Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 29 – 30 (Jin beriman selepas dengar Al-Qur’an)

Ayat 29: Ayat 29 – 32 adalah Perenggan Makro Kelapan. Ia berkenaan kaum jin yang mendengar Al-Qur’an. Ia memberi contoh teladan kaum jin yang bukan sahaja datang mendengar pengajaran Al-Qur’an malah menyebarkan ajaran tersebut. Maka ini adalah Dalil Naqli Jinni. Maksudnya Dalil Naqli dari Jin.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang jin juga ada yang beriman. Mereka turut mendapat ilmu tauhid dan sampaikan ajaran tauhid itu kepada kaum mereka. Nabi ﷺ tidak berdakwah kepada mereka, tetapi mereka terus beriman dengan Rasulullah ﷺ apabila mereka mendengar bacaan Al-Qur’an dari baginda ﷺ . Bukanlah Nabi mencari mereka tapi Allah yang bawa para jin itu kepada baginda.

Allah ﷻ beritahu maklumat ini kepada Nabi ﷺ kerana baginda tidak tahu ada jin yang telah mendengar bacaan Al-Qur’an dari baginda ﷺ  dan telah beriman. Kerana Nabi Muhammad tidak dapat kesan jin.

Ayat ini adalah tentang jin yang sudah ada fahaman Yahudi. Maknanya mereka telah ada ilmu agama. Mereka memang mencari-cari Al-Qur’an itu. Ini kerana jin dulunya selalu dapat naik ke langit untuk mendengar perbualan malaikat. Tiba-tiba mereka sudah tidak boleh naik ke langit lagi untuk mencuri dengar.

Mereka pusing keliling dunia untuk mencari sebab apa mereka sudah tidak boleh lagi mendengar perbualan malaikat di langit. Dalam pencarian mereka itu, mereka jumpa Nabi Muhammad ﷺ yang sedang solat bersama sahabat. Sebelum itu, Nabi ﷺ telah pergi ke Taif dan baginda telah dilayani dengan buruk sekali. Semua tahu kisah itu. Waktu itu baginda ﷺ bersama Zaid sahaja dalam perjalanan balik ke tempat yang bernama Nakhla.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang kaum jin juga boleh faham dan terima ajaran tauhid. Kalau kita sama jenis manusia dengan Nabi tidak terima, maka teruk sangatlah kita ini. Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini yang jin itu pun ada dakwah kepada kaum mereka selepas mereka mendapat kebenaran itu.

Mereka terus dakwah dan tidak perlu jumpa Nabi ﷺ meminta pendapat atau minta izin baginda. Tidaklah mereka pergi jumpa Nabi ﷺ dan minta ijazah sebelum dakwah kepada kaum jin juga. Padahal mereka baru sahaja dengar sikit ayat Al-Qur’an.

Jadi kalau ada guru yang melarang anak murid dia dari mengajar agama kepada orang lain kerana alasan anak murid itu ‘belum habis belajar hadis’, belum belajar itu dan ini, letak syarat yang tidak tahu datang dari mana, itu jenis guru apa pun kita tidak tahu – dia telah menyekat agama dari disampaikan kepada manusia yang lain.

Agaknya apa dia hendak menjawab di hadapan Allah ﷻ nanti? Sama ada guru itu tidak belajar ayat ini atau dia sendiri pun tidak faham. Semoga Allah ﷻ memberi hidayah kepada guru yang sebegitu. Maka biarlah anak murid hendak sebarkan agama terutama ajaran Al-Qur’an ini kepada manusia.

Juga ayat ini mengajar kita bahawa tidak ada interaksi antara manusia dan jin. Manusia dan jin menjalani kehidupan mereka bersendirian, tidak ada interaksi tolong menolong, bersembang dan diskusi sesama mereka – termasuk antara orang Islam dan jin Islam.

Sesiapa yang mengatakan ada perkara yang sedemikian, adalah salah sama sekali, kerana kalau ada, tentulah pada zaman Nabi sudah ada interaksi antara dua jenis makhluk ini. Tentu ada sahabat yang berkawan dengan jin atau ‘bela’ jin. Walaupun Nabi ﷺ ada interaksi dengan jin kerana baginda kena mengajar mereka, tetapi Nabi sendiri turut melarang dan menghalang para sahabat dari berinteraksi dengan jin.

Lalu bagaimana ada manusia yang ‘terlebih pandai’ yang boleh pula ada hubungan dengan jin. Mereka lagi hebat dari Nabi dan sahabat kah? Ada pula ustaz di negara ini yang kata, dibenarkan bela jin. Maka untuk tahu serba sedikit kisah jin, ikutilah kisah kejadian ini dengan ringkas.

وَإِذ صَرَفنا إِلَيكَ نَفَرًا مِّنَ الجِنِّ يَستَمِعونَ القُرءآنَ فَلَمّا حَضَروهُ قالوا أَنصِتوا ۖ فَلَمّا قُضِيَ وَلَّوا إِلىٰ قَومِهِم مُّنذِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when We directed to you a few of the jinn, listening to the Qur’ān. And when they attended it, they said, “Listen quietly.” And when it was concluded, they went back to their people as warners.

MALAY

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Qur’an; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Qur’an itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

 

وَإِذ صَرَفنا إِلَيكَ نَفَرًا مِّنَ الجِنِّ يَستَمِعونَ القُرءآنَ

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Qur’an;

Sewaktu Nabi ﷺ kesedihan selepas ditolak oleh penduduk Taif, iaitu selepas baginda ﷺ dihalau dengan hinanya malah dilempar dengan batu sepanjang perjalanan baginda ﷺ keluar dari Kota Taif, Allah ﷻ telah menghantar satu kumpulan jin untuk mendengar bacaan Al-Qur’an dari baginda ﷺ .

Mereka betul-betul mendengar dengan tawajuh kerana adalah huruf ت pada kalimah يَستَمِعونَ itu. Apabila ditambah huruf, bermaksud ada penekanan di situ. Mereka kemudiannya telah beriman setelah mendengar bacaan Al-Qur’an dari Rasulullah ﷺ . Lihatlah bagaimana apabila manusia tidak mahu beriman, ada kalangan jin yang beriman. Allah ﷻ  boleh hantar sesiapa sahaja untuk beriman.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sufyan, telah menceritakan kepada kami Amr, bahawa dia pernah mendengar Iknmah menceritakan hadis berikut dari Az-Zubair sehubungan dengan firman Allah Swt.: Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Qur’an. (Al-Ahqaf: 29) Az-Zubair mengatakan bahawa kejadian ini di Nakhlah ketika Rasulullah Saw. sedang membaca Al-Qur’an dalam salat Isya’nya. Hampir saja jin-jin itu desak – mendesak mengerumuninya. (Al-Jin: 19) Sufyan mengatakan bahawa sebahagian dari jin-jin itu berdesakan dengan sebahagian yang lainnya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad secara munfarid.

Nabi ﷺ tidak tahu kedatangan jin itu kalau tidak diberitahu oleh Allah ﷻ. Jadi, kalau Nabi ﷺ  sendiri tidak tahu kehadiran jin yang mendengar bacaan Al-Qur’an dari baginda, bagaimana mungkin ada manusia yang boleh tahu kehadiran jin di satu-satu tempat?

Mereka pula dikatakan boleh scan jin, tahu ada berapa ekor jin dan sebagainya? Adakah mereka lebih hebat dari seorang Rasulullah ﷺ? Tidak lain dan tidak bukan, itu adalah satu perkara yang tidak benar. Ada sesuatu yang tidak kena dalam keadaan ini.

Seperti yang kita tahu, jin dan manusia tidak ada hubungan. Jadi kalau sudah boleh scan jin, boleh berinteraksi dengan jin, maknanya seseorang itu memang telah berkawan dengan jin sama ada dia sedar atau tidak.

Dia telah didampingi oleh jin kerana telah mengamalkan ajaran yang salah yang menyebabkan jin boleh duduk dan berinteraksi dengan dia. Ini adalah satu kesalahan, bukannya satu kelebihan. Dia kena periksa balik apakah amalan yang dilakukannya selama itu. Kalau diperiksa, tentu ada amalan syirik atau bidaah yang diamalkan olehnya. Namun, kerana dia jahil agama dan wahyu, dia tidak tahu bahawa itu adalah amalan yang salah.

Memang agak susah untuk berdakwah kepada golongan sebegini kerana mereka rasa mereka sudah ada kelebihan. Mereka sangka mereka sudah hebat dan pandai. Kerana sudah ada banyak kejadian yang terjadi kepada mereka sebagai ‘bukti’ yang amalan mereka itu benar.

Tapi itu bukan bukti sebenarnya. Jadi kalau ada yang menegur perbuatan mereka itu adalah salah, tentu mereka akan marah dan tidak terima.

Maka sebaiknya kita belajar perkara ini supaya kita tidak terjerumus ke dalam perkara ini dari mula lagi. Ini kerana kalau sudah terjerumus, maka memang susah untuk keluar.

 

فَلَمّا حَضَروهُ قالوا أَنصِتوا

setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah mereka: “Diamlah kamu untuk mendengarnya!”

Beberapa jin telah mendengar bacaan Al-Qur’an dari baginda ﷺ dengan penuh perhatian. Mereka minta jin-jin lain supaya senyap supaya mereka boleh dengar bacaan Al-Qur’an itu dengan teliti. Ini menunjukkan yang mereka ada adab dalam majlis ilmu.

Kejadian ini ketika mereka hadir ke tempat Nabi ﷺ membaca Al-Qur’an. Makanya Al-Qur’an ini kena dengar dengan teliti baru akan dapat faham. Jadi kalau dalam kelas pengajian tafsir, jangan buat benda lain. Memang kena dengar guru mengajar dengan tawajuh.

Kita juga diajar untuk ada adab dengan Al-Qur’an dalam ayat ini. Apabila Al-Qur’an dibacakan, maka hendaklah kita senyap untuk mendengar dengan teliti.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Attan, telah menceritakan kepada kami Abu Uwwanah, dan telah menceritakan kepada kami Imam Al-Hafiz Abu Bakar Al-Baihaqi di dalam kitabnya yang berjudul Dalailun Nubuwwah, bahawa telah menceritakan kepada kami Abul Hasan Ali ibnu Ahmad ibnu Abdan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Ubaid As-Saffar, telah menceritakan kepada kami Ismail Al-Qadi, telah menceritakan kepada kami Musaddad, telah menceritakan kepada kami Abu Uwwanah, dari Abu Bisyr, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. tidak pernah membacakan Al-Qur’an kepada jin dan tidak pula baginda melihat mereka. Rasulullah Saw. berangkat bersama segolongan sahabatnya menuju pasar Ukaz. Dan saat itu antara syaitan dan berita dari langit telah dihalang-halangi, kerana langit telah dijaga oleh bintang-bintang yang menyala­ nyala yang melempari syaitan yang hendak mencuri-curi dengar dari berita langit, maka syaitan-syaitan pun kembali kepada kaumnya. Maka kaumnya bertanya, “Mengapa kalian?” Syaitan-syaitan itu menjawab, “Telah dihalang-halangi antara kami dan berita dari langit, dan dikirimkan bintang yang menyala-nyala mengejar kami.” Kaumnya berkata, “Tiada yang menjadi penyebab kalian dihalang-halangi dari berita langit, melainkan telah terjadi sesuatu peristiwa. Maka berangkatlah kalian ke belahan timur dan barat bumi, lalu carilah penyebab yang menghalang-halangi kalian dari berita langit itu!” Maka berangkatlah mereka menjelajahi belahan timur dan barat bumi untuk mencari orang yang menjadi penyebab yang menghalang-halangi mereka dari berita langit. Serombongan jin berangkat menuju ke arah Tihamah yang ketika itu Rasulullah Saw. sedang berada di Nakhlah dalam perjalanannya menuju pasar ‘Ukaz. Rasulullah Saw. sedang melakukan salat Subuh mengimami para sahabatnya. Ketika jin-jin itu mendengar bacaan Al-Qur’an, maka mereka mendengarkannya, lalu mengatakan, “Demi Allah, inilah yang menjadi penyebab kalian dihalang-halangi dari berita langit.” Dan ketika rombongan jin itu kembali kepada kaumnya, mereka berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al-Qur’an yang menakjubkan (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Tuhan kami (Al-Jin: 1-2) Dan Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Katakanlah (hai Muhammad), “Telah diwahyukan kepadaku bahwasanya sekumpulan jin telah mendengarkan (Al-Qur’an) ” (Al-Jin: 1) Dan sesungguhnya yang diwahyukan kepada Nabi Saw. hanyalah menceritakan tentang ucapan jin kepada kaumnya.

 

Di dalam hadis yang lain:

Abu Bakar ibnu Abu Syaibah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Ahmad Az-Zubairi, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Asim, dari Zur, dari Abdullah ibnu Mas’ud r.a. yang mengatakan bahwa jin-jin itu turun menemui Nabi Saw. yang saat itu sedang membaca Al-Qur’an di Lembah Nakhlah. Ketika mereka mendengar bacaannya, mereka mendengarkan dengan penuh perhatian dan mengatakan kepada teman-temannya, “Diamlah!” Jumlah mereka adalah sembilan jin, yang salah satu dari mereka berupa zauba’ah (angin puyuh). Maka Allah menurunkan firman-Nya: Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Qur’an, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya), lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk mendengarkannya).” Ketika pembacaan telah selesai, mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. (Al-Ahqaf: 29) sampai dengan firman-Nya: Mereka itu dalam kesesatan yang nyata. (Al-Ahqaf: 32)

Jadi kalau kita lihat hadis-hadis di atas, ada beberapa pendapat yang dikeluarkan. Kita tidak pasti dengan sah mana satukah kejadian yang benar. Beberapa keadaan itu boleh jadi ada kemungkinannya.

 

فَلَمّا قُضِيَ وَلَّوا إِلىٰ قَومِهِم مُّنذِرينَ

Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya memberi amaran.

Selepas mendengar dan faham apakah yang dibaca oleh Nabi Muhammad ﷺ, mereka telah beriman dan mereka terus pulang dan memberitahu kepada kaum mereka apa yang mereka telah dengar dari Al-Qur’an itu. Maknanya, mereka telah berdakwah kepada kaum mereka.

Ini menunjukkan kepentingan dakwah dan menyampaikan perkara baik yang kita telah belajar. Kalau dapat satu ayat, maka sampaikan kembali satu ayat itu kepada orang lain. Tidak perlu belajar habis satu Al-Qur’an baru boleh ajar kepada orang lain. Kita boleh sahaja terus ajar kepada anak dan isteri dari apa yang kita telah belajar dalam kelas. Mulalah ajar sikit-sikit. Jangan takut hendak sampaikan ajaran Al-Qur’an.

Mereka tidak pun ambil ijazah dari Nabi ﷺ untuk jadi pendakwah. Mereka terus sahaja beritahu kepada kaum mereka. Jin-jin itu pun tidaklah ada berjumpa dengan para sahabat dan bertanya khabar atau bertukar-tukar ilmu dengan mereka.

Kalau Nabi ﷺ pergi berjumpa dengan jin-jin itu untuk mengajar pun, baginda ﷺ tidak bawa para sahabat sekali dengan baginda, sedangkan dalam banyak hal-hal lain, Nabi akan ada yang menemaninya. Ini menunjukkan tidak perlu ada interaksi antara jin dan manusia.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Daud, dari Asy-Sya’bi dan Ibnu Abu Zaidah, telah menceritakan kepada kami Daud, dari Asy-Sya’bi, dari ‘Alqamah yang mengatakan bahawa aku bertanya kepada Abdullah ibnu Mas’ud r.a., “Apakah Rasulullah Saw. membawa seseorang dari kalian di malam jin?” Ibnu Mas’ud r.a. menjawab, “Tiada seorang pun dari kami yang menemaninya, tetapi kami merasa kehilangan beliau di suatu malam di Mekah, maka kami mengatakan, ‘Beliau diculik.’ Aku merasa curiga, dan kami tidak dapat memikirkan apa yang harus kami perbuat.”

Ibnu Mas’ud melanjutkan kisahnya, bahawa malam itu kami jalani dengan perasaan tidak menentu. Dan ketika malam menjelang Subuh atau di waktu sahur, tiba-tiba kami melihat baginda Saw. dalam kegelapan datang dari arah Hira. Lalu kami berseru, “Wahai Rasulullah!” Kemudian kami menceritakan kepadanya perihal kecemasan kami terhadap baginda selama baginda tidak bersama kami. Maka baginda Saw. menjawab:

إِنَّهُ أَتَانِي دَاعِي الْجِنِّ، فَأَتَيْتُهُمْ فَقَرَأْتُ عَلَيْهِمْ

Sesungguhnya telah datang kepadaku utusan dari jin, maka aku temui mereka dan kubacakan (Al-Qur’an) kepada mereka. Kemudian Nabi Saw. pergi dan memperlihatkan kepada kami bekas perapian mereka dan jejak-jejak mereka.

Namun, kalau tidak belajar tentang jin melalui jalan sunnah, maka manusia akan kena tipu dengan jin. Maka, ramailah dari kalangan orang kita yang berkawan dengan jin.

Antaranya yang banyak buat kerja ini adalah pengamal silat. Mereka banyak amalan-amalan yang salah dan kerana itu jin akan berdamping dengan mereka. Mereka mengamalkan mentera-mentera yang panggil jin dan kerana itulah ada gelaran ‘Panglima Hitam’ lah dan sebagainya dalam pergerakan persilatan negara ini.

Begitu juga dengan pengamal ajaran tarekat. Mereka juga banyak buat amalan bidaah dan syirik dan kerana itu mereka didatangi oleh jin yang jahat. Jin-jin itu menyamar sebagai wali itu dan ini, khadam itu dan ini. Malangnya, ramai yang tertipu dengan pergerakan tarekat kerana mereka itu jahil asalnya, tetapi mahu kepada kebaikan. Mereka hendak menjadi baik dan belajar agama, dan mereka nampak ahli-ahli tarekat itu ‘macam’ pandai dan baik sahaja, lalu mereka telah sertai kumpulan itu.

Apabila sudah sertai mereka akan diajar sedikit demi sedikit amalan yang didapati dari khayalan guru-guru mereka. Oleh kerana yang sertai tarekat itu adalah jahil asalnya, mereka tidak tahu yang ajaran-ajaran itu salah belaka. Maka ini amat bahaya sekali kerana kita juga tahu ramai yang terjebak dalam ajaran tarekat ini. Maka kenalah kita tahu apakah keadaan mereka supaya kita dan ahli keluarga kita tidak tertipu.

Dari kalangan jin tidak ada Nabi dan Rasul. Mereka hanya ada pendakwah sahaja. Oleh kerana itulah mereka kena ambil ilmu dari Nabi Muhammad ﷺ dan memang Nabi Muhammad ﷺ diutus kepada sekalian alam, termasuklah jin dan manusia.


 

Ayat 30: Jin-jin itu telah berdakwah kepada kaum mereka dari kalangan jin. Kita tidak ada waktu kejadian itu, dan Nabi ﷺ sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku kerana Nabi tidak dapat scan jin.

Allah ﷻ lah yang beritahu kita apakah yang mereka kata kepada kaum mereka. Kata-kata mereka itu diabadikan dalam Al-Qur’an selama-lamanya sampai Kiamat. Apakah kata mereka?

قالوا يٰقَومَنا إِنّا سَمِعنا كِتٰبًا أُنزِلَ مِن بَعدِ موسىٰ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ يَهدي إِلَى الحَقِّ وَإِلىٰ طَريقٍ مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O our people, indeed we have heard a [recited] Book revealed after Moses confirming what was before it which guides to the truth and to a straight path.

MALAY

Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Qur’an) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)

 

قالوا يٰقَومَنا إِنّا سَمِعنا كِتٰبًا

Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab

Jin juga boleh terima Al-Qur’an dan mereka dakwah kepada bangsa mereka. Bukan semua tetapi ada sebahagian dari mereka. Ini adalah kerana mereka amat terkesan dengan apa yang mereka telah mendengar dan mereka tidak buang masa untuk sampaikan kepada jin-jin yang lain.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita terkesan dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang kita dengar dan kita baca ini? Dan adakah kita sampaikan kepada orang lain? Atau kita simpan sendiri sahaja?

Ugama Islam ini berkembang dengan dakwah. Kalau orang yang tahu agama tidak dakwah agama dan Al-Qur’an ini kepada manusia lain, tentulah kita tidak tahu tentang Al-Qur’an ini. Tentulah tidak sampai agama Islam ini ke nusantara ini dan kita tentu sudah lahir dalam agama Hindu dan sekarang nama kita pun nama Hindu juga.

Maka, jangan kita abaikan tugas dakwah ini. Kalau kita tidak mampu sampaikan apa yang kita belajar, ajak orang lain datang untuk belajar sekali dengan kita. Janganlah berat sangat mulut itu untuk ajak orang lain.

 

أُنزِلَ مِن بَعدِ موسىٰ

yang diturunkan sesudah Nabi Musa,

Dari sini kita dapat isyarat bahawa jin-jin itu adalah penganut agama Yahudi. Mereka kenal Nabi Musa عليه السلام dan mereka tahu tentang Kitab Taurat. Oleh itu, mereka juga tentu tahu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman – Nabi Muhammad ﷺ.

Mereka tidak menyebutkan Nabi Isa عليه السلام kerana Nabi Isa عليه السلام diturunkan kepadanya kitab Injil yang isinya hanya mengandung nasihat-nasihat, hal-hal keutamaan, dan hanya sedikit mengandung perkara halal dan haram. Pada hakikatnya ia merupakan syariat yang menyempurnakan kitab Taurat, dan hal ini bererti yang dipegang sebagai hukum utama adalah Kitab Taurat. Kerana itulah jin mengatakan, “Yang diturunkan sesudah Musa.”

Hal yang sama telah dikatakan oleh Waraqah ibnu Naufal ketika Nabi ﷺ menceritakan kepadanya kisah turunnya Jibril عليه السلام pada yang pertama kali, lalu Waraqah ibnu Naufal berkata, “Beruntunglah, dia adalah An-Namus (malaikat) yang pernah datang kepada Musa عليه السلام. Aduhai, sekiranya diriku dapat hidup sampai di masa itu dan dalam keadaan kuat.”

Lihat bagaimana Waraqah sebut Nabi Musa عليه السلام sedangkan dia sendiri menganuti agama Nasrani. Ini kerana memang Nabi Musa adalah Nabi yang besar dalam sejarah Bani Israil dan bagindalah yang telah menerima Taurat dari Allah.

 

مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ

yang membenarkan Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya,

Apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an itu membenarkan apa yang disampaikan dalam Kitab Taurat dan kitab-kitab lain yang telah ada (yang telah ada di depan). Jadi, perkara akidah yang disampaikan dalam kitab-kitab itu adalah sama sahaja.

Dari ayat ini, kita tahu bahawa ajaran Nabi Muhammad ﷺ itu sama sahaja dengan ajaran Nabi-nabi yang lain zaman berzaman. Allah ﷻ telah beritahu dengan berbagai cara tentang perkara ini. Sebelum ini telah disebut ada ulama’ dari kalangan Bani Israil yang telah membenarkan ajaran Al-Qur’an. Sekarang kita diberitahu yang jin pun beritahu perkara yang sama.

 

يَهدي إِلَى الحَقِّ

memandu kepada kebenaran

Para jin itu mengaku yang ajaran dalam Al-Qur’an itu membawa hidayah kepada kebenaran. Asalkan mahu terima kebenaran, Allah ﷻ akan beri kebenaran kepada mereka yang mahu.

Lihatlah bagaimana jin-jin itu menceritakan kelebihan Al-Qur’an. Maka ini mengajar kita, apabila kita dakwah, kita kena cerita kelebihan Al-Qur’an. Allah ﷻ mengajar cara dakwah kepada kita melalui Al-Qur’an ini, maka kenalah kita ambil cara-cara itu. Sampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an kepada manusia.

 

وَإِلىٰ طَريقٍ مُستَقيمٍ

dan ke jalan yang lurus

Itulah jalan yang lurus yang selalu kita minta dalam Surah Fatihah dalam setiap solat kita. Allah ﷻ memberitahu yang jalan yang lurus itu ada diberitahu dalam Al-Qur’an ini. Maka kena belajar tafsir Al-Qur’an dan kena amalkan apa yang disuruh dalam Al-Qur’an barulah akan dapat jalan yang lurus itu.

Yang dimaksudkan dengan الحَقِّ adalah tentang akidah dan yang dimaksudkan dengan طَريقٍ مُستَقيمٍ adalah tentang amal ibadat. Ini adalah kerana dua perkara ini adalah amat penting. Akidah tanpa amal tidak berguna. Dan beramal tapi akidah tidak sempurna juga sia-sia. Maka dua-dua perkara ini mesti kena ada.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s