Pengenalan:
Surah ini bersambung ceritanya dengan sebelumnya iaitu surah an-Naba’. Surah itu diakhiri dengan cerita tentang Hari Kiamat dan Surah an-Naziat ini terus bermula dengan penceritaan Hari Kiamat.
Ayat 1: Surah ini ada 7 Perenggan Makro. Perenggan Pertama dari ayat ini sehingga ke ayat 10, iaitu mengajar kita Adab Berdakwah.
وَٱلنَّـٰزِعَـٰتِ غَرقًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
An-Nāzi‘āt: The Extractors.
By those [angels] who extract with violence¹
- i.e., those who tear out the souls of those destined for Hell.
(MALAY)
Demi (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan keras,
Ayat ini dimulai dengan Sumpah Allah ﷻ. Allah ﷻ bersumpah dengan an-Naaziat yang bermaksud ‘malaikat yang mencabut‘. Allah ﷻ tidak sebutkan secara tepat apakah yang malaikat itu cabut. Jadi perlukan pentafsiran tentang perkara ini. Allah ﷻ juga tidak menyebut dengan terang bahawa yang dimaksudkan adalah malaikat. Jadi, apa yang mencabut dan apa yang dicabut tidak disebut dengan jelas.
Maksud Naaziat
Pendapat majoriti mengatakan yang mencabut/menarik dengan keras itu adalah malaikat. Ini adalah pendapat majoriti mufassirin. Dan yang ditarik itu adalah roh manusia yang telah sampai ajalnya. Dan roh yang dimaksudkan adalah roh manusia yang engkar semasa hidupnya.
Oleh itu, jikalau pentafsiran ini diterima, ayat ini bermaksud Allah ﷻ bersumpah dengan malaikat yang menarik roh manusia yang jahat dengan kuat. Cara menarik roh itu keluar adalah malaikat itu masuk ke dalam tubuh manusia itu dan tarik roh itu keluar. Ini adalah kerana kalimah غَرقًا dari katadasar غ ر ق yang bermaksud ‘tenggelam’. Kita baca pun sudah terasa sakitnya.
Selain dari itu, kita sampaikan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘Naaziat‘ ini adalah ‘bintang‘. Maksudnya, bintang yang dicabut jatuh dari langit. Iaitu komet yang dilihat oleh Arab Mekah pada zaman mereka.
Dan ada juga pendapat yang mengatakan yang menarik itu adalah angin kuat yang mencabut pokok-pokok dan juga binaan seperti bangunan. Angin kuat itu bolehlah kita bayangkan macam tornedo. Ini kerana dalam ayat yang lain, disebut mursalaat sebagai angin. Sama-sama ada huruf ا dan ت di hujung. Kerana tanda ات itu adalah feminin dan kalau begitu, ia seolah-olah merujuk para malaikat sebagai berjantina perempuan pula dan ini dilarang (Arab Mekah kata malaikat itu anak perempuan Allah).
Tambahan pula, dalam hadis ada disebut yang roh ditarik dari kaki dan tidak disebut yang malaikat maut masuk ke dalam tubuh manusia untuk mematikannya. Jadi ada beberapa pendapat. Allahu a’lam. Begitulah keindahan bahasa yang digunakan oleh Al-Qur’an yang boleh memberi beberapa maksud.
Kita pun tidak pasti mana satu yang paling tepat. Kena redha yang kita tidak semestinya boleh tahu dengan pasti maksud ayat-ayat Allah. Kerana akal kita lemah dan tidak dapat mencapai maksud semua perkara.
Sumpah (Qosam)
Terdapat beberapa subjek sumpah dalam surah ini. Dan dalam surah-surah lain pun ada sumpah-sumpah yang digunakan oleh Allah ﷻ sebagai contoh, Allah ﷻ ada bersumpah dengan masa, dengan buah Tin dan sebagainya. Apakah gunanya sumpah dalam Al-Qur’an?
Ulama’ tafsir mengatakan Allah ﷻ menggunakan sumpah dalam Al-Qur’an kerana hendak memberi isyarat bahawa ada benda penting yang Allah ﷻ hendak sampaikan. Kerana kalau kita ada benda penting yang kita hendak tekankan, bukankah kita juga akan bersumpah? (Demi Allah, aku tak curi lah barang itu!)
Dan perkara yang Allah gunakan sebagai sumpah itu juga adalah penting. Allah ﷻ hendak menekankan kepentingan perkara itu yang ada kena mengena dengan apa yang akan disebut dalam surah itu. Dalam ayat ini objek yang digunakan sebagai sumpah adalah malaikat yang mencabut nyawa.
Selain dari itu, sumpah digunakan apabila orang yang kita bercakap itu tidak mahu percaya dengan apa yang kita sampaikan. Oleh itu, kalau kita hendak tekankan apa yang kita hendak cakap, kita akan gunakan sumpah. Ini perkara biasa dari dulu lagi. Sebagai contoh, kadangkala kita juga apabila ada bersumpah dahulu sebelum bercakap. Ini apabila kita hendak mengatakan bahawa apa yang dia hendak sampaikan adalah benar kepada orang yang kita rasa tidak akan senang percaya perkara itu. Jadi kita akan beri penekanan dengan sumpah.
Maknanya, apabila digunakan sumpah, ia juga memberi isyarat bahawa orang yang menyampaikan perkara itu ada rasa marah. Dia marah sebab dia tahu apa yang hendak disampaikan itu tidaklah didengar oleh orang yang mendengar. Oleh itu, yang bercakap akan gunakan sumpah untuk tekankan.
Begitu jugalah dalam Al-Qur’an, ada masa Allah ﷻ gunakan sumpah kerana Dia ﷻ marah dan di waktu lain, Allah ﷻ gunakan sumpah kerana orang tidak mahu percaya apa yang diberitahu. Jadi ada dua sebab kenapa sumpah digunakan dalam Al-Qur’an.
Kembali kepada objek sumpah yang digunakan (malaikat), Allah ﷻ memberitahu kita yang Dia ﷻ gunakan malaikat untuk seksa manusia yang derhaka. Dari mula dicabut nyawa lagi manusia derhaka itu sudah diseksa. Allah ﷻ marah sampaikan Allah ﷻ arahkan malaikat yang mencabut nyawa itu, mencabut nyawa mereka dengan keras. Jangan kasi dia peluang langsung.
Aduh, bayangkan, nak mati pun sudah kena azab! Itu belum kira azab dalam kubur, azab di Mahsyar, azab di neraka lagi!
Ayat 2: Sumpah yang kedua.
وَٱلنَّـٰشِطَـٰتِ نَشطًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [by] those who remove with ease¹
- i.e., those angels who ease out the souls of those destined for Paradise.
(MALAY)
dan (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah-lembut,
Ini pula digunakan sumpah tentang malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa dengan lembut. Kalau sebelum ini ada malaikat yang mencabut nyawa dengan keras dan sekarang Allah ﷻ beritahu ada malaikat yang mencabut nyawa dengan cara lembut.
Kalimah نَشطًا bermaksud ‘merungkai tali dengan senang’. Maknanya tali itu tidak terbelit kuat dan kerana itu senang sahaja hendak dirungkaikan. Maknanya orang yang merungkaikan itu akan berhati-hati dalam meleraikan simpulan tali itu. Sampaikan akhirnya dia goyang-goyang sahaja tali itu sudah boleh terungkai.
Oleh kerana itu, tidak digunakan kekerasan dalam keadaan ini. Maknanya malaikat itu senang sahaja hendak mencabut nyawa. Ini adalah untuk orang yang baik-baik. Bandingkan dengan ayat yang pertama itu untuk orang kafir dan yang kedua ini untuk mukmin.
Begitulah layanan Allah ﷻ untuk orang mukmin. Dari mula mati pun sudah dilayani dengan baik. Oleh itu, kalau mereka susah dalam dunia, mereka akan senang di akhirat dan dimulai dengan cara mati. Semoga kita tergolong dalam golongan ini. Kerana kita pun tahu yang kematian itu sendiri sudah menyakitkan.
Kalau ٱلنَّـٰزِعَـٰتِ itu merujuk kepada angin pula, ia bermaksud angin yang bertiup lembut. Ayat 1 tentang angin keras dan ayat 2 ini tentang angin lembut pula. Memang angin di dunia ini berubah-ubah.
Ayat 3: Sumpah yang ketiga.
وَٱلسَّـٰبِحَـٰتِ سَبحًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [by] those who glide [as if] swimming¹
- Speeding to execute Allāh’s commands.
(MALAY)
dan (malaikat-malaikat) yang bergerak dengan cepat,
Ini berkaitan dengan cara malaikat yang memasuki tubuh manusia untuk mencabut nyawa. Seperti yang telah disebut, malaikat mencabut nyawa dengan memasuki tubuh manusia. Malaikat itu memasuki tubuh manusia seperti berenang. Lafaz سَبحًا bermaksud berenang dengan tenang dan senang. Para malaikat yang mencabut nyawa itu diberikan kelebihan ini.
Malaikat maut memang ada satu sahaja. Tapi bukanlah setiap nyawa dia yang cabut. Dia hanya ketua sahaja dan dia ada para malaikat di bawahnya.
Kalau kita ambil pendapat kalimah ٱلنَّـٰزِعَـٰتِ itu merujuk kepada angin, maka sekarang ia merujuk kepada awan yang berenang di langit kerana ditiup angin.
Ayat 4: Sambungan sumpah ketiga.
فَٱلسَّـٰبِقَـٰتِ سَبقًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who race each other in a race¹
- Racing to deliver the souls of the believers to Paradise.
(MALAY)
dan (malaikat-malaikat) yang berlumba dengan kencang,
Ini adalah sambungan ayat ke 3. Ia bukan sumpah yang baru kerana kita boleh lihat yang huruf ف digunakan dan bukannya huruf و dalam tiga ayat pertama. Setelah malaikat itu mencabut nyawa manusia, mereka bersegera menemui Allah ﷻ dengan membawa roh manusia yang telah diambil.
Mereka berlumba sesama sendiri untuk menempatkan roh di tempatnya masing-masing. Roh orang beriman di tempatkan di Illiyin dekat dengan Arash. Dan roh orang kafir dibawa ke Sijjin iaitu di bawah bumi ke tujuh.
Kalau merujuk kepada angin, maka ia menyebut tentang awan yang ditiup angin dan hasilnya, awan itu seperti berlumba sesama sendiri. Ada kumpulan awan yang bergerak laju dan ada yang seperti tidak bergerak pun.
Ayat 5: Sambungan sumpah lagi.
فَٱلمُدَبِّرَٲتِ أَمرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who arrange [each] matter,¹
- According to Allāh’s decree.
(MALAY)
dan (malaikat-malaikat) yang mengatur urusan.
Ini pula tentang tugas para malaikat yang ditugaskan untuk mentadbirkan urusan Allah ﷻ. Ia dari katadasar د ب ر yang bermaksud belakang. Ini kerana orang yang mentadbir dengan baik, akan tarik dirinya ke belakang dahulu untuk buat perancangan sebelum menjalankannya.
Para malaikat itu mereka mengatur urusan di dunia ini atas arahan Allah ﷻ. Seperti yang kita tahu, para malaikat diberikan berbagai tugasan yang khusus dan mereka menjalankan tugas mereka dengan tepat.
Para malaikat itu hanya mengikut arahan Tuhan ﷻ sahaja. Mereka tidak boleh hendak buat perkara yang tidak disuruh oleh Allah ﷻ. Oleh itu, kalau ada masyarakat kita yang minta tolong kepada malaikat, itu adalah kerja bodoh sekali dan dapat ajaran dan amalan itu dari syaitan. Sebagai contoh, ada pesilat yang mengamalkan zikir untuk malaikat besar yang empat untuk menjaga mereka kiri, kanan, depan dan belakang.
Kalau ٱلنَّـٰزِعَـٰتِ merujuk kepada angin, maka cara Allah mengarahkan angin adalah dengan menggerakkan awan yang membawa hujan. Dan air hujan itu menumbuhkan tanam-tanaman. Dan angin juga meniup debunga yang diperlukan oleh tumbuhan sebagai benih.
Sumpah
Setiap sumpah dalam Al-Qur’an ada jawabnya. Seperti yang kita sebut, ada benda penting yang hendak disampaikan dengan memulakan dengan sumpah-sumpah itu. Jawab sumpah bagi ayat ini dihazafkan (disembunyikan) dalam surah ini, jadi ia tidak jelas. Tidak disebut dengan jelas supaya pembaca Al-Qur’an tertanya-tanya apakah yang Allah hendak tekankan.
Kerana tidak jelas, maka ulama’ tafsir memberikan pendapat mereka. Ini adalah beberapa pendapat yang ada:
1. Jawab sumpah itu adalah: sebagaimana Allah ﷻ gunakan malaikat untuk urusan dunia, untuk urusan akhirat pun mereka akan digunakan. Maksudnya, mereka itu akan digunakan di akhirat kelak untuk menjalankan arahan Allah ﷻ. Ini hendak memberi penekanan, hari kiamat itu pasti akan terjadi dan akhirat akan berlaku dan makhluk akan diberikan dengan apa yang telah dijanjikan.
2. Allah bersumpah bahawa apa sahaja yang dijanjikanNya akan ditepati. Ia pasti akan berlaku.
3. Hari Kiamat pasti akan berlaku.
Ayat 6: Sekarang kita masuk ke dalam bahagian (perenggan) yang baharu. Kerana kita boleh baca bagaimana ritma ayat ini sudah bertukar. Itu sebagai tanda bahawa sudah masuk perenggan baharu. Dalam Al-Qur’an tidak digunakan kaedah perenggan dalam susunan, maka digunakan perbezaan ritma untuk membezakannya.
Sekarang akan dibicarakan tentang pihak Musyrikin Mekah yang tidak percaya adanya akhirat. Kalau kita baca dalam Surah an-Naba’, telah disebut ketidakpercayaan mereka dahulu, kemudian baru disebut tentang kiamat. Dan dalam surah an-Naaziat ini, disebut tentang kiamat dahulu kemudian ketidakpercayaan mereka.
Maka kita boleh nampak ada penukaran di situ. Menunjukkan keindahan bahasa Al-Qur’an yang mengubah-ubah susunan untuk menarik perhatian pembaca. Kalau kita dapat perhatikan, maka ini lebih menarik minat kita kepada Al-Qur’an. Tidaklah baca kosong sahaja.
Ayat ini adalah jenis Takhwif Duniawi.
يَومَ تَرجُفُ الرّاجِفَةُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
On the Day the blast [of the Horn] will convulse [creation],
(MALAY)
(Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama menggoncang alam,
Pada hari kiamat akan digoncangkan apa yang akan digoncang; Allah ﷻ menceritakan keadaan yang mengharu birukan manusia apabila bumi akan digoncangkan dengan amat kuat sekali. Iaitu apabila tiupan Sangkakala Pertama dibunyikan.
Allah ﷻ gunakan lafaz الرّاجِفَةُ merujuk kepada gegaran pada permulaan gempa bumi. Tetapi sebenarnya, lihatlah Allah ﷻ tidak sebut tentang bumi dalam ayat ini. Jadi bagaimana kita tahu yang Allah ﷻ sedang memperkatakan tentang ‘bumi’? Ini kita dapat tahu apabila kita baca ayat-ayat lain, kita tahu yang dimaksudkan adalah bumi ini.
Allah ﷻ cuma kata yang ‘akan digoncang’, akan digoncang. Ini memberitahu yang memang dunia ini akan digoncangkan dan kemudiannya akan dihancurkan. Dan itu memang tujuan akhir bumi ini dijadikan. Bukanlah bumi ini akan kekal sampai bila-bila. Ianya adalah medan untuk menguji manusia dengan ujian-ujian yang akan menentukan sama ada dia layak masuk syurga atau tempatnya di Neraka.
Apabila ujian telah selesai, maka bumi telah menjalankan tugasnya dan ia tidak diperlukan lagi, maka ia akan digoncang dan dihancurkan. Bumi ini tidak diperlukan lagi kerana manusia bukannya tinggal di bumi selepas dia mati dan dibangkitkan. Kerana selepas kebangkitan semula, akhirnya manusia akan ditempatkan di Mahsyar dahulu dan kemudian akan dibahagikan sama ada di syurga atau di neraka, dua sahaja.
Ayat 7:
تَتبَعُهَا الرّادِفَةُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
There will follow it the subsequent [one].
(MALAY)
tiupan pertama itu diiringi oleh tiupan kedua.
Secara literalnya: Diikuti dengan yang mengikutinya. Juga tidak disebutkan apakah yang ‘mengikuti’ itu. Lafaz الرّادِفَةُ bermaksud ‘yang ikut’, macam seorang yang duduk di belakang orang lain atas kuda.
Oleh itu, dalam ayat ke 6 tadi, itu adalah tentang tiupan Sangkakala yang pertama yang akan mematikan semua makhluk. Dan ayat ke 7 ini adalah tentang tiupan Sangkakala yang kedua yang akan menghidupkan makhluk semua sekali dan bersedia untuk alam akhirat.
Ayat 8: Apakah keadaan manusia waktu itu? Ayat 8 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi dalil adanya Akhirat daripada kekuasaan Tuhan dan kelemahan manusia.
قُلوبٌ يَومَئِذٍ واجِفَةٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Hearts,¹ that Day, will tremble,
- Those of the disbelievers who denied the Resurrection.
(MALAY)
Hati manusia pada waktu itu sangat takut,
Jantung sesetengah manusia akan berdebar yang amat sangat pada hari itu. Kerana tidak ada ال dalam lafaz قُلوبٌ ini, maka ia bermaksud bukanlah semua jantung akan bergetar. Hanya mereka yang tidak mempercayai Hari Kebangkitan sahaja yang akan berdebar-debar, kerana apa yang mereka tidak percayai memang terjadi benar-benar dan sekarang berada di depan matanya dengan nyata.
Tentulah dia sangkat takut waktu itu kerana dia tidak bersedia. Lafaz واجِفَةٌ digunakan juga untuk menyebut tentang binatang yang ditampar, dipukul untuk bergerak dengan cepat. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana keadaan manusia waktu itu dalam ketakutan seperti binatang yang ditampar.
Kalau kita sentuh sedikit tentang bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an, kita akan perasan bahawa terdapat banyak lafaz ‘takut’ yang digunakan dalam Al-Qur’an. Ianya digunakan untuk memberitahu kepada kita dengan lebih jelas, apakah jenis takut itu. Memang takut itu ada bermacam-macam. Kalau dalam bahasa Melayu, kalau takut itu boleh dikatakan satu takut sahaja. Tetapi Bahasa Arab adalah bahasa yang kaya dan mempunyai banyak kategori.
-
- khauf – Ini adalah perasaan takut yang dirasai oleh manusia kalau dia rasa akan ada kesakitan pada tubuhnya. Mungkin takut kenal pukul, contohnya.
- khash’yah – Ini adalah takut kepada sesuatu kerana kebesaran atau hebatnya sesuatu kejadian itu. Sebagai contoh, apabila kita sudah baca ayat-ayat Al-Qur’an tentang kehebatan dan kesusahan yang besar di akhirat kelak, maka inilah perasaan takut itu.
- khusyuk – Lafaz ini kita selalu dengar – khusyuk dalam solat. Ini adalah jenis takut yang nampak pada muka dan tubuh manusia. Kerana takut sangat, sampai memberi kesan kepada tubuhnya sekali. Sebab itu, digunakan untuk menyebut sifat solat, kerana dalam solat itu, kita sedang mengadap Allah ﷻ dan kita sangat takut sampai tubuh kita pun menunjukkan ketakutan itu. Kita waktu itu tidak bergerak dan tunduk taat sahaja. Sebab itu pergerakan tubuh kita dalam solat terkawal. Jangan bergerak-gerak kibas sana sini pula di dalam solat.
- taqwa’ – Ini juga kita selalu dengar. Salah satu dari maksud taqwa adalah takut. Tetapi ianya takut kepada ‘kesan’ dari perbuatan kita. Oleh itu, orang yang taqwa, mereka akan jaga perbuatan mereka kerana mereka takut segala perbuatan mereka itu akan dibalas di akhirat nanti. Mereka akan takut hendak buat amalan dan perbuatan yang salah dan berdosa. Oleh itu, mereka akan berjaga-jaga dan berhati-hati dalam perbuatan mereka. Beginilah yang kita patut lakukan.
- hazar – ini seperti yang disebut dalam Baqarah – Ini adalah perbuatan lari dari apa yang ditakuti – maksudnya, jenis takut sampai dia akan mengelak atau melarikan diri.
- rauq – terkejut kerana takut. Ini seperti keadaan Nabi Ibrahim عليه السلام ketika baginda pertama kali berjumpa dengan malaikat yang datang ke rumahnya. Baginda takut apabila mereka tidak makan hidangan yang baginda sediakan kepada mereka. Kerana kebiasaan kaum mereka, kalau seseorang itu datang untuk membunuh tuan rumah, dia tidak akan makan makanan yang disediakan oleh tuan rumah (adab pembunuh). Oleh kerana mereka tidak makan hidangan, maka Nabi Ibrahim عليه السلام pun terkejut dan takut (takut mereka datang hendak bunuh baginda).
- awjasa – Ini adalah jenis takut setelah mendengar sesuatu yang menakutkan; juga digunakan untuk rasa takut tetapi tidak ditunjukkan di luar, disimpan dalam hati sahaja. Orang yang rasa takut itu, akan simpan perasaan itu dalam hati dia, tidak tunjukkan pada mukanya. Ini ada disebut apabila Nabi Musa عليه السلام melihat sihir-sihir yang ditunjukkan oleh ahli sihir.
- wajal – Ini adalah jenis takut yang masuk ke dalam hati seseorang. Sebagai contoh, apabila seseorang itu membaca ayat Al-Qur’an.
- rahab – Perasaan takut untuk mengecewakan orang lain. Sebagai contoh, ada orang yang kita hormati, maka kita takut untuk buat sesuatu yang boleh mengecewakan orang itu kerana kita hormat dia.
- ra’ab – Jenis takut yang amat sangat, sampai menyebabkan seseorang itu tidak boleh berfikir dengan betul, sampai membuatkan dia buat sesuatu yang bodoh. Dia buat silap itu kerana dia dalam keadaan takut sangat.
- ashfaqa – Takut ke atas orang lain, bukan diri kita. Sebagai contoh, kita sedang jaga anak kita dan kita takut dia jatuh masuk longkang semasa sedang berjalan-jalan.
- wajf (seperti yang digunakan dalam ayat ini) – Perasaan takut yang bercampur dengan rasa tidak selesa. Juga bermaksud takut yang amat sangat sampai hati berdegup kencang macam larian kuda, sampai boleh dengar degupan jantung itu. Inilah perasaan takut yang dialami oleh mereka yang disebut dalam ayat ini – takut yang amat sangat. Allah ﷻ jadikan hati mereka takut sangat kerana semasa di dunia dahulu mereka tidak takut langsung buat dosa dan kesalahan.
Ayat 9:
أَبصَـٰرُهَا خَـٰشِعَةٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Their eyes¹ humbled.
- Those of the disbelievers.
(MALAY)
Pandangannya tunduk.
Pandangan matanya akan tunduk kerana ketakutan. Seperti yang kita telah sebut di atas, ‘khusyuk’ itu adalah takut yang membawa kepada perubahan fizikal seseorang – dalam ayat ini, mata mereka akan tunduk takut dan patuh. Pandangan mereka akan tunduk malu dan juga menyesal. Ini adalah khusus untuk orang kafir sahaja.
Ada juga yang berpendapat, mata hati mereka yang akan ketakutan. Ini adalah kerana, Allah ﷻ menggunakan lafaz أَبصارُها, bukan أَبصارُهم, iaitu dhomir ها itu merujuk kepada hati yang disebut dalam ayat 8 sebelum ini.
Ayat ini mengajar yang mata hati itu boleh melihat. Mata hati tidak sama dengan mata kita yang digunakan untuk melihat alam ini. Kalau ada iman dalam hati, segala yang kita lihat, akan mengingatkan kita kepada Allah ﷻ.
Sebagai contoh, kalau kita lihat keindahan alam, kita teringat Allah ﷻ kerana kita sedar dan yakin yang Allah ﷻlah yang menjadikan alam yang indah ini. Tetapi kalau semasa di dunia mata hati kita tidak mahu melihat kebesaran Allah ﷻ, maka di akhirat nanti mata hati kita akan melihat ketakutan yang amat sangat. Waktu itu baru mereka hendak khusyuk tetapi sudah terlambat.
Ayat 10: Ini adalah ayat jenis Syikayah. Kenapakah mereka jadi begitu di akhirat nanti? Apakah kesalahan mereka dan sikap mereka semasa di dunia dahulu? Allah ﷻ hendak jelaskan kepada kita.
Seperti yang kita telah sebutkan, ada perbezaan antara Surah an-Naba’ dan Surah an-Naaziat ini. Dalam an-Naba’, disebut tentang puak kafir yang tidak percaya kepada Hari Kiamat, kemudian baru disebut tentang hari kiamat; dalam Surah an-Naaziat ini, dimulakan dengan disebut tentang hari kiamat dan akhirat dulu.
يَقولونَ أَإِنّا لَمَردودونَ فِي الحافِرَةِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They are [presently] saying, “Will we indeed be returned to [our] former state [of life]?
(MELAYU)
(Orang-orang kafir) berkata: “Apakah sesungguhnya kami benar-benar dikembalikan kepada kehidupan semula?
Mereka mengejek semasa mereka di dunia dulu. Mereka tidak percaya langsung yang mereka akan dikembalikan kepada keadaan asal. Mereka kata, takkan sudah mati hendak kena balik lagi? Ini adalah kerana mereka gunakan akal mereka yang cetek.
Ada penerangan tentang bahasa sedikit dalam ayat ini. Kerana agak tinggi juga bahasanya. Kalimah لَمَرۡدُودُونَ bermaksud dipulangkan kerana tidak diterima masuk. Contohnya seperti kita hendak masuk ke negara Amerika, tapi di imigresen mereka, kita tidak boleh masuk kerana visa kita tidak sah.
Kalimah ٱلۡحَافِرَةِ pula dari katadasar ح رف yang bermaksud mengorek, mengeluarkan dari tanah. Kalimah ٱلۡحَافِرَةِ bermaksud lubang di tanah yang sudah digali.
Ayat ini adalah ulangan kepada ejekan Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad menolak kebangkitan semula. Mereka ejek lebih kurang begini: “eh, kematian kami tidak diterima, sampai kami dipulangkan ke lubang kubur kami kah?”
Ayat 11: Dari ayat ini sehingga ke ayat 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengajar kita untuk buang kesombongan hati dan hendaklah beriman dengan Al-Qur’an.
Sekarang disambung hujah Musyrikin Mekah yang menolak Kebangkitan Semula. Mereka guna hujah akal mereka.
أَءِذَا كُنَّا عِظَـٰمًا نَّخِرَةً
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Even if we should be decayed bones?”¹
- The disbelievers say this in ridicule of the warning.
(MALAY)
Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kami telah menjadi tulang belulang yang hancur lumat?”
Mereka kata bolehkah mereka dikembalikan apabila tulang temulang mereka telah reput dan hancur? Kalimah نَخِرَةً۬ dari katadasar ن خ ر yang bermaksud rosak kerana sudah lama, bahagian dalam yang kosong, hancur. Oleh itu kalimah نَخِرَةً۬ adalah tulang yang sudah kosong di dalamnya kerana lama sangat.
Pada Musyrikin Mekah: Kalau dikatakan dihidupkan balik selepas baru mati beberapa hari, bolehlah kalau hendak terima pun. Tetapi mereka berhujah, kalau tulang pun sudah lama sangat, sudah kosong dan mungkin sudah hancur jadi debu, takkan boleh kembali lagi? Mereka kata itu adalah perkara yang mustahil.
Ayat 12:
قالوا تِلكَ إِذًا كَرَّةٌ خاسِرَةٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They say, “That, then, would be a losing return.”¹
- i.e., “If that were so, we would not be able to escape punishment.”
(MALAY)
Mereka berkata: “Kalau demikian, itu adalah suatu pengembalian yang merugikan”.
Penggunaan lafaz قالوا itu adalah dalam past tense. Apakah maksudnya? Apabila digunakan lafaz yang berbentuk past tense, itu memberi isyarat bahawa mereka jarang berkata begitu. Mungkin sekali dua sahaja. Ini kerana selalunya mereka tidak terfikirkan pun perkara yang menakutkan kerana mereka tidak percaya pun Hari Akhirat itu.
Ini adalah salah satu balaghah dalam Al-Qur’an. Lihatlah bagaimana dalam ayat sebelum ini, digunakan lafaz يَقولونَ yang dalam bentuk present tense. Kalau past tense yang digunakan, untuk menunjukkan sekali sekala sahaja perkara itu dilakukan.
Sebagai contoh, dalam Surah al-Anfal, ada disebut tentang membunuh dengan sengaja dan membunuh tanpa sengaja. Lihatlah bagaimana kalau bunuh dengan sengaja, Allah ﷻ gunakan present tense kerana ini selalu terjadi. Akan tetapi kalau bunuh tidak sengaja, digunakan lafaz past tense. Ini adalah kerana orang yang membunuh dengan sengaja, dia mungkin membunuh lagi kerana itu mungkin perangai dia, tetapi orang yang membunuh secara tidak sengaja, dia takkan buat lagi. Tentulah dia akan lebih berhati-hati selepas itu supaya dia tidak tersilap bunuh orang lagi.
Oleh itu, ini adalah jenis orang yang adalah juga berfikir tentang perkara ini – mereka dapat berfikir yang kalau benarlah mereka akan dihidupkan, tentulah ini adalah perkara yang menakutkan kerana tentu mereka tidak selamat.
Akan tetapi mungkin mereka masih berkata begitu dalam bentuk sarkastik juga sebab mereka tetap tidak percaya.
Ayat 13: Sekarang Allah ﷻ jawab kata-kata mereka itu.
فَإِنَّمَا هِىَ زَجرَةٌ وَٲحِدَةٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, it will be but one shout,
(MALAY)
Sesungguhnya pengembalian itu hanyalah satu kali tiupan saja,
Allah ﷻ menutup isu yang mereka timbulkan itu dengan mengatakan bahawa sekali tempik sahaja mereka akan dikembalikan. Tidak payah hendak sibuk-sibuk atau bersusah-susah, kerana senang sahaja bagi Allah ﷻ hendak matikan dan hendak hidupkan semula semua makhluk.
Mereka penat memikirkan bagaimana Allah ﷻ hendak hidupkan balik mereka yang telah lama mati dan sudah jadi hancur dengan tulang-tulang sekali, Allah ﷻ kata senang sahaja Dia ﷻ nak hidupkan balik. Sekali tempik sahaja semua akan hidup semula.
Kalimah زَجرَةٌ dari katadasar ز ج ر yang bermaksud melarang, menghalau, marah, menegur, menahan, marah guna suara (kerana itu kita gunakan istilah ‘Ayat Zajrun’ bagi ayat-ayat yang menegur manusia). Jadi kalimah زَجرَةٌ boleh bermaksud jenis tempikan yang kuat. Yang dimaksudkan adalah tiupan Sangkakala yang kedua. Allah tempik sekali sahaja, atau tiupan Sangkakala itu sekali sahaja akan menghidupkan semula manusia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Oktober 2019
Rujukan:
Maulana Hadi