Tafsir Surah Maryam Ayat 72 – 76 (Panjang umur kumpul dosa)

Ayat 72: Selepas Allah ‎ﷻ menceritakan tentang apa yang akan terjadi kepada orang-orang yang jahat, Allah ‎ﷻ terus cerita pula tentang mereka yang baik pula. Jadi, kita akan nampak perbandingan. Bila sudah dapat banding, maka pilihlah hendak masuk kumpulan yang mana.

ثُمَّ نُنَجِّي الَّذينَ اتَّقَوا وَنَذَرُ الظّٰلِمينَ فيها جِثِيًّا

Sahih International

Then We will save those who feared Allah and leave the wrongdoers within it, on their knees.

 

Malay

Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.

 

ثُمَّ نُنَجِّي الَّذِينَ اتَّقَوا

Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa,

Kalimah ثُمَّ memberi isyarat yang proses untuk melalui titian sirat mengambil masa yang lama.

Kalimah نُنَجِّي bermaksud diselamatkan terus 100%. Dan yang diselamatkan itu tiada kesan sampingan, tidak mendapat keburukan.

Semua manusia akan kena melalui neraka, tetapi yang bertaqwa akan diselamatkan. Kelajuan melaluinya bergantung kepada amalan mereka. Ada yang lalu dengan laju. Ada yang perlahan sedikit. Tapi semua yang mukmin akan melepasinya.

Ada ulama’ yang kata ahli syurga tidak terkesan dengan api neraka itu sepertimana Nabi Ibrahim عليه السلام tidak terkesan dengan api yang digunakan untuk membakarnya.

Kita tidak akan dapat tahu kenikmatan sesuatu perkara sehinggalah kita nampak kesusahan. Jadi apabila penghuni syurga nampak neraka yang mereka lepasi, mereka akan lebih menghargai syurga itu.

Jadi jalan untuk selamat dari neraka adalah bertaqwa. Bertaqwa itu bermaksud ‘sentiasa sedar tentang Allah ‎ﷻ’. Iaitu kita memikirkan apakah yang Allah ‎ﷻ hendak kita buat dalam setiap keadaan. Katakanlah kita kena buat keputusan dalam satu perkara, kita akan memikirkan apakah yang Islam suruh kita buat dalam perkara seperti itu?

Kalau kita hendak buat sesuatu, kita akan fikirkan apakah Allah ‎ﷻ suka atau tidak dengan apa yang kita hendak buat itu. Maka kena belajar hukum dalam kehidupan ini. Mana yang halal dan mana yang haram.

 

وَّنَذَرُ الظّٰلِمِينَ فِيهَا

dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim tinggal di dalam neraka itu.

Mereka yang zalim itu adalah mereka yang tidak ikut apa kata Allah ‎ﷻ. Selepas segala apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka dalam dunia ini, mereka masih lagi tidak mengikut perintah Allah ‎ﷻ. Mereka itu semuanya akan jatuh dalam neraka.

 

جِثِيًّا

berlutut

Mereka akan berlutut macam penjenayah menerima azab. Sebelum ini telah disebut mereka akan melutut di keliling neraka berlutut juga. Kali ini, dalam neraka pun mereka pun melutut juga. Duduk ini adalah cara menghinakan mereka.


 

Ayat 73: Apakah yang mereka kata semasa mereka yang zalim itu semasa di dunia dulu? Mereka berlagak dengan apa yang mereka ada.

Inilah masalah kalau manusia mendapat pangkat dan kekayaan. Dengan pangkat dan kekayaan itu, boleh menyebabkan mereka jadi kufur kalau mereka tidak berhati-hati. Maka, kita pun hendaklah berhati-hati juga.

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم ءآياتُنا بَيِّنٰتٍ قالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنوا أَيُّ الفَريقَينِ خَيرٌ مَّقامًا وَأَحسَنُ نَدِيًّا

Sahih International

And when Our verses are recited to them as clear evidences, those who disbelieve say to those who believe, “Which of [our] two parties is best in position and best in association?”

 

Malay

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman: “Puak yang manakah (dari kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis perhimpunannya?

 

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءآيَاتُنَا بَيِّنٰتٍ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata,

Ayat-ayat daripada wahyu itu sudah jelas. Bukanlah ayat Al-Qur’an ini berbelit-belit sampai susah hendak faham. Asalkan kalau kita belajar, kita akan dapat faham. Ayat Al-Qur’an itu adalah jelas sejelas-jelasnya. Orang kita sahaja yang tidak faham kerana mereka tidak mahu belajar tafsir.

Bukan sahaja mereka tidak mementingkan untuk belajar bahasa Arab, belajar tafsir pun tidak. Tetapi kita terima, mereka memang suka membaca Al-Qur’an. Mereka kata tenang apabila baca Al-Qur’an. Namun, setakat baca sahaja tanpa memahaminya. Sebab itulah orang yang rajin baca Al-Qur’an pun masih lagi buat perkara-perkara yang salah, yang berlawanan dengan apa yang diajar oleh Qur’an, kerana mereka tidak faham apa yang mereka baca.

Itu sama sahaja dengan orang-orang Yahudi. Mereka pun baca dan mereka pun hafal kitab Taurat, tetapi setakat bacaan dan hafalan sahaja, tanpa memahami isi kandungan Taurat itu. Dan kerana itu mereka tidak pakai ajaran dalam Taurat.

Oleh itu, kalau setakat baca dan hafal ayat-ayat Al-Qur’an sahaja, sama sahaja kita dengan Yahudi.

 

قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman:

Orang yang beriman selalunya akan berdakwah kepada manusia. Ini bukanlah kerja yang senang. Kerana kita tahu, akan ada yang terima dan akan ada yang tidak mahu terima. Malah ada yang tidak suka dan menentang para pendakwah.

Mereka yang menentang itu, macam-macam alasan mereka akan berikan. Macam-macam kata-kata nista yang mereka akan katakan. Al-Qur’an sudah sebut apa yang mereka akan katakan, sebelum mereka cakap lagi.

Bandingkan jawapan yang diberikan oleh orang-orang kafir dengan apa yang dikatakan oleh orang beriman dalam ayat 58 – mereka yang beriman itu akan tersungkur jatuh dalam keadaan sujud dan menangis. Tetapi lihatlah apa kata orang-orang kafir:

 

أَيُّ الْفَرِيقَيْنِ خَيْرٌ مَّقَامًا

“Puak yang manakah (antara kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya

Mereka yang ingkar itu berbangga dengan kediaman mewah yang mereka ada. Mereka berbangga dengan kekayaan dan kedudukan mereka. Mereka sangka, kerana mereka mendapat kemewahan di dunia, maka mereka adalah insan-insan yang terpilih.

Mereka sangka, kalau Tuhan telah memberikan kelebihan kepada mereka semasa di dunia, maka mereka pun sepatutnya mendapat kelebihan di akhirat juga nanti. Itu pun kalau ada akhirat, mereka kata.

 

وَأَحْسَنُ نَدِيًّا

dan lebih elok majlis perhimpunannya?

Kalimah نَدِيًّا bermaksud perkumpulan orang-orang elit. Zaman Nabi ﷺ dulu di Mekah ada Darul Nadwah. Di situlah macam parlimen mereka di mana keputusan dibuat tentang masyarakat. Kalau zaman sekarang, ada tempat-tempat yang orang-orang kaya sahaja yang boleh masuk. Seperti kelab-kelab mahal di mana orang biasa-biasa tidak boleh masuk.

Mereka hendak kata mereka lebih tinggi daripada orang beriman yang sedang mendakwah mereka. Mereka kata: “Lihatlah bagaimana Tuhan telah memberikan kelebihan kepada kami. Kalau kami dapat kedudukan yang tinggi di dunia, tentulah kami yang benar.”

Musyrikin akan selalu kata kepada orang beriman bahawa mereka lebih baik. Antaranya mereka kata pengikut guru mereka lebih banyak, lebih kaya. Inilah yang akan dihadapi oleh pendakwah-pendakwah sunnah. Guru-guru yang tidak mengajar sunnah memang ramai yang kaya-raya. Kerana mereka buat duit dengan mengajar perkara-perkara yang salah.

Mereka ambil upah dalam mengajar, dalam baca doa, dalam buat ibadat dan sebagainya. Anak-anak murid mereka sudah siap ada menu – baca doa boleh caj sekian banyak, jadi imam solat hajat sekian banyak, jadi imam solat jenazah sekian banyak dan seterusnya.

Sama sahaja dengan tok sami agama Hindu, yang mengambil upah untuk baca doa. Ini kerana sama sahaja akidah mereka sebenarnya (menggunakan perantaraan dalam berdoa). Kerana mereka berakidah tuhan memerlukan perantaraan dan merekalah perantaraan itu pada fikiran mereka.

Ini sudah jadi satu fenomena yang teruk di Malaysia, sampaikan ada pemahaman kalau kereta langgar kucing, langgar babi, kereta itu akan sial. Maka, kena dimandikan oleh guru atau ustaz. Sama juga yang dilakukan oleh sami-sami Hindu. Mereka juga buat perkhidmatan ‘buang sial’.

Malangnya ada ustaz yang dapat mengajar walau di TV pun kata, kalau beli kereta atau motor, bagilah tok imam, tok bilal pakai dulu supaya kereta dan motor itu akan lebih selamat.

Macam-macam dakwaan mereka. Mereka juga akan kata guru mereka hebat, boleh buat itu dan ini dengan ilmu dia. Guru mereka ada mimpi jumpa Nabi, kononnya. Guru mereka boleh halau jin. Jin pun takut dengan guru mereka. Kalau ajaran tarekat tu, sampaikan mereka kata guru mereka pernah isra’ mi’raj pun ada. Kumpulan tarekat lain yang tidak mahu kalah akan kata, kalau pergi isra’ mi’raj, guru mereka sudah siap tunggu di atas!

Ma sha Allah, sampai begitu sekali mereka taksub. Sampai begitu sekali kebodohan mereka sampaikan mereka boleh percaya benda-benda macam itu. Jadi, apabila mereka sudah sebati dengan pemahaman macam itu, mereka akan kata yang tidak elok dengan orang-orang beriman, dengan orang-orang yang mengajar sunnah.

Mereka akan bandingkan bagaimana guru-guru sunnah itu biasa-biasa sahaja. Pakai kereta biasa sahaja. Anak murid pun tidak ramai. Kalau mengajar di masjid atau surau, tidak ramai yang datang pun. Tidak pernah masuk TV pun. Sedangkan guru mereka selalu masuk TV.

Kalau mengajar, berdekah-dekah orang ketawa. Sampai senak perut, tetapi bila ditanya, apa yang dia belajar malam itu, dia pun tak tahu apa yang dia belajar. Dia cuma ingat jenaka penceramah itu sahaja. Dia cuma ingat kisah mengarut yang disampaikan oleh guru itu sahaja.

Masyarakat kita pula memang suka dengar kisah-kisah yang tak tahu hujung pangkal, maka adalah kisah yang disampaikan penglipur lara macam kisah Bani Tamim lah, kisah Telaga Baharut lah dan sebagainya. Ini pun salah masyarakat juga sebenarnya. Kalau masyarakat kita pun malas nak dengar dan layan kisah-kisah sebegitu, ustaz-ustaz pun tak berani nak keluarkan kisah itu.

Alhamdulillah, masyarakat kita sudah semakin celik ilmu. Ada yang mula menegur apa yang disampaikan oleh guru agama. Mereka tidak terus telan sahaja. Masyarakat sudah mula mempersoalkan apakah yang disampaikan. Sekarang sudah ada yang pandai minta dalil. Diharap ini akan menjadi satu pengajaran kepada guru-guru agama untuk lebih meneliti sumber ambilan agama mereka.


 

Ayat 74:

وَكَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِّن قَرنٍ هُم أَحسَنُ أَثٰثًا وَرِئيًا

Sahih International

And how many a generation have We destroyed before them who were better in possessions and [outward] appearance?

 

Malay

Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.

 

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ

Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan,

Orang-orang yang lebih hebat dulu daripada mereka, telah lama mati. Entah berapa banyak kaum yang telah dimusnahkan kerana mereka ingkar dengan syariat Allah ‎ﷻ.

Ada yang Musyrikin Mekah tak kenal, dan ada yang mereka memang kenal pun. Ini kerana mereka pun ada melalui kawasan-kawasan kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu seperti kaum Aad dan Tsamud. Mereka bukan tidak kenal dengan nasib kaum-kaum itu.

 

هُمْ أَحْسَنُ أَثٰثًا وَرِئْيًا

sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.

Kalimah أَثَاثًا adalah aset seseorang. Seperti perabot, rumah, kereta dan sebagainya.

Kalimah رِئْيًا pula bermaksud benda yang cantik dipandang mata. Kita boleh katakan perhiasan yang bergerlipan. Yang menyilaukan mata. Kalau zaman sekarang, yang bling-bling. Itulah yang manusia suka, itulah yang manusia pandang.

Lihatlah bagaimana kaum-kaum yang hebat dulu seperti Madyan, Tsamud dan sebagainya yang telah dihancurkan. Mereka itu lebih hebat daripada Musyrikin Mekah. Tamadun mereka lebih tinggi. Allah ‎ﷻ nak kata: kenapa nak berlagak sangat? Mereka yang dulu lagi hebat dari Musyrikin Mekah itu telah dihancurkan juga kerana kekafiran mereka.

Kita pun kena ambil peringatan dari hal ini. Jangan kita sangka kita telah maju sampai tidak terikat lagi dengan hukum Allah ‎ﷻ. Jangan kita leka dengan mengejar benda-benda keduniaan seperti itu sampaikan kita tidak kisah dengan agama.


 

Ayat 75: Beberapa ayat yang kita telah baca sebelum ini adalah perkara-perkara asas dalam akidah. Tentang percaya kepada Allah ‎ﷻ, Hari Akhirat dan sebagainya. Ini adalah kerana Surah Maryam ini diturunkan di Mekah. Oleh kerana itu, ajaran yang disampaikan adalah perkara-perkara asas. Dan kita sekarang pun masih lagi membaca ayat-ayat ini kerana ia adalah perkara penting.

Dan adakalanya kita hanya perlu berbicara tentang perkara-perkara asas sahaja. Terutama apabila kita bercakap dan berdakwah kepada orang bukan Islam, baru masuk Islam, kanak-kanak atau orang Islam yang baru belajar agama balik. Jangan sebut perkara-perkara ilmu tinggi kepada mereka. Ia hanya akan mengelirukan mereka sahaja.

Kalau mereka baru nak belajar dan kita cerita ilmu yang tinggi, ia hanya akan menjauhkan mereka daripada Islam. Salah satu daripada kebijaksanaan dakwah adalah berdakwah mengikut tingkatan pendengar. Kena pandai nilai pendengar kita itu peringkat mana. Jangan bagi informasi kepada mereka tinggi sangat sampai mereka tidak boleh terima. Nanti mereka juga yang salah faham dengan Islam. Mereka akan rasa susah sangat agama ini sampaikan mereka malas nak fikirkan.

Ingatlah kita dulu kita pun macam mereka juga – merangkak untuk memahami agama. Tapi setelah beberapa tahun belajar, kita sudah faham banyak perkara dan kita sudah bersedia dari segi ilmu untuk mendalami agama. Tapi, bagaimana dengan mereka yang masih bertatih dalam memahami Islam?

Kalau diberikan dengan ilmu yang tinggi, mereka tidak dapat terima kerana tidak faham. Mereka itu kita bayangkan macam bayi baru lahir, bukan kita boleh beri makanan orang dewasa kepada mereka. Mereka kena makan susu ibu dulu. Lama-lama baru boleh makan makanan lembut. Bila sudah besar sikit lagi, baru boleh bagi makanan pepejal. Begitu jugalah dari segi ilmu pengetahuan. Kena bagi sikit-sikit dulu kepada manusia.

قُل مَن كانَ فِي الضَّلٰلَةِ فَليَمدُد لَهُ الرَّحمٰنُ مَدًّا ۚ حَتّىٰ إِذا رَأَوا ما يوعَدونَ إِمَّا العَذابَ وَإِمَّا السّاعَةَ فَسَيَعلَمونَ مَن هُوَ شَرٌّ مَّكانًا وَأَضعَفُ جُندًا

Sahih International

Say, “Whoever is in error – let the Most Merciful extend for him an extension [in wealth and time] until, when they see that which they were promised – either punishment [in this world] or the Hour [of resurrection] – they will come to know who is worst in position and weaker in soldiers.”

 

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, – sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”

 

قُلْ مَن كَانَ فِي الضَّلٰلَةِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa yang berada di dalam kesesatan,

Nabi ﷺ diarahkan untuk memberitahu kepada manusia untuk mengingatkan manusia tentang bahayanya duduk dalam kesesatan.

Kalimah كَانَ (adalah ia) sebagai penguat dalam ayat ini. Kalimah فِي (di dalam) pula bermakna mereka tenggelam di dalamnya. Iaitu mereka tenggelam dalam kesesatan. Mereka terlalu tenggelam sampai mereka tidak perasan bahawa mereka sedang berada dalam kesesatan.

Sebagai contoh, kalau seseorang sudah biasa duduk dalam cuaca jerebu, mereka pun sudah biasa dengan jerebu itu sampai tak perasan mereka dalam cuaca jerebu.

 

فَلْيَمْدُدْ لَهُ الرَّحْمَٰنُ مَدًّا

maka (Allah) Ar-Rahman akan melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu,

Kalimah يَمْدُدْ bermaksud ‘dia memanjangkan sesuatu’. Macam memanjangkan tali pancing semasa kita mengail supaya kail itu boleh pergi lebih jauh lagi. Atau memanjangkan tali layang-layang untuk biarkan layang-layang terbang lebih jauh.

Tambahan perkataan فل dalam فَلْيَمْدُدْ ini bermaksud ianya sesuai dan patut diberikan pada waktu itu. Memang patut Allah ‎ﷻ memanjangkan tempoh masa untuk mereka. Tidaklah Allah ‎ﷻ zalim atau main-main dalam melakukannya.

Sifat Rahman Allah ‎ﷻ digunakan sekali lagi dalam ayat ini. Begitulah besarnya rahmat Allah ‎ﷻ. Walaupun mereka telah sesat, tapi Allah ‎ﷻ memberi peluang lagi kepada mereka. Tidaklah Allah ‎ﷻ terus mengambil nyawa mereka dengan segera. Kerana kalau terus diambil nyawa mereka, maka tentulah mereka tidak ada peluang untuk bertaubat lagi.

Kalimah مَدًّا digunakan sebagai penekanan. Maknanya, Allah ‎ﷻ memberikan waktu yang memang lama.

Mereka yang sesat diberikan tempoh kehidupan yang lama. Kalau kita tengok pun sekarang, ada orang-orang yang menentang Tuhan, dipanjangkan umur mereka. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ memberikan masa hidup yang panjang kepada Firaun. Berapa banyak peringatan demi peringatan diberikan kepada Firaun.

Setiap kali diberikan peringatan, Firaun akan minta Nabi Musa عليه السلام doa kepada Allah ‎ﷻ supaya bala diangkatkan. Semasa dia minta tolong Nabi Musa عليه السلام itu, dia berjanji akan beriman selepas itu. Tapi selepas bala diangkat, Firaun kembali jadi jahat. Firaun tidak mengaku yang dia ada berjanji sebelum itu.

Jadi, kiranya sudah teruk sangat Firaun dalam keingkaran. Tapi dia diberikan tempoh kehidupan yang panjang dan peluang bertaubat berkali-kali. Firaun tidak pun kena panah petir atau kematian yang segera. Siapakah lagi yang lebih teruk daripada Firaun? – Ingatlah bahawa Firaun telah mengaku jadi tuhan, maka memang tidak ada yang lebih teruk daripada dia.

Lihatlah juga berapa lama baru Abu Sufyan masuk Islam. Padahal sebelum itu beberapa lama dia berperang dengan Nabi Muhammad ﷺ dan orang Islam. Entah berapa banyak orang Islam dibunuhnya. Tapi akhirnya dia telah masuk Islam dan menjadi Muslim yang baik dan berjasa.

Nota: Kebanyakan daripada masyarakat kita memandang Abu Sufyan seorang yang jahat, walaupun dia telah masuk Islam. Ini adalah kerana telah masuk elemen-elemen Syiah yang amat membenci keluarga Umayyah. Maka, mereka telah menukar sejarah Islam sampaikan keturunan Abu Sufyan dilihat sebagai keturunan yang buruk.

Kenapa mereka diberikan tempoh tangguh yang lama? Kerana Allah ‎ﷻ bersifat rahmah. Allah ‎ﷻ beri peluang berkali-kali kepada makhluk-Nya untuk bertaubat. Kerana Allah ‎ﷻ sayang kepada makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ hendak melihat kita bertaubat dan kembali kepada-Nya kalau kita telah tersesat.

Keduanya, mereka diberikan masa yang lama supaya mereka semakin banyak melakukan kesalahan. Kadang-kadang kita nak tengok sahaja berapa jauh orang bersalah akan buat salah. Sebab kita nak kumpul bukti ke atas mereka. Bila kita jumpa mereka nanti, kita akan keluarkan satu-satu kesalahan mereka sampaikan mereka tak boleh nak menjawab lagi.

Perumpamaan ini seperti tali layang-layang. Semakin kita lepaskan talinya, semakin jauh ia terbang dan semakin menjauh daripada kita dan semakin di luar kawalan. Begitulah juga Allah ‎ﷻ membiarkan mereka di dalam kesesatan dan mereka mengumpul semakin banyak dosa. Akhirnya di akhirat kelak mereka akan dibentangkan dengan segala perbuatan mereka itu sampai mereka memang tidak boleh menjawab lagi.

Allah ‎ﷻ biarkan mereka hidup lama mengumpul dosa supaya mereka nanti akan dihukum dengan lebih teruk lagi.

 

حَتَّىٰ إِذَا رَأَوْا مَا يُوعَدُونَ

hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka,

Kalimah رَأَوْا ini dalam bentuk “past tense.” Tapi mereka belum lihat lagi bukan?. Ini adalah untuk memberitahu kepada kita bahawa ia pasti akan berlaku. Ini adalah salah satu stail bahawa Arab yang digunakan dalam Al-Qur’an.

Mereka akan diperlihatkan dengan apa yang dijanjikan kepada mereka semasa di dunia. Mereka dulu diberitahu supaya jangan buat jahat, nanti akan diseksa dalam kubur, diseksa di Mahsyar, dalam neraka dan sebagainya. Tapi mereka tidak mahu percaya. Nah sekarang apa yang dijanjikan dulu itu akan terlihat depan mata mereka.

 

إِمَّا الْعَذَابَ وَإِمَّا السَّاعَةَ

sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat,

Yang dijanjikan itu adalah sama ada azab dunia atau akhirat. Ada yang dapat balasan di dunia lagi seperti kaum Tsamud, Firaun dan sebagainya.

Ada yang tidak dapat balasan di dunia tapi ditangguhkan di akhirat nanti. Apabila mati sahaja, mereka akan kena.

 

فَسَيَعْلَمُونَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مَّكَانًا

maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang paling buruk kedudukannya

Huruf س dalam perkataan فَسَيَعْلَمُونَ itu bermaksud ia tidak lama lagi. Ia adalah dalam masa hadapan, tapi tidak lama lagi. Bermakna, masa yang lama diberikan kepada mereka itu tidaklah lama sangat. Tidak lama lagi mereka akan dapat tahu.

 

وَأَضْعَفُ جُندًا

dan lebih lemah tenteranya.”

Siapakah tentera mereka? Itulah syaitan-syaitan mereka.

Semasa mereka berkuasa, mereka kata mereka yang lebih baik dan lebih kuat. Lihat ayat 73 sebelum ini. Mereka berangan yang mereka akan dapat kebaikan apabila mereka mati kelak. Dalam ayat 73, mereka gunakan perkataan مَّقَامًا kerana mereka mementingkan kedudukan dan status mereka dalam masyarakat. Tapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَّكَانًا. Ia bermaksud kedudukan dari segi moral dan etika. Ia lebih penting daripada status dalam masyarakat.

Allah ‎ﷻ juga tidak menggunakan perkataan نَدِيًّا yang mereka gunakan yang bermaksud ‘perhimpunan’. Tapi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan جُندًا yang boleh bermaksud ‘penyokong’. Termasuk juga maksudnya: tentera. Perhimpunan bukanlah kuat, bukan penting. Yang penting adalah penyokong yang kuat.

Maka siapakah yang menjadi penyokong Nabi Muhammad ﷺ? Di awal Islam, yang masuk Islam adalah mereka yang lemah dalam erti kata kedudukan dan kekayaan. Tapi mereka adalah kuat dan tabah menyokong Nabi ﷺ. Yang kaya dan berkedudukan itu, walaupun mereka kaya tapi mereka tidak boleh diharap.

Bandingkan dengan mereka yang seperti Bilal, Sumayyah, Abu Bakr dan sebagainya. Mereka sanggup menerima seksaan dan tekanan yang diberikan kepada mereka tapi mereka tetap tabah dalam Islam. Iman mereka tidak berubah. Mereka tetap mengaku Islam walaupun mereka diseksa dengan teruk.

Tidak sama apa yang orang kafir itu banggakan dengan apa yang Allah ‎ﷻ berikan kepada Nabi ﷺ. Begitu juga apa yang Allah ‎ﷻ berikan kepada orang-orang beriman. Sokongan yang diberikan tidak sama. Orang-orang kaya dan berkedudukan memang mereka akan kata mereka sokong, tapi kalau ia tidak menguntungkan mereka, mereka akan lari.


 

Ayat 76:

وَيَزيدُ اللَّهُ الَّذينَ اهتَدَوا هُدًى ۗ وَالبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوابًا وَخَيرٌ مَّرَدًّا

Sahih International

And Allah increases those who were guided, in guidance, and the enduring good deeds are better to your Lord for reward and better for recourse.

 

Malay

Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.

 

وَيَزِيدُ اللَّهُ الَّذِينَ اهْتَدَوْا هُدًى

Dan Allah akan menambahi hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk;

Perkataan يَزِيدُ dalam bentuk “present imperfect tense”. Bermaksud Allah ‎ﷻ telah menambah dan akan terus menambah lagi. Mereka yang menerima hidayah, Allah ‎ﷻ akan memberi lagi hidayah kepada mereka. Iman mereka akan ditambah lagi.

Allah ‎ﷻ juga akan menolong mereka dalam kehidupan dunia juga. Bukan dalam perkara agama sahaja. Apabila kita beriman, kehidupan kita juga akan bertambah baik. Kerana Islam bukan sahaja mengajar tentang akhirat sahaja, tapi dalam perkara kehidupan kita juga.

Sebagai contoh, tentang hukum antara manusia (hudud), cara memimpin, cara interaksi sesama manusia, cara berniaga dan sebagainya. Kalau kita mengikut saranan daripada Allah ‎ﷻ, tentulah kehidupan dunia kita akan lebih teratur.

Sebagai contoh, kalau kita amalkan hukum hudud yang telah ada dalam Islam, kadar jenayah akan berkurangan. Kerana cara hukum itulah yang sesuai untuk manusia, bukannya hukum undang-undang rekaan manusia.

Apabila kita menyebar agama Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan beri hidayah lagi dan tambah ilmu lagi kepada kita. Buatlah kalau tidak percaya. Allah‎ ﷻ akan beri kefahaman yang lebih lagi. Semakin lama, pemahaman kita akan lebih mendalam lagi.

 

وَالْبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا

dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu

Kalimat الْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ merujuk kepada ‘amal ibadat’. Dua-dua perkataan الْبَاقِيَاتُ dan الصَّالِحَاتُ itu adalah dalam bentuk adjektif – menerangkan sifat sesuatu. Tetapi objek yang disifatkan itu tidak disebutkan. Apabila ini terjadi, memberikan lebih fokus kepada sifat. Sifat itu yang didepankan.

Jadi sifat ‘kekal abadi’ dan ‘baik’ diberikan penekanan. Perkataan katanama (isim) yang tidak disebut adalah: amal. Oleh itu, kalau kita penuhkan maksudnya, ia akan jadi begini:

      • amal yang kekal
      • amal yang soleh

Amal yang baik itulah yang lebih baik pada sisi Allah ‎ﷻ. Ia adalah kekal. Tidak sama dengan perkara-perkara yang ada di dunia ini. Kalau harta dunia, ia akan hancur tidak jadi apa-apa. Apabila kita mati, kalau ia masih ada lagi, ia tidak dapat membantu kita pun. Tapi pahala yang kita telah lakukan, itu akan tetap berada dalam perbendaharaan kita. Ia akan dapat menolong kita nanti di akhirat kelak.

Kalimah ثَوَابًا bermaksud kita akan mendapat balasan pahala yang banyak. Kita ada banyak angan-angan dalam duniawi ini, tapi tak banyak yang kita dapat. Tak semuanya akan menjadi. Angan-angan untuk dapat pahala itu lebih baik untuk kita harapkan.

Sebagai contoh, dalam hadith ada disebut bahawa setiap kali kita menyebut subhanallah, akan dijadikan sebatang pokok untuk kita di syurga. Itu lebih boleh dipercayai daripada apa-apa janji yang lain kerana ia dijanjikan oleh Allah  ‎ﷻ melalui Nabi ﷺ.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ berjalan melewati sebuah kebun Abu Hurairah, lalu baginda berkata: “Wahai Abu Hurairah, apa yang kau tanam?” Lalu Abu Hurairah  رضي الله عنه menjawab: “Aku sedang menanam pohon”.

Rasulullah ﷺ pun berkata: “Mahukah aku tunjukkan tanaman (pohon) yang lebih baik untuk engkau daripada tanaman ini?” Abu Hurairah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: berzikirlah dengan membaca Subhanallah, alhamdulillah, la ilaha illallah, Allahu Akbar, maka setiap satu bacaan dari zikir ini, Allah akan menanamkan satu pohon di Syurga”. (HR Ibnu Majah (3807), disahihkan oleh Imam Al-Hakim dan al-Albani رحمهما الله)

 

وَخَيْرٌ مَّرَدًّا

dan lebih baik kesudahannya.

Kesudahan yang baik itu adalah syurga. Perkataan مَّرَدًّا dari segi bahasa adalah ‘tempat kembali’. Jadi, tempat ‘kembali’ kita adalah syurga, kerana dari situlah asal kita – Nabi Adam عليه السلام datuk kita, berasal dari sana.

Maka ingatlah yang tujuan kita adalah hidup di dunia ini dengan beramal supaya kita akan dapat kembali ke syurga, tempat asal datuk kita, Nabi Adam عليه السلام. Itulah tempat kembalian kita yang sebenar.

Kita mungkin ada yang takut tentang apakah kesan kalau kita ikut Islam 100%. Adakah kita nanti akan ketinggalan, tidak dapat makan, tidak dapat itu dan ini? Tapi itu tidak patut kita rasa, kerana Allah ‎ﷻ telah janjikan kebaikan kepada mereka yang menyerah diri sepenuhnya kepada agama. Kita kena yakin dengan janji-janji Allah ‎ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Mei 2020


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s