Ayat 56: Sekarang disebut tentang Nabi Idris عليه السلام pula.
وَاذكُر فِي الكِتٰبِ إِدريسَ ۚ إِنَّهُ كانَ صِدّيقًا نَّبِيًّا
And mention in the Book, Idrees. Indeed, he was a man of truth and a prophet.
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah dia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta dia seorang Nabi.
وَاذْكُرْ فِي الْكِتٰبِ إِدْرِيسَ
Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris;
Siapakah Nabi Idris عليه السلام? Tidak banyak info sahih yang kita ada tentang baginda. Tidak banyak disebut tentang Nabi Idris عليه السلام dalam Al-Qur’an dan hadith yang sahih. Jadi tidak banyak yang kita boleh sebut di sini.
Ada ahli tafsir yang mengatakan bahawa baginda adalah Nabi pertama selepas Nabi Adam عليه السلام. Ada juga yang mengatakan bahawa mungkin baginda adalah cucu kepada Nabi Adam عليه السلام. Ada riwayat yang mengatakan bagindalah yang memulakan ilmu astrologi – ilmu mengkaji bintang.
Ada juga yang mengatakan bahawa bagindalah yang mula-mula menjahit pakaian. Bagindalah juga dikatakan yang memulakan ilmu matematik asas. Allahu a’lam kerana riwayat-riwayat itu tidak dapat disahihkan.
Dalam Surah Anbiya ayat 85, ada disebutkan bahawa baginda adalah seorang yang sabar.
وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ
Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.
Dalam ayat itu baginda sekali lagi disebut bersama Nabi Ismail عليه السلام dalam satu surah (seperti Surah Maryam ini). Dari situ kita juga dapat tahu bahawa Nabi Ismail عليه السلام juga seorang penyabar.
Apabila disebutkan bersama Nabi Ismail عليه السلام sekali lagi seperti dalam Surah Maryam ini, kita boleh dapat isyarat yang terdapat kaitan antara Nabi Idris عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام tetapi setakat ini kita tidak dapat pastikan lagi.
إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا
sesungguhnya adalah dia amat benar, serta dia seorang Nabi.
Sifat yang sama telah dikatakan dalam Al-Qur’an tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Sila rujuk ayat 41.
Siddiq bermaksud membenarkan sesuatu yang benar. Contohnya, apabila kita dengar seseorang berhujah dan kita tanya apakah dalil dan orang itu beri dalil yang sahih daripada nas Al-Qur’an atau daripada hadith sahih. Selepas orang itu beri dalil, maka kita pun terima. Inilah sifat sadiq (membenarkan).
Walaupun kita mungkin tidak pernah dengar sebelum itu dan berlainan dengan apa yang kita amal selama ini. Ini kerana apabila diberikan hujah yang sahih, maka kita terima dengan rela. Inilah yang sepatutnya berlaku.
Kita juga sanggup terima bahawa amalan yang kita buat selama ini salah kerana ia bukanlah amalan yang sahih daripada Nabi dan para sahabat. Janganlah sebab kita sudah selalu buat, apabila ada yang kata ia salah, kita tidak mahu terima. Kita pula beri hujah kita yang tidak sahih, atau kita pun tidak pasti, untuk membenarkan amalan kita selama ini.
Itu bukanlah sifat seorang sadiq. Ingatlah, agama Islam ini berasaskan dalil. Kalau tidak diberikan dalil, maka sesiapa sahaja boleh kata apa sahaja, maka rosaklah agama.
Orang agama kita pula janganlah marah kalau anak murid tanya dalil kerana memang itu yang sepatutnya. Janganlah beri alasan macam-macam untuk tidak beri dalil. Sebab ada yang kata: “Kalau banyak tanya, itu tanda lemah iman”, “Kalau beri dalil pun mereka tak faham”, “Ini sudah lama ulama’ kita buat” dan macam-macam lagi alasan yang diberikan.
Selalunya alasan itu diberikan kerana memang tidak ada dalil. Ustaz yang sebut itu pun tidak tahu apakah dalilnya. Dia pakai sebut sahaja, kerana guru dia ajar dia macam itu, atau dia ada terbaca dalam mana-mana kitab tentang amalan itu (tanpa disertakan dalil).
Janganlah kita senang sahaja terima perkara sebegini, cukuplah sudah kita beragama cara terima sahaja tanpa usul periksa.
Ayat 57: Masih lagi tentang Nabi Idris عليه السلام.
وَرَفَعنٰهُ مَكانًا عَلِيًّا
And We raised him to a high station.
Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.
Ada riwayat yang menyatakan, Nabi Idris عليه السلام telah diangkat ke langit dan ada juga kisah dalam hadith yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ berjumpa dengan Nabi Idris عليه السلام di langit semasa baginda Isra’ Mi’raj. Namun riwayat itu tidak kuat dan kisah baginda di langit itu mungkin ia diambil daripada kisah Israiliyat.
Jadi mungkin maksud ‘diangkat’ dalam ayat ini adalah daripada segi kedudukan baginda. Allah ﷻ telah menaikkan darjat baginda.
Kenapa disebutkan banyak nama-nama Nabi dan Rasul dalam Surah Maryam ini? Allah ﷻ membawakan kisah Nabi-nabi ini untuk menunjukkan kepada kita bahawa ajaran Nabi Muhammad ﷺ itu bukanlah ajaran baru. Ia dibawa juga oleh Nabi-Nabi yang lain. Termasuklah Nabi-Nabi yang kita tidak banyak maklumat tentang mereka seperti Nabi Idris عليه السلام ini. Terlalu banyak yang kita tidak kenal.
Nabi-Nabi yang disebut itu adalah sebagai isyarat kepada agama-agama yang tidak mahu menerima Islam (seperti Nasrani dan Yahudi). Sedangkan para Nabi yang mereka sanjungi juga adalah Muslim sebenarnya dan taat kepada Allah ﷻ dan mereka tidak melakukan syirik.
Oleh itu Allah ﷻ sebut kisah Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa عليهم السلام dan juga Maryam adalah sebagai teguran kepada penganut Kristian kerana mereka juga adalah Nabi-nabi dan orang penting dalam agama Kristian.
Nabi Harun, Nabi Musa, Nabi Ishak dan Nabi Ya’kub عليهم السلام pula adalah sebagai teguran kepada ahli kitab. Mereka juga dipandang mulia dalam agama Yahudi.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام pula adalah teguran kepada Musyrikin Mekah, kerana mereka pun kenal Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام.
Dan sekarang, disebutkan tentang Nabi Idris عليه السلام yang kurang dikenali. Nabi yang tidak dikenali sangat pun ada disebut juga. Nak beritahu kepada kita bahawa banyak lagi yang kita tidak tahu. Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada seramai 124 ribu para Nabi dan lebih daripada 300 rasul telah diturunkan.
Ayat 58:
أُولٰئِكَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَّهُ عَلَيهِم مِّنَ النَّبِيّينَ مِن ذُرِّيَّةِ ءآدَمَ وَمِمَّن حَمَلنا مَعَ نوحٍ وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبرٰهيمَ وَإِسرٰءِيلَ وَمِمَّن هَدَينا وَاجتَبَينا ۚ إِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءَايَـٰتُ الرَّحمٰنِ خَرّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا ۩
Those were the ones upon whom Allah bestowed favor from among the prophets of the descendants of Adam and of those We carried [in the ship] with Noah, and of the descendants of Abraham and Israel, and of those whom We guided and chose. When the verses of the Most Merciful were recited to them, they fell in prostration and weeping.
Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم
Mereka itulah yang telah dikurniakan Allah telah memberi nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka
Banyak nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka, dari pangkat kenabian, ilmu, anak-anak, pengikut dan sebagainya. Tidak terkira nikmat yang telah diberikan kepada mereka.
مِّنَ النَّبِيِّينَ مِن ذُرِّيَّةِ ءآدَمَ
dari para Nabi dari keturunan Nabi Adam,
Allah menceritakan nikmat-nikmat yang diberikan kepada para Nabi. Mungkin yang dimaksudkan مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ di sini adalah Nabi Idris.
وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ
dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh,
Nabi Nuh diibaratkan ‘Adam kedua’ kerana seluruh keturunan manusia telah habis kecuali yang berada dalam bahtera itu. Jadi kita ini semua adalah keturunan Nabi Adam dan juga Nabi Nuh (bukan Nabi Adam sahaja).
وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرٰهِيمَ وَإِسْرٰءيلَ
dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil-
Israil yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Yaakub. Baginda telah diberi gelaran nama ‘Israil’. Kerana itulah keturunan baginda disebut ‘Bani Israil’ (anak-anak Israil atau anak-anak Yaakub).
وَمِمَّنْ هَدَيْنَا
dan siapa-siapa yang Kami beri hidayah petunjuk
Iaitu mereka yang selain dari para Nabi itu. Ada ramai lagi yang Allah beri petunjuk. Hidayah adalah apa yang dibawa oleh para Nabi. Yang mengikut mereka diberi hidayah. Maka, hendaklah kita mengikut para Nabi itu dan ajaran yang dibawa.
Syariat yang kita kena ikut sekarang adalah syariat Nabi Muhammad. Bukanlah ajaran yang dibawa para ulama dan guru agama yang tidak menyampaikan ajaran dari Al-Qur’an dan Sunnah Nabi.
وَاجْتَبَيْنَا
dan yang Kami pilih.
Allah pilih sesiapa yang diberi hidayah. Kita yang menerima hidayah ini hendaklah bersyukur kerana terpilih. Bukan semua manusia mendapat hidayah ini kerana kita boleh lihat banyak manusia sebenarnya kufur lagi sesat. Ini memberi motivasi kepada kita yang mendapat hidayah Islam ini. Apabila kita rasa kita insan terpilih maka kita akan lebih bersemangat, bukan?
Maka kita hendaklah mengikut jejak langkah mereka yang telah disebut dalam ayat ini (golongan para Nabi dan juga orang yang telah diberi hidayah). Apakah yang mereka lakukan, kita kena ikut.
Selepas kita telah diberi motivasi, sekarang disebutkan apakah yang mereka lakukan apabila dibacakan ayat-ayat Allah.
إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءآيَاتُ الرَّحْمَٰنِ
Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman,
Semua mereka yang telah disebut itu mempunyai satu persamaan utama. Iaitu mereka menerima dan taat kepada wahyu Allah. Maka sekarang apakah yang kita perlu buat selepas dipilih untuk menerima hidayah? Ikutlah Sunnah Nabi-Nabi itu.
Apakah yang mereka lakukan apabila dibacakan ayat-ayat Tuhan?
خَرُّوا سُجَّدًا
Terus mereka tersungkur sujud
Kalimah خَرُّوا bermaksud tersungkur dengan segera. Tersungkur dengan secara automatik dalam bentuk sujud. Mereka para Nabi dan yang mendapat hidayah itu selalu sujud apabila dibacakan wahyu Allah kepada mereka. Ini adalah kerana perkataan سُجَّدًا adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah. Mereka tersungkur sujud itu kerana mereka terkesan dengan ayat-ayat Allah.
Ini kerana mereka bukan sahaja mendengar. Tapi mereka memasukkan ajaran itu dalam hidup mereka. Dan ajaran itu telah memberi kesan kepada hati mereka. Kalau setakat dengar, tidak memahami dan tidak mengamalkan apa yang diajar, itu tidak memberi kesan. Berapa banyak antara kita yang dengar sahaja Al-Qur’an yang dibacakan, tapi tidak faham sedikit pun, tidak memberi kesan sedikit pun dalam hati kita.
Ini adalah salah satu dari ayat-ayat Sajdah dalam Al-Qur’an. Disunatkan untuk sujud apabila dibacakan atau membaca ayat-ayat ini. Ulama’ ada mengatakan bahawa disunatkan untuk berdoa dalam sujud itu tentang perkara yang berkenaan dengan ayat itu.
Jadi, kalau dalam ayat ini kita doakan supaya kita dimasukkan ke dalam golongan yang banyak menangis dan juga golongan yang menjaga solat dan zakat.
وَبُكِيًّا
serta menangis.
Mereka juga selalu menangis. Perkataan yang digunakan juga adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah – bermaksud ‘selalu’. Kenapa mereka selalu menangis?
Untuk tunjuk bahawa mereka bukan hanya sujud dalam bentuk fizikal sahaja tapi mereka telah meresapkan perasaan iman itu sampai dalam hati mereka. Mereka terkesan dengan ayat-ayat Allah sampaikan mereka tidak dapat menahan titisan air mata mereka dari mengalir. Mereka khusyuk apabila membaca kalam Allah. Kesannya, mereka akan menangis.
Nabi juga pernah suruh kita menangis apabila berdoa. Kalau tak boleh menangis dengan sendiri, maka hendaklah cuba-cuba buat-buat menangis. Kerana ini menunjukkan kerendahan kita di hadapan Allah. Lama-lama kita akan menangis dengan sendiri.
Tapi ada yang tak mahu menangis sebab malu. Kita sahaja yang rasa malu kalau menangis. Atau kita rasa kurang selesa. Ada yang kata lelaki tidak menangis. Tapi ingatlah bahawa kita menangis di hadapan Allah, bukan di hadapan orang lain. Jadi tidak perlu kita rasa malu.
Tidak perlu kita rasa tinggi diri. Padahal ada waktu-waktu lain boleh pula kita menangis. Contohnya, tengok filem Hindustan, boleh pula menangis. Tengok cerita kartun pun menangis. Tapi kenapa dengan Allah, kita susah untuk menangis?
Para sahabat yang besar dan gagah pun menangis. Abu Bakr memang terkenal sebagai seorang yang kuat menangis. Pernah sekali, apabila Nabi hendak memilih Abu Bakr untuk mengganti baginda menjadi imam, kerana baginda sudah tidak mampu, Aisyah berkata kepada Nabi supaya jangan pilih Abu Bakr, (bapanya sendiri), kerana beliau kuat menangis.
Itu Abu Bakr, bagaimana pula dengan Umar, yang kita tahu seorang yang berani dan bengis, pun selalu menangis juga. Jadi, siapa kita yang rasa tinggi diri sampai susah untuk menangis kerana Allah?
Ayat 59: Ini adalah satu ayat yang menakutkan sangat kalau kita faham apakah yang disampaikan.
۞ فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ أَضاعُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوٰتِ ۖ فَسَوفَ يَلقَونَ غَيًّا
But there came after them successors who neglected prayer and pursued desires; so they are going to meet evil –
Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),
فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ
Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan selepas mereka
Perkataan خَلْفٌ bermaksud pengganti, dan dari kata dasar yang sama, kita selalu dengar perkataan ‘khalifah’. Tapi bukanlah khalifah itu ‘pengganti’ Nabi, kerana Nabi tidak boleh diganti. Tapi mereka adalah pengganti keturunan.
Iaitu selepas Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, selepas Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ismail dan seterusnya. Mereka semua itu mengganti kepada Nabi-Nabi yang sebelum mereka. Begitu juga, selepas kita tiada, akan ada golongan lain yang akan mengganti kita.
Dari segi bahasa, خَلْفٌ bermaksud keturunan itu adalah dari jenis manusia yang jahat. Kalau خَلَفٌ pula, mereka itu dari golongan manusia yang baik. Bezanya adalah tanda mati/sukun pada huruf ل. Begitulah kehebatan bahasa Arab. Ubah sikit sahaja sudah jadi makna lain.
Ayat ini penting kerana ayat sebelum ini menceritakan tentang kebaikan-kebaikan para Nabi dan pengikut mereka. Tapi semasa ayat ini diturunkan, Nabi tengok di sekeliling baginda, tidaklah begitu keadaan kaum-kaum yang ada bersama baginda. Masyarakat yang ada pada zaman Nabi itu adalah sangat jauh dari kebenaran sampaikan mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’.
Maka Allah jelaskan dalam ayat ini, selepas Nabi-Nabi itu, umat yang selepas mereka adalah umat yang buruk. Mereka itu yang teruk, bukan kerana salah Nabi-Nabi itu. Oleh itu, jangan salahkan Nabi-nabi itu, kerana mereka tidak bersalah.
Kenapa mereka boleh sampai jadi begitu? Sebabnya akan disebutkan dalam potongan ayat berikut.
أَضَاعُوا ٱلصَّلَوٰةَ
yang mencuaikan sembahyang
Cuai bermaksud tidak mengambil peluang dari solat itu. Setiap solat ada kelebihannya dan mereka tidak mengendahkannya.
Ini bukan bermaksud mereka langsung tak solat. Bukannya mereka tidak solat langsung tapi mereka tak menjaga waktu solat. Mereka lalai dalam menjaganya. Sebagai contoh, mereka solat di hujung waktu dan kadang-kadang terlajak masuk dalam waktu solat lain.
Atau mereka solat apabila sudah termasuk dalam waktu makruh. Contohnya, mereka solat Asar tapi sudah nak masuk waktu Maghrib. Itu adalah waktu yang makruh. Memang sah solat itu kerana dalam waktu lagi, tapi waktu yang makruh.
Begitu juga dengan solat Isyak, sepatutnya dilakukan sebelum tengah malam. Kalau selepas tengah malam, masih lagi dalam waktu tapi sudah termasuk dalam waktu yang makruh. Ramai yang tidak tahu hal ini dan Solat Isyak terlalu lewat.
Ada mufassir yang kata maksud ayat ini mereka tidak khusyuk dalam solat. Iaitu mereka tidak jaga kualiti solat mereka. Mereka solat tapi sambil lewa sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak menitikberatkan tentang kepentingan solat itu. Dan kerana mereka tidak faham falsafah solat, jadi mereka buat solat itu secara mekanikal sahaja (ikut pergerakan sahaja, tapi tidak ada ‘roh’).
Saidina Umar pula berkata ayat ini bermaksud mereka yang tinggalkan solat berjemaah di masjid kerana sibuk dengan dunia. Kalau sekarang memang kita tengok manusia sangat sibuk dengan kerja dan benda lain sampai tak sempat solat di masjid. Yang dimaksudkan adalah golongan lelaki kerana mereka sahaja yang wajib solat berjemaah di masjid. Ramai juga lelaki yang tidak tahu bahawa solat berjemaah di masjid itu adalah wajib.
Begitu juga, kita boleh kata mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang memasukkan perkara-perkara bidaah yang ditambah dalam solat. Amat banyak kalau hendak disebut di sini. Sebagai contoh, sekarang ini, apabila selepas solat berjemaah, masyarakat kita akan ramai-ramai salam keliling. Mereka beratur buat bulatan sambil bersalaman antara satu sama lain.
Itu adalah bidaah yang paling baru. Tidak pernah diajar dalam Islam. Para sahabat tidak buat pun perkara ini. Yang ada dalam hadis, kalau baru berjumpa barulah para sahabat berjabat salam. Tidaklah ada mana-mana hadis anjuran berjabat salam selepas solat.
Tapi perkara ini ramai masyarakat kita yang buat. Sekarang bukan hanya salam sahaja, sudah mula baca selawat. Maknanya, semakin ditambah dengan amalan-amalan khusus pula. Nanti akan ada selawat khas direka untuk salam keliling ini. Tak lama nanti akan ada doa khas pula dan entah apa lagi bidaah yang akan direka dalam agama.
Anak cucu kita nanti akan lihat perbuatan ini dan mereka akan sangka ini adalah perkara baik dalam agama atau sebahagian dari agama. Padahal ianya bukan dari syariat agama tapi rekaan manusia sahaja. Kita takut jadi lebih teruk lagi kalau ada yang kata ada pahala kalau buat begini. Dan kalau ada orang yang tidak buat, orang itu akan dikutuk kerana mereka kata meninggalkan sesuatu dalam agama. Padahal, ini bukanlah ajaran dalam agama Islam pun.
Ayat ini adalah tentang manusia yang engkar kerana lalai dalam solat. Jangan sangka kita sekarang ini tidak boleh jadi macam mereka. Kalau kita pun lalai dalam solat macam mereka, maka kita pun boleh jatuh seperti mereka. Sekarang lihatlah bagaimana keadaan solat kita. Lambat, tidak khusyuk dan hanya buat di ceruk-ceruk rumah sahaja.
Kalau kita lalai dalam solat, kita pun akan lalai dalam perkara-perkara lain. Kalau kita lalai dalam menjaga hak Allah, kita pun tidak akan menjaga hak makhluk lain.
Maka, hendaklah kita solat dalam waktu yang afdhal. Zaman sekarang senang nak pakai alat-alat canggih untuk mengingatkan kita tentang waktu solat. Maka, kita kena set reminder untuk diri kita sebelum waktu solat masuk supaya kita boleh bersedia untuk mendirikan solat. Supaya kita bersedia untuk pergi ke masjid untuk solat.
Kita kena tunjukkan tauladan menjaga waktu solat kepada anak-anak kita. Oleh itu kena sekali sekala solat bersama keluarga kita. Buatkan satu ruang dalam rumah kita untuk didirikan solat di situ. Mereka akan melihat solat sebagai sesuatu yang penting dan menjadi satu aktiviti keluarga yang merapatkan antara keluarga.
Kalau mereka menyia-nyiakan salat, tentulah mereka akan menyia-nyiakan kewajipan-kewajipan lain kerana salat adalah tiang agama dan sebaik-baik amal seorang hamba.
Bukan itu sahaja yang menyebabkan mereka jatuh, ada lagi:
وَاتَّبَعُوا الشَّهَوٰتِ
serta menurut nafsu;
Mula-mula mereka ikut nafsu. Lama-lama mereka jadikan nafsu mereka sebagai tuhan. Itulah bahayanya apabila kita ikut sahaja nafsu kita. Lihatlah ayat Furqan:43 –
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?
Allah memberitahu bahawa mereka itu rosak kerana mereka tidak menjaga solat dan mereka mengikut nafsu mereka sahaja.
Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah suruh Nabi Isa dan Nabi Ismail jaga solat dan zakat. Berkenaan solat ada disebut dalam ayat ini, tapi mana tentang zakat? Yang disebut adalah tentang nafsu pula.
Maknanya ada kaitan antara zakat dan nafsu. Apakah kaitan antara nafsu dan zakat? Kalau kita ikut nafsu kita dan membazir, tentulah kita tidak ada duit nak beri zakat dan sedekah lagi.
فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا
maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),
Kalimah غَيًّا dari segi bahasa adalah ‘sesat kerana kepercayaan salah’. Sudah tidak tahu mana salah mana betul.
Ada juga pendapat yang mengatakan غَيًّا adalah nama gua atau lembah dalam neraka yang di dalamnya paling teruk seksaan yang diberikan. Teruk sangat sampai neraka sendiri pun minta lindung darinya. Dalam riwayat dikatakan neraka berdoa sebanyak lapan kali sehari supaya dilindung dari غَيًّا kerana neraka pun takut.
Dalam lembah itu ada sebanyak 70 ribu ekor ular. Setiap satu lubang adalah untuk seorang manusia. Seekor ular itu panjangnya boleh lilit bumi. Satu titik dari bisanya boleh mematikan segala kehidupan di dunia. Tapi mereka yang kena patuk di neraka nanti, tidak akan mati-mati. Inilah yang dijanjikan kepada mereka yang melalaikan solat.
Maknanya, bukan kecil dosa yang dikaitkan dengan melalaikan solat. Tidakkah ini menakutkan? Kita sangka dengan kita solat sudah cukup, sudah terlepas dari azab, tapi lihatlah apa balasan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang lalai dalam solatnya. Kerana pentingnya menjaga solat, Allah menakutkan kita dengan balasan yang berat.
Tapi Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Dia tidak biarkan kita begitu sahaja. Selepas Allah takutkan kita, Allah beri jalan keluar. Lihat ayat seterusnya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 10 April 2020
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Shaikh Nasir Jangda
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Jalalain