Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 31 – 35 (Beri tangguh kepada Musyrikin)

Ayat 31: Ini adalah targhib kepada iman.

يٰقَومَنا أَجيبوا داعِيَ اللهِ وَءآمِنوا بِهِ يَغفِر لَكُم مِّن ذُنوبِكُم وَيُجِركُم مِّن عَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O our people, respond to the Caller [i.e., Messenger] of Allāh¹ and believe in him; He [i.e., Allāh] will forgive for you your sins and protect you from a painful punishment.

  • Prophet Muḥammad ().

MALAY

“Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

يٰقَومَنا أَجيبوا داعِيَ اللهِ

“Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) yang mengajak ke jalan Allah, 

“Terimalah seruan daie ini”. Daie yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad ﷺ. Jin mengajak kaumnya beriman kepada Al-Qur’an dan juga kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kita yang manusia ini kenalah menerima seruan Nabi Muhammad ﷺ juga. Kenapa? Ini kerana baginda mengajak kepada mentauhidkan Allah ﷻ. Itulah tujuan hidup kita.

Ini juga adalah sebagai dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ diutus juga kepada bangsa jin, bukan bangsa manusia sahaja. Cuma Al-Qur’an tidak menyebut banyak tentang jin kerana Al-Qur’an ini lebih banyak diturunkan untuk manusia. Tapi ada juga beberapa ayat yang menyentuh mereka.

Dai’e yang disebut itu boleh juga bermaksud Al-Qur’an itu sendiri kerana Al-Qur’an menyeru juga. Maka kena baca dan fahamkan apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini dan juga oleh Nabi Muhammad ﷺ . Selain itu kena belajar Tafsir Al-Qur’an dan juga syarah Hadis.

 

وَءآمِنوا بِهِ

serta berimanlah kamu kepadanya,

Jin yang telah beriman itu juga mengajak kaumnya beriman juga dengan Nabi Muhammad ﷻ (dan juga Al-Qur’an). Apakah maksud beriman dengan Nabi? Iaitu terima Nabi Muhammad ﷻ sebagai Rasulullah. Kemudian kena amal ajaran yang Nabi  ﷺ ajar dan tidak menambah-nambah dalam ajaran baginda.

Kerana memang penting adalah ikut ajaran baginda. Bukan mengaku Nabi Muhammad  ﷺ itu sebagai Rasul tetapi tidak mengikut ajaran baginda. Ini yang ramai dari kalangan masyarakat kita bermasalah. Mereka terima yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah, tetapi mereka tidak mengikuti ajaran baginda ﷺ sepenuhnya.

Ini kerana mereka tidak belajar agama dengan benar. Mereka hanya belajar dengan guru-guru yang tidak mementingkan pengajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Budaya ilmu di kalangan masyarakat kita masih lemah lagi. Iaitu ramai yang tidak belajar Al-Qur’an dan Sunnah. Jadi ia masih asing di kalangan kita.

Maksud terima ajaran baginda ﷺ adalah mengamalkan sunnah. Namun, masyarakat kita, ramai yang tidak faham pun maksud ‘sunnah’ itu. Mereka terima sahaja ajaran dari berbagai jenis manusia, sampaikan mereka telah terkeluar dari Sunnah.

Mereka kebanyakannya mengamalkan bidaah dan syirik pun ada juga. Mereka tidak belajar dan kerana itu tidak faham apakah maksud ‘bidaah’ itu sendiri sampaikan mereka akan kata amalan bidaah mereka sebagai ‘Bidaah Hasanah’. Perkara ini terlalu panjang untuk dihuraikan di sini, tetapi carilah maklumat sebenar tentang apakah bidaah dan apakah bidaah hasanah itu. Janganlah dengar dari satu pihak sahaja, tetapi dengarlah banyak sikit. Buatlah kajian dan bukalah minda.

Pertama sekali, kena tahu bahawa sumber agama kita adalah Al-Qur’an dan Sunnah (hadis yang sahih dan terpakai). Kalau dapat terima dua sumber ini, maka in sha Allah akan selamat dalam mencari ilmu. Kena belajar dan mahir dengan dua perkara ini sebelum belajar perkara-perkara yang lain.

 

يَغفِر لَكُم مِّن ذُنوبِكُم

supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu,

Jin yang telah beriman itu terus berdakwah kepada kaum mereka. Mereka mengingatkan mereka bahawa mereka itu banyak dosa, maka hendaklah dosa itu dibersihkan dengan beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ, terima ajaran baginda ﷺ dan terus beramal dengan amalan yang diajar oleh baginda ﷺ .

Ini juga adalah nasihat kepada kita juga. Kalau dulu ada mengamalkan syirik dan amalan bidaah, maka tinggalkanlah sekarang, buatlah amalan yang sahih dari agama Islam ini. Dan mintalah ampun kepada Allah ﷻ atas kesalahan dulu – kerana dulu kita jahil, kita tidak tahu manakah yang benar, yang kita belajar dari ustaz-ustaz yang ramai di negara ini dan kita pun sangka mereka semua ajar perkara yang benar.

Namun, apabila sudah belajar tafsir dan sudah belajar Hadis, baru kita tahu banyak ustaz-ustaz di negara ini pun tidak faham apakah sunnah, apakah bidaah. Mereka tidak tahu mana yang tauhid dan mana yang syirik. Kerana merekalah, tunggang langgang agama Islam ini di negara ini.

 

وَيُجِركُم مِّن عَذابٍ أَليمٍ

dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Kalau kita beriman sempurna, mengamalkan tauhid, mengamalkan amalan yang sunnah, maka kita akan selamat dari azab seksa yang kita tidak mampu nak tanggung. Tidak ada cara lain untuk menyelamatkan kita dari azab neraka itu melainkan beramal dengan ajaran agama yang benar.

Ayat ini bermaksud diselamatkan dari azab neraka. Kalau telah selamat dari azab neraka, tentulah akan masuk syurga. Dan inilah yang kita hendak, bukan?

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa golongan jin tidak dapat masuk syurga kerana mereka dari keturunan iblis – paling kuat mereka dapat adalah selamat dari neraka sahaja; tetapi pendapat ini disanggah kerana di akhirat kelak, cuma ada syurga dan neraka. Kalau mereka tidak dimasukkan sama ada ke syurga atau neraka, ke mana lagi mereka akan dimasukkan? Takkan jin yang baik pun dimasukkan ke dalam neraka? Hanya kerana mereka keturunan Iblis?

Maka kalau selamat dari neraka, tentu masuk syurga. Tidaklah mahu dipanjangkan perbahasan ini kerana kita bukan jin dan kenalah kita kenang bahawa Allah ﷻ tidak akan zalim kepada hamba-Nya. Apa sahaja yang Allah ﷻ takdirkan untuk mereka, itu adalah adil belaka.


 

Ayat 32: Ini pula adalah tarhib (anjuran untuk meninggalkan sesuatu)

مَن لّا يُجِب داعِيَ اللهِ فَلَيسَ بِمُعجِزٍ فِي الأَرضِ وَلَيسَ لَهُ مِن دونِهِ أَولِياءُ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But he who does not respond to the Caller of Allāh will not cause failure [to Him] upon earth, and he will not have besides Him any protectors. Those are in manifest error.”

MALAY

“Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapa pun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.

 

مَن لّا يُجِب داعِيَ اللهِ فَلَيسَ بِمُعجِزٍ فِي الأَرضِ

“Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri di bumi,

Jin itu terus berdakwah dengan memberitahu kaum mereka yang kalau mereka tidak mahu beriman dan ikut ajaran dari Nabi Muhammad ﷺ itu, mereka akan binasa. Mereka tidak akan dapat lari dari azab Allah ﷻ dalam dunia, juga tidak dapat melepaskan diri di akhirat kelak. Mereka akan dapat nasib malang-semalangnya.

 

وَلَيسَ لَهُ مِن دونِهِ أَولِياءُ

dan dia tidak akan beroleh sesiapa pun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung

Tidak ada sesiapa pun yang dapat melindungi sesiapa dari Allah ﷻ kalau kita tidak beriman. Ini adalah Dakwa surah ini – mengingatkan kita yang ilah-ilah selain Allah ﷻ itu tidak dapat menolong dan membantu.

Jin-jin juga ada masalah yang sama dengan manusia kerana ramai dari kalangan mereka yang menyembah dan menyeru kepada ilah-ilah selain Allah ﷻ. Jadi jin yang telah beriman itu mengingatkan kepada kaum mereka supaya jangan buat lagi. Mereka diajak supaya tinggalkan amalan dan fahaman yang sia-sia itu. Ini kerana nanti kalau di akhirat, pujaan dan seruan mereka selain Allah ﷻ itu tidak akan datang menolong pun.

 

أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.

Kesesatan yang mereka lakukan itu hanya dapat diketahui dan jelas kalau sudah belajar. Kalau terus jahil, takkan tahu. Begitulah kebanyakan dari masyarakat kita sekarang, ramai yang jahil. Ramai yang belajar agama, tetapi bukan ajaran yang sunnah.

Oleh itu, mereka tidak nampak kesalahan yang mereka lakukan. Sedangkan, kalau mereka mahu belajar sunnah, tentu akan nampak dengan jelas sekali yang amalan mereka selama hari ini adalah sesat belaka, buang masa sahaja.


 

Ayat 33: Ayat 33 & 34 adalah Perenggan Makro Kesembilan. Ia mengandungi dalil adanya Kebangkitan semula dan Akhirat. Ia adalah jenis Dalil Afaqi berkenaan Langit dan Bumi.

أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللَّهَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَلَم يَعيَ بِخَلقِهِنَّ بِقٰدِرٍ عَلىٰ أَن يُحيِيَ المَوتىٰ ۚ بَلىٰ إِنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not see that Allāh, who created the heavens and earth and did not fail in their creation, is able to give life to the dead? Yes. Indeed, He is over all things competent.

MALAY

Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya – berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

أَوَلَم يَرَوا أَنَّ اللَّهَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Tidakkah mereka melihat bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi 

Allah ﷻ memberitahu bahawa Dialah sahaja yang telah mencipta alam ini. Oleh itu sembah dan puja hanya Dialah sahaja, jangan sembah dan seru selain dari-Nya. Kalau tidak mahu sembah dan puja Dia sahaja, maka carilah langit dan bumi yang lain.

 

وَلَم يَعيَ بِخَلقِهِنَّ

dengan tidak kepenatan dalam menciptakannya

Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menjadikan alam ini. Tidaklah penciptaan langit dan bumi ini memenatkan Allah ﷻ. Ini hendak menolak ajaran dalam kitab-kitab sebelum ini yang mengatakan bahawa Allah ﷻ penat selepas mencipta alam ini dan kerana itulah Dia rehat pada hari Sabtu.

Ini adalah salah faham kerana salah terjemah dari kitab-kitab itu. Inilah bahayanya kalau kitab asal tidak disertakan sekali. Seperti Taurat dan Injil hanya ada terjemahan sahaja. Ini kerana kalau dilihat kitab yang asal, tentulah tidak ada perkataan sebegini. Oleh kerana itu, hendaklah Al-Qur’an ini sentiasa disertakan dengan teks Al-Qur’an yang asal, kerana terjemahan tidak semestinya benar.

Walaupun tidak sukar dan tidak memenatkan bagi Allah ﷻ untuk menjadikan alam ini, tetapi Allah ﷻ ambil masa untuk menciptanya; ini adalah kerana Allah ﷻ hendak mengajar kita, kalau perkara penting dilakukan, hendaklah mengambil masa, jangan buat dengan kelam-kabut.

 

بِقٰدِرٍ عَلىٰ أَن يُحيِيَ المَوتىٰ

berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati?

Kalau alam yang begini hebat dan besar boleh dijadikan dari tiada kepada ada oleh Allah ﷻ, takkan Dia tidak boleh menghidupkan kembali makhluk yang sudah mati? Sedangkan Allah ﷻ telah menjadikan makhluk itu dari tiada kepada ada, maka kalau kita ikut logik sekali pun, tentu kalau hendak hidupkan semula, lebih mudah sebenarnya.

Lagi satu logik yang boleh digunakan: kalau benda besar pun Allah ﷻ boleh buat, maka tentu Allah ﷻ boleh buat benda yang kecil-kecil. Sebagai contoh, kalau negara Jepun itu boleh buat kereta, maka tentu mereka juga boleh buat basikal kerana basikal lagi mudah untuk dibina dari kereta.

Maka ini memberi isyarat kepada kita yang tidak susah bagi Allah ﷻ untuk memusnahkan dan menjadikan semula alam yang baru kerana semua itu berada dalam Qadr Allah ﷻ kerana Dia yang Maha Berkuasa. Firman Allah ﷻ dalam ayat lain:

{لَخَلْقُ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ}

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Al-Mu’min: 57)

 

بَلىٰ إِنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sudah tentulah Allah ﷻ mampu. Allah ﷻ mampu untuk melakukan segalanya, apa-apa sahaja. Tidak ada kekangan untuk Allah ﷻ dan mudah sahaja bagi Allah ﷻ. Jadi, Hari Kiamat itu pasti akan berlaku.


 

Ayat 34: Takhwif Ukhrawi

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ أَلَيسَ هٰذا بِالحَقِّ ۖ قالوا بَلىٰ وَرَبِّنا ۚ قالَ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Day those who disbelieved are exposed to the Fire [it will be said], “Is this not the truth?” They will say, “Yes, by our Lord.” He will say, “Then taste the punishment for what you used to deny.”¹

  • Or “because you used to disbelieve.”

MALAY

Dan (ingatlah) hari orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka, (lalu dikatakan kepada mereka): “Bukankah (azab) neraka ini benar?” Mereka menjawab: “Ya, benar, demi Tuhan kami!” (Setelah itu) dikatakan lagi (kepada mereka): “Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu. ”

 

وَيَومَ يُعرَضُ الَّذينَ كَفَروا عَلَى النّارِ

Dan (ingatlah) hari orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka, 

Orang-orang yang kafir semasa di dunia dulu, akan dimasukkan ke dalam neraka. Antara azab hukuman yang akan dikenakan kepada mereka adalah mereka akan dipanggang dengan api yang sangat panas, lebih panas dari mana-mana api dalam dunia. Bukan itu sahaja azab yang mereka akan terima tetapi banyak lagi.

 

أَلَيسَ هٰذا بِالحَقِّ

“Bukankah (azab) neraka ini benar?”

Semasa mereka dikenakan dengan azab itu, sambil itulah mereka dihina, ditanya sama ada mereka mengaku atau tidak sekarang yang azab neraka itu benar? Aduh… begitu menghinakan sekali, sudahlah badan kena azab, hati dan perasaan pun diazab dengan begitu teruk sekali.

Ini dinamakan takzib rohani – azab jiwa dan ia lebih teruk lagi dari azab tubuh kerana kesannya menyusup terus ke dalam jiwa. Allah ﷻ sengaja tambah azab kepada mereka supaya mereka terseksa jiwa raga di akhirat kelak.

 

قالوا بَلىٰ وَرَبِّنا

Mereka menjawab: “Ya, benar, demi Tuhan kami!”

Waktu itu mereka mengaku benarlah bahawa neraka itu benar-benar memang ada. Sudah masuk dalam neraka, sudah kena azab, takkan tak mengaku lagi? Memang mengaku sungguh-sungguh.

Malangnya pada waktu itulah baru mereka hendak mengaku Allah ﷻ itu Tuhan. Dulu semasa mereka di dunia, mereka tidak mengaku. Malah kalau pun mereka telah sebut dengan mulut, ia tidak disertakan dengan hati sekali kerana mereka tidak yakin.

Memang ramai yang sebut dengan mulut bahawa Allah ﷻ itu Tuhan, tetapi dalam masa yang sama, arahan Tuhan tidak diikuti, ajaran Dia dalam Al-Qur’an tidak dipelajari dan diambil peduli. Maka kalau begitu, mereka hanya sebut dengan mulut sahaja dan tidak diserapkan ke dalam hati.

 

قالَ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

telah berkata: “Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu. “

Natijahnya, mereka dirasakan dengan azab neraka itu. Ini juga lafaz takzib rohani. Sudahlah mereka dikenakan dengan azab badan, ditambah lagi dengan penghinaan semasa azab itu diberikan.

Yang berkata itu tidak disebut dan mungkin ia adalah para malaikat yang sedang mengazab ahli neraka.


 

Ayat 35: Ayat 35 ini adalah Perenggan Makro Kesepuluh. Ia mengajar kita bersabar dan cekal dalam berdakwah. Ia juga adalah Ayat Tasliah (pujukan) pada Nabi Muhammad ﷺ.

فَاصبِر كَما صَبَرَ أُولُو العَزمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلا تَستَعجِل لَّهُم ۚ كَأَنَّهُم يَومَ يَرَونَ ما يوعَدونَ لَم يَلبَثوا إِلّا ساعَةً مِّن نَّهارٍ ۚ بَلٰغٌ ۚ فَهَل يُهلَكُ إِلَّا القَومُ الفٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So be patient, [O Muḥammad], as were those of determination among the messengers and do not be impatient for them.¹ It will be – on the Day they see that which they are promised – as though they had not remained [in the world] except an hour of a day. [This is] notification. And will [any] be destroyed except the defiantly disobedient people?

  • i.e., for Allāh’s punishment of the disbelievers.

MALAY

(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka.

 

فَاصبِر كَما صَبَرَ أُولُو العَزمِ مِنَ الرُّسُلِ

maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi”

Nabi Muhammad ﷺ dipujuk untuk bersabar macam sangat sabarnya rasul-rasul Ulul Azmi yang memiliki kesabaran dan mempunyai kecekalan yang tinggi. Nama-nama mereka ada disebut dalam Ahzab:7. Terdapat lima rasul termasuk Nabi Muhammad ﷺ.

Pendapat yang kuat mengatakan mereka adalah Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, dan penutup semua para Nabi (iaitu Nabi Muhammad ﷺ). Ini kerana ada juga pendapat yang lain mengatakan Ulul Azmi adalah semua Rasul. Tapi pendapat yang kuat mereka itu ada lima sahaja. Tidak kira siapa mereka, dalam ayat ini Allah ﷻ hendak beritahu Nabi Muhammad ﷺ, kalau mereka boleh sabar, baginda pun boleh juga.

Tidaklah Allah ﷻ hendak mengatakan yang mereka berlima sahaja yang sabar. Ini kerana kita boleh lihat ada kalimah مِن  (dari kalangan) dalam ayat ini. Ini hanya penekanan sahaja kerana mereka itu semuanya menerima penolakan yang amat teruk dari kaum baginda. Semua para Nabi itu sabar, terutama sekali para Rasul Ulul Azmi yang telah disebut tadi.

Allah ﷻ pujuk Nabi Muhammad ﷺ untuk bersabar dari ancaman dan kata-kata Musyrikin Mekah itu. Bermacam-macam dugaan yang baginda kena hadapi dan apabila baginda telah berhijrah ke Madinah, cabaran baginda sebenarnya lagi susah kerana lagi banyak golongan yang baginda kena hadapi. Ada golongan Munafik, ada Golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasara), puak-puak lain yang di sekitar Madinah dan lain-lain lagi.

Mungkin ramai yang sangka, apabila di Madinah, keadaan jadi semakin baik, tetapi sebenarnya tidak begitu. Kalau kata begitu, maka itu tandanya yang mereka tidak belajar dengan benar.

 

وَلا تَستَعجِل لَّهُم

dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka

Dan baginda ﷺ dinasihatkan supaya jangan cepat minta kehancuran kaum Quraish sebagai bantuan untuk pengikut yang telah mengikut baginda.

Baginda tentu dapat melihat bagaimana para sahabat ditindas dengan teruk oleh Musyrikin Mekah. Dalam hati baginda ﷺ tentu mahu menyelamatkan sahabat baginda ﷺ. Selain itu ada harapan dalam diri baginda supaya mereka yang menindas itu dibalas dengan tindakan zalim mereka. Namun, Allah ﷻ nasihat baginda ﷺ jangan doa supaya mereka dihancurkan.

Allah ﷻ nasihat baginda supaya jangan gopoh berdoa supaya penentang baginda dimusnahkan. Para Nabi yang lain telah pakai doa untuk memusnahkan umat mereka. Namun, Nabi Muhammad ﷺ simpan doa besar ini dan baginda guna semasa meminta Syafaat Uzma di Mahsyar kelak apabila baginda berdoa kepada Allah ﷻ supaya dipercepatkan hisab. Dengan syafaat itu, semua makhluk mendapatkan bahagian dari doa itu (sama ada manusia atau tidak, sama ada Muslim atau tidak).

Memang Nabi dulu ada berdoa supaya kaum baginda dimusnahkan walaupun kebanyakan mereka menolak baginda. Namun, selepas itu baginda berhenti dari berdoa begitu setelah dinasihatkan oleh Allah ﷻ. Hanya kalau ada pun doa keburukan kepada musuh baginda, itu hanya kepada golongan tertentu sahaja. Kerana ada juga Nabi berdoa kehancuran penentang baginda tapi disebut satu persatu nama mereka, bukannya secara pukal.

Allah ﷻ menahan Nabi dari berdoa kehancuran musuh baginda kerana kalau mereka dihancurkan terus, teruslah habis peluang mereka untuk beriman. Sedangkan Allah ﷻ dengan segala kebijaksanaan-Nya telah melambatkan azab kepada mereka yang menindas kerana mereka mungkin akan beriman. Lihatlah bagaimana Abu Sufyan dan Khalid al Walid yang berperang dengan baginda, tetapi akhirnya telah masuk Islam dan menjadi Muslim yang baik.

Biarkan dahulu mereka kerana Allah ﷻ akan uruskan mereka nanti seperti yang telah disebut dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَذَرْنِي وَالْمُكَذِّبِينَ أُولِي النَّعْمَةِ وَمَهِّلْهُمْ قَلِيلا}

Dan biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar. (Al-Muzzammil: 11)

 

كَأَنَّهُم يَومَ يَرَونَ ما يوعَدونَ لَم يَلبَثوا إِلّا ساعَةً مِٰن نَٰهارٍ

Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.

Jangan risaukan hal mereka yang menentang itu, kerana azab pasti akan datang untuk mereka. Apabila mereka dikenakan dengan azab nanti, mereka akan rasa seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di dunia melainkan dari satu jam sahaja. Mereka akan rasa begitu semasa mereka diazab di neraka nanti. Ini kerana teruk sekali azab itu sampaikan masa kehidupan mereka di dunia dulu tidak bermakna lagi pada mereka.

Ini terjadi kerana setiap perkara yang kita alami, masanya adalah relatif. Sebagai contoh, kalau kita duduk dalam panas, lima minit akan rasa lama, tetapi kalau kita sedang bermain, kita rasa sekejap sahaja. Begitulah nanti di neraka, kerana teruk sangat azab yang dikenakan di neraka nanti, kehidupan berpuluh tahun di dunia itu akan rasa sekejap sahaja dan azab yang dikenakan itu adalah lama. Sememangnya lama pun azab di akhirat kelak.

 

بَلٰغٌ

cukuplah menjadi pelajaran

Hujah-hujah dalam Al-Qur’an ini, terutama dalam Surah Hawamin Tujuh ini, sudah cukup untuk manusia memperbetulkan perlakuan mereka. Ia perlu disampaikan kepada manusia supaya semua manusia tahu tentang perkara ini.

 

فَهَل يُهلَكُ إِلَّا القَومُ الفٰسِقونَ

Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka.

Allah ﷻ hanya kenakan azab itu kepada mereka yang fasik sahaja – yang tidak taat dan keluar dari hukum.

 

Allahu a’lam. Sekian Tafsir Surah Ahqaf ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Muhammad.

Kemaskini: 6 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Ahqaf Ayat 31 – 35 (Beri tangguh kepada Musyrikin)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s