Tafsir Surah Maryam Ayat 65 – 71 (Kita semua akan lalu neraka)

Ayat 65: Walaupun Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan sekalian alam, tetapi Allah ‎ﷻ tidak melupai Nabi ﷺ. Kalau manusia yang banyak tugas, tentulah mereka akan terlupa sesuatu perkara. Kadangkala dengan emak dia pun dia sudah tidak ingat (sebab itu jarang telefon ibu dia).

Namun tidak dengan Allah ‎ﷻ. Allah boleh ‎ﷻ kawal semua dalam alam ini tetapi Allah ‎ﷻ tahu setiap perkara yang terjadi. Ayat ini juga adalah dalil untuk menyembah Allah ‎ﷻ sahaja. Siapakah Allah ‎ﷻ?

رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما فَاعبُدهُ وَاصطَبِر لِعِبٰدَتِهِ ۚ هَل تَعلَمُ لَهُ سَمِيًّا

Sahih International

Lord of the heavens and the earth and whatever is between them – so worship Him and have patience for His worship. Do you know of any similarity to Him?”

 

Malay

“Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding denganNya?”

 

رَّبُّ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

“Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi

Ayat sebelum telah dikatakan bahawa Allah ‎ﷻ tidak lupa kepada Nabi ﷺ. Allah ‎ﷻ tidak lalai dengan segala tekanan dan masalah yang dihadapi oleh baginda dalam menyampaikan agama kepada umatnya.

Sekarang disebut nama Allah ‎ﷻ sebagai rabb – yang menjaga segalanya. Allah ‎ﷻ bukan sahaja telah mencipta alam ini, tetapi Allah‎ ﷻ juga mentadbir alam ini daripada sebesar-besar sehingga ke sekecil-kecilnya. Segalanya tidak akan berlaku tanpa pengetahuan Allah ‎ﷻ. Walau sehelai daun yang jatuh dari pokok pun.

Oleh itu, bukan Allah ‎ﷻ tidak tahu dugaan yang baginda hadapi dalam dakwah baginda, tetapi Allah ‎ﷻ hendak melihat usaha Nabi ﷺ dalam menyampaikan agama-Nya.

 

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya;

Bukan hanya langit dan bumi sahaja, tetapi di antaranya juga. Entah apakah yang ada antara langit dan bumi itu. Kita pun tidak tahu kerana ilmu kita adalah amat terhad. Janganlah kita sangka kita tahu banyak. Kalau pun banyak yang kita tahu, ada banyak lagi yang kita tidak tahu.

 

فَاعْبُدْهُ

oleh itu, sembahlah engkau akan Dia

Seolah-olah Allah ‎ﷻ berfirman: “Memang kamu Muhammad risaukan tentang masalah umat kamu tetapi jangan kamu risau. Teruslah menyembah Allah.”

Menyerah diri ditunjukkan dengan menyembah Allah ‎ﷻ iaitu taat dalam melakukan ibadat. Bukan hanya cakap sahaja. Bukan hanya cakap-cakap kosong sahaja seperti yang dilakukan oleh kebanyakan dari kita.

 

وَاصْطَبِرْ لِعِبٰدَتِهِ

dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepada-Nya;

Kalimah اصْطَبِرْ adalah sabar yang tinggi, bukan sabar yang biasa sahaja. Usaha yang besar memerlukan sabar yang lebih tinggi daripada kesabaran biasa. Usaha menyampaikan agama Allah ‎ﷻ yang benar ini memang memerlukan kesabaran yang lebih tinggi kerana dugaannya juga lebih tinggi daripada biasa.

Memang Allah ‎ﷻ tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ dalam keadaan risau dan takut. Tetapi baginda dinasihatkan untuk bersabarlah. Teruskan dengan beribadah kepada Allah ‎ﷻ. Itulah jalan keluar kepada masalah yang sedang dihadapi.

Kerana itu apabila hati ketat kerana banyak masalah, lakukan ibadat terutama solat. Banyak ayat dalam Al-Qur’an yang menganjurkan mengerjakan ibadat kepada Allah ‎ﷻ apabila ada masalah dan dalam perjuangan.

Kita hendaklah menjadikan solat sebagai jalan keluar daripada masalah yang kita hadapi dalam alam ini. Ia bukan hanya suka-suka sahaja. Bukan hanya untuk melepaskan kewajipan solat sahaja tetapi dalam solat, fikirkan benda lain, dan selepas solat, terus lega kerana sudah lepas buat perkara wajib. Itu adalah hanya untuk melepaskan tanggungjawab solat sahaja. Tetapi amatlah rugi kita tidak mendapat manfaat daripada solat.

Dengan solat, kita sebenarnya boleh berkomunikasi secara terus dengan Allah ‎ﷻ. Kita boleh mengadu kepada Allah ‎ﷻ tentang masalah yang kita hadapi. Kita boleh menangis dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ bukan tidak tahu apakah yang kita hadapi tetapi Allah ‎ﷻ hendak dengar kita sendiri yang mengadu kepada-Nya.

Jangan solat hanya apabila ada masalah sahaja. Kita kenalah konsisten dalam mengerjakannya. Biasakan diri dengan solat. Jangan jadi macam manusia yang hanya minta tolong kepada kenalannya hanya apabila ada masalah sahaja. Kalau kita jumpa seseorang kalau ada masalah sahaja, kawan kita itu pun sudah tidak suka, bukan? Dia tidak suka kerana kita hanya cari dia bila ada masalah sahaja.

Tapi, kalau kita selalu jumpa dia sentiasa, sesekali kita minta tolong, tentulah dia senang hati nak tolong kita. Begitu juga perumpamaan dengan Allah ‎ﷻ. Jangan solat bila susah sahaja, jangan doa bila susah sahaja tapi semasa senang, lupa Dia. Kalau kita selalu ingat Allah ‎ﷻ semasa senang, maka Allah ‎ﷻ akan ingat kita di masa susah.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan bagaimana Nabi ﷺ bertanya kepada Jibril عليه السلام kenapa tak turun selalu kerana baginda mengharapkan wahyu diturunkan dengan segera dan dengan banyak lagi. Kerana wahyu yang diturunkan amat menenangkan Nabi ﷺ dan memberi semangat kepada baginda. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu kepada baginda, jangan hanya menunggu wahyu diturunkan sahaja. Sambil menunggu itu, dirikanlah solat. Teruskan dengan menunaikan ibadat.

Solat adalah mi’raj (penaikan) kita kepada Allah ‎ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ isra’ mi’raj terus kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi kita ada peluang itu dengan mengerjakan solat. Ingatlah bahawa Nabi ﷺ telah dibawa isra’ mi’raj pada waktu baginda menghadapi ujian yang paling besar. Iaitu ketika baginda telah kehilangan Khadijah رضي الله عنها yang telah menjadi teman baginda selama 25 tahun.

Selepas itu beberapa bulan kemudian, baginda telah kehilangan bapa saudaranya (Abu Thalib) yang telah menjaga dan memberi naungan kepada baginda selama ini. Kedua-dua individu itu selama ini telah memberi sokongan yang amat kuat. Merekalah yang paling rapat dengan baginda. Dugaan itu amat berat kepada baginda.

Bayangkan kalau orang yang kita paling sayang sudah tiada. Dan pada waktu itulah baginda dibawa isra’ mi’raj dan diberikan ‘hadiah’ solat kepada baginda (solat telah diwajibkan semasa Peristiwa Isra’ Mi’raj). Ia adalah sebagai satu jalan keluar untuk menghadapi masalah-masalah yang kita hadapi. Allah ‎ﷻ telah memberikan hadiah yang maha besar kepada baginda dan umat baginda.

Begitu juga dalam Surah al-Kautsar, bagaimana apabila Nabi ﷺ kematian anaknya, puak Quraish telah mengambil peluang itu untuk mengutuk baginda. Mereka kata Nabi ﷺ telah tiada keturunan. Mereka kata Allah‎ ﷻ telah tinggalkan baginda. Waktu itu adalah waktu yang amat sedih sekali.

Apa Allah ‎ﷻ cakap dalam surah itu? فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ. “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Amat sukar beribadat bagi mereka yang ada syirik dalam hati. Contohnya, kalau ada syirik dalam hati, susah untuk kita berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Apabila mereka berdoa, tentu nak pakai tawasul, tentu nak suruh orang lain doakan untuk mereka. Ini kerana mereka buat andaian  yang Allah ‎ﷻ tidak dengar doa-doa mereka kalau mereka doa sendiri.

Itu adalah salah sangka dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak pernah kata Dia memilih siapa yang Dia akan dengar doa mereka. Maka jangan kita memandai buat andaian yang tidak ada dalil tentang Allah ‎ﷻ. Berdoa terus sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Dan salah satu tempat mustajab doa adalah dalam solat. Ini kerana dalam solat adalah waktu kita sedang berdialog dengan Allah ‎ﷻ. Ada hadith qudsi yang menceritakan bagaimana dalam kita membaca Fatihah itu di dalam solat, Allah ‎ﷻ sedang menjawab kata-kata kita.

 

هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا

adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya?”

Adakah ada tuhan lain yang bernama Allah ‎ﷻ? Maksud سَمِيًّا adalah ‘nama’. Tentulah tidak ada tuhan lain yang bernama Allah ‎ﷻ. Walaupun orang Musyrikin Mekah itu banyak berhala, tetapi mereka tidak pernah menamakan mana-mana berhala mereka dengan nama ‘Allah’. Kerana mereka kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan yang utama.

Kalimah سَمِيًّا juga bermakna ‘kualiti’. Adakah tuhan lain yang sama kualiti dengan Allah ‎ﷻ, yang ada sifat Allah ‎ﷻ? Tentulah tidak ada lagi entiti yang ada sifat tuhan seperti Allah ‎ﷻ. Maka, hendaklah kita hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja. Kenapa kita nak cari tuhan-tuhan lain Allah ‎ﷻ? Tidak ada yang setanding dengan Allah ‎ﷻ.

Berbanggalah dengan hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sentiasa mendengar kata-kata kita dan kita boleh berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ. Manusia amat berbangga dengan hubungan mereka dengan orang-orang besar. Ingatlah bahawa kita ada hubungan langsung dengan Allah ‎ﷻ. Jadi tidak perlu bertawasul dalam doa, boleh terus minta sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Kalau kita dapat hayati maksud ini, maka kita akan tertunggu-tunggu waktu solat yang seterusnya. Kerana kita sudah merasa nikmat solat. Kita menunggu-nunggu masa untuk bermunajat kepada Allah ‎ﷻ dan mengadu kepada Allah ‎ﷻ.

Habis Ruku’ 4 dari 6 Ruku’ surah ini.


 

Ayat 66: Sekarang disebutkan tentang mereka yang kufur. Allah ‎ﷻ menunjukkan kemurkaan-Nya dalam ayat ini. Allah ﷻ murka dengan kata-kata mereka.

وَيَقولُ الإِنسٰنُ أَءذا ما مِتُّ لَسَوفَ أُخرَجُ حَيًّا

Sahih International

And the disbeliever says, “When I have died, am I going to be brought forth alive?”

 

Malay

Dan manusia (yang kafir) berkata: “Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?”

 

وَيَقُولُ الْإِنسٰنُ

Dan manusia (yang kafir) berkata:

Dalam ayat sebelum ini, Allah‎ ﷻ mengatakan bahawa Dia tidak ‘lupa’. Dalam ayat ini pula, digunakan perkataan الْإِنسَانُ untuk merujuk kepada manusia, yang asal maknanya adalah ‘yang lupa’. Memang sifat manusia itu sentiasa lupa. Allah ‎ﷻ bandingkan: Manusia sentiasa lupa tetapi Allah ‎ﷻ tidak pernah lupa.

Manusia dalam ayat ini bukanlah bermaksud semua manusia. Kerana kita yang beriman tidaklah bercakap macam mereka. Tapi Allah ‎ﷻ sebut yang berkata-kata itu adalah ‘manusia’, macam semua manusia pula. Tidaklah begitu.

Kata-kata soalan dalam ayat ini adalah kata-kata sindiran sahaja. Allah ‎ﷻ sindir begini: Mereka itu teruk sangat sampai tak layak dikenal pasti. Macam kita kata “ada yang cakap begini dan begini…” Kita tak sebut pun siapa yang cakap sebab tak layak mereka bercakap begitu. Kita pun marah dengan mereka sebab mereka cakap macam itu.

Allah ‎ﷻ menceritakan kembali kepada kita dalam Al-Qur’an ini, kata-kata mereka. Sanggup mereka cakap begini. Berani mereka kata begini? Apakah kata mereka?

 

أَءِذَا مَا مِتُّ

“Apa! Apabila aku mati,

Mereka semua terima hakikat bahawa mereka semua akan mati. Tetapi kejadian selepas mati itu yang mereka tak percaya.

Perkataan مَا مِتُّ digunakan dalam ayat ini, dan tidak مِتُّ  sahaja, kerana yang berkata itu rasa lama lagi dia akan mati. Macam tak nampak yang dia akan mati tidak lama lagi. Dia tidak rasa dia akan mati tiba-tiba kerana pada waktu itu dia sedang hidup dengan gembira. Dia tak rasa yang dia akan mati tak lama lagi.

Begitulah sikap insan yang terpesona dan leka dengan dunia. Mereka tidak teringat tentang mati. Mereka sangka mereka akan lama lagi hidup. Maka mereka tidak bersedia untuk akhirat.

 

لَسَوْفَ أُخْرَجُ حَيًّا

adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?”

Ini bukan mereka tanya dalam bentuk soalan kerana hendak tahu, tetapi mereka cakap dalam bentuk sindiran sahaja. Mereka mengejek apa yang Nabi ﷺ cakapkan kepada mereka.

Ini dipanggil ‘mendustakan Allah’. Kerana mereka tidak percaya mereka akan dihidupkan semula. Musyrikin Mekah tak dapat terima bahawa mereka akan dihidupkan kembali. Kerana akal mereka tidak dapat terima itu boleh berlaku. Apakah jawapan Allah ‎ﷻ kepada kata-kata mereka itu?


 

Ayat 67: Jawapan Allah ‎ﷻ kepada kata mereka itu. Dengan jawapan yang amat logik.

أَوَلا يَذكُرُ الإِنسٰنُ أَنّا خَلَقنٰهُ مِن قَبلُ وَلَم يَكُ شَيئًا

Sahih International

Does man not remember that We created him before, while he was nothing?

 

Malay

Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang dia pada masa itu belum ada sebarang apa pun?

 

أَوَلَا يَذْكُرُ الْإِنسٰنُ

Patutkah manusia itu tidak ingat (memikirkan)?

Sekali lagi disebut ‘insa’n dalam ayat ini. Tetapi ia ditujukan kepada mereka yang tidak mempercayai hari kebangkitan semula. Allah ‎ﷻ tegur mereka: kenapakah mereka tidak menggunakan akal yang waras? Kerana itu perkataan yang digunakan adalah ‘zikr’ dalam ayat ini.

Oleh itu, zikir itu bukanlah seperti kebanyakan orang kita faham. Mereka sangka apabila ada hadith yang kata ‘zikir’, mereka sangka sahabat-sahabat berzikir ‘meratib’ ramai-ramai. Jadi mereka kata para sahabat pun ada zikir ramai-ramai sebagai hujah mereka untuk membenarkan zikir bidaah mereka (zikir beramai-ramai).

Sebenarnya tidaklah maksud zikir itu hanya seperti apa yang mereka faham. Zikir itu boleh juga bermaksud ‘memikirkan’. Kerana semasa kita memikirkan, kita sebenarnya sedang mengingat, bukan?

 

أَنَّا خَلَقْنٰهُ مِن قَبْلُ

bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu

Allah ‎ﷻlah yang menjadikan mereka dahulu. Mereka tak tahukah? Mereka lupakah? Mereka sangka mereka datang dari mana? Mereka sangka mereka terjadi sendiri sahaja?

Orang Arab Musyrikin Mekah itu bukan mereka tidak percaya kepada kewujudan Allah ‎ﷻ. Mereka tahu memang Allah ‎ﷻ ada dan memang Allah ‎ﷻ itu Tuhan yang mencipta mereka. Dan mereka memang sembah Allah ﷻ. Cuma mereka tidak menyembah Allah ‎ﷻ sahaja kerana mereka sembah juga sembahan-sembahan yang lain. Mereka sudah tahu bahawa alam ini dijadikan oleh Allah ‎ﷻ tapi mereka ada menyembah ilah-ilah lain selain Allah ‎ﷻ.

Benar, mereka memang sedar dan terima Allah ‎ﷻ itu Tuhan. Ini berdasarkan daripada ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an ini. Iaitu apabila ditanya kepada mereka, siapakah yang menjadikan alam ini, mereka akan jawab: Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ sekarang cuma mengingatkan mereka sahaja.

 

وَلَمْ يَكُ شَيْئًا

sedang dia pada masa itu belum ada pun?

Kalau mereka dulu tidak ada dan Allah ‎ﷻ boleh adakan, takkan Allah ‎ﷻ tidak boleh bangkitkan mereka semula? Bukankah kalau kita buat semula lebih mudah daripada buat kali pertama? Kalau mereka menggunakan akal waras mereka, mereka akan nampak kebenaran hujah ini.

Perkataan يَكُ digunakan dalam ayat ini. Sepatutnya perkataan yang biasa adalah يكن. Kenapa digunakan dengan cara begini? Huruf ن dibuang untuk menunjukkan mereka tidak ada apa-apa macam huruf nun yang boleh dibuang ini. Mereka seperti huruf nun itu juga yang boleh ada, boleh tidak ada. Perkataan يَكُ  masih lagi membawa erti yang sama dalam bahasa Arab walaupun tidak ada huruf nun itu.


 

Ayat 68:

فَوَرَبِّكَ لَنَحشُرَنَّهُم وَالشَّيٰطينَ ثُمَّ لَنُحضِرَنَّهُم حَولَ جَهَنَّمَ جِثِيًّا

Sahih International

So by your Lord, We will surely gather them and the devils; then We will bring them to be present around Hell upon their knees.

 

Malay

Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu berserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.

 

فَوَرَبِّكَ

Oleh itu, demi Tuhanmu!

Apakah maksud kata ini? Ini adalah Allah ‎ﷻ bersumpah dengan Dzat-Nya. Dalam bahasa Arab, objek sumpahan itu adalah objek yang penting. Jadi, ini adalah satu sumpahan yang besar sekali.

Sepatutnya kalau mereka boleh terima Allah ‎ﷻ sebagai rabb, seperti yang telah disebutkan sebelum ini, mereka sepatutnya tidak ada masalah nak terima hakikat bahawa mereka akan dihidupkan.

 

لَنَحْشُرَنَّهُمْ

Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu

Kalimah حَشُرَ bermaksud mengumpulkan sesuatu daripada banyak tempat ke satu tempat.

Ada nun dan sabdu/syaddah untuk menguatkan perkataan itu. Ada penekanan dalam maksudnya. Maknanya, ini bukan pengumpulan yang biasa. Bukan kumpulkan buah rambutan untuk dijual kepada peraih. Tapi mereka yang akan dikumpulkan.

 

وَالشَّيٰطِينَ

berserta syaitan-syaitan.

Bukan mereka sahaja, tapi mereka akan dikumpulkan bersama golongan syaitan. Iaitu syaitan-syaitan yang mereka puja, sama ada mereka sedar atau tidak yang mereka memuja syaitan. Ini adalah masalah kepada orang kita. Mereka sangka mereka beri salam kepada wali, malaikat dan Nabi, tapi sebenarnya mereka memuja syaitan.

Mereka bukanlah berniat untuk memuja syaitan, tapi tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya beribadat kepada jin syaitan. Begitu juga apabila mereka bertawasul, iaitu menggunakan perantaraan dalam doa. Setiap tawasul yang dibuat akan mendatangkan syaitan kepada dirinya. Syaitan itu akan terus bersama dengannya.

Yang meniupkan api kekufuran kepada manusia adalah jin syaitan. Mereka membisikkan kepada manusia untuk jauh dari kebaikan. Mereka menyuruh manusia berbuat keburukan. Itulah syaitan dalam bentuk jin.

Syaitan juga ada dalam bentuk manusia. Mungkin ramai yang tidak tahu perkara ini. Ramai yang sangka syaitan hanya daripada golongan jin sahaja. Syaitan dalam bentuk manusia juga buat kerja yang sama dengan syaitan jin. Iaitu mereka mengajak manusia untuk berbuat keburukan.

 

ثُمَّ لَنُحْضِرَنَّهُمْ حَوْلَ جَهَنَّمَ

kemudian Kami akan hadirkan mereka di keliling neraka Jahannam.

Kalimah ثُمَّ digunakan untuk menunjukkan ada tempoh masa  yang lama selepas mereka dikumpulkan itu. Selepas mereka dikumpulkan, mereka akan dibiarkan sahaja di situ iaitu di Mahsyar. Entah berapa ribu tahun kita akan menunggu di sana.

Itu adalah satu seksaan yang amat hebat sekali. Kalau kita disuruh tunggu sekejap pun tak boleh buat apa-apa, pun kita sudah malas, tambahan pula kalau kena tunggu dalam masa yang lama. Tunggu pula dalam ketakutan – tidak tahu apakah nasib kita. Ini adalah satu seksaan emosi.

Bahasa yang digunakan adalah keras sekali. Ini perlu untuk membangunkan manusia yang telah lama lena. Macam kalau kita sudah tidur mati, kita perlukan jam loceng yang kuat untuk membangunkan kita.

Apabila setelah sekian lama, Allah ‎ﷻ akan ‘hadhirkan’ mereka. Bukan mereka datang sendiri tapi mereka akan dibawa dengan hina sekali. Diikat dengan rapat dan ditarik ke tempat yang hendak dibawa. Mereka akan dibawa di sekeliling neraka. Waktu itu neraka sedang membakar dengan marah.

Neraka diibaratkan seperti binatang buas yang sedang marah. Macam binatang buas yang kelaparan dan hendak menerkam mangsanya. Neraka waktu itu akan ‘diberi makan’ dengan makhluk-makhluk yang derhaka. Neraka akan minta lagi dan lagi. Macam tak cukup dengan penghuninya yang sudah ramai.

 

جِثِيًّا

dalam keadaan duduk berlutut.

Bermaksud jatuh atas lutut. Duduk itu adalah duduk mereka yang telah ditangkap. Duduk dalam keadaan yang hina dina. Seperti penjenayah, mereka yang hendak diberi hukum. Bayangkan betapa takutnya keadaan itu. Memang tidak berani nak angkat muka langsung.


 

Ayat 69:

ثُمَّ لَنَنزِعَنَّ مِن كُلِّ شيعَةٍ أَيُّهُم أَشَدُّ عَلَى الرَّحمٰنِ عِتِيًّا

Sahih International

Then We will surely extract from every sect those of them who were worst against the Most Merciful in insolence.

 

Malay

Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka.

 

ثُمَّ لَنَنزِعَنَّ مِن كُلِّ شِيعَةٍ

Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut daripada tiap-tiap golongan yang jahat itu,

Kalimah ثُمَّ sekali lagi digunakan. Bermaksud mereka akan dibiarkan dalam keadaan melutut itu dalam jangka masa yang lama. Entah berapa ribu tahun pula. Mereka duduk pula berdekatan dengan neraka. Mereka akan rasa kepanasan neraka itu. Mereka juga sudah amat takut kerana mereka tahu yang mereka akan dimasukkan ke dalamnya.

Kalimah لَنَنزِعَنَّ bermaksud ada individu yang akan ditarik daripada golongan mereka. Iaitu ditarik dengan kasar. شِيعَةٍ adalah kumpulan yang mempunyai tujuan yang sama. Maksudnya, dalam kumpulan yang orang-ramai itu, akan ditarik seseorang daripada kumpulan itu.

 

أَيُّهُمْ أَشَدُّ عَلَى الرَّحْمَٰنِ

mana-mana orang yang kepada (Allah) Ar-Rahman, di antara mereka yang paling

Perkataan Rahman digunakan dalam ayat ini. Ini mengingatkan kita bahawa Allah ‎ﷻ telah banyak memberi rahmat kepada mereka. Dengan segala nikmat di dunia yang tidak terkira. Tapi ramai yang lupa dengan rahmat Allah itu.

Ada yang akan ditarik, dipilih. Mereka akan dipisahkan daripada orang lain daripada kumpulan mereka sendiri. Bayangkan perasaan itu. Ketika itu mereka sedang duduk melutut dalam ketakutan. Dalam masa yang sama mereka pun sudah tahu yang mereka amat bersalah. Itu pun sudah adalah satu seksaan emosi yang amat teruk.

Kemudian waktu itu ada yang tiba-tiba ditarik. Yang ditarik itu adalah yang paling; paling apa?

 

عِتِيًّا

derhaka

Yang paling derhaka, paling jahat sekali, akan dilempar dahulu ke dalam neraka. Semuanya daripada kumpulan itu akan masuk neraka, tapi siapakah yang akan masuk dahulu?

Mereka yang paling derhaka daripada kumpulan merekalah semasa di dunia dahulu yang akan dilempar dahulu ke dalam neraka. Misalnya, di kawasan Gombak, siapakah yang paling jahat sekali, dialah yang akan dilempar ke dalam neraka yang paling awal sekali. Untuk jatuh ke dasar neraka, mengambil masa 70 tahun. Semasa jatuh itu, mereka akan dibakar.

Kalimah عِتِيًّا bermaksud yang sudah terlebih, melampau. Dalam ayat ini ia bermaksud mereka yang telah melepasi segala sempadan. Mereka sudah tidak hirau lagi hukum hakam dan batas agama. Memang niat mereka hendak melawan arahan dan suruhan Tuhan.


 

Ayat 70:

ثُمَّ لَنَحنُ أَعلَمُ بِالَّذينَ هُم أَولىٰ بِها صِلِيًّا

Sahih International

Then, surely it is We who are most knowing of those most worthy of burning therein.

 

Malay

Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dangan api neraka itu.

 

ثُمَّ لَنَحْنُ أَعْلَمُ

Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui

Kalimah ثُمَّ sekali lagi digunakan. Iaitu selepas masa yang lama. Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya. Allah ‎ﷻ tahu kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Maka keputusan yang Allah ‎ﷻ lakukan itu adalah tepat.

Tidaklah Allah ‎ﷻ tersalah pilih orang untuk dihukum. Kalau dalam dunia, keputusan hakim memberi hukuman mungkin tersilap kerana dia tidak tahu sebenarnya sama ada orang yang tertuduh itu benar-benar salah atau tidak. Dia cuma ikut bukti dan penghujahan daripada peguam sahaja.

 

بِالَّذِينَ هُمْ أَوْلَىٰ بِهَا

akan orang-orang yang dengan api neraka itu.

Allah ‎ﷻ lebih tahu siapakah yang layak diberi hukuman sebegini. Allah ‎ﷻ tahu siapakah yang paling layak diberikan seksaan yang dahulu.

 

صِلِيًّا

dipanggang

Bayangkan mereka akan dipanggang dalam api neraka. Iaitu mereka yang paling layak dikenakan dengan seksaan itu.


 

Ayat 71:

وَإِن مِّنكُم إِلّا وارِدُها ۚ كانَ عَلىٰ رَبِّكَ حَتمًا مَّقضِيًّا

Sahih International

And there is none of you except he will come to it. This is upon your Lord an inevitability decreed.

 

Malay

Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

 

وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا

Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya;

Mereka yang kafir itu akan sampai kepada neraka juga akhirnya.

Tapi ada mufassir mengatakan bahawa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah semua manusia. Kerana perkataan وَارِدُهَا tidak semestinya masuk, tapi ‘lalu’ sahaja seperti menyeberang.

Maksudnya semua manusia (sama ada baik atau tidak) akan melalui neraka. Iaitu melalui titian sirat. Seperti terdapat di dalam hadith dikatakan titian sirat berada di atas neraka. Mereka mungkin tidak jatuh ke dalamnya, tapi terpaksa melaluinya.

Dalam hadith Abu Hurairah رضي الله عنه:

فيُضربُ الصِّراطُ بين ظهرانَي جهنَّم….

“Maka dibuatlah As-Sirat di atas jahannam….” (HR. Bukhari dan Muslim)

Ada juga yang kata bukan atas titian sirat, tapi ‘melalui’ neraka itu sendiri. Ini adalah sesuatu yang menakutkan kita. Titian sirat itu adalah lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang.

Diriwayatkan bahawa titian sirat ini lebih lembut daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, sebagaimana ucapan Abu Said Al-Khudry رضي الله عنه:

بلغني أن الجسر أدق من الشعرة وأحد من السيف

“Sampai kepadaku bahawa jambatan ini (as-sirat) lebih lembut daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.” (Diriwayatkan oleh Imam Muslim 1/167)

 

Manusia melaluinya mengikut amalan mereka. Ada yang laju. Ada yang tak perasan pun mereka sudah lintas neraka. Ada yang lalu dengan perlahan, tapi mereka akhirnya lepas. Ada yang melaluinya dalam keadaan yang susah, tapi akhirnya lepas.

الْمُؤْمِنُ عَلَيْهَا كَالطَّرْفِ وَكَالْبَرْقِ وَكَالرِّيحِ وَكَأَجَاوِيدِ الْخَيْلِ وَالرِّكَابِ فَنَاجٍ مُسَلَّمٌ وَنَاجٍ مَخْدُوشٌ وَمَكْدُوسٌ فِي نَارِ جَهَنَّمَ حَتَّى يَمُرَّ آخِرُهُمْ يُسْحَبُ سَحْبًا

( متفق عليه)

“Orang Mukmin (berada) di atasnya (sirat), ada yang secepat kerdipan mata, ada yang secepat kilat, ada yang secepat angin, ada yang secepat kuda yang amat kencang berlari, dan ada yang secepat pengendara. Maka ada yang selamat setelah tertatih-tatih dan ada pula yang dilemparkan ke dalam neraka. Mereka yang paling terakhir merangkak secara perlahan-lahan”. (Muttafaqun ‘alaih)

Ada yang tidak lepas, ditarik jatuh ke dalam neraka. Ada yang terbelah kerana ketajaman titian sirat itu. Macam-macam cara yang akan dihadapi waktu itu. Semoga kita antara orang yang selamat.

Pengajaran untuk kita adalah, kita akan lebih menghargai syurga apabila kita dapat melepasi neraka. Kerana kita sudah dapat lihat kehinaan dan betapa teruknya neraka itu. Kita akan bersyukur kerana kita dapat melepasinya. Macam kalau kita hampir dilanggar oleh bas semasa melintas jalan, kita akan bersyukur sangat kerana tadi kita hampir mati. Kalau terus masuk syurga, mungkin perasaan ini tidak ada.

 

كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا

(yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

Allah ‎ﷻ telah tetapkan perkara itu akan pasti terjadi. Iaitu semua akan masuk dalam neraka. Tidak boleh dielakkan lagi. Kita cuma perlu berusaha hidup dengan baik supaya kita akan dapat melepasi titian sirat itu.

Kalimah حَتْمًا bermaksud ketetapan yang pasti. Akan pasti dijalankan. Kenapa kita kena masuk neraka? Supaya kita tahu apakah yang kita telah lalui. Supaya kita tahu bahawa kita telah terlepas daripada neraka yang amat teruk itu. Nikmat syurga akan menjadi lebih manis.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Mei 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Maryam Ayat 65 – 71 (Kita semua akan lalu neraka)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s