini adalah ayat yang amat menakutkan.
Memang sekarang kita orang Islam, negara kita kebanyakannya adalah orang Islam, kita mewakili sebahagian besar dari umat Islam – tetapi bagaimana nanti kalau Allah ﷻ ganti kita dengan bangsa lain? Allah ﷻ boleh sahaja hendak buat dan Allah ﷻ sudah beri peringatan di sini.
Kalau sekarang pun kita tengok di Eropah semakin banyak yang masuk Islam dan menjalankan dakwah kepada bangsa lain. Nanti agaknya negara mereka yang jadi negara Islam dan tidak nampak pun lagi yang kita ini negara Islam.
ثُمَّ لا يَكونوا أَمثٰلَكُم
dan mereka tidak akan seperti kamu ini.
Allah ﷻ boleh ganti kita dengan kaum atau bangsa yang lain iaitu bangsa yang tidak bercakap bahasa kita, kulit lain dari kita, rambut lain dari kita. Dan yang lebih penting, perangai mereka tidak macam perangai kita. Kita malas hendak jihad dan bakhil untuk infak, maka bangsa baru itu rajin menjalankan jihad dan mengeluarkan infak.
Maknanya, tidak lagi diberi taufik kepada kita kerana kita dikira sebagai munafiqin.
Dan kalau kita lihat sejarah, itu sebenarnya telah pernah berlaku pada tahun 1258 apabila kerajaan Islam Abbasiyah telah ditakluk oleh bangsa Tartar. Bangsa Tartar waktu itu adalah orang kafir dan mereka asalnya menyerang negara Islam dan menakluknya. Tetapi yang menariknya, bangsa Tartar yang telah menakluk negara Islam itu, dari keturunan mereka inilah timbulnya kerajaan Islam yang lain. Ini kerana mereka akhirnya telah masuk Islam. Merekalah kemudiannya yang menjadi pendukung agama Islam dan bukan lagi kaum yang asal.
Jadi jangan kita rasa yang kita ini istimewa sangat, sampai Allah ﷻ tidak akan menukar kita dengan bangsa yang lain yang akan mempertahankan Islam. Sekarang kita boleh lihat bagaimana sedikit demi sedikit bangsa-bangsa yang kita tidak sangka pun mereka itu mahu menerima Islam tetapi mereka jumpa Islam dan mereka memegang Islam itu lebih kuat kalau dibandingkan dengan kita yang hanya menerima Islam ini dari ibu bapa kita sahaja.
Adakah ini tanda yang bangsa lain dan kaum lain yang akan menggantikan kita? Lihatlah bagaimana Islam semakin berkembang di negara-negara Eropah. Dan apabila mereka masuk ke dalam Islam, mereka lebih pandai dari orang-orang kita yang sudah lama Islam, tetapi tidak pandai-pandai lagi dalam agama Islam. Kerana ramai ikut amalan tok nenek sahaja.
Memang bangsa kita amat jahil agama sampaikan perkara yang syirik dan bidaah pun disangka sebagai agama. Maka memang layaklah kalau Allah ﷻ tukar sahaja kita ini. Memang padan muka. Sudah lama dalam agama Islam pun masih tidak pandai-pandai lagi. Asyik berkelahi dan berpolitik sahaja. Asyik bercakaran sesama sendiri dan tidak meningkatkan ilmu pengetahuan.
Allahu a’lam. Tamat sudah tafsir Surah Muhammad ini. Mari kita sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Fath.
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
One thought on “Tafsir Surah Muhammad Ayat 35 – 38 (Allah boleh ganti kita dengan kaum lain)”