Ayat 29: Ayat Tabshir (berita gembira). Awal surah ini dimulai dengan tabshir dan akhir ini juga dengan ayat tabshir. Allah ﷻ hendak memberitahu hebatnya Rasulullah ﷺ itu kerana hebatnya pengikut baginda (para sahabat رضي الله عنهم).
Begitulah, Islam menjadi agama yang unggul kerana para sahabat yang dipilih oleh Allah ﷻ itu juga unggul. Kerana itulah kumpulan yang hebat itu menjadi hebat kerana ahli-ahli di dalam sesuatu kumpulan itu. Maka jangan kita lupa kepentingan diri kita di dalam satu-satu kumpulan.
Mungkin kita dalam kumpulan dakwah, maka kita kena jalankan tugas kita dan jadi orang yang hebat di dalam kumpulan kita itu. Iaitu buat perkara yang kita boleh buat. Kerana lain orang, lain kelebihan mereka.
مُّحَمَّدٌ رَّسولُ اللهِ ۚ وَالَّذينَ مَعَهُ أَشِدّاءُ عَلَى الكُفّارِ رُحَماءُ بَينَهُم ۖ تَرىٰهُم رُكَّعًا سُجَّدًا يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا ۖ سيماهُم في وُجوهِهِم مِّن أَثَرِ السُّجودِ ۚ ذٰلِكَ مَثَلُهُم فِي التَّورىٰةِ ۚ وَمَثَلُهُم فِي الإِنجيلِ كَزَرعٍ أَخرَجَ شَطأَهُ فَآزَرَهُ فَاستَغلَظَ فَاستَوىٰ عَلىٰ سوقِهِ يُعجِبُ الزُّرّاعَ لِيَغيظَ بِهِمُ الكُفّارَ ۗ وَعَدَ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ مِنهُم مَّغفِرَةً وَأَجرًا عَظيمًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Muḥammad is the Messenger of Allāh; and those with him are forceful against the disbelievers, merciful among themselves. You see them bowing and prostrating [in prayer], seeking bounty from Allāh and [His] pleasure. Their mark [i.e., sign] is on their faces [i.e., foreheads] from the trace of prostration. That is their description in the Torah. And their description in the Gospel is as a plant which produces its offshoots and strengthens them so they grow firm and stand upon their stalks, delighting the sowers – so that He [i.e., Allāh] may enrage by them¹ the disbelievers. Allāh has promised those who believe and do righteous deeds among them forgiveness and a great reward.
•The given examples depict the Prophet (ṣ) and his companions.
(MELAYU)
Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar.
مُّحَمَّدٌ رَّسولُ اللهِ
Muhammad itu adalah utusan Allah
Allah ﷻ memberi penegasan bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah (Utusan Allah ﷻ). Baginda bukanlah manusia biasa. Baginda menyampaikan perutusan dari Allah ﷻ. Maka kenalah taat kepada baginda. Bagindalah Rasul yang paling unggul yang telah dipilih oleh Allah ﷻ. Maka janganlah lepaskan peluang berkhidmat kepada baginda.
Para sahabat diberi kelebihan untuk berkhidmat terus kepada Nabi ﷺ. Kita tidak ada peluang itu lagi. Tetapi kita jangan lupa yang kita tetap juga kena taat kepada baginda. Iaitu kena ikut ajaran baginda (ikut Sunnah). Kena ikut sifat dan akhlak baginda. Kerana bagindalah ikutan kita.
Maka janganlah kita tidak hiraukan kisah hidup baginda dan sunnah baginda. Ada kewajipan bagi kita untuk mempelajarinya dan mengamalkannya. Janganlah kita jadi seperti kebanyakan orang yang amat jahil tentang Rasulullah ﷺ. Ramai yang tafsir Al-Qur’an tak belajar lagi, Sunnah Nabi pun tidak belajar. Amatlah malang dan rugi sekali.
وَالَّذينَ مَعَهُ أَشِدّاءُ عَلَى الكُفّارِ
dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir,
Dan Allah ﷻ memuji para sahabat yang bersama berjuang dan berdakwah dengan baginda. Allah ﷻ menggunakan kalimah ‘bersama’ ini kerana ini penting. Ini adalah satu penekanan kerana walaupun seseorang itu telah beriman dengan baginda, tidak semestinya mereka ‘bersama’ dengan baginda. Apakah maksudnya?
Kita kena ingat yang Baginda ada misi dakwah dan sesiapa yang ‘bersama’ dengan baginda, maksudnya mereka telah menjadikan misi baginda itu sebagai misi mereka juga. Inilah maksudnya ‘bersama’ dengan baginda.
Mereka akan rapat dan sensitif dengan apa yang baginda lalui dan lakukan. Begitulah yang akan terjadi apabila ada hubungan yang rapat seperti ahli keluarga. Apabila seorang dari mereka bersedih maka yang lain pun akan bersedih juga. Jadi ayat ini tidak termasuk orang-orang munafik yang tidak menjalankan kerja dakwah. Mereka hanya bersama dari segi fizikal sahaja.
Kita kena faham bahawa ada tanggungjawab di dalam agama ini. Ada amalan-amalan agama yang kita lakukan (seperti solat dan puasa) dan ada ‘misi’ yang kita kena jalankan (dakwah). Ianya adalah dua perkara berbeza. Kalau kita buat ibadat puasa dan solat, itu adalah untuk diri kita sahaja. Tetapi dakwah membawa kebaikan untuk lebih ramai orang lagi.
Dan begitulah yang terjadi kepada para sahabat kerana mereka menjadikan usaha dakwah ini sebagai misi hidup mereka dan di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu bahawa mereka ada kualiti yang tinggi yang membantu baginda. Bayangkan Allah ﷻ sendiri yang memuji mereka!
Tetapi malangnya ramai dari kalangan manusia yang beragama Islam melihat agama ini sebagai perkara-perkara ‘ibadah badan’ sahaja dan mereka tidak menjadikan agama ini sebagai misi hidup mereka. Mereka tidak sampaikan kepada orang lain tentang keindahan agama Islam ini. Hanya segelintir sahaja yang sanggup melakukannya.
Dan perkara ini hanya dapat difahami oleh mereka yang mempelajari tafsir Al-Qur’an, kerana baru mereka tahu bahawa Al-Qur’an ini bukan semata-mata bercakap tentang wuduk dan solat sahaja. Mereka akan nampak bahawa agama ini memerlukan usaha dakwah yang berterusan dan mereka akan rasa suka dan rasa terpanggil untuk menyampaikan dakwah ini kepada manusia. Kerana mereka sudah nampak kepentingan tauhid, kepentingan agama secara keseluruhan dan kerana itu mereka mahu orang lain pun dapat juga kelebihan itu.
Maksudnya mereka tidak simpan ilmu ini seorang diri sahaja. Dia mahu berkongsi kebaikan itu dengan orang lain juga. Bayangkan kalau kita tahu ubat yang dapat menyembuhkan penyakit, takkan kita hendak simpan sahaja, bukan? Maka bukankah agama ini dapat menyembuhkan penyakit hati dan penyakit akidah yang sesat? Takkan tidak mahu sampaikan kepada orang lain?
Maka beruntunglah mereka yang ada keinginan untuk sampaikan ajaran agama ini kepada manusia yang lain. Usaha dakwah ini sentiasa berterusan, tanpa hentinya. Akan tetapi para sahabat mempunyai kelebihan yang lebih tinggi lagi dari kita kerana mereka orang yang awal. Dan kerana mereka berjuang bersama Rasulullah ﷺ dan kena menanggung segala macam kesusahan di peringkat awal. Maka tentulah balasan bagi mereka itu tidak sama dengan kita. Kita memang tidak akan mampu mencapai kelebihan yang mereka dapat itu. Itu adalah rezeki mereka.
Allah ﷻ akan sebut dua sifat sahabat. Satu telah disebut dalam Taurat dan satu lagi dalam Injil. Maknanya Bani Israil pun sudah tahu sifat para sahabat ini. Maka kita kena bandingkan sifat kita dengan sifat para sahabat itu. Kalau tidak sama, takut kita perasan sahaja yang kita ini orang mukmin tetapi sebenarnya tidak.
Maka bagaimanakah sifat para sahabat itu? Ayat ini memberitahu kita, apabila perlu, mereka akan keras kepada orang-orang kafir. Mereka tidak lemah di hadapan orang kafir. Mereka sanggup menentang orang-orang kafir itu. Kerana itulah mereka menyahut seruan jihad tanpa berbelah bahagi.
Tetapi siapakah ‘orang kafir’ itu? Adakah tepat kalau kita katakan orang kafir itu sebagai sesiapa sahaja yang ‘bukan Islam’? Ini tidak tepat. Kita kena sedar yang orang-orang kafir yang disebut dalam Al-Qur’an itu adalah mereka yang ‘menentang Islam’ dan bukan sahaja tidak beragama Islam. Kerana ramai saja yang tidak beragama Islam tetapi mereka tidak menentang.
Jadi, dari segi istilah, ada Non-Muslim dan ada Anti-Muslim dan kedua jenis golongan ini tidak sama. Maka kita kena pandai bezakan antara keduanya. Kerana kalau tidak, kita menentang mereka yang tidak menentang Islam pun. Atau kita kasar dengan orang lain hanya kerana dia non-Muslim.
Kalau kita buat begitu, ia akan melemahkan lagi kedudukan Islam di mata manusia. Kerana kalau orang yang tidak menentang Islam pun kita lawan, tentulah orang bukan Islam itu melihat agama Islam ini adalah agama yang ganas.
Sedangkan kita perlu melakukan dakwah kepada non-Muslim itu, bukannya menentang mereka. Maka kenalah berlembut dengan mereka kerana kita hendak ‘beli’ jiwa mereka. Dan kepada orang-orang yang memang menentang Islam, kita memang tidak perlu berlembut dengan mereka pun.
رُحَماءُ بَينَهُم
tetapi berkasih sayang sesama mereka.
Dan sifat kedua para sahabat adalah mereka amat berlembut kepada sesama mukmin. Mereka sanggup mati kerana sahabat mereka. Mereka berkasih sayang dan tolong menolong dalam perkara kebaikan. Kepada orang yang menentang, mereka keras; tetapi kepada sesama mukmin, mereka berbaik dan tolong menolong.
Kalau ini berlaku, barulah ada kekuatan dalam kalangan umat Islam. Tidaklah cari pasal sahaja dengan sesama Muslim macam sekarang kita banyak dapat tengok di media sosial. Amat memalukan bagaimana orang-orang Islam berkasar sesama sendiri. Kadangkala golongan asatizah pun begitu juga. Ini mungkin kerana kurang kasih sayang agaknya.
Dari An Nu’man bin Bisyir, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak bisa tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya)‘”. [Sahih Muslim no. 4685]
Malangnya, kalau dilihat sekarang, antara sesama Muslimlah yang dicari pasal. Ada sahaja yang salah dengan kawan sendiri. Padahal sesama Muslim. Patutnya tolong menolonglah, tetapi sebaliknya yang dilakukan.
Kalau ada kekurangan dengan orang Muslim lain, maka kita nasihatlah dengan baik; bukannya kita maki dan mengutuk mereka sama ada berdepan atau di belakang. Kalau tidak bersetuju pun dengan pandangan orang lain, teruskanlah beradab. Jangan jadi seperti orang gila maki memaki, perli memerli dan hendak menyakitkan hati orang.
تَرىٰهُم رُكَّعًا سُجَّدًا يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا
Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya,
Dan dari segi luaran mereka, kamu boleh melihat yang para sahabat itu sentiasa melakukan sujud dan rukuk. Maksudnya mereka amat menjaga solat mereka. Dan memang para sahabat sentiasa menjaga solat mereka. Bukannya macam kita yang solat sambil lewa sahaja dan buat yang wajib-wajib sahaja. Sudahlah mereka itu jaga solat mereka, mereka melakukannya berjemaah pula, dan mereka tambah dengan solat-solat sunat pula. Maka memang berlainanlah antara solat mereka dan solat kita.
Dan ibadat mereka itu bukan untuk sesiapa tetapi mereka lakukan untuk mencari kurnia dan redha Allah ﷻ. Mereka mencari sebanyak mungkin kurnia atau kebaikan pahala yang Allah ﷻ janjikan kepada pengamal ibadah soleh. Dan dalam masa yang sama, mereka ikhlas di dalam solat mereka. Mereka lakukan amal ibadat kerana mencari redha Allah ﷻ, bukannya kerana sebab lain seperti hendak menunjuk-nunjuk atau kerana upah dari manusia.
Maka mereka itu menjaga keikhlasan hati mereka dalam mengerjakan amal ibadat. Kerana amal ibadat yang tidak ikhlas, tidak diterima pun. Maka kita kena sentiasa periksa ibadat kita adakah ikhlas atau tidak.
Kerana kadang-kadang, semasa kita solat bersendirian lain, tetapi bila kita perasan ada orang lain berada di sekitar, solat kita jadi lebih baik tiba-tiba (lebih khusyuk, lebih lama, baca ayat lebih panjang dan lebih sedap dan sebagainya). Kalau jadi begitu, maka ditakuti ada masalah dengan hati kita. Hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain sahaja sebenarnya.
سيماهُم في وُجوهِهِم مِّن أَثَرِ السُّجودِ
tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.
Bagaimana hendak mengenal mereka lagi? Memang ada ‘alamat’ yang ada pada muka mereka. Kalimah سيما bermaksud tanda. Iaitu tanda kecantikan kepada Allah ﷻ.
Kalimat yang digunakan adalah في وُجوهِهِم (pada wajah mereka) jadi tanda ini pada ‘wajah’ mereka dan bukanlah pada ‘dahi’ (seperti yang disalahfahami oleh ramai orang). Jadi tidak perlu tenyeh-tenyeh dahi pada sejadah apabila solat atau solat di tempat yang panas supaya ada tanda hitam. Ada yang buat begitu kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk yang mereka itu orang yang kuat ibadah.
Atau, kalau ia terjadi sendiri, ada kemungkinan kerana tubuhnya kurang zat besi yang menyebabkan kulitnya senang ada tanda.
Jadi apakah yang dimaksudkan dengan tanda pada wajah mereka itu? Alamat yang dimaksudkan adalah sifat mereka yang sentiasa ikut hukum Allah ﷻ. Fikiran, akal, mulut dan kata-kata mereka itu sentiasa taat kepada Allah ﷻ dan itu adalah tanda orang yang taat kepada Allah ﷻ. Jadi tanda itu bukannya tanda fizikal tetapi pada perawakan mereka.
Mereka mempunyai sifat jujur dan rendah diri. Maknanya mereka mempunyai akhlak yang baik. Dan ini bertentangan dengan sifat Musyrikin Mekah dan golongan munafikin. Cara cakap para sahabat pun baik-baik sahaja dan mereka sentiasa membantu manusia yang lain.
ذٰلِكَ مَثَلُهُم فِي التَّورىٰةِ
Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat
Begitulah Allah ﷻ sebut perumpamaan mereka dan penerangan seperti ini sudah terdapat di dalam Taurat. Cuma kita tidak dapat hendak lihat kitab Taurat yang asal.
وَمَثَلُهُم فِي الإِنجيلِ كَزَرعٍ أَخرَجَ شَطأَهُ
dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya
Dan sekarang diberitahu tentang perumpamaan mereka dalam Injil pula. Dalam Injil, sifat mereka itu diumpamakan seperti tumbuhan yang pada mulanya hanya keluar hujungnya sahaja dari tanah. Memang tumbuhan pada mulanya hanya keluar pucuk sahaja.
Ini adalah ibarat kepada para sahabat semasa mereka di Mekah. Asalnya mereka lemah sahaja tetapi sudah keluar tunasnya. Nanti pokok itu kemudian menjadi kuat apabila ia bersatu dengan pokok-pokok yang lain.
Antara hikmah-hikmah penurunan semula Nabi Isa عليه السلام ke bumi (lihat Fathul Bari (6/568) dan hadis tentang Nihayatul Alam) ialah:
1. Untuk membuktikan kedustaan atau menolak dakwaan Yahudi bahawa kononnya Nabi Isa عليه السلام telah dibunuh { وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللَّهِ …(-النساء : 157)} . Maka Allah ﷻ menyingkap pembohongan mereka. Nabi Isa عليه السلام akan memerangi kaum Yahudi dan membunuh ketua mereka iaitu Dajjal. Al-Hafiz Ibnu Hajar menguatkan pendapat ini dari yang lain.
2. Nabi Isa عليه السلام telah diberitahu dalam kitab Injil tentang sifat umat Nabi Muhammad ﷺ adalah seperti tunas-tunas tanaman { ومثلهم في الإنجيل كزرع أخرج شطئه فئازره فاستغلظ فاستوى على سوقه… (-الفتح :29)}, dan baginda berdoa untuk menjadi sebahagian dari mereka (iaitu tunas-tunas tanaman) lalu Allah ﷻ makbulkan doa Nabi Isa عليه السلام, dan kembalinya baginda di akhir zaman adalah untuk memurnikan semula ajaran Islam yang telah rosak.
3. Turunnya Nabi Isa عليه السلام ke bumi adalah menandakan bahawa ajalnya sudah dekat dan akan dikuburkan di bumi, karena makhluk yang tercipta dari tanah akan kembali ke tanah.
4. Selain itu, penurunan Nabi Isa عليه السلام ke bumi adalah “sebagai hakim yang adil, baginda akan menghancurkan salib, membunuh babi, membebaskan jizyah dan harta benda akan banyak tersebar sehingga tidak ada seorang pun yang mahu menerima (sadaqah) hingga pada masa itu satu kali sujud lebih baik daripada dunia dan isinya” sebagaimana dinukilkan oleh riwayat Bukhari (3192) dalam kitab sahihnya.
فَآزَرَهُ فَاستَغلَظَ فَاستَوىٰ عَلىٰ سوقِهِ
maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya;
Kemudian lama kelamaan pokok itu apabila tetap dibaja dan disiram, akhirnya ia menjadi pokok yang kukuh. Selalunya siapa yang menjaga pokok tanaman kalau bukan petani? Mesti ada orang menjaganya dan kalau ia pokok, maka petanilah yang menjaganya.
Tetapi siapakah yang ‘menjaga’ para sahabat dan yang membina mereka dari keadaan yang lemah menjadi satu kumpulan yang kuat kalau bukan Rasulullah ﷺ? Maka ayat ini adalah pujian kepada baginda juga, bukan kepada para sahabat sahaja.
Tetapi sepertimana juga pokok membesar mengambil masa, maka Allah ﷻ memberi pengajaran di dalam ayat ini yang pemahaman agama seseorang Muslim itu mengambil masa untuk menjadi kukuh. Dan kita sebagai pendakwah dan mungkin ada yang menjadi guru juga, perlu ingat bahawa mendidik orang itu memerlukan masa yang lama dan kesabaran yang tinggi. Ia memerlukan banyak kesabaran.
Ada juga ulama’ yang membahagikan ayat ini kepada peringkat-peringkat khusus:
فَآزَرَهُ – zaman selepas Hijrah
فَاستَغلَظَ – zaman setelah Rasulullah wafat
فَاستَوىٰ عَلىٰ سوقِهِ – zaman pemerintahan Abu Bakr dan Umar رضي الله عنهما.
يُعجِبُ الزُّرّاعَ
tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya
Apabila petani itu melihat tanamannya sudah membesar, maka dia berbangga dan suka. Begitulah juga kesenangan hati Rasulullah ﷺ apabila baginda melihat umat baginda sudah menjadi umat yang kukuh dan baginda senang hati untuk meninggalkan mereka. Ada riwayat menyebut satu hari Nabi ﷺ melihat para sahabat baginda bercakap-cakap dari kejauhan dan baginda tersenyum kegembiraan. Ini kerana baginda berbangga dengan apa yang mereka capai.
Ada ulama’ mengatakan ini adalah pada zaman pemerintah Uthman dan Ali رضي الله عنهما.
Maka begitulah juga para guru agama amat senang hati kalau melihat anak-anak muridnya menjadi orang yang berilmu, dapat berkhidmat mengajar pula kepada masyarakat. Malang sekali kalau guru tidak berbangga, malah tidak suka kalau ada anak murid lebih pandai dari dia. Atau anak murid lebih terkenal, lebih banyak mengajar dari dia.
Begitu jugalah perasaan seorang ayah apabila melihat anaknya berjaya menjadi manusia. Tidak dapat dibayangkan perasaan indah apabila melihat anak sendiri alim dan warak, mengajar orang lain pula. Inilah perasaan yang patutnya ada pada seorang ayah yang normal.
لِيَغيظَ بِهِمُ الكُفّارَ
kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir dengannya
Dan perkembangan dan kesuburan yang dialami oleh orang Islam itu amat dibenci oleh orang-orang kafir. Kalimah ك ف ر bermaksud ‘menutup’. Oleh itu, kalimah ‘kaafir’ itu dari segi bahasa bermaksud seseorang yang menanam benih dan menutup tanah.
Maka orang kafir adalah orang yang menutup hatinya dari menerima wahyu dan menutup fitrah dirinya yang mahu kepada kebenaran dalam agama. Jadi penggunaan kalimah ini amat cantik dari segi bahasa kerana ada persamaan antara keduanya. Ada persamaan dari segi tanaman kerana ayat ini menggunakan perumpamaan tanaman (petani juga dipanggil ‘kafir’ dalam bahasa Arab).
Jadi bayangkan seorang petani yang telah bertungkus lumus menjaga tanamannya dan kemudian dia dapat melihat tumbuhannya tumbur subur dan jadi kuat. Tentu dia suka, bukan? Tetapi bayangkan kalau seorang yang menanam benihnya tetapi dia tidak melihat pokoknya tumbuh, sebaliknya orang yang di sebelahnya subur pula tanamannya, tentu dia dengki juga sedikit sebanyak, bukan?
Maka begitulah perasaan orang-orang kafir itu. Mereka hendak menjatuhkan Islam, tetapi mereka lihat umat Islam semakin berkembang biak dan semakin kuat pula. Tentulah mereka geram betul. Kerana itulah ramai manusia yang tidak senang duduk apabila melihat agama Islam semakin berkembang sekarang terutama di negara Eropah. Islam adalah agama yang paling berkembang maju sedangkan agama lain semakin merosot penganut mereka.
Berdasarkan ayat ini Imam Malik رحمه الله menurut riwayat yang bersumber darinya menyebutkan bahawa kafirlah orang-orang Rafidah (Syiah) itu kerana mereka membenci para sahabat, dan pendapatnya ini disetujui oleh ramai ulama.
وَعَدَ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ مِنهُم مَّغفِرَةً وَأَجرًا عَظيمًا
Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar.
Allah ﷻ memberi perjanjian kepada orang yang beriman dan beramal soleh. Iaitu kepada mereka yang beriman sempurna dengan tidak mengamalkan syirik. Dan untuk mengetahuinya, kena belajar tafsir Al-Qur’an.
Dan amalan soleh pula adalah amalan yang ada contoh dari Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم (bukannya amalan bidaah). Mereka yang dapat menjaga dua perkara ini, maka mereka sekarang dijanjikan dengan keampunan dan pahala yang besar, iaitu di syurga.
Allah ﷻ telah beri janji kepada mereka, tetapi disebut dalam ayat ini ‘dari kalangan mereka’ (مِنهُم). Seolah-olah bukan semua akan dapat, melainkan ‘sebahagian’ sahaja. Digunakan kalimah ini supaya mereka meneruskan usaha mereka dan jangan berasa selamat lagi. Kena teruskan usaha, sebab belum tentu selamat lagi. Maka kena ada istiqamah, jangan tekan brek lagi. Sudah mati nanti baru boleh rehat.
Atau, huruf من dalam ayat ini adalah kata keterangan ‘jenis’, yakni mencakup mereka semua (dan bukan tab’id atau sebahagian dari mereka).
Atau potongan ayat yang di hujung ini bermaksud mereka yang datang selepas para sahabat.
Begitulah kelebihan para sahabat yang kita tidak akan dapat capai. Kita hanya boleh cuba untuk meniru apa yang mereka lakukan sahaja. Kerana Rasulullah ﷺ telah bersabda:
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى التَّمِيمِيُّ وَأَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ قَالَ يَحْيَى أَخْبَرَنَا و قَالَ الْآخَرَانِ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ
Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Yahya At Tamimi dan Abu Bakr bin Abu Syaibah serta Muhammad bin Al A’laa. Yahya berkata: Telah mengabarkan kepada kami. Sedangkan yang lainnya berkata: Telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah dari Al A’masy dari Abu Shalih dari Abu Hurairah dia berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: ‘Janganlah kalian mencaci maki para sahabatku! Janganlah kalian mencaci maki para sahabatku! Demi Dzat yang jiwaku ditangan-Nya, seandainya seseorang menginfakkan emas sebesar gunung Uhud, maka ia tidak akan dapat menandingi satu mud atau setengahnya dari apa yang telah diinfakkan para sahabatku.’ [Sahih Muslim no. 4610]
Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah al-Fath ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Hujurat.
Kemaskini: 23 Jun 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
One thought on “Tafsir Surah al-Fath Ayat 29 (Kelebihan Para Sahabat)”