Tafsir Surah Naba’ Ayat 17 – 30 (Penerangan tentang Hari Kiamat)

Ayat 17: Sekarang kembali kepada persoalan asal golongan kafir, tentang perkara yang mereka tidak percaya dan tidak yakin itu. Oleh kerana mereka tidak yakin, maka mereka berbantah-bantah tentangnya. Tentang apa? Ini adalah tentang hari pembalasan.

إِنَّ يَومَ الفَصلِ كانَ ميقاتًا

Sahih International

Indeed, the Day of Judgement is an appointed time –

Malay

Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,

 

Lafaz يَومَ الفَصلِ adalah hari perpisahan. Pada hari itu nanti, akan dipisahkan antara pihak yang benar dan tidak. Pada hari itu mereka tidak boleh bercampur lagi – kalau dalam dunia, orang yang beriman dan tidak beriman, yang baik dan yang jahat, dapat duduk sekali, bukan? Tetapi tidak di akhirat kelak.

Ada banyak pemisahan akan dijalankan. Termasuk antara anak dan ibubapa, rakyat dari pemimpin mereka, idola-idola yang menjadi pujaan masyarakat, guru dan anak murid dan sebagainya. Dahulu semasa di dunia, pengikut ikut sangat apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka.  Dahulu ramai yang hendak jaga sangat hati saudara mara sampai buat syirik dan buat amalan bidaah. Tetapi di akhirat nanti, mereka akan duduk lain-lain tempat.

Kalimah ميقاتًا adalah sesuatu yang telah ditetapkan, tidak boleh diubah tarikhnya. Bukan ‘akan’ ditentukan tetapi telah Allah ﷻ tentukan bila ianya akan terjadi, cuma kita sahaja yang tidak tahu. Tidak ada sesiapa yang tahu melainkan Allah ﷻ.

Ingatlah yang Hari Akhirat pasti akan terjadi. Dalam ayat-ayat sebelum ini ada disebut tentang pasangan. Semua ada pasangan: lelaki dan perempuan, siang dan malam. Maka, dunia ini juga ada pasangannya. Pasangan kehidupan dunia adalah kehidupan di akhirat. Allah ﷻ telah sebut dalam ayat-ayat sebelum ini tentang siang dan malam yang datang silih berganti. Maka selepas dunia ini selesai, akan datang waktu akhirat pula.

Allah ﷻ banyak mengingatkan kita tentang Hari Kiamat itu. Banyak ayat-ayat dalam Qur’an yang mengingatkan kita tentang perkara ini. Banyak kali diingatkan supaya kita jangan lupa. Dan kalau kita selalu membaca Qur’an, kita akan akan diingatkan oleh Qur’an. Sampaikan tidak ada muka surat dalam Qur’an yang tidak menyebut tentang kematian atau hari akhirat.

Maka ingatlah sentiasa yang kita semua sedang menuju kepada hari tersebut sama ada kita mahu ataupun tidak. Setiap hari, setiap jam dan setiap saat, kita menghampirinya.

 


Ayat 18: Selepas diperkenalkan apakah hari itu, sekarang diberikan penerangan tentangnya.

يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ فَتَأتونَ أَفواجًا

Sahih International

The Day the Horn is blown and you will come forth in multitudes

Malay

Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);

 

يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ

Iaitu masa ditiup pada sangkakala,

Ini adalah tiupan Sangkakala yang kedua. Tiupan Sangkakala pertama adalah untuk mematikan semua makhluk dan tiupan yang kedua ini adalah untuk menghidupkan semua makhluk sebagai tanda yang Hari Kebangkitan sudah bermula.

Lafaz الصّورِ itu asalnya bermaksud ‘tanduk’, iaitu tanduk yang dibunyikan. Diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai: Sangkakala. Ini kerana pada zaman dahulu, sangkakala dibuat dari tanduk binatang. Sebenarnya, kita pun tidak pasti apakah rupanya, bagaimanakah ianya berfungsi. Ianya adalah salah satu perkara yang ghaib.

 

فَتَأتونَ أَفواجًا

lalu kamu datang berpuak-puak

Setelah ditiupkan Sangkakala itu, semua makhluk akan bangkit dan keluar dari kubur masing-masing, tidak kira di mana mereka, tidak kira sama ada mereka ada kubur atau tidak, tubuh hancur atau tidak – semua akan bangkit. Dan mereka akan menuju ke Mahsyar dengan berpuak-puak.

Maksud berpuak itu, ada puak beriman dan ada puak kufur; ada puak taat dan ada puak derhaka. Tidak bercampur antara satu sama lain. Cara pergi ke Mahsyar pun tidak sama. Kecepatan mereka mengikut tingkatan amalan masing-masing. Yang beriman dan bertaqwa akan dibawa pergi dengan mudah. Dan yang jahat, akan pergi sama ada berjalan, melutut atau menggelongsor atas muka mereka. Yang pasti, semua akan menuju ke Mahsyar. Sama ada lambat atau tidak, susah atau tidak sahaja.

Lihat kepada lafaz فَتَأتونَ (kamu semua akan datang). Kalau kita perasan, surah ini dimulai dalam ayat-ayat awalnya, Allah ﷻ bercakap dalam pihak ketiga. Allah ﷻ buat begitu kerana hendak tunjukkan kemarahanNya sampai tidak bercakap terus dengan mereka. Tetapi kali ini Allah ﷻ bercakap terus dengan puak yang jahat itu. Ada penukaran dari segi bahasa dan ini dinamakan iltifat.

Kali ini Allah ﷻ terus cakap dengan mereka untuk beri mereka rasa terkejut yang sangat. Macam guru masuk kelas dan dia mula-mula kata: “ada pelajar yang tidak buat kerja rumah. Orang ini memang tidak menghormati kelas ini. Dan dia akan dikenakan dengan hukuman. Hah, Ahmad, apa alasan kamu?”

Lihat bagaimana guru itu mulanya bercakap tentang pelajar yang tidak buat kerja sekolah itu dalam pihak ketiga dan kemudian guru itu terus bercakap dengan pelajar yang dimaksudkan, untuk memberi tekanan perasaan kepada pelajar itu. Begitulah Allah ﷻ bercakap dalam pihak ketiga untuk menunjukkan ketidakpuasan Allah ﷻ dengan manusia yang engkar, tetapi tiba-tiba Allah ﷻ bercakap terus dengan mereka.

Kita akan dipanggil untuk pergi ke Mahsyar secara rela ataupun tidak. Semua akan datang dan bergerak ke sana secara berbondong-bondong. Kita juga akan pergi bersama rasul masing-masing. Ibnu Jarir mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah setiap umat datang bersama dengan rasulnya sendiri, semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

يَوْمَ نَدْعُوا كُلَّ أُناسٍ بِإِمامِهِمْ

(Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya. (Al-Isra: 71)

Lihatlah penggunaan lafaz فَتَأتونَ dalam ayat ini yang datang dari katadasar أ ت ى yang bermaksud ‘datang’. Tetapi ada lafaz lain untuk datang, iaitu جاء. Lafaz أتى lain dengan جا. Kalau جا yang digunakan, mungkin boleh bermaksud mereka itu datang sendiri.

Tapi kalau أتى yang digunakan, ianya bermaksud mereka kena datang dan taat. Macam terpaksa datang juga sama ada mahu atau tidak. Kalau mereka dalam dunia degil, di akhirat mereka tidak ada pilihan. Memang kena datang.

 


Ayat 19:

وَفُتِحَتِ السَّماءُ فَكانَت أَبوابًا

Sahih International

And the heaven is opened and will become gateways

Malay

Dan (pada masa itu) langit akan dibuka sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu,

 

Langit dibuka dan ianya akan menjadi seperti ada pintu. Kalau sekarang kita melihat langit sebagai satu makhluk yang kukuh tetapi pada hari pembalasan, Allah ﷻ akan menjadikannya ada pintu.

Kalau pada rumah, pintu adalah bahagian yang paling lemah. Sebelum ini Allah ﷻ ada sebut yang Dia jadikan langit kukuh tetapi Dia juga yang boleh melemahkannya. Kerana masanya telah sampai untuk menghancurkan langit itu.

Pintu-pintu itu akan ada tempat turunnya malaikat-malaikat.

 


Ayat 20:

وَسُيِّرَتِ الجِبالُ فَكانَت سَرابًا

Sahih International

And the mountains are removed and will be [but] a mirage.

Malay

Dan gunung-ganang – setelah dihancurkan – diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.

 

Kalimah سيرَ bermaksud ‘bergerak dengan mudah’. Maksudnya gunung ganang itu akan bergerak dengan lancar sahaja. Sedangkan gunung ganang yang sebelum ini, Allah ﷻ kata kukuh tetapi dengan mudahnya akan dihancurkan. Allah ﷻ sahaja yang mampu buat begitu.

Tentu Musyrikin Mekah susah untuk terima kerana mereka melihat gunung ganang itu amat kukuh sekali. Kalau mereka hendak buat apa-apa pada gunung ganang itu, tentu tidak boleh. Tetapi Allah ﷻ telah jelaskan bagaimana Dia mampu untuk buat apa sahaja.

Lafaz سَرابًا pula bermaksud fatamargona – sesuatu yang tidak ada, tetapi nampak macam ada. Kejadian gunung ganang hancur itu sampai boleh bergerak dengan mudah tidak dapat diterima oleh mata manusia, sampai manusia akan melihat ianya seperti fatamorgana.

Kita rasakan bahawa ianya adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi sebab teramat besarnya ia. Tetapi Allah ﷻ boleh hancurkan gunung ganang itu dan hancur dan hilangkan, sampai tidak berbekas. Macam sudah tidak ada apa-apa lagi. Mata manusia akan melihatnya seperti fatamorgana.

Ini adalah perkara pertama yang manusia akan tengok. Ini adalah bahagian kedua yang manusia akan dapat lihat. Inilah bahagian pertama dari ayat 4: كَلّا سَيَعلَمونَ. Bahagian kedua iaitu ayat ke 5, ثُمَّ كَلّا سَيَعلَمونَ selepas ini. Bahagian pertama manusia akan lihat semasa dunia, dan bahagian kedua adalah keadaan di akhirat kelak.

 


Ayat 21:

إِنَّ جَهَنَّمَ كانَت مِرصادًا

Sahih International

Indeed, Hell has been lying in wait

Malay

Sesungguhnya neraka Jahannam telah disediakan –

 

Allah ﷻ memberitahu kita yang Neraka itu adalah satu tempat yang sentiasa mengintai. Neraka sedang duduk menunggu untuk menyerang sahaja. Jangan kita ditangkap olehnya. Ini adalah satu perumpamaan untuk menjelaskan neraka itu.

Ini adalah kerana Neraka itu akan menunggu siapa yang akan kena tangkap. Dalam Maryam:71, kita telah diberitahu bahawa kita semua akan melalui neraka melalui Titian Sirat. Sama ada kita ditakdirkan sebagai ahli syurga atau ahli neraka, pasti kita kena lalui juga. Hanya ahli syurga dapat melepasinya.

 


Ayat 22: Siapakah yang akan kena serang dan kena tangkap semasa cuba melepasi Titian Sirat itu?

لِلطّاغينَ مَآبًا

Sahih International

For the transgressors, a place of return,

Malay

Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.

 

Neraka itu akan mengintai orang yang pemberontak, derhaka, yang banyak buat dosa. Mereka itu yang akan kena tangkap oleh Neraka, dan Neraka akan menjadi tempat tinggal mereka.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ gunakan lafaz طّاغينَ dalam ayat ini. Merekalah yang akan ditangkap oleh Neraka. Allah ﷻ tidak gunakan pun lafaz ‘kufur’. Mereka itu adalah yang memberontak dengan hati mereka. Walaupun mereka mungkin tahu kebenaran tetapi mereka masih lagi menentang perasaan hati mereka. Itulah yang dimasukkan dengan memberontak.

Mereka hendak buat apa yang mereka hendak buat, tidak kira apa yang sepatutnya mereka lakukan. Mereka mahu ikut nafsu mereka sahaja. Dan ini sudah melawan kehendak jiwa mereka sebenarnya kerana setiap hati manusia sudah ada fitrah dan fitrah kita sudah kenal Allah ﷻ, mahukan kebaikan. Tetapi mereka yang melawan perasaan itu, memberontak terhadap perasaan itu, merekalah yang dimasukkan ke dalam neraka.

Perkataan مَآبًا bermaksud tempat yang kita selalu kembali. Pergi ke mana-mana pun, akan tetap kembali kepada satu tempat. Maksudnya mereka akan cuba untuk keluar dari neraka tetapi mereka akan dikembalikan juga. Mereka cuba hendak lari tetapi tidak boleh, akan direnggut dan dibawa kembali ke tempat penyeksaan.

 


Ayat 23: Apabila sudah masuk ke dalam neraka, berapa lama mereka akan tinggal di dalamnya?

لابِثينَ فيها أَحقابًا

Sahih International

In which they will remain for ages [unending].

Malay

Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.

 

Mereka akan tinggal lama – tidak ada penghujung. Lafaz أَحقابًا adalah jamak (plural) bagi lafaz حقب yang jangkamasanya  adalah 80 tahun. Nampak macam tidak lama, tetapi kita kena ingat yang setiap hari di akhirat adalah darab seribu tahun.

Jadi itu pun sudah jangkamasa yang sangat-sangat lama sampai hendak kira pun sudah tidak sanggup lagi! Oleh itu, walaupun perkataan حقب itu mungkin boleh bermaksud boleh dikira, nampak macam ada penghujungnya, tetapi kerana pengiraannya adalah terlalu banyak, ianya seperti selama-lama.

Ibnu Jarir telah meriwayatkan dari Ibnu Humaid, dari Mahran, dari Sufyan Ats-Tsauri, dari Ammar Ad-Duhni, darr Salim ibnu Abul Ja’d yang mengatakan bahawa Ali ibnu Abu Talib pernah bertanya sehubungan dengan penanggalan qamariah hijriah, “Apakah yang kalian jumpai dalam Kitabullah tentang makna al-hiqbu? Lalu dijawab, “Kami menjumpainya bererti lapan puluh tahun, tiap tahun mengandung dua belas bulan, dan tiap bulan mengandung tiga puluh hari, dan setiap hari lamanya sama dengan seribu tahun.” Hal yang sama telah diriwayatkan dari Abu Hurairah, Abdullah ibnu Amr, Ibnu Abbas, Sa’id ibnu Jubair, Amr ibnu Maimun, Al-Hasan, Qatadah, Ar-Rabi’ ibnu Anas, dan Ad-Dahhak.

Dan kita jangan lupa, lafaz yang digunakan adalah أَحقابًا iaitu jamak kepada حقب, bukan satu حقب sahaja. Jadi, ia boleh bermaksud, apabila sudah lepas satu حقب, terus sambung حقب seterusnya. Seolah-olah penghuni neraka itu rasa dia sudah habis menjalani azab dalam neraka, diberi satu lagi حقب. Sudah habis حقب itu, diberi lagi!!! Ma sya Allah.

Ini adalah azab emosi kepada mereka sebenarnya. Mereka sangka sudah habis azab mereka di neraka tetapi kena sambung lagi. Bayangkan kalau kita rasa kita sudah selamat, tetapi tidak selamat, tentu kita rasa lagi teruk, bukan? Jadi, tidaklah salah kalau kita kata, memang penghuni neraka itu akan duduk selama-lamanya dalam neraka.

Walaupun ada ulama yang mengatakan kehidupan di neraka itu ada juga penghujungnya, tetapi kehidupan yang bagaimana? Adakah anda sanggup tinggal sebegitu, yang entah berapa lama?

Sa’id telah meriwayatkan dari Qatadah sehubungan dengan makna firman Allah سبحانه وتعالى.: mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya. (An-Naba: 23) Yang dimaksudkan dengan berabad-abad adalah masa yang tiada habis-habisnya, setiap kali habis satu abad datang lagi abad selanjutnya, tanpa ada batasnya.

Oleh itu, buatlah sesuatu supaya kita selamat dari neraka. Jangan main-main dengan kehidupan kita. Jangan ada harapan yang “kalau duduk dalam neraka pun, aku akan keluar juga akhirnya”. Ini adalah harapan yang bodoh sekali!

 


Ayat 24: Selepas disebut tentang masa di dalam neraka, bagaimana pula keadaan dalam neraka itu? Agaknya selepas disebut ini, adakah sanggup hendak masuk neraka?

لا يَذوقونَ فيها بَردًا وَلا شَرابًا

Sahih International

They will not taste therein [any] coolness or drink

Malay

Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman –

 

Dalam kehidupan bangsa Arab, kesejukan dan minuman adalah istirehat untuk mereka. Ini adalah kerana mereka duduk di kawasan yang panas dan berpasir. Jadi selepas berpanas dan mengembara dalam cuaca yang panas terik, rehat yang mereka mahukan adalah tempat yang teduh dan air sejuk yang menyegarkan tegak.

Tetapi ditekankan di sini yang penghuni neraka tidak akan dapat istirehat tersebut. Angin yang paling sejuk dari neraka pun sudah tidak tahan, kerana ianya panas sangat. Maka ketahuilah yang suasana dalam neraka itu sentiasa sahaja panas. Tetapi penghuninya tidak mati kerana tubuh badan mereka telah dinaiktaraf supaya dapat menerima segala azab itu. Memang tidak akan mati kerana tidak ada kematian di dalam neraka, sebaliknya mereka akan merasai kesakitan yang amat. Cuma mereka tidak mati kerana Allah ﷻ tidak matikan manusia supaya mereka berterusan mendapat azab.

Dan mereka tidak akan mendapat air minuman sejuk yang menyegarkan. Sedangkan mereka sentiasa sahaja dahaga dari mula masuk neraka sampailah selama-lamanya. Akan tetapi kedahagaan mereka itu tidak akan dihilangkan walau sedikit pun.

 


Ayat 25: Apabila mereka dahaga, tentulah mereka akan cuba meminta diberikan air sejuk untuk hilangkan dahaga mereka itu. Mereka akan diberi juga minuman, tetapi lihatlah minuman jenis apa:

إِلّا حَميمًا وَغَسّاقًا

Sahih International

Except scalding water and [foul] purulence –

Malay

Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, –

 

Telah disebut yang penghuni Neraka tidak akan diberikan suasana sejuk dan tidak akan diberi dengan air minuman kecuali mereka boleh minum air panas menggelegak. Panasnya entah berapa ribu juta darjah. Apabila diletakkan dekat dengan muka sahaja, maka punahlah muka mereka kerana panas yang teramat sangat pada air itu. Itu belum minum lagi.

Dan air panas akan dicurahkan ke atas mereka. Dan air itu akan dimasukkan ke dalam mulut (secara paksa) dan perut mereka akan pecah kerana kepanasan air itu.

Dan mereka juga akan diberi air minuman, tetapi air dari nanah, keringat dan darah yang keluar dari ahli neraka. Semua cecair itu akan dikumpulkan dan diberikan kepada penghuni neraka. Itulah air minuman mereka. Sanggup kah?

Abul Aliyah mengatakan bahawa ini merupakan lawan kata dari sebelumnya; kesejukan diganti dengan air yang mendidih dan minuman yang enak diganti dengan nanah. Yang dimaksud dengan hamim ialah air yang panasnya telah mencapai puncak didihnya; dan yang dimaksudkan dengan ghassaq ialah campuran dari nanah, keringat, air mata, dan yang keluar dari luka-luka ahli neraka, dinginnya tidak terperikan, dan baunya yang busuk tidak tertahan.

 


Ayat 26: Alangkah teruknya balasan yang diberikan kepada mereka itu, adakah itu patut?

جَزاءً وِفاقًا


Sahih International

An appropriate recompense.

Malay

Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).

 

Allah ﷻ beritahu walaupun nampak teruk sangat azab yang dikenakan, ganas sangat balasan yang diberikan kepada penghuni neraka itu, tetapi balasan itu setimpal dan munasabah dengan amalan dosa mereka semasa di dunia dahulu.

Mungkin ada manusia yang soal sama ada patutkah azab sebegini? Sedangkan nampak tidaklah jahat sangat amalan mereka semasa di dunia dahulu. Dan bukannya lama mereka lakukan kerana umur mereka pendek sahaja. Tetapi kenapa lama sangat dikenakan dengan azab itu yang entah berapa lama?

Maka Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang segala azab itu sebenarnya patut. Ini kita dapat tahu dari penggunaan lafaz وِفاقًا tersebut. Ianya tepat sekali apa yang mereka akan kena. Tidaklah balasan yang dikenakan kepada mereka itu tidak patut atau terlebih sangat.

 


Ayat 27: Kenapakah balasan yang teruk itu dikenakan kepada mereka? Apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia dahulu sampai melayakkan mereka dikenakan azab yang tidak ada penghujungnya ini? Mereka akan tanya kenapalah mereka diazab sampai begitu sekali? Allah ﷻ jawab.

إِنَّهُم كانوا لا يَرجونَ حِسابًا

Sahih International

Indeed, they were not expecting an account

Malay

Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,

 

Mereka dahulu tidak fikir pun akan adanya hari hisab amal. Kerana mereka tidak memikirkan tentangnya, lalu mereka rosak dalam amal. Ini adalah kerana mereka tidak mengharapkan adanya hari perhitungan. Bukan mereka tidak tahu, tetapi mereka tidak berharap. Mereka sudah tahu kerana perkara ini selalu disebut-sebut dan telah sampai ke pengetahuan mereka. Namun, mereka mengharapkan hari itu tidak akan datang.

Ataupun mereka tidak menyakini akan adanya hari pembalasan itu. Mereka harap hari itu tidak akan datang. Ramai manusia rasa macam itu. Termasuk orang Islam pun. Kalau kita ingatkan mereka tentang hari pembalasan, mereka malas hendak dengar. Mereka tidak mahu tertekan mendengar perkara-perkara sebegitu. Kerana mereka mahu terus hidup dalam kesenangan, boleh buat apa yang mereka hendak. Kalau kena fikir Hari Kiamat dan pembalasan di akhirat, mereka sudah sedih pula, sudah kena ubah cara hidup mereka. Dan mereka tidak mahu buat perkara itu. Mereka sudah selesa dengan cara hidup mereka.

Allah ﷻ menyebutkan apa yang ada dalam hati mereka. Selepas ini akan disebut tentang luaran pula. Kerana jika sudah ada fahaman yang sebegitu dalam hati dan otak mereka, tentu ianya akan membawa apakah yang mereka akan amalkan dalam kehidupan seharian.

 


Ayat 28: Ayat sebelum adalah pengingkaran dalaman. Ayat ini pula adalah tentang pengingkaran luaran. Iaitu apa yang mereka lakukan.

وَكَذَّبوا بِآياتِنا كِذّابًا

Sahih International

And denied Our verses with [emphatic] denial.

Malay

Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;

 

Dalam akidah pula mereka mendustakan ayat-ayat tauhid. Sebab itu mereka bergelumang dalam syirik. Sedangkan sudah jelas dalam wahyu yang Allah ﷻ sampaikan bahawa apa yang mereka amalkan itu adalah salah.

Dahulu mereka mendustakan hujah-hujah Allah ﷻ dan bukti-bukti kebenaran-Nya terhadap makhluk-Nya, yang Dia turunkan kepada para rasul-Nya, tetapi mereka menyambutnya dengan kedustaan dan keingkaran.

Mereka mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ dengan bersungguh-sungguh, dengan penambahan lafaz كِذّابًا di hujung ayat ini. Apabila ada penambahan lafaz sebegitu, hendak menunjukkan yang mereka bersungguh-sungguh mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ.

Mereka ini jenis orang yang tidak mahu belajar wahyu Allah ﷻ, tidak mahu mendengar, tidak mahu memikirkan langsung tentang Qur’an dan tentang hadis Nabi ﷺ. Kalau ada yang sampaikan perkara benar dari tauhid dan dari agama, mereka akan kata orang itu menipu.

Begitu jugalah, sekarang ini amatlah susah untuk menyampaikan ajaran tafsir Qur’an ini kepada mereka yang tidak mahu membuka hati mereka. Mereka tidak mahu dengar pun. Kita pula dituduh sebagai wahabi, dituduh membawa ajaran sesat. Mereka kata kita sengaja memandai tafsir sendiri sedangkan kita bawakan nukilan dari ulama.

Mereka tidak dapat terima hanya sahaja kerana ia berbeza dengan apa yang mereka telah belajar. Apabila berbeza, mereka bukannya hendak dengar dahulu, akan tetapi mereka hendak menolaknya terus. Sepatutnya dengarlah dahulu, fikirkanlah sama ada ianya benar atau tidak.

 


Ayat 29:

وَكُلَّ شَيءٍ أَحصَيناهُ كِتابًا

Sahih International

But all things We have enumerated in writing.

Malay

Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.

 

Berhati-hatilah dengan apa sahaja yang kita lakukan, kerana ianya dicatat dan diambil kira sepanjang masa. Ianya akan dipersembahkan kembali kepada kita di akhirat kelak. Ingatlah yang segala perbuatan kita besar atau kecil, sedang ditulis oleh malaikat. Kerlingan mata kita pun ditulis, apatah lagi apa yang kita tulis, apa yang kita kata dan sebagainya.

Lafaz أحصى yang digunakan dalam ayat ini bermaksud, semuanya yang kita lakukan akan disimpan di dalam kitab. Ianya akan dikira dan akan disimpan. Disimpan dalam Kitab Amalan kita dan akan dipersembahkan kepada kita untuk kita baca nanti dan kena jawab kenapa kita lakukan itu dan ini.

 


Ayat 30:

فَذوقوا فَلَن نَزيدَكُم إِلّا عَذابًا

Sahih International

“So taste [the penalty], and never will We increase you except in torment.”

Malay

(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.

 

Allah ﷻ kata, rasailah azab itu. Dan lihatlah bagaimana Allah ﷻ cakap terus dengan ahli neraka. Kita telah sebut sebelum ini bahawa ini menunjukkan kemarahan Allah ﷻ yang amat tinggi sampai Dia sendiri suruh mereka rasa azab itu. Ma sya Allah, semoga Allah ﷻ lindungi kita dari azab neraka lebih-lebih lagi apabila kita baca ayat ini. Ayat ini dikatakan ayat yang paling berat tentang azab.

Qatadah telah meriwayatkan dari Abu Ayyub Al-Azdi, dari Abdullah ibnu Amr ibnul Asyang mengatakan bahawa tiada suatu ayat pun yang lebih keras bagi ahli neraka selain dari firman-Nya: Kerana itu, rasakanlah. Dan Kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kalian selain dari azab. (An-Naba: 30) Bahawa mereka berada dalam tambahan azab selama-lamanya.

Kerana dari ayat ini kita dapat tahu yang Allah ﷻ tidak akan memberi peluang kepada ahli neraka untuk menyelamatkan diri. Mereka takkan dapat rehat, takkan dapat minum dan tidak akan senang walaupun sesaat.

Yang hanya  ditambah adalah azab yang dikenakan kepada mereka. Maknanya, azab itu makin bertambah, bukan berkurang! Kalau kita sudah teruk kena azab, tentulah kita mengharap ianya berkurang, tetapi tidak, lagi bertambah pula! Ma sya Allah!

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Februari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Naba’ Ayat 17 – 30 (Penerangan tentang Hari Kiamat)”

      1. yg penukaran bahasa dr Allah bercakap bagi pihak ketiga, kemudian Allah bercakap direct pada ayat ke 18

        Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s