Tafsir Surah al-Fath Ayat 26 – 28 (Kisah di Hudaibiyah)

Ayat 26:

إِذ جَعَلَ الَّذينَ كَفَروا في قُلوبِهِمُ الحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الجٰهِلِيَّةِ فَأَنزَلَ اللهُ سَكينَتَهُ عَلىٰ رَسولِهِ وَعَلَى المُؤمِنينَ وَأَلزَمَهُم كَلِمَةَ التَّقوىٰ وَكانوا أَحَقَّ بِها وَأَهلَها ۚ وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When those who disbelieved had put into their hearts chauvinism – the chauvinism of the time of ignorance. But Allāh sent down His tranquility upon His Messenger and upon the believers and imposed upon them the word of righteousness, and they were more deserving of it and worthy of it. And ever is Allāh, of all things, Knowing.

(MELAYU)

Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

إِذ جَعَلَ الَّذينَ كَفَروا في قُلوبِهِمُ الحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الجٰهِلِيَّةِ

Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah

Iaitu mereka tidak dapat terima ajaran tauhid yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ kerana mereka tidak dapat meninggalkan fahaman jahiliyah mereka itu. Mereka rasa sombong kerana mereka rasa mereka yang benar.

Kalimah الحَمِيَّةَ digunakan dalam bahasa Arab klasik untuk merujuk kepada kandang kuda Raja. Kalau seorang raja ada kuda, maka kuda itu akan diletakkan di tempat yang khas dan tempat yang khas itu dinamakan sebagai الحَمِيَّةَ. Kerana tempat raja dengan tempat orang-orang kebanyakan tidak sama. Jadi ia bermaksud sesuatu yang dipelihara. Kalau rakyat kebanyakan hendak masuk saja-saja, memang tidak dapat masuk kerana ada pengawal yang jaga.

Selepas datang agama Islam, maka perkataan ini mendapat definisi yang baru. Ia sekarang digunakan sebagai tempat makan dan tempat simpan kepada binatang-binatang yang telah disedekahkan untuk orang yang memerlukan. Kerana memang binatang-binatang itu menjadi hak raja iaitu Raja segala Raja, iaitu Allah ﷻ.

Kalimah الحَمِيَّةَ ini digunakan di dalam ayat ini dalam konteks fahaman sebelum Islam (zaman Jahiliah). Ia digunakan untuk menegur orang-orang Musyrikin Mekah itu yang rasa mereka itu lebih besar dan mulia dari orang-orang lain (macam raja yang ada kedudukan yang lebih tinggi).

Ini adalah kerana mereka itu adalah Penjaga Kaabah. Iaitu mereka rasa diri mereka tinggi kerana kedudukan itu, tetapi perasaan itu berdasarkan kepada fahaman yang jahil. Dan kerana itu apabila orang-orang beriman itu datang ke Mekah, maka Musyrikin Mekah itu meninggikan diri mereka dan menghina puak-puak mukmin itu. Ini adalah hamiyah jahiliyah.

Dan perbuatan itu bahaya kerana orang yang dihina itu boleh melawan balik kerana panas hati. Kerana orang yang dihina boleh terasa hati dan kalau tidak dikawal, mereka boleh melawan balik.

Ia juga mungkin bermaksud perbuatan mereka yang tidak menghormati Nabi Muhammad ﷺ semasa mengadakan perjanjian Hudaibiyah itu. Mereka tidak benarkan Saidina Ali رضي الله عنه tulis Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasulullah. Lafaz Bismillah pun mereka tidak terima untuk dimasukkan ke dalam Perjanjian Hudaibiyah itu.

Melihat kejadian itu, Saidina Ali tidak dapat terima perbuatan itu dan begitu juga dengan para sahabat yang lain. Mereka tidak mahu memadam perkataan itu maka Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang memadamnya. Kisah ini boleh dibaca di dalam Sirah.

 

فَأَنزَلَ اللهُ سَكينَتَهُ عَلىٰ رَسولِهِ وَعَلَى المُؤمِنينَ

lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin

Seperti yang telah disebut, perbuatan penghinaan dari Musyrikin Mekah itu bahaya kerana puak mukmin boleh balas balik kerana panas hati. Dan memang puak mukmin sudah panas hati dengan apa yang berlaku itu. Ia boleh membawa kepada pertelingkahan malah peperangan.

Tetapi Allah ﷻ tidak mahu  membenarkan perkara itu berlaku dan kerana itu Allah ﷻ menanamkan sakinah (ketenangan) ke dalam hati Rasulullah ﷺ pada mulanya. Dan sakinah itu juga diberikan kepada para sahabat yang lain.

Kalau tidak ada bantuan dari Allah ﷻ ini, maka tentunya akan terjadi peperangan antara mereka pada waktu itu. Dan memang keadaan meruncing waktu itu. Lihatlah apa terjadi kepada Saidina Umar رضي الله عنه waktu itu.

Telah menceritakan kepada kami ayahku telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Siyah telah menceritakan kepada kami Habib bin Abu Tsabit dari Abu Wa`il dia berkata, “Sahal bin Hunaif pernah berdiri ketika terjadi perang Shifin, dia berseru, “Wahai manusia, koreksilah diri kalian masing-masing. Ketika terjadi perjanjian Hudaibiyyah, kami bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ. Seandainya waktu itu kami melihat adanya pembunuhan, pasti kami telah berperang. Hal ini terjadi ketika terjadi perjanjian damai antara Rasulullah ﷺ dengan orang-orang Musyrik. Maka Umar bin Khatthab datang menghampiri Rasulullah ﷺ seraya berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah kita dalam kebenaran dan mereka dalam kebathilan?” baginda bersabda: “Ya.” Dia berkata, “Bukankah jika kita terbunuh akan masuk syurga? Sedangkan jika mereka terbunuh, mereka akan masuk neraka?” Baginda menjawab: “Ya benar.” Umar bertanya, “Mengapakah kita harus mengalah mengenai agama kita, dan pulang begitu saja? Padahal Allah belum memberikan keputusan apa-apa antara kita dengan mereka?” Baginda menjawab: “Wahai Ibnul Khattab, sesungguhnya aku adalah Utusan Allah, dan sekali-kali Allah tidak akan menyia-nyiakan aku selama-lamanya.”

Abu Wa’il berkata, “Umar lalu pergi dalam keadaan tidak puas, bahkan terlihat marah. Lalu dia mendatangi Abu Bakar seraya berkata “Wahai Abu Bakar, bukankah kita di atas yang hak dan mereka dalam kebathilan.” Dia menjawab, “Ya, benar.” Umar bertanya, “Tidakkah jika kita terbunuh, maka kita akan masuk syurga, sedangkan jika mereka yang terbunuh, maka mereka akan masuk neraka?” Abu Bakar menjawab, “Ya, benar.” Umar bertanya lagi, “Mengapakah kita harus mengalah mengenai agama kita, dan pulang begitu saja? Padahal Allah belum memberikan keputusan apa-apa antara kita dengan mereka?” Maka Abu Bakar berkata, “Wahai Ibnul Khattab, sesungguhnya baginda adalah Utusan Allah, dan sekali-kali Allah tidak akan menyia-nyiakan baginda selama-lamanya.” Suhail berkata, “Maka turunlah ayat Al Qur’an kepada Rasulullah, iaitu Surah Al Fath. [Sahih Muslim no. 3338]

Maka keadaan yang tegang semasa menulis perjanjian Hudaibiyah itu menjadi tenang kerana Allah ﷻ memasukkan sakinah ke dalam hati Rasulullah ﷺ dan kepada orang-orang mukmin yang lain, maka hati mereka pun menjadi tenang, setelah mereka melihat Rasulullah ﷺ pun boleh menerimanya. Kalaulah Rasulullah ﷺ pun tidak selesa dengan perkara itu, tentu para sahabat tidak dapat menerimanya.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Hammad, dari Tsabit, dari Anas yang menceritakan bahawa sesungguhnya orang-orang Quraisy berdamai dengan Nabi ﷺ dan di kalangan mereka terdapat Suhail ibnu Amru. Maka Nabi ﷺ memerintahkan kepada Ali: Tulislah ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’.

Maka Suhail memotong, “Kami tidak mengenal apakah Bismillahir Rahmanir Rahim itu, tetapi tulislah ‘Dengan nama Engkau ya Allah’.” Lalu baginda bersabda lagi: Tulislah dari Muhammad utusan Allah. (Suhail) kembali berkata, “Seandainya kami menyakini bahawa engkau adalah utusan Allah, tentulah kami mengikutimu, tetapi tulislah namamu dan nama ayahmu.”

Maka Nabi ﷺ memerintahkan (kepada Ali رضي الله عنه): Tulislah ‘Dari Muhammad putra Abdullah’. Lalu mereka (orang-orang musyrik) membebankan syarat-syarat kepada Nabi ﷺ yang isinya ialah bahawa orang yang datang dari kalangan kamu maka tidak akan dikembalikan kepadamu; dan orang yang datang kepadamu dari kami, kalian harus mengembalikannya kepada kami. Ali bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kami harus menulisnya?” Baginda bersabda: Ya, sesungguhnya orang yang pergi kepada mereka dari kalangan kami, maka itu bererti Allah telah menyingkirkannya. [Musnad Ahmad no. 13325. Menurut Syaikh Syu’aib al-Arnauth; sanadnya sahih sesuai syarat Muslim]

 

وَأَلزَمَهُم كَلِمَةَ التَّقوىٰ

dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa

Dan Allah ﷻ telah melekatkan kalimah takwa ke atas para sahabat. Kalimah ل ز م bermaksud melekat, wajib. Takwa telah melekat kepada mereka. Ini adalah kerana mereka telah menunjukkan ketaatan kepada Rasulullah ﷺ.

Dan ia juga bermakna Allah ﷻ telah mewajibkan kepada mereka untuk menegakkan kalimah takwa, iaitu kalimah la ilaaha illallah.

 

وَكانوا أَحَقَّ بِها وَأَهلَها

dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya.

Dan mereka lebih layak untuk mendapat takwa itu, terutama kalau dibandingkan dengan Musyrikin Mekah itu. Dan mereka memang ahli-ahli takwa yang haq. Dan di akhirat nanti mereka akan menjadi ahli syurga dan kekal di dalamnya.

 

وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah ﷻ tahu apa dalam hati puak mukmin apabila mereka dihina. Allah ﷻ tahu yang mereka terasa panas baran dan marah dengan keadaan itu. Allah ﷻ juga tahu betapa taatnya mereka kepada Rasulullah ﷺ. Allah ﷻ tahu betapa ikhlasnya hati mereka. Maka kerana itu Allah ﷻ berikan kebaikan yang banyak kepada mereka.


 

Ayat 27: Ayat 27 – 29 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir. Allah ﷻ memberitahu yang agama lain tidak akan menang.

Ayat 27 ini adalah jawapan bagi kesamaran tentang mimpi Nabi ﷺ tawaf di Masjidil Haram. Sebelum para sahabat pergi mengerjakan Umrah di Madinah, Nabi ﷺ telah bermimpi yang mereka dapat melakukannya. Kerana mimpi itulah para sahabat bersemangat untuk pergi mengerjakan Umrah pada tahun 6 Hijrah. Kerana pada mereka, kalau baginda sudah mimpi, itu adalah wahyu dan ia pasti terjadi.

Tetapi seperti yang kita tahu, ia tidak terjadi. Ada yang hairan kerana ianya tidak terjadi seperti yang baginda mimpikan. Sedangkan, bukankah mimpi Nabi ﷺ adalah wahyu? Kenapa tidak terbukti dalam kenyataan? Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat ini.

لَقَد صَدَقَ اللهُ رَسولَهُ الرُّؤيا بِالحَقِّ ۖ لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ ءآمِنينَ مُحَلِّقينَ رُءوسَكُم وَمُقَصِّرينَ لا تَخافونَ ۖ فَعَلِمَ ما لَم تَعلَموا فَجَعَلَ مِن دونِ ذٰلِكَ فَتحًا قَريبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly has Allāh showed to His Messenger the vision [i.e., dream] in truth. You will surely enter al-Masjid al-Ḥarām, if Allāh wills, in safety, with your heads shaved and [hair] shortened,¹ not fearing [anyone]. He knew what you did not know and has arranged before that a conquest near [at hand].

•i.e., having completed the rites of ‘umrah.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram), insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

 

لَقَد صَدَقَ اللهُ رَسولَهُ الرُّؤيا بِالحَقِّ

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya

Allah ﷻ membenarkan mimpi Rasulullah ﷺ – memang mimpi baginda itu adalah wahyu. Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, Nabi Muhammad ﷺ memang nampak di dalam mimpi baginda yang mereka akan dapat masuk ke dalam Kota Mekah dan mengerjakan Umrah.

Dan mimpi Nabi ﷺ sememangnya adalah wahyu. Maka kerana itu, ia pasti akan berlaku. Cuma tidak pasti bilakah kejadian itu. Tidaklah semestinya pada tahun itu.

Apabila baginda beritahu kepada para sahabat tentang mimpi itu, maka sahabat telah mendesak baginda untuk pergi pada tahun itu juga. Ini adalah kerana mereka telah lama tidak pergi ke Mekah dan mereka teringin sangat untuk ke sana. Kerana mereka amat rindu kepada kampung halaman mereka dan kepada Kaabah.

Kita kena faham yang mereka sudah 8 tahun tidak balik ke kampung halaman. Mereka memang sudah rindu sangat hendak balik kampung. Maka apabila mereka tahu tentang mimpi baginda itu, mereka desak supaya mereka pergi tahun itu juga. Dan apabila mereka beri cadangan, baginda setuju ikut pendapat mereka. Dan ini adalah dari ijtihad Nabi ﷺ, bukan wahyu (iaitu tentang pergi ke Mekah pada tahun itu).

Kita kena sedar yang ijtihad baginda juga betul. Tidaklah baginda tersilap. Ini semua dalam rancangan Allah ﷻ juga. Kita telah panjang lebar jelaskan yang baginda memang boleh melakukan ijtihad hasil dari fikiran baginda. Begitu juga dengan menandatangani Perjanjian Hudaibiyah itu.

Maka telah berlaku Perjanjian Hudaibiyah yang akhirnya membawa kepada kejayaan umat Islam. Maka memang ada faedah mereka pergi bergerak untuk mengerjakan Umrah pada tahun itu juga.

Akhirnya seperti yang kita sudah tahu, apabila mereka pergi, mereka tidak dapat masuk ke Mekah. Tentulah mereka tidak puas hati. Tetapi mereka tidak dapat masuk ke Mekah itu pun adalah atas kehendak Allah ﷻ juga kerana Allah ﷻ hendak menjadikan terlaksananya Perjanjian Hudaibiyah. Semuanya dalam susunan ﷻ Allah.

Maka ketahuilah ada hikmah kenapa mereka tidak boleh masuk untuk mengerjakan Umrah pada tahun itu. Kerana mereka dapat perkara yang lebih besar dari buat Umrah itu iaitu Perjanjian Hudaibiyah dan dengan Perjanjian Hudaibiyah manusia Mekah semuanya akan masuk Islam tidak lama lagi.

Dan ada lagi kelebihan-kelebihan yang kita pun telah sebut sebelum ini. Itu semua lebih besar pahalanya dari mengerjakan umrah.

Kembali kepada kisah mimpi tadi. Ada sahabat yang kehairanan dan yang bertanya kepada Nabi ﷺ semasa dalam perjalanan pulang itu: “bagaimana dengan mimpi baginda itu. Bukankah mimpi baginda adalah wahyu dan benar? Jadi kenapa mereka tidak dapat masuk ke dalam Mekah dan mengerjakan umrah seperti yang telah dimimpikan oleh baginda?”

Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini sebagai penjelasan kepada mereka.

 

لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ ءآمِنينَ

sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah, dalam keadaan aman,

Allah ﷻ menekankan di dalam ayat ini dengan menggunakan bahasa yang kuat (kalimah لَتَدخُلُنَّ dalam wazan yang kuat) yang mereka ‘pasti dan pasti’ (penekanan) akan dapat masuk ke dalam Masjidilharam. Tetapi bukanlah dijanjikan pada tahun itu. Memang Nabi ﷺ sudah mimpi, tetapi dalam mimpi itu tidak dijelaskan bilakah kejadian itu akan berlaku. Tidak semestinya tahun itu.

Dapat masuk dengan aman juga penting kerana kalau masuk juga ke Mekah pada tahun 6 hijrah itu, maknanya mereka masuk dan mengerjakan Umrah dalam ketakutan. Mereka kena sentiasa berhati-hati, entah-entah Musyrikin Mekah akan serang mereka apabila mereka sedang beribadat.

Dan bila sudah takut, tentu tidak khusyuk kalau tawaf juga tahun itu. Maka kualiti ibadah pun tidak bagus. Macam juga kalau kita sedang solat, tetapi tahu yang makanan sudah dihidangkan (dalam solat teringat makanan itu sahaja maka tidak khusyuk). Atau kita solat tapi ada anjing gila menyalah di sebelah kita, tentu kita tidak khusyuk, bukan?

Dan dalam Perjanjian Hudaibiyah, memang telah termaktub yang umat Islam dibenarkan masuk untuk mengerjakan Umrah tahun hadapan. Dan pada waktu itu, mereka akan masuk dengan aman kerana sudah ada perjanjian yang Musyrikin Mekah akan tinggalkan Mekah selama tiga hari. Maka tidaklah mereka takut kalau hendak buat Umrah dan tawaf kerana musuh ada di luar.

Kenapa Allah ﷻ sebut kalimah in sya Allah (sekiranya Allah ﷻ berkehendak) di dalam ayat ini? Bukankah ianya sudah pasti? Allah ﷻ sebut begitu kerana hendak memberitahu bahawa ianya adalah perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Dan Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa perkara itu akan berlaku tetapi dengan syarat.

Syaratnya, orang-orang mukmin itu menjaga perangai mereka dan menjaga agama kerana Allah ﷻ boleh untuk buat keputusan tidak jadikan perkara itu berlaku. Maka, ia tidak pasti lagi sebenarnya. Kerana ia masih bergantung kepada mereka. Allah ﷻ boleh tarik janjiNya itu kalau mereka tidak menjalankan tugas mereka. Maka, mereka pasti dan pasti akan dapat masuk, kalau mereka bertindak seperti yang sepatutnya.

Allah ﷻ beritahu juga di dalam ayat ini yang mereka akan dapat masuk ke dalam Masjidilharam dengan aman dan tidak takut, kerana pada tahun Hudaibiyah itu walaupun mereka telah sampai berdekatan Mekah, tetapi Rasulullah ﷺ telah mengarahkan mereka untuk Solat Khauf (Solat Takut) bukan? Itu tandanya memang mereka ada perasaan takut juga.

Tetapi bila mereka akan masuk nanti dengan sebenarnya ke Mekah, mereka tidak akan ada perasaan takut. Kerana keadaan waktu itu berlainan sekali dengan kali ini.

 

مُحَلِّقينَ رُءوسَكُم وَمُقَصِّرينَ

dengan mencukur rambut kepala kamu dan mengguntingnya,

Bila mereka datang untuk kali kedua selepas itu, mereka akan dapat cukur rambut dan gunting rambut mereka (tahallul). Allah ﷻ memberitahu tentang mencukur rambut dan memotong rambut seperti perbuatan Haji dan Umrah yang biasa dilakukan. Dan disebut ‘cukur’ dahulu kerana terdapat kelebihan kepada mereka yang mencukur terus rambut mereka.

Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ mendoakan orang-orang yang mencukur rambut kepalanya:

اللَّهُمَّ ارْحَمْ الْمُحَلِّقِينَ قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ اللَّهُمَّ ارْحَمْ الْمُحَلِّقِينَ قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَالْمُقَصِّرِينَ وَقَالَ اللَّيْثُ حَدَّثَنِي نَافِعٌ رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ قَالَ وَقَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ حَدَّثَنِي نَافِعٌ وَقَالَ فِي الرَّابِعَةِ وَالْمُقَصِّرِي

Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambutnya“. Orang-orang berkata: “Dan juga bagi orang-orang yang hanya memendekkan rambutnya, wahai Rasulullah?”. Baginda tetap berkata: “Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambutnya”. Orang-orang berkata lagi: “Dan juga bagi orang-orang yang hanya memendekkan rambutnya, wahai Rasulullah?”. Baginda baru bersabda: “Ya, juga bagi orang-orang yang hanya memendekkan rambutnya”.

Dan Al-Laits berkata:  Nafi’ memberitahuku, (Baginda bersabda:) “Allah merahmati orang-orang yang mencukur rambutnya”, sekali atau dua kali. Dia (Al-Laits) berkata: dan berkata ‘Ubaidullah: telah menceritakan kepada saya Nafi’: dan Baginda berkata pada ucapan yang keempat: “Dan bagi orang-orang yang hanya memendekkan rambutnya”. [Sahih Bukhari no. 1612]

Syarah: maknanya, mencukur rambut lebih afdhal dari hanya menggunting sahaja. Maka jangan kita lepaskan peluang itu kalau kita berihram sama ada untuk Haji atau Umrah. Jangan nak sayang rambut sangat sampai tak mahu bercukur sampai botak.

 

لا تَخافونَ

sedang kamu tidak merasa takut.

Sekali lagi diulang yang mereka tidak akan rasa takut waktu itu. Segala perbuatan mereka adalah dalam keadaan aman dan mereka dapat menyempurnakan kerja umrah mereka dengan aman. Hati akan tenang dan ibadah akan lebih berkualiti.

Peristiwa ini terjadi di tahun hadapannya yang dinamakan Umrah Qada’, iaitu dalam bulan Zul Qa’dah, tahun tujuh Hijriah. Kerana sesungguhnya setelah Nabi ﷺ kembali dari Hudaibiyah dalam bulan Zul Qa’dah dan pulang ke Madinah, lalu Nabi ﷺ tinggal di Madinah dalam bulan Zul Hijjah dan bulan Muharam, kemudian dalam bulan Safar baginda ﷺ keluar menuju Khaibar.

 

فَعَلِمَ ما لَم تَعلَموا

Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui

Allah ﷻ mempunyai pengetahuan yang tidak dimiliki oleh manusia iaitu Allah ﷻ tahu kebaikan/faedah mereka tidak mengerjakan umrah pada tahun itu. Dan kebaikan/faedah mereka pulang ke Madinah dan kebaikan mengadakan Perjanjian Hudaibiyah itu. Mereka mungkin tidak nampak tetapi Allah ﷻ tahu dan Allah ﷻlah yang atur segala kebaikan itu. Maka umat Islam kena taat sahaja.

Allah ﷻ kata para sahabat tidak tahu ada hasil baik dari Perjanjian Hudaibiyah itu. Dengan termeterainya perjanjian itu, ramai yang dapat peluang untuk kenal wahyu Allah ﷻ. Agama Islam tersebar luas dan Allah ﷻ masukkan kebenaran dalam hati mereka yang sebelum itu tidak terbuka lagi untuk terima Islam.

Allah ﷻ juga yang bukakan hati mereka. Apabila sudah ramai yang terima Islam, maka senang sahaja Rasulullah ﷺ dan para sahabat masuk semasa Pembukaan Mekah nanti.

 

فَجَعَلَ مِن دونِ ذٰلِكَ فَتحًا قَريبًا

dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

Dan untuk memberi ketenangan hati kepada mereka lagi, Allah ﷻ akan memberikan kemenangan yang dekat iaitu Khaibar.


 

Ayat 28: Targhib kepada taat kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Tugas Nabi ﷺ bukan hendak ajar buat Umrah sahaja tetapi tujuan besar baginda adalah untuk ajar agama secara keseluruhan.

Maka kalau tidak dapat buat Umrah tahun itu, tidak mengapa kerana dapat sebarkan wahyu dengan luas lagi. Mana yang lebih baik? Dapat buat Umrah atau dapat luaskan lagi agama Islam? Maka Allah ﷻ nasihat kepada mereka supaya jangan terkilan kalau tidak dapat kerjakan Umrah tahun itu.

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion. And sufficient is Allāh as Witness.

(MELAYU)

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi.

 

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar

Allah ﷻ mengutus Nabi Muhammad ﷺ dengan diberikan wahyu kepada baginda. Dengan wahyu itulah agama dapat ditegakkan.

Dan wahyu itu sekiranya diamalkan, akan menjadi agama. Kerana kalau tidak diamalkan ia hanya menjadi tulisan atas kertas dan jadi idea sahaja. Oleh itu, ayat-ayat Al-Qur’an itu ada jenis yang duduk di dalam hati dan menjadi akidah; dan yang duduk di luar menjadi ibadah.

 

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama.

Agama itu bukanlah untuk duduk diam sahaja tetapi hendaklah dizahirkan. Manusialah yang kena menjalankan tugas dakwah dan menzahirkan agama itu.

Allah ﷻ membangkitkan Rasul ﷺ dan memberikan agama ini supaya dengannya akan menguasai dan mengatasi segala agama-agama lain yang sesat. Ayat ini memberitahu bahawa Mekah akan jatuh ke tangan umat Islam dan dengan itu agama syirik akan hancur. Kerana Mekah waktu itu adalah pusat syirik dan apabila pusat syirik dimusnahkan, maka agama Islam yang benar akan berkembang.

Ini penting kerana agama Islam ini hendaklah dibawa ke seluruh dunia untuk menghapuskan agama-agama syirik yang lain. Agama-agama lain tidak boleh dibiarkan sahaja berleluasa.

Ayat yang sama juga ada di dalam Surah Tawbah dan juga di dalam Surah Saf dan menjadi perbincangan yang besar di kalangan ulama’. Ini kerana ia membawa maksud yang amat besar dan boleh dibincangkan dengan panjang lebar lagi.

Jadi memang Rasul dibangkitkan dan Al-Qur’an diturunkan untuk memenangkan agama Islam tetapi bagaimanakah caranya? Bagaimanakah kita boleh mencapai kejayaan ini dan apakah yang kita perlukan?

Kenalah belajar tafsir dan kaji apa yang terkandung dalam Al-Qur’an ini. Kena amalkan dan Allah ﷻ akan beri kejayaan kepada umat Islam. Dengan Al-Qur’anlah dapat mengembangkan agama Allah ﷻ ini ke pelusuk dunia.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا

Dan cukuplah Allah sebagai saksi.

Cukuplah Allah ﷻ sebagai saksi di atas kebenaran agama ini; cukuplah Allah ﷻ sebagai saksi di atas kerja-kerja menegakkan agama yang dilakukan oleh para pendakwah. Kita tidak perlu orang lain tengok, tetapi yang penting adalah Allah ﷻ tengok usaha kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Jun 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s