Tawbah Ayat 12:
وَإِن نَّكَثوا أَيمٰنَهُم مِّن بَعدِ عَهدِهِم وَطَعَنوا في دينِكُم فَقٰتِلوا أَئِمَّةَ الكُفرِ ۙ إِنَّهُم لا أَيمٰنَ لَهُم لَعَلَّهُم يَنتَهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if they break their oaths after their treaty and defame your religion, then fight the leaders of disbelief, for indeed, there are no oaths [sacred] to them; [fight them that] they might cease.
(MALAY)
Jika mereka memutuskan sumpah (janji) sesudah mereka berjanji, dan mereka mencerca agamamu, maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang (yang tidak dapat dipegang) janjinya, agar supaya mereka berhenti.
وَإِن نَّكَثوا أَيمٰنَهُم مِّن بَعدِ عَهدِهِم
Jika mereka memutuskan sumpah (janji) sesudah mereka berjanji,
Inilah yang perlu dilakukan sekiranya puak Musyrikin itu memungkiri perjanjian mereka dengan pihak Muslim. Ini jikalau ada terma-terma dalam perjanjian yang tidak dipenuhi atau mereka belot dalam perjanjian itu.
وَطَعَنوا في دينِكُم
dan mereka mencerca agamamu,
Apabila mereka sanggup mencela agama Islam. Mereka mengatakan sesuatu yang menyakiti agama Islam atau umat Islam. Padahal mereka sepatutnya telah membuat perjanjian dengan umat Islam tetapi mereka berkata buruk pula tentang Islam. Ini tidak patut.
Namun adakah non-Muslim tidak boleh mengkritik Islam? Ada pendapat yang mengatakan ini normal sahaja, terutama sekali jika ada yang membuat kajian, maka mungkin dia mendapati ada perkara yang mereka tidak setuju dan mereka kritik. Akan tetapi yang menjadi penyebab pemutusan perjanjian dengan mereka adalah kalau mereka ‘fitnah’ Islam. Iaitu mengatakan sesuatu yang tidak ada dalam Islam dan mereka kutuk. Ini yang tidak dibenarkan dan tidak dapat diterima.
Sekiranya mereka membuat dua perkara ini, apa yang perlu kita sebagai umat Islam lakukan?
فَقٰتِلوا أَئِمَّةَ الكُفرِ
maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir itu,
Allah ﷻ kata maka hendaklah umat Islam memerangi ketua-ketua kafir itu. Ini adalah kerana yang membuat onar itu adalah ketua-ketua mereka yang membuat perjanjian itu. Sedangkan orang-orang bawahan selalunya mengikut sahaja.
Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah menyerang Mekah. Misi Nabi Muhammad ﷺ adalah untuk membasmi kesyirikan. Kepala syirik waktu itu ada di Mekah kerana di situlah diletakkan segala jenis berhala dan dijaga oleh puak Quraish. Maka memang patutlah mereka diserang.
Qatadah dan lain-lainnya mengatakan, yang dimaksudkan dengan أَئِمَّةَ الكُفرِ (aimmatal kufri) atau ‘para pemimpin orang-orang kafir’ ialah seperti Abu Jahal, Atabah, Syaibah, Umayyah ibnu Khalaf, serta sejumlah pemuka Quraisy lainnya.
Disebutkan daripada Mus’ab ibnu Sa’d ibnu Abu Waqqas, bahawa Sa’d ibnu Abu Waqqas bersua dengan seorang lelaki dalam kalangan Khawarij. Maka orang Khawarij itu berkata, “”Orang ini termasuk aimmatul kufri.” Sa’d menjawab, “Kamu dusta, bahkan aku telah memerangi aimmatal kufri.” Atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Murdawaih.
Akan tetapi pendapat yang sahih ialah yang mengatakan bahawa makna ayat ini adalah umum, sekalipun penyebab turunnya (asbabun nuzul) berkaitan dengan orang-orang musyrik dalam kalangan Quraisy, namun tidaklah terhad untuk mereka sahaja. Untuk itu, makna ayat ini mencakupi orang-orang kafir Quraisy dan lain-lainnya.
Abdur Rahman ibnu Jubair ibnu Nafir berkata, ketika beliau di masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ, Khalifah Abu Bakar رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ telah mengirimkan pasukannya ke negeri Syam dan berpesan kepada pasukannya, “Sesungguhnya kalian akan menjumpai suatu kaum yang kepalanya berlubang. Maka pukullah dengan pedang tempat berakal umbinya syaitan pada mereka. Demi Allah, sesungguhnya membunuh seseorang daripada mereka lebih aku sukai daripada membunuh tujuh puluh orang dalam kalangan selain mereka. Demikian itu kerana Allah ﷻ berfirman: maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir. (At-Tawbah: 12).” Atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim.
Oleh itu, sekiranya ada kriteria yang sama seperti yang ada para kafir Quraish itu, maka bolehlah mereka itu diperangi.
إِنَّهُم لا أَيمٰنَ لَهُم
kerana sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang (yang tidak dapat dipegang) janjinya,
Mereka itu mesti diserang dan dikalahkan kerana sesungguhnya mereka itu golongan yang tidak boleh berpegang pada janji. Mereka tidak menghargai janji yang mereka telah bersumpah padanya. Kata-kata mereka sebenarnya tidak ada nilai kerana mereka tidak ada etika. Mereka jenis yang suka memutuskan perjanjian.
Namun di dalam ayat ini digunakan kalimah jamak iaitu أَيمٰنَ (perjanjian-perjanjian). Ia merujuk kepada janji mereka dan juga janji kita juga. Ia bermaksud jikalau mereka memutuskan perjanjian, maka kita pun berhak memutuskan perjanjian dengan mereka juga. Tidak ada lagi gencatan senjata dengan mereka lagi. Mereka tidak berpegang dengan janji, maka kita pun tidak perlu memenuhi janji kita dengan mereka.
لَعَلَّهُم يَنتَهونَ
agar supaya mereka berhenti.
Mudah-mudahan dengan diserang mereka itu, mereka berhenti daripada melakukan kejahatan lagi. Mereka itu jenis yang tidak faham bahasa dan kalau tidak ditunjukkan dengan cara perang, ditundukkan dengan pedang, mereka tidak akan berhenti. Inilah sahaja cara untuk memberhentikan mereka.
Maka ini mengajar kita yang tujuan jihad bukanlah untuk membunuh, merampas tanah orang lain. Akan tetapi tujuan jihad adalah untuk memberi kesedaran. Yang mana kita boleh selamatkan, kita selamatkan. Mungkin para pemimpin mereka tidak akan terima Islam, tetapi rakyatnya masih ada harapan lagi.
Tawbah Ayat 13: Ayat targhib (ajakan) kepada jihad qital.
أَلا تُقٰتِلونَ قَومًا نَّكَثوا أَيمٰنَهُم وَهَمّوا بِإِخراجِ الرَّسولِ وَهُم بَدَءوكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ أَتَخشَونَهُم ۚ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخشَوهُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Would you not fight a people who broke their oaths and determined to expel the Messenger, and they had begun [the attack upon] you the first time? Do you fear them? But Allāh has more right that you should fear Him, if you are [truly] believers.
(MALAY)
Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosak sumpah, dan mereka telah keras berkemahuan untuk mengusir Rasul dan merekalah yang pertama memulai memerangi kamu? Mengapakah kamu takut kepada mereka padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
أَلا تُقٰتِلونَ قَومًا نَّكَثوا أَيمٰنَهُم
Mengapakah kamu tidak memerangi orang-orang yang merosak sumpah,
Allah ﷻ tanya kepada umat Islam, kenapakah mereka tidak berperang dengan golongan yang telah memungkiri janji perdamaian? Kenapa masih lagi hendak memberi peluang kepada mereka? Belot kepada perjanjian itu adalah perkara yang amat berat.
وَهَمّوا بِإِخراجِ الرَّسولِ
dan mereka telah keras berkemahuan untuk mengusir Rasul
Allah ﷻ mengingatkan puak mukmin bahawa puak Musyrikin Mekah itulah berkeinginan sungguh untuk menghalau keluar Nabi Muhammad ﷺ dari bumi Mekah dulu. Adakah mereka sudah lupa?
Bukan mereka sahaja akan tetapi puak Yahudi pun telah membuat rancangan untuk mengeluarkan Rasulullah ﷺ dari Madinah.
Ada juga pendapat yang mengatakan ini adalah usaha pihak Musyrikin Mekah setelah Islam menakluk Mekah. Ada yang telah lari ke Taif dan membuat rancangan untuk mengeluarkan baginda untuk kali kedua. Kerana itulah ada Perang Hunain.
Maka apabila mereka membuat rancangan sahaja mereka sudah mendapat dosa kerana mereka sudah ada kehendak itu. Ini seperti golongan ashabul jannah (pemilik kebun) di dalam Surah Qalam. Mereka itu baru sahaja membuat perancangan tidak mahu sedekah kepada golongan miskin dan kerana itu Allah ﷻ telah memusnahkan kebun mereka. Kisah mereka boleh dilihat dari ayat 17 dan seterusnya daripada surah itu.
وَهُم بَدَءوكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ
dan merekalah yang pertama memulai memerangi kamu?
Allah ﷻ mengingatkan mereka yang Musyrikin Mekah itulah yang telah memulakan memerangi Rasulullah ﷺ dan umat Muslim semasa mula-mula dahulu lagi masa di Mekah. Padahal waktu itu para sahabat hanya hendak mengamalkan Islam dengan aman. Namun pihak Quraisy telah menindas dan menyeksa mereka.
Juga merekalah yang mula hendak berperang dengan pihak Muslim di Badr dahulu. Ini kerana asalnya pihak Muslim hanya hendak menangkap kafilah Abu Sufyan, bukannya hendak berperang. Namun Musyrikin Mekah yang membuat keputusan untuk datang ke Badr dengan ketumbukan tentera yang ramai untuk memusnahkan umat Islam. Mereka lihat ini adalah peluang untuk memusnahkan terus ancaman daripada Nabi Muhammad ﷺ dan pengikutnya.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ senaraikan satu persatu kesalahan Musyrikin Mekah itu. Itulah sebabnya susah sekiranya kita hanya membaca ayat-ayat ini secara umum. Ini kerana jika hendak menyerang puak kafir, itu hanya boleh dilakukan sekiranya mereka telah membuat kesalahan seperti yang telah disebutkan ini.
Maka jikalau ada pelampau Muslim yang hendak menggunakan ayat-ayat ini untuk bom, membunuh orang kafir tanpa usul periksa, bagaimana agaknya mereka terjemah ayat-ayat ini? Apakah mereka nampak perkataan ‘bunuh’ sahaja tanpa nampak syarat-syarat yang telah disenaraikan?
أَتَخشَونَهُم
Adakah kamu takut kepada mereka?
Allah ﷻ soal mereka: sama ada mereka masih takut kepada puak Musyrikin itu? Adakah takut sampai tidak berani untuk menyerang mereka?
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخشَوهُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
Allah ﷻ kata jika benarlah mereka ada rasa takut kepada musyrikin itu, itu tidak patut. Ini kerana Allah ﷻlah yang berhak ditakuti. Itu pun sekiranya mereka benar-benar beriman. Jika mereka mengaku beriman, maka mereka mestilah takut lebih kepada Allah ﷻ. Jangan kerana takut kepada selain Allah ﷻ menghalang kita daripada menjalankan apa yang kita patut lakukan.
Tawbah Ayat 14: Sekarang Allah ﷻ memberikan semangat kepada orang-orang mukmin sambil menjelaskan hikmah yang terkandung di dalam perintah-Nya yang mensyariatkan mereka untuk berjihad, padahal Allah ﷻ sendiri mampu menghancurkan musuh-musuh-Nya dengan perintah dari sisi-Nya. Akan tetapi Allah ﷻ beri peluang berjihad kepada umat Islam.
قٰتِلوهُم يُعَذِّبهُمُ اللَّهُ بِأَيديكُم وَيُخزِهِم وَيَنصُركُم عَلَيهِم وَيَشفِ صُدورَ قَومٍ مُّؤمِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Fight them; Allāh will punish them by your hands and will disgrace them and give you victory over them and satisfy the breasts [i.e., desires] of a believing people
(MALAY)
Perangilah mereka, nescaya Allah akan menghancurkan mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman.
قٰتِلوهُم
Perangilah mereka,
Oleh kerana hujah-hujah yang telah disampaikan dalam ayat-ayat sebelum ini, maka hendaklah umat Islam memerangi puak musyrikin itu. Jangan fikir banyak lagi kerana ada kelebihan dalam peperangan itu yang akan disebut selepas ini.
يُعَذِّبهُمُ اللَّهُ بِأَيديكُم
nescaya Allah akan menghancurkan mereka dengan tangan-tanganmu
1. Ini adalah kelebihan pertama. Allah ﷻ akan mengazab orang-orang kafir itu dengan tangan umat Islam sendiri. Allah ﷻ memang boleh mengazab mereka dengan cara-cara lain seperti gempa bumi, taufan dan sebagainya. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk memusnahkan mereka.
Akan tetapi Allah ﷻ telah memilih untuk mengazab mereka dengan pedang umat Islam sendiri. Dengan memberi kelebihan itu, umat Islam yang selama itu telah ditindas oleh Musyrikin Mekah itu dapat membalas dendam kepada mereka. Ada kelebihan dan kepuasan bila dapat membalas dengan tangan sendiri.
وَيُخزِهِم
dan Allah akan menghinakan mereka
2. Ini pula adalah kelebihan kedua: Allah ﷻ akan hinakan mereka, kerana mereka tidak akan menang apabila berlawan dengan puak Islam dan kerana itu mereka akan dihinakan semasa di dunia lagi. Kemudian sudah tentu mereka akan dihinakan di akhirat kelak.
وَيَنصُركُم عَلَيهِم
dan menolong kamu terhadap mereka,
3. Kelebihan ketiga. Jika berperang dengan musyrikin itu, Allah ﷻ akan memberi bantuan kepada umat Islam dan dengannya akan memberi kemenangan kepada umat Islam.
وَيَشفِ صُدورَ قَومٍ مُّؤمِنينَ
serta melegakan hati orang-orang yang beriman.
4. Kelebihan keempat. Dengan perang itu, Allah ﷻ akan melegakan hati-hati yang panas daripada golongan mukmin. Ini adalah kerana dulu umat Islam diganggu, ditindas, diseksa, dicaci dan sebagainya. Ini tentunya menyebabkan umat Islam panas hati dan jika tidak boleh buat sendiri, bunuh sendiri pihak yang telah menyakiti mereka dulu, mereka akan terus bengkak hati mengenangkan semua kejadian itu.
Maka Allah ﷻ berikan kesenangan hati itu kepada orang mukmin sebab dapat membalas sendiri dengan tangan mereka. Ada kepuasan dan kelegaan hati kalau begitu.
Tawbah Ayat 15:
وَيُذهِب غَيظَ قُلوبِهِم ۗ وَيَتوبُ اللَّهُ عَلىٰ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And remove the fury in their [i.e., the believers’] hearts. And Allāh turns in forgiveness to whom He wills; and Allāh is Knowing and Wise.
(MALAY)
dan menghilangkan panas hati orang-orang mukmin. Dan Allah menerima taubat orang yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
وَيُذهِب غَيظَ قُلوبِهِم
dan menghilangkan panas hati orang-orang mukmin.
5. Dan ini pula adalah kelebihan kelima. Dengan perang itu juga Allah ﷻ menghilangkan kemarahan dan panas hati puak Islam yang telah ditindas dahulu. Ini kerana mereka dapat membunuh sendiri orang yang menentang dan menindas mereka dahulu.
وَيَتوبُ اللَّهُ عَلىٰ مَن يَشاءُ
Dan Allah menerima taubat orang yang dikehendaki-Nya.
6. Akhir sekali adalah kelebihan keenam. Walaupun Musyrikin Mekah itu telah banyak melakukan kesalahan, tetapi Allah ﷻ boleh memberi taufik kepada mereka untuk masuk Islam dan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ini boleh berlaku setelah mereka yang bukan Islam itu melihat umat Islam di pihak yang benar kerana menang dalam peperangan.
Sebagai contoh mereka yang dibukakan hati adalah Abu Sufyan sendiri, ketua puak Quraish. Beliau telah masuk Islam kerana melihat kebenaran yang ada pada Islam dan beliau telah menjadi Muslim yang baik. Manakala ada banyak lagi Musyrikin Mekah yang masuk Islam. Hanya beberapa orang sahaja yang keras hati tidak mahu.
وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ
Allah maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ maha mengetahui apa yang ada dalam hati manusia; dan Allah ﷻ penuh hikmah. Antara hikmah Allah ﷻ adalah Allah ﷻ menangguh beri azab kepada manusia yang ingkar – Allah ﷻ tidak terus membunuh mereka kerana Allah ﷻ memberi kesempatan kepada mereka untuk beriman.
Kalaulah Allah ﷻ terus memberi azab dengan mematikan mereka, tentulah mereka tidak ada peluang begitu. Akan tetapi Allah ﷻ telah banyak memberi peluang kepada manusia. Sebagaimana Allah ﷻ juga telah memberi kesempatan kepada kita untuk beriman walaupun dulu kita telah banyak melakukan kesalahan dan dosa.
Tawbah Ayat 16: Ayat zajrun (teguran). Apabila umat Islam diganggu oleh kafir harbi dan kita tidak membuat apa-apa, jangan sangka yang kita bebas daripada tuntutan Allah ﷻ.
أَم حَسِبتُم أَن تُترَكوا وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَلَم يَتَّخِذوا مِن دونِ اللَّهِ وَلا رَسولِهِ وَلَا المُؤمِنينَ وَليجَةً ۚ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Do you think that you will be left [as you are] while Allāh has not yet made evident those among you who strive [for His cause] and do not take other than Allāh, His Messenger and the believers as intimates? And Allāh is Acquainted with what you do.
(MALAY)
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
أَم حَسِبتُم أَن تُترَكوا
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan,
Ini adalah khitab kepada orang mukmin. Adakah kamu sangka kamu dibiarkan begitu sahaja, tidak disyariatkan jihad perang? Adakah kamu sangka kamu boleh duduk goyang kaki sahaja atas muka bumi dan tidak diuji dengan jihad? Adakah kamu sangka mudah-mudah sahaja masuk syurga?
وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم
sedang Allah belum mengetahui orang-orang yang berjihad di antara kamu
Bagaimana kamu tidak disyariatkan dengan jihad qital, sedangkan belum nyata kepada Allah ﷻ siapakah di antara kamu yang berjuang dalam peperangan. Jihad dalam ayat ini adalah jihad perang, kerana ada jenis jihad lisan sahaja.
Allah ﷻ bukanlah tidak tahu hati manusia mana yang beriman. Maka dalam ayat ini, bukanlah Allah ﷻ tidak tahu, tetapi Allah ﷻ hendak menyatakan kepada manusia lain siapakah orang yang benar-benar beriman. Untuk menyatakan siapakah yang sanggup berjuang, maka kenalah ada ujian dalam peperangan. Ini adalah daripada keadilan Allah ﷻ. Allah ﷻ memberi peluang kepada manusia untuk menzahirkan iman mereka.
Begitulah para sahabat telah diuji di Mekah semasa mereka lemah dan tidak boleh membalas serangan musyrikin, dan sekarang mereka diuji setelah berhijrah ke Madinah, dengan arahan perang. Inilah ujian yang mereka kena lalui, sama ada mereka taat atau tidak kepada Allah ﷻ.
وَلَم يَتَّخِذوا مِن دونِ اللَّهِ وَلا رَسولِهِ وَلَا المُؤمِنينَ وَليجَةً
dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.
Bagaimana mungkin mereka tidak diuji, selagi belum belum nyata, siapakah umat Islam yang hanya menjadikan Allah ﷻ dan rasul dan orang mukmin sebagai teman rapat. Orang mukmin tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai teman rapat. Kena jadikan teman rapat itu hanya Allah ﷻ, Rasulullah dan orang mukmin yang lain.
Hanya apabila ada perang baru tahu yang dalam kalangan umat Islam itu tidak ada teman rapat dengan orang kafir. Bila ada perang baru tahu siapakah umat Islam yang setia kepada Allah ﷻ, Rasul dan orang mukmin sahaja.
Ini kerana jika tidak ada perang, ada golongan munafik dalam lingkungan orang Muslim yang menyembunyikan kekufuran mereka. Mereka nampak sahaja hidup dalam suasana Islam, tetapi mereka menjadikan orang kafir sebagai teman rapat mereka. Dengan adanya syariat perang, baru tahu siapa yang munafik. Baru belang mereka dinampakkan. Akan nampak bagaimana golongan munafik sebenarnya berpihak kepada orang kafir.
Lafaz وَليجَةً berasal daripada katadasar و ل ج yang bermaksud ‘memasuki’. Ia adalah salah satu lafaz yang digunakan untuk bermaksud ‘kawan’. Mereka itu adalah jenis kawan yang amat rapat, sampaikan hal-hal peribadi kawan mereka itu pun mereka boleh masuk, iaitu masuk ke dalam hati mereka.
Maka daripada ayat ini kita dapat tahu yang kita masuk syurga bukanlah dengan menyempurnakan ibadat-ibadat sahaja. Akan tetapi kita perlu menerima ujian daripada Allah ﷻ dan sabar dengan segala ujian itu.
وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Allah ﷻ tahu segala perbuatan manusia. Sama ada mereka lakukan secara sembunyi atau secara zahir. Oleh itu Allah ﷻ tahu siapakah yang mukmin dan siapakah yang munafik. Namun manusia tidak tahu – oleh itu untuk menzahirkan siapakah yang mukmin dan siapa yang tidak, maka kenalah ada syariat perang.
Tawbah Ayat 17: Perkara kedua yang dikatakan menghalang berperang adalah amalan orang kafir Mekah itu. Kita pun tahu yang mereka pun ada buat ibadat juga, mereka mengimarahkan MasjidilHaram, menjaga Kaabah, mereka selalu tawaf Kaabah, memberi makan orang yang datang ke Kaabah dan sebagainya.
Oleh kerana itu ada yang berhujah, kenapa mahu memerangi mereka sedangkan mereka juga ada buat perkara yang baik? Allah ﷻ kata amalan mereka itu tidak diterima kerana mereka syirik belaka.
ما كانَ لِلمُشرِكينَ أَن يَعمُروا مَسٰجِدَ اللَّهِ شٰهِدينَ عَلىٰ أَنفُسِهِم بِالكُفرِ ۚ أُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم وَفِي النّارِ هُم خٰلِدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
It is not for the polytheists to maintain the mosques of Allāh [while] witnessing against themselves with disbelief. [For] those, their deeds have become worthless, and in the Fire they will abide eternally.
(MALAY)
Tidaklah layak orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah, sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir. Itulah orang-orang yang sia-sia amal mereka, dan mereka kekal di dalam neraka.
ما كانَ لِلمُشرِكينَ أَن يَعمُروا مَسٰجِدَ اللَّهِ
Tidaklah layak orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah,
Walaupun ayat ini dalam bentuk jamak (masjid-masjid), namun yang utama dimaksudkan adalah MasjidilHaram. Secara umumnya pula ia merujuk kepada mana-mana masjid di dunia ini.
Memang orang kafir Mekah itu ada beribadat dan menjaga MasjidilHaram. Akan tetapi tidak layak bagi orang yang berakidah syirik mengimarahkan masjid Allah ﷻ sebab masjid Allah ﷻ adalah untuk orang tauhid sahaja.
Tujuan umat Islam menakluk Mekah adalah untuk membersihkan Kaabah dan sekitarnya daripada amalan kesyirikan yang telah diamalkan sekian lama. Bukan MasjidilHaram sahaja, malah mana-mana masjid di dunia ini juga perlu dibersihkan daripada perbuatan syirik.
Namun begitu, ia tidaklah terus dijalankan. Apabila umat Islam menakluk Mekah, segala berhala di sekitarnya telah dimusnahkan. Akan tetapi masih terdapat lagi golongan musyrik yang dibenarkan untuk melakukan ibadah mereka di Kaabah. Tentunya mereka melakukan ibadah tawaf itu dengan cara mereka yang salah.
Maka pembersihan Kaabah belum lengkap lagi dengan hanya membuang berhala-berhala itu. Ia hanya lengkap apabila golongan musyrik dihalang daripada mengerjakan tawaf di Kaabah. Akan tetapi ini tidak dijalankan dengan segera kerana sudah ada perjanjian damai dengan sebahagian daripada golongan musyrik itu. Larangan itu hanya diberikan setahun selepas penaklukan Mekah. Ia dilakukan semasa pengumuman yang telah disebut di dalam permulaan surah ini.
Di dalam pengumuman itu, manusia diberitahu yang selepas itu, amalan syirik dalam ibadah, tawaf dan Haji tidak dibenarkan lagi. Mereka juga tidak dibenarkan lagi untuk tawaf telanjang. Ini seperti disebut dalam hadith:
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ قَالَ يُونُسُ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ حَدَّثَنِي حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ أَخْبَرَهُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بَعَثَهُ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي أَمَّرَهُ عَلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ حَجَّةِ الْوَدَاعِ يَوْمَ النَّحْرِ فِي رَهْطٍ يُؤَذِّنُ فِي النَّاسِ أَلَا لَا يَحُجُّ بَعْدَ الْعَامِ مُشْرِكٌ وَلَا يَطُوفُ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ
Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair telah menceritakan kepada kami Al Laits berkata, Yunus berkata, Ibnu Syihab telah menceritakan kepada saya Humaid bin ‘Abdurrahman bahawa Abu Hurairah رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ mengabarkan kepadanya bahawa Abu Bakar As-Sidiq رَضِيَ ٱللَّٰهُ عَنْهُ mengutusnya dalam urusan yang beliau diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ sebelum haji wada’ pada hari Nahar dalam satu rombongan kecil untuk mengumumkan kepada manusia bahawa; “Setelah tahun ini tidak boleh seorang musyrik pun yang melaksanakan haji dan tidak boleh tawaf di Kaabah dengan telanjang”.
(Sahih Bukhari (1517))
Golongan Musyrikin itu sangka perbuatan mereka yang salah itu adalah benar. Mereka sangka itulah agama. Begitulah juga fahaman golongan bid’ah di negara ini. Mereka sangka amalan mereka itu benar sedangkan tidak. Syaitan telah menampakkan cantik sahaja amalan mereka itu.
Golongan Musyrikin juga sangka yang mereka itu telah melakukan khidmat yang besar di MasjidilHaram dengan menjaganya, meramaikan pendatang Kaabah dan menyambut orang-orang luar yang datang dengan memberi minum. Maka di dalam ayat ini Allah ﷻ menegaskan yang orang yang musyrik tidak layak memakmurkan mana-mana masjid Allah ﷻ. Ini adalah kerana masjid adalah tempat untuk mentauhidkan Allah ﷻ, maka memang tidak kena langsung sekiranya di situ juga Allah ﷻ disyirikkan.
Kalimah imarah berasal daripada katadasar ع م ر yang bermaksud menghuni, membaiki, bina, mempromosi, menjadikan sesuatu tempat itu boleh didiami, melawat di dalam rangka ibadah, meramaikan, kehidupan, umur, selalu mendatangi sesuatu tempat. Daripada katadasar inilah kita menggunakannya untuk umur dan juga Umrah.
Maka, apa maksud ‘imarah’? Ia mempunyai banyak maksud. Dari segi tempat/bangunan itu, membina dan menyiapkan tempat itu secara fizikal supaya orang lain boleh datang kepadanya. Kemudian apabila ia sudah ada, maka ini meliputi penjagaan tempat itu, membersihkan dan membekalkan apa yang perlu. Kemudian ia meliputi juga elemen manusia untuk merujuk kepada golongan manusia yang datang kepadanya dalam rangka ibadah. Kerana itulah Umrah dinamakan begitu kerana kita datang ke Kaabah dan sekitarnya untuk melakukan ibadah.
Oleh sebab itu, imarah mengandungi elemen tempat, penjagaan dan meramaikan tempat itu. Musyrikin Mekah sangka mereka telah membuat ketiga-tiganya dan mereka berjasa besar. Sebab itu mereka merasakan yang mereka mendapat pertolongan dan perlindungan Allah ﷻ dan disayangi oleh Allah ﷻ kerana ‘khidmat’ mereka ini. Allah ﷻ kata di sini dan di banyak tempat bahawa khidmat mereka itu tidak bernilai langsung di sisi Allah ﷻ.
شٰهِدينَ عَلىٰ أَنفُسِهِم بِالكُفرِ
sedang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir.
Mereka tidak layak, dan mereka pun mengaku yang mereka kufur kepada Allah ﷻ. Mereka tahu mereka membuat syirik kepada Allah ﷻ kerana dengan jelas mereka menyeru dan menyembah selain Allah ﷻ. Cuma pada mereka, apa yang mereka lakukan itu tidak salah pada mata mereka.
Memang mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir, yakni keadaan dan ucapan mereka mengungkapkan kekafiran mereka. As-Saddi telah mengatakan, “Seandainya anda tanyakan kepada seorang Nasrani, ‘Apakah agamamu?’ Nescaya dia menjawab, ‘Nasrani.’ Dan seandainya anda tanyakan kepada seorang Yahudi, ‘Apakah agamamu?’ Nescaya dia menjawab. ‘Yahudi.’ Manakala terhadap orang Sabiin, nescaya dia menjawab bahawa dia adalah pemeluk agama sabiah, dan terhadap orang musyrik dia akan menjawab sebagai seorang musyrik.”
Begitulah juga ramai dalam kalangan umat Islam yang mengaku beriman, tetapi membuat perkara syirik, termasuk di masjid Allah ﷻ pun. Mereka menyeru-nyeru selain Allah ﷻ, melakukan tawasul, minta berkat daripada Nabi dan wali yang telah mati dan sebagainya. Dengan jelas mereka melakukan perkara itu. Kalau kita tegur mereka dan kata itu adalah amalan syirik, mereka tidak mengaku.
أُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم
Itulah orang-orang yang sia-sia amal mereka,
Segala amalan baik Musyrikin Mekah itu gugur, tidak sah untuk diangkat ke langit. Walaupun mereka membuat kebaikan seperti menjaga Kaabah, mengerjakan Haji dan sebagainya, namun semua amalan itu tidak laku untuk dinilai. Oleh kerana itu, tidak salah jika puak mukmin memerangi mereka. Maka, jangan jadikan alasan yang Musyrikin Mekah itu adalah penjaga Kaabah sebagai penghalang untuk menyerang mereka.
Begitulah juga dengan umat Islam kita sekarang. Jika mereka ada fahaman dan amalan syirik, segala amalan baik mereka tidak ada nilai, hilang begitu sahaja. Ini kerana untuk amalan baik dikira pahalanya, kenalah beriman sempurna, tanpa melakukan syirik.
وَفِي النّارِ هُم خٰلِدونَ
dan mereka kekal di dalam neraka.
Puak musyrikin itu akan kekal dalam neraka. Amat rugi sekali bagi mereka, sudah susah-susah buat amalan kebaikan, tetapi akhirnya kekal dalam neraka. Oleh itu, jangan rasa bersalah untuk memerangi dan membunuh mereka, kerana mereka akan dibakar dalam neraka pun. Memang itulah tempat tujuan mereka.
Inilah balasan kepada orang yang mengamalkan syirik. Walaupun namanya Islam, memakai jubah, serban dan sebagainya, tetapi jikalau ada amalan syirik, akan kekal dalam neraka. Walaupun mereka itu mengaku Islam, namun mereka bukan muslim sejati.
Ramai yang berkata, orang Islam akan masuk syurga akhirnya. Akan tetapi sekiranya ada fahaman dan amalan syirik, tidak ada harapan untuk keluar dari neraka. Maka mestilah beringat sungguh dengan hal ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 21 Januari 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir