Tawbah Ayat 30: Di dalam ayat sebelum ini telah disebut yang golongan Ahli Kitab itu tidak beriman dengan Allah dengan sebenar-benarnya. Sekarang disebut apakah antara masalah mereka, iaitu mereka melakukan syirik.
Mungkin ada orang Islam yang beranggapan, Ahli Kitab itu lebih kurang sama sahaja dengan Islam dan kerana itu mereka tidak patut diserang. Tapi Allah membetulkan fahaman mereka itu dengan menyatakan yang akidah Ahli Kitab itu amat jauh berbeza dengan Islam. Akidah mereka adalah akidah syirik.
Oleh itu, ayat ini adalah huraian kenapa mereka dikatakan ‘tidak beriman’. Allah hendak memberitahu kita, apakah yang dimaksudkan mereka ‘tidak beriman’ itu. Di manakah kesalahan mereka?
وَقالَتِ اليَهودُ عُزَيرٌ ابنُ اللَّهِ وَقالَتِ النَّصٰرَى المَسيحُ ابنُ اللَّهِ ۖ ذٰلِكَ قَولُهُم بِأَفوٰهِهِم ۖ يُضٰهِئونَ قَولَ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ ۚ قٰتَلَهُمُ اللَّهُ ۚ أَنّىٰ يُؤفَكونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The Jews say, “Ezra is the son of Allāh”; and the Christians say, “The Messiah is the son of Allāh.” That is their statement from their mouths; they imitate the saying of those who disbelieved before [them]. May Allāh destroy them; how are they deluded?
(MALAY)
Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu Anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu Anak Allah”. Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling?
وَقالَتِ اليَهودُ عُزَيرٌ ابنُ اللَّهِ
Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Uzair itu Anak Allah”
Allah tegaskan kepada golongan muslimin, yang mereka kena perangi golongan yang kata para Nabi itu Anak Allah. Kalimah ‘anak’ di sini maksudnya ‘wakil’. Kerana kalau sekadar anak itu tidaklah hebat sangat, tapi sebenarnya mereka beri pangkat ‘anak’ itu kerana mereka nak jadikan Nabi-nabi itu sebagai wakil mereka kepada Allah.
Inilah pertalian tawasul mereka dengan Allah. Mereka hendak seru dan berdoa kepada para Nabi itu. Tujuan diseru mereka itu adalah untuk menyempurnakan hajat mereka. Inilah tawasul sesat yang selalu kita tekankan dalam penulisan tafsir ini dari mula lagi.
Di sini disebut Uzair yang di dalam Bible dikenali sebagai Ezra. Ada Kitab The Book of Ezra dalam Bible sekarang. Nama beliau disebut di sini sahaja dalam Al-Qur’an akan tetapi kisah beliau juga ada disebut dalam Baqarah:259
أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula.
Panjang kisah itu sebenarnya, boleh rujuk pada tafsiran ayat itu. Cuma kedudukan beliau khilaf di kalangan ulama’ sama ada seorang Nabi atau hanya seorang lelaki soleh. Oleh kerana itu kita hanya sebut nama beliau sebagai Uzair sahaja di sini.
Dalam akidah penganut Yahudi, Uzair itu adalah ‘Anak Allah’. Ini adalah sebagai kaedah pengagungan sahaja kerana mereka pun tahu yang beliau bukanlah anak kandung Allah. Ini kerana Uzair itu pada mereka amat hebat kerana boleh hafal keseluruhan Kitab Taurat. Di atas telah disebut bagaimana beliau dimatikan selama seratus tahun. Ketika itu, Kitab Taurat telah dibakar oleh seorang raja yang zalim iaitu Bukhtunassar atau lebih dikenali sebagai Nebuchadnezzar II. Jadi apabila Uzair dihidupkan semula dan mendakwa yang beliaulah Uzair, mereka minta beliau buktikan dengan menulis kembali Kitab Taurat yang telah dibakar itu.
Dan oleh kerana beliau dapat melakukannya, mereka telah sanjung beliau sampaikan mengangkat kedudukannya sebagai Anak Tuhan. Ini adalah salah satu perkara di mana mereka buat syirik. Ini adalah kerana mereka hendak menjadikan beliau sebagai ‘wakil’ mereka kepada Allah. Ini adalah akidah syirik yang kufur. Tapi bukanlah ini sahaja kesalahan mereka. Malah bukanlah semua sekte Yahudi menuhankan Uzair atau mengatakan beliau anak Tuhan. Ia sebagai contoh antara kesalahan yang dilakukan sebahagian dari mereka.
Dan perkara ini dilakukan zaman berzaman oleh manusia. Iaitu mengangkat orang soleh menjadi ‘broker’ (orang tengah) dalam doa. Masalahnya kemudian lama kelamaan kedudukan mereka diangkat terlalu tinggi, mulanya anak Tuhan sahaja tapi akhirnya jadi Tuhan terus. Lihatlah apa yang terjadi dengan Nabi Isa.
Maka Allah menutup pintu syirik dengan mengarahkan kita untuk terus berdoa kepadaNya sahaja tanpa perlu melalui perantaraan (broker) tanpa gaji itu. Kita kena faham bahawa ‘syirik’ adalah salah satu jenis ‘kekufuran’. Bukanlah syirik sahaja sebagai syarat untuk jadi kufur. Dan syirik itu pun banyak jenis dan salah satunya menjadikan seseorang sebagai ‘wakil Allah’. Dan bukanlah semua penganut Yahudi memperkatakan yang Uzair itu Anak Allah, tapi mereka tetap juga kufur.
Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’.
وَقالَتِ النَّصٰرَى المَسيحُ ابنُ اللَّهِ
dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu Anak Allah”.
Dan puak Nasara pula kata Nabi Isa itu adalah Anak Allah juga. Ini adalah salah satu dari fahaman konsep Triniti Kristian. Kerana ada sekte lain yang sampai mengatakan Jesus itu sendiri Tuhan. Ini pun adalah salah satu dari akidah kufur mereka.
Kenapa mereka mengatakan baginda anak Tuhan? Kerana baginda dilahirkan tanpa bapa. Mereka melihat itu adalah perkara yang hebat sangat sampaikan meletakkan kedudukan baginda sebagai anak Tuhan pula. Sedangkan kalau nak kira hebat, hebat lagilah Nabi Adam kerana bukan sahaja baginda tidak ada bapa, emak pun tidak ada! Allah sudah sebut perkara ini dalam Ali Imran:59
إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.
Di sini juga kita dapat lihat gelaran bagi Nabi Isa adalah Al-Masih. Ia dari katadasar م س ح yang bermaksud sapu, gosok, melalukan tangan kepada sesuatu, memilih, mengurap (dengan minyak). Ini adalah kerana Nabi Isa mempunyai mukjizat menyembuhkan manusia dan baginda melakukannya dengan menyapu bahagian tubuh orang yang sakit itu.
Selain dari baginda, Dajjal juga digelari Al-Masih juga. Akan tetapi ia kerana mata kanannya ‘disapu’ sehingga tidak ada. Dan ada juga pendapat yang mengatakan kerana dia berjalan seluruh dunia dan menyapu menghapuskan iman-iman manusia jadi kafir untuk mengikutinya.
Jadi Nasara juga ditempelak di sini kerana ada akidah mengagungkan Nabi mereka dan kata-kata mereka yang menjadikan makhluk sebagai anak Allah adalah perkara yang amat berat dosanya. Allah sebut di dalam Kahf:4-5
وَيُنذِرَ الَّذينَ قالُوا اتَّخَذَ اللهُ وَلَدًا
Dan juga Al-Qur’an itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.
مّا لَهُم بِهِ مِن عِلمٍ وَلا لِآبائِهِم ۚ كَبُرَت كَلِمَةً تَخرُجُ مِن أَفوٰهِهِم ۚ إِن يَقولونَ إِلّا كَذِبًا
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
Oleh kerana itu Allah menganjurkan kepada kaum mukmin untuk memerangi orang-orang kafir dari kalangan Ahli Kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani kerana mereka telah mengucapkan perkataan yang sangat keji itu dan membuat kedustaan terhadap Allah. Takkan mereka dibiarkan sahaja melakukan syirik kepada Allah dan mengelirukan manusia yang banyak?
Bagaimana pula dengan kita? Kita belum sampai kepada tahap mengatakan Nabi Muhammad itu sebagai Anak Allah lagi setakat yang kita tahu. Tapi kita tahu ada puak tarekat yang kata Nabi Muhammad itu sendiri adalah Allah dalam bentuk manusia. Ini adalah kerana golongan tarekat memang selalunya jahil dan senang ditipu oleh syaitan.
Walaupun tidak ada yang mengatakan Nabi Muhammad itu anak Allah, tapi ramai dari kalangan masyarakat kita yang jahil, menggunakan Nabi Muhammad sebagai wakil mereka kepada Allah. Itu pun salah satu dari konsep ‘anak Tuhan’ juga. Kerana salah faham inilah ada dari kalangan orang Islam yang berdoa kepada Nabi Muhammad untuk sampaikan doa mereka kepada Allah; ada yang menggunakan keberkatan Nabi sebagai wasilah untuk memakbulkan doa mereka; ini juga adalah amalan kufur dan syirik. Tidak kira sama ada yang melakukan perkara itu Ahli Kitab atau orang Islam, ia tetap kufur dan syirik.
ذٰلِكَ قَولُهُم بِأَفوٰهِهِم
Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka,
Itu semua adalah perkataan dari mulut dan lidah mereka sahaja, dan bukannya datang dari agama mereka yang asal. Kerana Nabi mereka tidaklah memperkatakan sedemikian. Oleh itu, apa yang mereka lafazkan dan iktikadkan itu bukan wahyu tapi hasil dari nafsu mereka. Jadi ia tidak boleh dibuat hujah dari dalil sama sekali.
Begitu juga, ajaran yang mengatakan Nabi Muhammad itu sebagai wakil Allah, boleh bertawasul dengan baginda, boleh menggunakan keberkatan baginda dalam berdoa, itu pun tidak ada dalam agama Islam tapi ajaran yang datang kemudian. Sama sahaja modal yang syaitan gunakan untuk sesatkan orang dahulu dahulu dan modal yang sama diulang kepada umat Islam yang jahil. Mereka pun tidak dapat bawa dalil yang kuat melainkan hujah pusing sana dan pusing sini sahaja. Kita boleh lihat bagaimana teruknya mereka terpaksa ‘bersilat’ untuk menegakkan hujah batil mereka.
Maka kita kena sampaikan pengetahuan ini kepada umat Islam kerana ramai yang tidak tahu perkara ini. Mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benar. Mereka tidak perasan yang akidah mereka sama sahaja dengan akidah Yahudi dan Nasrani (Kristian). Memang begitulah orang jahil, mereka sangka apa yang mereka lakukan itu benar sehinggalah ada orang yang dapat menegakkan hujah ke atas mereka.
يُضٰهِئونَ قَولَ الَّذينَ كَفَروا مِن قَبلُ
mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu.
Sebenarnya, mereka cuma meniru perkataan orang kafir sebelum mereka itu yang tidak ada ilmu dari kitab wahyu. Semua itu adalah fahaman datuk nenek mereka yang telah kufur dari akidah yang benar. Mereka pakai semula dan ulang-ulang sahaja. Kerana agama Yahudi dan agama Nasrani yang asal tidak begitu.
Sebagai contoh, fahaman Kristian sekarang ini diambil dari seorang lelaki yang bernama Paul yang telah reka fahaman baru dalam agama Kristian. Dialah yang mula-mula kata Nabi Isa itu adalah anak Tuhan. Tapi fahaman sesatnya itu telah dipakai oleh penganut Kristian waktu itu, sampailah sekarang. Kerana mereka mengikut ajaran sesat golongan sebelum mereka, maka mereka pun jadi sesat seperti mereka juga.
Kita pun tahu yang Musyrikin Mekah juga mencipta fahaman sesat tentang para malaikat. Mereka pun kata ada anak Allah iaitu para malaikat itu. Tapi bezanya mereka bukan jadikan anak yang seorang dua, tapi keseluruhan para malaikat. Malah mereka tuduh pula para malaikat itu anak perempuan. Dan kalau Yahudi dan Nasara bagi anak lelaki bagi Allah, Musyrikin Mekah lagi teruk sebab bagi Allah anak-anak perempuan pula iaitu para malaikat itu. Ini seperti disebut di dalam Saffat:149
فَاستَفتِهِم أَلِرَبِّكَ البَناتُ وَلَهُمُ البَنونَ
Tanyakanlah (ya Muhammad) kepada mereka (orang-orang kafir Mekah): “Apakah untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak laki-laki,
Semua ini sebab nak cari broker untuk tolong sampaikan doa kepada Allah. Begitu jugalah dengan fahaman sesat masyarakat kita tentang tawasul ini. Ianya datang dari ajaran tok nenek kita juga yang tersilap tentang agama. Tapi masyarakat kita yang tidak teliti dalam mengambil ilmu, maka mereka terima pakai sahaja apa yang disampaikan oleh mereka. Apabila kita tegur, mereka akan jawab: “takkan tok nenek kita salah dan masuk neraka pula?”.
قٰتَلَهُمُ اللَّهُ
Dilaknati Allah mereka,
Menurut Ibnu Abbas, makna ayat ini ialah ‘semoga Allah melaknat mereka’. Semoga Allah laknat mereka kerana akidah mereka punah. Janganlah kita pun ada akidah sesat yang sama kerana Allah pun boleh laknat kita juga. Kalau kena laknat oleh Allah, maknanya tidak ada harapan untuk mendapat rahmat dari Allah lagi. Malangnya, ramai juga yang ada akidah seumpama mereka itu.
أَنّىٰ يُؤفَكونَ
bagaimana mereka sampai berpaling?
Ini adalah pernyataan takjub: segala wahyu dan hujah telah diberikan kepada mereka, bagaimana lagi mereka boleh terpesong? Memang teruk sangat mereka ini! Inilah yang akan terjadi kalau wahyu ditinggalkan tapi mengambil pendapat manusia yang tidak disandarkan kepada wahyu Allah yang jelas. Jadi kalau masyarakat kita juga jahil wahyu seperti yang kita lihat sekarang, begitulah yang akan terjadi.
Tawbah Ayat 31: Ayat sebelum ini adalah kufur dari segi iktikad. Sekarang kufur dari segi perbuatan pula. Ayat ini juga menjelaskan kenapa teruk sangat mereka itu sampaikan sanggup berkata-kata seperti di dalam ayat sebelum ini. Jadi ini adalah puncanya.
اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ وَالمَسيحَ ابنَ مَريَمَ وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدوا إِلٰهًا وٰحِدًا ۖ لّا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۚ سُبحٰنَهُ عَمّا يُشرِكونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They have taken their scholars and monks as lords besides Allāh,¹ and [also] the Messiah, the son of Mary.¹ And they were not commanded except to worship one God; there is no deity except Him. Exalted is He above whatever they associate with Him.
* By their obedience to them rather than to what Allāh ordained.
* By their worship of him in conjunction with Allāh.
(MALAY)
Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
اتَّخَذوا أَحبارَهُم وَرُهبٰنَهُم أَربابًا مِّن دونِ اللَّهِ
Mereka menjadikan pendeta-pendeta mereka dan rahib-rahib mereka sebagai rabb selain Allah
Lafaz أَحبارَهُم itu dari katadasar ح ب ر yang bermaksud ‘dakwat’. Ia merujuk kepada golongan ulama’ di kalangan Yahudi dan Nasara. Ulama’ mereka itu banyak membaca dan menulis sampaikan mereka dikaitkan dengan dakwat. Mereka banyak membaca dan menulis sampaikan jari-jari mereka ada kesan dakwat. Kerana itulah mereka digelar ‘ahbar’.
Lafaz وَرُهبانَهُم dari katadasar ر ه ب yang bermaksud ‘takut’. Ini adalah biarawan mereka yang banyak menyendiri dan bermeditasi. Mereka adalah ahli ibadah dari kalangan mereka. Kalau dalam agama kita, jenis orang sufi itu (pun golongan yang pelik juga). Mereka itu adalah penganut Nasara yang jenis ekstrem. Sebab itulah ada pendapat yang mengatakan ajaran sufi itu diambil dari puak Nasara. Ini adalah kerana apa yang mereka lakukan itu tidak ada dalam Islam pun. Setelah dikaji, rupanya ceduk dari Kristian.
Kenapa para rahib itu dikaitkan dengan ‘takut’? Kerana mereka takut dengan keduniaan. Mereka nak bermunajat kepada Tuhan sahaja. Mereka tidak mahu ada kena mengena dengan dunia. Dan kita kena ingat yang ini bukan ada ajaran dalam Islam. Islam tidak suruh kita tolak dunia terus. Itulah sebabnya pelik jadinya golongan sufi dan tarekat ini – kerana mereka banyak ambil ajaran yang tidak kena dengan Islam. Entah ambil dari mana pun kita tidak pasti sebenarnya.
Allah kutuk Yahudi dan Nasara kerana menjadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai Tuhan. Dan begitulah juga yang terjadi kepada golongan Muslim yang sesat. Dari segi amalan dan perbuatan mereka, mereka telah jadikan ulama’ dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan, selain dari Allah. Kalau kita kata begini, mereka akan marah kerana mereka kata mereka tidak sembah pun ulama’ dan rahib-rahib itu macam mereka sembah Allah. Dan kita pun tengok tidaklah mereka buat macam itu, jadi macam mana pula?
Ada satu hadis yang menjelaskan perkara ini, iaitu kisah seorang lelaki yang hampir masuk Islam, namanya Addi bin Hatim, tapi dia belum jelas tentang agama Islam. Dan bila dia dengar ayat ini, dia kata semasa dia beragama Nasrani, mereka tidak seru dan puja pun ulama dan rahib mereka.
Nabi beritahu, tidakkah dia ikut hukum yang difatwa oleh ahbar dan rahib itu? Addi mengaku kata memang ada. Maknanya, penganut itu ikut sahaja fatwa yang ahli agama mereka beri macam mereka ikut arahan Tuhan. Jadi ulama’ mereka itu sudah sama pula kedudukan dengan Tuhan sampai boleh menetapkan hukum pula. Golongan awam pakai ikut sahaja walaupun ajaran mereka itu dan hukum yang mereka keluarkan tidak ikut kehendak Allah.
Oleh itu, apabila pemuka agama mereka halalkan yang haram dan halalkan yang haram, mereka ikut mereka. Tidakkah itu menjadikan pemuka agama mereka itu sebagai tuhan/rabb? Kerana sepatutnya mengharamkan dan menghalalkan adalah haq Tuhan. Dan kerana mereka mengiyakan apa yang dikatakan oleh ulama’ dan rahib mereka itu, mereka juga telah kufur.
Imam Ahmad, Imam Turmuzi, dan Imam Ibnu Jarir telah meriwayatkan melalui berbagai jalur dari Addi ibnu Hatim r.a. yang menceritakan:
أَنَّهُ لَمَّا بَلَغَتْهُ دَعْوَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فرَّ إِلَى الشَّامِ، وَكَانَ قَدْ تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَأُسِرَتْ أُخْتُهُ وَجَمَاعَةٌ مِنْ قَوْمِهِ، ثمَّ منَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أُخْتِهِ وَأَعْطَاهَا، فَرَجَعَتْ إِلَى أَخِيهَا، ورَغَّبته فِي الْإِسْلَامِ وَفِي الْقُدُومِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَدِمَ عَدِيّ الْمَدِينَةَ، وَكَانَ رَئِيسًا فِي قَوْمِهِ طَيِّئٍ، وَأَبُوهُ حَاتِمٌ الطَّائِيُّ الْمَشْهُورُ بِالْكَرَمِ، فتحدَّث النَّاسُ بِقُدُومِهِ، فَدَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي عُنُقِ عَدِيّ صَلِيبٌ مِنْ فِضَّةٍ، فَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ} قَالَ: فَقُلْتُ: إِنَّهُمْ لَمْ يَعْبُدُوهُمْ. فَقَالَ: “بَلَى، إِنَّهُمْ حَرَّمُوا عَلَيْهِمُ الْحَلَالَ، وَأَحَلُّوا لَهُمُ الْحَرَامَ، فَاتَّبَعُوهُمْ، فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ”. وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا عَدِيُّ، مَا تَقُولُ؟ أيُفرّك أَنْ يُقَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ؟ فَهَلْ تَعْلَمُ شَيْئًا أَكْبَرَ مِنَ اللَّهِ؟ مَا يُفرك؟ أَيُفِرُّكَ أَنْ يُقَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ؟ فَهَلْ تَعْلَمُ مِنْ إِلَهٍ إِلَّا اللَّهُ”؟ ثُمَّ دَعَاهُ إِلَى الْإِسْلَامِ فَأَسْلَمَ، وَشَهِدَ شَهَادَةَ الْحَقِّ، قَالَ: فَلَقَدْ رأيتُ وَجْهَهُ اسْتَبْشَرَ ثُمَّ قَالَ: “إِنَّ الْيَهُودَ مَغْضُوبٌ عَلَيْهِمْ، وَالنَّصَارَى ضَالُّونَ”
Bahawa ketika sampai kepadanya dakwah dari Rasulullah Saw., dia lari ke negeri Syam. Sejak zaman Jahiliah dia telah masuk agama Nasrani, kemudian saudara perempuannya ditahan bersama sejumlah orang dari kaumnya. Lalu Rasulullah Saw. menganugerahkan kebebasan kepada saudara perempuan Addi ibnu Hatim dan memberinya hadiah. Saudara perempuan Addi ibnu Hatim kembali kepada saudara lelakinya dan menganjurkannya untuk masuk Islam dan menghadap kepada Rasulullah Saw. Akhirnya Addi datang ke Madinah. Dia adalah pemimpin kaumnya, iaitu kabilah Tayyi’; dan ayahnya (iaitu Hatim At-Tai’) terkenal dengan kedermawanannya. Maka orang-orang Madinah ramai membicarakan kedatangan Addi ibnu Hatim. Addi masuk menemui Rasulullah Saw., sedangkan pada leher Addi tergantung salib yang terbuat dari perak. Saat itu Rasulullah Saw. sedang membacakan firman-Nya: Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah. (At-Taubah: 31) Addi melanjutkan kisahnya, bahawa dia menjawab, “Sesungguhnya mereka tidak menyembahnya.” Rasulullah Saw. bersabda: Tidak, sesungguhnya mereka mengharamkan hal yang halal bagi para pengikutnya dan menghalalkan hal yang haram bagi mereka, lalu mereka mengikutinya; yang demikian itulah ibadah mereka kepada orang-orang alim dan rahib-rahib mereka. Kemudian Rasulullah Saw. bersabda, “Hai Addi, bagaimanakah pendapatmu. Apakah membahayakan bila dikatakan Allah Maha besar? Apakah kamu mengetahui sesuatu yang lebih besar daripada Allah bila Allah menimpakan bahaya kepadamu? Apakah membahayakanmu bila dikatakan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah? Apakah kamu mengetahui ada Tuhan selain Allah?” Rasulullah Saw. mengajaknya masuk Islam. Akhirnya Addi masuk Islam dan mengucapkan syahadat yang benar. Addi melanjutkan kisahnya, bahawa setelah itu dia melihat wajah Rasulullah Saw. bersinar ceria, lalu bersabda: Sesungguhnya orang-orang Yahudi itu dimurkai dan orang-orang Nasrani itu orang-orang yang sesat.
Masyarakat kita pun melakukan kesalahan yang sama juga sebenarnya. Kita banyak hanya berpegang sahaja kepada pendapat yang dikeluarkan oleh ulama’ atau ustaz. Kita tidak tanya pun dari mana dalil yang mereka bawa itu – adakah dari wahyu atau hanya pendapat mereka. Ramai di kalangan kita tidak teliti tentang perkara ini.
Selalunya ada pendapat yang dikeluarkan itu dari manusia sahaja, atau yang didapati dalam kitab. Kita bukan tolak pendapat ulama’ atau kitab. Tapi ulama’ atau kitab itu kenalah naqalkan/bawakan dalil dari wahyu – sama ada dari Al-Qur’an atau hadis sahih. Malangnya, masyarakat kita malas berfikir, maka apa sahaja yang keluar dari mulut manusia yang pandang sebagai ada faham agama, mereka terima bulat-bulat.
Ulama’ dan ustaz pula selalunya garang tak tentu fasal – kalau ditanya dan diminta dalil, ramai yang marah. Sedangkan mereka sendiri sepatutnya bawa dalil awal-awal lagi. Kerana agama ini tertegak atas nas. Bukannya kitab itu dan ini. Tidak semua dalam kitab yang ditulis oleh manusia itu benar. Kerana terlalu percaya apa yang ada dalam kitablah yang menyebabkan agama kita ini sedang bercelaru. Kerana banyak sangat pendapat yang tidak diambil dari nas yang sahih.
Di sini kita dapat belajar bahayanya kalau kita terus sahaja terima apa-apa yang disampaikan oleh mereka yang dipanggil sebagai ulama’. Begitulah keadaan di dunia sekarang: yang membetulkan agama itu adalah ulama’ tapi yang merosakkan agama itu juga ulama’. Kerana orang awam tidak akan rosak dengan kata-kata orang biasa tapi mereka akan percaya dengan kata-kata orang-orang yang dianggap sebagai alim ulama’.
Di dalam masa yang sama, kita kena seimbangkan dengan arahan Allah untuk bertanya kepada ulama’ tentang perkara agama seperti disebut di dalam Nahl:43
فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui
Kita memang disuruh untuk bertanya kepada orang yang berilmu, akan tetapi jawapan itu mestilah yang ada sandaran dengan wahyu. Jangan kita lari daripada bergantung kepada wahyu yang Allah sampaikan, sama ada dari Al-Qur’an ataupun dari hadis Nabi. Jadi ulama’ itu hendaklah memberitahu kita jawapan yang diambil dari wahyu.
Kerana kesilapan yang dilakukan oleh agama sebelum kita adalah meninggalkan wahyu mereka dan bergantung kepada pendapat dan kehendak agamawan mereka dari kalangan ahbar dan rahib-rahib mereka. Hasilnya kita dapat lihat bagaimana mereka telah tersesat jauh dari kebenaran.
وَالمَسيحَ ابنَ مَريَمَ
dan Al Masih putera Maryam,
Dan ada antara mereka juga menjadikan Nabi Isa sebagai tuhan. Kalau anda perasan, kebanyakan tempat apabila Allah sebut nama Nabi Isa, akan disebut yang baginda adalah putera Maryam. Ini adalah kerana baginda tidak ada ayah maka baginda dinasabkan kepada ibunya. Juga kerana Allah hendak menekankan yang baginda adalah anak Maryam, anak ibunya, bukan anak Tuhan.
Akan tetapi kedudukan baginda telah disalah anggap oleh golongan Nasara (Kristian). Mereka angkat kedudukan baginda melebihi yang sepatutnya. Inilah juga yang kita takut terjadi dalam masyarakat kita. Ada yang mengangkat kedudukan Nabi Muhammad melebihi dari yang sepatutnya. Sedangkan Nabi sendiri sudah berpesan jangan buat begitu.
Sebagai contoh, ada yang minta berkat terus dengan Nabi, minta syafaat terus dengan Nabi; dan macam-macam lagi perkara salah yang dilakukan; termasuk ada yang kata Nabi Muhammad itu bukan ‘manusia biasa’ sedangkan Nabi Muhammad sendiri disuruh beritahu bahawa baginda adalah manusia – ini terdapat dalam banyak ayat Al-Qur’an.
Dan akhir-akhir ini sudah keluar golongan sesat yang mengatakan Allah itu adalah ‘pangkat’ dan sebenarnya Nabi Muhammad itu memegang pangkat Allah. Mereka dakwa baginda berlakon sahaja sebagai manusia biasa sedangkan baginda itulah Allah! Sebenarnya pendapat ini sudah lama ada kerana ia sama sahaja dengan kesesatan agama-agama yang terdahulu yang terlalu menyanjung Nabi mereka. Cumanya yang terkejut adalah kerana mereka telah berani menonjolkan diri mereka. Mereka sudah tidak segan silu lagi menampakkan kebodohan dan kejahilan mereka yang amat pekat.
Begitulah yang terjadi apabila masyarakat kita tidak faham Al-Qur’an kerana tidak terasa nak belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana itu banyak fahaman dan amalan yang pelik dalam masyarakat kita dari dulu sampai sekarang. Kalau kita tidak perbetulkan dengan sampaikan ajaran wahyu ini, entah apalah yang akan terjadi kepada masyarakat kita kelak.
وَما أُمِروا إِلّا لِيَعبُدوا إِلٰهًا وٰحِدًا
padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa,
Puak-puak ahli kitab itu telah melakukan kesalahan mengangkat selain Allah sebagai tuhan, sebagai ilah sembahan dan seruan mereka. Sedangkan mereka tidak diarahkan dalam kitab mereka sendiri melainkan untuk sembah Allah yang esa sahaja.
Ajaran menaikkan kedudukan makhluk lebih dari sepatutnya tidak ada dalam kitab mereka pun. Sebagai contoh, tidak ada dalam Injil itu yang mengatakan yang Nabi Isa itu adalah tuhan, malah sebagai anak Tuhan pun. Tapi ianya disebut dalam kitab-kitab tulisan tangan manusia.
Mereka lebih mempelajari dan mempercayai apa yang ditulis dalam kitab yang ditulis oleh ahli agama mereka. Begitulah yang terjadi dalam masyarakat Islam kita pun – pegang sangat ajaran dalam kitab seolah-olah itulah wahyu. Mereka tidak periksa pun sama ada yang tertulis dalam kitab itu selari dengan nas agama atau tidak.
Ramai yang marah kalau kita sebut begini – mereka kata mana ada mereka menjadikan para Nabi sebagai ilah. Mereka yang kata begitu adalah kerana mereka tidak faham konsep ilah. Ketahuilah, mereka yang seru Nabi itu telah menjadikan Nabi itu sebagai ilah. Padahal ilah itu hanya Allah sahaja. Oleh itu, mereka menduakan ilah, bukan menduakan Allah. Oleh itu kena faham di manakah salahnya.
Termasuk kesalahan yang disebut dalam ayat ini adalah menerima hukum yang disyariatkan oleh manusia, itu juga menduakan ilah. Kalau dalam Kristian, mereka menjadikan Pope mereka sebagai pembuat hukum. Bagaimana dengan kita? Tidakkah kita juga menjadikan mereka yang dipanggil sebagai ‘ulama’ sebagai pembuat hukum?
Sebaliknya kita sepatutnya menghambakan diri kepada Allah sahaja, menyembah Allah sahaja dan melakukan ibadah kepada Allah sahaja. Tapi apakah maksud ibadah? Di antara definisi terbaik dan terlengkap adalah yang disampaikan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.
Beliau rahimahullah mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan diredhai-Nya, baik berupa perkataan maupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) maupun yang nampak (lahir). Maka salat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang dari yang munkar, berjihad melawan orang-orang kafir dan munafiq, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan do’a, berdzikir, membaca Al-Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk bahagian dari ibadah.
Begitu pula rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, inabah (kembali taat) kepada-Nya, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-Nya, bersabar terhadap keputusan (takdir)-Nya, bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, merasa redha terhadap qadha/takdir-Nya, tawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-Nya, merasa takut dari seksa-Nya dan lain sebagainya itu semua juga termasuk bahagian dari ibadah kepada Allah.” (Al ‘Ubudiyah, cet. Maktabah Darul Balagh hal. 6).
لّا إِلٰهَ إِلّا هُوَ
tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia.
Allah tekankan tentang kalimah Tauhid di sini. Hanya Allah sahaja tempat pengharapan kita dan tempat kita meminta doa. Hanya Allah sahaja yang layak disembah dan ditaati. Jangan samakan kedudukan makhluk sama dengan kedudukan Allah.
Apabila Yahudi dan Nasara mengambil hukum selain dari Allah, maka mereka telah menjadikan ahbar dan rahib mereka sebagai ilah dan ini adalah satu kesyirikan. Maka begitu juga dengan kita, jangan kita lakukan perkara yang sama.
سُبحٰنَهُ عَمّا يُشرِكونَ
Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
Apa-apa sahaja rekaan mereka tentang Allah yang tidak sesuai dengan Allah itu ditolak oleh Allah di sini. Semua itu tidak layak bagiNya. Allah suci dari apa-apa penafsiran yang salah yang mereka berikan itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 4 April 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan