Tawbah Ayat 28: Ini dikatakan sebagai halangan yang ke 4. Ada yang berhujah bahawa tidak patut memutuskan perhubungan dengan orang kafir. Mereka kata, bila memutuskan hubungan dengan orang kafir, mungkin perkara kehidupan kita terganggu, contohnya dari segi perniagaan. Kerana mungkin kita bergantung dengan mereka dari segi ekonomi. Allah jawab hujah itu dalam ayat ini.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا المُشرِكونَ نَجَسٌ فَلا يَقرَبُوا المَسجِدَ الحَرامَ بَعدَ عامِهِم هٰذا ۚ وَإِن خِفتُم عَيلَةً فَسَوفَ يُغنيكُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ إِن شاءَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَليمٌ حَكيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, indeed the polytheists are unclean, so let them not approach al-Masjid al-Ḥarām after this, their [final] year. And if you fear privation, Allāh will enrich you from His bounty if He wills. Indeed, Allāh is Knowing and Wise.
(MALAY)
Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا المُشرِكونَ نَجَسٌ
Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis,
Pertamanya, Allah beritahu yang orang musyrik itu najis. Ini adalah kerana akidah mereka rosak. Kalimah yang digunakan adalah نَجَسٌ dan bukan نَجِس. Kalau نَجِس ia adalah najis kecil tapi apabila ia adalah نَجَسٌ, bermakna ia najis yang berat.
Najis itu ada tiga jenis di dalam Islam:
1. Najis kekotoran seperti tahi yang semua orang tahu ia adalah kotor. Ia boleh diketahui dengan pancaindera. Ini najis aini yang boleh dilihat dengan dan dirasa dengan deria.
2. Ada najis yang diketahui melalui ilmu syariat. Ini seperti keluarnya air mani, haidh dan nifas.
3. Najis dari segi maknawi (makna) iaitu kekotoran fahaman dan akidah.
Jadi kena faham yang ‘najis’ yang disebut di dalam ayat ini adalah lebih najis dalaman atau najis maknawi. Bukan tubuh fizikal mereka yang najis, sebab itu mereka boleh masuk masjid. Jadi ia adalah jenis najis maknawi (dari segi makna sahaja), bukannya najis hissi (fizikal). Kalau najis hissi atau ain, kita basuh dengan air, tapi kalau najis maknawi, ia dibasuh dengan kalimah la ilaaha illallah. Iaitu kena masuk Islam barulah najis itu dihapuskan.
Walaupun begitu, orang kafir juga telah melanggar syariat terhadap ketiga-tiga jenis najis yang telah disebut. Mereka tidak menjaga kebersihan tubuh badan dan kerana itu zaman dahulu orang kafir tidak basuh pun najis mereka. Dan mereka tidak ambil wuduk dan mandi janabah selepas keluar air mani dan juga haidh. Dan seperti yang telah disebut, akidah mereka adalah akidah sesat dan kufur.
Tapi yang ditekankan di dalam ayat ini adalah najis akidah. Kerana itulah pada zaman Nabi Muhammad, selalu baginda menerima wakil orang kafir yang bertemu baginda di dalam masjid dan tidak ada masalah. Orang Melayu kita sahaja yang tak tahu perkara ini dan mereka itulah golongan pak lebai yang faham agama agak-agak sahaja.
Maka bukanlah tubuh orang kafir itu yang najis tetapi akidah mereka yang najis. Kerana keliru, ada juga yang bertanya: “kalau bersalam dengan orang kafir, wudhu batalkah?” Ini adalah soalan dari mereka yang jahil dengan ayat ini. Tidak, wudhu tidak batal dan kita boleh sahaja sentuh mereka. Soalan itu pun tidak patut, kerana kalau kita sentuh najis pun, tidaklah membatalkan wudhu. Cuma basuh sahaja.
Allah mulakan ayat ini dengan memberitahu hakikat para Musyrikin Mekah itu supaya puak muslimin meninggalkan rasa perhubungan dengan mereka. Kenapa lagi nak berurusan baik dengan mereka kalau mereka itu najis? Kenapa nak memuliakan najis pula?
فَلا يَقرَبُوا المَسجِدَ الحَرامَ بَعدَ عامِهِم هٰذا
maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini.
Dalam ayat ini Allah kata jangan dekati, dan ia bermaksud jangan masuk pun. Dekati pun jangan, apatah lagi memasukinya. Puak Musyrikin dilarang untuk memasuki Tanah Haram selepas pengumuman dari Surah Tawbah ini, iaitu selepas 4 bulan.
Dan apakah yang dimaksudkan dengan بَعدَ عامِهِم هٰذا (selepas tahun ini)? Tahun yang mana? Tahun 9 Hijrah atau 10 Hijrah? Pendapat yang kuat adalah orang musyrik tidak boleh memasukinya selepas habis tahun 9 Hijrah. Akan tetapi penangguhan diberikan selama setahun dan kerana itu hanya selepas habis tahun 10 Hijrah barulah undang-undang ini diketatkan.
Dan yang tidak boleh masuk adalah MasjidilHaram, termasuk semua Tanah Haram, bukannya masjid-masjid lain. Inilah polisi yang telah ditetapkan oleh Islam. Sebab itulah orang kafir sampai sekarang pun tidak dibenarkan masuk ke Tanah Haram terlebih lagi di Ka’bah. Dan memang ada tanda sempadan kawasan Tanah Haram itu.
Ayat ini diturunkan pada tahun sembilan Hijriah. Kerana itulah maka Rasulullah mengutus Ali untuk menemani Abu Bakar r.a. di tahun itu. Dan Nabi memerintahkan kepadanya untuk menyerukan pengumuman di kalangan orang-orang musyrik, bahawa sesudah tahun ini tidak boleh lagi ada orang musyrik berhaji dan tidak boleh lagi ada orang tawaf di Baitullah dengan telanjang. Dengan demikian, maka Allah telah menyempurnakan agama-Nya dan menetapkan hal ini sebagai syariat dan keputusan-Nya.
Ayat ini menjadi polemik yang agak panjang lebar juga. Ada tiga persoalan yang timbul di kalangan ulama’:
1. Adakah larangan itu hanya untuk MasjidilHaram sahaja atau semua masjid di dunia ini?
2. Jikalau mereka dihalang dari memasuki MasjidilHaram, adalah secara keseluruhan (tidak boleh masuk langsung) atau mereka hanya dilarang mengerjakan Haji dan Umrah sahaja?
3. Adakah Ahli Kitab juga termasuk di dalam larangan ini? Ini kerana mereka itu ada kedudukan istimewa juga di dalam syariat Islam (sebagai contoh wanita mereka boleh dikahwini dan sembelihan mereka boleh dimakan).
Oleh kerana ayat ini ringkas sahaja, maka ada khilaf pendapat di kalangan ulama’. Antara soalan yang timbul adalah: najis apakah yang dimaksudkan? Imam Malik mengatakan orang Musyrik ini bernajis dalam semua hal (fizikal dan akidah) dan kerana itulah mereka tidak boleh masuk mana-mana masjid pun. Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mengeluarkan arahan kepada penguasa setiap kota untuk tidak membenarkan orang kafir masuk ke dalam masjid. Dan beliau menaqalkan ayat ini sebagai dalil bagi arahan itu.
Imam Syafie pula mengatakan larangan ini kepada semua orang kafir (termasuk Ahli Kitab) tapi hanya di MasjidilHaram sahaja. Beliau berdalil kisah Thumamah ibn Athal yang ditangkap dan Rasulullah mengarahkannya diikat di tiang Masjid Nabawi sebelum beliau masuk Islam.
Imam Abu Hanifah pula mengatakan yang dilarang adalah untuk melakukan Haji dan Umrah dengan cara sesat mereka. Kalau untuk masuk MasjidilHaram sahaja untuk tujuan lain, ini boleh dibenarkan oleh pemerintah. Beliau berdalil dengan kisah wakil dari Bani Tsaqif yang datang selepas penaklukan Mekah dan Rasulullah membenarkannya masuk masjid. Para sahabat ketika itu mengatakan yang orang itu kotor tapi Rasulullah mengatakan lantai masjid tidak terkesan dengan najis orang itu.
Maka kerana itu Imam Abu Hanifah berpendapat yang konteks ayat ini bukanlah tentang kebersihan masjid, (walaupun ia penting) akan tetapi tentang kebersihan dari segi akidah. Tujuan ayat ini adalah untuk membersihkan Tanah Haram dari golongan Musyrik. Akan tetapi ia tidaklah dilakukan serta merta. Malahan mereka itu diberi masa setahun untuk melakukannya.
Rasulullah kemudian meneruskan usaha untuk membersihkan keseluruhan Tanah Arab dari golongan musyrikin. Akan tetapi baginda tidak sempat melakukannya kerana tidak lama selepas itu baginda pun wafat. Malah Sayyidina Abu Bakr pun tidak sempat kerana jangkamasa pemerintahan beliau amat singkat dan perlu selesaikan perkara dalaman dahulu. Ia cuma mampu dilakukan pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar.
وَإِن خِفتُم عَيلَةً فَسَوفَ يُغنيكُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ إِن شاءَ
Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki.
Sebelum ini dikatakan ada yang bimbang mereka putus bekalan dunia, bukan? Allah beritahu sekiranya mereka bimbang kemiskinan, Allah janji akan beri kecukupan dari kurniaanNya jika Dia kehendaki. Maka jangan takut yang rezeki mereka akan hilang.
Allah juga hendak menasihati Musyrikin Mekah. Mereka mungkin takut selepas mereka masuk Islam, mereka akan susah. Kerana sebelum itu, sumber pendapatan mereka adalah dari mereka yang datang ke Kaabah dari merata tempat kerana puak Arab ada meletakkan berhala mereka di Kaabah itu.
Allah nak beritahu, jangan risaulah. Kalau dulu Allah juga yang beri rezeki kepada mereka dan sekarang Allah yang sama juga. Allah akan memberi kesenangan kepada mereka. Allah akan jadikan mereka kaya raya selepas itu. Kerana mereka akan dapat harta dari Kerajaan Parsi dan Rom. Dan mereka akan menakluk jajahan-jajahan lain dan akan mendapat bayaran jizyah dan daerah-daerah itu.
Dan Allah akan beri sumber rezeki yang banyak sekali dari sumber lain yang tidak disangka-sangka. Lihatlah sekarang mereka dikurniakan dengan kekayaan minyak. Memang kaya sungguh negara-negara Arab sekarang ini. Sampai mereka tak tahu nak buat apa dengan kekayaan itu.
Ayat ini mengajar akidah kita tentang rezeki. Iaitu Allah yang memberi rezeki kepada kita. Bukannya usaha kita. Berapa ramai manusia yang berusaha keras tapi tidak dapat rezeki? Usaha kita tidak memberi bekas sebenarnya. Cuma Allah hendak melihat usaha kita, itu sahaja. Maka kena tetap berusaha. Akan tetapi jangan sangka yang usaha itu akan berjaya tanpa Allah beri izin.
إِنَّ اللَّهَ عَليمٌ حَكيمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah tahu memang akan ada putus hubungan dan boleh jadi berlaku putus keperluan. Tetapi Allah maha bijaksana, Dia akan beri perkara yang lebih baik. Segala yang Allah tentukan ada untuk kebaikan. Maka kita kena redha dan percaya dengan keputusan yang Allah telah lakukan. Allah tahu keperluan hidup kita dan Allah akan beri kecukupan kepada kita.
Tawbah Ayat 29: Ayat ini adalah DAKWA Surah Tawbah. Inilah polisi untuk memerangi puak Musyrikin dan Ahli Kitab.
Kita sekarang sudah masuk ke perenggan Makro ke 2 surah ini. Ia bermula dari ayat ini sehingga ke ayat 35. Dalam perenggan pertama telah disebut tentang perang dengan Bani Ismail (golongan Arab), sekarang disebut arahan perang kepada Bani Israil (golongan Ahli Kitab) pula. Yang dimaksudkan adalah Yahudi dan Nasrani.
Walaupun tidak disebut secara tekstual tentang mereka, malah boleh dikatakan arahan ini adalah arahan berperang dengan semua golongan kafir, tapi mereka adalah golongan yang dikenali oleh bangsa Arab pada waktu itu. Ia penting kerana mungkin ada di kalangan umat Islam waktu itu ada rasa berat untuk berperang dengan mereka memandangkan mereka itu ada juga beriman kepada agama samawi dan agak rapat dengan umat Islam. Ini kerana mereka juga ada kitab, mereka juga beriman dengan para Nabi yang juga para Nabi umat Islam juga. Jadi Allah berikan penegasan yang mereka itu tetap kena diperangi kerana mereka telah terpesong jauh dari agama yang asli.
Malah mereka amat patut diperangi lebih awal kerana mereka itu sepatutnya kenal Allah, kenal Nabi mereka dan malah kenal Nabi Muhammad. Akan tetapi mereka tetap juga kufur dengan kebenaran. Ini jenis orang yang degil (tahu kebenaran tapi tetap menolaknya). Maka mereka ini lebih teruk lagi dari golongan musyrik yang tidak ada ilmu.
Mujahid mengatakan ayat-ayat ini adalah tentang Perang Tabuk pada tahun 9 Hijrah. Ia adalah perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah.
قٰتِلُوا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَلا بِاليَومِ الآخِرِ وَلا يُحَرِّمونَ ما حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسولُهُ وَلا يَدينونَ دينَ الحَقِّ مِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ حَتّىٰ يُعطُوا الجِزيَةَ عَن يَدٍ وَهُم صٰغِرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Fight those who do not believe in Allāh or in the Last Day and who do not consider unlawful what Allāh and His Messenger have made unlawful and who do not adopt the religion of truth [i.e., Islām] from those who were given the Scripture – [fight] until they give the jizyah1 willingly while they are humbled.
- A tax required of non-Muslims exempting them from military service and entitling them to the protection of the Islāmic state. Concurrently, zakāh is not taken from them, being an obligation only upon Muslims.
(MALAY)
Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk.
قٰتِلُوا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَلا بِاليَومِ الآخِرِ
Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian
Hendaklah puak Muslimin perangi golongan yang tidak beriman. Allah beritahu kenapa kena perangi mereka dalam ayat ini. Ianya adalah kerana mereka tidak mengamalkan tauhid. Mereka tidak beriman sebenarnya dengan Allah. Mereka tidak mengamalkan fahaman tauhid.
Dan yang kedua, mereka tidak beriman dengan akhirat. Mereka tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan kembali dan kena balas apa yang mereka telah lakukan. Oleh kerana tidak percaya akhirat, maka mereka tidak takut untuk buat dosa di atas dunia.
وَلا يُحَرِّمونَ ما حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسولُهُ
dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya
Dan yang ketiga, mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Nabi. Mereka tidak kisah halal dan haram. Mereka sanggup ubah hukum asalkan mereka dapat habuan dari fatwa mereka itu.
وَلا يَدينونَ دينَ الحَقِّ
dan tidak beragama dengan agama yang benar
Dan keempat, mereka tidak menerima agama Islam. Setelah disampaikan dakwah kepada mereka, mereka masih tolak juga lagi. Malah, mereka menentang Islam disampaikan kepada manusia. Mereka sanggup mengatakan Nabi Muhammad bukan Rasul, atau mereka kata baginda hanya Rasul untuk bangsa Arab sahaja.
Oleh kerana mereka itu Ahli Kitab dan dipandang tinggi oleh manusia, maka keputusan mereka tidak menerima Nabi Muhammad itu telah menyebabkan manusia lain sangsi untuk menerima baginda. Ini adalah kerana mereka tengok yang kenal agama pun tidak terima baginda (iaitu Ahli Kitab), maka tentulah baginda tidak benar (pada pandangan mereka).
مِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ
dari kalangan orang-orang yang diberikan Al-Kitab kepada mereka,
Siapakah yang perlu diperangi? Golongan Ahli Kitab yang disebut dalam ayat ini. Dan sifat-sifat mereka telah disebut. Ada 4 perkara yang mereka telah langgar:
1. Mereka tidak percaya kepada Allah
2. Mereka tidak percaya kepada Hari Akhirat
3. Mereka tidak mengharamkan apa yang Allah telah haramkan
4. Mereka tidak beragama dengan sebenarnya
Cuma, bukankah mereka sepatutnya beriman dengan Allah dan beriman dengan Hari Akhirat? Kerana mereka itu dapat banyak Nabi dan juga kitab wahyu. Jadi kenapa Allah kata mereka tidak beriman pula?
Ini adalah kerana mereka itu cakap beriman dengan mulut sahaja. Padahal dari segi praktikalnya mereka tidak beriman. Nanti ayat selepas ini disebut mereka ambil Nabi Uzair dan Nabi Isa sebagai anak tuhan. Maka itu menunjukkan yang mereka ini musyrik sebenarnya. Jadi kata-kata beriman tapi tidak diikuti dengan amalan tidak dikira langsung.
Walaupun dikatakan mereka beriman adanya Hari Akhirat, tapi fahaman mereka tentangnya sudah lari dari kebenaran kerana telah diubah-ubah dari apa yang telah disampaikan oleh Nabi mereka dan wahyu. Contohnya mereka kata yang ada akhirat nanti adalah roh sahaja, tanpa fizikal.
Dan dari segi hukum, mereka buat tidak tahu sahaja pengharaman Allah. Sebagai contoh, riba yang Allah haramkan, mereka benarkan pula. Jadi mereka ini dalam bab beragama, amat culas. Ikut sedap tekak mereka sahaja. Semoga kita tidak jadi seperti mereka.
Di sini Allah sedang membezakan antara puak Musyrikin dan Ahli Kitab. Allah sebut Ahli Kitab secara khusus. Kenapa pula? Kerana mungkin ada para sahabat yang rasa mereka tidak perlu serang puak Ahli Kitab. Allah kata tidak, kena juga lawan dengan mereka, kerana mereka itu pun ada masalah juga.
Ayat ini merupakan ayat pertama yang memerintahkan untuk memerangi kaum Ahli Kitab, sesudah menyelesaikan perkara yang menyangkut kaum musyrik dan sesudah manusia masuk ke dalam agama Allah (agama Islam) secara bergelombang-gelombang, serta seluruh Jazirah Arabia telah tegak di dalam kekuasaan agama Islam. Setelah itu berlaku, maka sekarang Allah memerintahkan kepada Rasul-Nya agar memerangi kaum Ahli Kitab, iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani. Hal ini terjadi pada tahun sembilan Hijriah.
حَتّىٰ يُعطُوا الجِزيَةَ عَن يَدٍ
sampai mereka membayar jizyah dengan patuh
Ahli Kitab itu mesti diperangi (kerana kekafiran mereka) tapi ada hadnya. Iaitu apabila mereka bayar jizyah. Ini mereka perlu lakukan kalau mereka tidak mahu masuk Islam. Kerana kalau mereka sudah beri jizyah tidak boleh lagi perangi mereka.
Perkataan jizyah diambil daripada perkataan jaza’ (pemulangan atau balasan), dan jizyah bermaksud sebagai ganti mereka tidak dibunuh. Jizyah itu dikenakan kepada mereka kerana kekufuran mereka.
Allah beritahu yang umat Islam kena perangi orang kafir itu sehingga mereka beri jizyah dengan tangan mereka mereka ini. Mereka kena beri dengan tangan mereka sendiri sebagai isyarat yang mereka kena tunduk dengan kerajaan Islam. Dan jizyah ini hendaklah diberi sendiri, tidak boleh melalui perantaraan. Kerana itu Allah sebut عَن يَدٍ (dari tangan).
Jizyah ini seperti cukai yang dikenakan kepada rakyat sesebuah negara sekarang. Mereka menjadi jajahan takluk negara Islam. Mereka tidaklah menjadi rakyat negara Islam kerana untuk menjadi rakyat negara Islam, kena lafaz syahadah. Tapi mereka mendapat penjagaan di dalam negara Islam dan mereka boleh mengamalkan agama mereka dengan bebas.
Oleh itu, mereka tidaklah mendapat kelebihan penuh sebagai rakyat negara Islam. Macam di negara kita sekarang, kalau bukan warganegara Malaysia pergi ke hospital, bayaran yang dikenakan kepada mereka tidak sama seperti yang dikenakan kepada rakyat Malaysia sendiri.
Puak Muslimin boleh lakukan begini kepada orang kafir kerana mereka telah diberi peluang untuk berfikir. Mereka telah diajak dan diberi pilihan sebelum ini. Kalau masih tidak mahu ambil peluang itu, maka mereka lakukan seperti yang Allah perintahkan dalam ayat ini. Tapi pilihan yang Allah berikan kepada mereka ini adalah rahmat dariNya.
Jizyah ini bukanlah benda yang baru kerana kalau mereka tidak bayar kepada negara Islam, mereka akan bayar kepada negara lain. Bayaran yang dikenakan tidak banyak iaitu ditetapkan sebanyak 1 Dinar setiap orang. Atau apa sahaja amaun yang boleh ditetapkan oleh khalifah.
Dan kelebihan yang mereka akan dapat adalah keselamatan mereka akan dijamin oleh negara Islam. Mereka hanya jadi warganegara sahaja dan tidak perlu mempertahankan negara mereka kerana negara Islam yang akan pastikan keselesaan dan keselamatan mereka.
Oleh kerana itu jizyah tersebut tidak akan gugur sehingga mereka memeluk agama Islam. Barulah mereka jadi rakyat negara Islam yang sebenar dan mendapat kelayakan penuh. Jizyah juga tidak akan gugur walaupun mereka ikut berperang.
Jizyah juga tidak akan diambil melainkan daripada orang yang mampu sahaja. Allah berfirman: “An Yadin.” Maksudnya kerana kemampuan mereka. Oleh kerana itu jizyah tidak diambil daripada orang yang tidak mampu. Ia juga bermaksud mereka bayar jizrah itu kerana mereka menerima hakikat yang mereka itu di bawah penguasaan kerajaan Islam.
Di samping itu jizyah diambil daripada kaum lelaki sahaja dan tidak wajib bagi kaum wanita, anak-anak dan juga orang gila. Walaupun wanita tersebut datang ke negara Islam dan sanggup membayar jizyah sebagai bayaran kerana ingin menetap di sana, namun jizyahnya tidak wajib diambil, dia akan diterima tinggal di negara Islam dan dia bebas untuk tinggal di mana sahaja di negara Islam.
Jumlah jizyah ditetapkan mengikut kebijaksanaan dan ijtihad Khalifah. Harus diingat bahawa jizyah itu hendaklah tidak melebihi kemampuan orang yang berhak membayar jizyah. Daripada Ibnu Abi Najih yang mengatakan: “Aku bertanya kepada Mujahid: ‘Apa alasannya penduduk Syam dikenakan 4 dinar sedangkan penduduk Yaman hanya 1 dinar?’ Mujahid menjawab: ‘Hal itu hanya untuk mempermudah’.” (Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Bukhari).
Zaman Sayyidina Umar pula beliau mengenakan zakat kepada Kristian Bani Taghlib, cuma zakat yang dikenakan kepada mereka adalah dua kali ganda. Sedangkan pada zaman Rasulullah telah ada perjanjian dengan Kristian Najran untuk membayar dua ribu hullah setahun. Hullah adalah sejenis pakaian.
Apabila Jizyah dikenakan terhadap orang yang mampu, manakala dia keberatan untuk membayarnya, maka dia dianggap mempunyai hutang jizyah. Dia akan diperlakukan sebagaimana orang yang berhutang dalam keadaan yang dia keberatan. Kemudian akan dilihat bagaimana mudahnya.
وَهُم صٰغِرونَ
sedang mereka dalam keadaan tunduk.
Maknanya mereka beri jizyah itu bukan kerana sukarela akan tetapi kerana mengiktiraf kuasa kerajaan Islam ke atas mereka. Dan ia juga bermaksud mereka kena tunduk patuh kepada syariat Islam. Walaupun mereka orang kafir, tapi mereka kena ikut hukum Islam. Macam orang yang datang ke negara kita sekarang, kenalah ikut undang-undang negara kita. Sebagai contoh, kalau mereka edar dadah, mereka tetap kena hukum gantung walaupun di negara mereka tidak ada undang-undang sebegitu.
Jadikan mereka itu dalam keadaan hina, rendah, dan kalah. Kerana itulah tidak boleh membanggakan ahli dzimmah, tidak boleh pula meninggikan mereka atas kaum Muslim; bahkan mereka harus dipandang terhina, kecil lagi celaka, seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahih Muslim melalui Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi Saw. pernah bersabda:
“لَا تَبْدَءُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى بِالسَّلَامِ، وَإِذَا لَقِيتُمْ أَحَدَهُمْ فِي طَرِيقٍ فَاضْطَرُّوهُ إِلَى أَضْيَقِهِ”
Janganlah kalian memulai salam kepada orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani. Dan apabila kalian bersua dengan seseorang dari mereka di jalan, maka desaklah mereka ke sisi yang paling sempit.
Ayat ini menyebut Ahli Kitab yang kena bayar jizyah. Kerana itulah ada yang berpendapat jizyah ini hanya diberikan pilihan itu kepada Ahli Kitab sahaja. Akan tetapi pendapat majoriti mengatakan ia boleh dikenakan juga kepada orang kafir yang lain. Cuma ia tidaklah diberikan sebagai pilihan kepada Musyrikin Mekah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 17 Mac 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir