Tafsir Surah Tawbah Ayat 21 – 24 (Keluarga bukan penghalang jihad)

Tawbah Ayat 21: Ayat tabshir (berita gembira). Inilah huraian bagi maksud ‘kejayaan’ yang disebut dalam ayat sebelum ini. Mereka yang berhijrah, berjihad di jalan Allah dengan harta dan nyawa mereka akan mendapat rahmat khas dari Allah.

يُبَشِّرُهُم رَبُّهُم بِرَحمَةٍ مِّنهُ وَرِضوٰنٍ وَجَنّٰتٍ لَّهُم فيها نَعيمٌ مُّقيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their Lord gives them good tidings of mercy from Him and approval and of gardens for them wherein is enduring pleasure.

(MALAY)

Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat dari pada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal,

 

يُبَشِّرُهُم رَبُّهُم بِرَحمَةٍ مِّنهُ

Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat dari pada-Nya, 

Allah menjanjikan ‘rahmat khas’ daripadaNya, kepada mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah. Lihatlah Allah sendiri yang menjanjikan pemberian rahmat itu. Kalau hadiah dari boss kita pun kita sudah suka, tambahan pula dari Allah sendiri. Kita sebagai hamba Allah, tentulah berharap kepada rahmat Allah. Kerana kalau tanpa rahmatNya, apalah kita?

 

وَرِضوٰنٍ

dan keredhaan

Selain dari rahmat khas, mereka juga akan mendapat keredhaan Allah. Ini adalah nikmat yang amat besar, di mana Allah sendiri redha kita jadi hambaNya. Kalau emak dan ayah kita redha dengan kita pun kita sudah gembira kerana daripada mereka berdualah kita dijadikan. Tapi kalau Allah yang sebenar-benarnya menjadikan kita, tentulah kita lebih gembira lagi. Iaitu kita masuk ke dalam syurga dan Allah kata Dia redha kepada kita. Wah, alangkah gembiranya hati kita waktu itu. Ini adalah nikmat yang lebih tinggi dari nikmat-nikmat lain.

Tapi bagaimana hendak mendapat redha Allah? Diceritakan suatu hari seorang lelaki tawaf mengelilingi Kaabah sambil berkata, “Wahai Tuhanku adakah Engkau redha kepadaku?” Kebetulannya di belakangnya, Imam Shafie yang bertanya balik kepada lelaki itu, “Adakah kamu redha dengan segala diberikan Allah sehingga Allah juga boleh redha kepada engkau?” Lelaki itu menjawab, “Subhanallah, aku redha apa yang datang dari-Nya dan aku mengharapkan redha-Nya. Apa maksud kamu sebenarnya?” tanya lelaki itu kepada Imam Shafie. Imam Shafie menjawab, “Jika kamu bergembira mendapat ujian sama seperti kamu gembira mendapat nikmat itulah maksud kamu redha sesuatu yang didatangkan oleh Allah kepada kamu.”

Oleh itu, telah disebut dua nikmat rohani (rahmat dan redha Allah). Selepas ini akan disebut nikmat jasmani pula.

 

وَجَنّٰتٍ لَّهُم فيها نَعيمٌ مُّقيمٌ

dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal,

Ini adalah nikmat jasmani pula, di mana mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan di sana mereka akan mendapat nikmat berkekalan. Mereka tidak perlu risau apabila mereka dimasukkan ke dalam syurga nanti. Kerana tidak ada kematian lagi selepas itu. Kerja tidak perlu buat, malah ibadah pun sudah tidak ada lagi. Yang mereka kena buat hanyalah menikmati segala nikmat. Dan nikmat itu akan kekal selama-lamanya.

Kerana disebut di sini yang di dalam syurga-syurga itu ada نَعيمٌ مُّقيمٌ iaitu nikmat-nikmat yang berkekalan. Di dunia ini juga kita sudah dapat nikmat, tapi tentulah tidak berkekalan. Kalau sihat pun, tentu sekali sekala datang sakit; kalau kaya, tidaklah pasti selama-lamanya; kalau sekarang gembira, nanti akan datang masa untuk sedih pula. Akan tetapi di syurga nanti adalah نَعيمٌ مُّقيمٌ di mana segala nikmat itu berkekalan dan tidak akan diselangi dengan kesedihan malah sedikit pun.

Dan setiap ahli syurga bukan dapat satu syurga sahaja, tapi banyak. Kerana kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah جَنّٰتٍ yang bermaksud ‘kebun-kebun’. Allah boleh sahaja beri entah berapa banyak syurga kepada hambaNya yang disayangi itu.

Ini adalah berita gembira bagi para sahabat yang sedang memperjuangkan Islam. Kerana waktu mereka berjuang itu, mereka tidak tahu sama ada mereka akan menang atau kalah, hidup atau mati. Tapi Allah beritahu mereka, mereka akan tetap mendapat kebaikan kalau mereka kalah dan mati pun. Kerana mereka telah berjuang di jalan Allah.


 

Tawbah Ayat 22:

‎خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They will be] abiding therein forever. Indeed, Allāh has with Him a great reward.

(MALAY)

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

 

خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Kalau masuk dalam syurga tapi ada kemungkinan keluar, itu pun tidak sedap. Macam kita duduk hotel paling mahal pun, tapi kita tahu yang kita akan keluar juga akhirnya dari hotel itu, jadi ada kekurangan dari segi nikmat yang sedang kita dapat waktu itu.

Jadi Allah beritahu awal-awal yang kalau mereka masuk ke dalam syurga, mereka tidak akan keluar-keluar sampai bila-bila. Ini akan memberi ketenangan kepada penghuni syurga dan mereka boleh menikmati nikmat syurga itu tanpa rasa risau langsung. Kerana Allah tahu manusia suka tempat tinggal yang tetap. Sebab itu orang yang menyewa rumah mengimpikan satu hari di mana dia ada rumah sendiri. Kerana kalau sewa rumah, entah sampai satu masa tuan rumah suruh dia keluar kerana anak tuan rumah sudah balik dari oversea nak duduk rumah itu.

 

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Allah ada banyak pahala dan nikmat yang besar-besar untuk diberikan kepada manusia. Tidak ada penghujungnya, tinggal tunggu kita nak buat amal kebaikan sahaja. Maka jangan lepaskan peluang ini.


 

Tawbah Ayat 23: Ini adalah hujah penghalang ketiga yang digunakan oleh mereka yang mempersoalkan peperangan dengan Quraish Mekah itu. Ianya nampak macam penghalang, tapi tidak menjadi penghalang sebenarnya.

Ada yang berhujah, perang itu nanti akan memutuskan pertalian kaum kerabat. Dan memang memutuskan hubungan kaum kerabat itu zalim dalam Islam pun. Memang baik kalau menghubungkan silaturahim dan tidak memutuskannya, tapi ianya kalau sesama Islam sahaja. Perhubungan baik itu ada had. Kalau mereka itu menentang Islam, maka sudah tidak ada lagi perhubungan baik dengan mereka. Tidak ada hubungan yang lebih hebat dari hubungan dengan Allah dan RasulNya.

Oleh itu, jangan jadikan alasan musuh itu kaum kerabat untuk tidak berperang. Kita belajar dari sirah bagaimana memang sahabat itu berperang dengan adik beradik, anak beranak dan sepupu sepapat pun. Allah ingatkan mereka yang itu adalah keluarga di dunia sahaja dan Allah ingatkan kita yang kita memerangi mereka bukan kerana dunia, tapi kerana akhirat.

‎يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا ءآباءَكُم وَإِخوٰنَكُم أَولِياءَ إِنِ استَحَبُّوا الكُفرَ عَلَى الإيمٰنِ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not take your fathers or your brothers as allies if they have preferred disbelief over belief. And whoever does so among you – then it is those who are the wrongdoers.

(MALAY)

Hai orang-orang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Wahai orang-orang yang telah beriman, dengar baik-baik arahan ini. Kerana ini adalah arahan dari Allah kepada anda. Itu pun kalau anda mengaku orang beriman. Memang semua ayat Al-Qur’an adalah untuk kita ikuti. Tapi apabila ada panggilan awal sebegini, maka ada penekanan di dalamnya maka perhatian yang lebih diperlukan di sini.

Oleh itu kenalah faham apa yang disampaikan, bukan? Kalau arahan sebegini dibaca sahaja, tapi kemudian tidak faham, apakah gunanya? Berapa ramai yang selalu baca arahan dari Allah tapi satu habuk pun dia tidak faham? Alangkah ruginya hidup sebagai seorang Muslim!

 

لا تَتَّخِذوا ءآباءَكُم وَإِخوٰنَكُم أَولِياءَ إِنِ استَحَبُّوا الكُفرَ عَلَى الإيمٰنِ

janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan

Apabila kamu sudah beriman, jangan kamu lagi ambil ayah kamu, adik beradik kamu, atau saudara mara kamu mana-mana pun, sebagai teman rapat taat setia untuk dilindungi dan tidak diperangi. Itu jikalau mereka pilih jalan kafir.

Mereka itu bukan lagi teman rapat kamu, bukan lagi wali yang perlu dilindungi dan tempat untuk berlindung lagi, sekiranya mereka itu lebih minat kepada kufur syirik dari iman. Kalau mereka menentang Islam, kena perangi mereka. Mereka itu bukannya tidak sampai dakwah kepada mereka, tapi mereka telah membuat pilihan mereka – mereka pilih kufur dan syirik.

 

وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Allah ingatkan dengan keras, kalau berbaik lagi dengan mereka, masih lagi menjadikan mereka sebagai wali, sebagai teman rapat, maka kamu adalah golongan yang zalim.

Ayat ini kenalah dibaca dalam konteks penurunan ayat ini. Islam tidak suruh kita meninggalkan ahli keluarga kita, atau terus bunuh mereka kalau mereka tidak mahu beriman masuk Islam. Ayat ini adalah khitab kepada para sahabat. Mereka itu berlawan dengan saudara mereka yang memang menentang Islam. Kita kena lihat juga ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an.

Lihatlah juga bagaimana Nabi Nuh itu Allah suruh tinggalkan anaknya yang kufur hanya apabila azab banjir telah diturunkan. Sepanjang masa itu, Nabi Nuh tidak pun disuruh meninggalkan anaknya walaupun Allah tahu yang dia tidak beriman dan tidak akan beriman. Hanya apabila Allah suruh baginda tinggalkan anaknya, barulah baginda tinggalkan.

Begitu juga dengan para sahabat, hanya apabila Allah suruh putuskan hubungan, barulah hubungan kekeluargaan diputuskan. Ini adalah apabila mereka terus menentang Islam. Selain dari itu, hendaklah kita mengekalkan perhubungan kekeluargaan dengan mereka.


 

Tawbah Ayat 24: Ayat takhwif dunia (penakutan tentang azab di dunia). Allah memerintahkan kepada Rasul-Nya untuk mengancam orang yang lebih mementingkan keluarga, kerabat, dan sanak saudaranya daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya. Ada pendapat yang mengatakan teguran ini diberikan kepada mereka yang telah beriman di Mekah tapi tidak sanggup berhijrah kerana sayangkan keluarga dan harta.

Tapi ayat ini menyebut tentang ‘jihad’ dan bukannya hijrah. Ini kerana hijrah itu adalah permulaan kepada jihad. Kalau hijrah pun tidak sanggup, tentulah jihad pun mereka tidak sanggup. Kerana jihad itu lebih berat lagi kerana bukan sahaja kena sanggup tinggalkan kesenangan dan keluarga, malah nyawa pun boleh melayang.

Kenapa hijrah itu penting? Kerana ia adalah tanda seseorang itu adalah seorang Muslim sejati. Kalau pada zaman Nabi itu, ia adalah satu kewajipan. Tetapi kalau di zaman kita ini pun tetap ada hijrah yang wajib jikalau tempat tinggal kita sekarang tidak memungkinkan kita untuk mengamalkan agama dengan sempurna. Contohnya kalau tempat tinggal kita ini ada undang-undang menghalang kita untuk solat dan berpuasa. Maka dalam kes ini kena berpindah ke tempat lain.

Ada juga ketikanya ia tidaklah wajib tapi ia adalah sesuatu yang sebaiknya dilakukan. Iaitu jikalau tempat tinggal kita itu tempat yang teruk di mana maksiat berleluasa dan dosa diamalkan secara terang-terangan. Ini kerana cara hidup begini boleh mempengaruhi kita dan keluarga kita. Sebaiknya kita tinggalkan tempat itu untuk menjaga agama kita walaupun kita mungkin masih boleh lagi menjaga iman kita walaupun duduk di situ lagi.

‎قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “If your fathers, your sons, your brothers, your wives, your relatives, wealth which you have obtained, commerce wherein you fear decline, and dwellings with which you are pleased are more beloved to you than Allāh and His Messenger and jihād [i.e., striving] in His cause, then wait until Allāh executes His command. And Allāh does not guide the defiantly disobedient people.”

(MALAY)

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

 

قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم

Katakanlah: “jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu,

Nabi Muhammad disuruh untuk sampaikan kepada umat baginda tentang perkara ini. Ini menunjukkan bahawa ini adalah perkara penting. Kerana memang semua ayat dalam Al-Qur’an baginda kena sampaikan, bukan? Tapi kalau Allah ada titah khas suruh baginda sampaikan, itu maknanya ia amat penting sekali.

Tentulah bapa kita dan anak-anak kita, kita amat sayang sekali. Merekalah yang kita kena jaga dan eratkan silaturahim. Dalam keadaan normal, kita tidak berperang dengan mereka ini. Tapi begitu pun, dalam menegakkan agama Allah, mereka ini tidak boleh dijadikan sebagai penghalang dalam jihad. Jihad tetap kena dijalankan.

Malah, kalau mereka yang menentang Islam, mereka itu yang diperangi. Kita teringat tentang kisah Saidina Abu Bakr dan anaknya yang waktu itu tidak masuk Islam. Apabila anaknya masuk Islam, dia mengenangkan kembali zaman dia tidak masuk Islam dan memerangi puak Islam. Anaknya kata, dia selalu nampak ayahnya itu dalam medan peperangan. Tapi dia mengelak kerana dia tidak mahu membunuh ayahnya. Abu Bakr jawab, dia sebenarnya selalu mencari anaknya untuk dibunuh di medan perang. Itulah Saidina Abu Bakr yang lebih sayangkan agamanya dari anak sendiri!

 

وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم

dan saudara-saudara kamu, pasangan-pasangan kamu, kaum keluargamu, 

Selain dari bapa dan anak, kaum keluarga yang dekat dengan kita adalah adik beradik kita sendiri. Dan kemudian kaum kerabat kita seperti pakcik makcik dan lain-lain. Kita membesar bersama dengan mereka, kita rapat dengan mereka, takkan kita nak bunuh mereka pula, bukan? Tapi mereka itu juga tidak boleh menjadi penghalang dalam menegakkan jihad. Kalau mereka menentang Islam, maka mereka pun diperangi.

Bukan sahaja adik beradik, malah kalau pasangan kita sekali pun. Jangan kerana takut berpisah dengan mereka, kita tidak pergi berjihad apabila ia diwajibkan kepada kita. Dan bukan adik beradik dan pasangan sahaja yang boleh menghalang, tapi ahli keluarga kita yang lebih besar, segala kaum kerabat, pakcik atau sepupu dan sebagainya. Jadi ini adalah sebahagian dari keluarga kita yang selalunya kita rapat dengan mereka. Jangan kerana mereka, kita tidak menjalankan kewajipan berjihad.

 

وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها

harta kekayaan yang kamu dapati,

Sekarang berkenaan dengan harta pula. Ada harta yang dicari atau didapati sama ada dengan hasil usaha sendiri atau orang lain. Contohnya ada harta pusaka yang kita dapat tanpa usaha pun. Tapi manusia lebih sayang harta yang dia telah usaha sekian lama dan berpenat lelah. Itulah harta yang bertumpuk-tumpuk sama ada simpan di rumah atau dalam bank, yang selalu diperiksa buku akaun untuk tengok berapa banyak sudah bertambah. Ramai yang akan periksa akaun bank dia dari masa ke semasa.

Ada yang takut habis harta dia kalau dia pergi berperang. Dia juga sibuk memikirkan: siapalah nanti yang akan jaga harta dia kalau dia pergi berjihad? Bagaimana dengan segala harta-harta yang dia telah lama kumpulkan itu?

Bukan sahaja harta boleh menghalang jihad, tapi menghalang orang biasa dari beramal dan belajar. Berapa ramai orang kaya yang disibukkan oleh hartanya yang banyak? Bila banyak harta, maka panjanglah langkahnya untuk buat berbagai-bagai aktiviti dan pergi melancong ke sana sini. Maka amal pun jadi kurang, nak belajar pun tidak ada masa.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita.

 

وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها

perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya,

Ada peniaga yang takut nak meninggalkan perniagaan dia. Masanya banyak dihabiskan dengan perniagaan untung ruginya. Dia selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk menaikkan keuntungan perniagaan dia. Dia selalu kira inventori kedai dia dan sebagainya. Dan yang dia paling takut adalah kalau jatuh rugi.

Ini juga boleh jadi penghalang kepada usaha jihad. Kerana dia fikir, kalau dia pergi keluar berjihad, siapa yang akan meneruskan perniagaan dia? Tentulah dia rugi, bukan? Seperti harta juga, perniagaan selalu menyibukkan manusia.

 

وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها

dan tempat tinggal yang kamu sukai,

Ada orang yang ada rumah atau tempat tinggal yang dia sayangi. Rumah itu susah payah dia bina hasil dari titik peluh dia. Dia pun selalu buat renovation kepada rumahnya itu, dia pastikan rumahnya sentiasa cantik, sentiasa kemas dan rumput sentiasa di potong, Sekali sekala dia akan pergi ke IKEA untuk tengok apa perabot baru yang dia boleh tambah dalam rumah dia untuk bagi cantik dan kemas lagi.

Banyak modal dia telah keluarkan untuk rumah itu dan dia amat selesa duduk di rumah itu. Maka tentu ramai yang rasa ralat untuk meninggalkan keselesaan rumahnya untuk berjihad di medan dakwah. Malah ramai disibukkan dengan hal rumah sampaikan tidak beramal dan tidak belajar agama.

Lihatlah Allah senaraikan satu persatu perkara yang manusia cintai yang kalau tidak jaga-jaga, akan menyebabkan jihad terabai, malah agama juga terabai.

 

أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya

Telah disebut tentang ahli keluarga dan jenis keduniaan yang berbagai-bagai. Tentulah kita sayang semuanya itu bukan? Dan memang tidak salah untuk sayang dan cinta semua itu kerana itu adalah sifat semulajadi manusia yang Allah telah letakkan di dalam hati kita dan tidak boleh dihapuskan.

Tapi apa akan jadi kalau kita sayang semua itu lebih dari Allah dan RasulNya? Bagaimana kalau semua itu menghalang kita sampai tidak berjihad untuk memperkenalkan Allah, mempertahankan nama RasulNya. Jadi masalahnya timbul hanya apabila ada pertembungan antara semua cinta itu dengan cinta kepada Allah dan Rasul. Bila bertembung, cinta mana satu yang akan lebih kuat dan menang?

Jadi kena ada tingkatan yang perlu kita perhatikan seperti yang disebut di dalam hadis ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعَةَ، عَنْ زُهْرَةَ بْنِ مَعْبَدٍ، عَنْ جَدِّهِ قَالَ: كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ: وَاللَّهِ لَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ”. فَقَالَ عُمَرُ: فَأَنْتَ الْآنَ وَاللَّهِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ: “الْآنَ يَا عُمَرُ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Ibnu Luhai’ah, dari Zahrah ibnu Ma bad, dari datuknya yang mengatakan bahawa kami bersama Rasulullah Saw., pada saat itu beliau Saw. sedang memegang tangan Umar ibnul Khattab. Umar ibnul Khattab “berkata, Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku sukai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.” Maka Rasulullah Saw. bersabda: Tidaklah beriman (dengan iman yang sempurna) seseorang di antara kalian sebelum aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri. Lalu Umar ibnul Khattab berkata, “Sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Dan Rasulullah Saw. bersabda, “Memang begitulah seharusnya, hai Umar.”

Riwayat Ahmad (18193) Sahih menurut Syu’aib al-Arnauth

Dan di dalam hadis yang lain Rasulullah telah bersabda:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ”

Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan­Nya, tidaklah beriman seseorang di antara kalian sebelum diriku ini lebih dicintai olehnya daripada orang tuanya, anak-anaknya, dan semua orang.

Sahih Bukhari (14)

Tapi malangnya ada yang kalah dengan keluarga. Ada yang ikut pandangan bapanya dalam hal agama walaupun ia salah. Ada yang hendak solat berjemaah tapi anak ajak main bola dan dia layan anaknya itu. Ada yang tidak berani tegur kesalahan adik beradik dan kerabat yang lain kerana takut mereka tidak cinta lagi kepada kita. Ada yang melayan isteri sampai terabai agamanya, tak sempat nak pergi kelas agama kerana kena layan isteri pergi shopping.

Ada yang sibuk dengan perniagaan yang semakin maju dan maju dan tidak sanggup ditinggalkan untuk beramal dan belajar agama. Ada yang sibuk mengemas rumah di luar dan di dalam, renovate sana dan sini, tapi bab ilmu agama tidak dikemaskan sedikit pun. Semua ini adalah contoh manusia yang kalah dengan perkara keduniaan yang lebih mereka cintai daripada Allah dan Rasul.

Sedangkan kalau mereka mereka dapat pupuk cinta kepada Allah dan Rasul, mereka akan mendapat halawatul iman (kemanisan iman). Kerana iman itu ada manisnya, ada lazatnya. Yang mempunyainya sahaja yang dapat merasakannya. Dan cara untuk mendapatnya adalah dengan mencintai Allah dan Rasul seperti disebut di dalam satu hadis:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, dia akan mendapat manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. Jika dia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci dilempar ke dalam neraka”

(Sahih Bukhari No: 15)

 

وَجِهادٍ في سَبيلِهِ

dan dari berjihad di jalan-Nya,

Apa akan jadi kalau ahli keluarga dan harta kekayaan dan kesenangan itu lebih kita sayang dari melakukan jihad di jalanNya? Kita mungkin boleh kata yang kita sayang Allah dan RasulNya, tapi bagaimana pula kalau jihad diwajibkan ke atas kita?

Bagaimana keadaan agaknya kalau khalifah sudah kata yang kita wajib untuk keluar berjihad memerangi kuffar? Cakap sayang Allah dan Rasul memang senang, tapi apabila kena diberikan dengan perintah berjihad, baru tahu siapa yang benar-benar beriman atau tidak.

 

فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ

maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya

Kalau kita tidak keluar berjihad setelah diwajibkan kepada kita, maka tunggulah, sehingga Allah datang dengan keputusanNya. Hasan al-Basri mengatakan yang dimaksudkan adalah tunggulah Allah hukum kamu. Sama ada hukuman itu di dunia ini lagi atau di akhirat yang pasti akan datang.

Mujahid pula mengatakan yang dimaksudkan yang ditunggu itu adalah ketetapan jihad dari Allah untuk menyerang dan menakluk Mekah. Waktu itu mereka akan dihinakan dan segala perkara yang mereka sayang seperti keluarga dan harta itu tidak berguna pun kepada mereka.

Lafaz yang digunakan dalam ayat ini adalah tarabbusu – lain dengan lafaz intazir yang juga bermaksud ‘tunggu’. Lafaz tarabbasa bermaksud menunggu-nunggu sambil menunda-nunda: contohnya tunggu habis kerja dulu, selepas kahwin, selepas dapat anak, setelah anak besar sikit baru nak beramal dan belajar agama. Ketahuilah yang segala perkara itu tidak akan berhenti.

Kerana akan ada sahaja perkara yang akan menyebabkan kita sibuk. Begitu jugalah dengan orang yang tidak datang belajar agama – ada sahaja perkara yang menyebabkan mereka tidak dapat datang kelas – anak ada kelas tambahan yang kena dihantar dan diambil, kerja tak habis, kerja siang, kerja malam – macam-macam. Akhirnya tidak belajar dan terus jadi jahil dalam agama.

Dalam ayat ini, Allah cuma kata “kau tunggulah…” tanpa disebut tunggu apa. Ini macam kita buat salah di rumah, dan emak kita kata: “kau tunggulah ayah kau balik nanti..” Bukankah itu menakutkan sekali? Sepanjang masa kita tunggu ayah balik itu, dalam fikiran kita bermacam-macam perkara timbul. Kita memikirkan apakah hukuman yang ayah kita akan kenakan kepada kita bukan? Tapi tentunya ianya adalah berat, cuma kita tidak tahu sahaja.

Begitu jugalah ancaman Allah ini – Allah tidak beritahu tapi kalau tidak diberitahu itu, kita sudah tentu tahu yang ianya pasti berat. Kita lebih takut sambil tertanya-tanya apalah yang akan dikenakan kepada kita?

Ramai dari kita tidak terasa pun balasan dari Allah ini semasa di dunia. Kita rasa biasa sahaja, tidak ada apa-apa kesan pun. Jadi kita rasa Allah tidak marah dengan kita, tidak hukum kita. Padahal kesan-kesan dari dosa kita itu sebenarnya telah ada pun.

Ibn Qayyim ada menjelaskan antara kesan dosa dan maksiat di dalam kitabnya Ad-Daa’ wa Dawaa’:

1. Ilmu susah untuk masuk ke dalam benak kita

2. Rezeki terhalang

3. Susah untuk ingat Allah

4. Rasa asing untuk duduk dengan orang baik-baik. Akhirnya duduk dengan kutu berahak sahaja

5. Urusan kehidupan menjadi sulit

6. Hati jadi gelap

7. Lemah hati dan badan

8. Menghalang ketaatan kepada Allah

9. Umur pendek dan tiada berkat dalam umur yang pendek itu

10. Dosa menyebabkan dosa lain. Bertambah-tambah dosa yang dia akan buat.

11. Jiwa jadi lemah

12. Hati tidak memandang dosa itu berat, jadi biasa sahaja dengan dosa

13. Orang itu menjadi hina

14. Dosa menyebabkan kesialan

15. Kehinaan diwariskan kepada keturunan

16. Akal jadi lemah

17. Hati terkunci mati

18. Mendapat laknat dari Allah

19. Tidak mendapat doa Nabi dan para malaikat

20. Mendapat hukuman

21. Dosa menyebabkan kerosakan

22. Mematikan kecemburuan hati

23. Menghilangkan rasa malu

24. Tidak rasa agung terhadap Allah

25. Allah akan abaikan

26. Terkeluar dari wilayah ihsan

27. Menghilangkan kebaikan

28. Menghalang perjalanan hati menuju kepada Allah

29. Menghilangkan nikmat dan mendatang azab

30. Rasa khuatir dan hati menjadi takut sentiasa

31. Memalingkan hati dari istiqamah

32. Membutakan pandangan hati

33. Mengecilkan dan menghinakan jiwa

34. Menjadi tawanan syaitan dan penjara syahwat

35. Menjatuhkan darjat dan kedudukan di sisi Allah dan juga makhluk

36. Hilang gelaran terpuji dan sebaliknya dapat gelaran kehinaan pula

37. Melemahkan fungsi akal

38. Terputus hubungan dengan Allah

39. Hilang keberkahan dalam kehidupan

40. Mendapat kerendahan, kehinaan dan kekurangan

41. Makhluk yang lain senang ganggu dia

42. Dikhianati

43. Hati jadi buta dan akal jadi lemah

44. Musuh akan dikuatkan terhadapnya

45. Telinga tidak terjaga dari perkara haram

46. Lidah tidak terjaga dari perkara haram

47. Lupa diri

48. Menghilangkan nikmat

49. Jauh dari para malaikat

50. Kebinasaan di dunia dan akhirat

51. Boleh kena hukum syarak

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Orang yang fasik dalam konteks ayat ini adalah mereka yang berhenti jihad untuk sebar agama. Orang yang fasik adalah orang yang berdosa dan dosa mereka adalah melebihkan perkara lain dari Allah dan Rasul sampai mengabaikan jihad. Mereka yang tidak kisah pun sama ada agama Islam ini tersebar atau tidak. Mereka selesa sahaja melihat ramai orang yang kufur, ramai orang yang tidak tahu tentang agama.

Kepada mereka yang sebegini, Allah tidak beri petunjuk kepada mereka. Dan kalau mereka tidak mendapat petunjuk, tentu mereka akan buat kesalahan dalam agama, dan kerana kesalahan mereka itu, mereka akan terpesong dari kebenaran dan akhirnya mereka akan dihukum.

Jadi ingatlah, kita kena luangkan masa untuk sebar agama dengan menjalankan dakwah. Memang sekarang bukanlah masa untuk berperang dengan orang kafir, tapi kita kena jalankan ‘jihad lisan’ – kena sampaikan tentang tauhid kepada manusia. Supaya mereka pun kenal Allah dan beribadat kepada Allah dalam rangka tauhid.

Kita hidup di dunia ini sekejap sahaja, untuk buat amal supaya buat bekal bawa ke akhirat. Bukannya kita hidup di dunia ini untuk buat anak ramai-ramai, buat duit banyak-banyak dan bina rumah satu persatu. Segala itu semua, yang kita sibukkan siang dan malam itu, semuanya akan hilang dari kita. Tapi amalan yang baik, akan kekal sehingga ke alam akhirat. Maka kena lebihkan perkara yang kekal abadi.

Kalau anak pun kita tidak didik dengan didikan agama, mereka pun tidak kisah untuk kita. Sepatutnya mereka itu jadi saham untuk kita supaya dapatlah mengalir pahala dari mereka kepada kita setelah kita tiada, tapi kalau mereka pun jahil juga, bagaimana? Maka jangan wariskan kejahilan kepada anak beranak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Februari 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s