Ayat 31: Ayat 31 – 37 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menceritakan kemenangan dan balasan bagi muttaqin.
إِنَّ لِلمُتَّقينَ مَفازًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, for the righteous is attainment¹ –
- Of security, success and reward, including escape and safety from Hell.
(MALAY)
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan,
Dan kepada orang-orang yang bertaqwa, mereka akan diberikan kejayaan. Lafaz مَفازًا dalam ayat ini bukan hanya bermaksud ‘kejayaan’ biasa, tetapi kejayaan melepasi perkara yang buruk yang tidak diingini. Ini adalah kerana, mereka itu lepas dari termasuk ke dalam neraka. Kerana semua manusia kena melalui Titian Sirat dan titian itu sebenarnya melalui neraka. Jadi secara praktikalnya, semua manusia akan ‘masuk’ dalam neraka. Cuma jatuh atau tidak ke dalamnya, sahaja.
Hanya mereka yang bertaqwa akan dapat melepasi neraka itu. Dan mereka akan nampak dengan mata mereka sendiri benda yang mereka telah lepasi itu, iaitu neraka jahannam. Tentulah ini adalah kejayaan yang lebih besar lagi dari hanya ‘kejayaan’ sahaja. Kerana kalau kita lepas dari bahaya itulah yang menyebabkan kita lebih bersyukur, bukan?
Lihatlah ayat ini menggunakan lafaz ‘muttaqin’, bukan ‘mukminin’. Maknanya, mereka bukan beriman sahaja, tetapi juga bertaqwa. Maknanya, tingkatan yang lebih tinggi lagi dari beriman sahaja.
Apakah maksud muttaqeen (orang yang bertaqwa)? Mereka yang bertaqwa itu adalah mereka yang menjaga-jaga segala perbuatan mereka kerana takut. Mereka itu amat berhati-hati dalam perbuatan seharian mereka, kerana mereka takut kalau mereka silap langkah, mereka akan menyebabkan Allah ﷻ marah dan mereka masuk neraka.
Oleh itu, mereka buat sesuatu untuk selamat dari azab neraka. Taqwa bukan perasaan sahaja tetapi ada perbuatan kena dilakukan. Iaitu kena jaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Dalam setiap perbuatan mereka, mereka akan tanya diri mereka: “apa hukum Allah ﷻ tentang perkara ini?”
Ayat 32: Mereka bukan sahaja akan selamat dari neraka tetapi akan ditempatkan di dalam syurga.
حَدائِقَ وَأَعنابًا
Sahih International
Gardens and grapevines
Malay
(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
Allah ﷻ menggunakan lafaz حَدائِقَ yang bermaksud taman yang tinggi pagarnya yang orang lain tidak dapat masuk. Ini memberikan isyarat hebatnya dan eksklusifnya syurga itu.
Dan Allah ﷻ sebutkan anggur dalam ayat. Anggur adalah makanan dan di dalamnya juga telah ada minuman. Jadi ianya adalah jenis makanan yang ‘dua dalam satu’ maka ia hebat. Dan dalam masyarakat Arab mereka jarang dapat anggur kerana ia adalah makanan mewah yang kena import dari luar. Jadi ia bukanlah makanan biasa dan ia adalah motivasi untuk beriman.
Ayat 33: Di dalam syurga itu penghuni syurga akan diberikan pasangan hidup. Kerana kalau duduk di tempat yang penuh nikmat, tetapi hidup berseorangan sahaja, tentu tidak menarik dan tidak menggembirakan. Kerana kita sebagai manusia, suka untuk menikmati kesenangan bersama dengan orang yang kita sayang, bukan?
وَكَواعِبَ أَترابًا
Sahih International
And full-breasted [companions] of equal age
Malay
Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;
Penghuni syurga akan dipasangkan dengan bidadari yang cantik yang masih perawan lagi. Ada yang kata sifat mereka itu ‘montok’ kerana lafaz كَواعِبَ bermaksud yang timbul buah dadanya. Maknanya mereka itu amat menggiurkan penghuni syurga itu.
Lafaz أَترابًا bermaksud umur mereka amat sesuai sekali. Yang sebaya umurnya, muda semua, tidak ada yang tua. Dan pasangan lelaki dan perempuan itu mempunyai umur yang sama. Tidak pasti umurnya berapa (ada pendapat yang mengatakan umurnya 33 tahun). Tetapi takkan jadi tua daripada umur tersebut, kerana umur tidak bertambah di syurga.
Ayat 34:
وَكَأسًا دِهاقًا
Sahih International
And a full cup.
Malay
Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;
Dan mereka akan minum dari piala yang dipenuhi dengan air yang sedap dan menarik. Perkataan كَأسًا hanya digunakan untuk gelas yang berisi penuh dengan air mahal terutama arak. Maka ia bukan gelas biasa dan bagi orang Arab, kalau disebut kalimah كَأسًا ia bermaksud bekas minuman untuk arak. Air minuman itu banyak sangat sampai melimpah dari gelas. Ini memberi isyarat mewahnya makanan dan minuman di syurga nanti.
Ayat 35:
لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا كِذّابًا
Sahih International
No ill speech will they hear therein or any falsehood –
Malay
Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;
Ini satu lagi nikmat di syurga yang Allah berikan supaya kita dapat bayangkan. Di syurga, mereka tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia dan berunsur penipuan. Di awal surah, Allah ﷻ menceritakan bagaimana orang kafir bercakap tentang perkara sia-sia. Kerana mereka bertanya tentang akhirat dengan cara yang lagha. Mereka bertanya bukan kerana hendak tahu, tetapi kerana hendak mengejek.
Dan pada zaman sekarang pun banyak kita mendengar kata-kata penipuan di dalam media di mana-mana. Kita pun kadangkala kena tohmah dengan macam-macam tohmahan. Sebagai contoh, kita yang hendak menyampaikan agama ini pun kena kutuk dan dihina. Kadangkala dipanggil dengan gelaran tidak patut seperti ‘wahabi’ dan sebagainya.
Dalam keadaan sebegitu, Allah ﷻ suruh kita bersabarlah sahaja, kerana memang itu akan berlaku, tidak dapat dielak semasa kita hidup di dunia ini. Kerana manusia bukan ada penutup pada mulut mereka, bukan? Hanya di syurga sahajalah kita takkan dengar benda-benda macam itu lagi. Kalau di dunia, baik macam mana pun, ada kemungkinan kita kena macam-macam tuduhan dan ejekan. Maka kena selalu buat latihan senyuman (apa sahaja orang kata, maka senyum sahaja).
Ayat 36: Daripada siapakah pemberian itu?
جَزاءً مِن رَبِّكَ عَطاءً حِسابًا
Sahih International
[As] reward from your Lord, [a generous] gift [made due by] account,
Malay
Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),
Semua ini adalah pemberian dari Allah ﷻ yang عَطاءً – melebihi dari apa yang layak kita dapat. Bayangkan kita buat amal kebaikan tidak sampai seratus tahun pun kita hidup, tetapi diberi balasan nikmat selama-lamanya.
Bukan digunakan kalimah وِفاقًا seperti yang dikatakan untuk penghuni neraka dalam ayat ke 26 sebelum ini. Kalau kepada penghuni neraka, Allah ﷻ bagi cukup-cukup, bertepatan dengan perbuatan mereka. Tetapi kepada penghuni syurga, Allah ﷻ bagi berlebih-lebih lagi.
Di dalam budaya Arab, perkataan حِسابًا bermaksud pemberian kepada seseorang yang sampai orang itu akan berkata: “cukup, cukup”, sebab dia sudah tidak sanggup terima lagi kerana banyak sangat. Semoga kita dimasukkan sebagai penghuni syurga dan mendapat apa yang dijanjikan ini.
Allah ﷻ memberitahu bahawa balasan itu adalah dari Tuhan engkau, iaitu Allah ﷻ. Dia sudah beri kita macam-macam di dunia ini dan di akhirat nanti akan ada banyak lagi yang menunggu.
Lafaz ‘engkau’ yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ. Dan apabila Allah ﷻ cakap macam tu, kita tahu ianya sesuatu yang bagus kerana Allah ﷻ memberikan segala kebaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka kalau kebaikan itu dikaitkan kepada baginda, maka tentunya ia amat hebat.
Ayat 37: Siapakah pula Allah ﷻ itu? Allah ﷻ terangkan dalam ayat ini pula:
رَبِّ السَّماواتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُمَا الرَّحمٰنِ ۖ لا يَملِكونَ مِنهُ خِطابًا
Sahih International
[From] the Lord of the heavens and the earth and whatever is between them, the Most Merciful. They possess not from Him [authority for] speech.
Malay
Tuhan yang mentadbir tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
رَبِّ السَّماواتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُمَا
Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya,
Allah ﷻ memberitahu dan menekankan yang Dialah rabb. ‘Rabb’ maksudnya yang mencipta, mentadbir dan memelihara alam dan makhluk. Bukan setakat menjadikan alam sahaja. Selepas Allah ﷻ jadikan makhluk, Allah ﷻ akan jaga, tadbir dan pelihara makhluk itu. Tidaklah Allah ﷻ jadikan alam ini, kemudian biarkan sahaja.
Dan Allah ﷻ tadbir semua sekali: langit Allah ﷻ tadbir, bumi pun Allah ﷻ tadbir juga. Dan bukan sahaja dua alam itu, tapi apa sahaja yang antara keduanya – maksudnya semua sekali Allah ﷻ tadbir. Dari yang sebesar-besarnya, sehinggalah sekecil-kecilnya. Tidak ada yang terlepas dari pandangan dan pentadbiran Allah ﷻ.
الرَّحمٰنِ
Tuhan Yang Maha Pemurah,
Allah ﷻ menekankan sifat RahmanNya di dalam ayat ini. Allah ﷻ memberitahu kemuliaanNya dan keagunganNya. Sifat ar-Rahman tidak sama dengan sifat ar-Raheem.
Ar-Raheem adalah sifat Allah juga tetapi tidaklah semestinya Allah ﷻ tengah buat. Sebagai contoh, seorang yang bersifat pemurah dan suka tolong orang, tidaklah dia sedang menolong orang sentiasa, bukan? Ada masanya dia tidur dan buat kerja lain.
Maka begitulah juga dengan ar-Raheem yang juga sifat Allah ﷻ tetapi belum berlaku lagi kerana ia adalah sifat di akhirat kelak (yang akan diberikan kepada orang mukmin). Namun apabila Allah ﷻ menggunakan lafaz SifatNya ar-Rahman dalam ayat ini, maksudnya Allah ﷻ memang sedang beri banyak pemberian berlimpah-limah kepada manusia. Perbincangan tentang kedua sifat ini ada di dalam Surah Fatihah.
لا يَملِكونَ مِنهُ خِطابًا
tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya
Apabila orang kafir dengar yang Allah ﷻ bersifat ar-Rahman, mereka sangka mungkin mereka boleh pujuk Allah ﷻ kalau mereka kena masuk neraka. Tetapi Allah ﷻ beritahu yang tidak mungkin Allah ﷻ bersifat Rahman dengan mereka di akhirat kelak.
Bagaimana mereka hendak memujuk Allah ﷻ sedangkan mereka hendak bercakap dengan Allah ﷻ pun tidak boleh. Makhluk di akhirat kelak tidak ada kuasa untuk keluar sepatah perkataan pun kalau tidak diberi izin oleh Allah ﷻ. Waktu itu semua makhluk akan tunduk dalam ketakutan (walaupun malaikat), maka hendak cakap apa waktu itu?
Memang tidak akan berani hendak berkata-kata. Maknanya, tidak boleh hendak mula bercakap tanpa Allah ﷻ suruh bercakap. Jadi, kena berhati-hati dengan perbuatan kita di dunia ini kerana di akhirat kelak, tidak ada peluang bagi kita hendak memujuk Allah ﷻ. Kalau di dunia, bolehlah berhujah macam-macam dan menggunakan pemanis mulut, tapi tidak dengan Allah ﷻ di akhirat nanti.
Ayat 38: Allah ﷻ menceritakan keadaan pada Mahsyar nanti. Ayat 38 – 40 adalah Perenggan Makro Keenam dan terakhir surah ini. Ia memberitahu kita yang Mahsyar itu hari di mana tiada sesiapa dapat berbicara atau memberi syafaat melainkan setelah diberi izin.
يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا ۖ لا يَتَكَلَّمونَ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَقالَ صَوابًا
Sahih International
The Day that the Spirit and the angels will stand in rows, they will not speak except for one whom the Most Merciful permits, and he will say what is correct.
Malay
(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta dia berkata benar.
يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا
pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf
Ulama’ tafsir sepakat mengatakan lafaz الرّوحُ dalam ayat ini bermaksud Malaikat Jibril عليه السلام. Kenapa disebutkan tentang beliau sedangkan sudah disebut tentang malaikat-malaikat? Kerana sebagai penghormatan kepada Jibril عليه السلام kerana kedudukannya. Jibril عليه السلام disebut secara khusus sebagai menghormatinya kerana kedudukannya yang tinggi di kalangan para malaikat.
Di Mahsyar nanti, para malaikat yang rapat dengan Allah ﷻ pun duduk tegak berdiri, mereka tunduk menunggu apa Allah ﷻ hendak kata dan beri arahan kepada mereka. Mereka pun duduk bersaf-saf, apatah lagi manusia? Manusia juga akan duduk bersaf-saf menunggu dalam ketakutan.
لا يَتَكَلَّمونَ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ
mereka tidak ada yang berani berkata-kata melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah,
Para malaikat عليهم السلام itu sendiri pun tidak berani untuk bercakap di hadapan Allah ﷻ kerana dalam ketakutan. Kenapa disebut tentang perkara ini? Kerana puak Musyrikin Mekah itu selalu sembah para malaikat عليهم السلام. Selain dari sembah malaikat, mereka juga seru para malaikat عليهم السلام itu dan minta syafaat kepada malaikat.
Ini adalah salah satu dari kesyirikan yang mereka lakukan. Ini kerana mereka kata malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ dan mereka kata kalau mereka sembah dan puja malaikat, tentu nanti malaikat itu akan tolong minta Allah ﷻ selamatkan mereka yang selalu menyembah mereka. Maknanya, Musyrikin Mekah itu berharap para malaikat عليهم السلام itu akan beri syafaat kepada mereka.
Jadi, Allah ﷻ musnahkan harapan Musyrikin Mekah itu dengan mengatakan yang para malaikat عليهم السلام pun tidak berani berkata apa-apa di Mahsyar nanti. Lalu bagaimana hendak jadi wakil, jadi ‘peguam’ untuk Musyrikin itu kalau hendak bercakap pun mereka tidak berani?
Melainkan yang berani berkata-kata adalah mereka yang diberi izin terlebih dahulu oleh Allah ﷻ untuk berkata.
وَقالَ صَوابًا
serta dia berkata benar.
Dan syafaat yang kalau diberikan pun adalah tepat kepada orang tertentu sahaja. Mereka tidak dapat berkata-kata melainkan kalau Allah ﷻ memberi kebenaran kepada mereka. Dan selepas diberikan kebenaran itu, mereka hanya boleh berkata yang benar-benar sahaja.
Ini disebut kerana kaum kafir ada yang berpendapat bahawa malaikat عليهم السلام akan menyelamatkan mereka. Sebab mereka selalu tawassul kepada malaikat عليهم السلام juga. Tetapi tidaklah boleh malaikat عليهم السلام itu hendak menipu untuk mempertahankan sesiapa sahaja. Malaikat عليهم السلام akan berkata benda yang benar terjadi sahaja. Jadi kalau mereka melakukan syirik, bagaimana lagi mereka akan diselamatkan oleh malaikat عليهم السلام?
Ayat ini juga sebagai tempelak kepada masyarakat Muslim kita pun yang sangka mereka boleh mendapat syafaat dari para malaikat عليهم السلام. Kerana ada juga yang seru malaikat عليهم السلام di malam hari, beri salam dan sebagainya. Ada yang mengamalkan amalan sebegitu untuk minta tolong terus dari malaikat عليهم السلام.
Itu semua adalah perbuatan syirik yang diajar oleh syaitan. Mereka amalkan itu kerana diajar oleh ajaran-ajaran sesat, antaranya termasuk ajaran silat yang telah diserapi oleh ajaran sesat yang datang dari dulu lagi. Mereka pakai terima sahaja, kononnya itu adalah kebaikan. Ini kerana masyarakat kita jahil tentang agama dan tentang wahyu.
Nota: Dalam ayat ini ruh, atau Jibril عليه السلام disebut dahulu padahal dalam banyak ayat lain, malaikat lain disebut dahulu. Sebab ayat ini berkenaan dengan autoriti dan Jibrail عليه السلام adalah malaikat yang paling banyak autoriti.
Ada yang kata ‘ruh’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah anak cucu Adam عليه السلام. Ada pula yang berkata bahawa ‘ruh’ yang dimaksudkan di sini adalah Al-Qur’an. Dan ada lagi pendapat-pendapat lain. Allahu a’lam mana yang sebenarnya dan biasa sahaja ada beberapa pendapat seperti ini.
Ayat 39:
ذٰلِكَ اليَومُ الحَقُّ ۖ فَمَن شاءَ اتَّخَذَ إِلىٰ رَبِّهِ مَآبًا
Sahih International
That is the True Day; so he who wills may take to his Lord a [way of] return.
Malay
Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, hendaklah dia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!
ذٰلِكَ اليَومُ الحَقُّ
Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya;
Allah ﷻ telah memberi peringatan kepada kita berkenaan Hari Kiamat itu dalam ayat-ayat sebelum ini. Maka kenalah ambil perhatian. Jangan berlengah lagi dengan duduk dalam kejahilan dan kealpaan. Peringatan yang diberikan itu adalah untuk kebaikan kita, supaya kita dapat bersiap-siap. Jangan nanti dikatakan kita tidak diberi peringatan pula.
Ianya adalah haq, maksudnya ia pasti akan berlaku. Ianya adalah Hari Kebenaran di mana kebenaran akan ditegakkan. Setiap manusia akan dibalas dengan apa yang patut mereka terima, tidak ada yang akan dizalimi. Keadilan pasti akan ditegakkan.
فَمَن شاءَ اتَّخَذَ إِلىٰ رَبِّهِ مَآبًا
maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, hendaklah dia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya
Sesiapa yang hendak mendapat kebaikan pada hari itu, kebaikan semasa di akhirat nanti, maka carilah cara untuk bersedia kepadanya. Kenalah beramal semasa di dunia lagi. Kena buat persiapan.
Jangan menyesal nanti, kerana pada hari itu kerana sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Tidak ada sesiapa yang akan tolong dan tidak boleh pulang ke dunia untuk ubah amalan kita. Kena buat persediaan dari awal lagi semasa di dunia. Jangan leka dan berlengah lagi buat perkara-perkara yang lagha.
Ayat 40:
إِنّا أَنذَرناكُم عَذابًا قَريبًا يَومَ يَنظُرُ المَرءُ ما قَدَّمَت يَداهُ وَيَقولُ الكافِرُ يا لَيتَني كُنتُ تُرابًا
Sahih International
Indeed, We have warned you of a near punishment on the Day when a man will observe what his hands have put forth and the disbeliever will say, “Oh, I wish that I were dust!”
Malay
Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.
إِنّا أَنذَرناكُم عَذابًا قَريبًا
Sesungguhnya, Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat
Allah ﷻ menekankan bahawa bukan Nabi Muhammad ﷺ yang memberi peringatan ini, tetapi Allah ﷻ sendiri. Nabi Muhammad ﷺ hanya sampaikan sahaja. Orang Kafir Mekah marah kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka sangka, Nabi ﷺ yang sibuk reka perkara yang tidak ada. Maka Allah ﷻ tegaskan yang ini bukan peringatan dari manusia tetapi dari Dia ﷻ.
Allah ﷻ juga mengingatkan yang Hari Kiamat itu dekat sahaja. Orang kafir sahaja yang rasa ianya jauh. Lihat surah Maarij:6-7. Kita pun mungkin rasa macam jauh sahaja Kiamat itu, tetapi nanti tiba-tiba kita sudah di Mahsyar.
يَومَ يَنظُرُ المَرءُ ما قَدَّمَت يَداهُ
iaitu hari seseorang melihat apa yang telah dihantar ke depan;
Maksud yang ‘dihantar ke depan’ itu adalah amalan – sama ada baik atau buruk. Segala perbuatan kita akan diarkibkan dalam Kitab Amalan kita dan kita akan dapat melihatnya nanti. Semua amalan kita direkod dan dihantar dahulu ke depan. Ia menunggu untuk dipersembahkan kepada kita.
Baik atau buruk kita boleh lihat sendiri apa yang telah dilakukan. Kita akan baca sendiri buku amalan kita itu. Ianya akan dibentangkan di hadapan kita dan kita akan baca sendiri. Bayangkan kalau kita terpaksa baca dan sebut amalan kita yang buruk? Mana hendak letak muka kita waktu itu?
وَيَقولُ الكافِرُ يا لَيتَني كُنتُ تُرابًا
dan orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah
Ini adalah kata-kata penyesalan orang kafir apabila mereka melihat amal mereka yang buruk itu, mereka akan berkata: “alangkah baiknya kalau aku jadi tanah sahaja, tidak jadi manusia…..!”
Pada masa itu, putus haraplah semua orang kafir. Mereka mengharap mereka dahulunya adalah tanah, jadi habuk sahaja. Walaupun pada adat mereka, habuk itu adalah suatu yang hina. Dan bukankah mereka jenis kaum yang rasa tinggi diri dahulu semasa di dunia? Akan tetapi apabila mereka melihat apa yang berlaku di akhirat itu, mereka berharap sungguh biarlah mereka dahulu menjadi tanah sahaja.
Sebelum manusia ditunjukkan amal perbuatan mereka, binatang-binatang akan dinilai dan dihakimi lebih dahulu. Dan selepas semua binatang telah mendapat keadilan, kemudian binatang itu akan dijadikan tanah, habis begitu sahaja. Kerana binatang tidak masuk syurga dan tidak masuk neraka.
Oleh itu, orang-orang kafir melihat dan berharap, alangkah baiknya jika mereka dahulu tidak diwujudkan, menjadi tanah sahaja seperti binatang itu juga. Kerana tidaklah mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Ayat ini sebut tentang orang kafir (yang engkar). Kalau kita pun berperangai macam orang kafir juga, bagaimana? Tentulah akan dilayan seperti mereka juga. Tentulah kita pun akan berkata seperti dalam ayat ini juga.
Allahu a’lam. Tamat tafsir an-Naba’ ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Naaziat.
Kemaskini: 24 September 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
One thought on “Tafsir Surah Naba’ Ayat 31 – 40 (Keadaan di akhirat)”