Tafsir Surah al-Maidah Ayat 46 – 49 (Tentang Injil)

Maidah Ayat 46: Ini tentang kitab Injil pula. Dalam ayat sebelum ini, telah diberi penerangan tentang Taurat. Mereka juga ditegur kerana telah mengubah hukum yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan di dalam wahyu.

وَقَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِعيسَى ابنِ مَريَمَ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ مِنَ التَّورٰةِ ۖ وَءآتَينٰهُ الإِنجيلَ فيهِ هُدًى وَنورٌ وَمُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ التَّورٰةِ وَهُدًى وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We sent, following in their footsteps,¹ Jesus, the son of Mary, confirming that which came before him in the Torah; and We gave him the Gospel, in which was guidance and light and confirming that which preceded it of the Torah, as guidance and instruction for the righteous.

  • i.e., following the tradition of the prophets of the Children of Israel.

(MALAY)

Dan Kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israil) dengan Isa putera Maryam, membenarkan Kitab yang sebelumnya, iaitu: Taurat. Dan Kami telah memberikan kepadanya Kitab Injil sedang di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), dan membenarkan kitab yang sebelumnya, iaitu Kitab Taurat. Dan menjadi petunjuk serta pengajaran untuk orang-orang yang bertakwa.

 

وَقَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِعيسَى ابنِ مَريَمَ

Dan Kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israel) dengan Isa putera Maryam, 

Allah ‎ﷻ susuli selepas Nabi-nabi yang menggunakan Taurat, dengan Nabi Isa عليه السلام pula. Kita kena ingat bahawa Nabi Isa عليه السلام adalah nabi untuk Bani Israel juga. Itu sebab dalam ayat ini, digunakan lafaz وَقَفَّينا, iaitu disambung terus kepada mereka seorang lagi Nabi, iaitu Nabi Isa عليه السلام.

Oleh kerana Nabi Isa عليه السلام juga merupakan Nabi mereka, maka mereka patut kenal baginda sebagai Nabi mereka. Malangnya puak Yahudi tidak mengaku yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka juga. Mereka telah menolak baginda, malah akhirnya mereka membuat perancangan untuk membunuh baginda!

 

مُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ التَّورٰةِ

membenarkan Kitab yang sebelumnya, iaitu: Taurat.

Nabi Isa عليه السلام telah datang dan membenarkan kitab-kitab sebelumnya termasuk Kitab Taurat. Bukanlah Nabi Isa عليه السلام hendak memansukhkan ajaran yang ada dalam Kitab Taurat itu tetapi, baginda juga telah bertindak sebagai hakim tentang Taurat itu.

Baginda telah menjelaskan semula tentang Kitab Taurat kepada Bani Israel. Ini adalah kerana pemuka agama Yahudi telah banyak menukar isi kandungan dalam Taurat itu dan ada yang mereka sembunyikan. Nabi Isa عليه السلام telah memberitahu semua apa kandungan yang sebenarnya dalam Taurat.

Maknanya, baginda telah membuka pekung rabbi-rabbi Bani Israel itu. Baginda beritahu yang mana sebenarnya ada dalam Taurat, dan mana yang sebenarnya tidak ada.

Maka, tentulah marah rabbi-rabbi Yahudi itu. Itu sebabnya mereka telah membuat perancangan untuk membunuh Nabi Isa عليه السلام kerana Nabi Isa عليه السلام telah menyusahkan mereka dan mengganggu rancangan mereka. Mereka tidak boleh hendak senyapkan mulut baginda, maka mereka rancang bunuh terus sahaja. Ini kerana mereka memang bangsa yang selalu bunuh Nabi mereka pun.

 

وَءآتَينٰهُ الإِنجيلَ

Dan Kami telah memberikan kepadanya Kitab Injil 

Cuma baginda juga diberi dengan kitab lain, iaitu Kitab Injil. Inilah yang orang Kristian panggil Gospel. Kitab Injil adalah tambahan hukum kepada hukum-hukum yang ada dalam Taurat itu.

 

فيهِ هُدًى وَنورٌ

di dalamnya (ada) petunjuk dan dan cahaya

Di dalam Kitab Injil itu ada pengajaran tentang bab akidah dan bab amal iaitu bab iman dan bab Islam. Ada perkara yang perlu dipercayai dan ada perkara yang perlu diamalkan dan dilakukan.

 

وَمُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ التَّورٰةِ

dan ia membenarkan kitab yang sebelumnya, iaitu Kitab Taurat.

Dan Kitab Injil itu telah membenarkan kitab yang ada di hadapan mereka (Taurat). Injil membenarkan apa yang ada dalam Taurat. Perkara yang sama juga yang disebut, terutama tentang bab akidah kerana bab akidah tidak akan bertukar.

Namun begitu ada juga perkara yang diperbetulkan, seperti yang disebutkan oleh firman-Nya, menceritakan keadaan Al-Masih, bahawa baginda pernah bersabda kepada kaum Bani Israil:

{وَلأحِلَّ لَكُمْ بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ}

dan untuk menghalalkan bagi kalian sebahagian yang diharamkan untuk kalian. (Ali Imran: 50)

Kerana itulah menurut pendapat yang terkenal dalam kalangan para ulama’ daripada dua pendapat mereka, kitab Injil me-mansukh sebahagian hukum kitab Taurat. Bukannya semua, tetapi sebahagian sahaja.

 

وَهُدًى وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ

Dan menjadi petunjuk serta pengajaran untuk orang-orang yang bertaqwa.

Kitab Injil itu mengandungi neraca ilmu dan petunjuk. Ia diberi kepada semua, tetapi yang dapat mengambil pengajaran daripadanya adalah mereka yang bertaqwa sahaja: yang takut dan ingin mendekati Allah ‎ﷻ.

Begitu jugalah dengan Al-Qur’an yang di hadapan kita ini; ia diberikan kepada semua umat manusia, tetapi yang menerimanya hanya umat Islam sahaja. Dalam kalangan umat Islam pun, bukan semuanya terima. Ada yang menolak dengan terang-terangan atau dalam senyap; ada yang tolak dengan sengaja dan ada yang tolak tanpa niat. Yang lebih banyak adalah tidak langsung mempelajari kandungannya. Ramai yang baca, tetapi tidak faham apa yang dibaca.


 

Maidah Ayat 47:

وَليَحكُم أَهلُ الإِنجيلِ بِما أَنزَلَ اللهُ فيهِ ۚ وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let the People of the Gospel judge by what Allāh has revealed therein. And whoever does not judge by what Allāh has revealed – then it is those who are the defiantly disobedient.

(MALAY)

Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.

 

وَليَحكُم أَهلُ الإِنجيلِ بِما أَنزَلَ اللهُ فيهِ

Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya.

Dalam ayat ini ada jumlah muqaddar: “Kami titahkan…”. Maksudnya, Allah ‎ﷻ telah titahkan kepada mereka yang mengikut Injil itu untuk berhukum menggunakan apa yang ada dalam Injil itu. Maknanya, ada ayat hukum juga dalam Injil itu. Ia adalah sebagai tambahan kepada hukum-hukum yang ada dalam Kitab Taurat. Dan seperti yang telah disebut, ada pendapat yang mengatakan sebahagian daripada hukum di dalam Taurat itu dimansukhkan dengan ayat-ayat dalam Injil.

 

وَمَن لَّم يَحكُم بِما أَنزَلَ اللهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ

Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.

Sesiapa yang tidak buat keputusan seperti yang Allah ‎ﷻ turunkan, mereka adalah fasik. ‘Fasik’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘fasik besar’ iaitu ‘kafir’. Sebelum ini telah dikatakan bahawa mereka yang tidak berhukum menggunakan wahyu adalah kafir, dan sekarang diulang lagi, tetapi menggunakan bahasa yang berlainan.

Asal maksud ‘fasik’ itu adalah ‘keluar daripada taat’ dan itu pun adalah perbuatan kafir juga tetapi mungkin belum terkeluar daripada Islam lagi. Mereka yang fasik adalah apabila disuruh buat tetapi mereka tidak ikut. Akan tetapi, kalau tolak wahyu, itu adalah perbuatan yang kufur. Ada yang sampai boleh menyebabkan terkeluar terus daripada agama.


 

Maidah Ayat 48: Selepas disebut tentang zaman Taurat dan kemudian zaman Injil, sekarang disebut zaman Al-Qur’an pula. Kita sekarang diingatkan supaya jangan jadi seperti umat yang lepas-lepas. Oleh kerana tidak faham tentang perkara inilah yang menyebabkan kita terjerumus ke dalam kesalahan yang sama seperti Yahudi dan Nasrani.

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ الكِتٰبِ وَمُهَيمِنًا عَلَيهِ ۖ فَاحكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ ۖ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم عَمّا جاءَكَ مِنَ الحَقِّ ۚ لِكُلٍّ جَعَلنا مِنكُم شِرعَةً وَمِنهاجًا ۚ وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن لِّيَبلُوَكُم في ما ءآتٰكُم ۖ فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ ۚ إِلَى اللهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have revealed to you, [O Muḥammad], the Book [i.e., the Qur’ān] in truth, confirming that which preceded it of the Scripture and as a criterion over it. So judge between them by what Allāh has revealed and do not follow their inclinations away from what has come to you of the truth. To each of you We prescribed a law and a method.¹ Had Allāh willed, He would have made you one nation [united in religion], but [He intended] to test you in what He has given you; so race to [all that is] good.² To Allāh is your return all together, and He will [then] inform you concerning that over which you used to differ.

  • Prior to this revelation, which supersedes all previous scriptures.
  • i.e., obedience to Allāh according to what He enjoined in the Qur’ān and through the sunnah of His Prophet ().

(MALAY)

Dan Kami telah turunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,

 

وَأَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ

Dan Kami telah turunkan kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran,

Dalam ayat ini tidak disebut nama kitab itu, sebab kalau dalam Al-Qur’an disebut ‘al-kitab’, ia adalah Al-Qur’an. Al-Qur’an mengandungi kebenaran al-haq. Maka untuk mengetahui kebenaran, hendaklah kita belajar isi kandungannya.

 

مُصَدِّقًا لِمّا بَينَ يَدَيهِ مِنَ الكِتٰبِ

membenarkan apa yang sebelumnya daripada kitab-kitab

Al–Qur’an membenarkan segala isi kitab sebelumnya, iaitu Taurat, Zabur dan Injil. Semua kandungan dalam kitab-kitab itu digabungkan dan sekarang, ajaran-ajaran yang ada dalam kitab-kitab itu telah dimuatkan dalam Al-Qur’an. Jadi apabila kita baca Al-Qur’an, ia seolah-olah kita baca kandungan semua kitab-kitab itu kerana ajaran penting kitab-kitab itu telah dimuatkan dalam Al-Qur’an.

Bagi penganut kitab-kitab wahyu sebelum Nabi Muhammad ﷺ  yang telah nampak kesamaan yang ada pada Al-Qur’an itu dengan apa yang mereka faham, sepatutnya telah menjadikan mereka semakin yakin dengan Islam. Seperti yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ melalui firman-Nya:

{إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأذْقَانِ سُجَّدًا وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولا}

Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila Al-Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud, dan mereka berkata, “Maha­suci Tuhan kami; sesungguhnya janji Tuhan Kami pasti dipenuhi.” [Al-Isra: 107-108]

 

وَمُهَيمِنًا عَلَيهِ

dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu;

Maksud مُهَيمِنًا: untuk jaga. Inilah tugas kita kepada kitab-kitab sebelum ini. Kitab-kitab itu sudah tidak ada lagi yang asal, kerana telah banyak diubah oleh pemuka agama mereka. Jadi, untuk tahu apakah ajaran yang benar dalam agama, maka kena periksa dengan kandungan Al-Qur’an. Kalau ia adalah sama dengan kandungan Al-Qur’an, maka benarlah ia.

Dalam pentafsiran ayat-ayat Al-Qur’an, banyak yang menggunakan kisah-kisah Israeliyat iaitu kisah-kisah yang disampaikan daripada Bani Israel yang telah masuk ke dalam lingkungan rujukan umat Islam. Kita mesti berhati-hati dalam menerima kisah-kisah itu. Walau bagaimanapun, ada yang berhujah, kita kena juga lihat kandungan kisah-kisah itu.

Ini adalah kerana Al-Qur’an cuma sebut kisah-kisah dahulu secara ringkas sahaja. Kadang-kadang kita tidak tahu apakah kisah di sebalik perkara yang disebut secara ringkas dalam Al-Qur’an. Kisah penuh selalunya ada di dalam Israeliyat. Oleh kerana itu, ada pendapat yang kata kita boleh gunakan maklumat daripada sumber Israeliyat asalkan tidak berlawanan dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an.

Namun begitu kita masih perlu berhati-hati. Kita pun tahu yang golongan Bani Israel ini suka menambah-nambah dalam penulisan mereka. Tetapi kita juga kena terima bahawa masih ada lagi kebenaran yang ada dalam kitab-kitab dahulu walaupun telah banyak diubah. Lalu bagaimana kita hendak tahu manakah kisah yang benar? Itulah yang disebut dalam ayat ini, kayu pengukur adalah pada Al-Qur’an, bukan sebaliknya. Al-Qur’anlah yang muhaimin dan bukan sebaliknya.

Kita kena pandang bahawa Al-Qur’anlah yang dominan. Oleh itu, kalau ada kisah-kisah yang kita baca, kena selarikan dengan apa yang ada di dalam Al-Qur’an. Bukannya kita kena periksa kisah yang disampaikan dalam Al-Qur’an dengan periksa apa yang ada dalam kitab-kitab terdahulu.

Walau bagaimanapun, itu adalah kerja yang amat besar dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Kalau kita baca sendiri, memang kita tidak tahu mana yang benar dan mana yang tidak. Ia hendaklah dilakukan oleh para ulama’ kita yang mempunyai pengetahuan yang luas. Zaman kita sekarang memang ada ulama’ yang mengkaji kitab-kitab dahulu. Jadi, tugas ini bukan boleh dilakukan oleh orang biasa.

Oleh itu, ayat ini hendak memberitahu yang Al-Qur’an adalah batu pengukur bagi kitab-kitab lain. Maka disebabkan itulah, kita orang awam ini tidak perlu belajar kitab lain sebab dalam Al-Qur’an sudah ada segala perkara yang kita perlu tahu. Segala perkara tentang agama, kena bandingkan dengan Al-Qur’an. Maka, cukup bagi kita hanya belajar Al-Qur’an sahaja. Tidak perlu orang awam hendak kaji kitab-kitab lain. Biarkan itu sebagai usaha golongan ulama’ yang khusus dalam mengkajinya.

Kita kena ingat ayat ini dengan baik sekali. Jadi, kalau ada orang yang sampaikan perkara daripada kitab lain yang berlainan dengan Al-Qur’an, maka kita tahulah bahawa telah ada pengubahsuaian yang dilakukan dalam kitab-kitab itu. Kita kena ingat bahawa kitab-kitab itu tidak tulen lagi semuanya. Hanya Al-Qur’an sahaja yang diberi janji oleh Allah ‎ﷻ yang akan dijaga-Nya sampai Kiamat seperti firman-Nya:

{إِنَّا نَحْنُ نزلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ}

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. 

[Al-Hijr: 9]

 

فَاحكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ

maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan 

Setelah kita belajar tafsir Al-Qur’an, maka buatlah keputusan berdasarkan kitab ini yang Allah ‎ﷻ telah turunkan iaitu dengan Al-Qur’an ini, bukan dengan kitab-kitab yang lain. Penganut agama-agama sebelum Islam memang kena tinggalkan kitab-kitab mereka dan beramal dan berhukum dengan Al-Qur’an sahaja sekarang.

 

وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم عَمّا جاءَكَ مِنَ الحَقِّ

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. 

Jangan ikut hawa nafsu. Kalau diamalkan perkara agama yang bercanggah dengan dalil yang ada dalam Al-Qur’an, maka perbuatan itu adalah kerana mengikut nafsu. Jadi jangan mengikut hawa nafsu seperti mereka yang lari daripada kebenaran.

Yang dimaksudkan dalam ayat asalnya adalah tentang golongan Yahudi kerana mereka memalsukan perkara yang haq melalui pelbagai perkara yang mereka ajukan kepadamu; janganlah kamu teperdaya oleh mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang pendusta, kafir lagi pengkhianat.

Jangan ikut mereka yang ikut hawa nafsu. Kalau zaman sekarang, ada berbagai-bagai jenis golongan lagi yang kita kena berhati-hati jangan sampai terikut-ikut dengan cara mereka. Manusia kena pastikan bahawa keinginan nafsu mereka mesti diselarikan dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

 

لِكُلٍّ جَعَلنا مِنكُم شِرعَةً وَمِنهاجًا

Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. 

Cara ibadat dan adat antara zaman, tidak sama. Syariat dari zaman ke zaman tidak sama. Sebab itulah kandungan Kitab Taurat dan Al-Qur’an berlainan dari segi syariat. Sebagai contoh, cara salat dan cara berpuasa tidak sama daripada satu umat ke satu umat.

Memang Allah ‎ﷻ telah buat begitu mengikut kebijaksanaan Dia. Kalau ikut akal kita yang cetek ini, tentu kita fikir, kenapa tidak diberikan syariat yang sama sahaja dari dulu sampai sekarang? Namun Allah ‎ﷻ lebih mengetahui apa yang manusia perlukan mengikut zaman masing-masing.

Oleh kerana itu, bagi setiap umat, Allah ‎ﷻ telah menjadikan syariat dan jalan agama yang jelas yang sesuai untuk mereka. Maksud syariat dan manhaj mempunyai makna lebih kurang sahaja. Lebih tepat lagi, lafaz minhaj itu bermaksud, ‘jalan agama’.

Jadi setiap umat ada syariat dan manhaj mereka. Ini juga adalah ujian sebenarnya. Allah ‎ﷻ hendak menguji mereka, bolehkah mereka meninggalkan syariat mereka dan menerima syariat yang baru? Bukan kerana syariat mereka itu tidak baik dan tidak bagus, akan tetapi kerana Allah ‎ﷻ sudah berikan syariat yang baru. Yang benar-benar beriman tentu sedar yang memang Allah ‎ﷻ boleh sahaja tukar syariat yang baru kerana itulah yang telah disebutkan dalam kitab mereka. Akan tetapi bila sampai masanya, sanggupkah mereka? Adakah mereka hendak taat atau tetap berpegang kepada syariat mereka juga?

Kalau kita cuba tafsirkan dengan lebih lanjut lagi, lafaz ‘syariat‘ itu dari segi bahasa, datang daripada lafaz syuru’ – bermaksud permulaan perjalanan yang membawa kepada air. Kepada orang Arab, itu adalah perjalanan yang membawa kepada kehidupan. Ini kerana mereka tinggal di kawasan padang pasir dan air adalah sumber yang tidak banyak sebagaimana kita di negara kita.

Oleh kerana itu, pada mereka, lafaz ‘syariat’ itu adalah bermakna sekali kerana ia adalah sesuatu yang membawa mereka kepada kehidupan; ia juga bermaksud ‘permulaan’, jadi ia boleh juga ditafsirkan sebagai permulaan kepada Islam.

Oleh itu, langkah pertama dalam agama ini adalah melihat kepada syariat. Kemudian baru kita mencari ‘wasilah’ untuk mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Jadi syariat itu perlu dilalui dan dipenuhi dahulu sebagai langkah pertama.

Dan syariat itu ada masanya digunakan dan ada masanya tidak. Kita telah sebut tentang syariat umat-umat terdahulu. Akan tetapi bagi kita pun syariat itu ada masanya digunapakai dan ada masanya tidak. Bagaimana? Lihat contoh seperti salat. Memang ia ada dalam syariat. Akan tetapi ada masa tidak boleh salat. Begitu juga dengan puasa, ada masa dilarang untuk berpuasa seperti pada hari raya. Yang penting, kita kena taat kepada syariat Allah ‎ﷻ dan cara penggunaannya juga.

Pertukaran syariat (ini perbincangan bab nasikh dan mansukh) sebenarnya ada kebaikan kerana Allah ‎ﷻ tahu kondisi hamba-Nya. Ada masanya memerlukan syariat sebegini dan ada masanya syariat yang lain pula. Analoginya adalah seperti seorang doktor yang tukar preskipsi ubat setelah sekian lama. Bukannya kerana ubat awal itu tidak bagus, tetapi ubat itu sesuai pada peringkat awal dan perlu ditukar apabila kesan ubat itu tidak sesuai lagi bagi tubuh pesakit itu.

Lafaz ‘minhaj‘ atau selalu disebut sebagai ‘manhaj’ pula bermaksud jalan secara keseluruhan. Ia adalah jalan yang jelas. Laluan yang membawa kepada air itu tidak semestinya jelas, tetapi apabila dikatakan jalan itu sebagai ‘minhaj’, ianya adalah laluan yang jelas. Oleh itu, ia adalah satu ‘penjelasan’ kepada syariah.

Ia adalah jalan yang perlu kita ikuti dan lalui. Kalau dalam zaman sekarang, bahasa yang sesuai untuk digunakan untuk menerangkan maksudnya adalah ‘metodologi’. Ini penting untuk diketahui kerana Allah ‎ﷻ bukan sahaja memberi hukum syariat tetapi diberikan-Nya juga jalan bagaimana untuk mencapainya. Setiap Nabi diberikan dengan syariat dan manhaj yang berlainan. Untuk memahami keduanya, kita perlu belajar seerah.

 

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً

Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat

Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan kita semua umat beriman belaka, tidak ada seorang pun yang derhaka langsung. Bukannya Allah‎ ﷻ tidak mampu. Ini kerana ada manusia yang berhujah: “Kenapa Allah tidak jadikan semua manusia ini beriman sahaja?” Jawapannya bukannya Allah ‎ﷻ tidak mampu buat – lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah menjadikan para malaikat itu semuanya beriman sahaja, tidak derhaka langsung walau sedikit pun.

Tapi Allah ‎ﷻ yang Maha Bijaksana telah memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan sendiri untuk menguji makhluk-Nya. Begitulah yang telah ditetapkan kepada kita, untuk masuk syurga, dikenakan uji dahulu di dunia. Tetapi Allah ‎ﷻ menguji makhluk dengan perkara yang semua makhluk boleh buat. Allah ‎ﷻ menguji dengan hukum Dia yang boleh diikuti, tetapi ada yang boleh ikut dan ada yang tidak boleh ikut.

 

فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ

maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. 

Maka apabila masing-masing umat ada syariat, tujuannya bukan hendak membandingkan mana syariat yang lebih bagus, tetapi Allah ‎ﷻ hendak lihat siapa yang boleh buat paling banyak kebaikan, iaitu siapa yang buat lagi banyak dan lagi baik. Maka berlumbalah untuk buat kebajikan. Ingatlah yang kita datang sekali sahaja di dunia, maka jangan lepaskan peluang ini.

Amal sahajalah syariat itu. Dan jangan kacau kerja Tuhan dan jangan kritik syariat yang telah ada. Belajarlah apa yang telah tertulis dalam syariat. Dan jangan tambah-tambah syariat yang telah lengkap itu.

 

إِلَى اللهِ مَرجِعُكُم جَميعًا

Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya,

Ingatlah yang kita tidak pergi ke tempat lain tetapi akan tetap mengadap Allah ‎ﷻ. Waktu itu kita datang dengan membawa amal-amal kita ke akhirat. Adakah kita rasa cukup dengan amal kebaikan yang kita telah lakukan? Adakah kita berani hendak mengamalkan perkara yang di luar syariat? Apa yang kita hendak jawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti kalau begitu?

 

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,

Semasa di dunia, kita ada banyak perselisihan. Ada yang tidak bersetuju dengan apa yang telah disampaikan kepada mereka. Mereka rasa tidak puas hati apabila apa yang mereka lakukan dikatakan salah (atau dikatakan sebagai bid’ah). Marah betul manusia apabila amalan mereka ditegur. Maka Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, yang semuanya akan dihadapkan kepada-Nya dan Dia akan cerita semula perselisihan kita itu. Allah ‎ﷻ akan memberi penghakiman mana yang benar dan tidak benar.

Akan tetapi kalau waktu itu baru tahu amalan itu salah rupanya, itu sudah terlambat kerana tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Di sana bukan masa untuk buat pembetulan, tetapi sudah tiba masa untuk dihakimi sahaja. Maka, semasa di dunia, hendaklah kita pastikan apa yang kita lakukan itu adalah benar dan bukan hanya buat tanpa ada dalil. Kerana apa kita hendak jawab depan Allah ﷻ nanti kalau apa yang kita telah lakukan selama di dunia dahulu rupanya tidak ada dalil?

Mana kita boleh tahu mana benar dan tidak? Maka hendaklah dirujuk kepada wahyu. Allah ‎ﷻ telah memberikan wahyu, bukan? Jadi apa alasan kalau kita kata tidak tahu?


 

Maidah Ayat 49:

وَأَنِ احكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم وَاحذَرهُم أَن يَفتِنوكَ عَن بَعضِ ما أَنزَلَ اللهُ إِلَيكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَاعلَم أَنَّما يُريدُ اللهُ أَن يُصيبَهُم بِبَعضِ ذُنوبِهِم ۗ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ لَفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And judge, [O Muḥammad], between them by what Allāh has revealed and do not follow their inclinations and beware of them, lest they tempt you away from some of what Allāh has revealed to you. And if they turn away – then know that Allāh only intends to afflict them with some of their [own] sins. And indeed, many among the people are defiantly disobedient.

(MALAY)

dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

 

وَأَنِ احكُم بَينَهُم بِما أَنزَلَ اللهُ

dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah,

Ini adalah suruhan Allah ‎ﷻ kepada manusia untuk berhukum dengan hukum Allah ‎ﷻ. Ayat seperti ini berulang-ulang dalam Surah Maidah kerana waktu surah ini diturunkan, Islam sudah ada negara dan kena ada hukum untuk menguruskan manusia.

 

وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. 

Nabi Muhammad ﷺ diingatkan untuk berpegang dengan hukum yang ada dalam Al-Qur’an dan jangan ikut hawa nafsu mereka yang tidak mahu kepada kebenaran. Ada ramai manusia yang cuba hendak memesongkan diri mereka daripada undang-undang yang sebenar. Maka kita hendaklah berpaling daripada mereka dan jangan ikut mereka.

Dalam kes Yahudi, mereka hendak mengubah pendirian Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata mereka itu ketua golongan Yahudi dan kalau mereka masuk Islam, akan ramai yang akan masuk Islam sekali dengan mereka. Mereka bersedia untuk ikut Nabi kalau baginda ikut kehendak mereka di dalam menentukan satu penghakiman seperti yang mereka hendak. Maka kerana itu Allah‎ ﷻ tekankan kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan diikut hawa nafsu mereka.

 

وَاحذَرهُم أَن يَفتِنوكَ عَن بَعضِ ما أَنزَلَ اللهُ إِلَيكَ

Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. 

Allah ‎ﷻ ingatkan kepada Nabi ﷺ dan kepada kita juga, untuk berwaspadalah dengan mereka. Mereka itu kalau boleh hendak menggelincirkan kita dengan bertanyakan pelbagai perkara yang telah diturunkan dalam wahyu. Kalau kita terikut dengan mereka, ia boleh melupakan kita daripada syariat sebenar.

Ramai musuh Islam yang cuba hendak merosakkan iman kita. Cara yang mereka gunakan, mereka akan banyak tanya sebab hendak mengenakan kita, hendak menjerat kita dengan soalan-soalan mereka. Mereka akan tanya banyak soalan dan mungkin daripada seratus soalan itu, terdapat satu soalan yang kita tidak boleh jawab. Jadi mereka kata kita sudah kalah. Padahal satu sahaja yang tidak dapat jawab.

 

فَإِن تَوَلَّوا فَاعلَم أَنَّما يُريدُ اللهُ أَن يُصيبَهُم بِبَعضِ ذُنوبِهِم

Jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka.

Allah ‎ﷻ memberi ancaman, sekiranya mereka berpaling daripada mengikut keputusan wahyu, maka ketahuilah yang Allah ‎ﷻ akan mengazab mereka. Yakinlah tentang perkara ini.

Allah‎ ﷻ akan menimpakan mereka dengan musibah, kesan daripada sebahagian dosa yang telah mereka lakukan di dunia. Di dunia lagi mereka akan dikenakan musibah dan di akhirat kelak mereka akan dikenakan dengan azab neraka. Begitulah, zaman berzaman ada sahaja yang meninggalkan Islam. Kita tidak perlu hairan kerana Allah ‎ﷻ telah jelaskan dalam ayat ini.

Mereka itu keluar Islam kerana mereka itu telah ditakdirkan akan diazab oleh Allah ‎ﷻ. Mereka sendiri yang menolak syariat yang Allah ‎ﷻ telah sediakan. Mereka ragu-ragu dengan hukum yang Allah‎ ﷻ telah gariskan kerana mereka semenjak asal lagi tidak kisah dengan hukum-hukum itu.

Sebagai contoh, mereka akan mempersoalkan Hukum Hudud sehinggakan mereka merasakan agama Islam ini tidak benar kerana memberikan hukum yang mereka rasa tidak sesuai dengan zaman sekarang.

Kesesatan mereka itu sebenarnya telah direncanakan oleh takdir Allah ‎ﷻ dan dalam kebijaksanaan-Nya terhadap mereka, iaitu Dia hendak memalingkan mereka dari jalan hidayah disebabkan dosa-dosa mereka yang terdahulu yang menyebabkan kesesatan dan pembangkangan mereka.

 

وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ لَفٰسِقونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

Sedarlah yang kebanyakan manusia itu bersifat fasik. Lebih ramai yang tidak beriman daripada yang beriman. ‘Fasik’ maksudnya derhaka kepada Allah ‎ﷻ. Dan memang mereka itu ramai lagi daripada orang yang beriman, jadi jangan ikut suara majoriti. Kadang-kadang kita terikut-ikut dengan suara majoriti sampaikan kita pun terjerumus juga. Ada orang kita kata: “Tapi ramai sahaja orang buat?” Ini adalah hujah yang lemah sangat kerana kita bukannya kena ikut majoriti, sebaliknya kita kena ikut yang benar.

Ingatlah yang mereka yang duduk dalam Islam pun ramai yang masuk neraka. Ini berlaku kalau mereka tidak mahu menggunakan syariat daripada Al-Qur’an. Memang begitulah Allah ‎ﷻ sudah sebut seperti di dalam ayat ini. Walaupun mereka itu mengaku Muslim kerana tidak semestinya kalau mereka mengaku Muslim mereka akan terus beriman atau terus mengikut lunas-lunas agama Islam.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Jun 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s