Tafsir Surah Maryam Ayat 51 – 55 (Jaga agama ahli keluarga)

Ayat 51: Sekarang kita masuk ke dalam kisah Nabi Musa عليه السلام pula. Daripada ayat ini sehingga ke ayat 63 adalah Perenggan Makro Keempat. Dalam perenggan ini, akan disebut Nabi-nabi yang lain juga.

Bermula dengan kisah Nabi Musa عليه السلام yang hanya disebut dengan ringkas sahaja. Dalam Surah Taha selepas ini nanti akan disebutkan dengan panjang lebar kisah Nabi Musa عليه السلام.

وَاذكُر فِي الكِتٰبِ موسىٰ ۚ إِنَّهُ كانَ مُخلَصًا وَّكانَ رَسولًا نَّبِيًّا

Sahih International

And mention in the Book, Moses. Indeed, he was chosen, and he was a messenger and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya dia adalah orang pilihan, dan adalah dia seorang Rasul, lagi Nabi.

 

وَاذْكُرْ فِي الْكِتٰبِ مُوسَىٰ

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa;

Sekarang kita disuruh untuk ambillah pengajaran daripada kisah Nabi Musa عليه السلام. Banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisah baginda dan umat baginda. Kisah Nabi Musa عليه السلام memang banyak dalam Al-Qur’an kerana perjuangan baginda ada banyak persamaan dengan perjuangan Nabi Muhammad ﷺ.

Pengajaran tentang Nabi Musa عليه السلام bukan untuk diri Nabi Muhammad ﷺ sahaja, tetapi baginda kena sampaikan kisah Nabi Musa عليه السلام kepada seluruh manusia. Ini kerana ada persamaan antara mesej yang disampaikan oleh Nabi Musa عليه السلام dan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Ingatkan kepada manusia bahawa semua Nabi membawakan perkara yang sama. Dari segi tauhid, sama sahaja.

Dan kisah Nabi Musa عليه السلام itu hendaklah diambil daripada Al-Qur’an sahaja. Atau, kena disesuaikan dengan Al-Qur’an. Jangan ambil daripada sumber-sumber lain yang tidak sahih. Banyak kisah-kisah yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Kadang-kadang kisah itu boleh merendahkan martabat para Nabi. Ini adalah kerana banyak yang bersumberkan kisah-kisah israiliyat. Dan malangnya kisah-kisah itu telah masuk ke dalam kitab-kitab karangan manusia. Dan disampaikan orang para ‘tukang cerita’ di dalam ceramah-ceramah mereka.

Maka, berhati-hatilah kalau kita memperkatakan tentang para Nabi. Mereka adalah manusia mulia yang menjadi ikutan kita. Kalau ada kisah-kisah mereka yang boleh menyebabkan kita musykil dengan agama, rasa merendahkan dan menghina mereka, maka itu adalah satu perkara yang bahaya.

 

إِنَّهُ كَانَ مُخْلَصًا

sesungguhnya dia adalah orang pilihan,

Daripada segi bahasa, مُخْلَصًا bermaksud sesuatu yang tulus, yang telah disucikan, yang taat. Perkataan ini khas digunakan untuk para Nabi. Ertinya seorang yang ikhlas di dalam beribadah dan Allah ‎ﷻ membersihkan dirinya daripada hal-hal yang kotor.

Tetapi kalau difikirkan, semua Nabi mendapat kelebihan yang sama, jadi kenapa dalam ayat ini, ia disebutkan secara spesifik kepada Nabi Musa عليه السلام? Apakah kelebihan Nabi Musa عليه السلام kalau dibandingkan dengan Nabi-nabi yang lain?

Nabi Musa عليه السلام mendapat satu kelebihan yang tidak ada pada para Nabi yang lain – baginda bercakap secara terus dengan Allah ‎ﷻ. Dalam Nisa:134, telah diberitahu kepada kita tentang perkara ini. Maksud ayat itu, memang benar-benar Allah ‎ﷻ bercakap terus dengan Nabi Musa عليه السلام. Ia bukan secara isyarat tetapi memang bercakap dengan sebenarnya.

Dalam Shura:51, Allah ‎ﷻ telah menyebut bagaimana Allah ‎ﷻ berkomunikasi dengan para Nabi dan cara komunikasi dengan Nabi Musa عليه السلام ini adalah lebih hebat lagi. Tidak semua para Nabi dapat bercakap secara terus dengan Allah ﷻ. Jadi, itu adalah satu kelebihan yang amat tinggi yang telah diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام yang tidak diberikan kepada orang lain.

Dan kisah Nabi Musa عليه السلام penuh dengan ranjau, tetapi Allah ‎ﷻtelah menyelamatkan baginda setiap kali. Dari masa Nabi Musa عليه السلام masih bayi lagi, Firaun telah mengarahkan supaya dibunuh semua bayi lelaki tetapi Allah ‎ﷻ telah memberi ilham kepada ibu baginda untuk menyelamatkan baginda; apabila baginda telah membunuh seorang lelaki Qibti secara tidak sengaja dan baginda telah dikenakan hukuman bunuh, Allah ‎ﷻ telah menghantar seorang lelaki untuk menasihatkan baginda untuk melarikan diri; baginda telah berlawan dengan ahli sihir terkemuka dan hebat dalam negari Mesir dan Allah ‎ﷻ telah beri kemenangan kepada baginda; baginda telah dikejar semasa melarikan diri bersama Bani Israil yang bersama baginda di Laut Merah dan Allah ‎ﷻ telah menyelamatkan baginda dengan membelah lautan.

Semua itu adalah nikmat-nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan baginda.

 

وَّكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

dan adalah dia seorang Rasul, lagi Nabi.

Dalam ayat lain, kita telah sebut apakah makna Nabi. Kali ini disebut bahawa Nabi Musa عليه السلام juga adalah seorang Rasul. Apakah makna Rasul?

Makna Rasul adalah seorang yang membawa ‘risalah’ daripada pihak yang tinggi. Dalam Islam, para Rasul membawa risalah dari Allah ‎ﷻ yang Maha Tinggi.

Apabila dua perkataan ini diletakkan bersama, bermakna ada perbezaan antara Rasul dan Nabi. Persoalan yang selalu timbul adalah: apakah perbezaan antara seorang Nabi dan Rasul? Jawapan yang kita selalu dengar adalah Rasul adalah Nabi yang membawa risalah. Oleh itu, setiap Rasul adalah Nabi setiap Nabi tidak semestinya seorang Rasul. Itu adalah jawapan yang kita biasa dengar dan mungkin tidak berapa tepat. Kerana ia terlalu simplistik.

Pendapat yang lebih bagus adalah: seorang Nabi dihantar kepada kaumnya tetapi seorang Rasul membawa syari’at baru. Itu pun masih ada khilaf di kalangan ulama’. Ada juga yang kata bahawa seorang Nabi diberikan wahyu untuk dirinya tetapi seorang Rasul kena menyampaikan dakwah kepada kaum.

Daripada segi penggunaan dalam Al-Qur’an, Nabi Muhammad ﷺ kadang-kadang disebut dengan pangkatnya sebagai seorang Nabi dan kadangkala sebagai seorang Rasul. Apabila diperhatikan, apabila baginda berurusan dengan manusia, pangkat Nabi yang disebut. Tetapi apabila dalam ayat itu menyebut tentang baginda menerima risalah daripada Allah ‎ﷻ, pangkat baginda sebagai Rasul yang disebut.

Jadi, apakah kaitannya dengan ayat ini? Kalau kita lihat penerangan tentang Nabi Ibrahim عليه السلام, baginda disebut صِدِّيقًا نَّبِيًّا (seorang yang amat benar dan seorang Nabi). Tetapi, apabila disebut tentang Nabi Musa عليه السلام, baginda dikatakan: رَسُولًا نَّبِيًّا (seorang Rasul dan Nabi). Kenapa ada perbezaan?

Ini adalah kerana ada kriteria tertentu yang hendak ditekankan tentang mereka berdua yang berbeza antara satu sama lain. Dalam kes Nabi Musa عليه السلام, baginda mempunyai masalah dengan kaumnya yang susah untuk menerima baginda sebagai seorang Rasul yang mendapat risalah daripada Allah ‎ﷻ. Maka, status kerasulan baginda ditekankan.


 

Ayat 52:

وَنادَينٰهُ مِن جانِبِ الطّورِ الأَيمَنِ وَقَرَّبنٰهُ نَجِيًّا

Sahih International

And We called him from the side of the mount at [his] right and brought him near, confiding [to him].

Malay

Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.

 

وَنَادَيْنٰهُ

Dan Kami telah menyerunya

Kejadian yang dimaksudkan ini adalah ketika Nabi Musa عليه السلام telah sesat mencari api di Bukit Thur. Ada disebut di awal Surah Taha tentang kisah ini. Allah ‎ﷻ telah memanggilnya dan telah berdialog dengan Nabi Musa عليه السلام buat pertama kali.

Perkataan نداء digunakan dalam ayat ini kerana kita telah belajar sebelum ini bahawa maknanya: bercakap dengan seseorang yang kita tidak nampak. Nabi Musa عليه السلام memang berkata-kata secara terus dengan Allah ‎ﷻ, tetapi baginda tidak nampak Allah ‎ﷻ.

Nabi Musa عليه السلام memang ada minta untuk melihat Allah ‎ﷻ tetapi tidak boleh. Ini telah disebut dalam ayat A’raf:143 قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَن تَرَانِي.

 

مِن جَانِبِ الطُّورِ الْأَيْمَنِ

dari arah sebelah kanan Gunung Tursina,

Di manakah bahagian kanan ini? Ini mungkin sebagai isyarat sahaja. Bukan mengambil maksud yang literal sebelah ‘kanan’. Jadi tidak perlu pergi ke bukit Thur dan cari bahagian mana pula. Ia mungkin bermaksud ‘baik’. Kita pun selalu menggunakan ‘kanan’ untuk perkara yang baik, seperti ‘puak kanan’ dan sebagainya. Maka ayat ini hendak mengatakan bahawa tempat itu diberkati.

Apabila sesuatu itu diberkati, kenalah ada dalil dalam agama. Sama ada Allah ‎ﷻ beritahu atau Nabi beritahu kepada kita. Kita sebagai manusia, tidak tahu apakah yang diberkati kerana ia adalah perkara ghaib. Jangan kita pandai-pandai kata sesuatu itu berkat atau tidak.

Sebagai contoh masyarakat kita, kalau ada yang baru balik dari Mekah, kita akan kata kepada mereka: “Nak salam sekejap, nak ambil berkat”. Itu adalah rekaan semata-mata. Tidak ada dalil mereka yang balik dari Mekah bawa balik berkat itu dengan mereka dan boleh beri kepada kita pula. Kalau kita hendak dapat berkat, kita sendiri kena pergi ke Mekah kerana Mekah memang tempat yang diberkati.

Ada juga yang hendak peluk tok guru, minum air lebihan tok guru, tanah kubur tok guru dan macam-macam lagi kerana hendak ambil ‘berkat’. Ini tidak patut dilakukan kerana tiada dalil bagi semua berkat itu.

 

وَقَرَّبْنٰهُ نَجِيًّا

dan Kami dampingkan dia dengan dekat.

Nabi Musa عليه السلام telah diberi penghormatan berkata-kata dengan Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu kelebihan kepada Nabi Musa عليه السلام yang tidak diberikan kepada Nabi-Nabi yang lain.

Kalimah نَجِيًّا ini seperti yang kita faham sebagai ‘munajat’ iaitu berkata-kata dengan rahsia bersama seseorang yang amat dekat sekali. Bercakap dengan rapat sekali. Jadi kalimah munajat dalam ayat ini bermaksud mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ dan mengadu kepada-Nya. Kerana itu solat dikatakan sebagai munajat kepada Allah ﷻ kerana kita sedang bercakap secara rahsia denganNya.


 

Ayat 53:

وَوَهَبنا لَهُ مِن رَّحمَتِنا أَخاهُ هٰرونَ نَبِيًّا

Sahih International

And We gave him out of Our mercy his brother Aaron as a prophet.

Malay

Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.

 

وَوَهَبْنَا لَهُ

Dan Kami kurniakan kepadanya

Perkataan هَبْ digunakan apabila ianya melibatkan satu pemberian besar. Selalunya digunakan dalam Al-Qur’an apabila menceritakan tentang pemberian anak.

Anak adalah satu pemberian yang amat besar. Mereka yang sudah ada anak akan dapat memahami apakah yang dimaksudkan. Dan apa yang diberikan kepada Nabi Musa dalam ayat ini adalah juga satu pemberian yang besar. Apakah pemberian itu? Akan disebutkan selepas ini.

 

مِن رَّحْمَتِنَا

dari rahmat Kami,

Ianya adalah satu pemberian dan kurniaan yang amat besar dan kerana itu disebut sebagai rahmat dari Allah. Allah hendak mengingatkan kita bahawa pemberian itu adalah dari Allah. Bukan hanya pemberian kepada Nabi Musa sahaja yang dari rahmat Allah, tapi apa-apa pemberian pun kepada kita. Semua yang kita dapat adalah rahmat dari Allah.

Apabila ada perkataan مِن, ianya bermakna ‘sebahagian’. Walaupun besar pemberian Allah itu kepada Nabi Musa, tapi tidak sampai setitik pun dari keseluruhan rahmat Allah yang amat amat luas.

Apakah pemberian itu sampai digunakan kata هب dan dikatakan ianya rahmat dari Allah?

 

أَخَاهُ هٰرُونَ نَبِيًّا

saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.

Nabi Musa telah berdoa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya (abangnya) Harun sebagai Nabi dan Allah telah perkenankan doa Nabi Musa itu.

Ada beberapa perkara yang Nabi Musa minta kepada Allah. Antaranya adalah diminta supaya abangnya Harun dijadikan juga Nabi supaya dapat menyokongnya dalam dakwah terutama sekali dengan Firaun. Kisah ini disebut dalam surah seterusnya, Surah Taha dengan panjang lebar. Kisah Nabi Musa meminta supaya dilantik Nabi Harun menjadi Nabi ada disebut dalam Taha:29.

Bermakna Allah telah memperkenankan doa Nabi Musa. Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud doa umatnya seperti doa para Nabi Bani Israil. Bermaksud doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah. Cuma pemberian Allah itu berbagai cara – ada yang diberikan seperti apa yang diminta, ada yang ditukar kepada perkara yang lebih baik dan ada yang diberikan di akhirat kelak. Ini menunjukkan kehebatan doa. Maka jangan kita sia-siakan kebesaran yang Allah telah berikan kepada kita itu.

Dalam ayat ini dikatakan bahawa Nabi Harun adalah seorang Nabi. Ini menolak pendapat yang mengatakan Nabi Harun bukan seorang Nabi.


 

Ayat 54: Sebelum ini tentang Nabi-nabi dari Bani Israil, sekarang disebut Nabi dari jalur yang lain (Bani Ismail).

وَاذكُر فِي الكِتٰبِ إِسمٰعيلَ ۚ إِنَّهُ كانَ صادِقَ الوَعدِ وَكانَ رَسولًا نَّبِيًّا

Sahih International

And mention in the Book, Ishmael. Indeed, he was true to his promise, and he was a messenger and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Qur’an) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

 

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ

Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Qur’an) ini perihal Nabi Ismail;

Allah menyuruh Nabi Muhammad (dan kita juga) untuk memerhatikan kisah Nabi Ismail yang ada dalam Al-Qur’an ini. Bukan diambil dari karangan-karangan mengarut selain dari Al-Qur’an dan hadis.

Begitu juga kita hendaklah menyampaikan juga kisah Nabi Ismail ini kepada orang lain juga. Kita telah pernah sebut bahawa اذْكُرْ ada dua maksud: ingat dan sampaikan.

Sebelum ini tidak disebut Nabi Ismail apabila Al-Qur’an memperkatakan tentang anak dan cucu Nabi Ibrahim dalam ayat 49. Bukanlah kerana Nabi Ismail kurang status atau rendah dari Nabi Ishak. Ada di tempat lain dalam Al-Qur’an hanya disebut Nabi Ismail tanpa Nabi Ishak.

Kita kena faham yang Al-Qur’an memperkatakan sesuatu perkara mengikut keperluan. Dalam ayat 49, perlu disebut Nabi Ishak dan di tempat lain perlu disebut nama Nabi Ismail. Ini kerana Al-Qur’an adalah kata-kata Allah yang tepat. Kalau ianya tidak diperlukan, Allah tidak akan sebut dalam Al-Qur’an.

 

إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ

sesungguhnya dia adalah yang benar dan sentiasa menepati janji

Maksud ayat ini adalah Nabi Ismail sentiasa menepati janjinya. Tidak pernah baginda bernazar untuk melakukan sesuatu ibadat melainkan baginda akan menunaikannya. Pernah sekali, dbagindaia berjanji untuk berjumpa dengan seorang lelaki di satu tempat. Nabi Ismail telah pergi ke tempat itu seperti yang dijanjikan tapi lelaki itu terlupa untuk datang. Nabi Ismail tetap menunggu sampai lelaki itu datang esok harinya.

Dan memang normal untuk para Nabi menepati janji mereka. Tiada bezanya Nabi Ismail dengan Nabi-Nabi lain dalam hal itu. Tapi apabila ada ال dalam perkataan الْوَعْدِ (janji), itu bermaksud ianya adalah satu janji yang spesifik. Apakah janji yang dimaksudkan?

Janji yang dimaksudkan adalah kisah bagaimana Nabi Ibrahim telah mendapat mimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail. Kisah ini disebut dalam Saffat:102, 103. Apabila diberitahu kepada Nabi Ismail, baginda sanggup terima. Dan apabila sampai masa untuk menyembelih baginda, baginda datang menepati janjinya. Bukanlah baginda hanya cakap sahaja tapi kemudian melarikan diri. Itulah janji yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Ini memberi pengajaran kepada kita untuk menepati janji juga. Nabi pernah bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga. Jika bicara dia dusta, jika berjanji dia menyalahi, dan jika diberi amanah dia khianat.”

Dalam Sunan Abi Dawud, ada diriwayatkan kisah Nabi Muhammad. Seorang sahabat bernama Abil Hamsa berkata:

“Aku berbai’at kepada Rasulullah sebelum baginda diutus menjadi Nabi. Di kemudian hari, aku berjanji bertemu dengannya di suatu tempat. Akan tetapi pada hari itu aku lupa, begitu juga hari keduanya. Maka pada hari ketiga, aku menemui baginda dan aku melihat baginda tetap berada di tempat tersebut. Baginda bersabda kepadaku: “Hai anak muda, engkau menyebabkan aku rindu. Aku menunggumu di sini sejak tiga hari.”

 

وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

‘Rasul’ digunakan dalam ayat ini kerana bagindalah asas kepada bangsa Arab. Bagindalah yang telah meletakkan dasar dan hukum perjalanan bangsa Arab. Kalau kita mengambil definisi ‘Rasul’ sebagai seorang Nabi yang membawa syariat baru kepada kaumnya. Jadi itulah yang dibawa oleh Nabi Ismail kepada bangsa Arab. Dari keturunannya lahir Nabi Muhammad.

Baginda juga seorang Nabi lagi Rasul. Ada mufassir mengatakan ini menunjukkan kemuliaan Ismail dibandingkan saudaranya Ishaq. Kerana Allah mensifati Ishaq hanya dengan kenabian sedangkan Ismail disifatiNya dengan kenabian dan kerasulan.


 

Ayat 55: Ini adalah sambungan kisah Nabi Ismail a.s. Apakah yang hendak disampaikan oleh ayat ini? Semasa kita membaca ayat ini, kita perlu ingat bahawa baginda adalah seorang pemimpin besar. Baginda telah meletakkan asas pembentukan negara Arab.

Tentunya sebagai seorang pemimpin, baginda sibuk dengan tugas-tugas kenegaraan. Sebagai Rasul pula, tentunya baginda sibuk dengan tugas-tugas dakwah. Tapi begitu pun, baginda tidak melupakan tanggungjawab mengajar dan memberi peringatan agama kepada anak isterinya.

Baginda mengajar masyarakat yang dipimpinnya dari teladan yang ditunjukkan sendiri. Mereka boleh lihat sendiri bagaimana baginda berurusan dengan keluarganya. Maka elok sangat kalau kita mempelajari kisahnya di sini dan melihat apakah pengajaran yang kita boleh ambil. .

وَكانَ يَأمُرُ أَهلَهُ بِالصَّلٰوةِ وَالزَّكٰوةِ وَكانَ عِندَ رَبِّهِ مَرضِيًّا

Sahih International

And he used to enjoin on his people prayer and zakah and was to his Lord pleasing.

Malay

Dan adalah dia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan dia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!

 

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ

Dan adalah dia menyuruh keluarganya

Apabila كَانَ diletakkan sebelum kata kerja, ia bermaksud ‘sentiasa’. Begitulah kadang-kadang apabila kita mengajak ke arah kebaikan, tidak boleh hanya bercakap sekali sahaja. Macam kita nak ingatkan anak kita solat, hari ni kena cakap, esok kena cakap, lusa kena cakap dan tulat dan seterusnya, kena juga ingatkan mereka tentang solat dan tentang ibadat-ibadat lain.

 

بِالصَّلٰوةِ وَالزَّكٰوةِ

untuk mengerjakan sembahyang dan memberi zakat,

Sebelum ini, telah disebut bahawa arahan ini juga telah diberikan kepada Nabi Isa a.s. Sama sahaja arahan yang diberikan kepada Nabi-nabi untuk mengerjakan solat. Maka Nabi Ismail pun telah mengajar perkara yang sama kepada ahli keluarga baginda. Baginda sentiasa mengingatkan mereka untuk mengerjakan solat.

Dalam Surah Taha pun, ada disebut bagaimana Nabi Muhammad pun disuruh mengingatkan keluarganya untuk mengerjakan solat juga. Ini disebut dalam ayat 132.

Istilah ‘zakat’ ada dua makna. Maksud asal dari segi bahasa adalah ‘pembersihan’. Maka makna pertama yang kita boleh ambil dari kalimah ‘zakat’ adalah pembersihan ‘dalaman’ di mana kita membersihkan hati kita dari sifat-sifat buruk.

Dan makna zakat yang kedua adalah makna pembersihan ‘luaran’. Iaitu kita mengeluarkan zakat dalam bentuk harta di mana kita membersihkan harta itu. Apabila kita mengeluarkan zakat, kita sebenarnya membersihkan pendapatan kita jikalau ada dari pendapatan kita yang tidak bersih (dari sumber yang haram atau syubhah).

Kadangkala ada pendapatan-pendapatan yang syubhah yang kita tidak sedari. Sebagai contoh, kita berniaga kedai makan. Mungkin ada termasuk duit pelanggan yang kita tersilap kira. Jadi itu adalah pendapatan yang kotor sebab kita tidak patut dapat duit itu. Jadi, dengan memberikan zakat, keseluruhan harta kita jadi halal bagi kita. Itu adalah satu contoh.

Jadi kita diajar bahawa Nabi Ismail memastikan ahli keluarganya menjaga solat dan zakat. Ayat ini mengingatkan kita bahawa pemimpin pun tidak lepas dari tanggungjawab kepada keluarga. Kita perlu melihat amalan agama mereka (ahli keluarga) juga dengan selalu memberikan nasihat dan peringatan kepada mereka. Selalu kita risau hal dunia mereka, tapi bagaimana dengan agama? Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘tarbiyah’. Kita kena tarbiyah orang bawahan kita.

Banyak pengajaran terdapat dalam ibadat solat dan zakat. Sebab itulah ayat ini menyebut dua ibadat ini. Solat adalah ibadat yang melibatkan tubuh badan dan zakat adalah ibadat hati dan juga ibadat harta.

Nabi Ismail pun disuruh mengajar sendiri ahli keluarga baginda. Berapa banyak kita lihat dalam masyarakat, kadangkala seorang imam, guru agama, tok siak, tertinggal hal-hal agama anak isteri mereka sendiri. Mereka sibuk memberi nasihat kepada orang lain, tapi anak mereka sendiri, mereka tertinggal. Ini mungkin disebabkan mereka telah lalai dalam menjaga kesihatan agama ahli keluarga sendiri.

Memang selalu kita lihat ada orang yang baik, tapi anak mereka pula macam hantu. Anak Nabi-nabi pun ada begitu juga, sebagai contoh anak Nabi Nuh. Maka jangan kita tuduh seseorang itu teruk kalau melihat anaknya yang teruk. Dan jangan kita hanya gunakan alasan anak Nabi Nuh pun tak terima dia (alaahhh, Nabi Nabi pun jahat, apa kau nak kesah anak aku pula?) Kalau kita sudah memang menasihati mereka, barulah boleh kita nak kata kita sudah usaha tapi mereka masih juga tak mahu terima. Tapi kena tanya diri kita: “sudahkah aku nasihat anak isteri aku?”

Marilah kita ambil contoh bagaimana Nabi Muhammad bersama keluarganya. Walaupun baginda dalam kesibukan berdakwah dan menjadi pemimpin masyarakat, tapi baginda berjumpa dengan ahli keluarga baginda setiap hari. Baginda akan mengkhususkan waktu dari selepas Asar sampai Maghrib untuk bertemu semua ahli keluarga baginda.

Marilah kita mengajar anak-anak kita dengan contoh tauladan yang baik. Yang mereka boleh nampak kita buat sendiri. Kita sendiri mengajar mereka solat, baca Al-Qur’an, hadis Nabi dan lain-lain lagi. Dan pastikan mereka solat. Begitu banyak kelebihan dalam solat dan zakat yang boleh diterapkan. Sebagai contoh, solat mengajar mereka menghormati masa. Zakat pula mengajar mereka tanggungjawab sosial sesama umat.

 

وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

dan dia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya.

Penerangan bahawa Nabi Ismail diredhai diletakkan dalam ayat yang sama yang menyebut baginda mengajar keluarganya tentang agama. Ini menunjukkan kepentingan mengajar agama dan mengingatkan tentang agama kepada keluarga.

Apa yang kita hendak adalah redha Allah. Dan mengajar keluarga kita adalah salah satu jalannya untuk mendapat redha Allah. Begitu penting sekali kita mengajar agama kepada mereka. Jangan kita sibuk nak mengajar orang lain sahaja, tapi anak isteri sendiri dilupakan.

Malangnya begitulah yang terjadi kepada  beberapa ahli-ahli agama yang kita boleh lihat dalam masyarakat kita. Maka kalau dengan ahli keluarga kita, biar kita yang ajar sendiri. Tak perlu outsource kepada sekolah agama dan orang alim lain.

Berkeluarga adalah satu ibadah sebenarnya. Banyak kelebihan dalam berkeluarga. Memberi makan kepada mereka adalah sedekah; meluangkan masa dengan mereka adalah sedekah; bersama dengan isteri untuk mendapat zuriat adalah sedekah dan macam-macam lagi peluang untuk buat pahala dengan keluarga kita.

Dan jangan kita lupa bahawa kita tinggalkan mereka untuk meneruskan pahala kepada kita apabila kita tiada nanti. Dalam hadis telah disebut bahawa selepas mati anak Adam, maka putuslah pahalanya, melainkan sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Tapi tentang mendoakan ibubapa ini pun ramai yang keliru. Mereka selalu buat Majlis Tahlil atau sekurang-kurangnya, masyarakat kita akan menyedekahkan bacaan Surah Fatihah kepada ibubapa mereka yang telah tiada. Mereka berhujah bahawa itulah yang dimaksudkan dengan ‘doa’ kepada ibubapa. Ini adalah kerana mereka kurang faham dan mereka hanya ikut sahaja apa yang telah biasa dibuat oleh orang-orang terdahulu.

Orang-orang terdahulu pun keliru juga. Apa yang mereka buat itu adalah ‘sedekah pahala’ dan sedekah pahala tidak ada dalam Islam. Tidak ada dalil langsung yang mengajar kita untuk sedekah pahala sebegitu rupa. Yang dimaksudkan dengan doa adalah doa yang biasa kita baca.

Sebagai contoh doa yang pendek: “Ya Allah, ampunkanlah dosa ibubapaku”. Kalau ada doa yang panjang, boleh diambil dari Al-Qur’an dan hadis Nabi, itu lebih elok. Ini memerlukan perbincangan yang panjang kepada mereka yang masih tidak faham. Dan ini bukanlah tempat untuk perbincangan itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 April 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s