Tafsir Surah Kahfi Ayat 5 – 10 (Permulaan Kisah Pemuda Gua)

Ayat 5:

مّا لَهُم بِهِ مِن عِلمٍ وَلا لِآبائِهِم ۚ كَبُرَت كَلِمَةً تَخرُجُ مِن أَفوٰهِهِم ۚ إِن يَقولونَ إِلّا كَذِبًا

Sahih International

They have no knowledge of it, nor had their fathers. Grave is the word that comes out of their mouths; they speak not except a lie.

Malay

(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.

 

مَّا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ

Tidak ada bagi mereka sebarang ilmu;

Iaitu tidak ada dalil langsung yang mengatakan bahawa Nabi Isa itu adalah anak Tuhan. Mereka hanya ada-adakan sahaja. Persoalan itu dibahaskan dengan panjang lebar. Dan orang-orang Kristian terpaksa mengadakan-adakan banyak sekali alasan untuk memperbenarkan akidah syirik mereka itu.

Begitulah juga dengan masyarakat Islam kita sendiri yang mengamalkan perantaraan dalam doa-doa mereka. Tidak ada dalil dari Qur’an atau hadis tentang dakwaan mereka itu. Mereka cakap itu bukan dari dalil Qur’an atau sunnah, tapi adalah sangkaan mereka sahaja. Atau mereka akan kata orang itu dan orang ini pun buat juga. Itu adalah dalil yang amat lemah sekali. Tapi sedihnya, ramai orang yang ikut.

Allah gunakan perkataan مِنْ عِلْمٍ dalam ayat ini. Ia bermakna, mereka tidak ada dalil sikit pun. Sikit pun tidak ada. Bukan nak kata mereka tidak banyak dalil, tapi sedikit pun tidak ada.

Tidak ada ketetapan apa-apa pun dalam agama mereka sebenarnya untuk mengatakan bahawa Nabi Isa itu adalah anak Allah. Sebenarnya, bukan semua orang agama Kristian mengatakan bahawa Nabi Isa itu anak Tuhan. Kerana pernyataan itu adalah pernyataan yang baru yang dibentangkan dalam persidangan Nicea pada tahun 312 Masehi. Dalam persidangan itu, ada dua puak yang bertelagah.

Ada yang mengatakan bahawa Nabi Isa hanya manusia Nabi dan ada yang mengatakan Nabi Isa adalah anak Tuhan. Maka, telah dijalankan undian, dan yang menang adalah puak yang mengatakan Jesus anak Tuhan. Bayangkan, akidah mereka sekarang ini diselesaikan dengan cara undian! Bukannya pakai dalil, tapi undian.

 

 وَلَا لِآبَائِهِمْ ۚ

Dan tidak ada dalil dari tok guru mereka;

Dan tidak ada juga dalil dari tok nenek mereka. Tok nenek itu termasuk juga guru-guru mereka yang mengajar ilmu yang salah. Tok guru yang dulu-dulu itu pun dapat dari guru-guru mereka juga. Mereka cakap tanpa membawa bukti dalil yang sah.

Tapi kerana tidak ada ilmu, mereka terima sahaja tanpa usul periksa. Padahal tok nenek dan guru mereka itu pun sama-sama tidak ada ilmu. Yang mereka amalkan itu semua adalah bohong semata-mata. Ingatlah bahawa apa-apa ilmu ugama, kena bawa dalil dan dalil itu mestilah dari Qur’an dan dari hadis. Barulah dikatakan dalil yang boleh diterima.

Tidak boleh kita nak terima hujah akal dalam hal agama. Akal manusia macam mana hebat pun tidak mampu mencapai pengetahuan sesuatu hal itu tanpa bantuan dan ajaran dari Allah. Alangkah sedihnya apa yang terjadi kepada masyarakat kita sekarang. Mereka hanya menerima tanpa usul periksa kata-kata dari ustaz-ustaz mereka. Pada mereka, apabila seseorang itu sudah digelar ‘ustaz’, kata-kata dia tentulah benar.

Tidak semestinya begitu. Kalau guru yang benar, dia akan membawakan dalil yang sah. Bukan boleh kalau nak berikan pendapat sendiri atau pendapat guru tanpa dilapik dengan sandaran dalil.

 

كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوٰهِهِمْ

Buruk sungguh perkataan celupar yang keluar dari mulut mereka;

Lihatlah begitu marah betul Allah dengan apa yang mereka katakan itu.

Allah gunakan perkataan كَلِمَةً. Ianya bermakna satu kalimat sahaja. Sebab, kalau kata-kata yang banyak, perkataan kalam akan digunakan. Ini bermakna, kalau cakap satu kalimah yang syirik sahaja sudah berat dah. Apatah lagi zaman sekarang yang macam-macam perkara syirik yang dikatakan dan diamalkan oleh masyarakat kita.

Besar sekali apa yang mereka kata itu. Ini bermaksud mereka memperbesarkan selain dari Allah. Musyrikin Mekah mengatakan Allah ada anak, iaitu malaikat-malaikat yang mereka kata mereka itu adalah perempuan. Kristian pula mengatakan Isa a.s. itu anak Allah. Yahudi pula mengatakan Nabi Uzair anak Allah.

Apabila mereka mengatakan Allah ada anak, mereka membesarkan selain Allah dan merendahkan Allah. Iaitu mereka mengatakan Allah memerlukan anak untuk mentadbir alam ini. Seperti mengatakan Allah itu lemah, maka Allah memerlukan makhluk lain untuk membantuNya. Ma sha Allah! Itu adalah syirik yang besar.

 

إِنْ يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا

Tidaklah mereka mengatakan melainkan dusta semata-mata;

Ajaran mereka tentang menggunakan perantaraan itu adalah dusta semata-mata. Walaupun mereka berniat baik, tapi kalau tidak membawa dalil bukti, itu termasuk dusta. Kerana dalam mengajar hal agama, kena bawa dalil.


 

Ayat 6: Tasliah kepada Rasulullah.

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا

 Sahih International

Then perhaps you would kill yourself through grief over them, [O Muhammad], if they do not believe in this message, [and] out of sorrow.

Malay

Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

 

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفْسَكَ

Barangkali kamu akan membinasakan diri kamu Muhammad;

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad atau kepada sesiapa yang menyampaikan tauhid ini. Kalau dulu semasa diturunkan, ayat ini ditujukan kepada Nabi. Iaitu apabila Nabi amat bersedih dengan kaumnya yang tidak mahu menerima ajakan tauhid dari baginda.

Perkataan بَاخِعٌ bermaksud sesuatu yang amat mengganggu emosi seseorang yang sampai kepada tahap boleh membunuh. Macam kalau kita memaki seorang yang sakit jantung, emosi dia boleh terkesan sampai dia mati. Ianya adalah ‘membunuh tanpa menggunakan senjata’. Allah hendak memberitahu yang Nabi Muhammad teruk sangat kesedihannya, sampai boleh membawa kepada kematian.

Mufassir ada mengatakan bahawa Nabi sedih sangat kerana baginda telah ditunjukkan dengan kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh kesesatan agama Kristian itu. Dalam ayat sebelum ini, memperkatakan tentang ajaran sesat Kristian yang mengatakan tentang mereka mengambil Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Jadi, ayat itu adalah tentang agama Kristian. Dalam ayat ini, ada digunakan فَ dalam perkataan فَلَعَلَّكَ itu. Ini bermaksud, ayat ini adalah sambungan dari ayat sebelumnya.

 

عَلَىٰ ءآثٰرِهِمْ

atas kesan-kesan mereka;

Iaitu atas kesan musyrkin Mekah tidak mahu beriman dan berpaling dari terima ajaran baginda. Ini adalah kerana Nabi hairan kenapa mereka tidak juga mahu beriman. Setelah dibawakan dalil-dalil bukti, mereka masih tidak mahu beriman. Baginda amat sedih sekali.

Apakah pula kesan dari Kristian itu? Kita kena lihat sejarah untuk memahami apakah yang dimaksudkan oleh ayat ini. Pada Zaman Kegelapan Barat, yang memegang tampuk pemerintahan adalah golongan gereja. Mereka menguasai masyarakat Kristian yang tidak berilmu.

Masyarakat menganggap golongan gereja inilah yang dapat menyelamatkan mereka. Tapi dalam masa yang sama, ada juga anak-anak muda yang telah pergi belajar ke negara-negara Islam seperti Andalusia dan sebagainya. Waktu itu, Islam telah maju dalam bidang sains.

Apabila mereka yang telah belajar di negara Islam itu pulang, mereka telah membawa kemodenan bersama mereka. Kemajuan itu telah menggugat kedudukan golongan gereja yang selama ini boleh memperbodohkan masyarakat waktu itu. Jadi, golongan gereja melihat golongan terpelajar ini sebagai satu perkara yang perlu disesarkan.

Maka, mereka telah menggunakan kuasa mereka yang ada untuk menjatuhkan golongan terpelajar itu. Mereka telah menangkap, penjara dan membunuh golongan pelajar itu, membakar perpustakaan, buku-buku mereka dan sebagainya. Mereka telah mencipta alat-alat seksaan untuk menyeksa orang-orang sains. Mereka kata mereka buat itu adalah untuk menyelamatkan roh mereka supaya mereka selamat di akhirat kelak.

Golongan terpelajar itu telah melawan balik. Akhirnya mereka telah berjaya mendapat kuasa. Inilah yang dinamakan Zaman Renaissance. Apabila mereka telah berkuasa, mereka telah menundukkan kuasa agama. Kerana mereka telah lihat bagaimana bahayanya ‘orang agama’ kalau berkuasa.

Mereka tidak memusnahkan terus golongan agama itu, cuma mereka merendahkan kedudukannya untuk kegunaan peribadi sahaja. Dalam hal-hal peribadi boleh pakai agama, tapi dalam hal lain kena pakai intelek manusia. Inilah konsep sekular. Inilah permulaan konsep sekular diperkenalkan dalam dunia.

Hasilnya, masyarakat semakin jauh dari agama. Tiada lagi kebergantungan kepada Tuhan. Mereka memandang bahawa dalam hal kehidupan, mereka hanya gunakan intelek sahaja. Agama sudah tidak ada lagi kesan dalam kehidupan. Hanya digunakan dalam hal-hal tertentu sahaja. Kalau dalam negara kita, cuma digunakan dalam hal nikah kahwin, adat istiadat dan beberapa perkara sahaja.

Model Sekular ini telah dibawa kepada negara-negara yang mereka jajah. Mereka juga telah menjajah kita dahulu. Maka kita sendiri boleh lihat bagaimana konsep yang bahaya ini telah diterapkan dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, hal-hal agama hanya dalam perkara tertentu sahaja, seperti nikah kahwin, kematian, khitan dan sebagainya. Tapi hal undang-undang, pemerintahan dan hal-hal yang penting, bukan diambil dari agama lagi. Undang-undang hudud sudah tidak dipakai dan mahkamah sivil yang menjadi mahkamah tunggal atau mahkamah yang utama. Mahkamah Syariah pun kena ikut keputusan Mahkamah Sivil apabila ada percanggahan.

Itulah yang menyebabkan Nabi sedih sangat. Kerana baginda telah ditunjukkan kesan kerosakan yang dibawa oleh golongan Kristian itu. Asalnya memang agama mereka telah sesat. Kemudian mereka merosakkan lagi keadaan dengan menentang kemajuan sains yang dibawa oleh golongan terpelajar itu. Itu adalah kerana agama Kristian menolak kemajuan kerana ianya memang agama yang sesat. Kemajuan tidak boleh duduk bersama dengan agama Kristian.

Lain dengan agama Islam. Islam tidak ada masalah dengan logik akal dan kemajuan sains. Tapi kerana kesan kesesatan ahli agama Kristian itu, semua agama telah terpalit dengan kebodohan mereka itu.

Produk yang dikeluarkan oleh golongan anti-agama itu adalah materialism. Mereka hanya memandang hal luaran sahaja. Mereka tidak mementingkan Tuhan lagi. Mereka hanya mahukan keseronokan dan bagaimana hendak memberi nikmat kepada tubuh badan sahaja.

Mereka tidak memberi kepentingan kepada batin (roh) lagi. Manusia sudah tidak melihat kepada kehidupan selepas mati, tapi hanya mementingkan kehidupan keduniaan sahaja. Nafsu tubuh badan dipuaskan semaksima mungkin. Kesan ini telah menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam sendiri.

 

إِنْ لَّمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ

Tidak mahu beriman kepada Qur’an ini.

Perkataan الْحَدِيثِ merujuk kepada Qur’an. Dari segi bahasa, ianya adalah bermaksud ‘ucapan’. Qur’an dirujuk juga sebegini kerana ia disampaikan dari manusia ke manusia yang lain dengan cara ucapan. Iaitu dibacakan kepada mereka.

Qur’an akan tetap teguh dengan cara begini. Oleh itu Qur’an perlu dihidupkan dengan manusia bercakap tentang ayat-ayat Qur’an. Nabi takut manusia sudah tidak bercakap tentang Qur’an lagi. Itulah sebabnya baginda takut dan sedih. Lihatlah sekarang, jarang kita dapat dengar manusia bercakap tentang Qur’an lagi. Kalau ada yang bercakap tentang Qur’an dalam perjumpaan santai, memang ia nampak amat pelik dan orang akan pandang serong pula. Kalau tak percaya, selepas ini semasa bersama dengan kawan anda, cubalah selitkan tentang ayat-ayat Qur’an. Anda boleh tengok reaksi kawan anda itu.

Tapi kita kena mulakan dari sekarang. Kita kena biasalah perbincangan tentang Qur’an sekarang. Kita kena beri manusia biasa balik dengan Qur’an, dan tidak melihatnya sebagai sesuatu yang pelik. Kita kena pandai selitkan perbincangan dan rujukan kepada Qur’an dari sekarang, walaupun dalam bicara santai dengan kawan-kawan kita.

 

أَسَفًا

Kerana sedih;

Nabi rasa macam nak membinasakan diri baginda kerana baginda sedih sangat dengan apa yang baginda lihat itu. Tidaklah Nabi membinasakan diri baginda kerana tidak berlaku pun begitu. Cuma Nabi sedih dan kehairanan sangat: kenapalah mereka tidak mahu beriman?

Macam kita sekarang juga amat hairan kenapa banyak manusia yang bertawasul ini? Padahal tidak ada dalil pun perbuatan mereka itu. Apa mereka buat itu dah seperti orang kafir macam Kristian, Hindu dan penganut Buddha dah. Tapi kerana mereka tidak belajar tafsir wahyu Qur’an, mereka tidak nampak kesalahan yang mereka buat itu. Mereka hanya mengikut sahaja ajaran guru-guru mereka tanpa usul periksa.

Perkataan أَسَفًا bermaksud satu jenis kesedihan yang kita alami dan kita tahu kita tidak dapat berbuat apa-apa tentangnya. Nabi sedih kerana apabila perkara itu terjadi, baginda tidak ada lagi dalam dunia untuk melakukan apa-apa. Yang ada ditinggalkan adalah Qur’an sahaja. Jadi, hendaklah kita jadikan Qur’an itu sebagai pedoman kita untuk mengelakkan kita dari terjerumus ke dalam lembah materialism itu.


 

Ayat 7: Allah pujuk Nabi supaya jangan bersedih kerana memang dunia ini adalah tempat ujian dan tetap ada yang kandas dalam ujian.

إِنّا جَعَلنا ما عَلَى الأَرضِ زينَةً لَّها لِنَبلُوَهُم أَيُّهُم أَحسَنُ عَمَلًا

 Sahih International

Indeed, We have made that which is on the earth adornment for it that We may test them [as to] which of them is best in deed.

Malay

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

 

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ

Sesungguhnya Kami menjadikan makhluk-makhluk yang ada di atas bumi;

Ini termasuk makhluk yang ada di atas bumi dan segala yang ada di dalamnya. Dengan segala emas dan permatanya, tanamannya dan segala hasilnya. Semua itu adalah ‘makhluk’ – yang dijadikan.

 

زِينَةً لَّهَا

sebagai perhiasan hidup di dunia sahaja;

Supaya kamu dapat memilikinya. Kenapakah dijadikan semua itu? Dunia ini dijadikan sebagai tempat ujian sahaja. Bukan tempat tinggal yang kekal.

Dunia ini adalah sebagai tempat ujian. Dalam ayat sebelum ini, telah disebutkan tentang materialisma. Bagaimana manusia telah dirosakkan pegangan mereka sampai mereka hanya melihat perkara material sahaja. Mereka melupakan hal dalaman.

Allah hendak mengingatkan bahawa semua material yang Allah jadikan di dunia ini adalah sebagai ujian sahaja kepada kita. Mereka yang mementingkan materialisma sahaja, akan memandang betapa cantiknya dunia ini dan melupakan hal-hal akhirat. Itu bermakna mereka telah gagal dalam ujian itu. Kita boleh gunakan dunia ini, tapi jangan sampai kita lupakan akhirat.

 

لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Supaya kami dapat uji mereka siapa yang antara mereka yang terbaik amalan mereka;

Maka alam dunia ini adalah ujian. Dan bila ada ujian, maka tentulah ada yang terkandas dalam ujian. Maka janganlah Nabi bersedih kalau ada yang terkandas kerana bukan salah baginda.

Allah bukan nak lihat siapa boleh buat amalan ‘terbanyak’, tapi أَحْسَنُ – yang ‘terbaik’. Maknanya kualiti lebih penting dari kuantiti. Molek kalau kita buat sikit sahaja ibadat, tapi dalam bentuk terbaik. Bukan buat sambil lewa sahaja. Maknanya, kita melebihkan kualiti dari kuantiti. Dan lebih baik lagi kalau kita buat banyak-banyak semampu kita tanpa menghilangkan kualiti ibadat itu. Tentunya buat ibadat banyak lagi baik.

Sekali lagi Allah menyebut tentang amalan. Dalam ayat kedua, Allah menyebut bahawa orang beriman itu mesti mengamalkan amalan yang soleh. Oleh itu, kita kena jaga amal ibadat kita dan pastikan bahawa amal ibadat itu adalah berdasarkan dari sumber yang sahih. Itulah amalan yang baik.

Tidak berguna langsung kalau amalan itu banyak, tapi bukan diambil dari sumber dan nas yang sahih. Ianya bukan sahaja tidak membantu kita, tapi akan menjadi sebab pula untuk kita diazab di akhirat kelak. Kerana itu semua adalah amalan bidaah. Segala amalan bidaah adalah sesat. Tapi guru-guru yang tidak berilmu telah mengajar bahawa ada amalan bidaah yang dipanggil ‘bidaah hasanah’.

Mereka tidak faham apakah maksud bidaah hasanah itu. Apabila mereka tidak faham, anak murid mereka pun tidak faham. Maka bercambahlah amalan-amalan bidaah dalam masyarakat yang mereka labelkan sebagai bidaah hasanah. Mereka tidak sedar bahawa bukan mereka yang sepatutnya menentukan samada ianya baik atau tidak, tapi Allah.

Allah telah mengajar Nabi Muhammad tentang apakah amalan yang baik itu. Dan Nabi telah sampaikan kepada sahabat-sahabat baginda dan mereka telah sampaikan kepada kita.

Kalau kita hendak mendapatkan janji Allah supaya ditempatkan dalam syurga kekal abadi, maka hendaklah kita pastikan amalan kita itu adalah amalan yang terbaik (iaitu amalan Sunnah). Itu semua akan kita dapati apabila kita belajar hadis-hadis yang sahih.


 

Ayat 8:

وَإِنّا لَجٰعِلونَ ما عَلَيها صَعيدًا جُرُزًا

 Sahih International

And indeed, We will make that which is upon it [into] a barren ground.

Malay

Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.

 

وَإِنَّا لَجٰعِلُونَ مَا عَلَيْهَا

Dan Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu,

Lihatlah penekanan yang Allah letakkan dalam ayat ini. Sudahlah ada perkataan إِنَّ, Allah tambah lagi dengan huruf ل sebagai penekanan lagi. Maknanya, tidak syak lagi, Allah akan buat. Jangan ada perasaan dalam hati kita yang Kiamat tidak akan berlaku. Ianya PASTI akan terjadi.

 

صَعِيدًا جُرُزًا

menjadi tanah yang rata bersih;

Ini akan berlaku apabila kiamat nanti. Waktu itu, semuanya hancur, tidak akan ada apa-apa lagi dah yang akan tinggal. Sebenarnya, kalau bumi ini bergegar tak berhenti-henti, tanah bumi ini semua akan hancur dan masuk dalam laut dan bumi akan jadi rata. Tapi Allah telah jadikan bumi ini tidak bergerak untuk keselesaan kita dan keselamatan kita. Tapi pada hari Kiamat nanti, bumi akan digoncang dengan sekuat-kuatnya dan nanti semuanya atas bumi akan hancur dan tidak akan tinggal apa-apa lagi dah.

Perkataan صَعِيدًا bermaksud ‘mengumpulkan debu’. Kalau kita tinggalkan sesuatu tempat itu tidak berpenghuni, lama-lama debu sahaja yang akan menutupinya.

Perkataan جُرُزًا pula bermaksud ‘tandus’, tidak ada apa yang boleh tumbuh lagi di situ.

Ada empat kisah yang akan disebutkan dalam surah Kahfi ini selepas ini. Diantara kisah-kisah itu ada pengajaran yang Allah akan ingatkan kepada kita. Kisah pertama adalah kisah Pemuda Kahfi. Daripada kisah itulah diambil dan dijadikan tajuk surah ini.

Cerita Pemuda Kahfi selepas ini terjadi selepas Nabi Isa a.s. diangkat ke langit. Sebelum diutus Nabi Muhammad. Pemuda-pemuda Kahfi itu adalah pengikut ajaran Nabi Isa.

bKahfi itu bermakna ‘Gua’ iaitu tempat pemuda-pemuda itu menyembunyikan diri dari raja mereka yang sesat yang menyuruh mereka meninggalkan agama tauhid. Mereka adalah pemuda-pemuda yang berpegang kepada fahaman tauhid. Kita akan belajar kisah mereka dengan panjang lebar nanti.

Atau ada juga pendapat yang mengatakan kisah mereka ini terjadi sebelum agama Kristian lagi. Kerana kalau mereka agama Kristian, tentunya Pendita Yahudi tidak akan ambil kisah tentang kisah mereka ini dan tidak akan simpan maklumat tentangnya. Ini adalah kerana mereka amat tidak sefahaman dengan orang-orang Kristian.

Tapi, kita boleh lihat bahawa apabila pemuka Quraish bertanya kepada mereka tentang samada Nabi Muhammad adalah nabi atau tidak, Pendita Yahudi itu mengeluarkan kisah Pemuda Kahfi ini untuk ditanyakan kepada Nabi Muhammad. Allahu a’lam.


 

Ayat 9: Permulaan kisah Pemuda Kahfi.

أَم حَسِبتَ أَنَّ أَصحٰبَ الكَهفِ وَالرَّقيمِ كانوا مِن ءآيٰتِنا عَجَبًا

 Sahih International

Or have you thought that the companions of the cave and the inscription were, among Our signs, a wonder?

Malay

Adakah engkau menyangka, bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?

 

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحٰبَ الْكَهْفِ

Apakah kamu anggap penghuni gua itu,

Ayat ini merujuk kepada kisah Pemuda Gua itu. Maknanya sudah ada orang yang tahu tentang kisah mereka.

 

وَالرَّقِيمِ

dan batu bersurat;

Batu bersurat yang menulis kisah mereka. Atau yang menulis nama-nama mereka. Ianya adalah satu bentuk tulisan yang tahan bertahun-tahun lamanya sampai boleh bertahan berkurun-kurun lamanya.

Tapi ada juga pendapat lain tentang kalimah الرَّقِيمِ ini.

  1. Ada yang mengatakan ia adalah nama tempat kejadian kisah ini dan terletak antara Aylah dan Palestin. Ada yang mengatakan ia adalah tempat yang disebut ‘Rekem’ dalam Injil – Joshua, 18: 27.
  2. Ianya adalah batu bersurat yang merakam nama pemuda kahfi itu.

 

كَانُوا مِنْ ءآيٰتِنَا عَجَبًا

adalah benda yang menjadi tanda-tanda Allah yang menakjubkan?

Adakah kamu rasa tidur dalam gua itu beberapa tahun itu dah ajaib dah? Ini adalah jawapan kepada mereka yang memuja Pemuda Kahfi itu kerana mereka sangka Pemuda Kahfi itu adalah kelebihan.

Mereka silap faham dengan kisah Pemuda Kahfi itu kerana mereka sangka mereka itu manusia luar biasa. Padahal Allah telah cipta semua yang ada dalam dunia ini, dari tiada kepada ada, tentu lagi menakjubkan. Penciptaan langit dan bumi lagi menakjubkan dari kisah tidur sahaja. Padahal mereka yang Allah tidurkan itu adalah makhluk yang sudah wujud, cuma Allah tidurkan sahaja mereka.

Bahkan ada banyak lagi perkara lain yang lebih menakjubkan lagi dari kisah mereka. Allah nak ingatkan kepada kita, jangan lupa melihat keajaiban lain dalam alam ini yang Allah telah jadikan.

Muqaddimah surah ini adalah tentang tawasul. Iaitu Allah menjelaskan bahawa Dia tidak mengambil anak angkat. Sebelum itu telah disebut tentang Allah. Yang diberitahu dalam ayat itu adalah kita kena puji Dia. Dan kemudian, diceritakan tentang Qur’an. Telah disebutkan berkenaan lurusnya Qur’an itu.

Dan kemudian diberitahu bahawa tugas Nabi adalah menyampaikan berita buruk dan berita baik. Maknanya, cerita dalam surah Kahf ini adalah tentang masyarakat yang sudah bertawasul dah waktu itu. Kalau kita sekarang bertawasul pula, maka kita pun macam mereka juga sebenarnya. Jadi cerita kesalahan yang dilakukan oleh manusia itu sama sahaja pada dasarnya dari dulu sampai sekarang.

Pemuda-pemuda itu dikatakan adalah anak-anak pembesar negara. Masyarakat waktu itu memang mengikut syariat agama tapi sudah melakukan syirik dengan mengamalkan tawasul. Macam Kristian sekarang pun, mereka bertawasul dengan Nabi Isa.

Atau raja negeri itu telah syirik kerana sembah berhala. Dan pemuda-pemuda itu pegang syariat bahawa Nabi Isa adalah Rasul. Maka raja yang musyrik itu telah kata kepada rakyat bahawa kalau mereka tak sembah berhala, mereka akan dibunuh.

Peristiwa dalam Qur’an ini berlaku setelah sampai kepada pengetahuan raja bahawa pemuda-pemuda itu telah mengamalkan agama yang benar yang bertentangan dengan apa yang Raja dan orang lain amalkan. Dia suruh mereka murtad balik dan kalau mereka tidak buat syirik macam mereka juga, Raja akan bunuh mereka.


 

Ayat 10: Kisah ringkas Pemuda Kahfi.

إِذ أَوَى الفِتيَةُ إِلَى الكَهفِ فَقالوا رَبَّنا ءآتِنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً وَهَيِّئ لَنا مِن أَمرِنا رَشَدًا 

 Sahih International

[Mention] when the youths retreated to the cave and said, “Our Lord, grant us from Yourself mercy and prepare for us from our affair right guidance.”

Malay

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

 

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ

Ketika pemuda-pemuda itu lari ke gua yang besar;

Mereka diberi peluang oleh Raja (tidak terus dibunuh) kerana mereka itu semua adalah anak para pembesar. Mereka diberi peluang untuk berfikir untuk mengubah agama mereka. Dan mereka dibenarkan pulang tapi mereka kena datang balik dan mengaku untuk terima agama syirik seperti masyarakat negeri itu.

Dan untuk memastikan mereka balik, nama mereka telah ditulis di atas pahat batu. Itulah yang dikatakan الرَّقِيمِ itu – dituliskan nama mereka. Macam nama penjenayah yang ditampal di poster untuk pengetahuan semua orang.

Maka kerana mereka diberi masa itulah sebabnya mereka sempat lari ke gua. Perkataan أَوَى bermakna mencari perlindungan. Macam kalau kita ketakutan semasa kita kecil, kita akan lari ke arah ibu kita dan memeluknya. Maka begitulah juga para Pemuda Gua itu mereka telah mendapatkan perlindungan di dalam gua.

Makna الْفِتْيَةُ ialah ‘pemuda’. Itulah sebabnya mereka dinamakan ‘Pemuda Kahfi’. Dalam ayat 7 sebelum ini, telah disebutkan bagaimana Allah telah mencantikkan dunia ini kepada manusia. Dan orang-orang yang mementing materialisma, mereka hanya memandang dunia sahaja. Siapakah yang paling terkesan dengan dunia dan segala keindahannya? Tentulah orang-orang muda.

Mereka inilah yang sedang banyak tenaga, rupa masih elok lagi, tanggungjawab kurang dan sedang meningkat naik dalam kehidupan. Merekalah yang banyak terjerumus dalam kehidupan maksiat, tanpa agama dan hanya suka berhibur sahaja. Tapi dalam ayat ini, Allah memberitahu kita bahawa ada pemuda-pemuda yang iman mereka kuat, jalan agama mereka lurus.

Mereka telah mengambil keputusan untuk menyelamatkan agama mereka dan mereka lari menuju ke gua yang jauh dari bandar untuk menyembunyikan diri. Mereka itu anak pembesar-pembesar negara tapi mereka tidak kisah dengan kekayaan keduniaan. Kalau mereka mahukan kemewahan dan nikmat dunia, mereka memang boleh dapat.

Tapi iman mereka telah mendorong mereka untuk mengasingkan diri mereka dari orang-orang yang telah rosak akhlak dan agama mereka. Maknanya, mereka ini adalah orang yang amat-amat baik. Jarang dapat jumpa orang macam ini sekarang.

 

فَقالوا رَبَّنا ءآتِنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً

Mereka berdoa: “wahai Tuhan kami, berilah kepada kami dari sisi Engkau, rahmat yang khas”.

Allah mengingatkan kepada kita bahawa pertolongan hanya datang dari Allah. Kalau ada apa-apa masalah, pohonlah kepada Allah. Begitu juga dengan para pemuda ini, mereka bergantung kepada Allah. Kalau nak difikirkan keadaan mereka, memang dalam keadaan yang amat payah kerana Raja sendiri sudah tahu tentang hal mereka. Tapi mereka serahkan diri mereka kepada Allah. Mereka minta pertolongan terus kepada Allah.

Maka lihatlah mereka berdoa ‘terus’ kepada Allah. Mereka tidak ada tawasul pun dengan mana-mana Nabi, wali atau malaikat. Begitulah cara doa yang diajar dalam Qur’an dan dalam hadis. Tidak pernah ada ayat Qur’an yang ajar doa cara tawasul. Maka yang amalkan tawasul ini pakai ajaran agama mana?

 

وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

dan sediakanlah untuk kami dalam urusan hidup kami ini, suatu petunjuk;

Kemudian mereka meminta petunjuk dari Allah kerana mereka berada dalam masyarakat yang mengamalkan syirik. Mereka bermohon semoga kesudahan akhir mereka adalah di bawah petunjuk yang lurus.

Maka kita hendaklah memberitahu masyarakat bahawa tawasul itu adalah perbuatan syirik. Sekarang dah banyak sangat dah yang mengamalkan tawasul ini. Mulanya mereka tahu bahawa mereka menggunakan Nabi, wali atau malaikat itu sebagai perantara sahaja. Kita takut, lama kelamaan, mereka akan terus berdoa kepada entiti itu sendiri.

Kita takut jadi macam orang Syiah sekarang. Mereka bukan minta kepada Allah lagi, tapi mereka terus minta kepada Husein dah. Kalau mereka ada masalah, mereka berdoa kepada Hussein terus. Semoga masyarakat kita tidak jadi macam itu. Semoga kita boleh terangkan kepada manusia bahayanya tawasul itu sebelum terlambat. Semoga ajaran Syiah ini tidak lagi berkembang.

Pemuda Kahfi ini juga memerlukan petunjuk dalam kehidupan dunia ini. Petunjuk yang dimaksudkan adalah ‘petunjuk agama’. Tapi dalam masa yang sama juga, mereka memerlukan petunjuk bagaimana untuk menyelamatkan diri. Mereka pun tentu dalam keadaan risau dan kelam kabut untuk lari ke mana. Maka kerana doa mereka itu, Allah telah memberi jalan kepada mereka untuk memilih satu gua yang sesuai untuk mereka menghilangkan diri.

Itu adalah cerita ringkas berkenaan pemuda gua itu. Asalnya ada enam orang pemuda semuanya. Mereka tahu bahawa kalau mereka tinggal lagi bersama kaum mereka yang mengamalkan syirik itu, mereka akan dibunuh. Semasa mereka dalam perjalanan hendak lari ke gua, mereka telah berjumpa dengan seorang pengembala kambing. Pengembala itu ada seekor anjing. Mereka telah ajar tentang tauhid kepada pengembala itu dan pengembala itu telah beriman dan akhirnya telah mengikut mereka. Maka, sekarang sudah ada tujuh orang dan seekor anjing. 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Februari 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s