Tafsir Surah Maryam Ayat 60 – 64 (Maksud Taubat)

Ayat 60:

إِلّا مَن تابَ وَءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَأُولٰئِكَ يَدخُلونَ الجَنَّةَ وَلا يُظلَمونَ شَيئًا

Sahih International

Except those who repent, believe and do righteousness; for those will enter Paradise and will not be wronged at all.

Malay

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikit pun, –

 

إِلَّا مَن تَابَ

Kecuali orang-orang yang bertaubat

Iaitu orang yang ‘pusing balik’ kepada Allah ‎ﷻ. Yang kembali kepada Allah ‎ﷻ setelah sedar mereka telah tersilap. Mereka inilah yang selamat dan semoga kita tergolong dalam golongan yang selamat.

Untuk senang memahami apakah maksud ‘taubat’, bayangkan kita sedang memandu kereta. Tiba-tiba kita perasan yang kita sudah tersilap jalan. Kita terlepas simpang yang sepatutnya kita masuk. Tentulah kita kena buat U-Turn, bukan?

Maka, taubat itu adalah ‘u-turn’ kepada Allah ‎ﷻ. Cuma, bezanya semasa kita memandu, tentulah kita kena cari tempat yang sesuai untuk u-turn sebab bukan boleh terus pusing sahaja (terutama sekali di lebuhraya). Tapi, dalam kita taubat kepada Allah ‎ﷻ, bila-bila masa sahaja kita boleh lakukan. Tidak perlu tunggu waktu yang sesuai. Tidak perlu tunggu apa-apa pun, boleh terus taubat sahaja di situ dan waktu itu.

Cara untuk bertaubat adalah menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat, istighfar minta ampun dan berazam untuk tidak buat lagi. Tidak perlu Solat Taubat seperti yang selalu dibuat oleh masyarakat kita. Kita boleh sahaja bertaubat pada bila-bila masa tanpa tunggu solat dahulu. Tapi benar, lebih baik kalau solat sunat dahulu sebelum bertaubat (untuk dosa-dosa yang besar).

Apabila kita bertaubat dan Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita, ia adalah seperti kita tidak pernah buat dosa. Sebagaimana Nabi ﷺ bersabda,

التائب من الذنب كمن لا ذنب له

“Orang yang bertaubat daripada perbuatan dosa, seperti orang yang tidak melakukan dosa.” (HR. Ibnu Majah, Baihaqi, dan disahihkan Al-Albani)

 

Iaitu KALAU Allah ‎ﷻ terima taubat itu. Tidak semestinya Allah‎ ﷻ pasti akan terima. Kerana kalau kita sangka Allah ‎ﷻ terus terima sahaja, maka senanglah kita buat dosa kemudian senang-senang hendak taubat, bukan? Jangan begitu. Kita bukan paderi Kristian yang senang-senang sahaja bagi pengampunan kepada umat.

Kita kena ada rasa takut yang Allah ‎ﷻ tidak terima taubat kita. Kerana tidak semestinya Allah‎ ﷻ akan terima. Kalau Allah ‎ﷻ tidak terima, bagaimana? Maka kenalah kita terus bertaubat banyak kali dan berharap. Dan JANGAN senang hendak buat dosa (kemudian taubat) kerana entah Allah‎ ﷻ terima atau tidak.

 

وَءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا

dan beriman serta beramal soleh,

Selepas taubat, maka kena beriman kembali kepada Allah ‎ﷻ. Apakah maksudnya? Pertama, kena berhenti daripada buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi sebelum itu kena faham dahulu apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu. Banyak disebut dalam penulisan ini tentang apakah syirik-syirik yang dilakukan oleh kita sama ada kita sedar atau tidak.

Dalam ayat ini, Al-Qur’an sebut ‘bertaubat’ dahulu, kemudian baru beriman. Bukankah sepatutnya beriman dahulu baru bertaubat? Dan bukankah yang melakukan taubat itu adalah orang yang beriman? Maka kena dijelaskan kenapa begitu. Kalau kita baca ayat ini, ada sesuatu yang hendak disampaikan. Iaitu kena mulakan dengan taubat dahulu. Dan kemudian kena perbaharui iman mereka.

Dan selepas itu kenalah berbuat amal kebaikan apabila kita sudah bertaubat. Bukan hanya cakap bertaubat sahaja tetapi tidak ubah cara hidup kita. Kenalah ikhlas dalam taubat itu. Jangan kata taubat tapi bila masuk waktu solat, tifak solat juga. Masih lagi lengah-lengah dalam solat. Itu bermakna, tidak ikhlas dalam bertaubat.

Amal soleh adalah amal yang ada nas daripada Nabi ﷺ. Ia mesti berdasarkan daripada dalil yang sahih. Bukannya amal bid’ah. Sekarang ini banyak sangat amalan-amalan yang bukan amalan yang soleh kerana ia datang bukan daripada ajaran Nabi ﷺ tetapi daripada ajaran-ajaran tambahan manusia. Ini kerana masyarakat Islam negara kita memang sudah biasa sangat dengan amalan bid’ah ini, jadi ia nampak biasa sahaja.

Hadith yang dijadikan sumber amalan itu mestilah hadith yang sahih, tidak boleh hadith dhaif. Hadith dhaif tidak boleh dijadikan sebagai amalan. Ini pun banyak masyarakat kita yang keliru. Mereka banyak berpegang dengan amalan-amalan yang didapati daripada hadith dhaif. Maknanya ramai yang sedang melakukan kesalahan sama ada mereka sedar ataupun tidak.

Padahal, ulama’ hadith telah sepakat mengatakan bahawa tidak boleh berpegang amalan daripada hadith dhaif. Bermakna, kalau hadith dhaif pun tidak boleh dipakai, bagaimana pula boleh pakai amalan daripada pendapat manusia? Itu lagilah tidak boleh.

Kalau hadith dhaif itu, adalah kemungkinan ia daripada kata-kata Nabi ﷺ. Tetapi oleh kerana ia tidak dapat dipastikan, ulama’ mengambil jalan selamat untuk tidak beramal dengannya. Namun malangnya, masyarakat kita, jangankan hadith dhaif, kata-kata manusia pun mereka pakai juga. Itu memang sudah jauh lari daripada ilmu yang sahih. Mereka pakai ‘tangkap muat’ sahaja.

Itu semua adalah hasil daripada tipuan syaitan. Syaitanlah yang mengajar manusia untuk melakukan amalan-amalan itu kerana syaitan hendak merosakkan manusia. Dan ini dapat dicapai dengan mengajar manusia amalan bid’ah. Lama kelamaan manusia berbuat syirik.

Ingatlah bahawa banyak lagi amalan yang sahih yang kita tidak buat, kenapa hendak dipakai lagi hadith dhaif, tambahan pula amalan daripada rekaan manusia?

Apabila kita beramal bukan daripada hadith yang sahih, bermakna kita telah melakukan amalan bid’ah. Amalan bid’ah adalah ditolak. Bukan itu sahaja, ia adalah berdosa. Kerana mereka amalan yang bukan daripada nas sahih adalah mereka-reka agama dan mengambil tugas Nabi. Nabi ﷺ yang patut mengajar kita buat amalan, tetapi kita pula ambil tugas baginda dan buat amalan baru pula.

Dalam ayat sebelum ini, digunakan kata-kata dalam bentuk jamak. Tetapi dalam ayat ini, ada iltifad (perubahan ayat) ke dalam bentuk mufrad – seorang. Ini kerana hendak menekankan bahawa usaha taubat dan beriman ini kena buat sendiri. Tidak boleh nak buat alasan: kerana kawan-kawan dan keluarga tak bertaubat dan beriman, jadi kita pun tidak beriman juga dan bertaubat juga. Itu bukan alasan yang akan diterima.

Juga bermaksud tidak boleh berharap orang lain minta taubat bagi pihak kita. Maka janganlah kita berharap bila kita mati nanti, ada orang buat Majlis Tahlil untuk kita pula. Kita janganlah berharap kepada orang tetapi hendaklah kita sendiri bertaubat dan ubah diri kita semasa kita masih hidup lagi.

 

فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

maka mereka itu akan masuk Syurga,

Tadi dalam bentuk mufrad, sekarang perkataan فَأُولَٰئِكَ adalah dalam bentuk jamak, kenapa pula? Ini adalah kerana kalau kita masuk syurga, kita tidak akan berseorangan. Akan ada ahli keluarga atau kawan-kawan kita atau orang mukmin yang lain.

Ada ulama’ yang menggunakan ayat ini untuk berdalil bahawa, taman-taman syurga itu adalah tempat awam. Kita akan bersama dengan orang lain iaitu ada tempat berkumpul dan boleh bergaul mesra dengan ahli syurga yang lain. Kerana kita sebagai manusia memang suka berkawan dan bersosial dengan orang lain. Kemudian, selain daripada taman-taman itu, ahli syurga ada tempat kediaman dia yang menjadi milik dia seorang sahaja.

Sebelum ini telah dijanjikan neraka kepada mereka yang lalai dalam solat. Sekarang dijanjikan syurga pula. Jadi, mana satu kita nak pilih?

 

وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا

dan mereka pula tidak dizalimi sedikit pun, –

Dalam apa hal pun ahli syurga itu tidak akan dizalimi. Tidak akan dapat kurang daripada apa yang sepatutnya mereka dapat. Allah ‎ﷻ tidak lalai dan tidak lupa dengan apa yang sepatutnya seorang manusia itu dapat daripada amalannya.

Setiap amalan baik akan dibalas sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dari perbuatan. Dan setiap amalan buruk akan dibalas sama dengan perbuatannya, tidak lebih, kalau tidak pun akan diampun.


 

Ayat 61: Ada satu ayat sahaja ancaman, tapi sudah ada dua ayat sebagai motivasi kepada kita untuk menjaga agama kita. Maknanya, Allah banyak beri motivasi dan berita baik kalau dibandingkan dengan ancaman. Allah jelaskan lagi apakah yang golongan baik akan dapat.

جَنّٰتِ عَدنٍ الَّتي وَعَدَ الرَّحمٰنُ عِبادَهُ بِالغَيبِ ۚ إِنَّهُ كانَ وَعدُهُ مَأتِيًّا

Sahih International

[Therein are] gardens of perpetual residence which the Most Merciful has promised His servants in the unseen. Indeed, His promise has ever been coming.

Malay

(Iaitu) Syurga “Adn” yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.

 

جَنّٰتِ عَدْنٍ

(Iaitu) Syurga ” Adn “

Kalimah جَنَّاتِ bermaksud ‘banyak syurga’, bukan satu sahaja. Ingatlah bahawa orang terakhir yang masuk syurga nanti, akan mendapat sepuluh kali ganda dari saiz dunia sekarang ini. Kalau dia pun dapat banyak itu, apatah lagi mereka yang masuk lagi awal.

Kalimah عَدْنٍ bermaksud ‘kekal abadi’ dari segi bahasa. Dan orang Barat ambil kalimah ini jadi ‘eden’ kerana mereka sudah celaru konsep akhirat bagi mereka jadi terpaksa cedok dari luar. Maknanya ahli syurga itu akan kekal dalam syurga selama-lamanya. Mereka tidak perlu risau kena halau dari syurga. Mereka tidak perlu nak bayar sewa.

Nota: potongan ayat ini dan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Cara bacanya adalah adninil lati…

 

الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ عِبَادَهُ

yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya

Sifat Rahman Allah diingatkan sekali lagi di sini. Allah ingatkan berkali-kali yang Dia pemurah dan Dia boleh bagi berbagai-bagai nikmat kepada kita.

Maka, kita hendaklah menjadikan janji Allah dalam ayat ini sebagai pemangkin kita untuk berbuat kebaikan. Berapa banyak kenikmatan dunia yang kita tinggalkan kerana kita hendak mendapatkan kenikmatan yang kekal abadi? Kita tidak akan rugi kerana Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik lagi dari yang kita tinggalkan. Maka jangan ralat kalau terpaksa tinggalkan keindahan dunia terutama sekali yang melibatkan dosa.

 

بِالْغَيْبِ

dengan perkara-perkara yang ghaib;

Allah janjikan sesuatu yang ghaib, yang mata kita tak pernah tengok. Memang kita tidak pernah tengok syurga, dan kita tidak dapat bayangkan bagaimana rupa syurga itu. Tapi, Allah berkali-kali sebut dalam Al-Qur’an, maka kita boleh tahu serba sedikit.

Atau maksudnya, Allah berikan balasan kerana mereka beriman kepada perkara ghaib. Kita tidak nampak Allah, malaikat, Nabi dan sebagainya. Tapi kita tetap beriman dengannya dan kerana kita percaya kepada semua itu, maka kita dijanjikan syurga.

Dua-dua makna ini boleh digunakan. Tak perlu kita pilih mana satukah yang lebih kuat pendapatnya.

 

إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا

sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.

Kalimah كَانَ apabila ditambah, bermaksud ‘sentiasa’.

Kalimah مَأْتِيًّا pula dari katadasar أ ت ي yang bermaksud ‘datang’. Jadi kalimah مَأْتِيًّا bermaksud ianya pasti akan datang, pasti terjadi. Maka janji Allah itu pasti akan datang berkali-kali. Jangan kita sangsi dengan janji Allah.


 

Ayat 62: Ayat ketiga yang memberikan motivasi kepada kita lagi.

لّا يَسمَعونَ فيها لَغوًا إِلّا سَلٰمًا ۖ وَلَهُم رِزقُهُم فيها بُكرَةً وَعَشِيًّا

Sahih International

They will not hear therein any ill speech – only [greetings of] peace – and they will have their provision therein, morning and afternoon.

Malay

Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa).

 

لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا

Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia

Yang dimaksudkan ‘dalamnya’ itu adalah ‘syurga’. Tidak ada perkataan sia-sia yang ahli syurga terpaksa tahan telinga untuk dengar. Perkataan di dalam syurga itu adalah percakapan yang bermakna baik belaka. Bagaimana boleh jadi begini? Kerana Allah akan hilangkan perkataan yang tidak molek.

Dari susunan ayat ini, menunjukkan bahawa hanya di syurga sahaja kita tidak mendengar perkara yang sia-sia. Tiada bunyi yang menjelekkan di syurga. Keadaan ini tidak sama dengan dunia. Di dunia ini macam-macam benda tak elok yang kita dengar. Dengan bisingnya, dengan kata-kata orang yang kita tidak suka dan sebagainya. Dengan kata-kata mereka yang menyakitkan hati kita. Semua itu tidak ada di syurga nanti.

Maka kena tahanlah sekejap kata-kata nista manusia semasa di dunia ini. Kalau ada orang kutuk kita dan tuduh kita Wahabi dan sebagainya, maka kenanglah ayat ini, ingatkan diri kita yang kita sebenarnya mengharap kepada syurga nanti di mana kita tidak perlu nak dengar tuduhan-tuduhan sebegitu lagi. Sekejap sahaja nak kena tahan telinga semasa di dunia.

 

إِلَّا سَلٰمًا

melainkan perkataan yang baik-baik;

Kata-kata ‘salam’ yang dimaksudkan adalah kata-kata penghormatan. Kata-kata yang menggembirakan hati kita sahaja. Di dalam syurga itu nanti ahli syurga akan bersembang dengan nikmat-nikmat mereka sahaja. Mereka beri salam dan bercerita tentang nikmat-nikmat yang mereka dapat sahaja.

 

وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا

dan bagi mereka rezeki, disediakan di dalamnya,

‘Rizq’ bukan sahaja bermaksud makanan. Ia boleh bermaksud segala benda yang kita suka. Maksudnya ahli syurga itu akan dapat apa sahaja yang mereka suka. Mereka akan dapat apa sahaja yang mereka mahukan. Sama ada perkara yang mereka hendak di dunia tapi tak mampu dapat. Atau perkara-perkara yang mereka tak pernah lihat pun semasa di dunia. Mereka tak tahu pun perkara itu wujud.

Sebagai contoh, orang dulu-dulu tak pernah pun lihat televisyen warna, kerana belum ada lagi zaman mereka, tapi kalau mereka nampak, mereka pun hendak juga. Begitulah nanti di syurga, mereka akan ditunjukkan dengan makanan-makanan dan benda-benda kenikmatan yang tak pernah dilihat. Apabila ditunjukkan, mereka amat suka sekali dan tentu mereka mahu.

 

بُكْرَةً وَعَشِيًّا

pagi dan petang (sepanjang masa).

Bukan hanya dua waktu itu sahaja mereka dapat makan atau dapat rezeki. Itu sudah macam penjara pula – makan dua kali sahaja sehari. Tidaklah bermaksud begitu. Mereka boleh makan sepanjang waktu.

Mereka boleh makan apa sahaja yang mereka hendak dan tidak ada kekangan langsung. Makanan tak perlu mereka usahakan lagi untuk mendapatkannya seperti semasa di dunia. Teringat sahaja nak makan apa, makanan itu akan tersedia. Nampak burung terbang, terfikir sedap juga kalau makan burung panggang, burung itu akan diberikan siap terpanggang.

Tapi ayat ini menyebut ‘setiap pagi dan petang’ kerana akan ada jamuan besar-besaran pada setiap pagi dan setiap petang. Memang sifat manusia suka berjamuan dan suka berpesta dan bersosial dengan orang lain. Waktu jamuan itu, semua penghuni syurga akan datang.

Tidak tahulah bagaimana waktu pagi dan petang itu di syurga kerana di syurga, tidak ada matahari. Maknanya, bukanlah pagi dan petang itu sama macam kita di dunia sekarang. Kena tunggu dan lihat semasa di syurga nanti. Semoga kita dapat mengalami keindahan ini nanti, aameen.


 

Ayat 63: Ayat keempat sebagai motivasi kepada kita. Lihatlah berapa banyak ayat diberikan untuk memberi semangat untuk kita. Padahal satu sahaja ayat tentang ancaman. Ini kerana Allah ‎ﷻ memang hendak sangat kita berjaya di akhirat nanti.

تِلكَ الجَنَّةُ الَّتي نورِثُ مِن عِبادِنا مَن كانَ تَقِيًّا

Sahih International

That is Paradise, which We give as inheritance to those of Our servants who were fearing of Allah .

 

Malay

Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.

 

تِلْكَ الْجَنَّةُ

Itulah taman Syurga

‘Lihatlah kepada syurga yang dijanjikan itu’. Ayat ini dibaca dalam nada bersemangat sekali. Allah ‎ﷻ suruh kita cuba bayangkan begitu hebatnya kalau kita dapat masuk ke dalam syurga. Sebab itu kita kena tahu serba sedikit nikmat-nikmat dalam syurga supaya hati kita terkesan hendak masuk syurga. Kalau setakat tahu ‘tempat best’ sahaja, tidaklah terkesan sangat, bukan?

 

الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا

yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada mereka dari hamba-hamba Kami.

Kenapa digunakan perkataan ‘warisi’ dan tidak guna kata ‘beri’ sahaja? Kita selalu dengar bagaimana anak akan mewarisi harta pesaka dari ayahnya. Bagaimana kalau harta itu tidak diberikan kepadanya? Hak pewaris kalau tidak diberikan, adalah satu kezaliman.

Allah ‎ﷻ nak kata bahawa Dia akan beri syurga itu kepada yang layak kerana Dia tidak zalim. Ini sebagai satu penguat semangat untuk mengatakan memang Allah ‎ﷻ akan beri.

Kata مِنْ bermaksud bukan semua hamba akan dapat. Ia bermaksud ‘sebahagian’ sahaja. Siapakah yang akan dapat?

 

مَن كَانَ تَقِيًّا

dari orang-orang yang bertaqwa

Iaitu mereka yang sentiasa bertaqwa. Taqwa itu bermaksud sedar tentang Allah‎ ﷻ dalam setiap masa. Muttaqeen akan sentiasa memikirkan sama ada Allah ‎ﷻ suka atau tidak dalam setiap perbuatannya. Dia akan sentiasa berjaga-jaga dan berhati-hati dalam setiap perbuatannya, sama ada dalam hal ibadah atau tidak.

Dia tidak buat sesuatu itu mengikut nafsunya sahaja tetapi dia akan fikirkan apakah yang sepatutnya dilakukan dalam Islam. Ini kerana dia amat takut dengan Allah ‎ﷻ dan tidak mahu Allah ‎ﷻ murka kepadanya.


 

Ayat 64: Dari ayat ini sehingga ke ayat 83 adalah Perenggan Makro Kelima. Perenggan ini mengandungi seruan tauhid dan menolak syirik. Berulang kali akan disebut ayat yang menegaskan ALLAH ‎ﷻ TIDAK PERLU ATAU TIDAK PATUT MEMPUNYAI ANAK.

Juga peringatan tentang banyaknya kaum yang pernah dibinasakan. Juga mengandungi khabar tentang ganjaran syurga, amaran tentang hari manusia dibangkitkan, azab jahannam.

Latar belakang ayat ini: Nabi Muhammad ﷺ amat suka berjumpa dengan Jibril عليه السلام. Satu waktu, Jibril عليه السلام lama tak datang. Oleh itu, apabila Nabi ﷺ berjumpa dengan Jibril, Nabi ﷺ tanya kepada Jibril عليه السلام kenapa tak datang lebih banyak? Nabi ﷺ berharap semoga Jibril عليه السلام lebih banyak dapat menurunkan ayat Al-Qur’an lagi kerana Nabi ﷺ suka dapat wahyu.

Waktu itu Nabi ﷺ menghadapi banyak tentangan dan dengan diturunkan wahyu, penurunan wahyu itu memberi semangat kepada baginda. Walaupun sebenarnya, datangnya wahyu itu adalah berat kepada baginda. Berpeluh-peluh kalau baginda terima wahyu itu.

Tetapi baginda tetap suka bertemu dengan Jibril عليه السلام. Baginda berharap kalau tidak ada wahyu pun, bolehlah Jibril عليه السلام datang kepada baginda. Dan daripada soalan baginda itulah diturunkan ayat ini sebagai jawapan daripada Jibril عليه السلام.

وَما نَتَنَزَّلُ إِلّا بِأَمرِ رَبِّكَ ۖ لَهُ ما بَينَ أَيدينا وَما خَلفَنا وَما بَينَ ذٰلِكَ ۚ وَما كانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

Sahih International

[Gabriel said], “And we [angels] descend not except by the order of your Lord. To Him belongs that before us and that behind us and what is in between. And never is your Lord forgetful –

 

Malay

Dan (berkatalah malaikat): “Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, –

 

وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ

Dan (berkatalah malaikat): “Kami tidak turun melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad);

Jibril عليه السلام berkata sebagai mewakili malaikat-malaikat yang lain. Itulah sebabnya Jibril عليه السلام menggunakan perkataan ‘kami’ dalam ayat ini. Kerana apabila Jibril عليه السلام turun, beliau tidak turun seorang diri. Kerana ada bersamanya malaikat-malaikat yang mengiringi ayat Al-Qur’an itu.

Kenapa ayat ini digunakan dalam bentuk kata-kata malaikat? Kenapa tidak terus daripada Allah ‎ﷻ? Ini adalah kerana memberi penghormatan kepada Nabi ﷺ. Seperti para malaikat itu memohon maaf kepada Nabi ﷺ. Mereka mohon maaf kerana tidak dapat turun selalu seperti yang baginda harapkan. Bukan mereka tidak mahu tetapi kerana ia adalah arahan dari Allah ‎ﷻ. Mereka hanya boleh turun kalau Allah ‎ﷻ arahkan.

Ini juga menolak pendapat musyrik yang mengatakan bahawa malaikat adalah ‘anak-anak Allah ‎ﷻ’ dan mereka akan membela puak-puak musyrik itu. Kerana puak Musyrikin Mekah memuja malaikat. Apabila Nabi ﷺ menceritakan tentang malaikat, mereka kata memang mereka memuja malaikat-malaikat itu dan mereka baik dengan malaikat.

Kononnya mereka sangka mereka akan selamat. Jadi ayat ini mengatakan bahawa fahaman mereka itu salah. Malaikat tertakluk kepada arahan Allah ‎ﷻ bukannya kepada mereka. Malaikat hanya menjalankan perintah Allah ‎ﷻ dan tidak boleh buat lebih daripada itu. Dan mereka tidak dapat menolong puak musyrik itu.

Perkataan نَتَنَزَّلُ itu ada elemen ‘usaha’ dan ‘cuba’ di dalamnya. Maknanya, kalau malaikat pandai-pandai cuba nak turun sendiri pun tidak mampu. Kenapa?

 

لَهُ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا

Dialah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita

Malaikat tidak mampu nak melawan Allah ‎ﷻ dan turun ikut kehendak mereka kerana Allah ‎ﷻ yang menguasai segalanya.

Allah ‎ﷻ menguasai segalanya. Ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan bahawa apa yang di hadapan kita adalah perkara akhirat yang akan berlaku nanti.

 

وَمَا خَلْفَنَا

dan apa yang di belakang kita

Yang di belakang kita adalah perkara dunia yang telah berlalu.

 

وَمَا بَيْنَ ذَٰلِكَ

serta apa yang di antara itu;

Ini adalah perkara antara dunia dan akhirat.

Allah m‎ﷻ enguasai segala-galanya, tidak kira apa sahaja.

 

وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, –

Nabi Muhammad rindu nak terima Al-Qur’an. Tapi Allah ‎ﷻ bukan lupa tentang Nabi sampaikan tidak turunkan Al-Qur’an itu. Kerana Al-Qur’an itu turun pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia akan diturunkan apabila sampai masa yang sesuai.

Apabila dikatakan Allah ‎ﷻ tiada lupa, ia juga untuk memberitahu bahawa Allah ‎ﷻ tidak lupa kepada ujian dan kesusahan yang sedang dihadapi oleh Nabi ﷺ pada waktu itu. Baginda memang teruk ditentang waktu itu. Malaikat nak beritahu bahawa Allah‎ ﷻ tidak lupa tentang Nabi ﷺ. Allah ‎ﷻ telah menjaga baginda dan akan tetap menjaga baginda.

Ini mengingatkan juga kepada kita yang sedang menghadapi masalah. Allah ‎ﷻ tidak lupa tentang kita. Allah ‎ﷻ nak lihat sahaja apa kita buat dengan masalah yang menimpa kita. Segala ujian yang kita dapat dan kita bersabar dengannya akan mendapat balasan dari Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sedang menguji kita sebenarnya, bukan lupa kepada kita.

Jadi kita lihat bagaimana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak boleh menyuruh malaikat turun. Lalu bagaimana dengan guru-guru di Malaysia yang mengajar anak murid mereka doa-doa untuk memanggil malaikat untuk menjaga mereka? Ada doa: “Jibril di hadapanku, Mikail di belakangku…” dan seterusnya. Siap sekarang ada lagu macam doa itu pula.

Ini adalah kerana kejahilan agama yang telah lama berleluasa dalam masyarakat kita. Dan tidak dapat dinafikan ajaran-ajaran sesat amat banyak di Malaysia. Mereka tak sedar bahawa yang mereka panggil itu adalah jin sebenarnya. Kerana malaikat memang tak turun kalau manusia yang panggil.

Malaikat yang berada bersama dengan kita menulis segala perbuatan kita ini pun kalau kita tegur pun mereka tak menyahut, apatah lagi malaikat-malaikat yang lain. Ayat ini adalah sebagai dalil untuk menolak fahaman karut mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 April 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Maryam Ayat 60 – 64 (Maksud Taubat)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s